Oleh
MOHD.
AYOP ABD. RAZID
Penganalisis
Media
Bahagian
Penerbitan Dasar Negara
Jabatan
Penerangan.
Rakyat
di negara ini mestilah memahami bahawa kedudukan mereka sebagai pengguna
dilindungi oleh pelbagai akta awam dan akta berkaitan 'perlindungan pengguna'. Konsep
'perlindungan pengguna' itu sendiri adalah berkaitan dengan kuasa perundangan
bagi memelihara dan melindungi hak pengguna daripada dieksploitasi, ditipu,
ditindas dan diperdaya oleh pengeluar (industri), syarikat perdagangan,
pembekal dan peniaga. Antara tujuan undang-undang berkaitan perlindungan
pengguna diwujudkan untuk menjamin keselamatan pengguna, kesihatan pengguna,
kepentingan ekonomi pengguna, maklumat peribadi pengguna serta ganti rugi
pengguna.
Semua
tujuan tersebut selari dengan Fasal 1 berkaitan perlindungan pengguna di bawah
Garis Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merangkumi tujuh
perkara utama, iaitu: keselamatan fizikal (Fasal 9-12), kepentingan ekonomi
pengguna (Fasal 13-23), keselamatan dan kualiti barang pengguna (Fasal 24-26),
kemudahan untuk perkhidmatan dan barang perlu (Fasal 27), hak pengguna mendapat
tebus rugi (Fasal 28-30), penyelidikan dan maklumat (Fasal 31-37) dan perkara
berkaitan bidang tertentu seperti makanan, air dan farmaseutikal (Fasal 38-42).
Antara beberapa contoh akta berkaitan perlindungan pengguna di negara ini
adalah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan Akta Lembaga Padi dan Beras Negara
1994 yang bertujuan memastikan harga padi berpatutan dan stabil bagi petani dan
pengguna. Akta Makanan 1983 bertujuan mengawal penjualan makanan supaya tidak
mengancam pengguna.
Akta
Kawalan Bekalan 1961 (pindaan 1990) pula bertujuan mengawal bekalan
barang-barang kawalan bagi memastikan bekalan mencukupi serta mengambil
tindakan terhadap perbuatan menyorok atau enggan menjual barang kawalan kepada
pengguna. Untuk mengawal penipuan dalam timbangan maka diwujudkan Akta Timbang
dan Sukat 1972 yang bertujuan memastikan alat timbang adalah tepat serta
menggunakan unit sukatan berdasarkan kepada sistem unit antarabangsa. Para
pendeposit wang di bank-bank di negara ini dilindungi oleh Akta Bank dan
Institusi-institusi Kewangan 1989 serta Akta Perbankan Islam. Akta-akta
terbabit bertujuan mengawal selia institusi yang menjalankan perniagaan bank
dan syarikat-syarikat kewangan serta memberi perlindungan kepada pendeposit
serta pengguna perkhidmatan perbankan dan kewangan lain.
Akta
Insurans 1996 dan Akta Takaful 1984 pula bertujuan mengawal selia industri
insurans untuk memberi perlindungan 'pemunya' dasar insurans. Sementara itu,
Akta Sewa Beli 1967 bertujuan mengawal perniagaan sewa beli dengan menggariskan
hak pengguna yang dilindungi akta. Dalam soal berkaitan pembelian rumah,
pengguna dilindungi oleh Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966
yang bertujuan mengawal industri perumahan di negara ini. Akta ini memberi
kuasa kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) yang mengadakan prosiding
bagi tuntutan pembeli rumah ke atas pemaju yang melanggar kontrak. Selain aspek
perundangan, kerajaan turut menggubal beberapa dasar dan institusi perlindungan
pengguna. Antaranya Dasar Pengguna Negara (DPN) yang diluluskan Kabinet pada
Mei 2002 bertujuan mewujudkan keseimbangan hak dan tanggungjawab tiga pihak
iaitu pengguna, peniaga termasuk pembekal dan pengilang dan kerajaan. Sejak
diwujudkan, DPN berjaya memperkukuh perlindungan pengguna di negara ini.
Selain
itu, Rukuniaga Malaysia (RM) dan Kod Etika Amalan Perniagaan (KEAP) turut
diperkenalkan oleh Majlis Penasihat Perlindungan Pengguna Kebangsaan (MPPPK)
untuk membina tanggungjawab moral dan sosial peniaga terhadap pengguna di
negara ini. KEAP dirangka pada 1982, manakala RM pula pada 2002. Untuk
menyelesaikan sebarang pertikaian antara pengguna dan pengeluar atau peniaga
maka Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) ditubuhkan Akta Perlindungan
Pengguna 1999 dan mula dikuatkuasakan pada November 1999. TTPM merupakan sebuah
badan bebas bertujuan mendengar dan mengadili tuntutan pengguna dan had
pampasan ganti rugi yang dibenarkan oleh tribunal berkenaan adalah tidak
melebihi RM25,000. Selain tribunal pengguna, kerajaan juga mewujudkan Biro
Perantaraan Kewangan (BPK), Biro Pengantaraan Perbankan (BPP) dan Biro
Pengantaraan Insurans (BPI). BPK ditubuhkan pada Januari 2005 bertujuan
menyelaraskan BPP dan BPI serta memastikan pertikaian yang dihadapi oleh
pengguna dan institusi insurans/takaful dan kewangan (perbankan) diselesaikan
secara berkesan dan cepat.
Apa
pun, perlindungan pengguna di negara ini akan menjadi berkesan sekiranya
gerakan kepenggunaannya memainkan peranan aktif menyedarkan rakyat tentang hak
dan tanggungjawab mereka selaku pengguna. Kewujudan Gabungan
Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada Jun 1973 menjadikan gerakan
kepenggunaan di negara ini lebih dinamik dan terarah. FOMCA berperanan
memayungi kebanyakan persatuan pengguna serta mengatur pelbagai perancangan dan
aktiviti kepenggunaan di negara ini. Antaranya, menyedarkan pengguna terhadap
kuasa dan tanggungjawab mereka, membantu menegakkan hak pengguna, mengesan
pelbagai penyelewengan pengeluar dan peniaga serta menjadi pendorong kepada
penggubalan akta-akta berkaitan perlindungan pengguna. Persatuan Pengguna Pulau
Pinang (CAP) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga adalah di antara
persatuan pengguna yang memainkan peranan cukup berkesan dalam melindungi dan
memberi pendidikan kepenggunaan kepada pengguna di negara ini.
Kesimpulan,
perlindungan pengguna di negara ini membabitkan kerangka perundangan, institusi
perlindungan pengguna dan peranan NGO. Aspek yang perlu dipertingkatkan adalah
memperkukuh pendidikan kepenggunaan. Malah, peniaga dan pengeluar juga perlu
dididik secara berterusan supaya mereka benar-benar mengikuti Garis Panduan
Rukunniaga Malaysia serta mengamalkan Kod Etika Amalan Perniagaan. FOMCA, CAP
dan PPIM boleh mengadakan siri-siri dialog, seminar atau penerangan dengan
pihak pengeluar, peniaga dan pembekal mengenai tanggungjawab mereka melindungi
pengguna.
Sila berikan
komen anda. Terima kasih.
Sumber
:
Utusan
Malaysia
26 April
2012