Memaparkan catatan dengan label CERITAKU SETELAH 26 TAHUN MENJADI GURU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CERITAKU SETELAH 26 TAHUN MENJADI GURU. Papar semua catatan

04 Jun 2023

NIKMAT CUTI BAGI SEORANG GURU


Orang bukan guru selalu mengucapkan kata-kata ini, "Awak seronok jadi Cikgu, banyak cuti. Boleh jalan-jalan, makan angin. Jalan-jalan cari makan. Jalan-jalan cari awek" Hakikatnya, benarkah guru banyak cuti? Saya berkongsi cerita cuti guru ini bukan untuk menyerlahkan kemuliaan profesion perguruan tetapi saya mahu membuka mata masyarakat  agar mereka tahu nikmat cuti bagi seorang guru. Pada waktu cuti, ramai guru dipanggil untuk menghadiri kursus, mesyuarat, taklimat atau mengiringi pelajar untuk menyertai pelbagai pertandingan kokurikulum. Saya sendiri sudah terbiasa cuti sambil kerja sejak tahun 2008 apabila saya mulai terlibat dalam kerja-kerja penyemakan kertas dan lain-lain urusan SULIT berkaitan dengan peperiksaan di peringkat kebangsaan. 

Saya naik kapal terbang dari Sibu ke Kuala Lumpur atau mana-mana lokasi mesyuarat yang dinyatakan dalam surat tetapi itu adalah untuk menghadiri mesyuarat. Jiran-jiran dan kawan-kawan yang kenal saya selalu berkata, “Cikgu Zul, naik kapal terbang macam naik bas”. Mereka melihat pada setiap hari Jumaat, selepas solat saya akan pergi ke Lapangan Terbang Sibu, balik pula pada malam Ahad. Saya bukan bercuti tetapi bekerja. Kenangan yang paling saya tidak akan lupakan sehingga kini, telinga saya rosak beberapa ketika kerana doktor kata salah satu penyebabnya ialah terlalu kerap naik kapal terbang. Alhamdulillah, kini sudah baik. Saya curi-curi jalan-jalan ke kompleks beli-belah masa waktu rehat sahaja dan waktu balik. Sepanjang tempoh mesyuarat semasa cuti itu, kepala saya penuh dengan pelbagai maklumat. Kami berbincang untuk mencari kata putus hingga beremosi (gaduh-gaduh ilmu, keluar bilik kami lepak-lepak minum kopi di warung berdekatan). Habis mesyuarat, masuk ke dalam bilik kena pula baca skrip yang pelbagai tulisan dan jawapan berserta skema atau sediakan slaid/ tugasan untuk esok hari. Itulah kehidupan yang saya tempuhi dan alami semasa waktu cuti. 

Ya, bukan semua guru dapat merasai hidup seperti kami tetapi saya percaya ramai guru yang terpaksa bersekang mata menyemak kertas peperiksaan peringkat sekolah semasa cuti. Hal ini dikatakkan demikian kerana dua minggu sebelum cuti, peperiksaan sekolah akan berlangsung. Penyemakan dilakukan semasa cuti. Guru-guru yang menyemak soalan esei, terutama guru Bahasa Melayu, kalau mengajar sekolah ramai murid, terpaksa menyemak sehingga 200 hingga 300 skrip. Beban menyemak ini berat, tidak mudah. Walaupun kami tidak perlu berada di tengah-tengah panas terik matahari tetapi kerja menggunakan otak ini amat sakit dan perit. Azabnya hanya kamilah yang mengerti selain isteri/ suami dan anak-anak kami yang hidup seharian dengan kami. Isteri selalu marah, apabila saya berjaga hingga lewat malam waima sedang bercuti tetapi sibuk memeriksa kertas ujian atau menaip pelbagai tugasan di laptop. Akan tetapi, itulah kehidupan seorang guru.

Kini, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu-satunya peperiksaan terpenting untuk pelajar melangkah ke peringkat yang seterusnya ekoran pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Tanggungjawab guru yang mengajar Tingkatan 5 ialah memastikan pelajar lulus dalam Subjek Bahasa Melayu dan Sejarah bagi membolehkan mereka mendapat Sijil SPM. Semua guru pula bertanggungjawab untuk meningkatkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) masing-masing. GPMP ini ditentukan berdasarkan jumlah pelajar yang mendapat gred cemerlang dan kepujian, yakni Gred C hingga A+. Peningkatan GPMP akan mempengaruhi Gred Purata Sekolah (GPS). Akibatnya, ramai guru menggunakan masa cuti untuk mengadakan kelas tambahan sama ada secara bersemuka atau dalam talian bagi memastikan pelajar mereka sentiasa fokus sehinggalah pelajar-pelajar mereka masuk ke bilik peperiksaan SPM sebenar.

Guru merupakan kumpulan kakitangan awam yang ramai bilangannya, melebihi 300,000 orang. Guru yang kerja sepenuhnya semasa cuti ini mungkin hanyalah 10 peratus. Saya tidak nafikan kata-kata bahawa jadi guru ini banyak cuti. Oleh sebab itu, saya tidak boleh menyangkal pendapat ini kerana kita selalu melihat perkongsian guru yang berniaga, bekerja sambilan, melancong, dan sebagainya semasa cuti sekolah. Namun begitu, janganlah beranggapan semberono, saya yakin mereka perlu hadir ke sekolah pada hari-hari tertentu. Kehidupan untuk tugas hakiki memang ramai guru yang selindungkan dari pengetahuan umum. Saya tidak akan sesekali berkongsi gambar memeriksa kertas di rumah semasa cuti, jauh sekali untuk saya memaklumkan kepada umum ketika saya sedang memeriksa. Jika saya lakukan itu maka hantarlah saya ke Hospital Bahagia. Walaupun selalu sibuk dan sering tidak menikmati cuti saya tetap setia dan sayang akan kerjaya perguruan ini. 

Semua kerjaya ada cabaran dan rintangan yang hanya dialami dan difahami oleh mereka yang berkecimpung dalam kerjaya tersebut. Oleh sebab itu, saya tidak akan sesekali menyebut mudah dan senang terhadap kerja sesiapa sahaja. Yang penting, saya mendapat gaji yang halal untuk menyara keluarga hasil daripada titik peluh saya sendiri. Cuma, guru ini istimewa sedikit ganjarannya, iaitu apabila melihat anak-anak didiknya berjaya hasil kesungguhan dan pengorbanan yang tidak dipandang atau dilupakan. 


20 Mei 2023

SIKAP KITA YANG SUKA MEMBANDING-BANDINGKAN SEKOLAH ADALAH SALAH


Orang kita memang suka membuat perbandingan mudah. Mereka suka membuat perbandingan tanpa melihat perkara-perkara lain yang menyebabkan situasi atau perkara yang berlaku dalam diri seseorang, sesebuah organisasi, dan sebagainya. Sejak saya mula mengajar pada tahun 1997 hingga sekarang, masyarakat masih membanding-bandingkan sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain terutamanya dari segi pencapaian dalam kurikulum, kokurikulum, dan kes-kes disiplin yang berlaku di sekolah. Perbandingan ini dibuat oleh mereka yang suka membuat konkulsi dengan hanya melihat satu aspek. Sebagai contohnya, sekolah yang sentiasa mempamerkan Gred Purata Sekolah yang cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dianggap mempunyai guru-guru yang bijaksana dan rajin mengajar. Sekolah yang tidak dapat mencapai GPS seperti yang disasarkan akan dianggap 'tidak baik', 'tidak cukup usaha' dan lebih menyedihkan apabila guru-guru yang mengajar dianggap 'tidak berusaha'. Sekolah-sekolah ini selalu disindir dan dijadikan contoh oleh segelintir individu tanpa berbasa basi. Mereka langsung tidak melihat aspek-aspek lain yang menyebabkan sekolah-sekolah tersebut gagal mencapai GPS yang disasarkan. 

Budaya suka membanding-bandingkan ini telah merasuk jiwa masyarakat hingga menjadi topik utama di kedai kopi atau di meja mesyuarat. Yang akan terus ditekan dan tertekan ialah warga guru yang mengajar di sekolah tersebut. Masyarakat pula sentiasa memandang rendah hingga sanggup memindahkan anak ke sekolah lain yang konon-kononnya memiliki tenaga pengajar yang lebih bagus. Hakikatnya, tenaga guru yang diamanahkan mengajar di semua sekolah adalah sama. Mereka mendapatkan ilmu di universiti yang sama dan memperoleh ijazah yang sama. Walau bagaimanapun, terdapat banyak kekangan yang menyebabkan pencapaian antara sekolah A dan sekolah B berbeza. Biar kita ambil contoh, sekolah A merupakan sekolah yang mempunyai prasarana yang lengkap dan kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak bersekolah di sekolah A ialah ibu bapa yang berkemampuan membeli kelengkapan belajar dan memberikan sumbangan kepada sekolah untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. Persatuan PIBG di sekolah A amat kuat. Segala keperluan guru disediakan kerana ibu bapa di sekolah A semuanya atau 90% berkemampuan. 

Sekolah B pula terletak di luar bandar yang rata-ratanya ibu bapa daripada golongan B40. Yuran PIBG pun hanya RM15.00 setahun. Itupun ramai yang tidak mampu membayar. Jangankan Yuran PIBG, baju Pendidikan Jasmani, Buku Kerja, Buku latihan pun tidak terbeli. Pakaian sekolah pun ada yang tetap guna walaupun sudah sendat. Ibu bapa mereka kebanyakannya bekerja jauh. Anak-anak mereka tidak menghadiri kelas tuisyen dan mereka tidak pernah dipaksa belajar apabila di rumah. Ibu bapa mereka sedar tentang kepentingan pelajaran tetapi bersikap acuh tidak acuh memberikan dorongan kerana persekitaran hidup yang tidak ada persaingan. Saya sendiri berhadapan dengan situasi ini sejak tahun 2016 selepas berpindah daripada sebuah sekolah yang berprestasi cemerlang di bandar. Apabila sampai di sekolah baharu saya terkejut. Perbezaannya amatlah ketara terutamanya dari segi mentaliti pelajar terhadap kepentingan pendidikan. Jika ditanya cita-cita, mereka hanya menyebut bidang pekerjaan yang terlalu sensitif untuk saya tulis di sini. Jika saya tanya 100 orang pelajar hanya 10 orang sahaja yang menyebut menjadi Peguam, Doktor, Saintis, Jurutera, Arketik, dan Juruterbang. Yang lain tidak. Apabila disenaraikan pekerjaan tersebut, mereka kata mereka tidak akan mampu. Mereka terlalu merendah diri.

Kita harus faham situasi dan keadaan di sesebuah sekolah. Saya pernah mengajar selama lebih kurang 19 tahun 5 bulan di sekolah yang mempunyai kemudahan yang lengkap. Kelas tempat belajar baharu, luas, dan bersih. Bilik guru amat selesa dan serba serbi ada. Dalam bilik guru kami, tersedia mesin fotostat yang boleh digunakan bila-bila masa. Sekolah saya itu dahulu mempunyai Dewan yang boleh memuatkan 3000 orang pada suatu-suatu masa. Terdapat dewan kuliah untuk mengajar dan sebagainya. Kemudian, tahun 2016 saya dipindahkan ke sebuah sekolah kategori luar bandar yang mempunyai 3000 orang pelajar. Sekolah itu tiada dewan. Kemudahan yang ada amat terhad. Bilangan pelajar dalam sebuah kelas antara 35 hingga 45 orang. Tahun kedua saya di sekolah itu, hampir semua bilik ditukar menjadi bilik darjah kerana bilangan pelajar yang bertambah. Tahun 2020 pula, saya dipindahkan lagi ke sebuah sekolah yang memang betul-betul di luar bandar. Bangunan lama dan usang. Kemudahan asas amat menyedihkan. LCD untuk mengajar pun guru-guru berebut. Kelas sangat kecil (saiz bangunan tahun 1980-an). Jendela semua sudah tiada. Memang serba kekurangan. Jika diberikan peruntukan untuk membaik pulih kerosakan, RM1 juta, belum tentu cukup kerana sistem pendawaian di sekolah sudah lama. Perkara seperti ini harus diambil kira apabila kita membuat perbandingan. 

Kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan ibu bapa dan komitmen guru-guru di sekolah rendah yakni asas awal kanak-kanak menerima pendidikan juga harus dilihat dengan terperinci sebelum kita membuat perbandingan. Kelemahan pelajar dalam subjek teras amat ketara selepas berlakunya COVID-19 dan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Majoriti pelajar yang masuk ke Tingkatan 1 masih tidak tahu membaca atau dengan istilah buta huruf. Guru-guru yang mengajar selalu mengeluh. Salibus KSSM pula menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tetapi pelajar masih tergagap-gagap membaca. Mereka bergantung penuh kepada guru untuk memulihkan atau mengasah kemahiran asas itu dahulu. Bayangkan betapa susahnya guru Matematik menyampaikan isi pelajaran kerana subjek Matematik KSSM amat sukar. Subjek lain pun begitu! Situasi ini hanya guru-guru di sekolah pedalaman dan luar bandar yang merasai dan mengalami. Orang hanya melihat dan membuat konklusi selepas menganalisis keputusan peperiksaan dengan mencadangkan itu dan ini atau menyalahkan usaha pihak sekolah. Pahitnya hanya mereka yang mengalaminya tahu. Mereka bukan tidak berusaha. Usaha mereka terpaksa berhadapan dengan kekangan masa untuk memperbetul kelemahan-kelemahan asas yang tidak sepatutnya. 

Adalah tidak salah jika kita membuat perbandingan sekali sekala tetapi perbandingan itu harus membawa manfaat kepada sekolah yang dibandingkan. Jangan sesekali membandingkan pencapaian antara sekolah-sekolah dengan niat menyalahkan atau menghukum hingga memalukan atau menjatuhkan maruah tenaga pendidik di sesebuah sekolah. Yang membandingkan juga perlu menjaga tutur kata, jangan sampai ada hati yang terguris dan jiwa yang terhiris. Percayalah, tiada sesiapapun guru di mana-mana sekolah yang mahu melihat anak didik mereka gagal menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan terutamanya SPM dan STPM. Mereka sentiasa mahu anak didik mereka lebih berjaya daripada mereka selepas menamatkan alam persekolahan. Namun begitu, ramai pelajar dalam usia muda diuji dengan pelbagai kisah hidup yang boleh menitiskan air mata. Ramai yang menjadi mangsa perceraian, hidup terhimpit dalam kemiskinan, dan banyak lagi permasalahan yang menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran. Hanya guru yang memahami mereka. Guru bukan tidak mendorong. Guru pun bukan tidak memotivasi. Kelas intervensi diadakan untuk meningkatkan pencapaian. Jika begitulah keputusan yang diperoleh kita redha tetapi yang tidak redha ialah orang yang diluar sekolah. 

Subjek Matematik Bunuh Masa Depan Pelajar?


Ketika menjadi Penolong Kanan Pentadbiran yang banyak menguruskan hal ehwal berkaitan dengan akdemik, perkara yang amat merungsingkan para guru ialah prestasi pelajar dalam subjek Matematik. Keadaan ini semakin buruk apabila Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mula diperkenalkan. Pencapaian pelajar dalam ujian topikal, peperiksaan peringkat sekolah dan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, memang mendukacitakan. Bayangkan, pelajar aliran sain tulen pun hanya mencapai markah kurang daripada 30 peratus wahal subjek lain mereka mendapat markah melebihi 60 peratus. Apabila keputusan SPM diumumkan, beza pencapaian pelajar dalam SPM sebenar dengan peperiksaan percubaan SPM tidak terlalu jauh. Pelajar yang memperoleh Gred F atau Gagal adalah banyak. Guru-guru yang mengajar di sekolah pelajar terpilih seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah-sekolah di bandar mungkin tidak berhadapan dengan masalah ini. Akan tetapi, kami yang mengajar sekolah di luar bandar dan pedalaman dapat melihat masalah ini dengan nyata.

Adakah guru subjek Matematik tidak pandai mengajar?

Pada pandangan saya, prestasi pelajar yang lemah dalam subjek Matematik tidak boleh disandarkan kepada guru semata-mata. Saya melihat guru (di sekolah saya) memang berusaha mengajar pelajar menggunakan pelbagai kaedah dan strategi. Mereka mengadakan pelbagai program seperti ceramah teknik menjawab daripada pakar atau guru cemerlang Metematik. Mereka juga mengadakan Kelas Intervensi Matematik. Walau bagaimanapun, usaha berganda tanpa mengenal lelah dan jemu ini masih tidak mencapai sasaran untuk meningkatkan jumlah pelajar lulus dalam subjek Matematik. Pencapaian mereka secara puratanya tidak berubah hingga mencapai tahap kepujian dan cemerlang. Perkara yang diajar pada hari ini, apabila diulang lagi keesokan hari, hampir 90 peratus pelajar gagal menjawab dengan betul. Mereka lupa semuanya. 

Prestasi pelajar dalam subjek Matematik ini semakin buruk selepas mereka menjalani Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) akibat bahana COVID-19. Pelajar-pelajar di kawasan pedalaman dan luar bandar berhadapan dengan masalah peranti dan liputan talian yang lemah untuk mengikuti PdPR dengan lancar dan berkesan. Yang mempunyai peranti dan liputan talian yang baik pula tidak mempunyai pembiayaan yang mencukupi untuk membeli kouta Internet. Apabila keadaan ini berlaku, memang ramai pelajar yang tidak dapat mengikuti pengajaran dan pembelajar secara penuh. Setelah keadaan pulih pada awal tahun 2022, mereka terus masuk ke Tingkatan seterusnya. Bayangkan, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung mereka berada pada Tingkatan 3, selepas sesi bersemuka dibolehkan mereka terus masuk Tingkatan 4 wahal salibus di Tingkatan 3 sebenarnya mereka belum kuasai. Apabila berada di Tingkatan 4 pula, mereka perlu memilih aliran sains tulen, aliran sains sosial, atau aliran MPV. Walau bagaimanapun, subjek Matematik merupakan subjek Teras yang harus dipelajari oleh semua pelajar. 

Sedih Mendengar Keluhan Pelajar

Saya selalu berbual-bual dengan pelajar berkaitan dengan pencapaian mereka dalam subjek Matematik yang tidak memuaskan. Mereka akui kelemahan dan memberitahu bahawa mereka sudah melakukan yang terbaik tetapi subjek itu benar-benar susah untuk dikuasai. Saya cuba membandingkan Matematik zaman saya sekolah dahulu dengan Matematik KSSM (Soalan Matematik Tingkatan 4 dan Tingkatan 5), memang amat ketara cara penyoalan dan teknik menjawab. Matematik KSSM lebih berfokus kepada kehidupan, soalannya pun panjang-panjang kerana dimasukkan dengan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Saya memang kasihan dengan pelajar yang menduduki SPM sesi 2020/2021, sesi 2021/2022, dan sesi 2022/2023. Kumpulan ini merupakan kumpulan pelajar yang betul-betul terkesan semasa PKP berlangsung dahulu terutamanya pelajar di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman.

Pelajar sentiasa diingatkan tentang keperluan subjek Matematik untuk melanjutkan pelajaran dan memohon pekerjaan. Mereka memang sedia maklum. Walau bagaimanapun, semangat mereka selalu hilang apabila berhadapan dengan soalan-soalan Matematik semasa peperiksaan. Oleh itu, saya menyeru agar kita sama-sama melihat permasalahan ini dengan lebih terperinci kerana masa depan pelajar yang sedia ada pada hari ini wajar kita perjuangkan. Didikan ibu bapa sejak kecil amatlah dituntut dalam menyemai minat anak terhadap Matematik. Ya, ramai ibu bapa bukanlah guru. Akan tetapi, zaman ini merupakan zaman globalisasi, jutaan video pembelajaran Matematik terdapat di media sosial. Jika minat terhadap Matematik sudah tertanam kukuh, saya yakin masalah ini dapat diatasi sedikit demi sedikit. Sesungguhnya, prestasi pelajar yang lemah dalam Matematik  amatlah merugikan negara pada masa hadapan. 

Pelajar Perlu Berusaha dan Bersikap Positif

Saya dahulu memang lemah dalam Matematik. Akan tetapi, setelah menyedari kelemahan itu saya luangkan masa belajar Matematik dengan lebih banyak berbanding subjek lain. Yang mana boleh dihafal, saya hafal. Saya juga analisis soalan peperiksaan SPM dengan melihat soalan mana yang selalu keluar, saya akan fokus kepada bahagian itu. Ketika zaman saya sekolah dahulu, Internet, Modul, Media Sosial, dan Youtube memang tiada. Guru-guru pun tidak mendedahkan kami dengan analisis seperti guru-guru sekarang. Tahap kerajinan guru dahulu dan guru sekarang tiada beza dalam membantu pelajar. Saya bulan menyebelahi guru tetapi saya yakin jika pelajar bersikap positif dan fokus, mereka boleh memperoleh sekurang-kurangnya tahap kepujian dalam subjek Matematik. Apabila bercakap dengan pelajar pun saya selalu menekankan, usaha sendiri harus melebihi 100 peratus jika mahu berjaya menguasai subjek Matematik.

Pelajar zaman sekarang amat beruntung, mereka boleh belajar Matematik menggunakan video di Youtube dan TikTok. Ramai guru yang berpengalaman dan berkemahiran membuat video mengajar dengan amat baik. Penyampaian mereka mudah difahami. Jika pelajar luangkan 1 jam sehari belajar menggunakan kemudahan ini, saya yakin dalam tempoh sebulan tahap pengetahuan berkaitan dengan subjek Matematik akan bertambah. Yang utama, jangan kalah dengan godaan Permainan Komputer, berbual-bual menggunakan WhatsApp, ataupun membaca gosip artis curang dan bercerai di Facebook. Perkara-perkara ini sentiasa membuat 90 daripada pelajar hilang fokus. Saya selalu bertanya secara suka-suka tentang isu artis, pelajar boleh jawab dan terangkan A hingga Z dengan  betul. Namun begitu, jika diberikan soalan Matematik atau subjek lain, dia termenung merenung siling, meniarap atas meja, akhirnya mengantuk. Jika sikap mereka berubah, saya yakin bukan subjek Matematik sahaja yang cemerlang, mereka akan memperoleh A+ dalam semua subjek.

Nota
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi saya tentang isu ini. Jika ada kesilapan atau kekurangan saya mohon maaf. Jika ada kemasalatan, ambilah untuk penambahbaikan demi masa depan pelajar yang tercinta. 


19 Mei 2023

Kisah Pelajar Universiti Dari Keluarga B40 Terpaksa Catu Makanan Tetapi Dicuri Pula Oleh Rakan Serumah

 


Saya membaca sebuah artikel dalam akhbar Berita Harian yang memaparkan kisah seorang pelajar yang datang daripada keluarga B40. Kisahnya terlalu dekat dengan diri saya. Oleh sebab terlalu menghayati kisah pelajar itu yang terpaksa mencatu makanan selain bergantung penuh pada wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi menampung yuran pengajian dan kos lain seperti sewa rumah menyebabkan air mata saya menitis. Cerita anak orang miskin yang mengikat perut dan merantai nafsu di universiti telah berlaku sejak dahulu lagi. Saya sendiri datang daripada keluarga yang saya klasifikasikan “KELUARGA B80” semasa belajar dahulu pernah merasai seksanya hidup di universiti demi mendapatkan segulung ijazah untuk mendapatkan pekerjaan dan membahagiakan keluarga. Apabila membaca cerita pelajar ini yang duduk di rumah sewa dan stok makanannya ada kalanya dicuri rakan serumah saya amat bersimpati dan memahami.

Saya doakan agar pelajar-pelajar daripada golongan B40 ini terus cekal dan tabah belajar. Jangan berhenti. Teguhkan hati untuk terus menamatkan pengajian. Saya dan rakan-rakan dahulu hanya makan mi maggi setiap hari untuk mengalas perut. Bezanya dahulu dan sekarang hanyalah nilai wang. Jika dahulu harga sebungkus mi maggie (dalam ada lima) hanyalah RM2.50 sahaja, sekarang harganya meningkat ke RM4.00 ke atas mengikut jenis. Kami hanya masak mi maggi dalam baldi kecil dengan air sejuk dan makan berkongsi. Allah memberkati hidup kami, walaupun makan sebegitu kami tetap sihat dan aktif untuk hadir kuliah sehingga menamatkan pengajian. Kini, walaupun kami bukanlah sesiapa, alhamdulillah kami mempunyai pekerjaan dan mampu membahagiakan diri dan keluarga.

Kemiskinan banyak mengajar kita untuk cekal dan tabah mara ke hadapan. Walau bagaimanapun, jangan sesekali jauhkan diri daripada kepercayaan kepada Tuhan. Segala masalah yang datang akan menjadi lebih mudah andai kita selalu bersyukur dan menikmati hidup seadanya. Pelajar yang miskin jika sentiasa melihat cermin untuk refleksi diri, insya-Allah urusannya akan dipermudah. Jangan sesekali bersikap hipokrit dan berbelanja melebihi yang kita ada. Jika kita mengenali diri kita, saya yakin kita dapat merancang perbelanjaan dengan lebih mudah. Pada masa yang sama, kita haruslah pandai menyesuaikan diri supaya mempunyai ramai kawan dan kenalan. Saya yakin, pelajar yang tahu membawa diri mesti akan berjumpa dengan kawan yang berkemampuan dan pemurah. Insya-Allah.

Saya akui, kemiskinan kadang kala menguji kita tanpa batas. Kita didesak untuk membeli keperluan belajar yang bukan sedikit seperti laptop ataupun komputer. Ya Allah, saya amat memahami masalah sebegini. Ketika kita terlalu fokus untuk mencapai kejayaan dan memburu cita-cita, kita diuji dengan masalah keluarga satu persatu. Adik beradik kita pula ramai. Kita rasa amat terhimpit dan mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian. Inilah yang selalu berlaku terhadap ribuan pelajar yang datang daripada keluarga B40. Saya selalu berfikir supaya kerajaan melebihkan bayaran PTPTN untuk golongan ini sahaja. Saya amat memahami situasi sebegini kerana saya pernah mengalaminya.

Saya doakan agar semua pelajar yang datang daripada keluarga B40 yang sedang berjuang di kolej dan universiti untuk mendapatkan sijil, diploma, ijazah, ijazah sarjana dan Doktor Falsafah akan berjaya dalam pengajian mereka. Jika boleh, jangan berhenti. Kemiskinan itu memang memeritkan tetapi kemiskinan itu jugalah yang menjadi pembangkit semangat untuk kita terus berjuang hingga mampu mengapai kejayaan. Nikmatnya berjaya bagi golongan seperti kita tidak ternilai harganya dengan intan permata kerana perjuangan kita diperoleh setelah puas berendam air mata dan kemiskinan yang seolah-olah tidak mahu melepaskan kita. Kemiskinan ini menyebabkan kita tersisih tetapi jangan patah hati untuk terus berjuang kerana  sinar pasti ada di penghujung perjalanan orang yang selalu cekal dan sabar.

17 Mei 2023

Anugerah Paling Indah Dalam Hidup Saya ialah Kejayaan Pelajar Saya, Sejarah paling Manis Apabila Melihat Mereka Berdikari dan Menjadi Warganegara Yang Berguna

 


Tahun ini merupakan tahun ke-26 saya meraikan Hari Guru. Walau bagaimanapun jika dikira dari tarikh saya menjadi Guru Sandaran (semasa menunggu keputusan STPM) tahun ini merupakan tahun ke-30 saya meraikan hari guru. Saya mulakan hari ini dengan membacakan al-fatihah untuk diri sebagai tanda kesyukuran. Nikmat dan bahagia menjadi guru tidak dapat ceritakan satu persatu. Guru merupakan cita-cita saya sejak mula mengenali erti kejayaan. Saya tidak mengimpikan kerjaya lain walaupun saya tahu kehebatan sesuatu kerjaya kerana saya sedar, anak orang miskin apatah lagi berasal dari kawasan pedalaman susah untuk pergi jauh. Kekangan utama bukan keinginan dan keupayaan tetapi masalah kewangan.

Alhamdulillah, setelah menjadi guru saya berjaya meningkatkan prestasi diri dalam bidang akademik. Segala perbelanjaan untuk menampung kos pengajian saya menggunakan gaji yang diperoleh daripada berkhidmat sebagai guru. Saya tidak pernah mendabik dada tetapi saya amat bersyukur kerana penempatan pertama saya di salah sebuah sekolah primer terkenal, iaitu SMK Sacred Heart telah memberikan banyak peluang dan ruang untuk saya berkembang dalam bidang perguruan. Sepanjang tempoh 19 tahun 5 bulan berkhidmat di SMK Sacred Heart saya pernah mengajar Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan Enam. Saya memegang pelbagai jawatan atas kepercayaan pihak pentadbir daripada Guru Akademik Biasa hingga menjadi Guru Kanan Mata Pelajaran.

Saya menjawat jawatan Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan dilantik menjadi Guru Akademik Tingkatan Enam hingga menjadi Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM Sarawak dan Malaysia. Saya terlibat dengan pelbagai tugas-tugas penting berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Enam di peringkat daerah, negeri, dan kebangsaan. Saya tidak pernah bermimpi dapat duduk semeja bertukar-tukar pendapat dan pandangan dengan guru-guru dan pensyarah-pensyarah hebat di Malaysia. Semua ini berlaku dalam hidup saya bagai mimpi tetapi inilah realiti yang betul-betul saya alami. Benarlah kata orang, jika kita ikhlas mendidik Allah pasti balas dengan nikmat hidup dalam pelbagai bentuk. Saya tidak pernah lupa bersyukur kepada-Mu, ya Allah.

Pada bulan Mei 2016, saya dengan berat hati berpindah dari SMK Sacred Heart ke SMK Sibu Jaya yakni sekolah yang mempunyai populasi murid terbesar di daerah Sibu. Jumlah murid di SMK Sibu Jaya mencecah 3000 orang. Saya datang ke SMK Sibu Jaya bukan sebagai guru biasa tetapi menjawat jawatan Penolong Kanan Kokurikulum. Tugas ini merupakan satu lagi tugas yang saya tidak pernah saya duga. Yang mengenali saya memang tahu bahawa saya mempunyai kepakaran dalam mengajar. Jika terlibat dalam kokurikulum, saya hanya jurulatih untuk pertandingan pidato, bahas dan berbalas pantun. Pengalaman di SMK Sacred Heart saya gunakan sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik. Pada awalnya, saya takut dengan jawatan PKKK ini, saya takut saya akan gagal. Walau bagaimanapun, saya cekalkan hati dan bulatkan azam untuk menerima amanah ini dengan tangan terbuka.

Alhamdulillah, saya dikelilingi oleh ramai guru yang hebat dan komited di SMK Sibu Jaya. Mereka membantu saya dalam banyak perkara, begitu juga dengan Pengetua pada masa itu Encik Yusri Azhar bin Takip. Beliau memang tahu saya bukan guru yang mahir dalam kokurikulum tetapi beliau selalu membimbing dan memberikan dorongan. Sepanjang 4 tahun di SMK Sibu Jaya, banyak jugalah kejayaan dalam bidang kokurikulum sekolah peroleh. SMK Sibu Jaya merangkul Naib Johan Sekolah Cemerlang Kokurikulum Peringkat Kebangsaan (Kategori Luar Bandar) pada tahun 2017 dan 2018.

Pada tahun ke-3 di SMK Sibu Jaya, saya sudah mulai minat menjadi Penolong Kanan Kokurikulum kerana tertarik dengan sokongan ramai guru. Siapa sangka siapa menduga, semasa orang sibuk berkurung dek bahana Covid-19, saya menerima surat untuk berpindah ke SMK Durin pada Mei 2020. Ketika itu, saya sedang mengikuti Kursus NPQEL dan berhempas pulas menyiapkan tesis PHD. Perjalanan hidup saya agak mencabar sewaktu mula-mula sampai ke SMK Durin kerana Pengetua, Encik Law Tua Beng dilantik menjadi SiPartner di Pejabat Pendidikan Sibu. Saya pula dilantik memangku jawatan Pengetua. Cabarannya hanya Tuhan yang tahu. Setiap hari saya kena susun jadual sebagai peserta kursus NPQEL, pelajar PHD dan pemangku Pengetua. Ada kalanya, saya tertidur keletihan apabila balik ke rumah. Pengalaman ini semua amat berharga buat saya. Saya tulis di diari perjalanan hidup kerana bukan semua guru akan melalui jalan seperti yang saya lalui.

Hari ini, 16 Mei 2023, saya masih di SMK Durin. Saya bahagia kerana guru-guru yang bekerja dengan saya amat hebat dan komited. Saya juga mempunyai pentadbir yang amanah, rajin, dan berwawasan. Kami sentiasa seia sekata sehati sejiwa mendidik dan mengasuh anak murid seramai 577 orang. Saya mohon agar saya terus diberikan kesihatan dan kesejahteraan agar dapat terus berbakti hingga hari bersara. Saya suka menjadi guru. Walaupun bukan jutawan di dunia tetapi saya yakin saham akhirat yang saya kumpul cukup sebagai bekalan apabila sampai waktunya. Saya bukanlah guru hebat. Saya tidak pernah ada anugerah. Akan tetapi, dengan rezeki yang diperoleh saya tidak pernah lupa untuk terus belajar dan belajar agar dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada nusa dan bangsa.Saya tidak impikan anugerah kerana anugerah terindah yang saya dapat ialah kejayaan anak-anak didik saya. Sejarah yang paling hebat ialah apabila saya berjaya mendidik hingga mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri dan menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangsa.

16 April 2023

Pelajar Aktif Sukan dan Kokurikulum hingga Pelajaran Terabai, Adakah masa depan untuk mereka?

 


Saya telah lama memerhatikan perkara ini. Bagi pelajar yang cemerlang dalam Kurikulum, kokurikulum dan Sukan, masa hadapan mereka sememangnya cerah asalkan mereka tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan diri di kolej atau universiti. Oleh itu, saya masih ingat apabila melatih pelajar dalam Pertandingan Pidato Piala Diraja saya selalu nasihatkan pelajar yang saya latih itu supaya tidak mengabaikan akademik. Alhamdulillah, pelajar saya kebanyakannya berjaya. Salah seorang pelajar yang saya ingat bernama Chia Wei Lung yang beberapa kali memenangi Pertandingan Pidato Piala Diraja, keputusan SPM dia cemerlang dan melanjutkan pelajaran ke Institut Perguruan, kini menjadi seorang pendidik. 

Yang saya selalu berasa kasihan ialah pelajar yang mewakili sekolah dalam sukan sehingga ke peringkat kebangsaan tetapi akademik mereka ini teruk. Apabila gagal dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka pun menerima nasib yang sama dengan pelajar yang tidak aktif. Kita seolah-olah tidak menyediakan saluran khas untuk golongan ini. Sekolah pula seolah-olah tidak menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Saya tahu dan faham, kelemahan dalam bidang akademik merupakan kekangan utama untuk membantu mereka tetapi mereka telah menghabiskan banyak masa untuk mengikuti latihan sehingga masa untuk membetulkan kelemahan itu tertutup. 

Bilangan pelajar yang cemerlang dalam kokurikulum dan sukan tetapi lemah dalam akademik ini tidaklah ramai. Walau bagaimanapun, saya yakin kumpulan ini ada di semua sekolah di Malaysia. Oleh itu, suatu alternatif wajar difikirkan bagi membantu golongan ini. Hakikatnya, kecemerlangan dalam sukan dan kokurikulum memang membantu seseorang untuk cemerlang dalam akdemik tetapi bagi pelajar yang memang sukar menerima pelajaran, mereka mungkin perlukan masa yang lebih untuk belajar. Barangkali mereka boleh diminta belajar setahun lagi di Tingkatan 5 bagi membolehkan mereka belajar semula dan menduduki peperiksaan SPM semula. Cara ini mungkin boleh membantu sekurang-kurangnya 40 hingga 60% dalam kalangan mereka yang terlibat. Nasihat saya kepada pelajar yang aktif dalam sukan, permainan, dan aktiviti kokurikulum yang lain di sekolah, jangan abaikan akademik. Anda sebenarnya pelajar yang bertuah kerana Allah kurniakan bakat yang tiada pada pelajar-pelajar yang lain. Pepatah Melayu menyatakan, belakang parang kalau diasah nescaya akan tajam, selemah-lemahnya anda dalam pelajaran jika anda rajin saya yakin kejayaan pasti digenggaman. 


09 April 2023

KISAH SEORANG IBU FITNAH GURU DI MEDIA SOSIAL, APAKAH TUJUANNYA MEMFITNAH GURU YANG MENDIDIK ANAKNYA SENDIRI?



Kisah seorang ibu memfitnah seorang guru di media sosial sehingga memaksa guru tersebut melaporkan perkara yang dituduh oleh Si Ibu kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKM). Saya teringat suatu ketika kisah seumpama ini berlaku di sekolah tempat saya mengajar. Bilangan pelajar sekolah saya agak ramai, iaitu melebihi 2500 orang. Apabila balik dari sekolah pelajar lelaki kebiasannya akan mengusik kawan, tumbuk menumbuk dan kejar mengejar di luar pintu pagar sekolah dalam perjalanan balik ke rumah. Perjalanan balik ke rumah akan melewati kawasan perumahan yang berdekatan dengan kawasan sekolah saya. Pada hari Jumaat, sesi persekolahan tamat pada pukul 11.30 pagi. Situasi akan menjadi kelam kabut apabila pelajar sesi pagi masuk dan pelajar sesi petang keluar. Karenah pelajar memang memeningkan kepala kerana teruja hendak menikmati hujung minggu. Alkisah, seorang ibu sempat merakamkan sekumpulan pelajar lelaki yang sedang bergurau senda seolah-olah berlaku suatu pergaduhan. Video itu disebarkan olehnya di Facebook dengan tajuk yang berbunyi, "Samseng SMK XYZ sedang bergaduh". Petangnya, kami terkejut apabila dimaklumkan oleh rakan-rakan dan orang awam tentang kes itu. Apabila disiasat, puncanya dari seorang ibu yang kemaruk berkongsi cerita di media sosial tanpa memikirkan akibatnya. Bayangkan, berita itu keluar di saluran TV1. Ya Allah, saya dan barisan pentadbir, guru disiplin dan beberapa orang guru terpaksa bersekang mata menyelesaikan kes tersebut. 

Ibu yang menyebarkan kes itu memang dikenakan tindakan oleh pihak polis walaupun dia menafikan tiada niat buruk berkongsi berita sebegitu. Perkara ini mengajar kita supaya berhati-hati apabila mengambil video atau gambar tentang orang lain dan menyebarkannya di media sosial tanpa kita mengetahui hujung pangkal cerita sebenar. Perkara tersebut bukan sahaja mendatangkan kesusahan kepada kita sendiri malah orang yang tidak terlibat pun terpaksa berkorban masa berharga untuk menyelesaikan masalah kita. Pada pandangan saya, segelintir suri rumah yang kemaruk berkongsi berita di media sosial seperti WhatsApp, TikTok dan Facebook ini mungkin memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada suami dan ahli keluarga yang lain. Apabila bersendirian di rumah, tangan tidak berhenti-henti daripada memberikan komen, membalas chat dan membaca berita-berita tentang ragam manusia di media sosial, lama kelamaan mereka semakin berani untuk memberikan pendapat atau berkongsi berita yang akhirnya memakan diri sendiri. Barangkali inilah situasi yang dialami oleh si ibu yang berkongsi cerita paksu kononnya si guru makan di dalam kelas semasa bulan Ramadan. Bagaimanakah si ibu boleh berfikir sampai ke tahap itu untuk memburuk-burukkan guru yang mendidik dan mengasuh anaknya sendiri?

Perasaan hormat terhadap orang lain semakin terhakis dari jiwa umat manusia pada zaman globalisasi ini. Semua orang berlumba-lumba untuk menunjukkan bahawa dirinya yang terbaik dalam kalangan penduduk bumi ini. Mereka akan jadi bongkak dan riak apabila sesuatu yang dikongsikan di media sosial mendapat ribuan tanda suka dan komen yang memuji atau menyokong tindakannya. Golongan ini tidak segan-segan mengadakan sesi siaran langsung untuk mengumpul pengikut agar mereka dikenali oleh sebahagian besar penduduk bumi. Walau bagaimanapun, amatlah tidak wajar andai kita sengaja mereka-reka cerita untuk menghasut orang lain supaya membenci orang yang kita tidak suka. Golongan guru mempunyai risiko untuk difitnah memandangkan mereka amat dekat dengan ibu bapa dan pelajar. Saya amat rimas apabila ada ibu bapa dipanggil ke sekolah untuk membincangkan hal akademik dan disiplin anak sanggup merakamkan perbualan atau membuat video dalam sesi itu. Saya akan tamatkan perbincangan itu kalau saya tahu. Hal ini dikatakan demikian kerana hal-hal pendidikan ini kurang manis dikongsikan di media sosial. Jika ada guru yang berkongsi video mengenai perlakuan anak saya tanpa kebenaran saya akan ambil tindakan terhadap guru tersebut. Begitu juga dengan ibu bapa yang melakukan perkara yang sama. 

Tugas guru mendidik pada zaman ini tidak mudah dengan sikap segelintir manusia yang memandai-mandai menunjukkan yang betul dan yang salah. Seharusnya, kita sebagai ibu bapa haruslah berterima kasih dan memberikan sokongan terhadap guru. Walaupun kita berpangkat, berharta, dan jutawan tunjukkanlah rasa syukur kerana ada guru yang membantu mendidik dan mengasuh anak kita hingga menjadi insan yang berguna suatu hari nanti. Perbuatan sengaja memfitnah dan menceritakan tentang baik buruk seseorang guru hendaklah dihentikan. Jika betul guru itu melakukan kesilapan atau kesalahan, kita sebagai ibu bapa harus menggunakan saluran yang betul. Baik guru atau ibu bapa perlulah matang dan rasional jika mahu berkongsi sesuatu berita atau video di media sosial. Tindakan melulu tanpa berfikir panjang boleh mendatangkan masalah yang menuntut masa dan komitmen untuk menyelesaikannya. Saya terlalu takut melihat perkongsian tentang ragam dan karenah murid tahun 1 di media sosial walaupun perkongsian itu dengan izin atau dikongsikan oleh ibu bapa murid itu sendiri. Walau bagaimanapun, siapalah orang seperti saya untuk melarang orang daripada melakukan semua itu? Oleh itu, jauh di sudut hati saya mendoakan agar mereka dihindari daripada masalah akibat daripada perkongsian sebegitu. Ingatlah, hari ini kita mungkin bangga dan suka kerana dikagumi oleh jutaan orang yang membaca dan menonton perkongsian kita, jangan pula esok kita menyesalinya kerana sesal selalu datang kemudian. 

08 April 2023

SEJARAH TERCIPTA MINGGU PERTAMA SESI PERSEKOLAHAN YANG MENYENANGKAN



Pemimpin harus berani membawa perubahan ke arah kebaikan. Itulah gambaran yang saya lihat apabila satu demi satu pembaharuan dalam bidang pendidikan disabdakan oleh Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek sejak beliau menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia pada 3 Disember 2022. Alhamdulillah, akhirnya Malaysia mempunyai seorang menteri yang mampu berfikir ke hadapan terutama dalam hal mengurangkan tekanan dan beban guru. Pada ketika ini, segala tindakan beliau untuk memadanikan warga pendidik dan pelajar di segenap empat penjuru negara amatlah baik. Awalnya, semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan saya melayari Internet untuk mengenali beliau dengan lebih terperinci.

Saya selalu tertarik dengan penggunaan bahasa Melayu beliau yang sungguh hebat. Saya sering berkongsi semua kosa kata yang digunapakai dalam ucapan dan temu bual yang melibatkan beliau. Kemahiran berbahasa Menteri Pendidikan pada kali ini memang antara yang terbaik, apabila beliau berucap dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu, sedap didengar dan mudah difahami. Beliau mampu mengeluarkan pendapat secara spontan dengan mengeluarkan idea yang tersusun. Apabila beliau mengumumkan tujuh perkara yang akan dilaksanakan dalam sesi persekolahan 2023/2024 baru-baru ini saya menarik nafas lega. Inilah Menteri Pendidikan Malaysia yang betul-betul amanah, ikhlas, jujur dan berkarisma dalam menunaikan tanggungjawab kepada nusa dan bangsa. 

Bertahun-tahun warga guru bertungkus lumus bersedia pada hari pertama persekolahan kerana sekumpulan pegawai akan datang ke sekolah untuk  melihat PdP berlangsung. Oleh sebab itu, masa cuti guru jadi singkat kerana dipanggil datang ke sekolah untuk membuat persediaan. Minggu pertama persekolahan memang sepatutnya minggu bersedia untuk belajar ibarat kita bersenam, aktiviti memanaskan badan harus dilakukan terlebih dahulu. Kalau tidak, muka guru sentiasa moyok dan keletihan kerana terus mengajar, kalau tidak mengajar mereka terpaksa berhadapan dengan teguran. Minggu ini sesi persekolahan amat berbeza, sesi suai kenal antara warga sekolah dan ibu bapa begitu menceriakan suasana. Keadaannya amat manis dan indah. 

Guru-guru pula kelihatan amat bersemangat menyediakan diri untuk memulakan sesi PdP pada minggu hadapan. Pelbagai aktiviti diadakan seperti aerobik beramai-ramai, surat khas untuk guru, Tak Kenal Maka Tak Cinta, Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing (Istilah Aktiviti Gotong-royong) dan lain-lain. Suasana menjadi lebih kondusif dan damai. Saya saksikan pelajar dan guru bersatu dan berpadu menceriakan kelas masing-masing seindah yang mereka mampu dan mahu. Kreativiti mereka terserlah. Yang paling utama, ikatan kasih antara mereka terjalin sudah. Jadi, sesi persekolahan pada minggu hadapan akan menjadi lebih bermakna. 

Semua Menteri Pendidikan sejak dahulu selalu berjanji meringankan beban guru tetapi yang berlaku sebaliknya. Beban guru kian bertambah, resah dan tekanan guru semakin meningkat. Mereka bukan tidak hebat tetapi mereka mungkin tidak menghayati dengan lebih mendalam. Biarpun terlalu awal untuk memuji Puan Fadhlina Sidek namun saya percaya sedikit sebanyak warga guru mulai mengagumi beliau seperti saya. Warga guru memerlukan menteri yang benar-benar boleh membawa pembaharuan dalam dunia pendidikan negara kerana maju mundur negara pada masa hadapan bergantung kepada generasi yang kita bentuk akal dan mindanya di semua sekolah pada hari ini. Guru seperti saya bukan pembuat dasar, kami merupakan yang sedia berkhidmat walaupun kami tahu dasar itu akan secara tidak langsung menaikkan bacaan darah tinggi kami. Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk puan dan pasukan di Kementerian Pendidikan. Insya-Allah, dalam tempoh lima tahun akan nampaklah hasilnya. 

07 April 2023

SAYA TIDAK PERNAH MENYESAL DAN SENTIASA BANGGA MENJADI GURU



Reaksi saya sebagai seorang guru apabila membaca laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyatakan seramai 222 orang daripada 3,227 guru "One-off" yang diberikan penempatan ke Sarawak tidak melapor diri. Ini bermakna mereka telah menutup peluang 222 orang calon lain yang memohon dan rela ditempatkan di mana-mana tetapi permohonan mereka gagal. Pada pandangan saya, sebagai anak pedalaman yang diajar oleh ramai guru dari Semenanjung semasa di sekolah menengah suatu ketika dahulu, saya masih percaya bukan semua anak muda dari Semenanjung tidak mahu ditempatkan di Sarawak. Saya sendiri merupakan anak Sarawak yang diajar dan diberikan ilmu oleh guru-guru dari Semenanjung yang majoritinya dari Kelantan dan Terengganu. Mereka mengajar sehingga lebih 10 tahun di Kapit, tempat yang jauh tersisih dari pembangunan era 1980-an dan 1990-an. 

Guru-guru kami sangat komited walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman. Pada masa itu, bandar Kapit hanya dapat dihubungi dengan jalan air. Mereka mampu hidup dan berkhidmat dengan cemerlang di kawasan yang hampir 90% pelajar-pelajarnya miskin seperti saya. Saya amat terhutang budi dengan guru dari Semenanjung (Kelantan) yang melatih saya menjadi Pemidato yang selalu menang Pertandingan Pidato Kenegaraan ketika dahulu. Saya amat bangga dengan guru-guru yang pernah mengajar saya sehingga saya menjadi seperti saya pada hari ini. Ini bermakna adalah tidak semua anak-anak muda dari Semenanjung yang tidak mahu ditempatkan di Sarawak. Ramai yang berminat tetapi mungkin nama mereka tidak terpilih, yang terpilih dan menolak itu pula telah menutup peluang mereka! 

Apabila membaca komen warga Sarawak terhadap berita ini saya melihat isu ini dari sudut yang lebih rasional. Seorang menteri dari Sarawak pula mengeluarkan kenyataan bahawa anak Sarawak yang berkelayakan menjadi guru belum mencukupi. Reaksi orang awam (natizen) yang marah saya amat memahami. Menteri itu mengeluarkan pendapat sedemikian mesti setelah beliau melihat data. Ya, memang betul ramai anak tempatan sudah berkelulusan Sarjana Muda tetapi bidang pengkhususan mereka mungkin tidak sesuai untuk dilantik menjadi guru yang mengajar Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia, Fizik, Sains Komputer, Perniagaan, English, dan Sains. Semua subjek ini susah untuk diajar kalau kita tidak menguasai. Guru yang seperti saya pun menolak kalau diminta mengajar subjek Matematik Tambahan. Saya tidak mampu, saya hanya boleh mengajar subjek bidang kebitaraan saya iaitu Bahasa Melayu. Inilah perkara yang dimaksudkan oleh Menteri itu. Salibus KSSR dan KSSM sekarang pun bukannya mudah untuk dikuasai oleh guru-guru. 

Saya sedikit rakat dengan isu ini kerana ketidakcukupan guru mengajar di Sarawak sering dibicarakan. Saya selalu berdoa agar isu ini selesai kerana masalah ini akan  mendatangkan kerugian besar kepada anak-anak Sarawak. Saya mahu menasihati  mereka yang memohon jawatan guru, andai hati tidak kuat untuk menempuh cabaran dunia perguruan jangan memohon, biarlah mereka yang betul-betul berminat sahaja memohon supaya peluang mereka cerah untuk ditempatkan di Sarawak. Andai hati berbelah bahagi, takut ditempatkan di kawasan pedalaman. Takut meninggalkan Pavillon atau Suria KLCC. Takut untuk jauh dari Genting dan Cameron Hinglands atau makan ikan siakap kayangan di Pulau Langkawi, hentikanlah niat untuk menjadi guru. Guru ini tidak dijanjikan bulan dan bintang. Jika ditempatkan di bandar pun, cabaran tetap ada iaitu pelajar yang kita ajar! 

Anak-anak di Semenanjung pula belajarlah mengenali Sarawak di era ke-21, jangan mendengar pendapat mereka yang hidup di Sarawak zaman 60-an dahulu. Sarawak kini bukan Sarawak yang dahulu. Jangan terlalu beranggapan negatif apabila ditempatkan di Sarawak. Saya teringat peristiwa kawan saya dari Kelantan bertanyakan sebuah sekolah tempat anak beliau ditempatkan bulan Januari lepas. Dia tidak risau anak dia mengajar di Sarawak walaupun sekolah itu jauh di Dalat. Dia tanya buaya, saya jawab buaya memang ada di dalam air, biarlah dia hidup di situ. Anak awak mengajar di darat bukan di laut. Alhamdulillah, bulan ini masuk bulan ke-4 anak dia di Sarawak!


06 April 2023

SAYA PERNAH MENGAJAR 16 JAM SETIAP HARI 7 HARI SEMINGGU TANPA HENTI TANPA MENGABAIKAN TUGAS HAKIKI

 


Orang hanya melihat saya pada hari ini tetapi tidak banyak orang tahu sakit yang dirasa ketika baru hendak memulakan hidup. Yang manis dan indah dipandang memerlukan pengorbanan dan tenaga yang bukan sedikit. Ketika kita menangis keletihan di malam yang sepi dan ketika kita merintih kesakitan di pagi yang dingin, hanya Tuhan yang melihat bertapa kuat dan teguhnya hati. Saya tidak mahu bercerita tentang perjuangan diri dalam hidup ini waima dengan keluarga sendiri kerana saya tidak mahu orang memahami dan masuk ke dunia saya. Sewaktu mula bekerja saya mengimpikan untuk memiliki rumah, kereta, dan harta sendiri yang dibeli dengan usaha sendiri. Walau bagaimanapun, impian itu mungkin tidak akan tercapai jika saya hanya menjadi seorang guru. Alhamdulillah saya diberikan jalan mencari pendapatan tambahan dengan menjadi Guru Tuisyen.

Penglibatan saya sebagai guru tuisyen bermula apabila seorang rakan sekerja yang selalu memuji kerajinan saya mengajar. Guru perempuan ini selalu bercerita pelajar-pelajar selalu memuji saya pandai mengajar Bahasa Melayu. Oleh itu, beliau telah kempen dengan rakan-rakan untuk menghantar anak tuisyen di rumah saya di luar waktu persekolahan. Pada mulanya, saiz kelas tuisyen saya kecil iaitu hanya 15 orang pelajar. Akan tetapi, dalam tempoh tidak sampai setahun, nama saya sebagai guru tuisyen mulai dikenali, jumlah pelajar meningkat hingga melebihi 100 orang. Pendapatan bulanan saya bertambah. (Jumlah biarlah saya rahsiakan). Saya mulai menerima tawaran beberapa Pusat Tuisyen yang minta saya mengajar di Pusat Tuisyen mereka. Bayangkan saya mengajar di tiga buah Pusat Tuisyen Centre. Jadual saya penuh.

Selama 7 tahun saya mengabdikan hidup dengan mengajar Tuisyen. Saya tidak balik ke rumah selepas habis waktu persekolahan pada pukul 1:30 petang. Saya terus ke Pusat Tuisyen kerana kelas bermula pada pukul 2:00 petang hingga 5:30 petang. Kelas Tuisyen di rumah saya pula bermula dari pukul 7:00 malam hingga 9:30 malam. Waktu untuk makan dan rehat amat terhad. Ya, pendapatan bulanan saya agak banyak. Wang yang diperoleh saya simpan. Saya tidak ada masa melancong kerana waktu cuti sekolah pun saya mengajar tuisyen. Saya tidak pernah balik ke kampung halaman kerana sibuk bekerja sebagai guru. Walaupun saya sibuk mengajar tuisyen, tugas di sekolah tidak pernah saya abaikan. Saya buat kerja di sekolah dengan cemerlang hingga saya menjadi Guru Cemerlang Bahasa Melayu. (Maaf ya, saya bukan riak) Saya sekadar berkongsi.

Pada suatu hari, pagi Jumaat, saya tidak dapat angkat, pinggang saya amat sakit, seluruh badan saya terasa lemah tidak bermaya. Saya tidak pernah minta cuti. Pagi itu, saya hantar mesej kepada Tuan Pengetua untuk memberitahu bahawa saya sakit. Beliau memberikan kebenaran dan menasihati saya supaya pergi ke hospital. Saya minta pertolongan kawan untuk membawa saya ke hospital. Kebetulan pula, doktor yang merawat saya mengenali saya kerana anak beliau pun tuisyen di rumah saya. Selepas menjalani rawatan, saya dinasihatkan supaya berehat, banyakan tidur. Doktor memberitahu saya mungkin terlalu banyak bekerja dan kurang  berehat. Sejak itu, saya cuba mengurangkan waktu mengajar tuisyen di luar waktu persekolahan. Saya sedar duit tidak mampu membeli kesihatan tetapi untuk merealisasikan beberapa impian saya perlukan duit kerana saya tiada dahan tempat berpaut dan pohon tempat berteduh, saya berasal dari keluarga B50 (lebih daif daripada B40 - diluar carta)

Yang menjadi masalah, ibu bapa yang sudah mengenali saya tetap mencari saya juga. Mereka hendak saya juga yang mengajar anak cucu mereka. Saya pula jenis yang tidak sampai hati menolak kerana kebanyakan mereka belajar Bahasa Melayu dengan saya dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5. Tahun 2016, apabila saya dinaikkan pangkat menjadi Penolong Kanan Kokurikulum, saya berpindah jauh dari bandar Sibu. Lokasi rumah saya jauh di Lapangan Terbang Sibu. Rezeki mengajar tuisyen beransur-ansur saya tinggalkan kerana tugas sebagai pentadbir agak berat. Ibu bapa pun faham akan keadaan saya. Saya tidak pernah lupa kepada semua yang memberikan saya rezeki untuk mengubah hidup ini suatu ketika dahulu. Terima kasih Tuhan yang telah membuka jalan. Ya, saya letih tetapi impian yang perlu dicapai amat  banyak hingga saya lupa untuk menjaga diri dan menggunakan waktu bersosial dengan orang lain. Saya hidup dalam dunia saya sendiri bertahun-tahun.

KETIKA MARAH PELAJAR ELAKKAN DIRI DARIPADA MENYEBUT PERKATAAN YANG KURANG ELOK

 


Hubungan guru dan pelajar ini ada pasang dan surutnya. Saya tidak ada pengalaman mengajar di sekolah rendah tetapi kalau kita mengajar di sekolah menengah, pelajar yang sudah menginjak usia remaja, perangai mereka memang memeningkan kepala. Perangai pelajar inilah yang selalu membuatkan cikgu marah apabila sabar semakin menipis dari hari ke hari. Ketika marah, ada ketikanya guru gagal mengawal diri hingga mengujarkan kata-kata yang boleh menyinggung hati pelajar atau kata-kata yang diucapkan itu langsung tidak ada kaitan atau tiada makna untuk menginsafkan pelajar.

1.      Awak tak nak belajar, saya tak rugi, gaji saya masuk setiap bulan

"Awak nak belajar ke, awak tak nak belajar ke, gaji saya tetap masuk juga setiap bulan, awak semua ini masa depan belum tahu lagi. Saya mengajar awak bercakap. Ibu bapa awak tidak ajar awak cara hormat orang ke?

Ramai guru selalu mengucapkan kata-kata ini di dalam kelas apabila pelajar tidak memberikan tumpuan. Pada pendapat saya, dua frasa yang cuba dielakkan daripada disebut ialah frasa "gaji saya tetap masuk juga setiap bulan" dan frasa "ibu bapa awak tidak ajar awak cara hormat orang ke?". Walau bagaimanapun, dalam masyarakat kita ungkapan "ibu  bapa awak tak ajar ke?" sudah menjadi kebiasaan. Frasa ini tidak elok disebut sebenarnya. Saya tahu semua ibu bapa memang mendidik anak tentang adab dan budi bahasa dengan orang lain lebih-lebih lagi guru tetapi kenakalan anak ada kalanya di luar kawalan terutama apabila berjauhan dengan ibu bapa.

2.    Kata-kata yang merujuk kepada bangsa, agama, keturunan, dan darjat

Yang ini saya hanya nyatakan sahaja, iaitu kata-kata yang berkaitan dengan bangsa, keturunan, agama, taraf hidup dan wilayah (tempat tinggal). Apabila marah kita jangan sesekali mengaitkan kenakalan atau kebiadapan pelajar dengan asal usul mereka. Mereka akan ingat kata-kata kita sampai bila-bila. Zaman kini zaman media sosial, silap-silap mereka akan siarkan reaksi mereka di media sosial dan kita akan menjadi sasaran natizen hingga menjatuhkan martabat bidang perguruan. Kalau boleh apabila terlalu geram dan sakit hati, tarik nafas dan lepaskan perlahan-lahan, jangan terus marah pada masa itu. Walau bagaimanapun, saya faham guru juga manusia, ada kalanya pelajar yang belum matang ini sengaja menyebut kata-kata yang berbentuk penghinaan kerana mereka dengar dan belajar daripada masyarakat melalui pergaulan seharian.

3.    Bodoh, bebal, bengap

Bodoh, bebal, bengap, dan seumpamanya tidak seharusnya diucapkan tetapi kalau terucap jangan ego untuk memohon maaf dan mengakui kesalahan diri. Kata-kata sebegini boleh meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa pelajar terutama jika ditujukan kepada individu. Kita harus tahu pelajar datang ke sekolah untuk belajar kerana mereka asalnya tidak tahu membaca, menulis, mengira, memahami, dan tidak mengenali lagi potensi dan bakat diri. Memang tugas guru untuk menjadikan mereka tahu. Namun begitu, tahap pelajar ini berbeza-beza. Yang bijak memang mudah diajar tetapi yang lemah kita ajar sampai sebulan pun dia belum menguasai. Dia tidak minta supaya dirinya lemah tetapi kejadian dirinya memang begitu. Jika cikgu berjaya mendidik pelajar begini hingga cerdik dan pintar, percayalah cikgu akan berasa puas dia pasti amat menghargai.

Guru yang ikhlas mendidik dengan sabar, tabah, dedikasi, dan amanah pasti akan jumpa jalan keluar apabila berhadapan dengan semua masalah bersama pelajar. Allah Yang Maha Esa pasti akan membalas segala kebaikan dan pengorbanan guru baik dalam bentuk tersurat mahupun tersirat. Nikmat hidup yang Allah bagi kepada cikgu mungkin dalam bentuk anak-anak cikgu yang cemerlang, kesihatan cikgu yang berkekalan, rumah tangga yang bahagia, kemajuan dalam kerjaya dan rezeki yang tidak putus-putus. Penghujung perjalanan hidup cikgu Allah sudah janjikan syurga. Insya-Allah. Saya akui semakin lama tugas mendidik ini semakin mencabar kerana nilai hormat ibu bapa dan pelajar terhadap guru sudah menipis tetapi yang seperti ini tidak ramai, jumlahnya mungkin 5 daripada 50 orang ibu bapa. Ramai lagi ibu bapa yang masih hormat dan mendoakan guru.

CIKGU ZUL, BOLEH BELANJA KAMI KFC? BOLEH LE CIKGU, KAMI NAK MAKAN KFC

 


"Cikgu belanja"

"Cikgu bagi berapa kalau saya menang"

"Cikgu belanja kami makan KFC sebab dah Juara"

"Cikgu, saya dapat tawaran di UPSI tetapi ibu bapa saya suntuk belanja buat masa ini, ayah saya sakit tidak boleh berjalan. Emak tidak kerja. Saya nak tolak tawaran, sayang cikgu"

Sepanjang tempoh 26 tahun menjadi guru, walaupun saya tidak pernah menghitung tetapi saya juga seperti guru-guru lain yang tidak lokek berkongsi rezeki dengan pelajar. Semasa mengajar di sebuah sekolah dahulu, saya menjadi Ketua Bidang Bahasa. Ketua Bidang Bahasa secara automatik menjadi Ketua Rumah Sukan. Saya menjadi Ketua Rumah Sukan Fridolin. Sepanjang tempoh latihan hingga menjelang hari sukan tahunan sebenar wang habis untuk belanja pelajar memang melebihi RM500.00. Pelajar selalu minta belikan makanan dan air. Yang wakil rumah pula minta ganjaran wang kalau dapat emas. Saya tidak pernah berkira kalau dengan pelajar sejak dahulu. Kalau wakil rumah sukan tidak sempat sarapan, saya guna duit sendiri beli makanan, supaya mereka berjuang habis-habisan. Segelintir pelajar ini bukannya tiada duit tetapi suka minta cikgu belanja sekadar untuk bermanja.

Tahun 2016, apabila saya menjadi Penolong Kanan Kokurikulum lagi banyaklah fulus saya mengalir untuk disumbangkan kepada guru dan pelajar yang mewakili sekolah. Saya tidak sampai hati kalau melihat pelajar bertanding tanpa t'shirt baharu terutama dalam kejohanan olahraga antara sekolah. Saya belikan pelajar dan guru tshirt menggunakan duit sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan sekolah yang tidak mencukupi. Sekolah ini pula sekolah ramai murid dan amat aktif dalam kokurikulum. Peruntukan kerajaan ada kalanya tidak mencukupi bagi menampung keperluan. Kalau pelajar memenangi sesuatu pertandingan mereka minta dibelanja makan KFC, sebagai Ketua saya tunaikan kerana saya tahu bukan mudah mereka berjuang menaikkan nama sekolah. Alhamdulillah, semakin banyak saya berkongsi rezeki semakin murah dan mudah pula rezeki masuk. Saya tidak pernah mengungkit duit yang saya bagi dengan guru dan pelajar secara rela. Saya amat menghargai pengorbanan dan jasa mereka membantu saya hingga ke hari ini.

Saya memang mudah tersentuh hati apabila melihat pelajar tidak makan sewaktu pelajar lain sedang enak menikmati makanan. Saya selalu hulurkan duit untuk mereka. Saya rasa amat bahagia apabila mereka mengucapkan terima kasih dan berlari ke kantin untuk membeli makanan. Kalau saya di kantin dan nampak sekumpulan pelajar datang untuk membeli makanan saya selalu bayarkan untuk mereka. Saya bukan kaya tetapi saya bayangkan kesusahan saya pada masa lalu. Saya selalu nampak diri saya di masa lampau pada setiap wajah ceria mereka yang selalu senyum dan memberikan salam. Sekiranya saya jutawan, bukan setakat makanan, pakaian dan alat tulis mereka pun saya akan beri.

Sebilangan pelajar B40 yang mendapat tawaran belajar ke kolej atau universiti selalu menghubungi saya tentang ketidakcukupan wang belanja untuk membeli tiket penerbangan dan membeli alat keperluan belajar. Saya selalu usahakan ikhtiar untuk membantu kerana itulah tugas saya sebagai guru. Saya tidak mahu mereka berhenti belajar. Saya akan rasa amat bersalah kalau mereka berhenti. Saya tidak mahu kemiskinan menghalang niat mereka untuk mencapai cita-cita. Jika begitu, kemiskinan yang merantai keluarga mereka tidak akan putus. Jawatan guru ini amat istimewa walaupun tidak dijanjikan dengan gelaran Datuk apatah lagi Tan Sri tetapi ramai guru berkorban tenaga dan kewangan membantu pelajar sendiri agar mereka berjaya dalam hidup. Saya bangga melihat pelajar-pelajar yang dibantu ini berjaya dalam hidup. Impian saya setelah mereka berjaya mereka akan membantu yang lain pula suatu masa nanti.

CIKGU ZUL PILIH KASIH? ADUHAI, ANAKKU CIKGU SAYANG SEMUA. MAAFKAN CIKGU ANDAI BUATMU RASA TERSISIH

 


Semasa saya menjadi pelajar suatu ketika dahulu, saya bukanlah pelajar kesayangan guru sebab saya tidak pandai sangat bergaul dengan guru. Saya hormat guru tetapi saya tidak berani mendekati guru untuk bercerita. Walau bagaimanapun, saya sentiasa dilantik menjadi Pengawas sekolah, Ketua Tingkatan, dan Pengerusi kelab dan unit beruniform. Namun begitu, saya berurusan dengan guru dalam soal menjalankan tugas sahaja. Saya bukan pelajar kegemaran tetapi saya dikenali kerana saya aktif dalam aktiviti sokongan kurikulum Bahasa Melayu sebagai pemidato, pembahas dan pemantun. Semasa Majlis Penyampaian Hadiah, saya selalu merangkul anugerah pelajar terbaik mata pelajaran sekurang-kurangnya 5 subjek! Itulah sejarah saya sebagai pelajar, semua sijil dan gambar pencapaian saya masih saya simpan hingga kini. Sesekali saya senyum bangga melihat wajah saya dahulu yang kurus kering bak kata orang tak cukup zat makanan.

Setelah menjadi guru, saya pula mempunyai rasa lebih menyukai seorang atau beberapa orang pelajar berbanding yang lain. Saya selalu panggil nama pelajar itu untuk melakukan itu dan ini di dalam kelas. Saya juga selalu puji perangai dan pencapaian dia dalam bidang akademik. Saya tidak sedar perkara itu boleh menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan pelajar lain. Lama kelamaan saya mula kurangkan demi menjaga hati dan perasaan pelajar. Kesedaran ini wujud apabila saya mula memasuki dunia mereka untuk membincangkan pencapaian akademik mereka yang merosot. Apabila saya bertanya, mengapakah subjek ini awak lemah, subjek lain awak bagus? Pelajar terus jawab, guru itu pilih kasih. Dia hanya mengajar orang yang dia suka! Saya terpukul dengan jawapan mereka. Saya selalu melakukan refleksi untuk membaiki hubungan diri dengan pelajar kerana mereka rasa apa yag saya tidak rasa.

Ya, memang ada guru yang pilih kasih. Saya pun nampak perlakuan rakan-rakan guru tetapi saya tidaklah menegur. Maklumlah, guru sekarang pun dua kali lima dengan ibu bapa, sensitif hatinya lain macam, takut-takut balik rumah buat "live" di TikTok menyindir saya. Tabiat pilih kasih ini boleh menurunkan motivasi pelajar hingga menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran kerana selalu merasakan diri dianaktirikan. Mereka selalu mengasingkan diri kerana menganggap kehadiran mereka ibarat melukut di tepian gantang. Jika ada guru yang melakukan perkara ini secara sedar maka berdosalah kita kerana kita diamanahkan untuk mendidik tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama, dan taraf sosial pelajar-pelajar kita.

Kini, saya semakin matang dalam melaksanakan tugas mendidik. Saya tidak terlalu menunjukkan kasih dan tidak terlalu menunjukkan sayang tetapi melayan semua pelajar sama rata. Jika saya sedang makan di kantin, saya selalu belanja mana-mana pelajar yang ada di situ makan. Cuma pelajar berlalu pergi selepas mengucapkan terima kasih dan beri hormat. Pelajar tidak akan duduk bersama saya kerana saya selalu menegur kalau mereka malas belajar dan kelas mereka kotor. Saya amat mementingkan kebersihan kerana saya  percaya kebersihan melambangkan disiplin bagi semua insan yang berjaya. Setelah menjadi Pentadbir sekolah tanggungjawab saya semakin besar dan berubah. Namun begitu, saya bukanlah malaikat yang tidak melakukan kesilapan. Kendatipun begitu, dalam setiap sujud saya selalu memohon maaf dan mendoakan baik pelajar mahupun guru dan semua warga sekolah yang bekerja dengan saya pada setiap hari.

DATANG SEKOLAH SETIAP HARI DENGAN BEG KOSONG BUAT CIKGU GERAM

 


Semua guru pasti pernah berhadapan dengan pelajar yang datang ke sekolah dengan beg kosong. Apabila ditanya dimanakah buku? Dia menjawab dengan rasa tidak bersalah, buku saya tinggal di rumah. Semasa hendak menulis, dia pinjam kertas dan alat tulis daripada pelajar lain. Keadaan ini berlaku pada setiap hari melainkan pada hari itu dia tidak datang ke sekolah. Kita tegur pun dia tetap juga begitu. Sesekali terdetik juga dihati, apakah ibu bapa mereka tidak memastikan anak-anak mereka membawa kelengkapan untuk belajar mengikut jadual waktu pada setiap hari? Persoalan ini tidak akan terjawab sehinggalah mereka menamatkan SPM kerana ibu bapa pelajar-pelajar ini sukar dihubungi. Hari Permuafakatan pun mereka tidak datang ke sekolah.

Sebilangan pelajar ini langsung tidak mahu membeli buku latihan, buku kerja dan buku rujukan. Apabila belajar mereka akan tarik kerusi untuk berkongsi buku dengan pelajar lain. Saya memang terus tegur kalau pelajar asyik meminjam kertas atau alatan daripada kawan semasa belajar. Pelajar yang jadi mangsa selalunya pelajar yang jenis pemurah. Ada kalanya sampai 10 orang meminta kertas kajang daripadanya. Saya menegur kerana saya bayangkan ibu bapa dia belikan dia kelengkapan untuk kegunaan anak sendiri tetapi di sekolah anaknya pula setiap hari membahagi-bahagi kertas atau alat tulis dengan pelajar lain. Ibu bapa mereka tidak nampak hal ini tetapi guru melihat.

Kita selidik juga latar belakang keluarga, yang betul-betul ibu bapanya tidak berkemampuan guru dengan rela hati mengeluarkan wang sendiri membelikan buku untuk mereka. Sekolah pula akan cuba membantu mencari dana untuk pelajar yang memang ibu bapanya tidak mampu. Akan tetapi, ada juga pelajar yang tiada buku dan alat tulis ini, datang ke sekolah dihantar oleh ibu bapanya dengan kereta model Toyota, Nissan, dan Honda. Ibu bapa mereka pula merupakan kakitangan kerajaan atau swasta yang kita kenali. Namun begitu, sayang seribu kali sayang apabila tiba soal persekolahan anak mereka sangat berkira.

Ibu bapa yang berpendidikan ini sanggup datang ke sekolah untuk menanyakan persoalan tentang kutipan yuran buku kerja dan alat tulis wahal bayaran itu untuk kegunaan anak mereka belajar. Segelintir daripada mereka memarahi guru, selepas marah balik ke rumah, buku sekolah anak terus tidak dibeli sampai ke hujung tahun. Kita hantar anak ke sekolah dengan harapan anak kita akan pandai dan berjaya dalam pelajaran. Kepintaran anak kita sudah pasti akan mendatangkan manfaat yang tidak tergambarkan suatu hari nanti jika mereka betul-betul bersinar dengan didikan dan ilmu yang sempurna. Salah satu daripada sokongan kita sebagai ibu bapa terhadap anak yang masih bersekolah ialah kita harus menyediakan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.

GURU MERAJUK PELAJAR BUAT KERJA LAIN SEMASA DIA SEDANG MENGAJAR

 


Drama kerja rumah ini masih berlaku hingga kini walaupun zaman telah berubah dan musim pun sudah berbunga. Saya akui semasa sekolah dahulu saya rajin buat kerja rumah, rakan-rakan saya yang tersayang pula rajin-rajin sekali meniru. Semasa Tingkatan Empat, kami kantou dengan Guru Bahasa Inggeris, enam orang kami diminta berdiri kerana jawapan sama, masing-masing tidak mengaku siapa tiru siapa. Saya sanggup kunci mulut demi kawan. Kami dirotan oleh guru itu seorang demi seorang, saya ambil giliran paling akhir, sampai giliran saya dirotan guru itu berhenti, dia suruh saya balik ke tempat duduk. Dia kata muka saya bukan muka yang meniru. Leganya saya bukan kepalang.

Masa dulu kalau dipukul dengan rotan sakitnya bukan kepalang, kena pula kalau guru itu sedang panas, saya lihat lima orang rakan saya menitis air mata. Seorang yang paling nakal antara kami yang kena rotan tu pula apabila sesi kelas bermula bukunya hilang. Dia tarik kerusi duduk dengan saya, guru BI yang garang itu datang dan rotan dia lagi, tapi tak pula halau dia duduk tempat sendiri. Kawan saya ini masa belajar tangan dia bukannya diam, ada-ada sahaja hal dia buat, buku dia ada pun dia kata tinggal, duduk dengan saya sepanjang masa. Kami masih berkawan hingga ke hari ini. Anak-anak dia semua pintar belajar. Hingga kini pun dia masih minta pendapat saya dalam urusan belajar anak-anak dia.

Setelah saya menjadi guru, saya pula berhadapan dengan situasi pelajar tidak siap kerja rumah ini. Saya mengajar di sekolah lelaki, daripada 30 orang yang buat kerja rumah hanya 10 orang. Yang 20 orang lagi ragamnya bukan main. Semasa saya semak dari meja ke meja pun dia sempat meniru kerja kawan. Tulisan tunggang terbalik tidak mengapa janji siap. Sekolah tempat saya mengajar selama 19 tahun itu pula masih guna rotan mendisiplinkan pelajar. Akan tetapi, saya bukan jenis guru yang merotan betul-betul, saya rotan meja sekuat-kuatnya kalau marah! Itulah saya. Kalau kena dengan pelajar yang berbadan kerdil, kita hendak marah atau hendak rotan pun tidak sampai hati tetapi dia itulah yang selalu tidak siap kerja rumah, mulut becok macam murai dan kaki meniru kerja orang lain di dalam kelas.

Kalau guru macam saya yang jenis marah tak sampai hati bagi kerja rumah pelajar memang tidak ambil pusing. Mereka akan buat kerja rumah yang cikgu garang bagi dan subjek yang mereka suka. Pelajar sekolah saya paling suka subjek Matematik. Saya pula guru Bahasa Melayu. Nanti saya kongsi cerita pelajar buat Matematik semasa saya megajar Bahasa Melayu. Saya kagum dengan pelajar pintar, kita bagi kerja rumah tulis sebuah karangan, dia hantar 5 karangan. Saya masih ingat ada seorang pelajar suka buat begini setiap minggu. Sekarang dia berkerja sebagai Doktor Bedah. Tahap kerajinan dia memang luar biasa sampai buku teks Sejarah pun dia hafal.

Lama kelamaan saya memahami situasi ini. Saya tukar strategi, saya bagi tugasan di dalam kelas dan bagi masa untuk pelajar siapkan, akhir waktu saya kutip buku dan semak di bilik guru. Dengan cara ini semua pelajar siap kerja, saya pun tidak memberikan kerja rumah. Jika saya bagi pun, saya berikan tugasan yang berbentuk bacaan. Saya faham, kalau ada 10 subjek, semua guru bagi kerja rumah hampir setiap hari, kasihan juga pelajar yang terpaksa menyiapkannya.

TELENOVELA KERJA RUMAH ANTARA GURU DAN PELAJAR TAK AKAN ADA KESUDAHANNYA

 


Drama kerja rumah ini masih berlaku hingga kini walaupun zaman telah berubah dan musim pun sudah berbunga. Saya akui semasa sekolah dahulu saya rajin buat kerja rumah, rakan-rakan saya yang tersayang pula rajin-rajin sekali meniru. Semasa Tingkatan Empat, kami kantou dengan Guru Bahasa Inggeris, enam orang kami diminta berdiri kerana jawapan sama, masing-masing tidak mengaku siapa tiru siapa. Saya sanggup kunci mulut demi kawan. Kami dirotan oleh guru itu seorang demi seorang, saya ambil giliran paling akhir, sampai giliran saya dirotan guru itu berhenti, dia suruh saya balik ke tempat duduk. Dia kata muka saya bukan muka yang meniru. Leganya saya bukan kepalang.

Masa dulu kalau dipukul dengan rotan sakitnya bukan kepalang, kena pula kalau guru itu sedang panas, saya lihat lima orang rakan saya menitis air mata. Seorang yang paling nakal antara kami yang kena rotan tu pula apabila sesi kelas bermula bukunya hilang. Dia tarik kerusi duduk dengan saya, guru BI yang garang itu datang dan rotan dia lagi, tapi tak pula halau dia duduk tempat sendiri. Kawan saya ini masa belajar tangan dia bukannya diam, ada-ada sahaja hal dia buat, buku dia ada pun dia kata tinggal, duduk dengan saya sepanjang masa. Kami masih berkawan hingga ke hari ini. Anak-anak dia semua pintar belajar. Hingga kini pun dia masih minta pendapat saya dalam urusan belajar anak-anak dia.

Setelah saya menjadi guru, saya pula berhadapan dengan situasi pelajar tidak siap kerja rumah ini. Saya mengajar di sekolah lelaki, daripada 30 orang yang buat kerja rumah hanya 10 orang. Yang 20 orang lagi ragamnya bukan main. Semasa saya semak dari meja ke meja pun dia sempat meniru kerja kawan. Tulisan tunggang terbalik tidak mengapa janji siap. Sekolah tempat saya mengajar selama 19 tahun itu pula masih guna rotan mendisiplinkan pelajar. Akan tetapi, saya bukan jenis guru yang merotan betul-betul, saya rotan meja sekuat-kuatnya kalau marah! Itulah saya. Kalau kena dengan pelajar yang berbadan kerdil, kita hendak marah atau hendak rotan pun tidak sampai hati tetapi dia itulah yang selalu tidak siap kerja rumah, mulut becok macam murai dan kaki meniru kerja orang lain di dalam kelas.

Kalau guru macam saya yang jenis marah tak sampai hati bagi kerja rumah pelajar memang tidak ambil pusing. Mereka akan buat kerja rumah yang cikgu garang bagi dan subjek yang mereka suka. Pelajar sekolah saya paling suka subjek Matematik. Saya pula guru Bahasa Melayu. Nanti saya kongsi cerita pelajar buat Matematik semasa saya megajar Bahasa Melayu. Saya kagum dengan pelajar pintar, kita bagi kerja rumah tulis sebuah karangan, dia hantar 5 karangan. Saya masih ingat ada seorang pelajar suka buat begini setiap minggu. Sekarang dia berkerja sebagai Doktor Bedah. Tahap kerajinan dia memang luar biasa sampai buku teks Sejarah pun dia hafal.

Lama kelamaan saya memahami situasi ini. Saya tukar strategi, saya bagi tugasan di dalam kelas dan bagi masa untuk pelajar siapkan, akhir waktu saya kutip buku dan semak di bilik guru. Dengan cara ini semua pelajar siap kerja, saya pun tidak memberikan kerja rumah. Jika saya bagi pun, saya berikan tugasan yang berbentuk bacaan. Saya faham, kalau ada 10 subjek, semua guru bagi kerja rumah hampir setiap hari, kasihan juga pelajar yang terpaksa menyiapkannya.

05 April 2023

PENCALAMAN MENGAJAR TINGKATAN 1A8 KELAS PELAJAR PINTAR DARI SJKC

 


Saya dapat merasai pegalaman semua guru tetapi semua guru mungkin tidak dapat menikmati pengalaman seperti saya. Sepanjang tempoh 26 tahun berkhidmat saya pernah mengajar tingkatan peralihan hingga tingkatan enam. Hari ini saya mahu berkongsi pengalaman mengajar Tingkatan 1A8 di sekolah pertama tempat saya mengajar Kelas 1A8 ini kelas  khas untuk pelajar elit dari SJKC yang masuk ke Tingkatan 1 (Tahun 2000 - 2005). Saiz kelas ini biasanya besar, iaitu melebihi 35 orang. Saya bukan bangga diri tetapi guru yang terpilih mengajar kelas ini mesti dalam kalangan guru yang komited dan mampu mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dengan cemerlang.  Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar kelas ini bukan calang-calang pelajar, mereka cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.

Saya pula ditugaskan mengajar dua subjek di kelas ini iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah. Semasa saya mengajar saya keadaan kelas sungguh sunyi ibarat sebatang pen jatuh ke lantai pun boleh dengar. Pelajar semua menumpukan perhatian dan mencatat nota sendiri. Cabaran pertama ialah saya perlu belajar perkara yang hendak diajar untuk menunjukkan bahawa saya lebih tahu daripada pelajar. Setiap malam saya akan belajar dahulu topik-topik yang hendak diajar dan mencari maklumat tambahan tentang topik itu. Sebilangan pelajar kelas ini sudah membaca terlebih dahulu atau sudah diajar oleh guru tuisyen di luar tentang perkara yang hendak saya ajar. Jika penyampaian saya salah, pelajar akan menegur. Saya paling takut kalau ditegur oleh pelajar sendiri. Jadi, saya sentiasa bersedia.

Majoriti pelajar yang berada dalam kelas ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi mereka juga anak orang berada. Walau bagaimanapun, sahsiah mereka amatlah baik. Ya Allah, jika hendak memadamkan papan hitam pun mereka tunduk minta kebenaran. Jika berjumpa di jalan, semasa sedang makan mereka akan sembunyikan makanan ke belakang dan tunduk hormat serta ucapkan salam. Saya masih ingat ada seorang pelajar yang menjadi ketua kelas itu, sekarang dia jurutera di Petronas (Pelajar Tajaan Petronas) begitu komited dan berdedikasi walaupun masih di Tingkatan 1. Walaupun dia dari SJKC, cara dia bercakap dalam bahasa Melayu amat mengagumkan. Seorang lagi pelajar yang saya tidak akan lupa, kalau disuruh membaca, cara bacaannya seperti pembaca berita sebenar! Dia kini menjadi pensyarah di salah sebuah universiti.

Saya melihat anak orang kaya yang benar-benar kaya ini tidak menunjuk-nunjuk. Mereka hidup macam pelajar biasa. Sopan santun mengalahkan anak-anak orang biasa-biasa. Saya dulu disukai oleh seorang pelajar yang merupakan anak tunggal kepada seorang ahli perniagaan. Pelajar itu selalu ajak saya menonton wayang sebab emak dia hanya benarkan kalau dia keluar dengan guru. Dia membonceng motosikal saya pergi ke mana-mana pada hujung minggu. Selepas Tingkatan 2 dia dan keluarganya telah berhijrah ke New Zealand. Kami masih berhubung sehingga tahun 2010, mungkin kini dia telah berkahwin dan bekerjaya.

Saya banyak belajar tentang kehidupan daripada pelajar-pelajar saya sendiri. Saya asalnya anak pedalaman yang miskin dan tiada apa-apa sedangkan pelajar-pelajar saya sudah menjelajah seluruh dunia dalam usia belasan tahun. Saya baru mengenali jenama John Master pada usia mencecah 25 tahun manakala pelajar-pelajar saya sudah memakai kasut Micheal Jordan pada usia 13 tahun. Pengalaman mengajar kelas 1A8 menjadikan saya lebih matang dan lebih berpengalaman untuk meningkatkan kualiti diri sebagai guru. Saya tidak pernah menganggap diri saya guru yang serba tahu justeru saya sentiasa berhati-hati dalam mendidik kerana saya tahu kesilapan yang dilihat boleh mencacatkan kepercayaan mereka. Majoriti pelajar kelas ini melanjutkan pelajaran ke luar negara dan bekerja di sana selepas menamatkan alam persekolahan di Tingkatan 5. Mereka lebih berjaya daripada saya.