Rencana ini ditulis
oleh :
Azman Anuar
Sesiapa yang pernah
menjadi pelajar Tingkatan Enam pasti ada menyimpan perasaan malu ketika
berpakaian seragam sekolah dalam usia 18 -20 tahun ketika itu. Pakaian sekolah
inilah antara faktor yang tidak merangsang ramai pelajar lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun sudah ada penambahbaikan dari segi
kurikulumnya yang mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak ikut sistem
semester, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, tetapi
soal berpakaian seragam sekolah dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan
semasa. Selepas meninggalkan Tingkatan Enam kira-kira 30 tahun lalu, saya lihat
pakaian baju putih, seluar panjang hijau tua bagi lelaki dan baju kurung putih
dan berkain biru laut bagi perempuan - masih melekat di tubuh pelajar 'dewasa'
sekolah menengah sampai sekarang.
Mereka juga ada
perasaan untuk bergaya. Tetapi kepada pelajar yang sudah memasuki usia remaja,
mereka diwajibkan berpakaian seragam itu untuk ke kelas. Apabila melihat rakan
sebaya yang menuntut di pusat asasi, matrikulasi atau kolej universiti serta
institut pengajian yang menawarkan sijil pun - mereka berpakaian biasa. Kalau
ada pakaian seragam pun tidak sama dengan pakaian sekolah. Persepsi pelajar
tingkatan enam macam budak-budak sekolah sedikit meruntun rasa kecil hati
mereka. Tapi itulah yang ditetapkan oleh kerajaan sejak wujud tingkatan enam
lagi. Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu.
Perubahan zaman pantas berubah dan bertukar penampilan. Namun dalam usia remaja
sedemikian, mereka merasa malu masih dilihat seperti pelajar tingkatan lima ke
bawah.
CIKGU ZUL SETUJU SANGAT,
ANDA BAGAIMANA?
Ubahlah dasar pakaian
sekolah bagi membenarkan pelajar tingkatan enam berpakaian kemas sebagaimana
ditetapkan peraturan kepada pelajar di universiti. Kita mahu melihat pelajar
tingkatan enam berubah imej dengan pakaian kemas dan berkasut hitam. Seluar
jeans dan baju T tidak dibenarkan. Dengan perubahan sedemikian tidak nampak
lagi perbezaan pelajar tingkatan enam dengan rakan sebayanya di peringkat
prauniversiti. Pakaian pelajar tingkatan enam ini perlu diberi perhatian utama
dalam usaha Kementerian Pelajaran memberi wajah baru kepada pelajar STPM. Cadangan
ini bersesuaian dengan pengumuman bahawa perubahan besar bakal dilakukan
kerajaan dengan memisahkan pelajar tingkatan enam daripada pelajar tingkatan
satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian
khas.
Banyak pihak
menyambut baik berita yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat Menteri-Menteri
Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-7 di Yogyakarta, Indonesia kelmarin. Tingkatan enam
sepatutnya menjadi pentas bagi melatih para pelajar supaya mereka lebih
berdikari dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran di universiti.
Oleh itu amat sesuai sekali sistem pelajaran tingkatan enam diberi penjenamaan
semula. Imej pelajar, sistem dan kualiti pendidikan tersebut perlu diselaras
dengan sistem pendidikan prauniversiti lain. Memang elok sangat cadangan
Muhyiddin supaya kelas tingkatan enam dipisahkan dari sekolah menengah sedia
ada. Guru yang mengajar pelajar tingkatan enam juga harus golongan guru yang
berbeza.
Apa sahaja yang
difikirkan baik untuk memulihkan semangat dan imej tingkatan enam, lakukanlah.
Kalau kerajaan mahu mengkaji tempoh pembelajaran tingkatan enam dipendekkan
kepada enam bulan lebih awal seperti yang dilalui oleh pelajar-pelajar
matrikulasi, maka teruskan usaha tersebut. Memang kerajaan perlu mengubah sistem
pendidikan tingkatan enam kerana persepsi sebilangan besar masyarakat terhadap
tingkatan enam dilihat berada di peringkat bawah berbanding dengan pendidikan
matrikulasi. Sedangkan kelulusan dan kelayakan pelajar yang mengambil STPM dan
matrikulasi adalah sama. Mereka perlu bersaing untuk merebut tempat melanjutkan
pelajaran ke universiti. Tiada beza nilai sijil STPM dengan sijil matrikulasi,
cuma yang membezakan mereka ialah sistem pelajaran, tempat belajar dan pakaian
seragam. Jadi jika Kementerian Pelajaran ingin membuat perubahan, jangan lupa
ubah juga imej baju sekolah itu.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
08 Julai 2012