Oleh Ruhaiza Rusmin
Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan 15 tahun lalu bagi membantu dan
meringankan bebanan ibu bapa membiayai kos pengajian anak mereka. Peningkatan
kos pengajian terutama di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menyebabkan
kerajaan berpendapat satu tabung perlu diwujudkan bagi membantu ibu bapa. Sejak
itu, PTPTN membantu mahasiswa membiayai pengajian mereka di universiti dan ibu
bapa hanya menyediakan duit poket. Hakikatnya, pelajar dan ibu bapa mendapat
manfaat tetapi ramai tidak menunaikan janji apabila menamatkan pengajian dan
mendapat pekerjaan. Kegagalan pelajar membayar balik pinjaman menyebabkan PTPTN
menanggung kerugian kerana terpaksa menambah jumlah pembiayaan setiap tahun. Ketegasan
pengurusan PTPTN melarang pelajar yang gagal membayar balik pinjaman
meninggalkan negara selain menyiarkan nama mereka di akhbar, sedikit sebanyak
membenihkan kemarahan pelajar.
Ada pelajar menggelar
PTPTN sebagai ‘along’ kerana mengambil tindakan tegas terhadap mereka padahal
sebagai pemilik, mereka berhak berbuat demikian. Akhir-akhir ini apabila ada
pihak menyarankan supaya kerajaan memansuhkan pinjaman PTPTN, pelajar mengambil
kesempatan daripada isu itu untuk menangguk di air keruh. Mereka begitu drastik
mahukan PTPTN dimansuhkan tetapi persoalannya, apakah benar tabung itu
menyusahkan atau mahasiswa enggan memikul tanggung jawab? Ketua Jabatan
Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Wan Azman
Saini Wan Ngah berkata, tindakan keterlaluan itu mencerminkan sikap sesetengah mahasiswa yang
tidak tahu mengenang budi. Baginya, golongan itu hanya mentafsir PTPTN secara
luaran yang mengaitkannya sebagai ‘penindas mahasiswa’, namun tidak mengambil
kira aspek lain yang turut dijana hasil pemberian badan pinjaman berkenaan.
“Mereka sebenarnya
tidak tahu hujung pangkal perjuangan. Mereka hanya sekadar berteriak mahu
memansuhkan PTPTN kerana dianggap menindas dan menyusahkan. Hakikatnya, banyak
lagi kepentingan PTPTN tidak diketahui. Jika mereka faham mengenai sumbangan
PTPTN, pasti tidak akan bertindak begini,” katanya. PTPTN yang ditubuhkan pada
1997 kini melalui saat sukar apabila dituduh penindas mahasiswa termasuk
menyenarai hitam peminjam yang culas membayar kembali pinjaman selain
menanggung kos pentadbiran satu peratus. Bagaimanapun, beliau menegaskan, apa
dianggap membebankan itu nilainya terlalu kecil jika dibandingkan nikmat
diperoleh mahasiswa selepas tamat pengajian. “Bayangkan, pinjaman diterima
hanya sekitar lima hingga 10 peratus saja daripada seluruh kos pendidikan. Yang
lainnya sudah diber subsidi. Dengan pinjaman seperti itu, mereka akhirnya
menjadi manusia dengan kerja dan pendapatan yang baik. Jadi mengapa mesti
bising dan tidak berpuas hati?
“Adakah nilai itu
terlalu besar berbanding nikmat bakal diperoleh pada masa depan? Kadar semasa
dikenakan institusi pinjaman seperti bank juga lebih tinggi, nilai satu peratus
ditambah pinjaman itu sebenarnya tidak berbaloi,” katanya. Mahasiswa tidak
perlu memasang angan-angan inginkan pendidikan percuma kerana harga pendidikan
hari ini mahal harganya. “Ya, kita boleh melakukannya seperti negara maju, tapi
sanggupkah rakyat negara ini membayar cukai melebihi 26 peratus? Jangan
bandingkan dengan negara maju sebab cukai mereka sangat tinggi seperti Jerman
sebanyak 46 peratus. United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Sweden
dulunya memberi pendidikan percuma tetapi kini mula mengenakan bayaran
pengajian untuk mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT). Di UK dan AS
misalnya, mereka juga ada badan pinjaman seperti PTPTN kerana tahu tidak mampu
lagi memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya,” katanya.
Katanya, jika negara
berkenaan sudah melakukannya, apa relevan permintaan seperti itu di negara ini?
Melalui PTPTN, jumlah mereka yang mampu memperoleh pendidikan melonjak daripada
hanya 27,000 tempat ditawarkan di IPT sekitar 1990-an kepada 381,000 pada 2010.
“Lonjakan 14 kali ganda ini membuktikan sumbangan PTPTN untuk membantu
masyarakat memperoleh pendidikan sangat besar, sekali gus melonjakkan lagi
sektor tenaga kerjaya, ekonomi dan pembangunan. Industri makanan, pembinaan,
teknologi dan penerbitan juga memperoleh manfaat kerana adanya permintaan
tinggi daripada warga IPT. Bayangkan, jika tiada PTPTN, adakah sektor ini mampu
bertahan? Pada saya, mahasiswa ini hanya dipergunakan sedangkan mereka sendiri
tidak tahu apakah perjuangan sebenar,” katanya. Menekankan tanggungjawab
sebenar mahasiswa adalah belajar hingga tamat pengajian, seterusnya memperoleh
pekerjaan baik bagi membayar semula pinjaman diperoleh.
“Mentaliti ini yang
perlu disemai kerana hakikatnya mereka masih belajar dan perlu terus belajar
hingga berjaya menggenggam ijazah. Ini bukan tanggungjawab mereka. Apa jua
kehendak dan keputusan biarlah dibuat berlandaskan hasil perbincangan pihak
berkaitan yang lebih berkepentingan serta arif. Mengadili PTPTN dengan cara
melancarkan tindakan provokasi bukan penyelesaian terbaik. Ini bukan cara
golongan intelektual,” katanya. Menegaskan fungsi PTPTN sebagai institusi
pemudah cara sokongan pendidikan masih relevan, beliau percaya jika pendidikan
percuma diberikan, pastinya mahasiswa tidak akan menghargai peluang di depan
mata. “Rasionalnya, barang percuma, nilainya tidak begitu berharga. Jika
sekarang pun mereka tidak pandai menghargai, bayangkan jika diberi pendidikan
percuma. Keadaan ini berbeza dengan mahasiswa dulu sebab mereka
bersungguh-sungguh menggunakan peluang untuk mengubah nasib manakala ibu bapa
sanggup bergolok gadai. Kesukaran dan keperitan menjadikan mereka fokus dan
tidak banyak meminta-minta. Malangnya, mahasiswa hari ini mensia-siakan peluang
yang diberikan,” katanya.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber :
Utusan Malaysia
8 Mei 2012