Apakah signifikannya ulang tahun
kemerdekaan dalam konteks negara ini?
DR. LIM SWEE TIN: Bagi saya sambutan
ulang tahun kemerdekaan adalah satu masa yang terbaik bagi kita menanam apa
yang saya namakan pemikiran nasionalisme. Mungkin orang jarang menggunakan
istilah pemikiran nasionalisme. Salah satu sebabnya mungkin kefahaman terhadap
perasaan kebangsaan itu agak longgar. Nipisnya perasaan kebangsaan ini akan
akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara. Inilah hakikat
yang kita terpaksa terima apabila situasi kebelakangan ini menggambarkan bahawa
perasaan kebangsaan kita tidak cukup kuat. Perasaan kebangsaan seharusnya
sangat kuat yang dicerminkan dalam segala konteks dan keadaan.
Sejauh manakah pentingnya perasaan
kebangsaan dalam konteks hari kebangsaan negara ini?
DR. LIM SWEE TIN: Kuatnya perasaan
kebangsaan ini akan menjadi kerangka sebenarnya, buka lagi acuan. Ia adalah
kerangka dalam hubungan kita bekerja untuk negara. Ia meliputi soal kemajuan,
pembangunan, termasuklah kesejahteraan bersama yang kita perjuangkan sejak
terlepas dari belenggu penjajahan Inggeris 55 tahun yang lampau. Sekiranya kita
telah berada pada tahap ini pada hemat saya, kita sudah boleh dikatakan
mempunyai jati diri yang kukuh. Pada tahap inilah kita menjadi rakyat yang
bermakna bagi sesebuah negara.
Di manakah duduknya bahasa dan
kesusasteraan dalam konteks sebuah negara yang merdeka?
DR. LIM SWEE TIN: Pada hemat,
seandainya kita tidak memuliakan satu bahasa penyatuan kita yang tunggal iaitu
bahasa Melayu, tidak adalah erti merdeka. Saya sentiasa menekankan peri
pentingnya secara berterus-terusan diingatkan, disebarkan dan diperkasakan
semangat menyayangi bahasa yang tunggal ini tanpa kira kaum, bangsa atau etnik.
Inilah satu-satunya wahana kita untuk saling memahami, saling menyalurkan
aspirasi hidup dan saling mengembangkan minda ke arah mencapai satu bentuk
pemikiran yang sama dari segi menyatakan hasrat, keyakinan dan kepercayaan yang
terunggul untuk masyarakat, bangsa dan negara. Semua ini melalui jambatan
bahasa Melayu. Setiap rakyat harus tahu dan menyedari bahawa sejak awal
kemerdekaan bahasa inilah yang sudah diasaskan sebagai bahasa penyatuan. Kita
tidak mampu untuk berpecah belah atau perasaan syak wasangka atau curiga
mencurigai. Sebab itulah saya melihat keinginan kita yang kuat untuk
memperkasakan penguasaan bahasa ini dalam setiap diri rakyat diikhtiarkan
melalui pelbagai upaya.
Tetapi yang kelihatan masa ini bahasa
Melayu tertolak ke belakang dalam persaingan bahasa Inggeris yang dianggap
bertaraf global?
DR. LIM SWEE TIN: Saya tidak menafikan
sama sekali bahawa ada di sana sini kekangan dan halangan sehingga kita tidak
boleh mencapainya 100 peratus kejayaannya. Malah secara peribadi saya kerap
kali melahirkan rasa dukacita. Ini kerana selepas 55 tahun merdeka dengan
pelbagai usaha yang dilakukan untuk melahirkan rasa memiliki yang terhadap
bahasa kebangsaan tetapi masih tercalar di sana sini. Padahal setiap
warganegara yang telah mencapai usia separuh abad di Malaysia memperoleh pendidikan
melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar yang sama.
Pada tahun 1976 apabila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar bermula di
sekolah menengah untuk seluruh sistem pendidikan kita sehingga ke peringkat
universiti. Pada tahun 1983 pula seluruh pengajian menggunakan bahasa Melayu.
Kenapa kita masih gagal menjadikan
bahasa Melayu itu bahasa perpaduan?
DR. LIM SWEE TIN: Saya juga sering
tertanya-tanya apakah lagi yang tidak kena apabila bahasa kebangsaan ini
diragui peranan dan penggunaannya dalam segala bidang kehidupan. Saya menyeru
pada ulang tahun kemerdekaan ini marilah kita sama-sama memikirkan peri
bertuahnya kita memiliki satu bahasa yang begitu besar, relevan dalam segala
bidang baik sains dan teknologi, bahkan disenaraikan antara empat bahasa
terpenting di dunia dari segi bilangan penggunanya. Terimalah dan akuilah
bahawa bahasa ini bahasa kita bersama, gunalah dengan penuh kasih demi menjaga
kemurniannya dan meletak tinggi kedudukannya.
Apa komen saudara terhadap usaha yang
giat dilakukan sebelum dan ketika ini?
DR. LIM SWEE TIN: Saya berasa yakin
bahawa usaha-usaha ke arah itu sudah dilakukan tetapi kita memerlukan satu
langkah lain yang lebih efektif supaya dapat meninggalkan kesan yang lebih
mendalam. Ini yang kita kurang atau dengan bahasa yang jelas mungkin kita gagal
sempurnakan. Kesusasteraan boleh membentuk pemikiran, mengubah sikap dan
membangunkan minda selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan
yang cemerlang. Kita tentulah akan dukacita kalau teks-teks sastera kita hanya
dibaca oleh anak-anak kita semata-mata atas dasar lulus periksa. Tetapi mereka
tidak mampu mengambil intipati pemikiran dan semangat yang diterapkan oleh
sasterawan sementelah kita menerima mereka sebagai antara pemikir bangsa.
Sejauh manakah kefahaman terhadap
budaya boleh dijadikan jambatan menghubungkan kaum dan etnik di negara pelbagai
kaum seperti Malaysia?
DR. LIM SWEE TIN: Kita memerlukan
masyarakat yang saling memahami budaya khasnya antara bangsa, kaum dan etnik di
Malaysia untuk kita muncul sebagai satu bangsa yang benar-benar kukuh dan
bersatu padu. Sekarang kadang-kadang kita terganggu oleh suara-suara sumbang
yang pada sesetengah orang disifatkan kecil dan terpinggir akibat daripada
ketidakfahaman terhadap budaya amalan kita. Perkara seperti ini tidak
sewajarnya terjadi seandainya kita sama-sama memuliakan budaya yang sama-sama
kita junjungi. Kefahaman yang mendalam ini secara berterusan sejajar pula
dengan Rukun Negara dan aspirasi bangsa kita. Saya percaya bahawa paduan budaya
sastera dan bahasa akan membawa kita ke satu ikatan yang kukuh. Usahlah
merasakan bahawa budaya kita sudah lapuk dan usang, ketinggalan dan tidak
relevan dengan zaman yang serba diwarnai dengan pengaruh peradaban luar yang
setengahnya amat membimbangkan.
Kalau dibandingkan dengan negara lain,
apakah yang dapat saudara gambarkan tentang Malaysia?
DR. LIM SWEE TIN: Kita bertuah berada
di bumi Malaysia. Ini perlu kita tanamkan kepada anak-anak kita di segenap lapisan.
Dari segi alamnya, kita dianugerahkan Tuhan selamat dan bebas daripada sebarang
bencana seperti di setengah-setengah negara lain. Kita dianugerahkan negara
yang makmur dengan segala hasil mahsul yang cukup. Pertanian dan sumber laut
kita adalah nikmat manakala sumber bumi kita seperti petroleum menyumbang
kepada kemewahan dan kesenangan hidup kita.
Kita tidak menghadapi sebarang ancaman
luar sementara ancaman di peringkat dalaman juga sudah sekian lama kerajaan dan
pimpinan kita berupaya lumpuhkan. Kita tahu komunis sudah lama lenyap melalui
kebijaksanaan kerajaan dan kegigihan anggota keselamatan. Ia tidak lagi
mengganggu lena tidur kita seperti satu ketika. Setiap rakyat mempunyai ruang
yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang mereka sukai asal tidak membawa
kemudaratan. Suasana politik yang tidak mengganggu kita walaupun sesekali
muncul juga isu-isu yang kecil-kecil sehingga memperlihatkan seolah-olah adanya
percanggahan. Tetapi perbezaan pandangan dan pendapat itu berjaya ditangani
secara bijaksana. Maka saya percaya kita perlu terus memainkan peranan
masing-masing dalam kapasiti yang ada sebaik-baiknya sambil melihat
kegemilangan negara terus memercu untuk zaman yang mendatang.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
26 Ogos 2012