JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Mei 2023

BIMBINGAN TEKNIK MENGAJAR YANG BERKESAN UNTUK GURU BAHARU


Pada bulan Januari 2022, sekolah kami menerima 7 orang Guru One Off untuk mengisi kekosongan jawatan. Seorang berasal dari Pulau Pinang, iaitu Cikgu Vickneswari A/P Raju. Tiga orang dari negeri Sabah, iaitu Cikgu Elizalena Majit, Cikgu Jumarmac Jupinis, dan Cikgu Juriana Binti Ismail. Seorang dari Miri, Sarawak, iaitu Cikgu Christina Bungan Wellson. Dua orang berasal dari Kuching, Sarawak, iaitu Cikgu Yvonne Pei Lee dan Cikgu Whilemina Nalun Anak Tedwin. Saya secara sukarela melantik diri sebagai mentor kepada mereka bersama dua orang guru lain. 


Sesi bimbingan ini diadakan adalah untuk berkongsi cara mengajar dengan berkesan. Teknik mengawal pelajar di dalam kelas dan beberapa perkara penting yang harus dilakukan oleh seseorang guru demi kemenjadian pelajar dan peningkatan prestasi sekolah baik dalam kurikulum, kokurikulum, dan sahsiah pelajar. 





Alhamdulillah, guru-guru baharu ini amat positif. Mereka aktif bertanya dan belajar pelbagai perkara. Mereka tidak pernah menimbulkan masalah malahan mereka banyak membantu pihak sekolah dalam menjayakan pelbagai perkara. Semoga mereka menjadi guru yang cemerlang pada masa hadapan. 






 

ISU LAMBAKAN GRADUAN PERGURUAN BERLAKU AKIBAT PENGAMBILAN TIDAK IKUT UNJUTAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

 


Kecenderungan universiti awam serta swasta yang berlumba-lumba menawarkan pengajian pendidikan untuk melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran keperluan Kementerian Pendidikan (KPM), boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang terbabit. Ia berikutan rata-rata institusi pengajian tinggi negara ini membuat pengambilan pelajar ke program berkenaan berdasarkan kemampuan institusi itu sendiri sehingga mewujudkan keadaan penawaran melebihi permintaan.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP),  Aminuddin Awang. - Foto NSTP

Perkara ini didedahkan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, bahawa keadaan sebaliknya berlaku kepada lepasan siswazah Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah kendalian KPM apabila mereka terus diserap selepas menamatkan pengajian. Graduan IPG ini akan terus ditempatkan di sekolah rendah berdasarkan unjuran keperluan kementerian berasaskan faktor bilangan guru yang bersara, pembukaan sekolah baharu dan sebagainya.

Disebabkan itu, lepasan siswazah IPG tidak menunggu lama untuk diserapkan kerana pengambilannya mengikut keperluan guru sebenar dalam satu tempoh tertentu. Difahamkan, seramai 4,390 Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020, namun sebahagiannya dilaporkan masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah, manakala sebilangan kecil terpaksa memilih pekerjaan lain tanpa memerlukan kelayakan akademik. Hakikatnya, bermula 2017 tiada lagi unjuran KPM kepada semua universiti awam (UA) yang menawarkan program ISMP selain, wujud keadaan guru dengan opsyen tertentu dikatakan berlebihan berdasarkan perbandingan keluaran UA dan keperluan KPM.

Semakan rekod pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 bagi tahun 2020 yang dikemas kini pada 6 Januari lalu di laman sesawang https://www.data.gov.my mendapati 97,276 permohonan diterima untuk mengisi jawatan itu dengan 4,586 dipanggil temu duga bagi mengisi 4,189 jawatan. Menjelaskan lanjut, Aminuddin berkata, isu pengangguran dalam kalangan bakal guru akan terus berlaku kesan daripada dasar keterbukaan universiti tempatan menganjurkan kursus diploma pendidikan kepada lepasan ijazah tanpa merujuk kepada unjuran keperluan guru sebenar.

Perlu kawalan, penyelarasan kursus

Menurut beliau, dalam hal ini, KPM dan universiti perlu mewujudkan kawalan dan penyelarasan kursus. Mengulas mengenai 19,000 kekosongan diiklankan untuk pengambilan jawatan PPP DG41 baru-baru ini, Aminuddin berkata, kekosongan itu lebih terarah bagi menangani ketidakcukupan guru berdasarkan keperluan sebenar sesebuah sekolah atau ketidakcukupan dari segi keperluan opsyen guru dalam mata pelajaran. Akan tetapi realitinya, pengambilan 19,000 guru itu masih tidak mampu menyelesaikan isu kekurangan guru kesan daripada persaraan paksa, persaraan pilihan dan pembukaan sekolah baharu yang memerlukan ramai tenaga pengajar.

Bagaimanapun, inisiatif dan komitmen yang dilaksanakan KPM itu secara langsung mampu mengurangkan bebanan guru sedia ada disebabkan kekurangan guru di sekolah. Oleh itu, kita amat berterima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) kerana mahu mengambil 19,000 calon guru dan ia dilakukan pada masa tepat ketika KPM sedang dalam landasan ke arah kesejahteraan guru.. Pengambilan 19,000 guru baru-baru ini meliputi jawatan guru tetap atau guru sementara bagi menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana ketika ini terdapat kekurangan 19,431 guru atau 4.49 peratus di seluruh negara membabitkan mata pelajaran terbabit. Aminuddin juga berharap pengisian 19,000 calon guru baharu itu dapat diberikan kepada mereka yang mempunyai kelayakan ikhtisas iaitu Diploma Pendidikan sahaja sekiranya kerajaan tidak mahu isu pengangguran dalam kalangan bakal guru terus kronik. Selepas itu, bidang yang tidak cukup calon berkelayakan seperti Bahasa Inggeris, barulah dibuka kepada calon yang tiada kelayakan ikhtisas.

Lepasan ISMP perlu teroka bidang kerjaya lain

Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) tidak boleh terus bergantung nasib kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi penempatan selepas tamat pengajian, sebaliknya menerokai peluang mengajar di sekolah bukan kerajaan. Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pada masa sama, graduan guru perlu berusaha menerokai bidang kerjaya lain berbeza dengan ijazah yang dimiliki. Graduan pendidikan tidak seharusnya bergantung kepada KPM sebagai sumber utama berkhidmat sebagai guru berikutan mereka masih berpeluang mengajar di sekolah swasta, sekolah antarabangsa, sekolah persendirian, pusat tahfiz dan lain-lain. Selain itu dengan cabaran pengangguran sekarang, graduan tidak boleh terikat kepada satu bidang sahaja kerana terdapat banyak peluang lain dan ramai yang beralih kerjaya dan mereka ini berjaya. Kita dapat disaksikan ada lepasan pengajian kejuruteraan beralih kepada perkhidmatan insurans, lulusan perakaunan menerokai perniagaan dan pelbagai bidang lagi yang akhirnya berjaya menjadi usahawan atau petani moden.


Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. - Foto NSTP

Alimuddin yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Arkib Negara dan Ahli Jawatan Kuasa Yayasan Pesara Kerajaan, berkata KPM menawarkan kekosongan mengikut peruntukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) walaupun ramai mahu mengisi jawatan biarpun tempat terhad, sekali gus menimbulkan pengangguran dalam kalangan graduan pendidikan. Bilangan yang mahu diambil sudah ditetapkan bagi mengisi kekosongan disebabkan guru pencen, guru berhenti dan juga perluasan sekolah, tetapi universiti awam (UA) dan universiti swasta setiap tahun menghasilkan ramai lepasan siswazah seperti Institut Pendidikan Guru (IPG). Berikutan itu katanya, sebahagian besar UA menukarkan nama program misalnya Ijazah Sarjana Muda (ISM) Pendidikan dengan Ekonomi atau Perniagaan, Perakaunan serta lain-lain. Hal ini bagi meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan kerana tidak mahu mereka ini hanya tertumpu kepada sektor pendidikan, tetapi berupaya menerokai bidang lain.

Justeru bagi program pengajian itu, perlunya pengkhususan utama dan minor 50-50 bidang lain selain menumpukan sepenuhnya kepada perguruan, mengikut unjuran keperluan. Siswazah juga perlu memperlengkapkan diri dengan mengikuti kursus sama dalam atau luar universiti termasuk dalam talian bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam bidang seperti Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), perniagaan, teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan keusahawanan untuk dimanfaatkan selepas tamat pengajian.

Iklan bantu pelajar

Berhubung usaha KPM mengiklankan 19,000 kekosongan bagi mengatasi masalah kekurangan guru baru-baru ini, beliau berkata, bilangan terbabit masih tidak mampu menyelesaikan isu pengangguran, tetapi diharap membantu pelajar yang betul-betul berminat dan berkelayakan untuk memohon. Kebiasaannya unjuran dibuat dalam tempoh lima atau sekurang-kurangnya tiga tahun berdasarkan guru bersara awal, pertambahan penduduk dan sekolah baharu setiap tahun, jadi KPM menambah bilangan guru ikut kekosongan diperlukan setiap tahun. Malah, bagi pengambilan guru, lazimnya hampir 100,000 orang memohonnya. Justeru, langkah pertama saringan komputer dibuat mengikut purata nilai gred kumulatif (CGPA) calon, kemudian mereka yang melepasinya menduduki ujian kecenderungan dan personaliti dan ketiganya, temu duga. Jadi, calon guru kena berusaha dan memastikan mereka melepasi ketiga-tiga saringan. Ini kerana calon terbaik saja dipilih untuk mengisi kekosongan yang ada," katanya.



  • SUMBER 
  • BERITA HARIAN
  • Oleh Mahani Ishak - Mei 27, 2023 @ 10:00am

JUARA PERTANDINGAN PIDATO PIALA DIRAJA TAHUN 1992


Saya mewakili SMK Kapit dalam Pertandingan Pidato Piala Diraja bersama Cikgu Puan Bidah Anak Lujah. Ketika ini semua pertandingan aktiviti sokongan kurikulum, saya dan dia yang akan mewakili sekolah. Cikgu Bidah ini pelajar cemerlang. Semasa saya Tingkatan Enam, dia Tingkatan Lima. Walau bagaimanapun, kami berdua selalu dipilih oleh guru untuk mewakili sekolah dlaam pertandingan pidato, syarahan, berbalas pantun, dan perbahasan. Selepas habis Tingkatan Enam, saya melanjutkan pelajaran, hubungan kami pun terputus. Namun begitu, saya mendapat tahu beliau kini menjadi guru seperti saya juga. 

Dalam pertandingan pidato (Gambar di atas) ini, saya mendapat Johan. Lelaki baju Biru (wakil SMK Methodist, Sibu) Naib Johan. Perempuan Baju Biru (Wakil SMK Methodist, Sibu). 

Saya berkawan dengan peserta dari SMK Methodist ini kerana kami selalu berjumpa. Kami selalu berbual-bual tentang pelajaran sambil menunggu giliran berpidato. Saya lupa nama mereka. Maklumlah, kami cuma berjumpa beberapa jam semasa pertandingan. Habis pertandingan, selepas keputusan diumumkan kami pun balik ke tempat masing-masing. Kalau berjumpa di Sibu pun tidak mungkin saya akan mengenali mereka lagi. Inilah aktiviti saya dulu masa sekolah, pidato, bahas, syarahan, menulis esei. Banyak juga wang saya dapat hasil menulis esei, rencana, cerpen masa itu. Nilai wang ketika itu pun tinggi. Gambar-gambar ini amat berharga bagi saya.



JOHAN PERTANDINGAN PIDATO KENEGARAAN ZON TENGAH TAHUN 1993


Keratan Akhbar Borneo Post

Johan Pidato Piala Diraja tahun 1993 kategori lelaki. Kategori Perempuan dimenangi oleh Saudari Cynthia Su Lee Ung dari SMK St Elizabeth. 

Saya masih ingat masa saya datang ke asrama, semua pelajar di Asrama Pelagus bersorak gembira meraikan kemenangan saya. Ketika itu, saya Pengawas Kanan di Asrama Pelagus. Asrama yang selalu mendapat Johan dalam Pertandingan Keceriaan Asrama mingguan. Saya dikelilingi oleh ramai pelajar yang baik hati ketika belajar di SMK Kapit. Yang membezakan saya dengan mereka hanya saiz badan, walaupun saya Tingkatan Enam, saya kelihatan kecil jika berdiri di sebelah pelajar Tingkatan 3,4,5. Mereka selalu belanja saya makan maggie (makanan paling sedap ketika itu). Ketika pertandingan ini, saya diiringi oleh dua orang sahabat karib saya ke Sibu, iaitu Ngali Anak Gara dan Janda Anak Pioh. Saya memang minat berpidato semasa sekolah. Saya berlatih sendiri. Saya buat teks sendiri. Saya baca Majalah Dewan Masyarakat untuk mencari fakta-fakta dan statistik penting bagi melengkapkan lagi teks yang saya karang. Saya suka mengumpulkan bahasa-bahasa yang menarik. Hobi membaca untuk mencari kosa kata, frasa dan ayat-agar yang menarik dan gramatis memang sudah tertanam dalam jiwa saya sejak dahulu.