JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Februari 2011

ISU BAHASA : SIKAP ORANG MELAYU TERHADAP BAHASA IBUNDA


Adakah masyarakat Melayu bersedia menyediakan pendedahan yang dikehendaki atau masih kurang yakin terhadap bahasa sendiri? Menurut ahli falsafah Yunani Purba, Plato, sikap boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu komponen kognitif, afektif dan kesediaan untuk bertindak. Komponen kognitif berkait rapat dengan persepsi dan pemikiran manakala komponen afektif pula bersangkut paut dengan perasaan dan emosi seseorang terhadap sesuatu perkara. Kedua-dua komponen kognitif dan afektif tidak semestinya sealiran dalam diri seseorang individu itu. Misalnya, seseorang itu mungkin berasa cinta terhadap bahasanya tetapi berpendapat bahawa bahasanya itu tidak relevan dalam zaman sekarang. Ketidakharmonian kedua-dua komponen inilah yang membentuk sikap negatif sesebuah masyarakat (termasuk ibu bapa, pelajar, guru) boleh kita tinjau dan membuktikan hakikat ini.

SIKAP IBU BAPA

Terdapat dua kumpulan ibu bapa Melayu: pertama, yang menuturkan bahasa Melayu di rumah; dan kedua, ibu bapa yang berbahasa Inggeris. Bagi keluarga yang tidak menuturkan bahasa Melayu di rumah, sikap pesimis terhadap bahasa Melayu begitu jelas sekali. Komponen kognitif lebih memainkan peranan di sini berbanding komponen afektif. Walaupun terdapat juga perasaan cinta terhadap bahasa Melayu, suasana dalam dunia pekerjaan yang dialami ibu bapa membentuk tanggapan bahawa bahasa Inggeris lebih dititikberatkan daripada bahasa Melayu. Di Singapura, bahasa Inggeris diangkat sebagai bahasa kerja (working language). Ibu bapa percaya penakatan hidup di Singapura memerlukan penguasaan bahasa Inggeris. Justeru ibu bapa akan menggalakkan pertuturan bahasa Inggeris di rumah untuk menyesuaikan dan melengkapkan diri anak- anak mereka dalam menghadapi arus kemodenan yang semakin mencabar.

Bagi sesetengah ibu bapa yang masih berbahasa Melayu di rumah pula, mereka mengganggap mata pelajaran bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran yang mudah atas alasan bahasa itu memang diamalkan seharian. Walhal, ibu bapa sedemikian tidak sedar bahawa bahasa di rumah berbeza dengan bahasa baku di sekolah. Tiada latihan disediakan di rumah untuk membolehkan pelajar menerapkan ilmu yang diperolehinya. Tumpuan dan penekanan hanya diberikan kepada mata pelajaran yang dianggap lebih mencabar seperti sains dan matematik. Golongan yang dituding untuk menerapkan semangat cintakan bahasa Melayu tidak lain tidak bukan ialah golongan guru.

SIKAP GURU

Guru bahasa Melayu seringkali dilihat sebagai tunggak kedaulatan bahasa Melayu. Merekalah pendidik dan mereka jugalah pejuang bahasa. Namun, adakah kesemua guru bahasa Melayu berkongsi matlamat yang sama ke arah memartabatkan bahasa Melayu? Sayangnya, tidak begitu hakikatnya. Ada sesetengah guru itu melihat tanggungjawab mengajar bahasa Melayu sebagai kerjaya semata-mata, bukan kerana cinta dan minat yang mendalam terhadap bahasa itu. Kerjaya guru yang sememangnya agak lumayan itu menarik minat golongan ini untuk menceburi bidang tersebut. Lebih-lebih lagi mata pelajaran bahasa Melayu lebih mudah diajar berbanding mata pelajaran yang lain. Apa yang diajarnya merupakan kandungan dalam buku-buku teks sematamata. Sikap sedemikian boleh menghambat penyampaian nilai-nilai murni yang kaya dalam bahasa Melayu. Pengajaran bahasa Melayu memerlukan golongan pendidik yang tinggi ilmunya tentang budaya Melayu kerana bahasa adalah lantunan budaya masyarakat tersebut.

SIKAP MURID

Golongan pelajar merupakan golongan yang paling penting kerana pada golongan inilah yang diukur tahap kecekapannya. Kejayaan atau kegagalan kurikulum bahasa ibunda bergantung pada prestasi golongan ini. Prestasi yang cemerlang tidak boleh diperolehi tanpa sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Kebanyakan pelajar merasakan bahawa bahasa Melayu hanya diperlukan sewaktu mata pelajaran bahasa Melayu dan ketika berbual dengan guru bahasa Melayu sahaja. Di luar mandala itu, bahasa Melayu sudah tiada ruang dalam kehidupan mereka. Pergaulan mereka dengan rakanrakan berbilang bangsa lain memungkinkan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih kerap. Sementelahan bahasa pengantar bagi mata pelajaran di sekolah yang merupakan bahasa Inggeris telah membuat murid-murid lebih terdedah kepada bahasa tersebut. Hasilnya, perolehan kosa kata bahasa Inggeris lebih banyak berbanding kosa kata bahasa Melayunya. Apabila berbual, lebih terpacul kekata Inggeris daripada pelajar Melayu.

Situasi di atas merupakan salah satu contoh bagi komponen sikap yang ketiga iaitu tindak balas terhadap keadaan sekeliling. Mereka merasakan memadai untuk menggunakan satu bahasa sahaja tanpa mengambil kira penutur yang diajak berbual. Apa yang menyedihkan ialah ada segelintir pelajar Melayu yang menaruh perasaan jelek terhadap bahasa ibundanya. Masalah sosial yang menghantui masyarakat Melayu sekali gus mencerminkan martabat bahasa Melayu. Hanya orang Melayu yang tidak berpendidikan tinggi atau yang terlibat dalam samseng jalanan akan menggunakan bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahasa itu boleh melambangkan identiti penuturnya. Dengan berbahasa Inggeris, golongan terpelajar ini menyangka diri mereka berada di tahap yang lebih tinggi dan berprestij. Lagi menghairankan, ada pelajar 'elit' bahasa Melayu berasa canggung dan malu untuk berbahasa Melayu. Sayangnya, harapan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu yang disandarkan pada golongan sedemikian bak indah khabar dari rupa sahaja.

SIKAP MASYARAKAT

Gerakan badan Melayu seperti mesyuarat di masjid, pertubuhan sehinggalah kalangan elit Melayu seperti doktor sehinggalah usahawan perlulah menonjolkan penggunaan bahasa Melayu yang elok. Kelak ini akan menjadi penyedar dan petunjuk kepada anak muda kita, termasuk pelajar, agar berasa bangga akan bahasa ibundanya. Kesimpulannya, apa pun sikap yang terbuku dalam jiwa masyarakat kita, masih belum terlambat bagi setiap individu untuk sedar akan kepentingan bahasa ibundanya. Bahasa sebagai identiti bangsa bukanlah 'alat' semata-mata seperti mana yang ramai sangkakan. Di dalam bahasa ibunda tersirat nilai-nilai moral dan adab yang harus ada dalam sahsiah setiap individu. Weltanschauung atau pandangan masyarakat yang menyeluruh dapat ditelusuri melalui bahasanya. Janganlah Bulan Bahasa sekadar kempen saja, sedang bangsa kita hanya tinggal pada nama sahaja.

Oleh : Muhd Firdaus Rahmat
Sumber : KL Pos. com http://www.klpos.com
Nota: Penulis kini mengikuti program Sarjana Muda Pengajian Melayu, 
Universiti Malaya.

ISU SOSIAL : SEMUA PIHAK PERLU ADA TANGGUNGJAWAB PUPUK PERPADUAN KAUM


Rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, sekali lagi diingatkan pentingnya perpaduan kaum dipupuk sepanjang masa demi memelihara keharmonian hidup di negara ini. Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1Malaysia 1Ummah, yang disambut semalam, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah, setiap rakyat harus mengikis sikap curiga-mencurigai, bukan saja sesama umat Islam malahan di kalangan masyarakat berbilang kaum. Baginda mahu sentimen perkauman sempit dibanteras daripada awal sebelum membarah dalam masyarakat. Meneruskan dasar perpaduan diperjuangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui lima Perdana Menteri lalu, kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak terus mendukung falsafah perpaduan dalam pentadbirannya. Dengan cabaran dan lingkungan sangat berbeza, beliau memperkukuhkan teras perpaduan nasional dengan mengetengahkan gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri dalam perutusan sempena Maulidur Rasul menerusi blognya www.1malaysia.com.my, kelmarin, yang turut menyentuh isu sama berkata, perpaduan adalah rencah utama proses transformasi umat Islam secara menyeluruh dalam semua bidang bagi melahirkan kekuatan umat progresif. Justeru, beliau mahu umat Islam mengutamakan perpaduan kaum dan agama seperti mana dilakukan Nabi Muhammad SAW yang berjaya menyatukan umat pelbagai kaum serta agama di Madinah. Mesej perpaduan bersifat sejagat itu perlu disebar luaskan kepada seluruh umat Islam serta setiap warga yang berpayung di bawah kedaulatan di negara ini. Menilai manfaat perpaduan sebagai teras kemajuan sosioekonomi negara, kita harus menginsafi jika perpecahan berlaku dalam ukhuwah umat Islam, nescaya generasi akan datang menanggung padahnya.

Perpecahan dalam mana-mana masyarakat boleh mengundang keruntuhan, walaupun sekian lama perpaduan dibina serta diperkukuhkan. Hari ini, negara diancam puak yang mempunyai agenda ketika kepemimpinan Najib berusaha memperkukuhkan perpaduan kaum. Rakyat semakin jelas bahawa perpaduan bermakna mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan. Rakyat majmuk negara ini bukan saja berbeza warna kulit, sebutan bahasa, anutan agama dan amalan budaya malah sangat sensitif terhadap semua aspek berkenaan. Namun sensitiviti itu berjaya kita urus dengan perimbangan toleransi, penerimaan dan persefahaman, sekali gus sikap itu memperkukuhkan perpaduan sedia ada. Kita berupaya menyerap kelebihan dan kekurangan, sensitiviti serta toleransi kerana sudah diajar bahawa perbezaan antara kaum mampu digembleng menjadi kekuatan dan menjadikan hidup kita lebih sempurna.

Perpaduan kaum turut menuntut rakyat mengamalkan sikap bersederhana, menolak ekstrem, memilih jalan tengah serta tidak bersangka buruk dalam semua tindakan dan keputusan. Sebagai komponen pembangunan dan kemajuan, kita berharap semua pihak akan terus mempromosikan perpaduan dalam segenap bidang serta urusan. Bermula daripada institusi keluarga, institusi sekolah, kejiranan dan komuniti sehingga ke pejabat serta lapangan kerja, ciri perpaduan mesti diterap dan disuburkan. Jangan benarkan bibit ekstrem dan agenda yang memecah-belahkan perpaduan sesama ummah dan antara kaum yang sering dicetuskan parti politik dan organisasi tidak bertanggungjawab, bertapak dalam masyarakat. Kita tidak mahu perpaduan yang terbina sekian lama, musnah sekelip mata dek kerana tiada persefahaman, toleransi dan perasaan saling menghormati.

SUMBER : RUANGAN MINDA PENGARANG, BERITA HARIAN, 16 FEBRUARI 2011

ISU PEKERJA ASING : PEKERJA FILIPINA DI SELURUH DUNIA HANTAR BALIK WANG BERJUMLAH RM52 BILION SETAHUN


Penghantaran balik wang dilakukan warga Filipina yang bekerja di luar negara - yang menjadi sumber pendapatan kebanyakan keluarga di negara itu - meningkat 8.2 peratus tahun lalu kepada AS$18.76 bilion (RM56.28 bilion), kata Bank Pusat pada 15 Februari 2011. Peningkatan itu lebih tinggi daripada jangkaan pertumbuhan lapan peratus, kata Gabenor Bank Pusat, Amando Tetangco Jr. Pada 2009, jumlah wang yang dihantar pulang warga Filipina yang bekerja di luar negara ialah AS$17.34 bilion (RM52.88bilion). Hampir 10 peratus daripada 94 juta penduduk Filipina bekerja di luar negara dan wang yang dihantar pulang kepada keluarga mereka menjana pertumbuhan ekonomi dan perbelanjaan tempatan. 


SUMBER : HARIAN METRO ONLINE, 16 FEBRUARI 2011

ISU WARISAN : BATIK MALAYSIA BERKELAS DUNIA, TAMBAT HATI ORANG LUAR



Batik Malaysia bukan sahaja berjaya mengekalkan ciri-ciri keasliannya walaupun berhadapan dengan peredaran zaman, malah ia berupaya menambat hati masyarakat luar sehingga mendapat tempat di persada antarabangsa. Budayawan, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin berkata, industri batik Malaysia berjaya dimajukan selepas dikomersialkan dan kini ia menjadi antara kebanggaan rakyat. Beliau yakin dalam tempoh seabad akan datang batik tetap tidak akan ditelan zaman terutama apabila corak yang dihasilkan adalah berunsurkan alam. Unsur alam sememangnya berkekalan sepanjang zaman dan ia tidak membosankan. Jika 100 tahun lagi kita buat kajian, anak cucu pasti turut berasa bangga dengan kreativiti yang tinggi di kalangan masyarakat kita. Antara contoh seni pada batik ialah unsur ombak, rumpun padi yang dihembus angin, aliran-aliran alur sungai. Itu semua indah dan ia menonjolkan keperibadian dan jati diri budaya Melayu yang lembut dan sopan. Swee Tin berkata, beliau yang berasal dari Kelantan dan antara individu yang mengikuti perkembangan industri itu sejak batik cop sehingga lukisan tangan tidak menafikan bahawa batik Malaysia adalah berkelas dunia. 

Berhubung dakwaan Indonesia bahawa batik Malaysia jelik jelasnya, penafian itu adalah subjektif kerana ia hanya luahan berdasarkan cita rasa seseorang atau masyarakat di sesebuah negara. Itu dari kaca mata mereka. Bangsa bertamadun tidak akan berkata begitu. Seharusnya setiap bangsa perlu saling menghormati karya-karya orang lain. Perkara seperti ini adalah bergantung pada apresiasi pihak-pihak tertentu. Kalau kita nak memperkatakan tentang batik mereka, pasti mereka juga tidak suka kerana daripada pandangan kita batik mereka itu seninya kasar. Semua orang ada jiwa berlainan, pandangan mereka lain, begitu juga dengan kita. Beliau menambah, sekiranya benar batik Malaysia jelik atau buruk, sudah lama ia tidak boleh bertahan di pasaran, namun dakwaan itu sememangnya meleset ekoran tekstil itu semakin hebat terutama apabila pembuat batik berupaya mengekalkan ciri-ciri keaslian budaya Melayu. 

Sementara itu, Profesor Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr. Ramlah Adam menasihatkan rakyat Malaysia supaya jangan mudah terpengaruh dengan kenyataan pihak luar mengenai batik Malaysia. Kata beliau, sepatutnya sebagai rakyat Malaysia harus mempertahankan budaya bangsa serta bangga terhadap produk tempatan yang mendapat pengiktirafan dunia. Sebagai rakyat Malaysia kita mesti hormat dan sayang dengan batik Malaysia kerana ia produk terkenal dan merupakan identiti kita. Indonesia kutuk batik kita kerana mereka mahu melariskan batik mereka.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA, 16 FEBRUARI 2011