JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Julai 2012

ISU SUKAN : OLIMPIK LONDON 2012 MEDAN UNTUK MENONJOLKAN DIRI


Rencana ini ditulis oleh :
HAMDAN AHMAD
Bekas Pemangku Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi,
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.


Selepas Sukan Olimpik Beijing 2008, sukan kali ini akan berlangsung bermula 25 Julai hingga 12 Ogos di kota London, sebuah kota metropolitan. London mengambil masa tujuh tahun dalam membuat persiapan bagi menganjurkan sukan berprestij ini dengan perbelanjaan £9.9 bilion (RM46 bilion). Siri Sukan Olimpik kali ini melibatkan penyertaan 10,490 atlet seluruh dunia, 302 pingat emas untuk dimenangi dan melibatkan 3.500 pegawai keselamatan. Di sini akan tertumpunya atlet-atlet hebat dunia dalam usaha mahu mempamerkan aksi-aksi hebat mereka. Antara atlet yang akan turun gelanggang di London ialah seperti Usain Bolt, Michael Phelps, Liu Xiang, Yelena Isinbayeva, Roger Federer dan ramai lagi. Ada antara atlet ini pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008 dahulu dan kali ini mereka berada di kota London untuk beradu tenaga dan kehebatan dengan peserta lain untuk memenangi pingat gangsa, perak atau emas dan pada masa sama untuk memperbaiki rekod pencapaian masing-masing.

Boris Johnson, Datuk Bandar London sudah tentu menjadi individu paling sibuk ketika sukan ini berlangsung bagi memastikan semua tetamu yang datang mendapat layanan yang terbaik. Begitu juga pegawai keselamatan, mereka juga golongan paling sibuk dalam memastikan keselamatan para atlet dan pengunjung sentiasa terjamin dan bagi mengelak berulangnya tragedi Olimpik Munich 1972. Falsafah Olimpik adalah berteraskan semangat kesukanan tulen dan juga kecemerlangan pencapaian. Sejak lebih 100 tahun Sukan Olimpik diadakan, salah satu falsafah utama sukan ini diadakan adalah bagi memupuk perpaduan di kalangan para atlet dunia yang bertanding dan masyarakat dunia. Sukan sudah terbukti mampu merentasi benua dalam konteks memupuk semangat perpaduan dan kesefahaman tanpa mengira perbezaan ideologi di kalangan para atlet dan masyarakat dunia. Kita seharusnya mengangkat setinggi hormat kepada para atlet dari Syria yang turut hadir di London walaupun negara mereka dalam keadaan tidak menentu.

Setiap atlet yang bertanding akan mencuba sedaya upaya menunjukkan kehebatan masing-masing dengan semangat kesukanan tinggi seperti mana yang dituntut oleh piagam Sukan Olimpik itu sendiri. Kalah menang itu memang adat pertandingan. Hanya atlet yang hebat sahaja mampu meraih pingat. Yang lain-lain juga tetap hebat walaupun tewas dalam konteks bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi. Banyak sebab kenapa ramai atlet beria-ia untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik. Dengan memenangi pingat, para atlet akan disanjungi, dikenali dan menjadi iri hati sesetengah individu diatas kejayaan dicapai. Kejayaan yang dicapai oleh seseorang atlet itu dapat menaikkan imej negara yang diwakili di mata dunia. Sebagai contoh, sebut sahaja nama ahli sukan seperti Usain Bolt, orang ramai akan ketahui akan nama negara Jamaica. Ekonomi Jamaica mungkin tidak sehebat Amerika Syarikat, tetapi negara ini hebat kerana dibarisi pelari pecut unggul dunia. Di samping itu, para atlet yang berjaya dalam Olimpik, terutama mereka yang memperolehi pingat emas, akan dilimpahi ganjaran kewangan daripada kerajaan dan pihak swasta.

Di Malaysia baru-baru ini ada individu yang menawarkan ganjaran berupa jongkong emas bernilai RM2 juta kepada pemain badminton pertama memenangi emas di Olimpik nanti. Tawaran sedemikian sepatutnya dapat mencetus gelombang menaikkan semangat para atlet negara yang akan bertarung di London nanti. Kalaulah dengan ganjaran yang sedemikian, masih lagi atlet negara gagal meraih emas, tidak tahulah apa lagi yang harus kerajaan dan pihak swasta lakukan. Mereka telah melakukan yang terbaik untuk para atlet. Pihak kerajaan pula ada menawarkan ganjaran pencen RM3,000 sebulan untuk atlet yang berjaya meraih pingat emas. Difahamkan atlet akan dapat menikmati ganjaran pencen ini selepas Olimpik nanti. Ini amat jauh berbeza dengan kakitangan kerajaan yang hanya memperolehi pencen mereka apabila bersara. Walau apa pun yang diperkatakan, isu pokok adalah tertumpu kepada kecemerlangan sukan itu sendiri. Kecemerlangan sukan perlu ditonjolkan dan dihayati oleh para atlet dan difahami oleh masyarakat dunia.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012

ISU ALAM SEKITAR : PERSPEKTIF IKIM : KEKURANGAN BEKALAN AIR BERSIH BUKAN ISU REMEH


Rencana ini ditulis oleh :
Rosmidzatul Azila Mat Yamin
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Air anugerah Allah SWT yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat. Tanpa sumber air mencukupi adalah mustahil bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup. Penegasan berhubung kepentingan sumber air banyak dinukilkan dalam al-Quran. Antaranya firman Allah bermaksud: “Dan Dia menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki untukmu. Dia juga telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah pula menundukkan sungai-sungai bagimu.” (Surah Ibrahim, ayat 32)  Secara umumnya negara kita mempunyai banyak sumber air. Namun, dewasa ini bekalan sumber air bersih semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya semakin meningkat selari peningkatan jumlah populasi penduduk.  Mungkin timbul persoalan mengapa situasi sedemikian boleh berlaku sedangkan kita mempunyai sumber air yang banyak di sekeliling kita.

Sebenarnya, keadaan ini timbul ekoran peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke semasa, selain pelbagai kegiatan berkaitan mengakibatkan berlakunya pencemaran terhadap sumber air yang ada. Ia sekali gus meletakkan kita dalam krisis yang meruncing untuk mendapatkan bekalan air bersih mencukupi bagi menampung segala aktiviti seharian.  Bukan itu saja, terdapat pelbagai faktor lain menyumbang kepada berlakunya masalah kekurangan bekalan air bersih antaranya peningkatan suhu global yang menyebabkan kadar kehilangan air berlaku lebih cepat akibat proses penyejatan air yang tinggi ke atmosfera. Selain itu, pencemaran akibat pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik juga menyebabkan sumber air bersih tercemar. Misalnya, longgokan sampah di tapak pelupusan sampah menyebabkan terhasilnya sisa toksik yang seterusnya akan mengalir ke sungai dan sumber air bersih lain.  Pengaliran sampah dan sisa toksik ini akhirnya menyebabkan air tercemar dan bekalan air bersih semakin berkurang. Lebih memburukkan lagi krisis sumber air bersih ialah apabila simpanan air bawah tanah, sumber bekalan air bersih yang sepatutnya dipelihara juga semakin berkurangan.  Situasi ini terjadi kerana kegiatan pembalakan yang kian berleluasa hari ini hingga menjejaskan kawasan tadahan air.

Pembangunan pesat yang berlaku secara tidak terancang juga menyebabkan air hujan tidak serap ke dalam tanah, sebaliknya terus mengalir ke sungai.  Keadaan ini mengakibatkan kuantiti air bawah tanah menjadi semakin berkurangan dan seterusnya menjejaskan mutu bekalan air.  Kekurangan bekalan air bersih akan turut menjejaskan kesihatan masyarakat. Contohnya, akibat kekurangan sumber air bersih untuk minuman menyebabkan berlakunya dehidrasi (kekurangan air dalam badan) selain menyebabkan berlaku penyakit seperti taun kerana meminum air tercemar.  Masalah kekurangan bekalan air turut memberi kesan terhadap sumber tanah iaitu menyebabkan tanah menjadi kontang. Air yang tercemar turut menjejaskan kualiti tanah dan ini sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian seterusnya memberi kesan terhadap bekalan makanan serta kadar pertumbuhan ekonomi negara.  Melihat kesan bakal dihadapi akibat kekurangan bekalan air bersih, seharusnya kita bermuhasabah diri dan berusaha menanganinya. Kesedaran awal memelihara dan memulihara sumber bekalan air penting bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi.

LANGKAH-LANGKAH

Langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan bekalan air bersih ialah dengan memperbanyakkan loji rawatan air bagi membolehkan air sungai, air tasik dan air dari sumber lain yang tercemar diproses menjadi sumber air bersih.  Selain itu, peningkatan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga penting bagi membantu menambah sumber bekalan air bersih. Aktiviti R&D secara proaktif akan membuka laluan lebih luas kepada penciptaan alatan moden dan canggih bagi merawat air buangan secara efektif. Melalui R&D juga air laut boleh diproses untuk dijadikan air minuman.  Langkah seterusnya ialah menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air bagi memastikan bekalan air bawah tanah dapat dimaksimumkan. Oleh itu, segala aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan perlu dipantau dan dikawal supaya dapat menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air.  Di samping itu, pembuangan sisa kimia dan toksik juga perlu dikawal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran. Sudah tiba masanya kita memikirkan dengan lebih serius isu kekurangan bekalan air bersih yang bukan saja melanda negara kita, tetapi juga negara lain di seluruh dunia.  Pembabitan seluruh masyarakat dalam usaha memulihara sumber air penting untuk mengatasi kemelut ini. Mudah-mudahan kesedaran itu dapat mempertingkatkan lagi tahap kebersihan sumber air untuk diwarisi anak cucu kita.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012

ISU SOSIAL : BUAT ANAK, KEMUDIAN JUAL


Rencana ini ditulis oleh :
MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


Pengarah Urusan Rumah Jagaan Kanak-Kanak Nur Salam di Chow Kit, Kuala lumpur, Hartini Zainudin, 50, mendedahkan, masih ada kes bayi dan kanak-kanak gelandangan yang dijual serta menjadi mangsa kegiatan pelacuran di Malaysia. Hartini yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak khususnya di Chow Kit memberitahu, banyak faktor yang menyebabkan golongan itu mudah terjerat. Menurut beliau, ada sebahagian kanak-kanak dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, kemudian apabila dewasa mereka kononnya akan berkahwin dan hidup bahagia. Namun, ada yang lebih malang apabila mereka dijual keluarga sendiri atau diculik oleh sindiket sebelum dijual.

Kanak-kanak didefinisikan oleh undang-undang antarabangsa sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Kata Hartini, kebanyakan remaja digunakan untuk pelacuran atau seks manakala kanak-kanak bawah 10 tahun dieksploitasi sebagai peminta sedekah. Malang kepada bayi pula, mereka dijual dengan harga tertentu kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Bayi yang dijual berharga antara RM2,000 hingga RM10,000 manakala kanak-kanak antara RM1,000 hingga RM3,000. Hal ini berlaku kerana ibu bayi tersebut tidak mampu menyara mereka selain tekanan yang diberikan oleh ibu dan juga bapa ayam. Itu menyebabkan mereka mengambil tindakan nekad menjual sahaja bayi tersebut.

Bukan warganegara

Hartini memberitahu, kerajaan kini memandang serius isu pemerdagangan orang terutamanya bayi dan kanak-kanak dengan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Kebanyakan wanita yang melahirkan bayi terdiri daripada wanita yang terlibat dengan kegiatan pelacuran. Ada dalam kalangan mereka yang bukan warganegara seperti wanita Vietnam dan Myanmar serta tidak mempunyai dokumen diri. Ini mendorong mereka mengambil jalan mudah dengan menjualkannya sahaja bayi mereka. Akhirnya, apabila bayi itu dewasa kelak mereka terdedah kepada pelbagai perkara negatif termasuk melakukan jenayah akibat tidak mempunyai pelajaran serta tidak mendapat kemudahan kesihatan dan makanan yang secukupnya. Tutur Hartini, sebanyak 80 peratus kanak-kanak gelandangan tidak mempunyai identiti diri apatah lagi hak kewarganegaraan. Ini kerana proses untuk mengenal pasti keturunan mereka mengambil masa selama bertahun-tahun di samping menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Tambah beliau lagi, warga tempatan sekali pun cukup sukar untuk mengesan ibu bapa sebenar mereka inikan pula warga asing. Tetapi lebih baik kita menjaga dan memenuhi keperluan mereka daripada membiarkan hidup mereka terus terumbang-ambing. Bagi Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid, mangsa jenayah pemerdagangan manusia di negara ini sering dijanjikan dengan pelbagai harapan sebelum diperdaya. Mangsa jenayah ini direkrut dengan cara tipu helah, pujuk rayu, janji-janji palsu, paksaan, kekerasan, godaan, ancaman, penculikan dan pemalsuan. Mereka kemudian dieksploitasi dalam bentuk seks, pelacuran, buruh paksaan, perhambaan, peminta sedekah, penjualan bayi dan pemindahan organ manusia oleh seseorang atau kumpulan yang inginkan keuntungan. Tambah Faridah, jenayah tersebut merupakan satu bentuk perhambaan zaman moden apabila manusia dijadikan barangan dagangan yang membawa keuntungan lumayan. Sehingga kini kira-kira 70 peratus mangsa jenayah ini merupakan wanita kerana golongan tersebut dilihat mampu memberikan keuntungan lumayan kepada sindiket terbabit selain mudah terpedaya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012