27 Ogos 2017

MOTIVASI CIKGU ZUL : SEPENUH HATI MENYAYANGI DIRI


Dalam hidup ini kalau terlalu takut untuk mencuba untuk hidup di dunia baharu, kita akan terus terkurung di kandang ketakutan yang menyeksa hati dan perasaan kita. Jangan membuat keputusan dengan hanya bersandarkan kata-kata orang sekeliling. Kita ada hati maka tanyalah hati kita. Apabila kita selalu dengar kata hati, kita akan temui jalan penyudah yang membahagiakan. Setelah hati menjawab, pejamkan mata, tanyalah pada ibu dan ayah kita. Jiwa dan keberkatan mereka sentiasa bertapak kukuh di setiap titisan darah yang mengalir di seluruh tubuh kita walaupun mereka telah lama meninggalkan kita. Setelah itu, buat perancangan dan uruskan dengan teliti melalui jalan yang betul dan direstui. Serahkan semuanya pada Allah. Allah pasti akan membukakan jalan yang mudah dan senang untuk kita yang selalu berusaha.

Yakinlah pada diri sendiri. Jika kita tidak yakin pada diri sendiri, kita akan selalu lemah dan goyah dalam membuat keputusan. Perkara yang kecil dan mudah akan menjadi susah jika kita asyik diamuk resah dan sukar untuk membuat keputusan. Ingatlah, keputusan yang terbaik itu datang daripada diri kita sendiri, bukannya daripada orang lain. Jika kita terlalu bergantung harap kepada orang lain, kita selalu menjadi mangsa keadaan sehingga kita acapkali berhadapan dengan kegagalan yang berterusan. Oleh itu, hormatilah diri kita. Jangan sesekali hilang kasih sayang terhadap diri sendiri kerana orang yang tidak menyayangi dirinya sendiri akan sering kecundang dalam apa jua bentuk perjuangan. Haluan hidup kita hanya kita yang menentukan haluannya bukan orang lain. Nakhoda yang terbaik ialah diri kita sendiri kerana kita tahu ke mana arah hendak dituju. Sekiranya gagal, kita akan puas kerana penyebab kepada kegagalan itu ialah diri kita sendiri. Kita tidak perlu menyalahkan orang lain atas kegagalan itu. Kita terus bertindak dengan pantas membaiki kelemahan diri untuk terus mara ke hadapan.

Mengapakah kita terlalu takut kepada manusia?

Kita takut terlalu takut kepada manusia kerana kita lupa pada Tuhan Yang Maha Esa. Oleh sebab itu, kita selalu salah dalam membuat keputusan. Dalam dunia pendidikan, jangan fikir soal popular. Ada apa pada nama dan pencapaian? Kecemerlangan anak-anak didik merupakan kejayaan yang diharapkan tetapi jika mereka gagal juga dalam perjuangan, kegagalan itu bukanlah sesuatu yang kita doa-doakan. Yang dipentingkan soal kesejahteraan diri sambil melaksanakan tugas dengan ikhlas dan amanah setimpal dengan upah yang kita peroleh. Jika kita pandai menari di pentas opera hidup yang berceracak dengan duri uji, kita tidak akan kehilangan nikmat untuk berjaya walau di mana sahaja kita berada. Dalam setiap keputusan, kita jangan terlalu banyak bertanya kepada orang yang tidak tahu atau penakut seperti kita. Tanyalah pada hati yang berani dan Allah Yang Maha mengetahui. Kita akan dapat jawapan yang terbaik untuk diri kita.

Motivasi daripada:
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu Sarawak

CATATAN CIKGU ZUL : SMK SIBU JAYA, PENCALONAN ANUGERAH SEKOLAH CEMERLANG KOKURIKULUM KATEGORI LUAR BANDAR, SUATU PENGALAMAN YANG AMAT BERHARGA, TIDAK MENGHARAP WALAU BERHAJAT


Pelayaran saya dalam dunia perguruan ini amatlah indah dan manis sekali, sedar tak sedar sauh pelayaran khidmat bakti saya sudah belabuh di SMK Sibu Jaya selama setahun 3 bulan. Saya semakin mengenali dan memahami kehadiran diri ke alma meter ini dan berusaha bersama-sama warganya untuk menaikkan martabat sekolah yang tercinta ini. Walaupun terpaksa memandu kira-kira 40 minit sehari dari bandar Sibu, hati dan jiwa saya amat tenang dan riang, sepanjang jalan saya memutarkan lagu-lagu indah sambil menyanyi sehingga pemandu di kiri dan kanan saya tertawa apabila alunan suara merdu saya menerjah masuk ke halwa telinga mereka. Ingatan saya menerawang ke waktu awal kemunculan saya di SMK Sibu Jaya. Dalam tempoh tidak sampai 2 bulan berkhidmat, saya berhadapan dengan cabaran yang amat besar apabila sekolah saya dicalonkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Sibu untuk menyertai Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Kategori Luar Bandar. Saya tidak mampu untuk menolak pencalonan itu. Saya anggukkan kepala sambil memikirkan apakah SMK Sibu Jaya mampu atau tidak?

Kenangan itu merupakan pengalaman yang paling indah tetapi mendebarkan. Saya umumkan bersama Tuan Pengetua berkenaan dengan pencalonan itu dalam taklimat staf dan perhimpunan sekolah. Bukannya sedikit persediaan yang perlu kami lakukan kerana kami terpaksa bermula dengan ‘kosong’ terutamanya dalam aspek pemfailan. Yang lebih membimbangkan ialah kami cuma ada masa seminggu sahaja untuk bersedia. Mulai saat inilah rasa cinta dan sayang saya kepada warga SMK Sibu Jaya semakin menebal, bayangkan semua guru sanggup bersekang mata untuk membuat persiapan sehingga sanggup berkampung di sekolah. Komitmen yang diberikan amat mengharukan terutamanya daripada dua orang Setiausaha Kokurikulum iaitu Puan Julina Labang dan Puan Mujalifah Binti Kassim. Mereka sanggup meninggalkan anak-anak yang perlukan penjagaan di rumah demi membantu pihak sekolah membuat segala persiapan bersama-sama dengan pelajar-pelajar. Saya tidak dapat lupakan jasa dan pengorbanan mereka sampai bila-bila. Walaupun pada tahun itu kami cuma mendapat tempat keempat tetapi bagi saya kami merupakan juara yang sebenarnya kerana daripada tiada kami mampu adakan hasil kesungguhan dan kesepaduan jiwa kerjasama antara kami warga SMK Sibu Jaya.

TAHUN 2017, KAMI BERTANDING LAGI

Penyertaan kami dalam pertandingan yang sama pada tahun 2017 bukanlah kejutan tetapi telah diduga. Sekolah kami merupakan satu-satunya sekolah menengah yang dicalonkan oleh Jabatan Pendidikan Sibu untuk menyertai pertandingan ini pada tahun ini. Walaupun kami agak sibuk membuat persiapan tetapi kedaifan kami tidaklah seperti tahun lalu. Kini, kami sudah mula memahami serba sedikit perkara yang perlu dilakukan. Keterbatasan masa itu tetap menjadi kekangan utama tetapi semangat kerjasama dan setiakawan serta rasa cinta dan sayangkan sekolah SMK Sibu Jaya menyebabkan kami beranggapan tiada yang mustahil untuk dilaksanakan. Setiap orang memainkan peranan seperti yang diarahkan. Semuanya lancar dan membuahkan hasil yang amat membanggakan. Saya amat beruntung kerana dapat bekerjasama dengan dua orang Setiausaha Kokurikulum yang serba tahu dalam semua perkara. Mereka dibantu oleh lapan orang penyelaras yang amat komited dengan tugas dan tanggungjawab. Mereka ialah Cikgu Mickencidy Bujang (Penyelaras Unit Beruniform Sesi Pagi)  dan Cikgu Lenya Anak Ko (Penyelaras Unit Beruniform Sesi Petang), Cikgu Nyabong Anak Ganen (Penyelaras Sukan dan Permainan Sesi Pagi) dan Cikgu Felecia Wong (Penyelaras Sukan Permainan Sesi Petang), Cikgu Emi Ewat (Penyelaras Kelab dan Persatuan Bukan Akademik Sesi Pagi) dan Cikgu Ngu Leh Sung (Penyelaras Kelab dan Persatuan Bukan Akademik Sesi Petang), dan Cikgu Zuraina Bt Arifin (Penyelaras Kelab dan Persatuan Akademik Sesi Pagi) dan Cikgu Sii Tieng Ing (Penyelaras Kelab dan Persatuan Akademik Sesi Petang), Puan Ainulriza binti Sadiro (Penyelaras Pendidikan Khas) dan Puan Jeniffer Anak Entayang (Penolong Setiausaha).




Saya amat bangga dengan usaha dan kesungguhan yang dipamerkan oleh semua warga sekolah dalam memberikan sokongan padu terhadap perkara ini. Saya tidak mahu bebankan warga guru dengan tugas yang terlalu banyak, saya cuma minta mereka menyiapkan fail kokurikulum masing-masing mengikut senarai semak yang diberikan. Saya juga amat berterima kasih atas komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada Tuan Pengetua Encik Mohd. Yusri Azhar bin Abdullah @ Leo Takip, Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Mohd Sufian bin Hapni, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Encik Friday Anak Biju, Penolong Kanan Tingkatan Enam, Puan Victoria Toyad Binti Benjamin, dan Penolong Kanan Petang, Cik Paula Paulus. Rasa terima kasih yang tidak terhingga tidak mampu saya gambarkan dengan kata-kata . Saya hanya mampu memanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa agar semuanya diberikan kesihatan dan kesejahteraan hidup. Saya mohon kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui agar hubungan silaturrahim antara kami akan kekal abadi hingga ke jannah. Sesungguhnya, setiap perjuangan dalam sesebuah pertandingan sebegini akan lebih mudah andai semuanya bersatu hati dan berkongsi jiwa menghayati dan memahami matlamatnya.

HARI PENILAIAN 16 OGOS 2017

Hari penilaian yang dinanti pun tiba. Cuaca pada hari itu amat indah. Semua guru dan pelajar tiba awal di sekolah untuk membuat persiapan yang terakhir sementara menunggu panel penilai tiba di sekolah. Pada pukul 7:00 pagi, semua guru dan pelajar yang terlibat dalam persembahan telah pun bersedia di ruang legar sekolah. Dalam kesibukan itu, satu dugaan kecil muncul apabila bekalan elektrik di Bilik Mesyuarat terputus. Ya Allah, saya jadi panik kerana dalam jadual panel penilai akan tiba pada pukul 8:00 pagi. Saya hubungi pihak pihak Pejabat Pendidikan Sibu agar menangguhkan masa penilaian sehingga bekalan elektrik pulih. Rombongan panel penilai datang ke sekolah tepat pukul 9:00 pagi. Mereka terdiri daripada Encik Alta Abang Katum, Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Encik Abit Hong, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Santubong, dan Puan Saraminah Singkiu, UPPK Lawas. Kedatangan mereka disambut dengan paluan kompang oleh pelajar Tingkatan 2 di bawah pimpinan Cikgu Annetta Alicia Guillan. Selepas itu, panel penilai dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada “Anak-anak Syurga” di bawah pimpinan Cikgu Ainulriza Binti Sadiro.




Kemuncaknya pula ialah Persembahan Kawad Kaki War Cry SMK Sibu Jaya di bawah pimpinan Cikgu Mickencidy Bujang dan Cikgu Randy Kembaren bin Zulfri. Persembahan kawad ini mendapat pujian kerana disiplin yang ditunjukkan amat tinggi. Pasukan ini cuma belatih dalam tempoh tidak sampai sehari kerana kesibukan menghadapi ujian sekolah. Akan tetapi, kualiti kawad yang dipamerkan amatlah mengagumkan terutamanya daripada Ketua Komenden, adik Johnnycal Muyang Anak Anthony. Saya berasa amat terharu dengan kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh setiap ahli pasukan itu. Hati saya berkata, tidak mengapalah jika sekolah kami tidak berjaya kerana kami sebenarnya telah berjaya menunjukkan semua yang mampu kami lakukan dalam keadaan yang serba kekurangan dan ketiadaan. Kami sedar bahawa kami bukanlah yang terbaik kerana kami masih bertatih tatkala yang lain sudahpun berlari jauh meninggalkan kami. Sesungguhnya, itulah kejayaan kami yang sebenarnya. Setiap pertandingan memang akan ada pihak yang menang dan pihak yang kalah namun jika kami kalah kami puas kerana kami telah memberikan yang terbaik. Itulah wajah SMK Sibu Jaya yang sebenarnya. Insyallah, sedikit demi sedikit imej sekolah kami akan meningkat dari sehari ke sehari, bak kata pepatah sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. SMK Sibu Jaya baru berusia 14 tahun, dalam tempoh itu banyak kejayaan yang dicapai dalam bidang kokurikulum. Tahniah diucapkan!



Suasana di bilik penilaian dimulai dengan ucapan daripada Tuan Pengetua, Encik Mohd. Yusri Azhar bin Abdullah @ Leo Takip, kemudian ucapan daripada Panel Penilai, Encik Alta Abang, dan pembentangan oleh saya sendiri selaku Penolong Kanan Kokurikulum. Selepas penyampaian cenderamata kepada Panel Penilai, maka tibalah sesi penilaian. Penilaian dimulai dengan Pembentangan Inovasi Sekolah iaitu Projek Multi Purpose Bag oleh tiga orang ahli PBSMM iaitu Mohammad Haris, Liong King Teck, dan Alexson Ajah. Pembentangan mereka lancar dan mereka mampu menjawab soalan yang ditanya oleh Panel Penilai walaupun ada ketikanya saya tersenyum mendengar jawapan yang diberikan. Pujian harus diberikan kepada mereka kerana tidak gentar dan takut apabila diajukan dengan soalan oleh Panel Penilai. Percubaan mereka menghasilkan inovasi tersebut wajar berikan penghargaan kerana guru hanyalah menasihati dan memantau perkara yang mereka lakukan. Yang menghasilkan inovasi tersebut ialah mereka sendiri.




Sesi penilaian oleh Panel Penilai bermula. Walaupun masih ada kekurangan dan kekhilafan yang kami lakukan tetapi tidaklah seperti suasana penilaian pertama pada tahun 2016. Saya amat tertarik dengan kesungguhan para penyelaras dan setiausaha kokurikulum sekolah kami yang bertungkus lumus menyediakan segala yang diminta oleh Panel Penilai. Suasana berlangsung dalam keadaan yang amat santai. Yang kurang kami diberikan tunjuk ajar oleh Panel Penilai untuk ditambahbaik pada masa hadapan. Yang baik kami diberikan pujian terutamanya dalam aspek Pengurusan Kewangan Kokurikulum. Terima kasih diucapkan kepada Puan Jacqueline Anak Andreas Jampie dan Cik Hellen Anak Alo yang mempersembahkan pengurusan kewangan yang telus kepada Panel Penilai. Kelemahan kami yang ketara ialah dalam merekodkan aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah yang seharusnya ada kertas kerja dan laporan aktiviti. Akan tetapi, kelemahan itu ditutup oleh Persatuan Bulan Sabit Merah dan Pendidikan Khas yang mempunyai rekod yang mantap dan memenuhi kehendak Panel Penilai. Keseluruhannya, proses penilaian berjalan dalam suasana yang amat tenang dan tidak kelam kabut kerana kami banyak belajar daripada kekurangan pada tahun lepas.


MENANG ATAU KALAH

Rasionalnya, apabila kita menyertai sesebuah pertandingan kita melakukan persediaan untuk memperoleh kemenangan tetapi bagi diri saya kami telah pun memang kerana banyak pengalaman yang kami peroleh. Tunjuk ajar daripada Panel Penilai amat berharga buat kami yang masih baharu dalam perkara sebegini terutamanya diri saya yang boleh diibaratkan “umur setahun jagung, darah setampuk pinang” sebagai Penolong Kanan Kokurikulum. Saya memang banyak kelemahan yang harus diperbaiki dalam menguruskan sekolah yang sebesar SMK Sibu Jaya. Alhamdulillah, Allah permudahkan setiap urusan yang saya lakukan dengan adanya guru-guru yang sentiasa bersedia memberikan komitmen terhadap setiap arahan yang diberikan. Saya mengarahkan tanpa meninggikan suara. Saya mengarahkan tanpa memaksa. Saya tidak perlu bersengketa. Saya tidak perlu berbalas kata. Saya umumkan semuanya dengan bersahaja dan difahami oleh semua. Mereka bertindak melaksanakannya dengan jaya. Itulah keistimewaan guru-guru di SMK Sibu Jaya. 


Persembahan Anak-anak Syurga


Saya tidak pernah tertekan memikirkan karenah guru-guru kerana mereka tidak pernah menyuarakan kata ‘tidak’ baik di hadapan mahupun di belakang saya. Dalam keadaan terdesak kami masih bergurau senda. Yang paling saya kagumi ialah dua orang Setiausaha Kokurikulum SMK Sibu Jaya, mereka berdua merupakan wanita yang bersemangat waja dan terlalu komited terhadap tugas-tugas mereka sehingga saya terkedu untuk berkata-kata. Jauh di sudut hati saya mendoakan agar mereka terus maju dalam bidang perguruan ini pada masa hadapan kerana mereka masih muda dan mempunyai peluang yang cerah pada masa muka.


Penilaian kokurikulum kami akhiri dengan rumusan daripada Panel Penilai. Selepas menikmati Nasi Ayam Penyet yang dibungkus kemas dengan daun pisang, kami mendengar rumusan daripada Panel Penilai dengan mencatat setiap teguran dan pujian yang diberikan. Secara peribadi, saya simpulkan kami berjaya. Kami berjaya menyediakan semuanya dengan bekerjasama. Kami berjaya menyediakan semua yang diminta oleh Panel Penilai. Adat pertandingan, kekurangan memang tidak boleh disembunyikan tetapi kami sedaya upaya meminimumkan kelemahan dan memaksimumkan kelebihan kepada Panel Penilai. Apa-apapun keputusan daripada Panel Penilai kami terima dengan tangan terbuka. Yang terbaik pasti akan menjadi Juara. Akan tetapi, pengalaman yang diperoleh daripada penilaian ini nilainya amat tinggi bagi kami. Kami akan belajar dan terus belajar. Kami akan terus membaiki diri tanpa jemu dan bosan. Sesungguhnya, kecemerlangan itu adalah hak bagi mereka yang terbaik. Untuk memperoleh kecemerlangan kita mesti berusaha. Ya, kami sedang melangkah ke arah itu. 

Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Encik Wong Chong Kung atas pencalonan ini, terutamanya kepada Encik Inggol Anak Utek, Penyelia Kokurikulum, PPD Sibu. Dengan rasa rendah diri kami mohon maaf jika ada kekurangan dan kekhilafan. Sesungguhnya, yang terbaik itu datang daripada Allah Yang Maha Esa, yang kurang itu daripada kami hamba-Nya yang hina. 


Cetusan pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu, Sarawak

GALERI KOKURIKULUM





08 Ogos 2017

CATATAN CIKGU ZUL : KUTULIS SURAT INI UNTUK RAKAN-RAKAN GURUKU


Rakan-rakan guru yang disayangi,

Tatkala orang lain sudah lena beradu melayan mimpi-mimpi indah di tilam empuk sambil menahan sejuk yang nyaman dan tenteram, saya tahu ramai lagi dalam kalangan kita yang masih membaca karangan-karangan pelajar sambil memberikan markah dan membetulkan silap dan salah. Saya juga tahu masih ramai dalam kalangan kita yang melupakan pelukkan nikmat isteri atau suami tercinta kerana terpaksa menyaipkan pelbagai tugas atas nama “Saya yang menurut perintah”. Saya terlalu tahu, ribuan guru terpaksa bersekang mata sehingga terlupa mengucapkan selamat malam kepada anak tercinta kerana berkorban masa berfikir dan menyediakan pelbagai bahan untuk mengajar pada hari esok yang bakal tiba. Sudah-sudahlah rakan-rakanku, pergilah beradu dan lelapkan mata sehingga terlena. Kita harus fikirkan kesihatan diri kerana apabila kita sakit, mereka yang mengarahkan kita bekerja itu tidak akan menjaga dan merasai deritanya kita yang menanggung kesakitan. Kemungkinan kita akan dimarahi kerana lama tidak datang ke sekolah kerana membebankan mereka mengatur jadual “sit-in”. Kemungkinan juga kita akan disumpah seranah oleh kawan-kawan seperahu yang terpaksa masuk menggantikan kita buat sementara waktu. Lihatlah situasi yang terjadi sejak belakangan ini, semakin ramai dalam kalangan rakan-rakan kita yang menemui ajal pada usia muda. Ajal yang menjemput mungkin takdir Ilahi. Akan tetapi, kes yang berlaku di Mukah, Sarawak baru-baru ini wajar diteliti oleh pelbagai pihak dengan penuh kesedaran dan keinsafan. 

Pemergian mereka tidak ada sesiapa pun peduli. Pihak pentadbir cuma sibuk mencari pengganti agar masalah segera diatasi. Yang menangisi dan merasai kehilangan kita hanyalah anak-anak dan isteri atau suami yang amat menyayangi kita. Pihak yang memaksa kita bekerja sehingga kesihatan kita terabai, mungkin cuma datang menghantar derma konon-kononnya terlalu kasihkan kita, tetapi disebalik itu merekalah yang meragut nyawa kita tanpa belas kasihan semasa hayat kita bersama mereka. Benar memang benar, tugas mengajar, menyemak, dan menyediakan alat-alat mengajar itu tugas hakiki seorang guru seperti kita. Akan tetapi, tugas-tugas lain yang terpikul di bahu tidak tertanggung rasanya untuk dilunaskan. Zaman teknologi yang kian canggih mungkin menguntungkan orang di jabatan lain tetapi menyeksa jiwa raga kita semua kerana dipaksa mengisi data dan menyempurnakan kursus-kursus dalam talian seperti BOSOT, FROG, dan i-Think sehingga kita rasa teramat geram. Masalah talian yang ibarat siput babi menjadikan kita semua rasa dikhianati. Kita terpaksa bangun pukul 2:00 pagi semata-mata untuk melayari internet. Kita kurang tidur disebabkan terpaksa mengisi data-data yang perlu disempurnakan dengan segera  atas arahan mereka yang berpangkat dan berkuasa ke atas kita.

Rakan-rakan guru yang dihormati,

Orang kata kita cikgu ini banyak cuti. Betulkah kita banyak cuti? Sebenarnya waktu cuti kita dicuri oleh tugas-tugas hakiki yang terpaksa kita selesaikan. Saya sendiri merasakan waktu cuti saya selalu dihabiskan untuk menyemak kertas-kertas peperiksaan ujian penggal yang bukannya sedikit. Memang benar saya bercuti daripada pergi ke sekolah. Memang benar saya bercuti kerana tidak berhadapan dengan pelajar di dalam kelas. Akan tetapi, dirumah saya berhempas pulas mengejar tarikh akhir memasukkan markah pelajar ke dalam sistem dalam talian. Cuti seminggu bagaikan sehari kerana terperuk di rumah demi menyempurnakan tugas-tugas yang perlu dilangsaikan. Akan tetapi, yang tahu cuma anak-anak kita dan isteri atau suami kita. Yang lain selalu menyelar kerjaya kita seolah-olah mereka pernah merasai hidup seperti kita. Waktu cuti kita kadang-kadang habis kerana terpaksa menghantar pelajar mengikuti sesebuah pertandingan atau terpaksa menyertai perkhemahan kokurikulum. Waktu cuti kita mungkin habis kerana perlu menghadiri bengkel atau ceramah anjuran pelbagai pihak. Waktu cuti kita mungkin habis disebabkan arahan pihak atasan supaya kita siapkan pelbagai fail dan membuat pelbagai dokumentasi demi menaikkan imej dan nama sekolah dalam pelbagai pertandingan dan anugerah. Jika pentadbir kita gila nama, maka kitalah yang terpaksa menjadi mangsa kerana terpaksa menyiapkan pelbagai persiapan dan sistem pemfailan. Tugas kita tidak pernah selesai, acara-acara yang perlu diraikan di peringkat sekolah memerlukan kita untuk menjadi MC, mengatur kerusi, menghias pentas dan sebagainya sehingga ke malam hari.

Susah kita hanya kita yang tahu. Orang tidak nampak apabila seawal 5 pagi kita sudah membuka mata. Masa kerja kita bermula seawal 6:30 pagi. Apabila kita masuk sahaja ke kawasan sekolah maka tugas kitapun bermula. Kita terpaksa berhadapan dengan pelajar-papelajar yang mempunyai masalah disiplin. Kita terpaksa memanggil ibu bapa apabila pelajar sakit dan menunggu sehingga mereka datang. Kerja pembersihan kelas kita terpaksa tangani sehingga kita tidak tahu yang mana satu harus didahulukan. Semua perkara kita harus ambil tahu. Jika pelajar pengsan akibat tidak makan. Kita terpaksa belikan makanan. Orang awam tidak tahu berapa banyakkah duit yang kita keluarkan demi membantu pelajar-pelajar kita sebab jiwa kita jiwa guru. Semua pengorbaban itu kita tidak canang-canangkan kerana saya tahu golongan guru ini jiwanya amat kental dan sabar. Selagi masih mampu bekerja mereka akan terus bekerja. Bukan sedikit dalam kalangan kita terutamanya guru wanita yang bekerja sambil menahan air mata akibat sikap segelintir pelajar yang kurang rasa hormat terhadap mereka. Bukan sedikit dalam kalangan kita yang dimarah dan diancam pada setiap hari akibat mengajar pelajar di kelas yang memang tidak masuk ajar. Kertas latihan yang kita fotostat guna sendiri dijadikan alat membuat kraftangan oleh golongan yang culas dan langsung tidak menghargai semua usaha kita. Mereka lipat kertas tersebut sehingga menjadi tumbuh-tumbuhan, kapal terbang, burung, dan sebagainya. Hancur luluh hati kita. Usaha kita tidak dihargai oleh anak-anak yang tidak sedar diri dan tidak tahu betapa pentingnya ilmu untuk mengubah hidup.

Rakan-rakan guru yang dikasihi,

Ada kalanya kita pening memikirkan sikap dan pandangan orang sekeliling. Masyarakat selalu menyerang guru dengan pelbagai cara yang tidak diketahui apakah tujuan dan objektifnya.  Karenah ibu bapa yang memandai-mandai mengata itu dan ini terhadap profesion kita jangan difikirkan sangat. Kutukan dan cacian masyarakat yang kian membarah terhadap kerjaya kita biarkanlah terdampar di pantai degil sehingga berbau dan berulat. Tugas kita cuma menyampaikan ilmu. Jangan dimarah anak-anak itu jika perangainya biadap. Jangan dimarah anak-anak itu jika mereka malas belajar. Jangan dimarah anak-anak itu jika mereka tidur di dalam kelas. Lihatlah pengalaman kawan-kawan kita, apabila kita memarahi, kita akan menjadi mangsa pembohongan mereka apabila bercerita kepada ibu bapa mereka.Kita mungkin rotan sekali di tapak tangan tetapi mereka mungkin tambah lagi jumlah sehingga menjadi 10 kali. Ibu bapa mereka ghairah menjaja cerita di media sehingga terlupa pada bakti yang dicurahkan kepada anak-anak mereka. Rasa membuak-buak untuk menyaman guru menyebabkan mereka alpa jasa dan bakti kita dalam mendidik dan mengasuh anak-anak mereka. Benar memang benar, tugas kita dibayar gaji yang diterima pada setiap bulan tetapi itu bukanlah alasan untuk menjaja aib dan khliaf kita yang belum terbukti betul pada realitinya.

Semakin hari semakin ramai dalam kalangan kita yang mengundur diri dari profesion mulia ini dengan mengambil keputusan bersara awal. Istilah keramat “bersara awal” sentiasa menjadi bahan perbualan antara kita. Kita bukan takut berhadapan dengan realiti tetapi kita kecewa. Rasa kecewa itu ibarat sembilu yang menusuk jantung pengorbanan kita sehingga membawa kesakitan yang tidak tertahan. Kita ada persatuan yang menjadi saluran untuk bersuara dan menyampaikan hasrat hati kita tetapi suara itu tidak terlalu kuat dan hebat untuk membela nasib kita terutama dalam soal-soal berkaitan dengan beban tugas guru. Semakin banyak dasar, semakin kerap pemimpin bertukar, semakin banyak beban yang terpaksa kita galas. Lantaran itu, kita berlalu pergi dengan berat hati memutuskan ikatan perkahwinan dengan profesion yang amat kita minati ini. Orang akan berkata semua kerjaya ada cabaran dan rintangannya. Orang akan berkata semua kerjaya ada masalah dan pancarobanya. Orang akan berkata kita ini terlalu dibelai dan dimanja sehingga dijentik sedikit kita melenting. Akan tetapi, golongan yang berkata itu mungkin hanya melihat luaran kita yang tampak indah, bersih, dan kemas sesedap mata memandang. Mereka tidak masuk ke jiwa dan nurani kita yang berkecamuk dengan pelbagai rasa bersalah untuk menyiapkan itu dan ini atas arahan orang yang berkuasa ke atas kita. Semakin ramai ilmuan yang kita hasilkan semakin banyak mata yang akan melihat silap kita dan menghentam kerjaya kita. Itulah hakikat yang tidak boleh kita kikis dan tepis. Profesion kita tidak lagi dipandang mulia oleh anak-anak bangsa yang kita didik dan asuh sehingga mempu menakluki duniawi.

Rakan-rakan seperjuanganku,

Sebelum saya noktahkan warkah ikhlas dari hati ini, saya ingin menyeru agar kita terus setia menabur bakti kepada bangsa dan pertiwi. Jika bukan kita yang memulakan, negara yang dicintai ini akan hancur musnah kerana semua golongan yang berjaya pada hari ini, kitalah yang menjana dan menempanya. Kita suburkan hati mereka yang kering kontang dengan renjisan ilmu sehingga tanah itu menjadi subur dan mengeluarkan hasil yang amat membanggakan negara bangsa. Securam manapun jalan yang dilalui kita harus juga melaluinya dengan berhati-hati kerana tugas kita sungguh murni dan sungguh suci. Sepahit manapun hempedu cabaran yang didepani, kita harus juga mendepaninya dengan tabah san sabar kerana tugas kita ini sungguh mulia untuk memajukan bangsa dan negara. Jangan sesekali kita menyerah kalah kerana kita merupakan warga terpilih untuk berbakti menggunakan laluan ini. Nikmati hari-hari kita yang sarat mengundan beban dengan senyuman manis yang bisa mencairkan hati sesiapa sahaja yang memandang. Kita mungkin tidak dianugerahkan dengan pingat yang membawa gelaran Datuk atau Tan Sri seperti artis-artis popular (Yang terlalu banyak jasa kepada negara) di duniawi tetapi insyallah kita dijanjikan pahala berganda sebagai bekalan di akhirat. Jangan sedih-sedih. Jangan merintih-rintih. Jangan mengganggap diri disisih. Selagi kita bersatu kita akan terus kuat dan gagah menghadapi segalanya. Yang penting, jangan benci kepada kerjaya kita. Sayangilah profesion mulia ini kerana profesion ini tidak pernah bersalah terhadap sesiapa. Yang salahnya manusia yang mencipta pelbagai peraturan dan dasar-dasar sehingga melemahkan semangat kita. Akan tetapi, siapakah kita yang boleh menyalahkan mereka?

Catatan Pendidik Bangsa
Zulkarnain Farihin

Sibu Sarawak

06 Ogos 2017

PENULISAN KARANGAN STPM : HURAIAN MATANG DAN HURAIAN TIDAK MATANG


PENDAHULUAN

Penulisan esei diuji dalam Bahasa Melayu Kertas 1(910/1) bagi calon-calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Berdasarkan salibus Sukatan Pelajaran STPM Baharu yang diperkenalkan mulai tahun 2012, Bahasa Melayu 910/1 dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu, Bahagian A : Aneka Pilihan (20%), Bahagian B : Pemikiran Kritis dan Analitis (30%), dan Bahagian C : Penulisan Esei (50%). Markah yang diperuntukkan sebanyak 50% untuk penulisan esei itu amat banyak. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sebagai guru, majoriti calon mendapat markah dalam lingkungan 10% hingga 20%  sahaja. Jumlah yang mendapat markah melebihi 20% amat kurang. Yang mendapat 40% hingga 50% mungkin hanya mimpi di siang hari. Persoalannya, mengapakah calon-calon yang menduduki Bahasa Melayu 910/1 ini gagal mendapat markah yang tinggi dalam penulisan esei? Umum mengetahui bahawa pengajaran dan pembelajaran penulisan esei atau penulisan karangan ini sudah berlangsung di bilik darjah sejak mereka berasa dalam Tahun 1 lagi. Mereka didedahkan dengan pelbagai teknik oleh guru-guru bahasa Melayu baik yang terlatih mahupun yang tidak terlatih. Akan tetapi, sehingga berada di peringkat prauniversiti pun mereka masih gagal menulis esei yang cemerlang.

BUDAYA HAFAL ESEI

Punca utama kegagalan calon dalam menghasilkan esei yang cemerlang adalah disebabkan mereka gagal menghuraikan isi dengan matang. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka telah dirobotkan oleh guru-guru bahasa Melayu mereka sejak sekolah rendah lagi. Murid-murid diajar menghafal esei termasuklah isi dan huraian. Mereka tidak diberikan kebebasan berfikir untuk menghuraikan sendiri isi karangan semasa menulis. Kebanyakan guru menyediakan isi dan rangka karangan dan pelajar diarahkan membina ayat berdasarkan bahan yang disediakan itu. Keghairahan guru ini adalah disebabkan tuntutan sistem pendidikan yang terlalu berorentasikan peperiksaan. Mereka terlalu takut jika pelajar mereka gagal dalam subjek Bahasa Melayu terutamanya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh itu, strategi terbaik untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan adalah dengan menghafal esei. Teknik ini memang menjadi bagi calon-calon yang menduduki UPSR, PT3, dan SPM. Akan tetapi, apabila sampai ke peringkat yang lebih tinggi, pelajar-pelajar yang menghafal ini gagal menghuraikan karangan mereka dengan matang dan tepat. Mereka mampu membuat huraian yang bersifat umum atau tidak berpijak di bumi nyata. Situsai ini akan lebih parah sekiranya mereka kurang membaca. Akibatnya mereka menghuraikan isi karangan dengan merapu-rapu sehingga memeningkan kepala pemeriksa. Pengetahuan sedia ada calon amat sedikit tentang tajuk-tajuk esei yang disoal. Walaupun isu yang dikemukakan amat senang mereka masih juga gagal menghuraikan isi karangan dengan baik dan matang.  

KEMAHIRAN MENGANALISIS SOALAN

Kemahiran menganalisis soalan wajar ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran karangan di Tingkatan Enam. Aspek ini mempunyai kolerasi dengan huraian yang matang dan betul. Kebanyakan calon tidak diberikan pendedahan dalam aspek ini disebabkan guru berandaian mereka sudah tahu. Bagi menerangkan aspek ini dengan lebih terperinci, sila rujuk soalan STPM 2016 di bawah.



Soalan

Analisis Soalan


1.   Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kes penderaan kanak-kanak di negara kita. Jelaskan faktor-faktor tersebut.


Isu utama : Kes penderaan kanak-kanak di negara kita (Malaysia)

Tugasan : Menjelaskan faktor-faktor yang menyebabkan kes penderaan kanak-kanak berlaku di negara kita

2.   Pencapaian negara kita dalam bidang sukan tidak begitu memuaskan dan masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan negara. Jelaskan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pencapaian negara kita dalam bidang tersebut.

Isu utama : Pencapaian negara kita dalam bidang sukan tidak begitu memuaskan.

Tugasan : Menjelaskan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pencapaian negara kita dalam bidang sukan.



3.   Perkembangan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) banyak memberikan kesan positif terhadap pembelajaran para pelajar. Huraikan kesan-kesan positif yang dimaksudkan.


Isu utama : Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) banyak memberikan kesan positif terhadap pembelajaran para pelajar

Tugasan: Menghuraikan kesan-kesan positif TMK terhadap pembelajaran para pelajar.


Mengapakah calon perlu mengenal pasti isu utama dan tugasan seperti yang ditunjukkan di atas? Isu utama ini harus dikenal pasti kerana dapat membantu pelajar menulis huraian yang matang. Setiap huraian tidak boleh lari daripada isu utama. Huraian karangan yang matang akan mengaitkan ayat demi ayat dalam huraian mereka dengan isi utama sehingga mewujudkan suatu koheren dan kohesi dalam penulisan.

Di samping itu, calon juga harus mengenal pasti tugasan dalam soalan. Tugasan ini akan membantu calon memberikan isi yang betul dan tepat. Contohnya soalan 3, calon diminta menghuraikan kebaikan TMK terhadap pembelajaran pelajar. Jadi, soalan ini hanya berfokus kepada pelajar sahaja dan bukannya kebaikan TMK secara umum. Oleh sebab itu, jika pelajar menghuraikan kebaikan TMK dengan memilih isi memudahkan urus niaga secara dalam talian. Isi ini nampak betul tetapi tidak menjawab soalan. Hal ini dikatakan demikian kerana soalan meminta pelajar memberikan isi berkaitan dengan kesan-kesan positif TMK terhadap pembelajaran para pelajar. Jawapan tersebut mungkin dianggap Tidak Relevan (TR).

HURAIAN ISI MATANG

CONTOH 1
Soalan 1 STPM 2016
Isi utama : Pegangan agama yang rapuh

Contoh huraian yang matang

Pada pendapat saya, punca utama yang  menyebabkan kes penderaan kanak-kanak berlaku di negara kita ialah pendera mempunyai pegangan agama yang rapuh. Pegangan agama yang rapuh menyebabkan pendera tidak dapat berfikir secara rasional sehingga tergamak melakukan kekejaman terhadap darah daging sendiri. Oleh sebab kurang penghayatan terhadap agama mereka tidak dapat membezakan baik dan buruk setiap tindakan yang mereka lakukan. Oleh itu, mereka tidak mempunyai rasa kasihan terhadap kanak-kanak yang didera kerana mereka tidak kenal dosa dan pahala. Mereka berasa puas kerana berjaya melepaskan kemarahan atau ketidakpuasan hati terhadap kanak-kanak yang tidak dapat melawan apabila dikasari. Tegasnya, pegangan agama yang rapuh akan menyebabkan seseorang tergamak melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

(107 patah perkataan)

Kenapa huraian ini dianggap matang?

Huraian ini dianggap matang kerana calon mengaitkan isi utama iaitu pegangan agama yang rapuh dengan isu utama soalan iaitu kes penderaan kanak-kanak di negara kita. Kesinambungan idea ayat demi ayat dalam huraian calon nampak jelas dan tepat.

CONTOH 2
Soalan 2 : STPM 2016

Contoh huraian yang matang

Pencapaian negara kita dalam bidang sukan dapat ditingkatkan dengan melantik jurulatih yang berwibawa dan berpengalaman. Peranan jurulatih dalam meningkatkan pencapaian atlet memang tidak dapat dinafikan. Jurulatih yang profesional merupakan mereka yang pernah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang sukan yang mereka ceburi. Oleh itu, mereka dapat berkongsi pelbagai teknik dan kemahiran yang bertaraf dunia dengan atlet negara kita. Perkongsian sebegini amat penting untuk meningkatkan baik prestasi mahupun pencapaian para atlet. Teknik dan kemahiran yang didedahkan itu jika disusuli dengan latihan intensif sudah pasti akan dapat menyemarakkan semangat atlet untuk bersaing pada peringkat antarabangsa. Jurulatih yang profesional seperti Morten Frost, Karl Weigang, dan Park Joo Hong telah memberikan sumbangan yang besar dalam menaikkan pencapaian atlet negara kita di peringkat antarabangsa. Tegasnya, kita harus mengakui bahawa peranan jurulatih profesional memang membantu negara kita dalam meningkatkan pencapaian sukan negara.

(136 patah perkataan)
Kenapa huraian ini dianggap matang?

Huraian ini amat jelas dan tepat kerana calon turut mengaitkan isi utama dengan isu utama soalan. Calon turut menyatakan kehadiran jurulatih profesional itu memang dapat meningkatkan pencapaian sukan negara dengan mengemukakan contoh yang relevan. Huraian calon nampak matang. 



CONTOH 3
Soalan 3 STPM 2016
Isi utama : TMK sebagai medium perkongsian ilmu antara pelajar

Contoh huraian matang

Kesan positif TMK terhadap pembelajaran pelajar ialah mereka dapat menggunakannya sebagai medium perkongsian ilmu. Mereka dapat bertukar-tukar bahan pembelajaran menggunakan pelbagai aplikasi TMK yang moden dan terkini seperti Telegram, Whatsapp, e-mel, dan sebagainya. Dengan ini, maklumat dapat disebarkan dengan pantas dan mudah tanpa mengira lokasi mereka berada. Hasilnya, proses pembelajaran menggunakan TMK menjadi lebih menarik dan menyeronokkan kerana maklumat mudah diperoleh dengan adanya bantuan daripada rakan-rakan yang lain. Pelajar tidak terlalu mengharapkan guru-guru mereka untuk membantu dalam menyiapkan pelbagai tugasan terutamanya kerja kursus. Pelajar boleh berinteraksi dan bersoal jawab dengan menggunakan media sosial seperti Facebook bagi mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan tugasan yang perlu diselesaikan. Jelaslah bahawa TMK merupakan medium perkongsian terpenting pembelajaran pelajar.

(114 patah perkataan)
Kenapa huraian ini dianggap matang?

Isi utama memang dihuraikan dengan jelas yakni calon membuktikan dengan terperinci bahawa TMK memang membantu pelajar dalam melaksanakan perkongsian ilmu.

HURAIAN ISI TIDAK MATANG

CONTOH 1
Soalan 1 STPM 2016
Isi utama : Pegangan agama yang rapuh

Contoh huraian yang tidak matang

Pada pendapat saya, punca utama yang  menyebabkan kes penderaan kanak-kanak berlaku di negara kita ialah pendera mempunyai pegangan agama yang rapuh. Di dunia ini kita mempunyai pelbagai agama untuk dianuti. Contohnya, agama Islam, Kristian, Hindu, dan Buddha. Semua agama mengajar kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan atau keburukan. Jika kita mempunyai pegangan agama yang kukuh kita tidak akan melakukan penderaan terhadap kanak-kanak. Orang yang mempunyai didikan agama yang kukuh dapat membezakan baik atau buruk perbuatan yang mereka lakukan. Mereka akan sentiasa menyayangi orang lain terutamanya kanak-kanak. Oleh itu, kita mesti mempunyai pegangan agama yang kukuh agar kita tidak melakukan kes penderaan kanak-kanak.

(102 patah perkataan)
Kenapakah huraian ini dianggap tidak matang?

Huraian ini bersifat umum sahaja. Isi utama hanya dikaitkan secara sipi-sipi dengan isu utama soalan. Perkara yang tidak dijelaskan ialah calon tidak menghuraikan bagaimanakah faktor pegangan agama yang rapuh itu menyebabkan pendera tergamak melakukan penderaan terhadap kanak-kanak. Satu lagi kelemahan calon yang nampak ketara ialah calon ini memasukkan langkah mengatasi dalam huraian. Harus diingat, apabila kita menghuraikan faktor, kita tidak boleh memasukkan cadangan dalam huraian kita itu.

CONTOH 2
Soalan 2 : STPM 2016

Contoh huraian yang tidak matang

Pencapaian negara kita dalam bidang sukan dapat ditingkatkan dengan melantik jurulatih yang berwibawa dan berpengalaman. Jurulatih merupakan orang yang berpengalaman dan pakar dalam bidang sukan yang mereka ceburi. Negara kita mesti mengambil jurulatih dalam kalangan mereka yang telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang sukan masing-masing. Mereka mampu membawa perubahan kepada pencapaian negara dalam bidang sukan. Sehubungan dengan itu, gaji para jurulatih haruslah lumayan supaya mereka mahu bekerja di negara kita. Jika gaji yang ditawarkan rendah sudah tentu mereka akan kecewa dan berhijrah ke negara lain yang menawarkan gaji yang lebih tinggi. Jurulatih ini mesti dilayan dengan baik. Kita tidak boleh memarahi mereka apabila pencapaian atlet kita merosot. Kita hendaklah menghormati mereka. Tegasnya, peranan jurulatih amat penting dalam meningkatkan pencapaian sukan negara.
(122 patah perkataan)
Kenapakah huraian ini dianggap tidak matang?

Calon tidak mengiatkan kehadiran jurulatih berwibawa dan profesional itu dapat meningkatkan pencapaian sukan negara, sebaliknya menyentuh isu lain yang tidak berkaitan seperti gaji dan layanan terhadan jurulatih. Semua huraian berfokus kepada jurulatih sahaja.

CONTOH 3
Soalan 3 STPM 2016
Isi utama : TMK sebagai medium perkongsian ilmu antara pelajar

Contoh huraian tidak matang

Kesan positif TMK terhadap pembelajaran pelajar ialah mereka dapat menggunakannya sebagai medium perkongsian ilmu. Semua maklumat ada dalam TMK. Pelajar boleh merujuk pelbagai maklumat tanpa mengira tempat dan waktu asalkan mereka mempunyai talian internet. Kita hanya perlu menaip tajuk maklumat tersebut di tempat carian. Itulah kelebihan TMK kepada pelajar. Walau bagaimanapun, budaya ini boleh menggalakkan pelajar meniru. Mereka hanya perlu melakukan “copy and paste” sesuatu maklumat tanpa mengolahnya semula.  Mereka tidak perlu bersusah payah mencari maklumat. Itulah keburukan TMK jika pelajar tidak pandai menggunakan maklumat yang diperoleh. Tegasnya, TMK mampu menjadi medium perkonsian pembelajaran pelajar jika digunakan dengan sebaik-baiknya.

(99 patah perkataan)
Kenapakah huraian ini dianggap tidak matang?

Huraian ini bersifat umum sahaja. Huraian tidak menjelaskan isu utama dengan jelas dan tepat. Calon menyentuh isu yang tidak berkaitan dengan isu utama seperti isu meniru.  

PENUTUP

Saya harap penjelasan ini membantu semua pertanyaan yang dikemukakan. Aspek menghuraikan isi amat penting untuk ditekankan dalam proses penulisan esei yang mantap dan cemerlang terutama di peringkat prauniversiti. Pelajar mesti dilatih menghuraikan isi karangan dengan berfikir secara kritis dan analitis bukannya menghafal setiap ayat daripada mana-mana sumber yang ada disekeliling mereka. Kemahiran menulis esei ini hanya akan membuahkan hasil apabila pelajar diajar menggunakan teknik yang betul. Jika tidak kita akan terus berhadapan dengan isu esei yang tidak berkualiti. Sampai bilakah kita akan terus berkata tanpa bertindak? Kita tahu pelajar-pelajar kita lemah dalam menghuraikan isi karangan dengan pelbagai sebab yang sudah dijangka seperti kurang membaca dan tiada pengetahuan sedia ada. Saya harap ilmu yang sedikit ini mampu membuka mata kita untuk melihat perkara yang dibincangkan ini dengan lebih terperinci. Saya menulis berdasarkan pandangan saya. Mungkin cadangan saya ini bukan yang terbaik tetapi saya yakin dapat membantu guru-guru dan pelajar-pelajar yang saya sayangi.

Terima kasih.

Selamat maju jaya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...