JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Ogos 2012

ISU SOSIAL : RUMAH TERBUKA SUBURKAN SILATURRAHIM, LAMBANG KEINDAHAN AGAMA ISLAM


Rencana ini ditulis oleh :
DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.


Saranan agar diberikan potongan cukai pendapatan atas perbelanjaan mengadakan rumah terbuka sempena sesuatu perayaan merupakan pendekatan terbaik dalam memupuk nilai-nilai penyatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Misalnya, sempena rumah terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet yang diadakan pada hari pertama Aidilfitri dikunjungi hampir 100, 000 orang daripada pelbagai kaum termasuk pemimpin politik, rakyat biasa dan pelancong asing. Bagi pelancong asing, konsep rumah terbuka yang diamalkan di negara ini adalah unik dan tidak pernah berlaku dalam persekitaran kepimpinan politik di negara mereka. Di Malaysia setiap kali rumah terbuka diadakan oleh pemimpin, kehadiran masyarakat melebihi jangkaan dan ini menjadikan amalan itu sebagai peluang untuk menjalinkan silaturrahim sesama manusia.

Konsep rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri memberikan pengertian betapa Islam itu indah dan tidak mengehadkan kepada penganutnya sahaja untuk meraikannya. Meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum, agama dan budaya. Meskipun demikian, kerana adanya desakan dalam kepentingan tertentu, tradisi sedemikian kadang-kadang bertukar menjadi medan politik yang akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok. Ada pihak menggunakan rumah terbuka untuk memperkuatkan semangat politik sempit sehingga sanggup mengkritik dengan beranggapan apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya tidak betul. Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak.

Konsep rumah terbuka di Aidilfitri sebenarnya melambangkan keindahan agama Islam itu sendiri, di samping dapat menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan tetamu, jiran tetangga (sekalipun bukan seagama). Kemuliaan dan kesuciannya tidak boleh dicemari dengan motif dan tujuan lain yang boleh menggugatkan keamanan dan kedamaian. Sesungguhnya kejahatan dan kepalsuan itu pada dasarnya bertentangan dengan fitrah manusia. Oleh kerana Islam itu agama fitrah yang mudah, samhaa' (harmoni), terbuka dan toleransi maka kita menerima gelagat-gelagat tidak sopan itu dengan penuh kesabaran. Satu hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Bukhari, Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah. "Seseorang mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahankan suka duka dalam masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak hidup bergaul dalam masyarakat umum dan tidak pula pernah menunjukkan kesabaran atas suka dukanya masyarakat itu."

Di negara kita, agama menjadi faktor penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa. Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat tolak ansur, setia kawan ketika menyambut hari raya melalui rumah terbuka. Agama yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu mula digugat peranannya oleh ketandusan ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Islam. Kita hendaklah menjalinkan silaturrahim sekalipun dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan. Emosi melampau mengenai keunggulan sesuatu kaum, atau dalam istilah sosiologi dikenali sebagai ethnocentrisme banyak membawa kemudaratan dalam hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk. Emosi itu membawa kepada pergaduhan dan konflik antara agama sedangkan Islam mementingkan semangat tolak ansur, yakni tidak menghina agama dan kepercayaan orang lain.

Sebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah perkara utama. Tetapi, kehendak tersebut semakin tergugat oleh kerana kejanggalan ilmu yang hanya bersandarkan risikan ilmiah secara terpisah dalam tradisi rasionaliti barat, menyebabkan masyarakat Islam semakin melihat dirinya terlalu berpihak dan berkelompok. Melalui silaturrahim, hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturrahim dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah selain memutuskan silaturrahim. Begitu juga, tiada yang dapat mengubah takdir selain doa dan tiada yang dapat menambah umur selain kebaikan menjalinkan hubungan silaturrahim. Di sinilah silaturrahim perlu dibudayakan. Dalam kemeriahan kita mengadakan rumah terbuka Aidilfitri ini adalah sesuatu yang besar ertinya jika kita boleh menjadikan detik sejarah hitam negara sebagai iktibar. Kita jadikan ia sebagai sempadan nilai budaya yang bakal membangunkan semula semangat penyatuan antara masyarakat, kerana nilai budaya yang terkandung melalui perayaan Aidilfitri ialah kemenangan setiap Muslim dalam mengekang hawa nafsu.

Dengan menolak pentafsiran semula sejarah negara berdasarkan pertimbangan hawa nafsu (nafsu politik sempit) itu bermakna kita telah berupaya membebaskan pemikiran kita dari segala bentuk penjajahan minda dan unsur-unsur taghut. Kita boleh jadikan ia sebagai teladan berguna, bagaimana hawa nafsu telah menyebabkan manusia sanggup membunuh, berlaku kejam dan seterusnya bertindak sesuka hati demi sebuah tujuan yang bertentangan dengan etika dan moral kemanusiaan. Dalam suasana kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri kita seharusnya dapat membuka pintu silaturrahim dengan penuh keakraban, kita jadikan momen-momen sejarah silam sebagai panduan dan bukannya cuba menghidupkan kembali budaya ganas dalam masyarakat sebagaimana dilakukan oleh pendokong ideologi komunis. Sistem komunis yang pernah dipraktikkan di banyak negara sudah lama berubah dan dihapuskan, bahkan China yang dikatakan sebagai pusat komunisme sudah membebaskan peraturan "tertutup menjadi lebih terbuka", maka tidak ada sebab kita harus menghidupkan kembali ideologi yang telah banyak menderitakan kehidupan manusia.

Suasana kemeriahan rumah terbuka dan dalam semangat patriotisme yang turut ada dalam diri kita hendaklah dikekalkan sebagai momentum untuk menjayakan dasar dan cita-cita murni negara. Jangan kita biarkan diri kita menjadi perosak, kerana kita akan dinilai nanti sumbangan sepanjang hidup untuk kepentingan pembangunan kemasyarakatan, keagamaan dan kesejahteraan negara. Dengan memperbanyakkan rumah terbuka sempena menyambut perayaan Aidilfitri, tentunya akan membantu menghapuskan nilai-nilai negatif yang selama ini disandarkan kepada orang Islam. Bukan Islam akan dapat melihat dan merasai sendiri bahawa Islam sebenarnya sebuah agama yang mementingkan kesejahteraan dan keharmonian setiap manusia, maka di sinilah peluang yang sentiasa terbuka asalkan platform itu tidak digunakan untuk menyuburkan dakyah dan menanamkan rasa kebencian terhadap 'musuh politik'.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012

ISU SOSIAL : HARGA RUMAH MELAMBUNG DI LUAR KAWALAN


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan dan
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan,
Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.


Sememangnya isu harga rumah yang meningkat keterlaluan dewasa ini menjadi isu paling menjadi perhatian bagi rakyat selain kos sara hidup yang semakin tinggi. Bajet 2013 yang bakal diumumkan kelak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka memberi tumpuan pada isu harga rumah yang amat menekan rakyat. Pengumuman Bajet 2013 diharap melibatkan strategi-strategi holistik bagi menangani isu ini. Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, namun program ini masih belum cukup untuk menangani isu ini secara menyeluruh. Ditambah dengan isu kenaikan harga simen baru-baru ini bakal melonjakkan lagi harga rumah. Kerajaan tidak boleh membiarkan isu ini berlarutan kerana ia boleh memudaratkan rakyat dan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Tindakan drastik dan berani tetapi berhemah perlu dilakukan.

Oleh kerana rumah merupakan barangan keperluan adalah wajar kerajaan menjadikan barangan binaan rumah sebagai harga kawalan dan tidak boleh membiarkan pengilang menguasai pasaran harga barang binaan. Simen, besi dan kayu wajar dijadikan barangan kawalan dan tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya. Umum mengetahui, pasaran barangan binaan perumahan dikawal oleh sebilangan pengilang dan ini mewujudkan keadaan kartel. Mereka ini akan menggunakan kuasa kartel untuk kepentingan diri sendiri. Justeru, tiada cara lain kecuali mengawal harga barangan binaan perumahan. Kerajaan juga wajar mengawal harga tanah agar tidak dimanipulasikan oleh spekulator. Meskipun cara ini seolah-olah kerajaan mengambil pendekatan campur tangan dalam pasaran hartanah, namun sebenarnya pendekatan ini adalah pendekatan terbaik.

Usah dikhuatiri desakan-desakan pengilang kartel mahupun spekulator hartanah. Mereka telah banyak mengaut keuntungan daripada perjualan hartanah di Malaysia. Sudah tiba masanya, kerajaan memikirkan kepentingan rakyat berbanding mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan. Antara pendekatan terbaik untuk mengekang spekulator hartanah adalah dengan mengharamkan sama sekali agensi jualan rumah. Rumah hanya boleh dibeli secara terus melalui pemaju perumahan mahupun pemilik rumah tersebut bagi rumah yang telah diduduki. Selama ini, agensi jualan rumah akan cuba mengaut keuntungan daripada jualan rumah dan akhirnya jika rantaian ini berterusan, harga rumah akan semakin meningkat. Bagi mengekang spekulasi harga rumah, syarat ketat perlu dikenakan terhadap pembeli yang telah membeli rumah melebihi dua buah. Sebagai contoh, mereka termasuklah bukan warganegara Malaysia tidak boleh sama sekali menjual hartanah untuk tempoh 10 tahun dan cukai keuntungan hartanah dikenakan kepada mereka dua kali ganda lebih tinggi berbanding kadar cukai yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2010.

Syarat ketat juga patut dikenakan kepada pembeli rumah. Bagi rumah yang berharga RM150,000 ke bawah, hanya pembeli bergaji RM4,000 sebulan sahaja layak membelinya. Bagi harga RM150,000 sehingga RM500,000, kelompok rakyat yang layak membelinya adalah golongan yang berpendapatan RM4,001 sehingga RM8,000 sebulan. Selebihnya iaitu berharga RM500,000 ke atas khas untuk yang berpendapatan RM8,000 sebulan ke atas. Projek perumahan RM500,000 ke bawah mestilah dijaga kualitinya meskipun khas untuk golongan berpendapatan sederhana ke bawah. Bagi pembeli bukan warganegara Malaysia, kerajaan perlu mengehadkan peratusan bilangan mereka yang memiliki rumah. Ada di kalangan mereka berniat menjualnya kembali selepas membelinya dalam beberapa tempoh pegangan hartanah tersebut. Rumah tidak boleh dijual kepada mereka sewenang-wenangnya kerana ada di antara mereka mampu membeli rumah di Malaysia kerana tukaran wang asing daripada pendapatan mereka di negara asal lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia.

Selain itu, pemaju perumahan pula perlu diwajibkan sekurang-kurangnya membina 80 peratus projek perumahan yang berharga RM500,000 ke bawah, manakala selebihnya untuk projek perumahan berharga RM500,000 sesuai dengan 80 peratus rakyat Malaysia berpendapatan sederhana ke bawah. Di samping itu, kerajaan perlu mengenakan syarat dengan mengurangkan subkontraktor yang membina rumah agar tiadanya kenaikan harga rumah kerana setiap subkontraktor ingin mengambil keuntungan lebih bagi setiap projek perumahan. Masalahnya, setiap subkontraktor ini mengambil untung melampau dan akhirnya pembeli akan dikenakan harga lebih tinggi oleh pemaju perumahan berbanding hanya beberapa sahaja subkontraktor yang membina rumah. Malahan, pendekatan ini akan mengurangkan risiko rumah yang dibina tidak berkualiti apabila subkontraktor mengambil untung menyebabkan mereka membina rumah sambil lewa.

Pendekatan terakhir adalah dengan memperluaskan PR1MA ke seluruh negara secepat mungkin dan tidak perlu menunggu sehingga tahun depan barulah projek perumahan kos sederhana dibina. Itupun tumpuan projek bermula di Lembah Klang sedangkan negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Kedah juga mengalami peningkatan harga rumah yang amat tinggi sekali. Sebagai contoh, harga rumah berkembar di Terengganu pun sudah melebihi RM500,000 sebuah, justeru PR1MA perlu disegerakan di seluruh negara sebagaimana kerajaan berjaya memperluaskan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KONGSI KURANGKAN KADAR JENAYAH


Rencana ini ditulis oleh :
AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my


Pada Julai 2009, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan meletakkan matlamat mengurangkan kadar jenayah sebagai perincian yang pertama. Bidang-bidang lain termasuk memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana. Tujuan Perdana Menteri memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen tanggungjawab yang serius wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam. Ia disebabkan Perdana Menteri tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan samar-samar mengenai inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

Dalam aspek itu, Najib mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini dimaklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan. Begitulah juga yang dapat dilihat dalam NKRA jenayah setelah semua statistiknya dikeluarkan oleh pihak polis. Selepas tiga tahun, pencapaian NKRA jenayah dilihat mencapai objektifnya. Jika diperincikan statistik kadar jenayah indeks pada 2010 telah menurun sebanyak 15.4 peratus (%) berbanding tahun sebelumnya. Bagi jenayah jalanan pula ia dapat dikurangkan sebanyak 34.7% bagi tempoh sama. Angka tersebut mengatasi sasaran bagi jenayah indeks dan jalanan untuk tahun 2010 iaitu masing-masing 5% dan 20%. Pada 2011 pula, angka itu terus menunjukkan peningkatan apabila kadar jenayah indeks dapat dikurangkan sebanyak 11.1% berbanding tahun sebelumnya sementara jenayah jalanan pula menurun sebanyak 39.7% berbanding tahun 2009.

Ketua Urus Setia NKRA Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ayub Yaakob berkata, apa yang membanggakan, sebelum ini polis hanya mampu mengawal kadar jenayah namun belum pernah berjaya menurunkannya seperti yang berlaku sekarang. Namun begitu, katanya, masih ada pihak yang tidak yakin dengan apa yang dilakukan dan perkara itu yang perlu diatasi oleh mereka ketika ini. "Sebahagian besar inisiatif NKRA telah berjaya dilaksanakan dan mencapai sasaran statistik yang dikehendaki kerajaan, namun kita harus membuktikan kepada masyarakat bahawa polis berjaya mengurangkan kadar jenayah. "Sebab itu kita mahu mencari formula bagaimana hendak menangani persepsi masyarakat kerana statistik menunjukkan kadar jenayah menurun, tetapi ia perlu diterjemahkan menerusi peningkatan keyakinan orang ramai," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Oleh itu, katanya, antara usaha yang akan dilaksanakan bagi menangani persepsi negatif masyarakat ialah memberikan penjelasan dengan tepat dan cepat berhubung sesuatu kes jenayah yang dilaporkan.

Menurut Ayub, mereka yang masih curiga dengan usaha kerajaan menangani jenayah boleh tampil bertemu dan berbincang dengan pihaknya bagi menyelesaikan masalah itu. "Kami hendak sangat rapat dengan orang ramai bagi mendapatkan perkongsian. Sebab itu, kita perlu kenal satu sama lain, saling memahami, menghormati, bekerjasama dan barulah boleh berkongsi apa saja. "Bila sudah berjaya kita boleh kongsi sama-sama, namun jika sebaliknya jangan pula menuding jari sebab kita sudah bersama-sama, sebaik-baiknya carilah jalan penyelesaian," ujarnya. Dalam aspek itu, katanya, pihaknya sentiasa bersedia agar setiap statistik yang dikeluarkan boleh diaudit oleh agensi bebas. "Sebagai langkah pertama kita telah pun berbincang bersama Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengkaji statistik ini. Mereka boleh mendapat maklumat dari kita dan proses dan keluarkan. "Kita kena tunjukkan perkara sebenar kerana itu adalah faktanya. Biar rakyat yakin dan percaya," ujarnya.

Selain itu, menurut Ayub, peranan media amat penting dalam melaporkan sesuatu kes jenayah yang kadang-kala menimbulkan kebimbangan masyarakat. "Kita tidak boleh menghalang media untuk melaporkan kes jenayah, itu tanggungjawab mereka, namun cara melaporkan itu tidak perlulah disensasikan malah ada kalanya bagi sesuatu kes dilaporkan hingga berbulan-bulan lamanya. "Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan masyarakat apabila mereka melihat kes itu amat serius kerana seolah-olah ia kerap berlaku," ujar beliau. Dalam perkembangan sama agar semua proses lebih efisien dan telus, menurut Ayub, pihaknya sedang meneliti agar sistem laporan polis dapat dipantau oleh orang ramai bagi mengetahui perkembangan siasatan kes terbabit. Katanya, perkara ini secara tidak langsung menunjukkan betapa seriusnya kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat di samping langsung tidak mahu menyembunyikan sesuatu.

"Kerajaan memang serius dalam perkara ini, dalam aspek penyediaan peruntukan, kemudahan malah penglibatan pucuk pimpinan juga dapat dilihat kerajaan benar-benar serius," kata beliau. Apa pun, sebarang polisi tidak akan berjaya tanpa komitmen daripada pelbagai pihak kerana perkongsian secara integrasi adalah faktor kejayaannya. Tambahan pula, dengan berkurangnya kadar jenayah, ia bukan saja menjadikan negara ini aman dan makmur malah meningkatkan lagi perkembangan ekonomi negara dengan pertambahan pelabur serta pelancong asing.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012

ISU SOSIAL : ORANG KELAINAN UPAYA ATAU ORANG KURANG UPAYA?


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia.


Beberapa tahun lalu, bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak memperkenalkan penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menolak penggunaan Orang Kurang Upaya satu terminologi yang telah lama digunakan untuk merujuk kepada mereka yang dianggap cacat. Alasannya, mereka ini harus dilihat dalam cara yang betul kerana yang berbeza bukanlah dari segi fizikal tetapi keupayaannya disebabkan oleh sesuatu sebab semulajadi atau kejadian yang diingini. Mereka wajar dinilai kebolehannya berasaskan kelainan keupayaannya berbeza dengan mereka yang dianggap sempurna. Kerana itu, misalnya USM mengiktiraf seorang siswi cerebral palsy, Tan Chin Chin sebagai penerima Pingat Emas Canselor dalam upacara konvokesyen sebagai graduan serba boleh yang tentunya tidak boleh dibandingkan dengan mereka yang sempurna sepenuhnya dari segi fizikal.

Malah kejayaan Dr. Muzammil Mohd. Noor sebagai seorang ahli akademik yang menggunakan kerusi roda menjadi antara contoh nyata kejayaan mereka yang mempunyai keupayaan berbeza tetapi cemerlang walaupun semasa kecilnya melalui zaman sukar yang sering diperkecilkan. Baru-baru ini, seorang warga USM yang juga menggunakan kerusi roda kerana masalah kakinya meluahkan perasaan sedih dan kecewa kerana ketika memulakan kerjayanya sebagai seorang kerani melalui pengalaman yang amat sukar. Kedudukan kerusi dan meja, kediaman di asrama yang tidak sesuai, kesukaran untuk menggunakan mesin ATM bank dan pelbagai lagi. Namun dengan tekad dan semangatnya yang tinggi membolehkannya menjejak kaki ke universiti dan menggenggam segulung ijazah. Kisah-kisah begini menggambarkan betapa kelainan keupayaan bukanlah halangan untuk berjaya jika kita benar-benar prihatin dengan nasib mereka yang berada di sekeliling kita.

Mereka sebenarnya hanya berlainan keupayaan bukannya kurang keupayaan. Ada ketikanya mereka lebih hebat dari kita yang menganggap diri sempurna. Namun begitu, terdapat alasan tertentu mengapa terminologi Orang Kurang Upaya digunakan terus, malah diterima pakai oleh golongan ini sendiri. Terdapat halangan-halangan tertentu yang menyebabkan ia perlu terus digunakan. Satu kajian tentang kedudukan OKU dalam masyarakat negara ini telah pun diterbitkan oleh Penerbit USM sebagai rujukan iaitu Work and Disablity - A Malaysian Scenario oleh Dr. Magdalene Ang yang kini seorang tenaga pengajar di Labuan School of International Business and Finance, UMS. Masalah penggunaan terminologi ini juga banyak dibincangkan dalam buku ini sebagai satu usaha untuk kita lebih memahami tentang kedudukan dan peranan OKU dalam masyarakat dan negara, termasuk sumbangan besarnya kepada ekonomi negara.

Namun begitu, laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2003 menyatakan kira-kira 200 juta OKU di rantau Asia Pasifik yang tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan, manakala laporan lain pada 2005 pula menyebut walaupun mendapat peluang pekerjaan sebahagian besarnya di bawah lebih rendah dari sepatutnya. Namun, di negara kita, pelbagai usaha dibuat untuk membantu mereka dan diberikan pengiktirafan yang sangat tinggi. Malah Perdana Menteri dalam beberapa kenyataannya menyebut betapa pentingnya kita keluar dari paradigma yang ada terhadap OKU. Mungkin kita juga tidak pernah terniat untuk memencilkan atau menidakkan hak OKU. Namun, sampai masanya sama ada institusi pengajian dari sekolah sehinggalah ke universiti, organisasi dan institusi lain termasuk industri melihat hal ini dengan teliti. Perkara-perkara yang kita anggap kecil dan mudah mungkin tidak bagi mereka.

Asrama pelajar juga harus melihat dan memberikan sokongan kepada mereka yang masih belajar dari awal mungkin. Kumpulan-kumpulan sokongan daripada pelbagai kelompok harus melihatnya dengan serius. Walaupun pelbagai dorongan, kemudahan dan insentif diberi, yang utama adalah kesungguhan menyediakannya dan menghulurkan bantuan secara berterusan. Penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya barangkali mengungkapkan penghormatan dan kekuatan diri yang berlainan yang sekali gus berkemungkinan memberikan satu persepsi baru yang lebih bermakna kepada OKU. Kita perlu mengiktiraf insan istimewa ini sebagai berlainan keupayaannya, bukannya kurang keupayaannya. Ia juga mengungkapkan hasrat untuk kita lebih menghargai golongan ini dan melihat keperluan mereka yang sebenarnya. Kita harus merasai bagaimana kesukaran dan kepayahan yang dilalui apatah lagi dengan stigma serong sesetengah kita terhadap kemampuan sebenar mereka.

Bakat yang ada ada pada mereka harus dimanfaatkan dan kitalah yang harus melakukannya. Buku tulisan Dr. Magdalene Ang adalah pembuka mata kita terhadap nasib mereka di negara ini. Lebih banyak rujukan dan dokumentasi kisah mereka harus diusahakan agar masyarakat dapat benar-benar menghayati dan lebih prihatin. Terminologi Orang Kelainan Upaya barangkali dapat membantu untuk kita memberikan kelainan persepsi dan pemikiran terhadap mereka yang boleh kita ketengahkan, namun jika ada kesukaran dan halangan, gunalah apa jua terminologi yang dapat membantu mengangkat mereka ke tahap yang sewajarnya, walaupun Orang Kurang Upaya yang telah kita guna sekian lama.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
23 Ogos 2012