31 Julai 2011

ISU SOSIAL : GEJALA KEMURUNGAN ISU MASYARAKAT MODEN YANG SEMAKIN SERIUS


Dua bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dan Theodore Roosevelt pernah mengalaminya pada suatu ketika. Malah beberapa seniman agung seperti pemuzik Beethoven, penulis Edgar Allen Poe dan Mark Twain serta pelukis Vincent van Gogh turut melalui pengalaman yang sama. Ini membuktikan kemurungan tidak mendiskriminasi sesiapa. Dalam satu kajian, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kemurunganklinikal ialah penyakit keempat dalam ranking penyakit penyebab ketidakupayaanpaling teruk dan dijangka akan naik pada kedudukan kedua menjelang 2020. Gejala atau simptom kemurungan berbeza-beza, tetapi secara amnya, mangsamengalami perasaan negatif untuk jangka masa yang panjang seperti kehilanganminat atau kehendak untuk hidup dan anhedonia atau hilang perasaan nikmatkehidupan. Tanda lain termasuk perubahan berat badan dan selera makan secara drastik,gangguan tidur, kesunyian, mudah terasa, mudah cemas, kepenatan, dihantuiperasaan tidak berguna, sering rasa bersalah, kurang bertenaga, hilang tumpuandan rendah diri.

Kemurungan juga boleh termanifestasi dalam pelbagai bentuk masalah fizikalseperti sakit belakang, pening, masalah gastrik dan lain-lain sakit kronik. Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakarmenjelaskan bahawa kemurungan sebenarnya sangat berbeza dengan kesedihan. Diagnosis kemurungan ialah mempunyai lima atau lebih gejala berkaitanselama sekurang-kurangnya dua minggu yang cukup teruk hingga mengganggu prestasi kerja dan kehidupan sosial. Ia boleh menjadi kronik sehinggakan menjurus kepada membunuh diri. Apapun, kebanyakan kes kemurungan sebenarnya boleh dirawat dengan ubat ataumelalui psikoterapi. Tanpa rawatan sewajarnya, gejala yang dialami pesakit boleh mengambil masasehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Pakar bersetuju bahawa sekiranya seseorang itu nekad untuk membunuh diri,tiga jenis perasaan telah terbentuk di dalam dirinya, iaitu - tidak lagi tahanuntuk menanggung azab, tidak lagi mampu melarikan diri dan tidak upaya lagimenghadapi ketentuan.

Rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Malaysia mencatatkan seramai 731 (545 lelaki dan 186 wanita) membunuh diri dalam tempoh tiga tahun antara 2007 hingga2010. Daripada angka itu 321 kes melibatkan individu yang berkahwin, 298 bujang, 34 orang balu dan 29 orang yang bercerai. Statistik itu merupakan sebahagian daripada laporan Kabinet yang dibentangkan di Dewan Negara April 2011. Kajian WHO mendapati, penyebab utama kematian akibat bunuh diri adalahkemurungan. WHO turut menganggarkan bahawa di rantau Asia Pasifik, orang yang mati akibat bunuh diri sebenarnya lebih ramai berbanding mati akibat tuberculosis. Senario bunuh diri dijangka akan meningkat sekiranya masyarakat engganbersikap terbuka terhadap isu yang berkaitan dengan masalah sosio-ekomoniyang boleh menjurus kepada isu psikiatrik. Kajian mendedahkan bahawa dalam satu-satu masa, sekitar lima hingga 10peratus anggota masyarakat berdepan dengan episod kemurungan yang memerlukanbantuan psikiatri atau bantuan psikososial. Tetapi, wanita mempunyai kadar risiko yang lebih tinggi berbanding lelakiiaitu sekitar satu nisbah dua kebarangkalian untuk mengalami episod kemurungan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Saintis percaya kekerapan itu berpunca daripada beban mengimbangi pelbagaiperanan sebagai suri rumahtangga, tugas profesional, isteri dan ibu. Berbeza dengan wanita, lelaki sering merawat sendiri kemurungan denganterjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah dan arak sekaligusmenyebabkan isu kemurungan sukar dikesan. Kajian juga menunjukkan bahawa penyakit kemurungan ini lebih mudah menyerangpada tempoh paling produktif seseorang individu, iaitu mereka yang berusiakurang 45 tahun, berbanding mereka yang lebih tua. Dr Abdul Kadir menegaskan bahawa kesihatan mental dan kesihatan fizikaladalah dua perkara berbeza tetapi sama penting dan saling berkaitan. Kedua-dua komponen ini mesti seimbang bagi membolehkan seseorang menjalanikehidupan yang lebih sejahtera, memiliki hubungan kekeluargaan yang baik danmenjadi ahli masyarakat yang produktif. Hakikatnya di Malaysia, rakyat yang mengalami kemurungan sebenarnya lebihramai berbanding angka yang telah dikenalpasti mengalami masalah itu. Beliau berkata ramai yang malu tampil mendapatkan bantuan ekoran stigmanegatif masyarakat yang masih mempunyai mentaliti dunia ketiga apabila menyentuhisu berkaitan masalah psikiatrik.

Beliau turut menekankan bahawa ramai dalam kalangan pengidap yang didiagnos tidak menerima rawatan sewajarnya ekoran pelbagai halangan, turutsekaligus menghalang mereka kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif. Hanya melalui pendidikan, lebih ramai akan sedar dengan isu ini dan akantampil mendapatkan rawatan sewajarnya atau sekurang-kurangnya berbincang denganpegawai perubatan. Justeru, apa yang boleh dilakukan jika anda mendapati ahli keluarga, rakanatau diri anda sendiri mungkin mengalami tekanan atau kerunsingan sehinggamengganggu urusan harian atau produktiviti kerja? Dr Abdul Kadir menjelaskan bahawa meluahkan perasaan sebenarnya satuperbuatan yang sihat, tetapi sukar dilakukan, ekoran merasa malu dianggapbermasaalah. Justeru, cara yang mungkin lebih berkesan ialah, meluahkan perasaan melaluisaluran yang betul kepada orang yang tidak dikenali iaitu perkhidmatankaunseling yang kini disediakan di banyak hospital. Mereka yang tidak sanggup bersemuka dengan kaunselor dicadangkan menghubungi talian bantuan The Befrienders iaitu 03-79568145 yang dibuka sepanjang hari.

SUMBER
MSTAR ONLINE
25 JULAI 2011

ISU IPT : TAHNIAH UTM, 100 UNIVERSITI TERBAIK ASIA, NO 1 DI MALAYSIA


Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan terus memberi tumpuan kepada strategi kepelbagaian dan berprestasi tinggi bagi membolehkan institusi pengajian tinggi (IPT) itu berfungsi dengan lebih lancar, terarah dan berdaya saing. Hal ini berikutan kenyataan oleh dua laman web yang menjalankan kajian mengenai kedudukan universiti dunia iaitu Webometrics (www.webometrics.info) dan 4 International Colleges & Universities (www.4icu.org) mendapati UTM menduduki tempat teratas dalam kedudukan IPT di Malaysia. Berdasarkan kedua-dua laman web itu, universiti tersebut juga berjaya melakar sejarah baharu dalam bidang pendidikan negara apabila menjadi satu-satunya IPT negara dalam senarai 100 Universiti Terbaik di Asia dan berada di tempat ke-280 dalam penarafan dunia. Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kejayaan UTM menduduki tangga teratas di Malaysia dalam kedua-dua ranking itu adalah hasil kerja berpasukan dan semangat kerja yang tinggi di kalangan warga IPT itu termasuklah golongan akademik, bukan akademik dan mahasiswa. Katanya, kajian tersebut dijalankan menggunakan kaedah penilaian laman web untuk menentukan pencapaian universiti dari segi kandungan bahan, rujukan, visibiliti dan kesarjanaan menerusi aktiviti yang menggunakan ruang siber.

Andaiannya, universiti yang menduduki ranking terbaik selalu dirujuk dan dijadikan panduan berdasarkan kepada kandungan dan kesarjanaan warga universiti tersebut. Dalam konteks moden, kaedah rujukan dilakukan secara maya. Penarafan tersebut bukan sahaja merupakan kejayaan kepada UTM tetapi ia juga adalah satu kebanggaan kepada negara. Beliau mengulas kejayaan UTM menduduki tempat teratas dalam kalangan IPT di Malaysia dan menempatkan diri dalam kelompok 100 terbaik Asia serta berada pada kedudukan ke-280 dalam senarai universiti terbaik dunia. Penarafan webometrik melibatkan 20,000 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia di mana 10 tangga teratas dibolot oleh universiti dari Amerika Syarikat menerusi Institut Teknologi Massachusetts (MIT), disusuli oleh Harvard, Stanford, Cornell, Berkeley, Michigan, Wisconsin Madison, Washington, Minessota dan Pennsylvania. Sementara itu, penarafan 4icu pula melibatkan 10,200 IPT di 200 negara di mana MIT berada di kedudukan pertama, diikuti Universiti Texas, Universiti Michigan di tempat ketiga manakala Universiti Harvard dan Cambridge pula masing-masing di kedudukan ketujuh serta kesepuluh.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
31 JULAI 2011

ISU SOSIAL : BILANGAN LELAKI BUJANG LEBIH RAMAI


Lelaki berumur 15 tahun dan ke atas yang belum berkahwin adalah lebih tinggi jumlahnya berbanding wanita iaitu masing-masing 37.8 peratus dan 32.2 peratus mengikut data muktamad Banci Penduduk dan Perumahan 2010 yang diumumkan pada 30 Julai 2011. Data itu juga menunjukkan penduduk berumur 15 tahun dan ke atas yang belum pernah berkahwin adalah 35.1 peratus manakala yang berkahwin 59.6 peratus. Namun, perkadaran lelaki dan perempuan yang berkahwin adalah hampir sama, masing-masing 59.8 peratus dan 59.4 peratus.  Umur minimum perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28.0 tahun berbanding 28.6 tahun pada 2000. Sebaliknya, umur bagi perempuan meningkat kepada 25.7 tahun berbanding 25.1 tahun pada 2000.  Mengulas perangkaan itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata aliran lelaki yang belum berkahwin lebih ramai daripada wanita selaras dengan pertambahan golongan itu berbanding wanita.  

Katanya, aliran itu sudah lama dikesan dalam setiap bancian pendudukan yang dilakukan di negara ini malah keputusan itu juga lebih kurang sama dengan kebanyakan negara di rantau ini dan peringkat global.  Hasil bancian LPPKN pada 2004 sudah mengesan trend lelaki kahwin lebih lewat dan hasil bancian 2010 mengesahkan bahawa lelaki berkahwin pada purata umur 28 tahun berbanding wanita 25 tahun.  Dilaporkan penduduk Malaysia kini berjumlah 28.3 juta, pertumbuhan dua peratus untuk tempoh 10 tahun lalu dengan bilangan lelaki mencecah 14.56 juta orang, iaitu lebih tinggi berbanding 13.77 juta wanita.  Aminah berkata, dari segi kesan sosial, gejala kahwin lambat di kalangan lelaki itu menunjukkan golongan itu akan berkahwin pada usia lebih matang, kukuh dari segi ekonomi untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.  Kesan negatif pula katanya, tempoh yang lama membujang akan mendedahkan lelaki muda kepada cara gaya hidup yang tidak sihat dan risiko yang berkaitan dengannya.  

Perkara itu dipersetujui pakar sosiologi dan antropologi, Prof Dr Abdul Rahim Md Nor yang bimbang jika ia berlarutan akan menyebabkan pertambahan jumlah gejala sosial.  Dalam satu aspek, saya melihat pertambahan jumlah penduduk lelaki akan membawa kesan negatif kepada masyarakat iaitu kebarangkalian golongan itu terbabit dengan jenayah berat seperti pembunuh dan rompakan selain terbabit gejala sosial seperti samseng jalanan atau mat rempit. Ada kemungkinan juga wujud pertambahan kemalangan jalan raya kerana lelaki biasa memandu dengan agresif, sering timbul masalah di jalan raya dan laju.  Dr Abdul Rahim yang juga Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, beliau melihat apabila lelaki lebih ramai maka wanita mempunyai banyak pilihan untuk mencari suami yang lebih berkualiti.  Maka, katanya akan wujud persaingan di antara lelaki dan ini mewujudkan tekanan kepada mereka untuk dipilih menjadi suami.

SUMBER
BERITA MINGGU
31 JULAI 2011

ISU SOSIAL : KEBEBASAN, HAK ASASI AGAMA BARU DUNIA


Enam ratus lima puluh sembilan (659) pasangan dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan sejenis di New York pada Ahad lalu, mencatatkan rekod jumlah perkahwinan gay dan lesbian yang terbanyak dalam sehari. New York adalah negeri yang keenam di Amerika Syarikat (AS) yang 'menghalalkan' perkahwinan sejenis. Ini bermakna 44 negeri sahaja lagi di negara pengeskport ideologi demokrasi, kebebasan dan hak asasi itu yang belum mengiktiraf seks dan perkahwinan sejenis. Lambat-laun negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah New York. Logiknya hanya masa yang menunda pelaksanaan kebebasan yang amat bertentangan dengan syariat agama Islam ini. Berita ini mungkin dibaca dengan senyum sinis oleh umat Islam di Malaysia. Pada akal kita, tidak mungkin budaya kuning yang Allah kutuk di dalam al-Quran itu akan menular ke Malaysia suatu hari nanti. Persoalannya adakah semua umat Islam benar-benar menjiwai dan beriman dengan al-Quran? Senyumlah atau ketawalah. Syaitan-syaitan juga sedang ketawa. Banyak perkara yang dulu kita ketawakan sudah menjadi budaya tiruan di Malaysia.

Lihatlah betapa ada kumpulan wanita Islam di Malaysia yang mahu menghapuskan poligami walaupun ia dibenarkan Allah SWT. Apabila nilai-nilai budaya itu datangnya dari masyarakat yang lebih maju dari segi keduniaan, akan mudahlah masyarakat yang kurang maju terkeliru dan meniru. Seks sejenis sebenarnya turut diamalkan oleh segelintir kalangan masyarakat Malaysia termasuk mereka yang dilahirkan sebagai orang Islam. Secara senyap-senyap ia mungkin merebak. Cuma mereka yang mengamalkannya masih menyorok daripada pengetahuan umum. Malu kepada manusia atau malu kepada Allah? Bayangkan jika bilangan pengamal seks sejenis bertambah dan turut menular di kalangan yang berpengaruh. Betapa jika terdapat kalangan pemimpin politik yang juga melakukan seks sejenis. Jangan lupa bahawa Malaysia juga mengamalkan demokrasi berpilihan raya sama seperti di AS. Lazimnya dalam pilihan raya, kemenangan ditentukan oleh puak majoriti. Tetapi di Malaysia sendiri kita dapat melihat betapa suara minoriti boleh mempengaruhi suara majoriti apabila kalangan yang bertanding dalam pilihan raya mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada puak majoriti.

Akhirnya satu demi satu kehendak minoriti disuarakan secara terbuka dan lambat-laun terpaksa diterima oleh kalangan ahli politik yang memburu undi sokongan. Itulah yang berlaku di AS. Perebutan kuasa yang sengit antara parti Demokrat yang lebih liberal dengan parti Republikan yang konservatif akhirnya memberikan peluang kepada golongan minoriti untuk bersuara. Tuntutan mereka dipenuhi setelah bilangan mereka bertambah dan suara mereka semakin lantang melalui demonstrasi di jalan raya. Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah! Allah telah menauliahkan nabi demi nabi dan menurunkan kitab demi kitab untuk membimbing manusia ke jalan yang betul, tetapi manusia mudah lupa, lekas tewas kepada nafsu dan tunduk kepada kemewahan dunia. Nabi yang terakhir ialah Muhammad SAW dan kitab terakhir ialah al-Quran. Tiada lagi pembimbing manusia ke jalan yang lurus selepas Muhammad dan al-Quran. Jika kita tergelincir daripada cara hidup yang Allah perintahkan, rasailah akibatnya di dunia dan akhirat sebagaimana yang menimpa umat-umat dahulu termasuk kaum Nabi Lut, Nabi Nuh, Tsamud, Aad dan Madyan yang dinyatakan dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia sepanjang zaman.

Berhati-hatilah dengan sebarang nilai yang sedang dieksport dengan agresif dari Amerika Syarikat ke negara-negara yang penduduk majoritinya beragama Islam. Janganlah mudah terperangkap dengan apa jua yang disuakan atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka yang ghairah menerima fahaman ciptaan nafsu manusia ini juga termasuk orang-orang yang dilahirkan beragama Islam. Yang berserban dan menuntut di Universiti Al-Azhar juga sudah terjebak sebelah kaki. Di mana iman mereka? Ini semua adalah gara-gara mahukan kejayaan di dunia, bukan kejayaan di akhirat yang Allah janjikan untuk orang-orang yang beriman. Jika ditanya, mereka akan memberikan dalil yang palsu. Disebabkan mereka ini berkelulusan tinggi agama, ramai yang turut percaya. Dulu ramai yang tertarik dengan fahaman sosialis yang diasaskan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels, sekalipun mereka berteori bahawa agama itu adalah candu yang boleh merosakkan kehidupan manusia. Daripada teori mereka lahirlah fahaman komunisme yang menganjurkan keadilan sosial dan ekonomi sama rata untuk semua manusia. Akhirnya komunisme runtuh dan tinggal sisa cebisan di beberapa buah negara sahaja. Bangkit pula demokrasi, kebebasan dan hak asasi.

Apa bezanya fahaman komunisme yang menentang agama dengan fahaman kebebasan bawaan Amerika yang turut mengizinkan seks sejenis? Tidakkah fahaman yang dieksport dari Amerika ini juga menghancurkan institusi agama? Bezanya, hanyalah dari segi pendekatan. Komunis menggunakan pendekatan yang lebih keras, tetapi fahaman kebebasan dan hak asasi dari Amerika menghancurkan agama melalui proses demokrasi yang penuh manipulasi dan penipuan. Betapa ada pemimpin-pemimpin politik yang dulu menganut fahaman sosialisme, sekarang beralih kepada demokrasi, kebebasan dan hak asasi sebagai 'agama baru' mereka. Allah menyuruh orang-orang beriman supaya berdoa memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad juga menyuruh kita bekerja seolah-olah akan hidup selama-lamanya, tetapi beribadatlah seolah-olah akan mati esok. Bagaimanapun, matlamat kebanyakan manusia hanyalah mencari kekayaan dan berseronok dengan kekayaan itu. Budaya kebendaan ini turut meresap ke segenap sendi kehidupan masyarakat Islam. Zahirnya majoriti umat Islam menunaikan solat dengan menghadap ke Mekah, tetapi dalam banyak hal kehidupan kita berkiblat ke Amerika dan Eropah.

Betul tidak semua yang datang dari Barat itu bertentangan dengan nilai Islam, tetapi realitinya semakin ramai umat Islam yang sudah kelabu dan tidak tahu membezakan yang benar dan tidak benar. Puncanya kerana terlalu cintakan kehidupan dan kemajuan dunia. Seolah-olah mahu hidup selama-lamanya dan tidak akan mati. Kejayaan masyarakat dan individu tidak lagi dilihat dari segi pegangan agamanya, tetapi kekuatan ekonominya. Apabila mencapai tahap ekonomi yang dihajati, mereka menuntut pula kebebasan yang dalam beberapa hal sangat bertentangan dengan ajaran agama. Inilah agama baru yang turut diimport ke Malaysia oleh badan-badan dakyah yang menyamar atas nama pelbagai NGO yang sebilangan besar hanya mempunyai beberapa kerat ahli. Malangnya suara mereka sangat mendapat tempat di media. Turut menyokong penyebaran agama baru ini ialah tokoh-tokoh politik yang dilahirkan beragama Islam dan mendakwa berjuang untuk Islam. Maka senyum dan ketawalah membaca laporan perkahwinan sejenis beramai-ramai di Amerika. Dan syaitan-syaitan pun turut ketawa kerana mereka yang berserban juga sudah berjinak-jinak dengan agama baru bertopengkan kebebasan dan hak asasi ini.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
31 JULAI 2011

30 Julai 2011

ISU SOSIAL : MUSIM PERAYAAN DAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Oleh Azman Anuar


Sejak dua dekad lalu, musim perayaan dan kemalangan jalan raya bagaikan dua senario yang tidak boleh dipisahkan. Seolah-olah tidak akan sempurna sesuatu musim perayaan tanpa kemalangan jalan raya. Menjelang tiba bulan Ramadan yang dijangka Isnin ini, kisah empat orang maut manakala dua parah dan tiga cedera ringan apabila sebuah treler terbabas lalu bertembung dengan sebuah bas ekspres di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Kamunting, Perak malam Khamis lalu boleh diibarat pembuka episod kemalangan bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Saya percaya bagaikan rentetan cerita ular menelan manusia pertengahan 1990-an, begitu juga cerita kemalangan melibatkan bas. Tragedi terbaru ini memperlihatkan trend kemalangan maut melibatkan bas mungkin bertambah jika tidak ada langkah pencegahan awal dilakukan. Kenapa mesti berlaku bagai tradisi kemalangan terus meningkat pada musim perayaan? Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Keselamatan Jalan Raya telah melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Akan tetapi secara purata 10 hingga 16 kemalangan maut masih berlaku setiap hari pada musim perayaan. Dan mungkin semua orang muak memperkatakan kaedah untuk mengurangkan angka korban jalan raya. Beribu cadangan sudah dilaksanakan dan ada yang masih dalam simpanan pihak berkuasa, tetapi ternyata ia gagal mendidik para pengguna jalan raya menjadi pemandu berhemah. Beratus ribu kali juga dinyatakan faktor kelalaian manusia menjadi punca utama kemalangan baik di kawasan yang dikategorikan sebagai jalan raya selamat ataupun yang kerap berlaku kemalangan. Sudah cukup banyak peringatan diberikan tentang langkah-langkah menjaga keselamatan nyawa pengguna jalan raya. Tetapi apa maknanya jika kita sendiri bagaikan tidak sayangkan nyawa apabila berada di jalan raya. Selagi sikap pemandu kenderaan di negara kita tak berubah, maknanya jumlah kemalangan terutama kemalangan maut tidak akan dapat dikurangkan. Sebenarnya kita boleh mengubah keadaan ini jika setiap pengguna jalan raya boleh memainkan peranan untuk membantu pasukan penguat kuasa.

Tidak sukar untuk kita memberikan maklumat mengenai pemandu cuai kepada pihak berkuasa supaya tindakan pencegahan awal dapat diambil secepat mungkin sebelum terlewat. Tetapi jangan diulangi langkah hangat-hangat tahi ayam Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dahulu yang hanya mampu menguatkuasakan peraturan supaya semua kenderaan perdagangan dilekatkan stiker yang mempamerkan nombor talian bebas tol LPKP. LPKP pula memberi kepercayaan kepada orang ramai untuk membuat aduan. Tetapi ia gagal kerana kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan menyiasat aduan. Apa pun, langkah PDRM memperkenalkan Sistem Pengaduan Polis (PRS) dilaksanakan pada November depan dialu-alukan. Fungsi PRS adalah untuk membolehkan siasatan awal kemalangan dijalankan di mana-mana balai polis seluruh negara secara dalam talian, tidak seperti sebelum ini aduan dibuat di kawasan berlaku kemalangan. Tetapi lebih ‘cantik’ kalau PDRM dapat melaksanakan sistem ini untuk menerima aduan mengenai pesalah trafik atau pemanduan berbahaya.

Alangkah bagusnya juga, jika sistem ini dimulakan segera pada bulan Ogos ini dan bukan November depan. Jika ia dapat diuruskan dengan pantas, barangkali jumlah kemalangan kecil dan kemalangan maut pada musim perayaan ini dapat dicegah dan bukan selepas berlaku tragedi kemalangan. Kes-kes kemalangan maut membabitkan kenderaan awam terutamanya di musim perayaan amat merisaukan terutamanya bas-bas ekspres dan kenderaan berat yang lain. Jadi, adalah wajar jika sistem ini dilaksana bulan Ogos ini bagi membolehkan segala aduan mengenai pesalah trafik dapat ditangani dengan berkesan. Tidak ada masalah bagi orang awam untuk melaporkan sebarang pemanduan secara berbahaya kepada pihak polis. Nyawa rakyat Malaysia tidak sepatutnya melayang di atas jalan raya atau lebuh raya. Ingat bahawa musim perayaan hampir tiba dan mangsa yang terlibat kemalangan biasanya golongan berumur 18 hingga 50 tahun. Sudah tiada masa lagi. Kita patut menghargai nilai nyawa rakyat Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 JULAI 2011

29 Julai 2011

PANDANGAN PERIBADI CIKGU ZUL TENTANG GURU MEROTAN MURID


Akibat dirotan guru tabika, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun lebam di kaki, tangan dan badan hingga dimasukkan ke hospital dalam kejadian Khamis, 27 Julai 2011. Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Nur, 6, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Isnin lalu akibat kecederaannya selepas dirotan guru terbabit yang mengajar di Taman Pelangi, Sentul. Akibatnya, mangsa trauma dan kini tidak mahu ke sekolah, malah sering meracau pada waktu malam. Menceritakan kejadian itu, Nur berkata, guru terbabit memukulnya dengan rotan panjang beberapa kali dan bukan dia saja yang menjadi mangsa, tetapi beberapa rakannya turut dirotan. Katanya, ini bukan kali pertama dia diperlakukan begitu, malah sudah lebih 10 kali, tetapi dia mendiamkan diri selepas diugut guru itu supaya tidak mengadu kepada keluarga.

“Saya tidak pernah memberitahu nenek kejadian itu kerana takut dirotan,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam. Nenek mangsa yang dikenali sebagai, Mastura, 60, berkata dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian ketika mahu menyapu losyen di badan cucunya yang dijaga sejak kecil itu. “Saya terkejut selepas mendapati kaki, tangan dan badannya lebam dan cuba bertanyakan hal itu. “Pada mulanya dia enggan menceritakan hal sebenar dan memberitahu digigit nyamuk, selepas dipujuk baru dia memberitahu kerap dirotan guru walaupun tidak melakukan kesalahan,” katanya. Menurutnya, ini bukan kali pertama dia nampak kesan kemerahan di badan cucunya itu, malah sudah beberapa kali sejak dia mula belajar di tabika berkenaan mulai awal tahun ini. “Cucu saya itu juga sudah tidak seceria dulu dan kini semakin murung,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Setapak, Jumaat lalu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

PENDAPAT CIKGU ZUL

Saban tahun kita akan disajikan dengan berita guru merotan murid sehingga menyebabkan kecederaan dan ada yang dimasukkan ke hospital. Pada pandangan saya, sebagai seorang guru, amalan merotan pelajar yang melakukan kesalahan seharusnya diharamkan di peringkat sekolah taska, tadika, dan sekolah rendah. Hal ini demikian kerana guru yang merotan kadang-kala keterlaluan sehingga menyebabkan kesakitan yang amat sangat kepada kanak-kanak tersebut. Saya tidak menafikan kenakalan dan kedegilan kanak-kanak tersebut kadang-kadang meruntuhkan kesabaran dan mengoyahkan keimanan kita untuk mendidik, namun seboleh-bolennya kita janganlah menggunakan rotan untuk mendisiplinkan mereka. Saya tidak dapat bayangkan betapa sakitnya rasa dirotan oleh guru seusia 5 hingga 6 tahun, sehingga rasa takut dan ngeri sentiasa menerpa apabila berjumpa dengan guru tersebut. Cuba bayangkan, betapa sakitnya apabila budak sekecil itu mandi atau berbaring untuk melelapkan mata pada waktu malam. Bukankah tindakan kita (guru) merotan mereka menjadikan mereka menderita kesakitan dan ketakutan sepanjang masa.

Setiap orang ada pandangannya. Setiap orang juga ada caranya. Walau apapun tanggapan, saya tetap berpendirian bahawa kanak-kanak pada zaman ini tidak sewajarnya dirotan. Cara kita mendidik pelajar harus diubah. Jika kita tidak mahu guru lain merotan anak kita, lebih baik kita jangan memulakannya dengan merotan anak orang lain. Kata-kata ini mungkin pahit untuk ditelan, tetapi inilah hakikat yang harus digenggam oleh setiap pendidik. Jika kita berpendapat kita berjaya menjadi guru, doktor, peguam dan pelbagai lagi kerana guru kita merotan kita, tanggapan itu sewajarnya dilemparkan jauh-jauh kerana zaman sudah berubah dan musim pun sudah berbunga. Pada era ini cara kita mendisiplinkan dan mendidik anak-anak didik hendaklah diubah. Tindakan menggunakan kekerasan seperti merotan mungkin akan memburukkan lagi keadaan. Hal ini demikian kerana kanak-kanak pada era ini terlalu manja dan tidak tahan lasak. Kita harus banyakkan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pedagogi untuk menjadi pendidik yang baik, cemerlang dan gemilang di abad ini. Kita tidak lagi boleh berpegang kepada cara lama untuk melahirkan doktor, jurutera mahupun angkasawan yang bakal memacak nama Malaysia di persada dunia pada masa depan. Tebalkan rasa sayang, tebalkan rasa perikemanusiaan, tebalkan kesabaran, demi kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anak didik kita.  

Pandangan ini merupakan cetusan minda peribadi yang tidak memihak atau merendah-rendahkan sesiapa. Pandangan ini mungkin ada kelemahannya atau ada biasnya pada orang lain, namun bagi Cikgu Zul sendiri, semua yang terlukis dan tertulis ini adalah lahir dari hati. Jika ada yang tersentuh dengan pandangan ini, maaf dan ampun dipohon. Akan tetapi, jika pendapat ini ada kebaikannya, jadikanlah sebagai panduan kita bersama untuk menaikkan martabat dan darjat profesion perguruan di mata dunia.

SEKIAN
CIKGU ZULKARNAIN FARIHIN

ISU EKONOMI : KERAJAAN PRIHATIN SEDIA PELAN KENAIKAN HARGA BARANG


Sebarang  isu yang berkaitan dengan harga barangan, terutama makanan, adalah sesuatu yang begitu dekat dengan hati rakyat. Setiap keluarga dalam masyarakat perlu berbelanja untuk tujuan membeli barangan keperluan termasuk makanan yang semakin melambung tinggi akibat fenomena global yang kadangkala sukar dikawal. Justeru, jika harga barangan dan makanan naik, ia sudah tentu menimbulkan keresahan rakyat yang menjadi pengguna dan pembeli. Kenaikan harga barangan tertentu mempunyai kesan timbal balik dan akan membabitkan peningkatan dari segi kos untuk barangan lain. Begitulah seterusnya untuk kos penyediaan makanan yang akan memberi kesan kepada harga makanan yang dijual. Keadaan ini jika tidak dikawal boleh memberi kesan tidak baik dalam kalangan masyarakat. Kenaikan harga barangan juga mendorong kepada peningkatan kadar inflasi dan akibatnya nilai pendapatan merosot dan kuasa membeli menjadi berkurangan. Ketika rakyat berusaha untuk merancang dan berbelanja secara berhemah, kerajaan diharap dapat memainkan peranan utama dalam membendung kenaikan harga barangan.  Justeru, semua pihak sudah tentu lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kelmarin bahawa kerajaan akan menyediakan satu pelan penyelesaian bagi mengurangkan bebanan rakyat ini dalam usaha memerangi kos kehidupan yang semakin meningkat.

Antara langkah kerajaan ialah dengan menjadikan kenaikan harga barangan itu sebagai satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diletakkan di bawah penyeliaan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dan kementerian berkaitan. Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah pun melaksanakan pelbagai program bagi membantu pengguna di negara ini menghadapi masalah kenaikan harga barangan dan kos kehidupan. Antaranya dengan memperkenalkan Menu Rakyat 1Malaysia yang mana program ini menawarkan harga sarapan minimum RM2 dan makan tengah hari pada harga RM4 di 728 premis makanan di seluruh negara.  Selain itu, kerajaan juga mewujudkan Klinik 1Malaysia dengan bayaran RM1 dan Kedai Rakyat 1Malaysia yang mana pengguna mampu membeli barangan harian jauh lebih murah berbanding produk sama di pasaran. Bagi memastikan matlamat NKRA berkenaan tercapai, kerajaan akan meneruskan usaha mengawal harga barang dan mengekalkan subsidi barang keperluan. Segala usaha kerajaan ini bagaimanapun, tidak harus ditafsirkan sebagai langkah untuk memancing undi dalam menghadapi pilihan raya kecuali sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 JULAI 2011

ISU SOSIAL : PENDUDUK DUNIA BERJUMLAH 7 BILION



Jumlah penduduk dunia akan mencapai angka tujuh bilion orang pada tahun ini, walaupun terdapat tanda-tanda berlaku peningkatan secara perlahan. Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh Biro Rujukan Jumlah Penduduk, jumlah kelahiran penduduk mengalami penurunan daripada 2.1 peratus setahun pada lewat 1960-an kepada 1.2 peratus ketika ini. Namun, laporan itu turut mendapati beberapa penurunan kadar kelahiran itu diimbangi oleh kemajuan ubat dan kesihatan awam yang memanjangkan hayat manusia. Jika kadar pertumbuhan 2.1 peratus berterusan sejak 1960-an, jumlah penduduk dunia dianggarkan mencecah 8.7 bilion orang tahun ini, menurut tinjauan itu. Jumlah peningkatan penduduk pada kadar 1 bilion orang untuk setiap 12 tahun juga dilihat akan terus kekal. Jumlah enam dan tujuh bilion telah dicapai pada tempoh itu dan kemungkinan besar angka lapan bilion penduduk juga akan dicapai dalam tempoh 12 tahun. Jumlah penduduk dunia pada awal abad ke-20 ialah 1.6 bilion. Sementara itu, jumlah kelahiran tertinggi masih kekal di negara-negara membangun dan miskin, tetapi jumlah kematian bayi turut mengalami kejatuhan ekoran kemajuan perubatan. Perbezaaan antara kejatuhan kadar kematian dan kejatuhan kadar kelahiran pula berada pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Di Kenya contohnya, kadar kelahiran berada pada tahap empat peratus pada awal 1950-an dan tidak mengalami penurunan sehingga lewat 1970-an, ketika jangka hayat penduduk di negara itu meningkat kepada 56 tahun dari 42 tahun pada awal 1950-an. Tinjauan ini melibatkan kajian di empat negara iaitu Uganda, Guatemala, India dan Jerman yang mempunyai perubahan tahap penduduk yang berbeza.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 JULAI 2011

28 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : KESAN SOSIAL PELAJAR PEREMPUAN ATASI PELAJAR LELAKI

Institusi kekeluargaan 
mampu porak-peranda jika 
masalah tak ditangani


Pengakuan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran bahawa nisbah songsang antara pelajar perempuan dan lelaki di institut pengajian tinggi awam (IPTA) perlu ditangani, diharapkan bukan usaha menyekat kemasukan pelajar perempuan yang layak untuk memberi laluan kepada pelajar lelaki yang lebih lemah.  Usaha menangani nisbah 65 peratus pelajar perempuan dan hanya 35 peratus pelajar lelaki sekarang kepada kedudukan lebih berimbang seharusnya dilakukan dengan meningkatkan keupayaan pelajar lelaki. Antaranya ialah dengan mengatasi masalah keciciran pelajar lelaki yang lebih ketara berbanding pelajar perempuan bermula daripada kemasukan ke sekolah menengah, kemudian memasuki Tingkatan Empat. Usaha mencari jalan kenapa berlakunya keadaan demikian seharusnya ditekankan bukannya dengan menyekat kemasukan pelajar perempuan ke universiti. Diakui nisbah songsang itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak harus dipertahankan kiranya negara dan rakyat dikehendaki maju dalam suasana baik tanpa menimbulkan masalah sosial pula.  

Nisbah tidak seimbang antara lelaki dan perempuan ini bermula pada 1990 lagi apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan sudah sama rata dengan jumlah pelajar lelaki. Sejak itu kemasukan pelajar perempuan berterusan meningkat hingga pada 2005 jumlah nisbahnya sudah mencecah 63:37. Dikatakan juga nisbah ini adalah lebih bagi orang Melayu yang sudah menjangkau kepada 70:30 hingga menimbulkan persoalan di mana perginya pelajar atau pemuda Melayu.  Apakah benar ramai pemuda Melayu merengkok di pusat serenti sebagai satu daripada puncanya tidak pula diketahui kerana tidak ada statistik yang boleh memberikan gambaran sebenar. Tetapi yang tidak boleh dinafikan ialah lebih ramai pemuda Melayu yang terjerumus dengan pengambilan dadah daripada pemuda bangsa lain.  Kenapa perkara begini boleh berlaku tidak pula ada jawapannya. Mungkin sudah sampai masanya pihak universiti di negara ini adakan suatu kaji selidik menyeluruh untuk mengetahui kedudukan sebenar mengenai penagihan dadah di kalangan pemuda Melayu serta kenapa berlaku keciciran ketara di kalangan pelajar Melayu lelaki di sekolah.  

Universiti juga perlu lakukan penyelidikan terhadap implikasi sosial berikutan dengan fenomena lebih ramai graduan wanita setiap tahun berbanding graduan lelaki. Sememangnya pada zahirnya tidak salah ada lebih ramai graduan wanita. Malah kita harus mengucap syabas kepada kaum Hawa kerana berjaya dalam pelajaran hingga mendominasi kemasukan ke universiti. Mereka sememangnya mempunyai hak untuk mendapatkan pelajaran setinggi mungkin. Kita juga harus salahkan kaum lelaki yang diketahui bukan saja tidak fokus terhadap pelajaran kerana banyak sangat perkara yang mengalihkan fokus mereka hingga mengabaikan pelajaran dalam kelas. Dan tentunya mereka ini tidak bersedia menghadapi peperiksaan berbanding pelajar perempuan. Yang menjadi persoalan ialah implikasi fenomena lebihan graduan wanita daripada lelaki setiap tahun kebelakangan ini terhadap kedudukan sosial kiranya berpanjangan bertahun-tahun. Penulis tidak berhajat persoalkan kegigihan pelajar perempuan yang sememangnya diketahui amat tekun dan fokus dalam pelajaran hingga membawa kepada kedudukan songsang ini.

Apakah tidak mungkin akan berlaku keadaan yang mana semakin ramai gadis memasuki alam perkahwinan lebih lambat. Itu pun kiranya graduan perempuan itu boleh mendapat pasangan. Jika pasangannya setaraf mungkin tidak timbul banyak kerenah, tetapi dalam keadaan isteri memegang jawatan lebih tinggi daripada suami apa pula implikasinya. Apa implikasi jangka panjang kiranya wujud keadaan demikian yang mana ramai isteri yang menjadi ‘main bread winner’ membawa balik pendapatan lebih daripada suami. Maknanya keluarga akan lebih bergantung kepada pendapatan isteri. Apakah ada implikasinya terhadap perkembangan kekeluargaan apabila isteri mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerjanya hingga boleh menjejaskan tanggung jawabnya kepada keluarga? Tuhan menjadikan manusia lelaki dan perempuan dengan naluri semula jadi yang tidak mungkin boleh diketepikan atau diabaikan. Maka naluri kewanitaan bagi seseorang perempuan tidak akan hilang setinggi mana pun berjaya dalam kerjaya. Seorang ibu tetap memberi tumpuan kepada keluarganya dan kehendak anak. Umum mengetahui apabila seseorang anak jatuh sakit yang dihubungi ialah ibunya bukan bapa.

Demikian juga dengan kehendak sekolah dan kerja rumah. Yang sering bertanya khabar mengenai kerja sekolah atau membimbing anak mengenai kerja rumah bagi sekolah mereka ialah ibu. Dalam suasana yang mana ibu mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerja berbanding ayah, ibu tentunya akan menghadapi tekanan lebih. Demikian juga dengan persediaan makanan harian untuk keluarga. Isteri mungkin mempunyai tanggungjawab mendesak di tempat kerja kerana memegang jawatan kanan berbanding suami yang mungkin hanya seorang pekerja biasa. Maka itu isteri sudah terpaksa menjadi ‘superwoman’ untuk memikul kehendak kerjayanya dan keluarganya serta suami.  Sememangnya suami seharusnya boleh memberi bantuan lebih atau mengambil alih tanggungjawab keluarga, tetapi ini adalah suatu yang tidak akan dapat ditanggung suami sebaik mana yang boleh diharapkan daripada isteri.  Maknanya institusi kekeluargaan akan menghadapi suatu tekanan yang mungkin tidak dapat ditangani dengan baik. Jadi apa penyelesaiannya?

Penulis ialah Felo Kanan UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
28 JULAI 2011

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : HORMATILAH AKU, TIDAKKU PINTA LEBIH DARI ITU!

Assalamualaikum, 
salam sejahtera dan salam 1Malaysia,


Renung-renungkan kata-kata di bawah ini,


Memang sulit untuk menyukai mereka yang kita tidak hormati, Tapi tidak kalah sulitnya adalah menyukai mereka yang kita lebih hormati dari diri kita sendiri. (La Rochefoucauld, 1613 - 1680).

Apabila seseorang merasa tidak bisa mendapatkan rasa hormat dari orang lain kepada dirinya, maka timbullah kecenderungan dalam dirinya untuk membenci orang lain tersebut. (Yauvenargues, 1715 - 1747).

Penghormatan dari orang - orang yang sezaman dengan kita merupakan kebahagiaan yang lebih besar dari pada kekaguman dari generasi mendatang. (Napoleon Bonaparte, 1769 - 1821).

Rasa hormat yang diberikan secara kaku, acuh tak acuh,  merupakan kekasaran yang halus. (Baer - Oberdorf)

Kata “hormat” memang selalu kita ungkapkan dari bibir ke bibir pada setiap waktu. Seawal rebung kita sudah diasuh dan dididik untuk menghormati orang lain terutamanya orang yang lebih tua daripada kita. Walau bagaimanapun, tidak semua asuhan dan didikan itu kita amalkan sesudah menjadi buluh lantaran kita kalah dengan ego dan keangkuhan diri masing-masing. Ekoran itu, rasa hormat kita kepada orang lain dengan mudah lenyap begitu sahaja sehingga menampakkan diri kita seorang manusia yang begitu sombong dan bongkak.

Hari ini, seorang guru menangis lagi kerana berasa dirinya tidak dihormati oleh pelajar-pelajarnya. Guru yang menangis itu berasa sungguh kesal dan sesal kerana segala niat baiknya untuk memberikan bimbingan serta asuhan seringkali diperlekeh dan diperkecil oleh pelajar-pelajar kesayangannya. Guru tersebut mengajar dengan bersungguh-sungguh sehingga bajunya basah menakung peluh tetapi pelajar asyik bercerita sesama sendiri tanpa henti. Hanya sekerat sahaja yang berminat tetapi minat itu makin lama makin hilang kerana gangguan yang menendang-nendang di cuping telinga memaksa mereka untuk terus berputus asa. Mengapakah masih ada situasi sebegini yang menjadi duri rutin hidup guru dan pelajar-pelajarnya? Kemanakah hilangnya rasa hormat dan budi bahasa kita? Apakah pelajar-pelajar pada hari ini sudah terhakis nilai-nilai murni dari jiwa nurani mereka? Tepuk dada tanya selera! Sebilangan pelajar kelihatan begitu bangga dan teruja apabila mempamerkan kelakuan yang kurang elok di hadapan guru. Mereka melakukannya berulang-ulang kali sehingga kesabaran guru tersebut terhakis dan akhirnya meletus bagai letusan gunung berapi. Senario sebegini bukan sahaja berlaku di seolah-sekolah bandar

Para pelajar sekalian,

Proses menyampaikan ilmu merupakan suatu proses yang berterusan ibarat aliran kali yang tiada penghujungnya. Proses menyampaikan ilmu merupakan suatu proses yang susah kerana guru perlu mengasah minda di samping memanusiakan manusia. Cukuplah sekadar hormat kerana ilmu yang disampaikan merupakan bekalan untuk anda semua menempuh kehidupan pada masa hadapan. Nikmat dan labanya anda sendiri yang akan merasa sementara guru-guru seperti saya hanyalah mampu tersenyum bangga dan tumpang gembira Jika anda senang pada suatu masa nanti berkat ketinggian ilmu yang anda miliki, jangan sesekali lupa pada Tuhan yang mengurniakan segala yang terindah buatmu. Guru juga merupakan ayahanda dan bonda, walaupun tidak melahirkan anda ke dunia, mereka jugalah yang mengasuh, mendidik dan memberikan ilmu kepada anda semua untuk masa depan. Jangan sesekali hilang rasa hormat kepada guru-guru. Patuhlah kepada arahan. Dengarilah setiap kata-kata nasihat, dorongan, didikan dan asuhan. Timbalah ilmu yang disampaikan dengan penuh ikhlas. Usahlah degil dan melawan kerana semua itu hanyalah merugikan diri sendiri pada suatu masa nanti. Guru juga insdaan biasa yang tidak terlepas daripada melakukan silap dan salah, tetapi janganlah jadikan kesilapan dan kesalahan itu untuk kita berdendam sehingga mengorbankan masa depan diri kita sendiri.

Rakan-rakan guru sekalian,

Teruskanlah usaha menuntut ilmu untuk memperkasa diri dalam menghadapi situasi-situasi seperti ini. Pelajar era ini tidak seperti pelajar era kita dahulu. Dahulu kita takut dengan rotan tetapi sekarang pelajar menjadikan rotan sebagai alat untuk menghulurkan surat saman. Ibu bapa zaman dahulu akur dengan cara guru mendidik dan mendisiplinkan anak-anak meraka sementara ibu bapa zaman sekarang pula asyik menjadi peguam bela yang sanggup ponteng kerja semata-mata untuk membela anak mereka yang ditangkap melakukan kesalahan. Jiwa kita yang merintih, hati kita yang sedih, nurani kita yang letih tidak akan pulih jika kita terus bertindak mengikut kata hati tanpa berpaksikan ilmu pedagogi. Jika pelajar tidak menghormati kita, biarlah kita yang hormati mereka. Insya-allah, berkat semua itu lama-kelamaan egonya akan luntur dan sesalnya akan berantai dihati sehingga benci bertukar sayang tidak terperi. Sabar-sabarkan diri apabila berasa pengorbanan kita tidak dihargai. Kerjaya kita inilah satu-satunya kerjaya yang mendidik manusia sehingga menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Jika pada usia ini mereka tidak menghormati dan tidak menghargai kita biarkan sahajalah kerana kita tidak boleh memaksa. Yang penting, jangan sesekali berhenti daripada mencurahkan ilmu buat mereka kerana dengan ilmu yang kita berikan itulah mereka akan sedar betapa besarnya jasa dan pengorbanan guru dalam hidup mereka. Usahlah menangis kerana air mata seorang guru itu amat berharga. Menangislah sewaktu mereka berjaya, jangan sesekali menangis sewaktu mereka berangkara. Ingatlah, kehidupan di dunia ini ibarat roda, jika hari ini kita menjadi pelajar yang perlu patuh dan harus mendengar, bukan sesuatu yang menghairankan jika suatu hari nanti, pelajar itu pula yang akan menjadi pengajar yang perlu mengajar supaya pelajarnya mendengar. Itulah hukum alam yang tak bisa ditepis mahupun dinyahkan.

SEKIAN.

27 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : DUNIA AKADEMIK MENJANAKAN PERSAINGAN SENGIT?

Oleh MOHAMAD MD YUSOFF
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia (USM).


Dunia akademik sebenarnya menuntut kita bukan sahaja berilmu, berintergriti dan beretika, bahkan menjadi penjana, pembina ilmu dan akal budi, sekali gus pembentuk sahsiah mahasiswa. Sesungguhnya, dunia akademik perlu menjadi ikon yang disegani oleh masyarakat kerana ketinggian jati diri dan integriti yang tiada tolok bandingnya. Justeru, apa yang dikatakan sebagai budaya 'boncengan gratis' oleh Prof. Muhammad Syukri Salleh (USM) (Utusan Malaysia, 20 Julai 2011) memang tidak menghairankan. Bahkan budaya hendak cepat lulus dan memperoleh gred baik tanpa banyak berfikir dan berhempas pulas, dan hendak cepat segala-galanya sudah sebati di kalangan mahasiswa dan ahli akademik muda kita. Ia amat menakutkan jika ia menjadi budaya dan trend yang menular seolah-olah profesyen akademik ini boleh di materikan. Banyak faktor menyebabkan hal ini berlaku apabila dunia akademik kini sudah dibelenggu dengan pendekatan Barat - 'publish or perish' dan walaupun ia baik, kegilaan menghasilkan penerbitan dan penyelidikan bermutu amat dipedulikan. Yang penting jumlah artikel, penerbitan dan penyelidikan yang banyak dan dalam tempoh yang pendek perlu dijanakan.

Jika boleh menjadi seorang Profesor Madya dan Profesor dalam waktu yang pendek lebih baik asalkan jumlah markah mencukupi. Ia dipermudahkan jika amalan boncengan gratis menjadi satu norma dan faktor sokongan dan direstui oleh pihak pengurusan atasan sebagai kriteria naik pangkat. Maka lahirlah kumpulan kreatif lagi inovatif membantu teman masing-masing tanpa penat lelah sebenarnya. Lalu wujud amalan 'saya tolong anda' dan sebagainya dalam kemelut boncengan gratis. Akibatnya, keperihalan amalan tidak sihat ini kini sudah melahirkan kebimbangan seolah-olah dunia akademik sudah menjadi wadah persaingan sengit dan gelanggang mengumpul mata/markah tanpa banyak hempas pulas. Walaupun tempoh perkhidmatan di universiti masih setahun jagung dan masih mentah lagi! Sekali gus, persaingan mengejar pangkat dan status akademik dalam tempoh yang agak pendek dalam konteks amalan asyik mengira markah dan kesediaan mencari peluang dan ruang untuk bersama mengamalkan boncengan gratis lalu menunggu tanpa sabar memohon jawatan yang lebih tinggi menjadi impian mereka.

Apakah ini kesarjananaan yang sebenarnya di pupuk dan diasah sekian lama bukan amalan short cut? Dalam hal ini, siapakah perlu di persalahkan jika amalan boncengan gratis berleluasa? Adakah para akademik atau sistem kepengurusan kriteria kenaikan pangkat yang perlu dilihat semula? Bahkan amalan ketidakseragaman dalam hal kriteria kenaikan pangkat dan sebagainya di antara universiti amat membimbangkan. Ada berlaku kes, dalam hal tertentu, seseorang boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tinggi akademik dalam tempoh sesingkat kerana ia memegang jawatan kepengurusan lalu dengan mudah diberikan jawatan tertinggi akademik? Jika kekananan tidak diambil kira, maka gejala "jalan pintas" berlumba-lumba mahu naik pangkat akademik tinggi akan menjejaskan dunia akademik keseluruhannya. Sewajarnya, kenaikan pangkat mesti ambil kira kekanaan dan kesarjannanya bukan sebaliknya? Seseorang itu mesti dikenali ramai dan diakui kesarjannaannya di kalangan komuniiti kepakaran/kesarjanaan mereka. Malangnya fenomena ini menghalalkan kesarjanaan bukan diukur daripada titik peluh kita sebagai seorang sarjana yang disegani, diakui kepakarannya dan berintegriti sambil memacukan kesarjanaan dengan teori mahupun kepakaran masing-masing malah banyak berdasarkan boncegan gratis yang tidak membantu menjana keilmuan yang boleh dipertanggungjawabkan.

Bahkan, jika kebolehan dan tempoh pengajaran dan sekali gus perkhidmatan diambil kira, dunia akademik sebenarnya penuh peristiwa yang menghairankan lagi tidak munasabah? Kemelut 'boncengan gratis' sebenarnya sudah berleluasa dan penyelesaiannya perlu dilihat dari perspektif luas jika kita ingin melenyapkan amalan tidak beretika ini. Mungkinkah amalan kenaikan pangkat pegawai tadbir (PTD) dijadikan kayu ukuran dalam konteks tempoh perkhidmatan dan kesarjanaan seseorang ahli akdemik. Untuk kenaikan Profesor/Prof Madya paling kurang perkhidmatan sekitar tidak kurang 10 tahun. Dan penerbitan boncengan mesti diselidikki siapa yang berhempas pulas bukan sekadar menenggek sahaja! Bahkan, dalam konteks ini, boncengan tidak boleh diterima sebagai hasil penerbitan kecuali ada tanda/bukti penglibatan total sebenar seseorang itu . Keperluan sekurang-kurangnya sebuah atau dua buku sebagai penerbitan mesti diwajibkan untuk kenaikan pangkat tinggi seperti lazim diamalkan kerana ia membawa implikasi besar usaha melenyapkan keperluan hanya menghasilkan artikel dalam jurnal sahaja.

Sekali gus, profesi mereka dan bidang kepakaran/kesarjanaan seseorang ahli akademik mesti dikenal pasti dan dapat di pertanggungjawabkan bukan sekadar mengira jumlah markah sahaja. Bahkan, karya asli individu atau bersama teman serta mahasiswa mesti mengatasi pertimbangan boncengan ramai yang banyak di salahgunakan untuk tujuan kenaikkan pangkat. Pendeknya, biarlah dunia akademik kita dilihat satu profesyen yang mulia dan kesarjanaan seseorang itu diakui dan diterima oleh bukan sahaja dunia atau komuniti akademik bahkan seluruh stakeholder dan segenap lapisan masyarakat. Masyarakat memerlukan khidmat bakti para sarjana ke arah mencemerlangkan negara bangsa bukan sebaliknya. Justeru, profesyen para akademik mesti dimartabatkan bukan di perlecehkan demi mengejar pangkat yang tidak akan lari apabila dikejar. Bahkan, kita mesti buktikan kesarjanaan semaksimum mungkin sesuai dengan hasrat merakyatkan ilmu dan membumikan/memanfaatkan kesarjanaan dan kepakaran kita. Untuk itu, tiada jalan pintas kecuali berkarya secara konsisten.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 JULAI 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails