JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 November 2011

ISU BAHASA : SEKTOR KEWANGAN WAJAR MARTABAT BAHASA MELAYU

Oleh Nazura Ngah


BUKIT BENDERA, PULAU PINANG

Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa sektor kewangan dan insurans mematuhi pekeliling mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang kewangan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.  Timbalan Perdana Menteri, berkata sejak 1997 kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan beberapa surat pekeliling meliputi semua urusan surat menyurat dan dokumen, selain dokumen komprehensif seperti kontrak, perjanjian dan polisi insurans atau sijil takaful perlu disediakan dalam satu bahasa. Sehubungan itu, katanya, BNM diharap meningkatkan penguatkuasaan terhadap pekeliling berkenaan. Beliau juga menyarankan BNM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakukan pengauditan bahasa ke atas institusi kewangan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui penarafan bintang.  “Pengauditan ini perlu dilakukan ke atas tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan institusi dan syarikat. Penarafan ini akan menjadi kayu ukur kepada pencapaian institusi kewangan dari segi penggunaan bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis perasmian Simposium Penggunaan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan dan Insurans di Auditorium Sasana Kijang, BNM. Muhyiddin juga berharap Kementerian Kewangan menyesuaikan pemakaian pekeliling perkhidmatan ‘Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam’ yang dikeluarkan 28 Oktober lalu kepada sektor kewangan termasuk GLC.  Selaras dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), katanya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dipengerusikan oleh beliau pada 30 November tahun lalu.  Katanya, Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Insurans dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai beberapa bank, pertubuhan bukan kerajaan, tokoh bahasa dan DBP diharap berperanan merancang program kebahasaan dan memantau penggunaan bahasa dalam sektor kewangan.  “Saya menggesa institusi kewangan supaya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat terhadap bahasa kebangsaan. Saya tidak nampak penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor kewangan akan mendatangkan masalah besar,” katanya.

SUMBER
BERITA HARIAN
11 NOVEMBER 2011


ISU NUKLEAR : MEMBETULKAN MAKLUMAT "MENYESATKAN"

Oleh
Prof Dr. Ismail Bahari
Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia
Penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri lebih 30 tahun.


KAWASAN PROJEK LYNAS 
DI KUANTAN, PAHANG

Terlalu banyak maklumat salah yang boleh 'menyesatkan' pembaca yang saya dapati pada temu bual dengan seorang yang dikatakan sebagai 'pakar nuklear', seperti mana dilaporkan dalam akhbar terbitan parti pembangkang baru-baru ini. Bukan tujuan untuk memperkecil-kecilkan kepakaran 'pakar nuklear' yang ditemu bual itu, tetapi untuk membetulkan daripada sudut fakta ilmiah semata-mata.

* Panel penasihat Agensi Tenaga dan Atom Antarabangsa (IAEA) yang membuat penyelidikan dan keputusan bagi projek Lynas Advanced Manufacturing Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan telah menyembunyikan maklumat tentang wujudnya bahan-bahan uranium dan thorium dalam projek tersebut.

Untuk penjelasan, panel IAEA ini adalah panel pakar yang dipertanggungjawabkan untuk menaksir kesan dan risiko radiologi akibat pelaksanaan projek Lynas ini. Bermakna, mereka dipanggil untuk memberi pandangan bebas terhadap isu radionuklid semula jadi bahan-bahan uranium dan thorium. Ini telah disebut dengan jelas dalam laporan panel pakar IAEA itu sendiri, agak pelik jika hal ini tidak disedari sekiranya laporan ini benar-benar dibaca dan difahami oleh 'pakar nuklear' berkenaan.

* Kadar bahan radioaktif dalam nadir bumi adalah rendah tetapi jumlah yang dibawa masuk besar.

Istilah tepat sepatutnya ialah kepekatan aktiviti bukan kadar bahan radioaktif. Jika kepekatan aktiviti radionuklid adalah rendah seperti diakui oleh 'pakar nuklear' itu sendiri, maka dosnya sudah pasti rendah. Aras dos rendah kepada pekerja Lynas dan orang ramai sekitar kilang Lynas telah dilaporkan dalam Penaksiran Impak Radiologi (RIA) yang dibentangkan kepada pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Perlu ditekankan bahawa operasi Lynas tidak memekatkan kepekatan aktiviti thorium. Kepekatan aktiviti thorium dalam pekatan lantinid adalah sama dengan kepekatan aktiviti residu (iaitu sekitar 6 Bq g-1)

* Bahan buangan mengandungi uranium dan thorium dicampak ke dalam kawasan pembuangan seluas 48 hektar, kemudian menjadi pekatan yang menghasilkan gas radon selain habuk-habuk thorium dan uranium.

Sedangkan, 'bahan buangan' tidak dicampakkan ke dalam kawasan pembuangan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, disimpan sementara dalam sel yang direka dan dibina khas, selaras dengan piawaian antarabangsa yang diiktiraf selamat. Kaedah kejuruteraan yang digunakan ini serta sifat fiziko-kimia uranium dan thorium itu sendiri akan memastikan tidak berlaku penyebaran gas radon/thoron serta habuk mengandungi uranium dan thorium yang memudaratkan manusia. Perlu ditekankan bahawa RIA ke atas projek ini mendapati potensi penyebaran gas thoron adalah sangat kecil dan sukar diukur. Perlu ditekankan juga persekitaran semula jadi sendiri mempunyai uranium dan thorium yang masing-masing membebaskan gas radon dan thoron.

* Betapa bahan uranium yang terdapat dalam projek Lynas ini adalah sama dengan yang digunakan dalam loji nuklear Fukushima di Jepun.

Sedangkan, ini adalah maklumat yang sangat tidak lengkap, menyesatkan malahan berbahaya. Memang U-238 terkandung dalam bahan proses Lynas adalah sama jenisnya dengan yang digunakan dalam reaktor nuklear di Fukushima tetapi kepekatan yang terdapat pada kedua-duanya adalah berbeza ' ibarat langit dan bumi'. Uranium semula jadi (seperti yag digunakan oleh Lynas) terdiri daripada 0.7 peratus (%) U-235 dan 99.3% U-238. U-235 adalah bahan belahan dalam bahan api nuklear yang sangat penting untuk memulakan tindak balas nuklear. Dalam bahan api nuklear kepekatan U-235 diperkaya menjadi 5%. Dalam reaktor nuklear Fukushima yang menggunakan bahan api MOX atau campuran bahan belahan oksida, U-235 tidak digunakan dalam bahan api nuklear tetapi digantikan dengan Plutonium-239 (radionuklid ini tidak terdapat secara semula jadi dalam alam sekitar dan tidak ada dalam bahan pekatan yang digunakan Lynas). Sepekara lagi, uranium bukan hanya ada dalam bahan api nuklear dan pekatan lanthanid Lynas (28 ppm) sahaja tetapi wujud dalam baja (boleh mencapai 400 ppm) dan arang batu (> 100 ppm). Secara anologi, 'pakar nuklear' berkenaan seolah-olah menyatakan bahawa tanah di Pahang atau keseluruhan Malaysia mempunyai persamaan dengan reaktor nuklear di Fukushima hanya kerana ia mempunyai bahan uranium yang sama.

* Bahan buangan Lynas boleh mencemarkan air dan alam sekitar.

Sedangkan, hasil kajian RIA mendapati bahan buangan Lynas tidak mencemarkan air dalam alam sekitar. Sama seperti kilang-kilang lain di Kawasan Perindustrian Gebeng, setiap pelepasan kilang ke persekitaran hendaklah mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan AELB.

* Gas radon akan terbebas ke udara. Partikel alfa yang dihidu juga boleh merosakkan sel tubuh dan kromosom manusia.

Sedangkan, maklumat ini tidak lengkap dan sekali lagi menyesatkan. Memang benar gas radon dihasilkan tetapi 'pakar nuklear' tersebut tidak pula menyatakan bahawa gas radon daripada thorium (lebih tepat disebut thoron) mempunyai jangka hayat yang sangat pendek, cuma 56 saat. Ini bermakna dalam masa 56 saat gas thoron terbentuk dan dibebaskan ke udara, ia akan segera menyepai menjadi radionuklid pepejal yang jatuh ke bumi serta tidak membahayakan. Dengan kepekatan aktiviti yang kecil, kemungkinan thoron dihidu dan memudaratkan adalah sangat tipis. Pakar Nuklear ini lupa atau sengaja lupa menyatakan bahawa risiko dikawal dengan Had Dos. Selagi Had Dos tidak dilampaui, risikonya boleh diterima. Had Dos ini digunakan kerana kita perlu ingat bahawa kita sentiasa terdedah kepada uranium dan thorium semula jadi. Selagi ada uranium dan thorium, selagi itu kita terdedah kepada radon, thoron dan zarah alfa. Pendek kata kita tidak boleh kata kita tidak hendak didedahkan kepada radon, thoron atau zarah alfa atau sinaran sebab kesemua ini berada di mana-mana sahaja di muka bumi ini. Sebaliknya, berdasarkan kepekatan aktiviti Th-232 yang ada dalam bahan mentah dan residu pemprosesan Lynas, serta sifat fizik gas thoron itu sendiri telah ditentukan secara saintifik tidak mampu mencemarkan alam sekitar sehingga ke tahap dikatakan berbahaya kepada manusia yang menghidunya.

* Pelan pelupusan sisa adalah tidak lengkap.

Sedangkan, sebagai ' pakar nuklear', beliau tentu tahu bahawa pelan pelupusan sisa bukan setakat melupus sisa dengan menanam, tetapi turut merangkumi penggunaan semula sisa tersebut dengan selamat. Dengan cara ini, isu pelupusan kekal mungkin tidak diperlukan. Jika perlu dilupuskan, Lynas pula sudah mereka bentuk dan membina tapak pelupusan sementara yang mematuhi segala syarat dan kriteria pembinaan tapak pelupusan kekal (sungguhpun bukan matlamatnya untuk menjadikan tapak tersebut sebagai tapak pelupusan sisa kekal).

* "Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menolak industri ini kerana tidak ada level radiasi yang selamat".

Sebagai seorang pendidik dan penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri selama lebih 30 tahun (dan masih berkhidmat dengan selamat), saya amat terkejut dengan kesimpulan yang dibuat oleh 'pakar nuklear' itu. Sama ada disedari atau tidak, beliau sebenarnya menyatakan bahawa kita boleh hidup dalam dunia yang bebas daripada dedahan sinaran atau radiasi. Bukan pakar nuklear pun tahu, ini tidak benar sama sekali. Sama ada kita hendak atau tidak, kita sentiasa terdedah kepada sinaran dari bumi dan matahari. Malah terdapat beberapa tempat di negara kita yang mempunyai aras sinaran semula jadi yang lebih tinggi daripada aras purata tanah- tanih Malaysia. Sila rujuk hasil kajian aras sinaran di kawasan lombong bijih timah di Perak, Selangor dan Pantai Pasir Hitam di Langkawi. Begitu juga, cuba lihat di Ramsar, Iran; Kerala, India; Grand Junction, Colorado, Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain yang disahkan mempunyai aras sinaran semula jadi yang jauh lebih tinggi daripada apa yang bakal dibebaskan oleh Lynas.

Persoalannya, adakah penduduk di tempat-tempat tersebut semua cacat dan terencat? Malah, kajian ke atas penduduk di Ramsar, Iran mendapati penduduk di sana mempunyai jangka hayat yang lebih panjang daripada rakyat Iran di tempat-tempat lain. Rujuklah dokumen ilmiah sebelum membuat pernyataan tidak tepat, salah dan mampu menyesatkan. 'Pakar nuklear' tersebut pernah belajar dan memperolehi ijazah pertama dalam bidang Kejuruteraan Nuklear dan Fizik di Amerika Syarikat. Tidakkah beliau terdedah kepada sinaran semasa pengajiannya? Tentulah ada. Maka, adakah beliau atau keluarga beliau mengalami apa-apa kecacatan akibat dedahan sinaran tidak kira rendah mana pun tahapnya? Pakar Nuklear sepatutnya mendidik masyarakat tentang fakta sebenar sinaran dan kesannya, dan tidak menyesatkan masyarakat dengan maklumat yang tidak lengkap dan salah.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 NOVEMBER 2011


ISU ALAM SEKITAR : MENGEKANG JENAYAH ALAM SEKITAR

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


KAWASAN BUKIT BINTANG, 
KUALA LUMPUR

Cadangan kerajaan untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang akan dibawa ke Parlimen pada Mac 2012 jelas membuktikan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam mengekang jenayah alam sekitar di negara kita. Di bawah cadangan pindaan ini, kerajaan akan menaikkan penalti terhadap pelanggaran Seksyen 2 akta tersebut iaitu daripada RM100,000 kepada RM500,000. Melihat kepada jumlah kenaikan yang agak besar ini, ia dilihat sangat wajar memandangkan kesalahan-kesalahan yang terkandung di bawah seksyen berkenaan adalah melibatkan isu-isu yang begitu serius. Antara kesalahan yang digariskan di bawah seksyen tersebut adalah seperti pelupusan sisa toksik, pencemaran air dan sungai, pembakaran terbuka, pengeluaran asap berlebihan, tumpahan minyak di laut dan juga pembukaan tanah secara haram. Cadangan kenaikan penalti sebanyak lima kali ganda ini adalah bertujuan untuk mencegah sebarang bentuk kemusnahan yang berpunca daripada pencemaran alam.

Penalti yang lebih berat kepada pesalah baik kepada individu mahupun syarikat antara lain adalah bagi memperkukuh dan memantapkan lagi aspek penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran di negara ini. Menurut Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang juga merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, di bawah pindaan ini kelak, ia akan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk memberhentikan mana-mana projek yang melanggar peraturan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Namun persoalannya, sejauh manakah kenaikan penalti ini mampu mengekang jenayah alam sekitar? Adakah penalti yang dikenakan terhadap individu yang terlibat benar- benar berkesan dan mampu memberi pengajaran kepada mereka? Jika diimbas kembali kepada kes-kes tangkapan yang lepas, kerapkali juga dilaporkan bahawa segelintir pelaku jenayah alam sekitar yang ditangkap adalah melibatkan mereka yang pernah diisabitkan terhadap kesalahan yang sama secara berulang kali.

Ini memberi gambaran yang jelas kepada kita bahawa kadar penalti yang dikenakan sedikit pun tidak menggentarkan mereka. Malah, jauh sekali terkesan dan memberi pengajaran kepada mereka untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Hukuman penjara dilihat mempunyai potensi yang besar dari segi keberkesanan memandangkan individu yang terlibat melalui sendiri tempoh hukuman akibat daripada kesalahan yang dilakukan. Ia amat berbeza dengan hukuman berbentuk penalti (pesalah hanya perlu membayar jumlah penalti yang dikenakan tanpa melalui sendiri hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan). Dengan hukuman penjara yang dilalui, ia pasti sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang mendalam di dalam jiwa mereka yang sekali gus mampu memberi pengajaran kepada individu yang terlibat agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Selain itu, mengenakan hukuman kepada individu atau pihak yang terlibat agar menanggung semua kos untuk memulihkan alam sekitar yang terjejas akibat jenayah alam sekitar yang dilakukan juga boleh dipertimbangkan.

Ini memandangkan kos untuk sesuatu proses pemulihan adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah penalti yang dikenakan untuk setiap kesalahan. Dengan hukuman seumpama ini, ia setidak-tidaknya akan membuka mata para pelaku jenayah alam sekitar agar menyedari bahawa bukan mudah untuk memulihkan sesuatu kerosakan terhadap alam sekitar. Jika sebelum ini mereka hanya menutup mata dan dikaburi keuntungan wang ringgit semata-mata tanpa memikirkan betapa peritnya pihak kerajaan dan badan-badan yang terlibat untuk memulihkan segala kepincangan ke atas alam sekitar ekoran kerakusan sikap mereka. Mungkin dengan cara ini, mereka akan mula membuka mata dan memikirkan betapa begitu banyak kos yang telah dibazirkan untuk tujuan pemuliharaan alam sekitar yang telah dimusnahkan oleh mereka. Sedangkan, alangkah bagusnya jika peruntukan untuk tujuan berkenaan dapat digunakan untuk tujuan-tujuan lain yang lebih bermanfaat.

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan hukuman seumpama itu semata-mata ia dilihat masih diragui mampu menghentikan sepenuhnya jenayah terhadap alam sekitar. Malah, ia masih belum lengkap dan sempurna jika hanya hukuman berbentuk fizikal dan material semata-mata diaplikasikan. Sebaliknya, ia perlu dilengkapkan dan disusuli dengan program penyempurnaan akhlak terhadap mereka yang disabitkan dengan jenayah alam sekitar. Ini penting kerana dengan penekanan terhadap kesempurnaan akhlak manusia, ia bukan sahaja mampu mengekang perlakuan buruk manusia terhadap alam sekitar semata- mata, tetapi juga dapat melahirkan insan yang berkeperibadian unggul dalam semua aspek kehidupan. Ia amat bertepatan dengan pandangan Islam terhadap alam sekitar itu sendiri, yakni ia adalah berasaskan kepada ajaran tauhid atau kefahaman kesatuan yang menggabungkan antara manusia, alam dan juga Pencipta (Allah SWT). Dalam konteks ini, Islam menjadikan akhlak sebagai teras utama hubungan antara manusia, alam dan Tuhan. Malah, sebarang permasalahan alam sekitar seperti pencemaran alam dan seumpamanya adalah berpunca daripada kepincangan dan juga ketidaksempurnaan akhlak manusia terhadap diri mereka sendiri, alam sekitar dan juga Allah SWT.

Sedangkan secara jelas konsep manusia sebagai khalifah menunjukkan bahawa alam sekitar dan segala kekayaan di dalamnya adalah milik mutlak Allah SWT. Hal ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam firman Allah SWT (Surah al-Maidah, ayat 120) yang bermaksud: "Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dialah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". Oleh yang demikian, manusia perlu melaksanakan misi dan amanah pemuliharaan alam sekitar dengan sebaik-baiknya agar kelestariannya terus dapat dipertahankan. Justeru, penekanan terhadap aspek akhlak dan kerohanian dalam usaha menambahbaik dan memastikan keberkesanan sesuatu hukuman terhadap pelaku jenayah alam sekitar juga tidak seharusnya diabaikan. Malah, kajian dan penelitian secara mendalam terhadap hukuman yang sewajarnya dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar yang disusuli dengan penekanan terhadap aspek akhlak akan memantapkan lagi penguatkuasaan bagi membendung jenayah alam sekitar.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 NOVEMBER 2011