JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Mei 2012

ISU POLITIK : PEMIMPIN BERINTEGRITI TONGGAK NEGARA SEJAHTERA


Oleh REBICCA RIBUT
(Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim Kedah)
PENULIS ialah pemenang kedua Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat pengajian tinggi yang dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini.


Dalam era globalisasi ini, kesejahterahan dan keamanan sesebuah negara seringkali digugat oleh pelbagai anasir negatif sama ada dari dalam atau luar negara. Anasir negatif tersebut datang dalam pelbagai bentuk seperti hiburan dari Barat dan pengaruh internet. Oleh demikian, kebijaksanaan dan kecekapan seorang pemimpin adalah penting dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara. Namun, seorang pemimpin tersebut juga harus menitikberatkan, mengamalkan dan memiliki integriti dalam dirinya. Integriti dapat ditakrifkan sebagai suatu kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu atau organisasi serta berkait rapat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam sehari-hari. Dalam Kamus Dewan didefinisikannya sebagai kejujuran dan ketulusan. Terdapat pelbagai sikap pemimpin yang mencerminkan integriti seperti bersikap amanah, beriltizam tinggi, berakhlak dan berbudi pekerti mulia serta dapat memberi teladan yang baik kepada rakyat.

Seseorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap amanah iaitu dapat memikul tanggungjawab sebagai salah seorang individu yang terpenting dalam tampuk pemerintahan negara. Oleh itu, seorang pemimpin juga harus mengamalkan sikap amanah dalam menjalankan tugas. Contohnya, tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, keluarga sanak saudara atau kaum kerabat sendiri. Sebaliknya, seorang pemimpin harus memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Selain itu, tanggungjawab sebagai seorang pemimpin juga harus dipikul dengan penuh ketelusan dan ketulusan. Hal ini kerana, sebagai seorang pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat, mengamalkan dan memiliki sikap amanah akan menjadikan mereka lebih diyakini keupayaan dan keikhlasan dalam mentadbir negara oleh golongan marhaen. Seperti peribahasa Melayu, "Raja adil - raja disembah, Raja zalim - raja disanggah." Oleh itu, sebarang pemberontakan atau demonstrasi yang berunsurkan ketidakpuashatian rakyat terhadap kepimpinan seorang pemimpin dapat dielakkan daripada berlaku.

Jika kita lihat di negara-negara luar seperti Libya, yang mana telah wujud golongan yang mempertikaikan kepimpinan serta ingin menggulingkan pemimpin mereka iaitu Muammar Gaddafi sehingga mewujudkan pergolakan dan suasana kacau-bilau sehingga mengakibatkan ketidakamanan di negara tersebut. Sekiranya perkara seumpama itu berlaku di negara kita, sudah tentu keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi sejak sekian lama akan tergugat dan kita hidup dalam ketakutan. Oleh itu, jelaslah bahawa bersikap amanah amat penting bagi seorang pemimpin bagi memastikan kesejahteraan negara. Selain itu, seorang pemimpin juga harus mempunyai iltizam yang kuat serta bersedia dari segi mental dan fizikal dalam mentadbir negara. Mempunyai iltizam yang kuat bermaksud memiliki kesungguhan yang jitu dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Pemimpin harus memiliki ilmu pengurusan bagi membolehkannya mentadbir negara dengan cekap dan efektif bagi menjamin kesejahteraan negara yang ditadbir. Contohnya, seorang pemimpin yang tidak memiliki iltizam serta ilmu pengurusan akan menjadi seorang pemimpin serta ketua tanpa persediaan dalam melaksanakan tanggungjawab seperti sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ia akan memberi impak yang buruk kepada negara iaitu mewujudkan kepincangan dalam pemerintahan. Peristiwa kejatuhan kesultanan Melayu Melaka pada zaman dahulu yang berpunca daripada kepincangan dalam pemerintahan harus dijadikan iktibar serta teladan kepada pemimpin. Oleh itu, seyogia seorang pemimpin harus mendapat latihan kepimpinan serta menimba ilmu secukupnya sebelum memegang gelaran sebagai pemimpin. Pemimpin sebegini akan lebih dihormati dan disegani oleh rakyat serta menjadi suri teladan kepada segenap lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, memiliki akhlak dan berkelakuan mulia juga merupakan salah satu sikap berintegriti yang harus diamalkan oleh pemimpin. Pemimpin yang berintegriti akan mengamalkan dan menghayati nilai-nilai moral seperti kepercayaan kepada Tuhan, amanah dan kejujuran. Nilai moral seumpama ini harus menjadi pegangan pemimpin dalam mentadbir negara. Oleh itu, kerakusan nafsu dalam diri pemimpin tidak akan wujud. Nafsu tersebut dapat dilihat apabila seorang pemimpin tidak jujur dalam menjalankan tanggungjawabnya seperti mengamalkan rasuah. Selain itu, seringkali kita membaca berita yang terpampang di dada akhbar yang mengatakan tentang calon-calon pilihan raya yang hanya inginkan populariti untuk meraih undi tanpa mengambil kira kepentingan negara. Golongan seumpama ini hanya akan bertindak mengikut nafsunya sendiri tanpa menghayati nilai-nilai moral. Justeru, rakyat akan kurang berkeyakinan terhadap pemimpin tersebut kerana menganggap pemimpin seumpama itu adalah gila kuasa.

Sementara itu, seorang pemimpin harus mengotakan kata dan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat dan bukannya sekadar pemanis bicara. Mutakhir ini, rakyat seringkali berhadapan dengan pemimpin yang hanya bijak berpidato dan berhujah tentang integriti di hadapan rakyat namun terdapat tingkah laku mereka yang tidak mencerminkan mereka mengamalkan integriti. Misalnya, menyeru rakyat agar menjauhi amalan rasuah kerana amalan tersebut boleh mendatangkan impak negatif terhadap negara. Namun dalam masa yang sama, mereka turut mengamalkan dan seolah-olah membenarkan rasuah terjadi dalam negara. Pemimpin seperti ini boleh dikatakan sebagai 'cakap tidak serupa bikin' oleh masyarakat yang kian bijak menilai baik buruk peribadi seorang pemimpin. Oleh itu, tidak hairan jika wujudnya golongan yang mempertikai daya kepimpinan pemimpin tersebut akibat hilang keyakinan.

Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, pemimpin tersebut harus bermuhasabah diri dalam setiap tindak-tanduknya sebagai seorang pemimpin bagi menjaga hati dan kepentingan rakyat sekali gus menjaga kesejahteraan negara. Intihanya, seorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap berintegriti dalam diri mereka bagi menjalankan tanggungjawab memimpin negara dengan lebih baik dan berkesan agar dapat menjadi suri teladan kepada masyarakat. Jelas, pemimpin yang berintegriti akan lebih disenangi, disegani serta dihormati oleh rakyat. Malah, rakyat akan lebih berkeyakinan terhadap tampuk pemerintahan pemimpin yang berintegriti sekali gus dapat mengelakkan timbulnya kejadian yang tidak diingini seperti tunjuk perasaan dan kekacauan yang mampu mengganggu gugat ketenteraman, keamanan serta kesejahteraan negara. Oleh itu, pemimpin yang berintegriti adalah tonggak utama kesejahteraan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 MEI 2012

ISU SOSIAL : PULANGKAN NAYATI KE PANGKUAN KELUARGANYA


Oleh Fauziah Arof


Satu lagi berita kehilangan kanak-kanak dilaporkan pada 27 April lalu. Nayati Shamelin Moodliar, warga negara Belanda yang berusia 12 tahun dipercayai diculik pada pukul 7 pagi ketika dalam perjalanan ke sekolahnya berhampiran Mont Kiara International School (MKIS), di ibu negara. Ketika kejadian tersebut, kanak-kanak lelaki ini, memakai uniform sekolah, iaitu berkemeja T Polo dan berseluar hijau. Dia dikatakan diculik ketika berjalan kaki seorang diri kira-kira 300 meter dari rumahnya. Semoga kehilangan yang kali ini berkesudahan dengan berita gembira. Kita berharap agar anak kecil ini akan dikembalikan ke pangkuan keluarganya dengan selamat. Berita mengenai Nayati tersebar luas beberapa jam selepas kehilangannya di Facebook, Twitter dan Youtube di seluruh negara. Sistem amaran awal bagi kehilangan kanak-kanak atau NUR Alert (National Urgent Response Alert) turut menyebarkan berita kanak-kanak ini.

Dalam pada itu, pengendali khidmat selular turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenainya kepada pelanggan- pelanggannya. Risalah-risalah juga diagih dan ditampal di tempat-tempat awam termasuk di beberapa buah tol. Rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan peringkat umur bersama-sama berusaha untuk mengesan ke mana perginya Nayati dan pada masa sama juga mendoakan keselamatan kanak-kanak itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan dirinya sebagai seorang bapa, turut merayu di dalam Twitternya agar Nayati tidak diapa-apakan dan meminta orang ramai supaya memperluaskan pencarian kanak-kanak malang berkenaan melalui media sosial. Semoga kehilangan Nayati tidak lama. Kita berharap agar anak kecil ini yang amat berharga sekali kepada ibu bapanya diberi peluang untuk bersama keluarganya semula.

Kehilangan Nayati mengusik lagi kerisauan kita. Betapa ibu bapa perlu sentiasa lebih berhati-hati dengan persekitaran kita. Penjenayah di luar sana sentiasa mencari ruang dan menunggu peluang untuk melakukannya. Soal aspek keselamatan, kekerapan pihak polis melakukan rondaan, betapa perlunya pihak sekolah mengadakan ceramah mengenai bagaimana anak-anak menghadapi situasi seperti ini, turut disentuh semula bila berlaku saja kejadian seperti ini. Tidak perlulah kita menuding jari siapa yang perlu buat kerja lebih untuk menangani jenayah culik kanak-kanak ini. Ini semua adalah tanggungjawab kita bersama, sebagai pelindung kepada mereka. Rakyat Malaysia telah menunjukkan betapa kita semuanya bersatu dalam menyebarkan maklumat mengenai kehilangan kanak- kanak ini. Apa yang penting semangat seperti ini ada dalam diri kita semua dalam menangani jenayah penculikan kanak-kanak ini.

Sikap peka dan mengambil berat setiap lapisan masyarakat mengenai aspek keselamatan kanak-kanak di sekeliling kita, jauh lebih baik daripada mengharapkan kekerapan pihak berkuasa melakukan rondaan. Tiada salahnya, bertanyakan dan menemankan kanak-kanak yang berjalan berseorangan di mana-mana jua, sampai ke tempat yang ditujunya. Tragedi yang menimpa beberapa kanak- kanak yang diculik sebelum ini sudah terlalu pahit untuk kita semua menerimanya. Episod-episod sedih itu amat menyentuh sanubari kemanusiaan kita semua. Dan kita juga mengetahui, masih ramai lagi kanak-kanak dan remaja yang hilang di negara ini belum ditemui. Namun, ibu bapa mangsa yang terlibat terus berdoa dan menaruh harapan yang menggunung agar anak mereka dipulangkan jua satu masa nanti. Semoga dengan penyebaran maklumat yang menyeluruh ini Nayati dapat segera dikesan dan ditemui dengan keadaan selamat serta dapat menjalani semula kehidupannya seperti kanak-kanak lain. Dan semoga ibu bapa Nayati dan ahli keluarganya diberikan lebih kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 MEI 2012