JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 September 2011

ISU KENEGARAAN : MERDEKA BERMAKNA KITA KENA BEBAS SEPENUHNYA DARIPADA BELENGGU LUAR

Oleh ZULKIFLI JALIL


Jika semua pihak tanpa mengira ideologi politik meneruskan perjuangan dalam diri untuk mencari kebaikan, maka inilah masa terbaik. Yakni, hari baik dan bulan baik ini (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan) bagi mendapat manfaat yang rakyat Malaysia megahkan. Sebabnya, merdeka kali ini jatuh pada hari raya, sama ada 30 atau 31 Ogos (2011), kita anggap ini hari besar di negara. Pengertian merdeka perlu mencakupi semua aspek semasa. Kita tidak menolak bahawa setiap pemimpin ada celanya. Setiap pemimpin ada juga baiknya tetapi dakwa mereka kononnya mengikut trend sekarang semua pemimpin yang memerintah dan mentadbir, semuanya tak baik, ini satu pendustaan. Pencorakan perjuangan politik seseorang banyak berasaskan kepada pendidikan yang diterimanya. Tetapi bukan 100 peratus. Kini dengan transformasi yang sedang dijalankan kerajaan, ia mesti diterima sebahagian rancangan tersebut. Setakat mana kita menilai kesusahan masyarakat di luar sangkar politik. Kita nak tentukan apa pun parti politik, golongan yang susah perlu dibantu dan bukan disebabkan ia anggota parti.

Pendidikan membina masyarakat mesti bermula satu ketika dan ini harus diterima sebagai satu hakikat. Di bawah Allahyarham Tun Hussein Onn, kita banyak belajar dari segi ketegasan pemimpin, walaupun mengambil masa untuk menjadi tegas tetapi apabila sudah membuat keputusan ia tidak berganjak. Tun Abdul Razak pula dicontohi kerana cara Allahyarham menyayangi masyarakat luar bandar. Perdana Menteri kedua itu menjaga kehidupan yang sistematik dalam perancangan tanah tanih. Selain menjadi bapa pembangunan, beliau merupakan strategis yang amat tajam pemikirannya dan hasilnya, penubuhan BN pada 1974. Di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir pula, kita belajar sebagai orang yang mengenal tentang kedaulatan malaysia dan bangsa Malaysia. Jadi, Tun Mahathir dengan wawasan 2020 nya mencerminkan Malaysia jendela negara membangun yang mesti kita hargai. Tun Dr. Mahathir merupakan obor moden Malaysia dan membawa pembangunan. Kepadanya, kemerdekaan adalah pengisian minda untuk bebas berfikir. Bercerita mengenai Tun Abdullah Ahmad Badawi pula, beliau yang lebih dikenali Pak Lah pernah menjadi pegawainya yang mana akhirnya Perdana Menteri kelima itu pula menjadi ketuanya.

Pak Lah adalah diplomat yang tinggi nilai, mempunyai hemah yang murni dan pencipta Islam Hadhari. Akan tetapi sayangnya, beliau tidak sempat menjelmakan kepada amalan kerana Islam hadhari dilihat sebagai dasar yang belum masak diletakkan. Jadi, agak kecewa namun sifat muhibbah dan kepimpinannya dari segi menjelmakan idea, beliau akan diingati. Kepada kepimpinan sekarang, Najib dilihat sebagai inovator. Najib, telah mengabungkan kebolehan ayahandanya dengan apa yang dipelajari semasa di bawah Tun Dr. Mahathir, transformasi yang dibawanya menerusi Gagasan 1Malaysia yang sebenarnya ialah binaan negara bangsa yang seharusnya dinilai dari segi pencapaian sebenar. Jadi, ia bererti terlalu awal bagi seseorang mengkritiknya sekarang sehingga sepatutnya beliau dapat menghasilkan semua konsep yang dimaksudkan. Walaupun sudah merdeka 54 tahun, sikap masih dibelenggu cara luaran tidak dapat dinafikan kerana dari setiap gugusan kumpulan pelajar boleh dikatakan 50 peratus diasuh di luar negara. Jadi pemikiran mereka tergangga atau melopong melihat nilai-nilai sentiasa terbuka. Ini kerana mereka yang pergi ke Mesir atau Timur Tengah akan membawa sikap-sikap keakraban dari Timur Tengah.

Mereka yang belajar di Amerika terbawa-bawa dengan Hopkins dengan U New York. Mereka yang belajar di Britain pula seperti orang putih, mereka nak bawa sistem sejagat dunia. Justeru, apabila mereka pulang ke tanah air, maka akan terikut-ikut dengan dengan budaya luar sehingga lupa budaya dalaman. Namun persoalannya, bagaimana negara Singapura dan Korea boleh berjaya. Sebabnya mereka lebih mengenal nilai jati diri berbanding nilai samar-samar. Oleh itu kita perlu melalui bimbingan sosial akan datang dengan membawa pembaharuan seperti transformasi seperti yang dianjurkan kerajaan di bawah kepimpinan Najib. Kita mesti membawa balik sistem-sistem yang dijaga tinggi nilainya, keislaman misalnya ataupun kita bawa nilai kasar hasil perjuangan di Afghanistan atau perjuangan di Mesir atau perjuangan di pusat pengajian tinggi luaran. Kita percaya rakyat yang sedar akan sentiasa terasa bahawa kemerdekaan ke-54 ini merupakan tahun yang mencabar. Di samping itu akan terasa banyak perubahan berlaku khususnya perubahan yang akan mencorak tamadun baru rakyat dan tanah air kita. Juga harus saya tekankan bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kemerdekaan ini akan lebih bererti kerana beliau mencetuskan pemikiran dan olahan hidup yang baru menerusi pelbagai program dan projek transformasi yang beliau pimpin untuk jayakan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OGOS 2011

ISU PENDIDIKAN : KUASAI PELBAGAI ILMU, KUASAI DUNIA

Oleh Ihsan Noorzali


Mahasiswa hari ini berdepan cabaran dan persaingan dunia kerjaya cukup hebat kerana bukan saja berdepan kehendak sengit majikan, malah dibelenggu isu kualiti graduan yang dikatakan sukar menepati standard industri. Meskipun banyak usaha dilaksanakan bagi membantu menaikkan lagi taraf dan imej mahasiswa menjadi lebih berketrampilan, berdaya saing, kompetitif serta  kompeten, namun bukan semua berjaya menakluk hati majikan. Antara pihak paling terkesan mengenainya sudah tentu institusi yang menjadi tempat naungan mahasiswa menimba ilmu menyebabkan kewibawaan sesetengah institusi terbabit dipersoalkan. Bagaimanapun, isu utama sering diketengahkan ibarat sudah lapuk, antaranya kurang mahir berkomunikasi bahasa Inggeris dan lemah penampilan sahsiah diri menyebabkan ada pihak mengaku kalah dan bersikap lepas tangan. Persoalannya, adakah hanya dua isu ini saja yang dilihat menjadi ‘musibah’ kepada mahasiswa? Bagaimana isu lain lebih dramatik antaranya melahirkan graduan bukan saja mampu menguasai dua bahasa utama, malah lebih yang kini menjadi antara agenda penting kebanyakan institusi ternama dunia juga industri global.

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Nor Azmi Mostafa, berkata ‘kesibukan’ kebanyakan pihak menekankan kepentingan hanya dua bahasa utama saja menyebabkan mereka terlupa masih ada bahasa lain yang turut mempunyai nilai komersial tinggi. Menurutnya, graduan yang memiliki kelebihan menguasai lebih dua bahasa kini menjadi aset dan buruan penting pelbagai industri kerana tahu mereka mempunyai kebolehan istimewa yang jarang dimiliki graduan lain. “Kepentingan menguasai lebih dua bahasa adalah aliran terbaru yang mewarnai pasaran kerjaya global masa kini. Jika dulu, sudah memadai andai kata graduan boleh menguasai bahasa Melayu dan Inggeris, kini tidak lagi. “Dengan kata lain, meskipun ramai menganggap bahasa Inggeris sangat penting, kini mahasiswa yang boleh berbahasa selain dari itu turut menjadi buruan. Ini menunjukkan mereka memiliki pilihan luas untuk mencorakkan masa depan. “Justeru, janganlah ada pihak asyik menghentam atau berbalah jika mahasiswa kita kurang mahir berbahasa Inggeris kerana penguasaan bahasa lain juga boleh membantu meningkatkan nilai diri di pasaran kerjaya global,” katanya.

Beliau mengakui apabila bahasa lain seperti Korea, Jepun, Mandarin dan Jerman kini sudah mula menakluki dunia kerana negara terbabit turut menjadi antara kuasa besar ekonomi global. Menurutnya, kecenderungan itu menjadikan pasaran kerjaya tiada sempadan dan membuka pintu kepada semua masyarakat dunia untuk merebut peluang yang ada. Mahasiswa tempatan juga, katanya, perlu membuka minda dan melihat keperluan dunia pekerjaan secara global bukan hanya menumpukan pada kehendak menceburi kerjaya dengan pihak tertentu semata - mata. “Kebanyakan mahasiswa masih tidak nampak kepentingan menguasai kepelbagaian bahasa kerana mereka hanya fokus pada satu matlamat sedangkan corak permintaan dunia hari ini sudah berubah. “Tiada lagi batasan atau kongkongan untuk berjaya atau hanya menempatkan diri dalam pasaran kerjaya tempatan saja, malah boleh pergi ke seluruh pelusuk dunia. Bayangkan apakah yang boleh mereka peroleh jika berjaya menguasai bahasa negara penyumbang ekonomi terbesar? “Sedangkan negara berkenaan kebanyakannya tidak mengagungkan bahasa Inggeris selain bahasa ibunda.

Sebenarnya ini adalah peluang yang sangat besar dan tidak boleh dilepaskan, namun kepentingannya tidak dapat dinilai sepenuhnya oleh mahasiswa tempatan,” katanya yang sangat optimis keupayaan menguasai pelbagai bahasa boleh mewujudkan peluang cerah kepada graduan. “Masalahnya sebahagian besar graduan tidak mahu merebut peluang disediakan ini dengan baik sebaliknya sangat mudah berpuas hati dengan apa yang ada selain menyalahkan pihak tertentu andai kata terus menganggur. “Sedangkan banyak cara boleh dilakukan untuk memperbaiki kekurangan diri, yang penting semangat untuk berubah dan berusaha kerana saya percaya semua institusi sudah cuba melakukan yang terbaik untuk membantu. “Apakah mereka berharap, institusi akan terus ‘memanjakan’ hingga dapat kerjaya? Inilah konsep salah menyebabkan ramai mahasiswa ketinggalan, tidak mahu berusaha sedangkan pihak lain terus mengambil kesempatan. “Gunakan aspek kepelbagaian bahasa sebagai wadah paling tepat mempertingkatkan keupayaan dan nilai diri. Jangan bersikap sambil lewa selain memberi pelbagai alasan untuk selesa pada takuk sama sebaliknya perlu lebih realistik,” katanya. Kajian di Barat menunjukkan seseorang yang berkemahiran menguasai lebih dua bahasa mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan lebih berkesan sebagai seorang warganegara dunia bersifat global.

Menguasai pelbagai bahasa akan mendedahkan individu kepada himpunan ilmu yang lebih luas dan menerapkan sudut pandangan dunia lebih global. Selain itu, ia juga menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk mencapai hierarki lebih baik di kalangan rakan sebaya, sejawatan mahupun pengurusan tertinggi. “Lazimnya, syarikat bertaraf antarabangsa sangat menghargai pekerja yang boleh berbahasa ibunda menjadikan mereka aset penting syarikat. Masa depan juga cerah, namun ini semua perlu disertakan dengan usaha keras kerana standard disasarkan sangat tinggi. “Jika hanya bersandarkan pada kepandaian berbahasa saja, namun tidak ada kegigihan, sesiapapun akan gagal apatah lagi semua syarikat mahukan pekerja yang bukan saja berdedikasi, malah menampilkan semua imej positif,” katanya yang menyifatkan mahasiswa bijak adalah pandai mengambil peluang. “Mereka perlu akur, cabaran dunia pekerjaan hari ini tidak seperti dulu, siapa pandai mengambil peluang, dialah yang akan berjaya. Dan peluang itu pula ada pelbagai cara. “ Jika tahu ada kelemahan, perbaikilah dan jika ada kelebihan mantapkan lagi. Sebagai graduan, mereka harus berfikir di luar kotak dan menyimpan cita-cita lebih tinggi daripada sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada,” katanya. Pada masa sama menekankan penguasaan bahasa akan membantu meningkatkan diri dalam pelbagai bidang selain merealisasikan hasrat negara melahirkan modal insan berfikiran terbuka, berdaya saing dan berbudaya positif.

SUMBER
HARIAN METRO
29 OGOS 2011