Rencana ini ditulis oleh:
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan
Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA)
Dan Felo Penyelidik Institut
Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe)
Kolej Perniagaan (COB), Universiti
Utara Malaysia
Kenyataan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa lebih kurang 60 peratus kakitangan
sektor awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan terutamanya di Lembah
Klang tidak mampu memiliki rumah sendiri tidak boleh sama sekali dipandang
remeh. Ini kerana dalam kehidupan manusia, rumah merupakan tempat perlindungan
untuk setiap insan berteduh dan beristirehat. Tanpa rumah, manusia akan hidup
bergelandangan dan pelbagai masalah sosial akan berlaku. Berpunca daripada
masalah sosial inilah akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara. Sebagai
contoh, anak-anak akan terbiar dan terjebak dalam pelbagai masalah sosial dan
akhirnya modal insan berkualiti tidak dapat dibangunkan secara holistik bagi
membina kemajuan negara.
Cuba kita lihat di negara-negara lain
yang rakyatnya ramai yang tidak mampu memiliki rumah dan hidup bergelandangan.
Kadar jenayah di situ amatlah tinggi. Jenayah yang tinggi menyebabkan ekonomi
negara tersebut tidak dapat dimajukan sebaik mungkin. Para pelabur dalam dan
luar negara tidak berani melabur di situ, seterusnya merencatkan kemajuan
negara itu. Penulis amat yakin bukan sahaja kakitangan sektor awam yang bergaji
di bawah RM3,000 sebulan yang tidak mampu membeli rumah tetapi juga para
pekerja sektor swasta yang berpendapatan rendah tidak mampu membeli rumah yang
selesa kerana harganya yang semakin mahal. Jika mereka memiliki rumah kos
rendah tetapi keadaannya amat sempit berbanding jumlah isi rumah yang ramai
akan menyebabkan mereka seisi keluarga menjalani kehidupan yang kurang selesa.
Cuba kita teliti di kawasan perumahan sebegitu, banyak masalah sosial dan
jenayah berbanding di kawasan perumahan yang lebih baik dan selesa.
Justeru, sudah sampai masanya kerajaan
bertindak segera agar rakyat berpendapatan rendah bukan sahaja mampu memiliki
rumah tetapi mendiami rumah yang selesa. Kini, harga rumah yang selesa untuk
satu keluarga bersaiz sederhana berharga RM200,000 ke atas. Harga rumah
sebegini sebenarnya tidak mampu dibeli oleh mereka yang berpendapatan di bawah
RM3,000 sebulan. Bayangkan harga rumah berharga RM200,000, mereka terpaksa
membayar ansuran bulanan lebih kurang RM1,200 sebulan selama 30 tahun? Wang
lebihan mereka pastinya tidak mencukupi untuk menanggung keluarga seperti makan
dan minum, pakaian, belanja persekolahan, bil-bil bulanan dan belanja
pengangkutan. Ini belum termasuk untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen
bagi memperoleh pendidikan terbaik. Implikasinya, anak-anak golongan
berpendapatan rendah akan kekal status quo mereka sebagai berpendapatan rendah
apabila sudah dewasa nanti.
Justeru satu model perumahan rakyat
wajar digubal secara holistik di bawah Dasar Perumahan Negara yang dilancarkan
pada Februari 2011. Di bawah model perumahan rakyat, golongan berpendapatan
rendah mampu memiliki rumah yang harganya setanding dengan pendapatan. Pada
masa sama, keselesaan rumah tersebut juga wajar diberi keutamaan tertinggi.
Umpamanya, harga rumah tidak melebihi RM100,000 dan mempunyai
sekurang-kurangnya tiga bilik. Rumah tersebut tidak boleh terlalu sempit dan
perlu mempunyai keluasan yang sewajarnya agar penghuninya selesa. Rumah
kategori ini tidak boleh dibeli oleh golongan berpendapatan tinggi. Sementara
itu, bagi golongan berpendapatan sederhana pula boleh dipertimbangkan jika
masih ada kekosongan. Model perumahan rakyat juga perlu mencakupi golongan berpendapatan
sederhana yang belum memiliki rumah dengan harga rumah lebih tinggi sedikit
berbanding harga rumah untuk golongan berpendapatan rendah.
Selain harga rumah dan saiznya,
kerajaan juga perlu melihat secara mendalam kos-kos lain seperti duti setem,
yuran guaman dan juga insurans. Segala kos ini wajar dikurangkan untuk pembeli
rumah pertama yang berpendapatan rendah dan sederhana. Di samping itu, kadar
pinjaman seratus peratus diberikan kepada mereka. Kadar faedahnya pula adalah
paling minimum dan tidak mengikut kadar semasa. Lokasi-lokasi strategik
terutamanya di bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur perlu
diberikan perhatian segera oleh kerajaan selain membina lebih banyak rumah di
kawasan lain. Pemilikan dan harga tanah di bandar besar antara isu terpenting
yang patut diselesaikan di bawah model perumahan rakyat. Selain itu,
kelestarian kawasan perumahan yang bakal dibangunkan perlu dikekalkan di bawah
model perumahan rakyat. Jangan sesekali bukit-bukau digondolkan seperti mana
yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab pada masa kini yang
akhirnya boleh memberi kesan bencana alam kepada penduduk setempat seperti
banjir dan tanah runtuh.
Melalui model perumahan rakyat yang
holistik, kebajikan majoriti rakyat akan terpelihara selaras dengan gagasan
rakyat didahulukan. Bahkan, pembangunan ekonomi negara akan dapat
dipertingkatkan. Selama ini, ramai yang beranggapan, sumbangan besar sektor
hartanah banyak bergantung pada hartanah berstatus mewah sahaja. Yakinilah,
negara akan lebih maju sekiranya majoriti rakyat berpendapatan sederhana dan
rendah mampu memiliki rumah selesa. Ini kerana permintaan ke atas sektor-sektor
lain seperti perabot dan barang-barang keperluan rumah akan melonjak tinggi dek
kerana rakyat akan sanggup berbelanja lebih untuk rumah sendiri berbanding
rumah yang bukan milik mereka.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
31 Mei 2012