Seseorang yang penting dalam hidup bakal menyambut ulang tahun kelahiran, tetapi anda masih teragak-agak untuk mendapatkan hadiah hari jadi paling sesuai untuknya. Jadi bagaimana anda membuat keputusan? Biasanya kita mahu memberi hadiah istimewa yang akan benar-benar dihargai penerima. Penunjuk yang baik ialah hobi atau minat penerima. Sukar untuk mencarinya dalam bentuk barang, jalan terbaik ialah buku mengenai subjek hobi seseorang itu. Buku-buku hobi berilustrasi seperti memasak, memancing, pelbagai jenis sukan, pelancongan, haiwan peliharaan, jahitan dan kraftangan mudah dicari dan dijadikan koleksi bahkan boleh diturunkan ke generasi akan datang sebagai harta ilmu. Katakanlah penerima gemar menanam bunga, nashkah tentang penjagaan orkid mungkin merupakan hadiah yang dicari-cari.
Jika anda tidak pasti akan cita rasa bahan bacaan penerima, tajuk-tajuk buku popular di seluruh dunia boleh dijadikan pilihan. Misalnya ‘Rich Dad Poor Dad’ mengenai pengurusan wang yang bijak, atau ‘Who Moved My Cheese’ yang membantu pembaca berdepan dengan perubahan drastik atau buku misteri konspirasi ‘The Da Vinci Code’ yang mampu membuatkan pembaca mempertikai sejarah meskipun ia hanya novel fiksyen.
HADIAH YANG PRAKTIKAL
Buku juga hadiah paling sempurna dan relevan untuk sebarang situasi. Misalnya untuk seseorang yang terbatas pergerakannya seperti hanya di atas katil atau berkerusi roda di ruang litup kawasan yang terhad, buku menemani di kala kesepian, membuka minda di kala tiada teman berbicara dan boleh membantu mengatasi masalah sukar untuk tidur. Komik atau buku cerita berilustrasi boleh menjadi rahmat buat ibu bapa kepada kanak-kanak yang sakit, misalnya, dan terpaksa melalui pengalaman rawatan hospital yang kurang menyenangkan. Ia bukan sahaja menghiburkan jika dibaca bersama-sama malah boleh mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan anak. Lebih baik lagi imaginasi yang dijana semasa membaca boleh mengalih perhatian kanak-kanak daripada kesakitan yang ditanggung sekaligus menjadikannya kurang meragam. Berbanding dengan barang mainan yang akan dibuang selepas rosak, buku juga boleh disimpan hingga menginjak usia dewasa sekaligus menjadi memento kenangan abadi apabila pemberi meninggal dunia.
MENGHADIAHKAN SEMUA BUKU
Kelebihan lain buku sebagai hadiah yang mungkin agak kurang menyenangkan seseorang ialah menghadiahkannya semula. Katakanlah anda menerima sebuah buku yang terlalu teknikal atau sangat membosankan, ia boleh dihadiahkan semula ke mana-mana perpustakaan yang sesuai dengan genrenya. Di situ, ia boleh dipinjam berkali-kali dan ilmunya dapat digunakan oleh orang lain menjadikan anda secara tidak langsung, berjasa kepada masyarakat setempat.
MEMBACA LAPAN BUKU SETAHUN
Berbicara tentang buku dan perpustakaan, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Ruslin Abu Bakar ditanya BERNAMA mengenai penerimaan masyarakat Malaysia terhadap buku. Kajian terkini menunjukkan rakyat Malaysia yang berusia di antara 10 hingga 40 tahun membaca sebanyak lapan hingga 12 buah buku setahun. Dalam kajian yang sama iaitu kajian olahan semula profil membaca Malaysia 2010, turut mendapati mereka yang lebih berusia membaca secara purata enam buah buku, katanya. Secara amnya, angka ini menunjukkan peningkatan yang baik berbanding putara hanya dua buah buku seorang yang dicatatkan dalam kajian 2005.
RUTIN SATU JAM SETIAP HARI
Ruslin berpendapat jumlah buku yang patut dibaca oleh seseorang itu sebenarnya terpulang kepada individu itu sendiri. Namun beliau menyarankan agar setiap orang meluangkan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari untuk membaca. "Sekiranya anda membaca satu jam sehari, secara purata, anda boleh menghabiskan satu buku setiap minggu. "Jika amalan ini berterusan, anda akan dapat menghabiskan empat buku sebulan atau 48 buah buku dalam masa setahun, satu jumlah yang agak mengkagumkan," katanya. Tidak dinafikan angka itu mencerminkan tabiat membaca yang cemerlang sekaligus membentuk minda masyarakat yang bijak dan terbuka. "Bentuk bahan bacaan terpulang kepada diri kita sendiri tetapi sebaiknya pilih atau baca buku ilmiah yang berkaitan dengan bidang anda dan juga bahan-bahan yang boleh membangunkan nilai diri anda sendiri. "Lagipun, nilai diri seseorang itu lebih dicerminkan melalui kualiti bahan bacaan bukan hanya menerusi jumlah buku yang dibaca," katanya.
STATUS NEGARA MAJU
Ruslin turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk berusaha menghasilkan karya sendiri bagi meningkatkan jumlah buku terbitan negara. ”Pada masa ini, industri penerbitan negara hanya mampu menerbitkan sekitar 15,000 judul bahan bacaan setahun yang dikira masih jauh di bawah paras standard negara maju,” tegasnya. Unesco menetapkan bahawa penerbitan buku sesebuah negara yang paling wajar adalah satu peratus daripada jumlah populasi penduduk. Syarat ini antara elemen yang dinilai untuk penstatusan negara maju. ”Ini bermakna, memandangkan jumlah populasi terkini negara ialah 28 juta orang, negara perlu aktif menghasilkan 28,000 judul dalam setahun,” jelasnya yang turut berharap agar angka itu dapat dicapai sebelum tahun 2020.
DORONGAN KEPADA BAKAL PENULIS
Bagi mencapai tujuan itu, PNM merancang untuk mengadakan Festival Penulis 1Malaysia tidak lama lagi yang bertujuan mengasah potensi penulisan buku rakyat Malaysia. Ruslin berkata selain program seperti bengkel e-book, festival itu nanti akan turut memberi tumpuan khas kepada golongan remaja yang berhasrat menjadi penulis. Selain itu, kata Ruslin, sebagai usaha merancakkan lagi industri penerbitan buku, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang berusaha mendapatkan dana bagi membolehkan bahan penulisan dibeli secara terus daripada penulis, sekaligus memudahkan penulis menerbitkan karya mereka. Sumber daripada Majlis Industri Buku Malaysia menunjukkan nilai penjualan buku di Malaysia pada tahun 2009 ialah RM2.1 bilion yang boleh dianggap satu pencapaian yang memberansangkan. Kita juga boleh menyumbang kepada penerbitan buku dan penjualan yang lebih tinggi dengan membeli dan menghadiahkan buku kepada seseorang. Jadi cuba-cubalah fikirkan hari lahir siapa paling hampir selepas ini?
SUMBER : BERNAMA, 28 FEBRUARI 2011