JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



25 September 2012

ISU SOSIAL : TAMBAH BAIK SEKTOR PENGANGKUTAN


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM


Jika kerosakan lif dan sampah tidak dikutip adalah lumrah bagi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu kota, satu lagi masalah yang tiada penyelesaiannya sehingga kini membabitkan kekurangan tempat meletak kereta. Antara penempatan dengan masalah tersebut adalah Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur yang penduduk kawasan tersebut terpaksa berkongsi tempat meletak kereta berikutan bilangan petak yang disediakan terlalu sedikit. Ekoran itu, kenderaan terpaksa diletakkan dengan jarak yang sangat dekat antara satu sama lain dan tidak kurang juga yang meletakkan kereta mereka di depan kenderaan yang mendapat petak letak kereta.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Penara, Mohd. Sakri Masdi, kekurangan petak parkir yang dialami penduduk sudah berada pada tahap kronik yang memerlukan penyelesaian segera daripada kerajaan. "Oleh itu, pada pembentangan Bajet 2013 ini, saya berharap Kerajaan Pusat dapat mencari penyelesaiannya termasuk menyalurkan peruntukan khusus kepada DBKL untuk membina lebih banyak tempat meletak kenderaan di kawasan pangsapuri," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini. Tinjauan itu mendapati masalah sama turut dialami oleh kebanyakan PPR dan PA DBKL yang berpunca kerana petak meletak kenderaan yang disediakan hanya satu pertiga daripada keseluruhan nisbah unit rumah.

Perancangan kawasan perumahan berkenaan dengan andaian bahawa tidak semua penduduk mampu memiliki kereta sendiri sudah lapuk kerana kenderaan itu kini adalah satu keperluan. Keadaan bertambah buruk apabila kebanyakan penduduk di kawasan itu mempunyai lebih daripada sebuah kereta bagi menampung keperluan keluarga yang ramai. Jaringan pengangkutan awam yang belum efektif sepenuhnya berikutan banyak projek yang dicadangkan masih belum disiapkan telah menyebabkan rakyat tiada pilihan lain kecuali menggunakan kenderaan persendirian. Mengulas perkara itu, penganalisis ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, langkah meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam itu adalah penting bagi merapatkan jurang pendapatan golongan kaya dengan miskin. Beliau yang juga Pengerusi Pusat Pengajian Polisi Awam Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) berkata, langkah itu dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi penduduk miskin ekoran peningkatan inflasi yang masih berlaku di negara ini.

"Malaysia perlu belajar daripada kesilapan negara Eropah seperti Greece yang mengalami masalah ekonomi serius secara perlahan dan hampir tidak disedari. Kita mesti mengambil tindakan pembetulan yang tepat melalui Bajet 2013 bagi memastikan keseimbangan ekonomi kita,"

Menurut beliau, bagi memastikan kerajaan mempunyai wang mencukupi untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan lain-lain maka projek besar yang bukannya satu keutamaan harus dikurangkan. "Wang yang dapat disimpan daripada projek berkenaan boleh digunakan untuk projek-projek kecil bagi memenuhi kehendak mendesak golongan berpendapatan rendah," katanya. Seperti yang disarankan oleh Navaratnam, maka dalam Bajet 2013 kerajaan perlu memikirkan kaedah bagi mengurangkan beban yang dialami oleh golongan miskin yang kini semakin terhimpit apabila terpaksa membelanjakan wang banyak untuk kos kenderaan. Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan harga petrol atau memberikan rebat bahan api itu dalam Bajet 2013.

Dalam mengimbangi peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana, cukai terhadap barangan mewah dan warga asing yang membeli hartanah di negara ini perlu ditingkatkan. Kerajaan juga perlu memikirkan langkah drastik bagi membaiki sistem jalan raya bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas yang sering memeningkan warga kota dan meningkatkan penggunaan minyak kenderaan. Selain itu, kerajaan juga perlu melakukan sesuatu bagi membantu golongan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan yang kini perlu membelanjakan sebahagian besar pendapatan bulanan mereka untuk membayar ansuran kereta. Bagi mengurangkan beban, kerajaan juga perlu menurunkan cukai jalan kereta persendirian melibatkan jenis yang banyak digunakan oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan mencukupi bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam negara. Katanya, mengikut kajian pihaknya dari 2008 hingga kini yang melibatkan lebih 30,000 orang, rakyat mahukan sistem pengangkutan awam yang mampan. "Pada masa ini, kerajaan lebih menumpukan pengangkutan awam di kawasan Lembah Klang berbanding kawasan luar bandar. Apabila saya pergi ke Slim River, Bidor atau Taiping di Perak, saya jarang dapat melihat bas-bas awam berulang-alik untuk kemudahan penduduk. Ini semua berpunca kerana kita memberikan terlalu banyak tumpuan di Lembah Klang," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menyediakan pelan pembangunan pengangkutan awam menyeluruh bagi membantu penduduk seluruh negara yang kini terpaksa membelanjakan wang banyak untuk membeli kenderaan yang harganya kini bukanlah murah. Dalam perkembangan sama, kerajaan juga harus menimbangkan untuk menurunkan harga kereta terutama kereta buatan tempatan bagi membantu rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki kenderaan yang kini menjadi satu keperluan. Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahkan lagi proses pinjaman buat rakyat yang ingin memiliki kenderaan dan dalam masa sama memastikan bank tidak mengenakan kadar faedah tinggi. Bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di luar Lembah Klang, kerajaan perlu menyediakan satu skim subsidi bagi syarikat-syarikat pengangkutan awam, berdasarkan skim yang diterima pakai oleh negara-negara lain. Satu lagi langkah popular yang sudah pasti mendapat sokongan sebahagian besar rakyat adalah untuk menurunkan kadar tol kecuali bagi kenderaan mewah. Akhirnya, marilah kita sama-sama menghayati kembali kata-kata bapa pengangkutan China moden, Ye Gongchuo yang terkenal dengan slogan,

"Menyelamatkan China Dengan Pengangkutan."

Beliau yang hidup ketika zaman pemerintahan Dinasti Qing menegaskan sesebuah kerajaan perlu meningkatkan kemudahan pengangkutan kerana ia adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan negara berkenaan daripada kemunduran.

SUMBER
Utusan Malaysia
25 September 2012

ISU IPT : PRO-A DAN PRO-M : SIAPA MULAKAN PELEBALAN TERHADAP MAHASISWA?


Rencana ini ditulis oleh :
AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD
Pensyarah Kanan,
Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.


Umum sudah mengetahui bahawa pilihan raya kampus (PRK) akan berakhir secara serentak pada hari ini (25 September 2012). Umum juga semakin teruja untuk menantikan keputusan PRK kali ini sama ada kumpulan Pro Aspirasi (Pro-A) akan mampu mengekalkan penguasaannya ke atas institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau pun sebaliknya, iaitu kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) akan memintas mereka. Umum teruja barangkali kerana mahasiswa di IPTA dianggap sebagai khalayak intelek yang bijak dalam membuat keputusan. Bagi orang politik, mereka melihat dari sudut yang berbeza iaitu kemenangan kumpulan Pro-A atau Pro-M akan memberikan satu indikator yang cukup bermakna terhadap kebangkitan suara generasi muda dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Bagi mahasiswa/mahasiswi mereka sudah faham bahawa Pro-A dikatakan mewakili mahasiswa yang cenderung kepada penyokongan terhadap dasar-dasar kerajaan dan universiti manakala Pro-M pula dilihat lebih mirip dan cenderung mengayakan pendekatan dan tindakan ala politik pakatan pembangkang. Bagaimanapun, dalam hal ini terfikir oleh kita, siapakah yang sebenarnya memulakan pelabelan terhadap kelompok mahasiswa ini dengan label Pro-A atau Pro-M? Media atau mahasiswa sendiri atau pun entiti luar kampus seperti kumpulan politik? Ia sukar dijawab dengan tepat kerana yang pasti gerakan berkumpulan secara nyata dan terang-terangan sebegini hanya timbul pada era selepas daripada tahun 2000 yakni selepas daripada krisis genting politik negara pada tahun 1999.

Pergolakan politik negara pada tempoh masa tersebut telah membangkitkan semula gerakan pelajar di IPTA. Selera politik orang muda di universiti yang tampak tenang antara sekitar tahun 1980-an sehingga pertengahan 1990-an ternyata telah berubah secara drastik selepas peristiwa kegawatan politik 1999. Ini secara jelas menunjukkan bahawa pengaruh politik luaran dengan ideologi, gaya dan tindakan yang hampir sama telah berjaya menyusup masuk ke kampus-kampus universiti yang menyebabkan landskap politik kampus juga berubah sedikit demi sedikit. Maka, terbentuklah kumpulan-kumpulan pelajar yang berkiblatkan kepada gaya politik kepartian iaitu Pro-A dan Pro-M walau pun pada asasnya keadaan ini tidak dibenarkan oleh pimpinan dan bertentangan dengan polisi hal ehwal pelajar universiti. Oleh itu, apabila setiap kali PRK dijalankan, maka berlakulah pertembungan ala politik kepartian antara kedua-dua pihak.

Bagi pemimpin pelajar yang bercita-cita menjadi ahli politik maka PRK adalah medan yang terbaik menjaja diri. Pelbagai strategi dirangka dan dijalankan sama ada secara terbuka mahu pun secara senyap dalam usaha memenangkan kumpulan masing-masing. Dalam polemik seperti inilah ahli politik kampus ini kadang-kadang lupa akan soal sebenar mereka bertanding dalam PRK. Mereka terlalai akan fokus sebenar mereka terlibat dalam PRK. Mereka lupa bahawa yang perlu mereka hadapi ialah pelajar universiti dan bukannya rakyat keseluruhan. Mereka lupa dalam soal berkempen mereka tetap tertakluk kepada peraturan dan dasar-dasar tertentu. Mereka lupa mereka perlu bersendikan adab, tertib dan integriti. Namun, soalnya siapa yang menjadi penggerak dan pemangkin kepada pelajar untuk bertindak sebegini? Strategi apa yang digunakan oleh pelajar-pelajar ini sehingga kepada menjangkau ke tahap di luar kotak pemikiran seorang siswa/siswi? Siapa yang memberikan idea-idea keterlaluan sebegitu?

Apa pula kaitannya menimbulkan kebencian kepada Perdana Menteri atau kerajaan atau universiti dengan PRK? Apakah dengan menimbulkan kebencian sedemikian akan menyebabkan kumpulan terbabit akan memenangi PRK? Apakah mereka yakin rakan-rakan mereka yakni pelajar IPTA seluruhnya akan termakan dengan hasutan berbaur kebencian sebegini? Atau apakah mereka tidak terfikir bahawa rakan-rakan mereka di IPTA yang akan mengundi sudah cukup bijak dan pandai menilai yang mana kumpulan yang tulen berjuang untuk membangunkan pelajar dengan yang tulen berjuang untuk manfaat entiti luar kampus? Dari persepktif yang lain pula iaitu pelajar yang akan mengundi, senario sebegini sudah menjadi lumrah terutamanya bagi yang senior tetapi satu pengalaman yang baru bagi seorang yang bergelar junior atau siswa/siswi baru. Bagaimana agaknya pelajar yang akan mengundi ini melihat keadaan sebegini? Apakah mereka teruja? Apakah mereka rasa seronok? Apakah mereka rasa inilah erti kebebasan sebenar?

Atau apakah mereka jelik dengan suasana pertelingkahan dan permusuhan yang wujud kesan daripada pergolakan politik kampus sebegini? Jawapannya tidaklah sukar untuk ditelah. Jawapan sama ada mereka suka atau tidak dengan senario sebegitu dapat dilihat melalui undi mereka dalam PRK menjurus kepada kumpulan mana. Kumpulan mana yang memenangi PRK di universiti masing-masing sama ada kumpulan Pro-A atau pun Pro-M, itulah indikatornya. Analisis terhadap trend PRK membawa kepada dua senario iaitu satu kumpulan membawa pendekatan yang bersifat hemah, sederhana, mengutamakan perbincangan, berkempen tentang isu-isu yang berkisar kepada pembangunan pelajar dan kebajikan pelajar, yang bersedia menyelesaikan segala masalah melalui pintu rundingan, menggunakan akal bicara sebagai wadah dan seumpamanya.

Satu kumpulan lagi jika diteliti agak bertentangan dengan cara kumpulan yang pertama. Mereka lebih cenderung untuk mengamalkan pendekatan pergerakan siswa/siswi terdahulu yakni jalan demonstrasi adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah, bermain dengan elemen penipuan dan pemanipulasian fakta, cuba berkempen dengan menggunakan isu yang di luar daripada konteks universiti seperti isu dakwaan penyelewengan oleh kerajaan, menyerang personaliti dan seumpamanya. Semua ini adalah senario berfakta yang dikutip semasa PRK yang lepas. Jadi, kedua-dua kumpulan ini memberikan citra yang cukup berbeza. Soal kumpulan mana satukah yang dimaksudkan itu, hanya pelajar di IPTA sahajalah yang mampu mengenal pastinya. Mereka dihidangkan dengan pelbagai lakonan, plot dan cerita jadi mereka lebih arif menentukannya. Apa yang penting, citra dan karektor pelajar IPTA sedikit sebanyak terserlah melalui kecenderungan sokongan mereka terhadap kumpulan yang memenangi PRK.

Sesungguhnya Pro-A dan Pro-M adalah dua kumpulan yang jauh bezanya dari segi falsafah, gaya pemikiran, tindakan dan pendekatan. Pilihan raya kampus adalah suatu momen yang menarik bagi semua siswa/siswi di universiti. Adalah satu kerugian jika terlepas peluang untuk terlibat sama tetapi biarlah keterlibatan kita itu dalam rona yang positif. Undilah secara bijaksana dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Kita adalah kita. Kita punyai akal sendiri. Kita punyai perasaan sendiri dan kita punyai aspirasi sendiri, maka kita berhak memangkah sesiapa sahaja untuk menjadi perwakilan kepada diri kita dan rakan-rakan. Bagi pelajar universiti yang akan mengundi pada hari ini, tepuk dada tanyalah selera. Harus diingat bahawa pilihan raya kampus bukan penentu segala-galanya apatah lagi kepada perubahan politik negara. Tegasnya pilihan raya kampus adalah bukan pilihan raya umum dan sebarang keputusan tidak akan mengubah apa-apa pun di luar sana. Ia tidak lebih daripada indikator yang menunjukkan bahawa negara kita tegar sebenarnya jujur dalam mempromosikan idea demokrasi.

Cuma yang pasti, jika calon yang dipilih ada kaliber, berintegriti, prihatin dan berjiwa pelajar maka yang untungnya adalah pelajar IPTA itu sendiri. Oleh itu, PRK hanyalah pendedahan awal mengenai kepentingan proses demokrasi bagi generasi muda yang berilmu supaya bijak membuat pilihan demi survival mereka sendiri di IPTA masing-masing.

SUMBER
Utusan Malaysia
25 September 2012