Rencana ini ditulis
oleh
BUDIMAN MOHD. ZOHDI
Pengerusi Sekretariat
Orang Muda Selangor (Serang)
Bajet 2013 akan
dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini. Tentunya bajet pada kali ini
mempunyai harapan yang tinggi oleh anak muda berkaitan isu perumahan. Dua isu
utama adalah keupayaan anak muda untuk memiliki rumah kerana kekangan harga
yang melambung tinggi. Keduanya adalah kualiti rumah dan persekitaran yang
kondusif untuk didiami. Pada hari ini rumah bukan sekadar tempat berlindung
tetapi juga menjadi simbol status sosial. Ahli falsafah juga mengungkapkan
"rumahmu adalah wajahmu dan jiwamu". Dasar Perumahan Negara (DRN)
yang dilancarkan pada 2011 bermatlamat menyediakan perumahan yang mencukupi,
selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kehidupan rakyat.
Secara mudah kerajaan
bertanggungjawab memastikan semua rakyat dapat memiliki dan menyewa rumah
terutama kepada berpendapatan rendah dan sederhana. Sudah semestinya dasar ini
mesti dirasai oleh golongan muda kerana sering berlaku golongan ini gagal
mendapat rumah sendiri ketika usia semakin lanjut, pendapatan masih rendah
namun bergelumang dengan kos kehidupan yang semakin meningkat. Di Selangor, sejak
pertukaran pemerintah kepada DAP-Pas-PKR sudah tiada lagi kedengaran kerajaan
negeri melaksanakan projek perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah dan
sederhana apatah lagi untuk golongan muda.
Rumah pangsapuri kos
rendah antara projek terakhir ialah pada 2008 di Seksyen 7 Shah Alam di mana
majoriti penduduk pangsapuri berkenaan adalah penduduk setinggan dari sekitar
Batu Tiga Shah Alam dan dari seluruh pelosok Selangor. Begitu juga di Ken
Rimba, Padang Jawa, Shah Alam merupakan projek pangsapuri kos rendah yang
menempatkan setinggan dari Seksyen 16 Shah Alam di bawah Program Setinggan
Sifar.nKeperitan anak muda berpanjangan apabila tiada lebihan wang untuk
memiliki rumah. Gaji mereka cukup sekadar menanggung perbelanjaan bulanan. Jika
mereka bersetuju untuk menerima tambahan beban hutang bermakna mereka perlu
menambah pendapatan bulanan atau mengurangkan perbelanjaan. Keadaan menjadi
semakin kritikal apabila mereka tinggal di bandar-bandar besar dan masih lagi
menanggung adik dan ibu bapa.
Sistem pendidikan
sedia ada hanya membolehkan mereka yang berumur pertengahan 20-an untuk
memulakan kerjaya. Tanggungan utama mereka setelah bekerja adalah membayar
kembali pinjaman pendidikan, berkahwin dan memiliki kenderaan untuk ke tempat
kerja. Hanya setelah mereka berkeluarga dan stabil dalam pendapatan barulah
idea memiliki rumah sendiri muncul. Pembiayaan pembelian rumah masih lagi di
bawah penilaian bank. Penilaian bank adalah merujuk kepada kemampuan bayar
balik pinjaman. Oleh itu hanya pembeli yang layak sahaja bakal menikmati
pinjaman. Selagi pihak bank tidak melonggarkan kriteria pinjaman selagi itu ia
hanya bakal dinikmati oleh sebahagian kecil golongan muda.
Dalam perkiraan mudah
dengan rumah yang berharga RM200,000 dan tempoh bayaran 25 tahun peminjam akan
membayar RM1,000 sebulan. Jika diambil perkiraan 25 peratus daripada pendapatan
maka peminjam mestilah berpendapatan RM4,000. Biasanya tahap gaji ini akan
diperolehi setelah lima tahun bekerja. Harga rumah pada hari ini ditentukan
oleh harga pasaran. Anak muda yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000
tidak mampu memiliki rumah melebihi RM400,000. Untuk membeli sebuah rumah
dengan kos RM400,000 mereka terpaksa duduk jauh dari tempat kerja. Ada
perubahan terhadap isu perumahan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak.
Mengimbas Bajet 2011
diperkenalkan inisiatif sebanyak RM568 juta terhadap Projek Bantuan Perumahan
Bandar. Kemudian diperkenalkan pula pinjaman kewangan 100 peratus kepada
golongan muda yang berpendapatan RM3,000. Skim tanpa deposit 10 peratus
membenarkan golongan muda berumur 35 tahun ke bawah memiliki rumah berharga
antara RM100,000 hingga RM220,000. Terkini Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia
(PR1MA) diperkenalkan. Ia memberi tumpuan rumah mampu milik di kawasan bandar
dan pinggir bandar kepada anak muda berpendapatan antara RM2,500 hingga RM6,000
sebulan dengan harga rumah RM150,000 hingga RM300,000 bergantung kepada lokasi
dan saiz.
Teruskahlah, semoga
ada
khabar gembira daripada Bajet 2013.
Sumber :
Utusan Malaysia
19 September 2012