JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Februari 2011

ISU ALAM SEKITAR : MENGURANGKAN RISIKO BENCANA

Semua pihak mesti 
peka pemuliharaan alam sekitar


Cuaca  sekarang semakin tidak menentu. Hari ini panas, esok hujan. Ada kalanya mendung sepanjang hari, tapi tak juga hujan. Bila panas, keadaannya terik sangat dan bila hujan pula lebat hingga mengakibatkan banjir termasuk di kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air. Fenomena ini bukan saja berlaku di negara kita, tetapi di seluruh dunia. Misalnya, beberapa negara Eropah dan Amerika, dilanda salji luar biasa pada Disember lalu dan baru-baru ini pula banjir besar berlaku di beberapa kawasan di Australia. Bencana ini berlaku berikutan pemanasan global akibat kesan rumah hijau sehingga menyebabkan perubahan cuaca luar biasa berbanding pada masa lalu. Kita percaya ramai juga tahu sebab perubahan cuaca itu berlaku kerana fenomena ini bukan baru. Tetapi, adakah kita membantu mengurangkan risiko bencana ini? Apakah bencana demi bencana masih tidak cukup menyedarkan kita mengenai pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar?

Sudah banyak kempen membersihkan sungai diadakan, tetapi masih banyak sungai kita terus dicemari sampah dan sisa buangan kilang hingga menjadikannya sempit dan cetek. Program pembangunan lestari juga diperkenalkan, tetapi masih ada pemaju yang tidak mengambil berat aspek pemuliharaan alam sekitar. Pokok ditebang sesuka hati dan bukit ditarah manakala pembakaran terbuka terus berlaku.  Baru-baru ini pula kempen mengurangkan penggunaan plastik dilancarkan, tetapi ada yang mengeluh apabila kedai dan pasar raya tidak menyediakan beg plastik. Penggunaan bahan api mesra alam juga sudah lama diperkenalkan, tetapi banyak kenderaan ter-utama lori dan bas didapati masih mengeluarkan asap hitam.  Begitu juga dengan kilang, masih banyak yang mengeluarkan asap secara tidak terkawal. Penggunaan penghawa dingin di rumah dan pejabat secara berlebihan turut memberi kesan terhadap rumah hijau.

Semua ini memburukkan keadaan alam sekitar dan memberi kesan terhadap perubahan cuaca hingga membawa musibah bencana. Banjir luar biasa di beberapa negeri terutama di Johor seminggu lalu ini pun dilaporkan akibat perubahan iklim yang menyebabkan hujan dalam tempoh 24 jam menyamai kadar selama dua bulan. Malah, banjir di Johor kali ini dikatakan lebih buruk daripada bencana sama pada 2006 dan berlaku secara meluas di seluruh negeri itu.  Namun, kali ini kita bernasib baik kerana banjir luar biasa itu pulih dalam beberapa hari berikutan hujan tidak lama dan air surut cepat. Tetapi, bencana ini boleh berlaku lagi dan tidak mustahil kalau kita masih bersikap alpa, keadaan yang lebih buruk mungkin terjadi pada masa akan datang.  Dari sini, tentunya kita mengharapkan agensi terbabit meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai punca dan kesan bencana alam seperti banjir serta kemarau akibat perubahan iklim.

Tindakan lebih tegas juga wajar diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang berkaitan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar. Pada masa sama, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlulah mempercepatkan projek mendalam dan meluruskan sungai, terutama di kawasan yang dikenal pasti sering dilanda banjir. Projek itu sudah pun dirancang selepas banjir besar pada 2006 membabitkan kos keseluruhan lebih RM4 bilion, tetapi masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Barangkali kementerian juga boleh menimbang membina terusan banjir di kawasan yang dikenal pasti paling teruk mengalami banjir. Dalam pada itu, kita lega kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilaporkan akan menggunakan model baru ramalan dan amaran banjir berdasarkan kombinasi model atmosfera serta radar yang dikatakan dapat mengesan taburan hujan serta lokasinya tiga hari lebih awal sebelum hujan.

Ini tentunya dapat membantu pihak berkuasa dan penduduk membuat persiapan awal bagi mengurangkan risiko kehilangan jiwa, kemusnahan harta benda serta mempercepatkan gerakan menyelamat, berbanding kaedah sekarang yang hanya menggunakan taburan hujan di stesen kaji cuaca serta pemantauan paras air di sungai utama selepas berlaku hujan. Model baru itu dibangunkan sejak Januari tahun lalu dan dijangka siap Jun depan, tetapi dalam keadaan cuaca sekarang yang semakin tidak menentu, kita berharap JPS dapat menyiapkannya lebih awal kerana kerugian yang ditanggung mangsa banjir cukup besar. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan mangsa tertekan dan trauma, apa lagi terpaksa tinggal berhari-hari di pusat pemindahan banjir. Dalam hubungan ini, kita juga bersyukur kerana masih ramai rakyat negara ini bersikap pemurah dan sedia membantu golongan yang dalam kesusahan.

Sebab itu apabila berlaku bencana, kita tidak sukar mencari sukarelawan untuk membantu mangsa. Banyak juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat yang sudi memberi bantuan sama ada dari segi tenaga, barangan keperluan, makanan atau kewangan bagi meringankan beban mangsa. Pemimpin pula tidak putus-putus mengunjungi mangsa banjir dan menghulurkan sumbangan. Kunjungan pemimpin dan pembesar negeri, apatah lagi Sultan sedikit sebanyak dapatlah mengurangkan tekanan dihadapi mangsa. Sebab itu, kita tengok mangsa banjir gembira bila dapat bertemu pemimpin dan sesetengahnya mengambil kesempatan bergambar setiap kali ada pemimpin melawat pusat pemindahan banjir. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaik pulang ke tanah air daripada lawatan rasmi ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selasa lalu. terus membuat tinjauan udara sekitar kawasan banjir di Segamat dan Labis, Johor serta melawat mangsa.

Selaras dengan konsep kepimpinannya, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, menteri Kabinet dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) turut turun padang dan mengagihkan bantuan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri hampir setiap hari meninjau kawasan banjir dan melawat mangsa. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim, pula tanpa membuang masa terus bergegas melawat mangsa banjir, kira-kira setengah jam selepas diumumkan memenangi kerusi DUN itu pada malam Ahad lalu. Taklah macam sesetengah orang, melawat mangsa banjir pada masa kempen pilihan raya saja. Kita bukanlah hendak menuduh, tapi siapa makan cili, dia terasa pedasnya.

OLEH :
Oleh Mahfar Ali

SUMBER :
BERITA HARIAN
05 FEBRUARI 2011

ISU SEJARAH : KEJATUHAN KESULTANAN MELAYU - ISLAM MELAKA HARUS DIJADIKAN IKHTIBAR


Barangkali ramai tidak menyedari iaitu Kesultanan Melayu Melaka jatuh daripada putaran kekuasaan peradaban selama 500 tahun, pada tahun ini. Menurut catatan sejarah, penjajah Portugis menewaskan Melaka pada 1511 dan terus menguasai empayar ini 100 tahun kemudian. cBaru-baru ini, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menganjurkan konvensyen memperingati 500 tahun kejatuhan Melaka di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan saya antara ahli panel majlis itu.cAntara pembentang utama ialah Datuk Dr Hassan Ahmad. Beliau tidak asing lagi di negara kita dari segi kedalaman ilmu berkaitan susur galur peradaban Melayu dan Islam di rantau ini. Kertas kerja beliau ‘Kejatuhan Melaka Sebagai Pelajaran Penting Untuk Bangsa Melayu-Islam Hari Ini’ mustahak untuk dikongsi. Sebagai umat Melayu, kita harus menyedari Kesultanan Melayu-Islam Melaka sebelum kejatuhannya ialah peradaban besar dan kuat.

Ketika itu Melaka bersama kesultanan Melayu-Islam seperti Samudera-Pasai, Aceh Darussalam dan kerajaan di timur Selat Melaka meliputi kepulauan Maluku, Ternate dan Mengkasar. Semua kesultanan ini tonggak yang membangunkan peradaban Melayu-Islam di Nusantara menjadi empayar yang amat kuat.  Kedudukan dan peranan Melaka ketika itu amat penting sekali. Dalam tulisan pencatat diari bangsa Portugis, Tome Pires, menyatakan: “Siapa menguasai pelabuhan Melaka, mereka dapat mencekik leher Venice.” Gambaran yang meletakkan kepentingan Melaka sejajar dengan Venice, kota perdagangan di Eropah menjelaskan dengan pengaruh dan peranannya di dalam dunia antarabangsa pada waktu itu dan kekuasaan peradabannya.  Menurut Hassan: “Melaka tidak saja sebagai pusat perdagangan dan pusat kuasa politik Melayu di seluruh rantau ini, tetapi juga pusat perkembangan Islam dan bahasa Melayu yang berpengaruh dan digeruni oleh kerajaan Melayu yang lain, termasuk juga kerajaan Majapahit Jawa.”

Kisah kekuasaan peradaban Melayu-Islam Melaka bukan direka. Ramai pengkaji dan penulis mencatatkan keadaan sama apabila menggambarkan keadaan kesultanan ini. Apakah faktor atau ciri kesultanan ini sehingga menjadikannya peradaban yang kuat? Ini antara aspek dan persoalan menarik yang perlu ditelusuri.  Dalam beberapa bacaan, saya menemui beberapa ciri berikut yang membawa kepada kemajuan peradaban Melaka. Ciri ini boleh juga dianggap antara jati diri utama umat Melayu-Islam ketika era kesultanan Melaka.  Ciri pertama ialah kesultanan Melaka dianggotai masyarakat perdagangan yang kebanyakan tertumpu pada aktiviti kelautan. Pedagang dari Timur dan Barat menjadikan Melaka pangkalan perniagaan sehingga pelabuhan Melaka begitu rancak dan strategik. Keadaan ini tentu menyumbang kepada sumber pendapatan kesultanan dan menggiatkan import dan eksport serta pembangunan ekonomi tempatan.

Jati diri keperdagangan masyarakat Melayu Melaka pada waktu itu terserlah seperti tergambar di dalam Undang-undang Laut Melaka. Dalam kata lain, satu peraturan khusus diwujudkan kesultanan bagi memastikan urus niaga dan perdagangan ini terus berkembang sejajar aturan yang telus dan adil.  Ciri kedua Kesultanan Melaka sifat majmuk masyarakatnya. Dalam satu catatan dinyatakan iaitu ada 84 bahasa asing digunakan ketika keagungan kerajaan Melaka. Namun, bahasa Melayu adalah bahasa pengantara utama. Dikatakan juga penduduk Melaka terdiri daripada orang Gujerat, Benggali, Tamil, Arab dan Parsi.  Keadaan masyarakat majmuk ini adalah gambaran jiwa dan minda masyarakat Melayu-Islam Melaka pada waktu itu yang bersifat terbuka atau berminda sejagat. Sekiranya masyarakat Melayu-Islam Melaka pada waktu berwatak tertutup, tentu sekali Melaka tidak mampu menjadi sebuah peradaban yang bersifat global dan terkenal.

Ciri terpenting lain ialah masyarakat Melayu-Islam Melaka hidup bersendikan hukum. Hal ini tergambar dalam penggubalan Undang-undang Melaka yang mengandungi segala peraturan dan perundangan mengawal pergerakan masyarakat.  Jika kita telusuri Undang-undang Melaka, ia meliputi hukum perlembagaan, jenayah, pertanian, laut, sosial dan bahasa.  Ciri ini memainkan peranan yang amat bermakna di dalam mewujudkan ketenteraman di dalam masyarakat dan menimbulkan keyakinan seluruh masyarakat sama ada pada peringkat tempatan atau luar negara untuk menjadikan Melaka sebagai pusat segala urusan kehidupan. Keyakinan terhadap sistem perundangan yang telus, adil dan bebas mengundang kedatangan pelaburan yang meluas ke Melaka dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi pula.

Oleh Muhamad Razak Idris
muhdrazak@abim.org.my
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

SUMBER :
BERITA HARIAN
05 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : KEMALANGAN INDUSTRI SEMAKIN BERKURANGAN


Kes kemalangan membabitkan pekerja yang dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menurun 42 peratus sejak 2000, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye.  Mengikut data terbaru PERKESO, jumlah kes kemalangan yang direkodkan hingga akhir 2009 mencapai 55,208 kes berbanding 95,006 kes pada 2000. Lee berkata, penurunan itu menunjukkan inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kes kemalangan membabitkan pekerja sejak hampir sedekad lalu berjaya dan perlu dipuji. Namun, jumlah kemalangan membabitkan pekerja pergi atau balik dari tempat kerja meningkat hampir 40 peratus sejak 2000. 

Ini menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah keseluruhan kemalangan industri pada 2009.Peningkatan kes kemalangan ketika perjalanan membabitkan pekerja yang direkodkan pada 1999 ialah 18,309 kes berbanding statistik terkini sebanyak 20,814 kes pada 2009. Sehubungan itu, majikan perlu memastikan kakitangan yang menggunakan jalan raya sebagai tempat bertugas seperti pemandu lori, van, bas, posmen serta penghantar makanan segera perlu sentiasa berada dalam keadaan selamat dengan menyediakan kenderaan yang baik serta latihan mencukupi. Lee berkata, penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja (OSH) perlu dianggap menguntungkan kerana ia menjadi prasyarat dalam meningkatkan produktiviti. Pihak industri perlu tahu empat faktor utama yang menjadi prinsip pengurusan OSH iaitu tanggungjawab sosial syarikat; kewajipan sosial dan moral; kriteria perniagaan yang baik serta kewajipan perundangan.

SUMBER :
BERITA HARIAN
05 FEBRUARI 2011

ISU EKONOMI : AUSTRALIA DIANCAM INFLASI


Australia diancam inflasi dan kehilangan hasil eksport selepas mengalami kerugian pertanian berjumlah A$800 juta (RM2.48 bilion) berikutan Taufan Yasi, demikian menurut penganalisis. Kerosakan dua komoditi utama pertanian di Queensland iaitu tebu dan pisang membawa kepada kerugian berjumlah A$1.4 bilion (RM4.34) sejak bencana alam melanda negara ini enam minggu lalu. Queensland masih mengalami kesan akibat banjir terburuk yang memusnahkan tanaman dianggar bernilai A$600 juta (RM1.86 bilion) dan juga mengurangkan eksport arang batu kepada A$2.5 bilion (RM7.75 bilion). Kira-kira 20 peratus tanaman tebu di wilayah itu musnah akibat Taufan Yasi, kerugian kira-kira A$500 juta (RM1.55 bilion) yang memerlukan beberapa tahun untuk pulih, kata kumpulan industri, Canegrowers. Australia merupakan pengeksport gula ketiga terbesar di dunia dengan 85 peratus produknya dieksport ke Asia termasuk ke Jepun, China dan Korea dengan nilai tahunan berjumlah A$2 bilion (RM6.2 bilion).

Harga gula yang ketika ini tinggi ekoran kekurangan bekalan kerana bencana alam, terus meningkat apabila Taufan Yasi melanda kelmarin. Penganalisis Bank Commonwealth, Luke Mathews berkata, harga pada tahap tertentu akan mengimbangi pengeluaran rendah tetapi beliau memberi amaran pendapatan daripada eksport gula akan hilang sebanyak A$500 juta (RM1.55 bilion). Ketua Persekutan Petani, Dan Galligan berkata, sehingga 85 peratus tanaman pisang musnah akibat taufan berkenaan. ''Mereka masih mengira kerosakan yang berlaku, namun kami menganggar hampir semua musnah dan kerugian bernilai kira-kira A$300 juta (RM930 juta),'' katanya. Mathews berkata, bencana alam itu menyebabkan kadar inflasi meningkat kira-kira 0.5 peratus lagi. Setiausaha Perbendaharan, Wayne Swan memberi amaran inflasi akan meningkat pada bulan-bulan akan datang sekiranya kekurangan bekalan makanan akibat banjir meningkatkan harga barangan, manakala Canberra terpaksa berbelanja sebanyak A$5.6 bilion (RM17,36 bilion) untuk membersihkan kerosakan akibat bencana alam.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 FEBRUARI 2011

ISU ICT : ALAMAT INTERNET SUDAH HABIS


Gudang alamat Internet dunia sudah kehabisan bagi kegunaan penyedia Internet (IP) baru dan sedia ada, selepas format yang digunakan ketika ini dikenali sebagai IPv4 sudah mencapai hadnya. Syarikat Internet Pemberi Hak Nama dan Nombor (ICANN) telah mengeluarkan lima kumpulan terakhir nombor alamat penyedia Internet (IP) yang mengenal pasti destinasi aliran digital. ''Lebih empat bilion alamat Internet sudah dikeluarkan sehingga pagi ini. Ia sudah habis, Tidak ada lagi,'' kata Ketua ICANN, Rod Beckstrom. Bagaimanapun, katanya, masalah itu tidak akan menimbulkan masalah besar kerana Pendaftar Internet Wilayah (RIR) di seluruh dunia akan mengeluarkan alamat-alamat untuk menyokong penukaran kepada format baru yang dikenali sebagai IPv6. Penukaran terebut akan membenarkan penggunaan melebihi angka trilion alamat Internet baru, sedangkan format standard ketika ini, IPv4 hanya membenarkan sehingga empat bilion alamat Internet.

Kebanyakan usaha dan kos penukaran tersebut akan ditanggung oleh penyedia perkhidmatan Intenet, laman web, operator jaringan yang harus memastikan sistem mereka mampu mengendalikan alamat-alamat baru itu dan menjaga aliran digital. Beckstrom menjangka penukaran sepenuhnya kepada IPv6 akan memakan masa bertahun-tahun dan menelan kos sehingga mencecah berbiilion dolar. Bagaimanapun, masalah penukaran berkenaan tidak akan memberi kesan kepada pengguna kerana nombor IP yang kompleks masih akan kelihatan seperti perkataan dan domain seperti icaan.org. Alamat IPv4 dijangka habis terlebih dahulu di Asia di mana permintaan di rantau itu paling tinggi ketika orang ramai dan perniagaan menerima pasaran baru iaitu secara talian. ''(Jika tidak ditukar format) Internet tidak akan berhenti berfungsi, tetapi grednya akan menurun perlahan-lahan, Ia akan menjadi perlahan,'' kata jurutera Google, Lorenzo Colitti.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
05 FEBRUARI 2011

ISU KRISIS TENAGA : ALTERNATIF HARGA BAHAN API PETROL


Malaysia kembali gamat apabila harga petrol RON97 meningkat 10 sen kepada RM2.50 seliter mulai 1 Februari 2011. Sedikit sebanyak, kesan ini dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, tidak kira kaum, status dan umur. Impak terhadap kenaikan harga petrol ini pastinya membawa kepada kenaikan harga barang-barang mentah yang boleh membawa kepada inflasi negara. Perkara ini pastinya akan menyulitkan negara dalam merealisasikan Model Baru Ekonomi (MBE) menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) yang mengaspirasikan status negara berpendapatan tinggi. Hakikatnyata, permasalahan ini berpunca daripada keadaan ekonomi global yang sedang meruncing akibat kenaikan harga minyak dunia. Kita perlu menyedari bahawa kebergantungan Malaysia terhadap minyak mentah dan gas asli untuk menjana pembangunan negara amatlah tinggi. Petrol digunakan secara meluas untuk pelbagai sektor yang melibatkan penggunaan tenaga yang besar.

Ini termasuklah pengangkutan industri dan penjanaan bekalan elektrik yang saling berkaitan dengan sub-industri lain, contohnya sektor pembinaan, pengangkutan awam dan bekalan bahan mentah yang memacu pembangunan negara. Justeru itu, apabila berlakunya kenaikan harga petrol dunia, negara turut merasakan impaknya. Selama ini, rakyat Malaysia begitu selesa dengan subsidi petrol yang melimpah ruah. Hasilnya, penggunaan kenderaan begitu tinggi di Malaysia dan ia pasti menuntut permintaan yang tinggi terhadap bahan bakar. Sektor-sektor pembinaan dan pengangkutan awam juga mengharapkan bekalan bahan bakar yang tinggi. Apabila wujud kemelut dalam kenaikan pasaran harga minyak, maka berlakulah sikap tuding menuding di antara satu sama lain. Ledakan kemarahan berlaku di kalangan pengguna. Kenaikan harga bahan-bahan mentah menyebabkan industri-industri lain turut terjejas.

Situasi ini sedikit sebanyak menuntut kepada pencarian alternatif lain bagi membekalkan tenaga dengan kadar segera. Terdapat pelbagai usaha untuk mencari penyelesaian bagi permasalahan ini. Antaranya, melancarkan secara meluas penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy). Menerusi Rancangan Malaysia ke-10, Polisi Tenaga Baru telah diperkenalkan yang antaranya adalah untuk memacu ke arah pembangunan strategik pelbagai sumber tenaga baru termasuklah tenaga yang diperbaharui. Rakyat harus diperkenalkan secara meluas menerusi media massa terhadap pelan tindakan dan usaha-usaha penyelidikan tenaga ini supaya mereka lebih memahami dan bersedia pada masa hadapan. Apakah ia tenaga boleh diperbaharui? Ia merupakan sejenis tenaga yang dihasilkan daripada janaan sumber semula jadi seperti cahaya matahari, angin, hujan, ombak dan geoterma, yang mana ia diperbaharui secara semula jadi.

Tenaga ini lebih bersih dan tidak akan pupus. Ia menghasilkan kuasa solar, hidro-elektrik, biojisim dan bahan bakar bio yang penting untuk industri. Gabungan penggunaan tenaga-tenaga ini dapat memberikan bekalan tenaga yang lebih lestari, konsisten, bersih dan menyelamatkan bumi dari kesan pencemaran. Negara-negara maju seperti Jepun, Korea dan benua Eropah sedang giat mengusahakan sektor tenaga boleh diperbaharui ini secara meluas di negara mereka. Negara jiran, Thailand walaupun dalam keadaan politik yang tidak stabil, begitu pesat membangunkan industri solar mereka. Semua negara ini mempunyai matlamat mencari sumber tenaga alternatif yang lebih lestari, selain daripada petrol. Malaysia semestinya bertuah kerana secara geografinya terletak di garisan Khatulistiwa yang memberikan kelebihan terhadap bekalan kuasa matahari dan air yang tinggi.

Kuasa solar yang selama ini mampu membekalkan bekalan sumber elektrik di kawasan-kawasan pedalaman di Malaysia, sepatutnya diperluaskan dengan lebih giat ke seluruh negara terhadap pelbagai sektor. Terdapat suntikan usaha-usaha penggunaan solar oleh organisasi-organisasi tertentu, namun masih di peringkat minimum. Manakala, hujan yang turun sepanjang tahun yang selama ini dibiarkan terbuang sebenarnya boleh dijana dan dibentuk menjadi sumber tenaga hidro. Selain itu, kelebihan industri kelapa sawit yang meluas di negara ini dapat memberikan impak menerusi bahan bakar bio. Kelebihan ini perlu dipergunakan sebaik mungkin dan usaha yang giat sepatutnya diperluaskan. Penyelidikan-penyelidikan berskala besar perlu diperuntukkan untuk sektor ini dan hasil penyelidikan sepatutnya telah mula dikomersialkan bagi penggunaan semua. Ramai berpendapat, penghasilan tenaga alternatif lebih tinggi daripada petrol.

Namun hakikatnya, adakah kita mempunyai pelan perancangan jangka panjang jika sesuatu berlaku kepada sumber asli ini? Apakah yang akan berlaku sekiranya kita terlampau bergantung terhadap satu sumber yang tidak lestari? Ini pastinya boleh menyekat pertumbuhan negara pada masa hadapan. Dengan kadar pertambahan bilangan rakyat Malaysia di masa hadapan, ia sedikit sebanyak bakal mempengaruhi permintaan tenaga yang tinggi. Usaha untuk menggalakkan rakyat berjimat cermat adalah baik, namun ia lebih bersifat sementara. Oleh itu, perancangan jangka panjang untuk penghasilan tenaga-tenaga lain merupakan satu tindakan bijak untuk kesejahteraan negara. Di Malaysia sendiri sebenarnya terdapat banyak pusat penyelidikan untuk tenaga yang boleh diperbaharui ini. Hampir semua universiti-universiti awam mempunyai pusat penyelidikan dengan kapasiti penyelidik yang ramai.

Kepakaran warga tempatan untuk menyalurkan khidmat nasihat kepada kerajaan dalam melancarkan Polisi Tenaga Baru amat signifikan dalam menjana pembangunan negara. Apa yang pasti, proses ini haruslah dijalankan secara berterusan dan sistematik. Antara yang patut dilakukan adalah mula mengorak langkah terhadap pemasaran hasil penyelidikan di dalam bidang ini dengan skala yang besar. Hasilan penyelidikan bahan bakar bio sepatutnya telah mula dikomersialkan bagi penggunaan pengangkutan awam. Ini akan mengurangkan kadar permintaan terhadap bahan bakar asli petrol. Permintaan seharusnya dihalakan kepada bahan bakar bio, yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dan menjana pertumbuhan ekonomi baru. Pelan tindakan ini sekurang-kurangnya mampu memberi peluang kepada rakyat Malaysia merasai kelebihan bahan bakar bio, di samping terus menggunakan petrol sedia ada.

Bagi masa hadapan, potensi memasarkan bahan bakar bio ini akan lebih mudah diterima. Selain itu, bangunan-bangunan pentadbiran awam dan sekolah-sekolah di seluruh pelosok negara, sepatutnya sudah mula menggunakan sistem solar. Ini secara tidak langsung memperkenalkan industri solar dengan kadar lebih luas. Terdapat sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa harga pengaplikasian sistem solar adalah lebih tinggi, namun penggunaan kuasa solar untuk bangunan-bangunan ini akan menyebabkan berlakunya penurunan terhadap permintaan tenaga elektrik yang dijana melalui sumber bakar asli. Jadi, secara tidak langsung, ia memberi keseimbangan ekonomi negara pada masa hadapan. Peluang-peluang industri kecil di dalam bidang ini juga akan berkembang sekali gus meningkatkan pasaran kerja yang lebih banyak.

Kesimpulannya, melalui pelan tindakan dan pelaksanaan strategi yang betul, usaha-usaha memantapkan bidang tenaga yang diperbaharui ini boleh dipasarkan secara meluas. Semestinya, semua rakyat Malaysia mengimpikan kemajuan dan pembangunan negara yang stabil dalam suasana yang harmoni. Realitinya, untuk mencapai objektif ini, kita memerlukan pasaran tenaga dari sumber yang stabil. Melalui kapasiti tenaga yang stabil, ia akan membentuk pembangunan negara yang produktif dan berterusan.

OLEH :
NUR AZFAHANI AHMAD
Pensyarah Fakulti Senibina,
Perancangan dan Ukur,
UiTM Perak.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
05 FEBRUARI 2011

ISU KENEGARAAN : JANGAN TUNGGU SAMPAI RAKYAT MARAH DAN MEMBERONTAK


Apabila rakyat sudah mula marah akibat kesempitan hidup dan sudah bosan dengan pemerintahan kuku besi, maka banyak perkara buruk akan berlaku. Itulah yang terjadi di Tunisia, apabila rakyat bangkit memberontak sehingga membawa kepada tumbangnya kerajaan Presiden Zine El Abidine Ben Ali, yang terpaksa membawa diri ke Arab Saudi untuk mendapatkan perlindungan. Insiden di Tunisia itu membawa implikasi besar kepada dunia Arab apabila ia kemudian mempengaruhi penduduk negara-negara Arab di Afrika utara dan rantau Asia Barat untuk bangkit memberontak menuntut perubahan pucuk pimpinan. Apakah insiden di Tunisia akan membawa Order Baru di dunia Arab yang sudah lama dahagakan perubahan dan membawa kebaikan kepada penduduknya, sekali gus akan mengubah imej dunia Islam?

Ketakutan pemimpin-pemimpin Arab terhadap insiden di Tunisia yang membawa kejatuhan Presiden Ben Ali, 74, yang terkenal dengan pemerintahan kuku besinya selama 23 tahun akan mempengaruhi negara mereka, akhirnya benar-benar berlaku apabila insiden serupa berjangkit ke Algeria dan seterusnya ke beberapa negara Arab lain termasuk di Mesir, Yemen, Jordan dan Syria. Namun, insiden pemberontakan di Mesir merupakan yang paling sengit dan ganas sehingga lebih 300 orang telah terkorban setakat ini sejak tunjuk perasaan antikerajaan bermula di negara itu pada 25 Januari lalu bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak, 82, meletak jawatan, manakala hampir 4,000 lagi cedera. Apa yang aneh dalam tunjuk perasaan di Tunisia, Algeria, Yemen, Jordan, Syria dan Mesir ialah pemberontakan rakyat bukanlah kerana faktor politik ataupun kudeta tentera tetapi ia didorong oleh faktor ekonomi semata-mata.

Ia berpunca apabila rakyat mula menjadi marah akibat 'kebuluran' dan terpaksa menjalani kehidupan yang sukar selama berdekad-dekad di bawah pemerintahan kerajaan kuku besi, ketiadaan pekerjaan dan tidak ada pembangunan serta peluang-peluang ekonomi yang adil. Keadaan ini semakin memuncak sejak kebelakangan ini berikutan kenaikan harga barangan yang melonjak, harga minyak yang melambung kesan kemelesetan ekonomi global dan inflasi yang semakin tinggi. Pada masa yang sama, perasaan tidak puas hati yang membelenggu rakyat jelata selama berdekad-dekad akibat penindasan kerajaan, gejala rasuah yang berleluasa, penyelewengan di kalangan ahli politik dan pegawai atasan kerajaan meningkatkan lagi kemarahan rakyat terhadap pemimpin sehingga mendorong mereka untuk bangkit memberontak. Apa yang menarik tentang krisis politik di Tunisia ialah manifestasi yang ditunjukkan oleh penduduk di negara itu merupakan gambaran manifestasi yang sedang berlaku di hampir seluruh dunia Arab termasuk di Afrika utara dan rantau Asia Barat.

Seperti rejim Presiden Ben Ali, yang merupakan sebuah kerajaan autoritarian dan disifatkan tidak demokratik oleh kumpulan hak asasi antarabangsa termasuk Amnesty International, Freedom House dan Protection International, begitulah juga keadaan di kebanyakan negara Arab yang lain. Kebanyakan negara Arab di utara Afrika dan rantau Asia Barat sama ada diperintah oleh kerajaan beraja dan presiden yang mengamalkan pemerintahan autoritarian serta mengamalkan rasuah. Mengikut Indeks Demokrasi dalam laporan Economist 2010, Tunisia diklasifikasikan sebagai rejim autoritarian di tangga ke-144 daripada 167 negara yang dikaji. Pada 2008, daripada segi kebebasan media pula, Tunisia menduduki tangga ke-143 daripada 173 negara yang dikaji. Ben Ali dan anggota keluarganya turut dituduh terlibat dalam rasuah, malahan semasa melarikan diri ke Dubai, isterinya, Leila Ben Ali dan keluarga dilaporkan membawa lari 1.5 tan emas dari Bank Pusat.

Selain itu, kebanyakan pemimpin-pemimpin Arab telah berada di 'takhta' pemerintahan begitu lama sehingga beberapa dekad. Misalnya, Mubarak telah memerintah Mesir selama 30 tahun, begitu juga dengan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah memerintah Yemen selama tiga dekad. Maka tidak hairanlah jika pemberontakan boleh meletus di negara-negara Arab lain termasuk di Arab Saudi dan Maghribi yang mengamalkan pemerintahan beraja selama berkurun-kurun lamanya. Penduduk Arab juga sudah lama dahagakan pembangunan, demokrasi terbuka dan kebebasan bersuara. Sikap sesetengah pemimpin Arab yang condong kepada Amerika Syarikat (AS) seperti Mesir, Arab Saudi dan Jordan serta negara-negara yang pro-Israel seperti Mesir dan Jordan turut menyumbang kepada meningkatnya sentimen kebencian rakyat terhadap pemimpin mereka. Apa yang berlaku di Mesir sekarang adalah manifestasi kebencian rakyat sudah sampai ke kemuncaknya. Seluruh dunia kini mengikuti perkembangan di Mesir dengan penuh minat dan prihatin dengan nasib penunjuk perasaan yang mempertaruhkan keselamatan mereka demi membawa perubahan yang sekian lama dinantikan.

OLEH :
MUSTAFA KAMAL BASRI

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
05 FEBRUARI 2011