JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



31 Disember 2011

ISU IPT : PLAGIAT BOLEH MENCALAR IMEJ GOLONGAN CENDIKIAWAN

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali


Amat memalukan dan mengecewakan apabila ahli akademik serta warga institusi pengajian tinggi yang diiktiraf intelektual, profesional serta terpelajar masih dibelenggu budaya plagiarisme hingga menjatuhkan taraf kredibiliti golongan terbabit. Budaya yang tidak pernah surut membelenggu dunia akademik ini bukan saja mencerminkan ketidakjujuran sesetengah ahli akademik dalam profesion kolar putih malah mampu menggugat kualiti graduan dihasilkan. Biarpun segelintir pihak menganggap budaya berkenaan sebagai terpencil, tanpa kekangan atau tindakan proaktif, bakal mencemarkan nama baik warga institusi pengajian tinggi hingga boleh dipersoalkan masyarakat. Adakah ia berlaku kerana golongan terbabit tidak yakin pada kemampuan diri sendiri hingga mencari jalan mudah menciplak hasil orang lain? Atau kerana sikap sambil lewa masyarakat menyebabkan budaya berkenaan terus berleluasa meskipun mencalarkan imej warga terpelajar. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Omar Abdull Kareem berkata, budaya plagiarisme yang tidak dibendung mampu ‘menghakis’ dan membunuh usaha melahirkan golongan akademik berwibawa.

Budaya itu, menurutnya boleh dianggap sebagai parasit kerana bukan sekadar membinasakan kredibiliti, malah menyebabkan mereka berterusan memplagiat tanpa menghiraukan penat lelah orang lain. Isunya bukan hanya membabitkan satu pihak malah mempengaruhi pihak lain yang terlebih dulu bersusah payah menghasilkan terbitan, karya dan idea asli. Lebih malang lagi apabila kegiatan itu dilakukan mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘golongan intelektual’. Sudah tentu ia satu penipuan dan merendahkan martabat malah masyarakat juga tertipu kerana mempercayai kemampuan golongan ini dalam menghasilkan hasil bermutu dan bersifat akademik. Bukankah ini sungguh mencalarkan imej padahal mereka mendapat sanjungan masyarakat? Sanggupkah menerima pengiktirafan itu jika tidak jujur? Justeru, berfikirlah secara positif dan matang sebelum melakukan tindakan itu supaya ia tidak memalukan diri sendiri dan institusi. Plagiat secara am ditakrif sebagai usaha menciplak tesis, kertas kerja atau kajian membabitkan ayat dalam karya selain persoalan hak cipta. Sementara idea, data, ciptaan dan penulisan pula adalah paling sinonim diplagiat.

Antara faktor yang memungkinkan berlakunya plagiarisme adalah masa, tiada komitmen dan penyeliaan dilakukan secara sambil lewa serta tiada kesungguhan. Beliau berkata, mahasiswa dan pensyarah perlu memainkan peranan penuh bertanggungjawab bagi memastikan penumpuan serta integriti tidak lari daripada panduan menghasilkan karya bermutu. Malangnya, sebahagian besar hanya melihat jalan mudah hingga sanggup membelakangkan profesionalisme dan harga diri semata-mata memastikan kejayaan menghasilkan karya, tesis atau jurnal tercapai. Mereka tolak ke tepi nilai ilmu yang ingin diterapkan hingga menjadikan budaya ini satu kebiasaan. Harus sedar, berada di institusi pengajian tinggi bermakna perlu menggandakan usaha, bersusah payah dan berdepan rintangan sebelum berjaya. Barulah hasil kejayaan dikecapi itu manis dan berbaloi. Namun jika asyik memplagiat hasil orang lain, apakah makna perjuangan ilmu itu?” katanya mengakui penyeliaan dalam apa jua penghasilan karya perlu dilakukan dengan penuh teliti. Menurutnya kajian atau penulisan bertujuan mencambah pemikiran baru selain meningkatkan lagi nilai intelektual individu. Ia perlu dipantau dan diteliti sebelum diiktiraf.

Longgarnya aspek itu akhirnya memungkinkan plagiarisme berlaku sekali gus menghakis sedikit demi sedikit nilai asli yang ingin dihasilkan. Bayangkan jika semua hasil adalah plagiat, apakah kualiti yang mampu dicapai. Budaya itu juga, katanya, sangat memalukan dan tidak adil kepada kelompok lain yang berusaha keras menghasilkan karya asli namun tetap mendapat pengiktirafan sama. Meskipun universiti mengamalkan dasar dan polisi tegas untuk membendung budaya itu, masih ada yang berani melakukannya kerana beranggapan ‘tiada siapa tahu’ selain menjimatkan masa. Setiap institusi mempunyai polisi ketat bagi memastikan budaya plagiarisme tidak menular, sekali gus menjatuhkan nama baik institusi. Bagaimanapun, masih ada yang berani menongkah arus semata-mata memastikan misi tercapai. Lebih hebat, mereka turut memplagiat hasil penyelidikan. Ironinya, budaya ini tidak terhad hanya pada golongan akademik, malah mahasiswa turut sama melakukannya. Cuma caranya berbeza dengan penilaian atau tujuan berlainan. Apapun alasan, ia sama sekali tidak boleh diterima kerana menjatuhkan nilai ilmuwan dan intelektual.

Antara cara boleh dilakukan bagi mengesan plagiarisme adalah penyeliaan teliti oleh penyelia selain menerusi perisian pengesan Turnitin yang boleh membantu mengenal pasti bahagian diciplak penulis tanpa menyatakan sumbernya. Sama ada budaya ini boleh dikekang, beliau berkata, semuanya terpulang kepada kesedaran dan kejujuran individu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri serta masa depan. Perkara ini amat subjektif, hanya diri sendiri saja yang boleh menentukan dan merencanakan perjalanan kejayaan masing-masing. Plagiat sebenarnya tidak beretika dan wajar dihentikan. Perlu yakin pada kemampuan diri sendiri, berusaha keras dan berdisiplin. Hanya itu kunci yang ada untuk mencapai kejayaan. Selain itu, plagiat hanya merugikan, merendahkan taraf seseorang yang mungkin dapat mengecapi kesenangan seketika. Namun berbaloikah kerana ia terhasil dari usaha orang lain, bukan diri sendiri;” soalnya.

INFO UNTUK ANDA

Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan plagiat sebagai mencedok kata, idea dan sebagainya daripada orang lain dan menggunakannya sebagai karya sendiri, tiruan atau menciplak.

Wikipedia pula mendefinisikan, plagiarisme adalah mengakui tulisan orang sebagai tulisan sendiri; mengakui gagasan orang lain sebagai pemikiran sendiri; mengakui penemuan orang lain sebagai kepunyaan sendiri; mengakui karya kelompok sebagai kepunyaan atau hasil sendiri, menyajikan tulisan yang sama dalam kesempatan yang berbeza tanpa menyebutkan asal-usulnya.

Perisian komputer seperti Word Check System, Turnitin dan Scan My Essay banyak diaplikasikan oleh universiti di seluruh dunia dilihat sangat berkesan dalam memastikan kewujudan elemen plagiarisme dalam penyediaan kajian ilmiah, tesis dan penulisan akademik lain secara atas talian.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
26 DISEMBER 2011


JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : TUAH LELAKI BERNAMA TOM CRUISE


Kejayaan yang dimiliki aktor terkenal Hollywood Tom Cruise hari ini bukan datang dengan mudah meskipun aktor kelahiran Syracuse, New York itu memiliki wajah yang tampan. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 11 tahun dan kehidupan berpindah-randah memaksanya bersekolah di 15 buah sekolah. Sekolah terakhirnya adalah Glen Ridge High School, New Jersey. Dibuli merupakan perkara biasa ketika zaman persekolahannya, tambahan dia mempunyai masalah disleksia iaitu gangguan dalam pembelajaran iaitu sukar membaca dan menulis. Justeru, Cruise bukanlah pelajar yang cemerlang ketika zaman persekolahannya, dia mengalih tumpuan kepada aktiviti sukan dan kecederaan lutut yang dialaminya ketika bergusti, membuat dia secara tidak sengaja terjun ke dunia lakonan. Pada usia 18 tahun, dia meninggalkan Glen Ridge dan memburu impian sebagai seorang aktor di New York. Waktu siang dia melakukan pelbagai pekerjaan antaranya sebagai budak penghantar surat sehinggalah sebagai pembersih restoran dan pada waktu malam diperuntukkan untuk kelas lakonan sebagai persediaan buatnya menjalani uji bakat iklan, drama dan filem.

"Bukan mudah untuk saya berdiri seperti hari ini, sebelum berjaya mendapat kontrak filem pertama Endless Love pada tahun 1981, saya telah merasai pengalaman ditolak pengarah dan penerbit. Saya tidak menjadi aktor untuk memiliki kuasa (wang dan populariti) tetapi ia berlaku dengan sendirinya secara tidak langsung menyebabkan saya memperoleh lebih banyak peluang. "Saya juga sedar yang kuasa itu tidak akan kekal selamanya dalam kerjaya saya sebagai pelakon. Jadi, saya mahu menggunakannya sehabis yang mungkin, terlibat dalam naskhah yang hebat dan apabila masa itu berlalu saya akan tersenyum kerana telah menjalani hidup dengan sepenuhnya," ujarnya. Meskipun merupakan aktor yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood, dia menegaskan dia tidak pernah melakukan kerja kerana wang. "Jujur, saya tidak pernah lakukan kerja semata-mata kerana wang. Ya, sebagai aktor saya diberi pilihan dan tawaran yang menarik tetapi terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu menerimanya atau tidak. Jika pilihan terletak pada wang dan filem tersebut tidak mendapat sambutan, wang itu tidak bererti apa-apa," jawabnya yang masih menerima tawaran berlakon dalam filem indie.

Kini, selepas lebih tiga dekad terlibat dalam industri perfileman, Cruise bukan sekadar seorang pelakon tetapi dia juga seorang penerbit filem dan mungkin juga bakal penyanyi kerana selepas filem Mission Impossible - Ghost Protocol, dia diangkat sebagai penyanyi rock legenda dalam filem muzikal berjudul Rock of Ages akan berada di pawagam pada Jun tahun hadapan. Menariknya, ramai yang terkejut apabila mendapat tahu Tom benar-benar boleh menyanyi dan suaranya turut mendapat pujian ramai. Malah, salah seorang pelakon dalam filem itu yang juga seorang penyanyi terkenal, Mary J. Blige turut mendedahkan yang dia teringin untuk merakamkan lagu duet bersama Cruise. "Jika dia tanya saya, saya terus setuju. Dia memang seorang penyanyi yang bagus dan benar-benar mempunyai aura sebagai seorang penyanyi terkenal. Jiwa rock dalam dalam diri seseorang dan Tom memilikinya," kata Mary J. Blige. Kebolehan menyanyi Cruise itu turut diakui oleh isterinya, Katie Holmes, bagaimanapun memberitahu, suaminya itu mengikuti kelas vokal selama beberapa minggu sebelum penggambaran bermula. "Ya, saya suka menyanyi tetapi saya tidak rasa saya boleh lakukannya sebaik lakonan. Jika untuk suka-suka ya tetapi untuk serius saya belum terfikir mengenainya lagi," katanya yang membawakan watak Stacee Jaxx dalam filem muzikal itu.

MISI MUSTAHIL

Aktor yang telah berlakon 44 buah filem itu termasuk semua filem sekuel Mission Impossible serta terkini Ghost Protocol tidak hanya berlakon sebaliknya turut bertindak sebagai penerbit telah melakukan pelbagai aksi lagak ngeri sebagai ejen perisik bernama Ethan Hunt. Sebagai penerbit memilih pengarah JJ Abrams untuk mengarah filem buat kali pertama merupakan satu risiko yang besar tetapi Cruise mempunyai alasan yang tersendiri terhadap pilihannya. "Kisahnya begini, saya dan Steven Spielberg tengah bekerja untuk filem War of the Worlds dan kami berjumpa beberapa orang penulis dan penulis itu termasuk JJ. Tidak mengambil masa yang lama untuk saya menyukai kerjanya dan dia seorang yang berkarisma serta bijak. "Kami bekerjasama secara tidak sengaja apabila setiausaha JJ memberi saya pita drama aksi Alias musim pertama yang diarah oleh JJ. Selang beberapa hari saya habis menonton satu musim drama Alias dan saya menyukai kerjanya. Saya menghubunginya ketika itu dia berada di Hawaii melakukan penggambaran drama Lost. Sekembalinya dia di Los Angeles kami berjumpa dan saya tanya bila dia mahu mengarah filem," jelas Tom.

Sungguhpun begitu, untuk seorang pengarah yang tidak pernah mengarah filem berbajet besar pasti menimbulkan kebimbangan di hati seorang penerbit. "Saya rasa seperti ini bukan filem pertamanya. Filem ini paling kompleks dan sekuel Mission Impossible terbesar yang pernah kami hasilkan. Lihat sahaja lokasi penggambarannya, China, Rom, Dubai dan Jerman tetapi kami berjaya melakukan penggambaran mengikut jadual dan di bawah bajet. Hasilnya juga cukup mengagumkan. Dalam filem ini banyak aksi lagak ngeri dilakonkan Cruise dan paling diingati adalah babak dia keluar daripada bangunan tertinggi di dunia Burj Khalifa di Dubai dan berjalan di atas cermin tingkap bangunan yang mempunyai ketinggian 2,717 kaki bersamaan dengan 163 tingkat. Katanya untuk babak yang dilakukan di tingkat 140 itu sahaja dia telah berlatih selama sebulan. "Pengalaman paling tidak boleh saya lupakan berpusing di tepi tingkap bangunan tersebut dengan bergantung nyawa pada tali setebal wayar piano. Menakutkan tetapi untuk menampilkan kelainan, ia harus dilakukan dan seluruh produksi telah mengambil langkah keselamatan terbaik.

"Kami harus mencari lokasi antarabangsa yang mengagumkan dan Burj Khalifa adalah pilihan terbaik. Saya hanya berlatih sehari untuk aksi melompat keluar daripada bangunan itu sebelum memulakan penggambaran," ujarnya yang berada di Dubai selama lima minggu. Disoal apakah perkara yang paling menakutkannya ketika penggambaran, jawab Cruise: "Terjatuh ke bawah." Sambung aktor berusia 49 tahun itu lagi: "Apabila kami melakukan penggambaran perkara pertama dalam fikiran bagaimana kami lakukan untuk nampak hebat dan mustahil di layar. Kedua soal keselamatan dan kami sudah berlatih dan merancangnya selama berbulan-bulan. Saya hanya lakukan dan ya, saya selamat dan hidup sampai hari ini. Tiada sebarang kecederaan serius berlaku sepanjang penggambaran." Sebagai penutup tahun 2011 Mission Impossible - Ghost Protocol yang menelan kos sebanyak RM459,505,000 itu turut dilakonkan oleh Jeremy Renner, Simon Pegg, Paula Patton dan bintang Bollywood Anil Kapoor merupakan sebuah filem yang cemerlang.

SURI DI HATI TOM CRUISE

Cruise yang pernah bercinta dengan aktres Penelope Cruz juga pernah berkahwin sebanyak tiga kali, pertama Mimi Rogers, kedua, Nicole Kidman dan terakhir sejak tahun 2005 dan kekal sehingga hari ini bersama Katie Holmes. Momen tidak boleh dilupakan apabila Cruise secara terbuka mengaku cintakan Katie dalam program bual bicara popular Oprah Winfrey Show pada 23 Mei, 2005. Dalam program itu, Cruise kelihatan tidak senang duduk malah siap melompat di atas sofa apabila berbicara tentang Katie. Kebahagiaan Cruise bertambah apabila dia dikurniakan anak perempuan bernama Suri yang kini berusia lima tahun dan secara sah berkahwin dengan Katie pada November 2006. Khabarnya, kini Cruise sedang merancang untuk menambah jumlah ahli keluarganya "Ya, saya berharap dan sedang merancang untuk memperolehi cahaya mata lagi dan beri adik kepada Suri," katanya. Meskipun sentiasa sibuk, katanya, jika ada kesempatan dan peluang dia pasti akan membawa keluarganya ke lokasi penggambaran atau promosi filem seperti ketika dia mempromosi filem sekuel terbaharu Mission Impossible itu di beberapa buah negara baru-baru ini. "Setiap hujung minggu jika kelapangan kami pasti akan habiskan masa bersama seperti berkelah atau melepak di taman, menemani Suri ke pusat membeli-belah kerana dia suka sangat memakan aiskrim.

Dia anugerah terhebat yang pernah saya perolehi dalam hidup," kata Cruise. Jelas sekali hidup Cruise kini lebih bermakna. Dia juga sering mengatakan saban hari cintanya pada isteri semakin besar. "Semakin hari saya semakin cinta Katie, dia seorang yang istimewa dan memahami saya sepenuhnya. Kehadiran Suri melengkapkan hidup saya sebagai seorang lelaki, suami dan bapa. Tetapi nampaknya, Suri lebih banyak mengikut isteri saya terutamanya bab fesyen. Saya yakin apabila dia besar kelak, dia akan menjadi seorang penggila fesyen, lihat sahaja dia hari ini, walaupun baru lima tahun, pakaiannya lebih banyak daripada ibu bapanya," cerita Cruise. Bercakap mengenai tahun 2012, kata Cruise banyak projek filem menantinya dan tahun hadapan merupakan tahun paling sibuk buatnya. "Saya ada beberapa buah filem yang menanti penggambaran dan ada yang sedang dalam penggambaran, sebagai pelakon saya mahu beri yang terbaik dan impak kepada penonton serta diri sendiri. Sebagai penerbit saya mahu menerbitkan lebih banyak filem bermutu dan pecah panggung, apa pun terima kasih kepada peminat yang tidak henti menyokong kerjaya saya selama ini," katanya yang turut bercuti panjang sempena Krismas baru-baru ini.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 DISEMBER 2011



ISU ANTARABANGSA : REMAJA TEMBAK RAKAN SEKELAS

Oleh AMIRUDDIN HARUN
amir.harun@utusan.com.my


Beberapa orang pelajar meletakkan cendera hati di salah satu sudut 
sekolah sempena memperingati kematian Larry King 
di E.O Green Junior High di Oxnard, California.

Tanggal 12 Februari 2008 merupakan tarikh yang tidak akan dilupakan oleh sekumpulan pelajar yang berada di dalam sebuah makmal komputer di E.O Green Junior High di Oxnard, California. Ketika masing-masing sibuk mengikuti pelajaran, mereka tiba-tiba dikejutkan dengan dua das tembakan yang menyebabkan rakan sekelas mereka, Larry King rebah. Darah tidak putus-putus mengalir keluar dari dua kesan tembakan di kepala remaja lelaki berusia 14 tahun itu. King yang berperwatakan perempuan dan gemar memakai kasut tumit tinggi serta bersolek ke sekolah, akhirnya menemui ajal di tangan rakan sekelasnya, Brandon McInerney. Hampir empat tahun selepas episod suram itu berlaku, McInerney yang kini berusia 17 tahun menerima balasannya pada 19 Disember lalu apabila dia dihukum penjara 21 tahun atas kesalahan membunuh tanpa niat dan menggunakan senjata api secara salah di sisi undang-undang. Remaja tersebut dijatuhi hukuman penjara 11 tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian dan penjara 10 tahun lagi bagi kesalahan penggunaan senjata api, ekoran daripada hasil rundingan bagi pengakuan bersalah atas tuduhan-tuduhan tersebut pada November lalu.

McInerney yang memakai baju T putih dan seluar biru, tidak meluahkan sepatah kata pun sebelum hukuman itu dijatuhkan tetapi peguamnya, Scott Wippert menyatakan bahawa anak guamnya memohon maaf dan merasa sungguh kesal atas perbuatannya. Dengan keputusan itu, McInerney akan diperintahkan melapor diri ke penjara pada Januari ini, selepas usianya mencecah 18 tahun. Ekoran pengakuan salahnya, dia tidak layak dibebaskan awal atas alasan berkelakuan baik dan ini bermakna dia hanya akan menikmati harga kebebasan ketika berusia 39 tahun. Sebenarnya rundingan bagi pengakuan bersalah itu dibuat selepas pihak juri menemui jalan buntu sepanjang perbicaraan terhadap McInerney atas tuduhan membunuh dengan niat. Ketika itu remaja terbabit dibicarakan sebagai pesalah dewasa. Beberapa juri kemudiannya menyatakan bahawa pada pendapat mereka, McInerney tidak sepatutnya dibicarakan sebagai pesalah dewasa.

Pada prosiding kes tersebut, peguam bela remaja berkenaan menyatakan, McInerney yang berusia 14 tahun ketika kejadian telah tidak lagi mampu menahan sabar selepas King berulang kali cuba memikatnya dan budak-budak lelaki lain. Beberapa minggu sebelum kejadian tembakan itu, pihak pentadbiran sekolah turut membenarkan King memakai kasut tumit tinggi dan menggenakan solekan ekoran daripada undang-undang persekutuan yang memberikan hak kepada para pelajar untuk menzahirkan orientasi seksual masing-masing. Pihak pendakwaan pula menyatakan bahawa kejadian tembakan yang menyebabkan rakan-rakan sekelas remaja itu tergamam merupakan satu kes bunuh dengan niat dan McInerney wajar dihukum sebagai pesalah dewasa. Mereka menghujahkan bahawa tembakan itu adalah jenayah benci, iaitu aspek yang ditolak oleh pihak juri, selepas pihak berkuasa menemui bahan-bahan material mengenai ideologi orang berkulit putih lebih tinggi darjatnya (white supremascist) di kediaman McInerney.

Selepas hukuman itu dijatuhkan, bapa mangsa, Greg King, membacakan surat setebal empat muka surat dengan mengecam pelbagai pihak termasuk panel juri yang didakwa tidak cekap, selain mengkritik pihak media. Lelaki itu juga menyalahkan pihak sekolah kerana tidak menghiraukan permintaan isterinya yang memohon bantuan bagi membendung kelakuan ranggi anak lelakinya itu. Terhadap McInerney pula, Greg dengan lantangnya menegaskan bahawa keluarganya tidak akan memaafkan remaja tersebut. Di sebalik semua itu, McInerney jelas masih bersikap seperti anak-anak muda yang lain, iaitu tetap menginginkan belaian kasih sayang seorang ibu dan bapa. Itulah yang dapat dilihat di penghujung perbicaraan, sewaktu dia dibawa oleh pegawai polis ke lokap, remaja itu sempat mengucapkan ungkapan 'I Love You' kepada ibunya, Kendra McInerney yang hanya mampu melihatnya pergi dengan linangan air mata.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 DISEMBER 2011

ISU SOSIAL : AJAR ANAK BERBUDI BAHASA SEJAK KECIL

Oleh MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR


Budi bahasa merupakan satu nilai murni yang bukan hanya dilaksanakan dalam pertuturan, bahkan juga kelakuan dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Tambahan di Malaysia, yang mana rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum dan adat resam, sudah pasti budi bahasa memainkan peranan penting dalam menikmati hidup yang aman dan damai. Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, amalan budi bahasa perlu ditanam dalam diri sejak peringkat awal lagi bagi membolehkan ia terus mengalir dalam diri mereka sehingga dewasa. "Pendidikan mengenai perkara ini hendaklah diajar anak-anak di peringkat sekolah rendah kerana di sana mereka sudah mula bercampur dan berkenalan dengan komuniti lain, selain keluarga. "Justeru, peranan ibu bapa dan guru perlu sama penting dalam memastikan generasi hadapan negara kita terus mempunyai sikap budi bahasa yang tinggi," katanya ketika dihubungi baru-baru ini. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni telah dilancarkan pada 11 Januari 2005 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kempen yang dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh lima tahun itu disasarkan kepada setiap golongan rakyat dan masyarakat negara ini. Ia merupakan agenda penting kerajaan untuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kay Kim berkata, sebagai masyarakat Timur, amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni bukan suatu perkara baru. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian. Namun demikian, tanpa disedari, kehidupan hari ini tidak lagi sama seperti dahulu. Nilai-nilai murni yang dahulunya kaya dalam diri masyarakat kian terhakis lantaran daripada tuntutan mengejar kekayaan dan kebendaan. Menurutnya, cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan dilihat antara faktor masyarakat hari ini tidak lagi mengamalkan budaya yang dahulunya kuat seperti semangat bantu membantu dan saling hormat menghormati.

"Hinggakan satu kaji selidik yang dijalankan di universiti mendapati ada yang sanggup menerima rasuah untuk melakukan sesuatu perkara dan ia membuktikan bahawa masyarakat hari ini kian hilang nilai-nilai murni dalam diri mereka, " katanya. Beliau berkata, tidak salah mencari kekayaan dan mengejar kemodenan, namun nilai-nilai ketimuran mesti terus diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia yang telah menjadi identiti kita sejak dahulu lagi. Menurutnya, peranan ibu bapa, pihak sekolah dan kerajaan amat berat dalam mewujudkan generasi hadapan agar terus mempunyai nilai-nilai murni sebagai orang Timur. "Melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi, generasi muda perlu diajar dan diterapkan dengan nilai-nilai tersebut secukupnya agar ia tidak hilang ditelan kemodenan dan kemajuan negara," katanya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 DISEMBER 2011