Oleh Borhan Abu Samah
Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang berakhir pada 28 Mac 2012 berjaya memberi tekanan kepada Korea Utara, supaya membatalkan rancangan untuk melancarkan roket kawalan satelit. Walaupun isu ancaman nuklear oleh negara komunis tidak dibincangkan secara langsung, tetapi pendirian tegas pada pemimpin yang menyertai persidangan itu menentang penggunaan nuklear untuk membina senjata pemusnah telah cukup untuk memberi tekanan kepada Pyongyang. Isu ancaman Pyongyang mahu melancarkan peluru berpandu jarah jauh yang dikawal dengan satelit pada pertengahan April, memang tidak terdapat pada agenda utama persidangan dua hari itu.
Bagaimanapun 53 pemimpin negara yang menyertai persidangan itu sebulat suara bahawa nuklear hanya digunakan untuk keamanan serta pembangunan dan bukan untuk dijadikan senjata pemusnah. Bahkan para pemimpin terbabit bersepakat untuk menggubal undang-undang demi memperketatkan kawalan pergerakan bahan plutonium dan uranium yang digunakan untuk membuat bom nuklear. Langkah itu diambil bertujuan mengelakkan daripada bahan berbahaya itu jatuh ke tangan pengganas atau dengan kata lain para peserta mahu melihat dunia bebas daripada rasa ketakutan kepada senjata nuklear, sebaliknya nuklear digunakan untuk kesejahteraan hidup.
Ini adalah kerana dianggarkan di seluruh dunia jumlah plutonium yang disimpan oleh pihak awam adalah cukup besar, iaitu jika disalahkan guna oleh pihak tertentu ia dapat menghasilkan lebih 30,000 senjata nuklear. Bayangkan jumlah yang begitu banyak plutonium jika tidak dikawal dengan ketat dan jatuh ke tangan pengganas, pasti akan memusnahkan bumi. Profesor Frank Hippel dari Universiti Princeton yang menyertai sidang kemuncak itu mendedahkan jumlah besar plutonium itu bukan disimpan oleh pihak tentera, tetapi sebaliknya oleh pihak awam. Hippel menjadi perhatian dunia apabila mengeluarkan statistik pada pertengahan tahun lalu bahawa terdapat 1,400 tan uranium diperkayakan di seluruh dunia yang mampu digunakan untuk membina 5,000 senjata nuklear.
Menurut beliau, 90 tan daripada keseluruhan bahan itu dimiliki oleh Rusia dan Amerika Syarikat, atau kurang daripada 1 peratus, tetapi cukup untuk digunakan bagi membina 400 bom nuklear. Persidangan pertama berkenaan diadakan di Washington dan dipelopori oleh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang bertujuan untuk memastikan dunia bebas daripada ancaman senjata nuklear. Seoul yang melihat peluang untuk mengumpul para pemimpin dunia supaya turut berkumpul dan merasakan tekanan yang dihadapi mereka memilih menjadi tuan rumah persidangan kedua dan pemilihan Seoul sebagai tuan rumah memang bertepatan sekali.
Para peserta pastinya dapat merasakan perasaan rakyat Korea Selatan yang berada dalam kebimbangan akibat ancaman Pyongyang yang turut memberi amaran bahawa mana-mana negara yang memusuhi fahaman Stalin adalah musuh Korea Utara dan akan diserang. Walaupun negara fahaman komunis itu kini telah diperintah oleh pemimpin muda Kim Jong-un, tetapi nada keras negara itu tidak pernah berkurangan. Oleh itu pendirian tegas yang dicapai di hari terakhir persidangan pasti memberi tekanan kepada Pyongyang. Apatah lagi negara sekutu mereka Rusia dan China juga mahu Korea Utara membatalkan hasratnya. Kedua-dua buah negara blok komunis itu membuat pendirian sedemikian kerana situasi semasa, di mana majoriti negara di dunia menolak keganasan dan peperangan.
China dan Rusia juga bersetuju menjadi orang tengah bagi memujuk Korea Utara supaya membatalkan hasratnya. Kedua-dua buah negara itu juga menasihatkan Korea Utara supaya lebih menumpukan kepada pembangunan dan kesejahteraan penduduknya daripada membina kelengkapan peperangan. Obama yang turut menyertai persidangan itu menasihatkan Korea Selatan supaya mempersiapkan peluru berpandu penangkis serpihan peluru berpandu Korea Utara. Situasi itu meletakkan Korea Utara terpinggir daripada masyarakat dunia dan rakan sekutunya. Inilah matlamat jangka pendek yang mahu dicapai oleh Seoul iaitu memberi tekanan kepada negara jirannya yang cukup keras kepala itu.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber :
Utusan Malaysia
29 Mac 2012