ABDUL RAHIM NOOR
Insiden yang kita hadapi sekarang
iaitu pencerobohan kumpulan bersenjata terdiri hampir 200 orang Islam dari
selatan Filipina dan mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu mempunyai sejarah
tersendiri yang relevan dan berkait rapat dengan penubuhan Malaysia serta
pembentukan negara Filipina moden. Sebelum Malaysia diwujudkan pada 16
September 1963, Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara British merupakan
sebuah wilayah di bawah pemerintahan kolonial Inggeris. Kedudukan Borneo Utara
British yang begitu hampir dengan selatan Filipina menjadikan sempadannya,
seperti dikatakan banyak pihak, bolos atau mudah ditembusi.
Pada ketika itu, seolah-olah tiada
sempadan yang kukuh memisahkan kedua-dua wilayah itu. Hanya Laut Sulu yang
menjadi sempadan. Keadaan geografi yang sedemikian memudahkan penduduk dari
selatan Filipina memasuki Borneo Utara British sehingga menyebabkan masyarakat
yang berasal dari Sulu menjadi kumpulan etnik ketiga terbesar di negeri itu
selepas kaum Kadazandusun dan Cina. Malah, majoriti umat Islam di Sabah hari
ini berasal dari selatan Filipina. Itu memang fakta sejarah. Era Filipina
sebagai sebuah republik yang bebas dan merdeka bermula pada 1946. Sebelum itu,
negara berkenaan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat iaitu Sepanyol (1565-1821) dan
Amerika Syarikat (1898-1946). Saya pernah terbaca dalam sebuah buku yang
menyatakan Manila yang kini menjadi ibu negara Filipina pernah diperintah oleh
seorang sultan.
Mungkin sistem kesultanan yang
diamalkan oleh wilayah-wilayah lain di Filipina sebelum kepulauan itu dijajah
Sepanyol bukan terhad di kawasan selatan sahaja. Namun, hanya Kesultanan Sulu
yang masih lagi wujud dan kawasannya meliputi Sulu, Basilan, Palawan dan
Tawi-Tawi. Dalam situasi yang kita hadapi sekarang, waris-waris Kesultanan Sulu
mendakwa mereka mempunyai hak yang sah ke atas Sabah dan berhasrat
menjadikannya sebahagian daripada kawasan di bawah naungan kesultanan itu. Hasrat
menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara British dan
Sarawak disuarakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra
al-Haj, ketika berucap dalam satu majlis yang dianjurkan Persatuan Wartawan
Asing Asia Tenggara di Singapura pada 1961. Indonesia dan Filipina menunjukkan
reaksi yang agak cepat dan keras terhadap idea tersebut. Indonesia yang pada
ketika itu di bawah pentadbiran Presiden Sukarno menuduh penubuhan Malaysia
sebagai penjajahan bentuk baharu atau neokolonialisme.
Pentadbiran Presiden Diosdado
Macapagal dari Filipina pula tidak bersetuju kerana pada pandangannya,
pemerintah Filipina yang mewakili Kesultanan Sulu mempunyai hak ke atas Borneo
Utara British. Bantahan itu diasaskan kepada satu perjanjian yang
ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Borneo Utara British pada
1878. Berdasarkan perjanjian itu, Borneo Utara British adalah sebahagian
daripada wilayah Kesultanan Sulu. Terdapat kemungkinan kerajaan Filipina telah
dihubungi waris-waris Kesultanan Sulu dan mereka meminta Macapagal menyuarakan
tuntutan mereka terhadap Borneo Utara British secara terbuka serta menjadikan
tuntutan itu sebahagian daripada dasar luar Filipina terhadap penubuhan negara
Malaysia.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia yang
dianggotai Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16
September 1963 disahut dengan konfrontasi oleh Indonesia. Beberapa rundingan
tiga penjuru antara Tunku Abdul Rahman, Macapagal dan Sukarno diadakan di
beberapa lokasi termasuk di Bangkok dan Tokyo namun tidak meredakan tentangan
kedua-dua negara itu. Pungutan suara yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) pada masa itu mengesahkan majoriti penduduk di Sabah dan Sarawak
mahu merdeka daripada pemerintahan kolonial British menerusi penyertaan dalam
Malaysia. Macapagal terpaksa menerima keputusan pungutan suara itu tetapi
sehingga sekarang, kerajaan Filipina masih belum menarik balik tuntutannya
terhadap Sabah. Ketegangan antara Filipina dan Malaysia nampaknya seperti sudah
reda tetapi sebenarnya belum reda lagi. Bagi Indonesia, dasar konfrontasi tamat
dengan berakhirnya pemerintahan Sukarno pada 1965.
Apabila Ferdinand Marcos menjadi
Presiden Filipina mulai 1965 hingga 1986, tuntutan ke atas Sabah dihangatkan
semula. Pendekatan Marcos yang bersifat autokratik itu tidak sama dengan
Macapagal yang lebih mengutamakan diplomasi. Marcos kelihatan menggalakkan
waris Kesultanan Sulu menuntut Sabah dan sikap Marcos ini menimbulkan masalah
dalam hubungan antara dua negara. Dipercayai, waris Kesultanan Sulu meneruskan
tuntutan ke atas Sabah selari dan sehaluan dengan dasar luar kerajaan Filipina.
Semasa pentadbiran Marcos, tuntutan waris Kesultanan Sulu turut membabitkan
tentera Filipina dalam projek-projek tertentu. Salah satu projek yang mereka
laksanakan ialah Operasi Merdeka pada 1967. Operasi ini semacam mirip dengan
insiden yang berlaku di Lahad Datu. Tentera Filipina telah melatih sekumpulan
pemuda etnik Tausug dan Sama di selatan Filipina yang beragama Islam bagi
membentuk satu pasukan komando yang objektifnya adalah untuk menimbulkan
suasana kacau-bilau dan tidak stabil di Sabah. Tujuan operasi itu adalah untuk
menunjukkan kononnya rakyat Sabah tidak suka dengan Malaysia, justeru
membuktikan pungutan suara oleh PBB adalah tidak betul.
Namun, sebaik sahaja mendarat di
Sabah, pasukan itu sedar mereka telah diperalatkan untuk menentang sebuah kerajaan
di Sabah yang ditadbir oleh orang Islam. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah
Tun Datu Mustapha Harun. Pemuda-pemuda Tausug dan Sama terbabit berpatah balik
ke Filipina. Malangnya, mereka kemudiannya telah dibunuh oleh tentera Filipina
bagi mengelakkan insiden ini terbongkar. Insiden pembunuhan antara 50 hingga 60
pemuda malang itu dinamakan sebagai Pembunuhan Corregidor dan orang Tausug
menamakannya Pembunuhan Jabidah. Jadi, bagi saya, pencerobohan terbaharu oleh
kumpulan bersenjata yang menggelarkan diri mereka tentera Kesultanan Sulu di
Lahad Datu ini semacam ulangan terhadap insiden Operasi Merdeka yang berlaku
pada 1967. Walaupun dalam bentuk dan skala yang berlainan, Operasi Merdeka
mempunyai latar belakang yang sama dengan insiden di Lahad Datu sekarang.
Saya hairan mengapa sehingga kini,
kerajaan Filipina masih belum menggugurkan tuntutan terhadap Sabah sedangkan
ada beberapa sebab yang mewajarkan mereka berbuat demikian. Pertama, pungutan
suara oleh PBB telah mengesahkan kehendak majoriti penduduk Sabah untuk
bergabung di dalam Malaysia. Kedua, kerajaan Filipina sendiri sudah tidak
mengiktiraf kewujudan wilayah Kesultanan Sulu. Setelah Sultan Sulu terakhir
yang diiktiraf Manila iaitu Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mangkat pada 1986,
kerajaan Filipina tidak melantik waris baginda sebagai Sultan Sulu yang baharu.
Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mempunyai tiga waris terdekat iaitu Sultan
Jamalul Kiram III yang kini menetap di Manila; Sultan Ismail Kiram di Jolo dan
Raja Muda Agbimuddin di Simunu, Pulau Tawi-Tawi. Perlu diingat, kerajaan
Filipina di bawah pentadbiran Marcoslah yang telah menghidupkan semua
Kesultanan Sulu apabila secara rasmi melantik Mahakutta Mohamad Kiram sebagai
Sultan Sulu pada Mei 1974. Mungkin, pentadbiran Marcos mengambil tindakan itu
bagi merancakkan lagi tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah.
Memajakkan
Seperkara lagi, merujuk kepada
perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara
British pada 1878, Kesultanan Sulu bersetuju memajakkan Sabah kepada syarikat
tersebut dengan bayaran cession money sebanyak 5,000 ringgit setahun. Ia
semacam bayaran ufti. Jika dilihat pada istilah cession yang digunakan, ia
bermaksud penyerahan. Kerajaan Malaysia semacam masih mengiktiraf perjanjian
ini kerana masih membayar ufti. Yang aneh bagi saya, perjanjian itu seperti
telah digantikan dengan perjanjian yang dibuat oleh kerajaan Sepanyol sebagai
kuasa yang menjajah Filipina atau lebih dikenali sebagai Protokol Madrid pada
1885. Menurut perjanjian yang dibuat bersama Britain dan Jerman itu, Sepanyol
bersetuju melepaskan segala tuntutan Filipina terhadap Borneo Utara British.
Kemudian, setelah Amerika Syarikat
menggantikan Sepanyol sebagai penjajah di Filipina, Perjanjian Carpenter telah
ditandatangani antara kuasa kolonial itu dan Kesultanan Sulu pada Mac 1915. Di
bawah perjanjian ini, tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Borneo Utara British
dianggap tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani perjanjian
tersebut dan menyerahkan kuasa politik kepada Amerika Syarikat. Melihat kepada
sebab-sebab yang dinyatakan tadi, saya tidak faham mengapa kerajaan Filipina
tidak mahu menarik balik tuntutan terhadap Sabah. Walaupun kita kini saling
bekerjasama di dalam semangat perpaduan ASEAN, tuntutan itu masih lagi wujud
sejak era Macapagal sehingga era Presiden Filipina ketika ini, Benigno Aquino.
Saya fikir kumpulan yang menggelarkan
diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu kini dalam keadaan terdesak kerana
konsep wilayah autonomi Bangsamoro tampak mengetepikan kepentingan kesultanan
itu. Soal kewujudan Kesultanan Sulu tidak disentuh dalam gagasan tersebut
sedangkan beberapa pulau di selatan Filipina termasuk Basilan, Palawan, Sulu
dan Tawi-Tawi adalah wilayah mereka. Waris-waris Kesultanan Sulu semacam
menyedari mereka tidak lagi mendapat sokongan daripada kerajaan Filipina
seperti yang pernah berlaku di bawah pentadbiran Macapagal dan Marcos. Selain
itu, pada pandangan mereka, kerajaan Malaysia juga seperti tidak melayan
tuntutan waris Kesultanan Sulu walaupun kita masih membayar ufti kepada mereka.
Waris Kesultanan Sulu menganggap bayaran ufti itu seperti obor yang menyalakan
seribu harapan atau impian. Dalam perspektif ini, mungkin mereka membuat
tuntutan kini atas sebab ekonomi. Dalam hal ini, mereka mungkin hendakkan
bayaran pampasan itu dibuat mengikut penilaian semasa.
Kesimpulannya dalam kalangan
negara-negara ASEAN, Malaysia merupakan negara yang banyak bersempadan dengan
negara lain. Kita bersempadan dengan Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand
dan Brunei. Sempadan maritim kita dengan negara-negara lain termasuk Filipina
sememangnya agak panjang. Bagi saya, tugas mengawasi sempadan maritim sesebuah
negara bukan kerja mudah. Sempadan maritim mudah dicerobohi, terutamanya jika
mereka menyusup masuk dalam kumpulan kecil seperti menyamar sebagai nelayan.
Jika tiada risikan awal, bukan mudah untuk mengesan penyusupan. Pakar strategi
China purba, Sun Tzu dalam bukunya yang berjudul Seni Peperangan banyak
menyebut tentang perlunya perisikan untuk memenangi peperangan. Apa yang
penting, tentera, polis dan pihak berkuasa maritim perlu mempunyai rangkaian
perisikan yang lebar dan berkesan bagi mencegah pencerobohan sempadan maritim
kita.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 MAC 2013