JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : HALA TUJU SELEPAS SPM, JANGAN SALAH PILIH? SESAL KEMUDIAN TIADA GUNANYA


Semua orang ada impian untuk bergaji tinggi,
berpangkat, dan berharta. Semua orang mahu 
tinggal di rumah besar, berkereta mewah dan
memakai pakaian berjenama. Sebab itulah kita
dihantar ke sekolah. Ibu bapa mahu kita mengubah
kehidupan kita. Hari ini, orang yang berilmu
mampu menguasai dunia. Keputusan SPM yang
diterima merupakan permulaan untuk kita
melangkah ke hadapan. 

Pada ketika ini, pelajar-pelajar lepasan SPM tahun 2016, sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mengetahui keputusan yang bakal mereka terima. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan sijil penentu masa hadapan semua insan yang bergelar pelajar. SPM adalah segala-galanya. Pelajar wajib lulus dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah. Jika mereka gagal dalam kedua-dua subjek tersebut maka mereka tidak layak diberikan sijil SPM. Jadi, mereka perlu mengambil peperiksaan semula untuk memperbaiki keputusan jika mahu meneruskan persekolahan. Walau bagaimanapun, pencapaian dalam subjek-subjek lain seperti Matematik, Sains, Fizik, Kimia, Biologi, Perakaunan, dan sebagainya juga penting. Subjek Bahasa Inggeris walaupun bukan subjek wajib lulus tetapi kepentingannya untuk masa hadapan seseorang tidak boleh dinafikan lagi. Pelajar harus fasih menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Jika tidak peluang untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya di sektor swasta amat tipis. 


SPM merupakan penentu hala tuju seseorang sebelum memasuki alam pekerjaan. Oleh sebab itu, pelajar yang tahu nilai sijil SPM, akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gred yang baik terutama dalam subjek teras dan elektif yang mereka ambil. Setinggi manapun cita-cita, jika keputusan peperiksaan tidak cemerlang, cita-cita itu akan mati setakat itu sahaja. Oleh itu, bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5, belajarlah bersungguh-sungguh. Penyesalan tidak pernah datang dahulu tetapi nasihat dan dorongan daripada guru dan ibu bapa dicurahkan tanpa henti ibarat sungai tiada penghujungnya.   

Satu lagi perkara yang sentiasa dihadapi oleh pelajar lepasan SPM ialah mereka sukar untuk menentukan arah tuju mereka dengan keputusan yang mereka peroleh. Kesukaran tersebut disebabkan pelbagai faktor terutamanya daripada ibu bapa. Ibu bapa pula terlalu suka mendengar humor dan khabar angin sehingga anak mereka takut untuk membuat keputusan. Memang tidak dinafikan, semua ibu bapa mengimpikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Akan tetapi, mereka perlu banyak membaca tentang hala tuju anak selepas SPM agar mereka tidak menutup minat anak sehingga menghancurleburkan minat dan masa depan mereka. Ibu bapa harus faham potensi dan kebolehan anak-anak. Jangan terlalu ghairah bermimpi agar anak menjadi pilot, peguam, doktor, dan cikgu sahaja. Sesekali tanyalah pengusaha kedai roti dan bengkel kereta, tanyakan pendapatan bulanan mereka. Ada yang mencecah 5 angka sebulan. Oleh itu, dalam bicara pada kali ini saya mengupas beberapa perkara yang berkaitan dengan hala tuju setelah keputusan SPM diumumkan.

PINTU KEJAYAAN 1 : 
TINGKATAN ENAM

Ramai pelajar lepasan SPM yang menolak untuk melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam. Pelbagai alasan yang tidak logik dilontarkan sehingga di sesetengah sekolah bilangan pelajar yang mengambil SPM ada 350 orang tetapi yang meneruskan pengajian di Tingkatan Enam tidak sampai 40 orang sahaja. Kenapakah perkara ini berlaku? Mereka kurang pengetahuan tentang kelebihan melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam. Mereka tidak tahu bahawa sijil STPM adalah tinggi nilainya. Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Malaysia, Dato' Seri Mahawangsa Mahdzir Khalid menyatakan bahawa Sijil STPM diiktiraf oleh Cambridge Assessment, United Kingdom, iaitu setaraf peringkat A-level. Apabila Cambridge Assessment mengiktiraf STPM, maka sijil ini mendapat pengiktirafan antarabangsa. Ini bermakna, para pelajar lulusan STPM bukan sahaja boleh melanjutkan pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi tempatan, malahan diterima masuk ke universiti luar negara. Jika pelajar lepasan SPM tahu akan hal ini, mereka akan membuat keputusan bijak untuk terus melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam.

Ramai orang kata belajar di Tingkatan Enam ini susah! Benarkah begitu. Kalau susah kenapa ramai pelajar yang cemerlang? Semua benda akan susah kalau kita malas. Orang malas, nak masak nasi di dapur pun susah sebab tulangnya berat. Orang yang malas dan tiada kesedaran diri, hari-hari cikgu nasihatkan pun tak masuk dek ajar sebab terlalu berfikiran negatif. Orang yang rajin dan berfikiran positif, belajar di sekolah manapun akan berjaya. Kenapa? Mereka rajin. Mereka yakin diri. Mereka ada cita-cita. Mereka tahu gerak hati. Mereka berusaha untuk mencapainya. Anak orang miskin atau anak orang kaya, kalau rajin semua akan berjaya. 

Pengajian selama setahun setengah di Tingkatan Enam tidak memerlukan kos yang tinggi. Pelajar cuma membeli buku dan mengeluarkan sedikit belanja bagi menyiapkan kerja kursus pada Semester 2 dan Semester 3. Mereka tidak perlu meminjam wang daripada PTPTN untuk membayar yuran peperiksaan. Mereka tidak perlu menyusahkan ibu bapa yang kehidupannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai pengajian mereka. Semua subjek yang diambil di peringkat STPM boleh digunakan untuk memohon mana-mana kursus pengajian yang setimpal dengan kelulusan mereka di universiti. Perkara ini amat berbeza jika mereka melanjutkan pelajaran di kolej untuk mendapatkan sijil dan diploma. Pengkhususan mereka telah ditentukan. Jika kursus yang diikuti tidak mempunyai nilai ekonomi, maka mereka amat sukar untuk mencari pekerjaan. Pelajar-pelajar STPM pula tidak berhadapan dengan fenomena ini. Mereka hanya tidak boleh memohon kursus perubatan, farmasi jika mereka belajar di aliran sastera. Itu sahaja!


Bagi pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan, 
jangan dikejar yang tak dapat, yang dikendong berciciran. Teruskan belajar di Tingkatan Enam. 
Kosnya murah. Ingat, anda harus bantu keluarga 
untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik. 
Jangan bebankan ibu dan ayah sehingga 
berhutang untuk menanggung kos 
pengajian anda di kolej yang berprestij.
Kita nak sekolah, bukan nak glamour. 
Kasihanilah mereka. 

Bimbingan guru-guru yang dilantik sebagai Guru Akademik Tingkatan Enam sememangnya amat baik kerana mereka mempunyai pengalaman dan mengenali majoriti pelajar tersebut dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6. Pelajar-pelajar Tingkatan pada hari ini amat bernasib baik. Mereka mengikuti  pengajian yang dibahagikan kepada tiga penggal. Penggal pertama (Mei – November), Penggal kedua (Jun – November), Penggal ketiga (Mei – November tahun berikutnya). Mereka boleh membaiki keputusan andai keputusan peperiksaan Penggal 1 dan 2 tidak menggalakkan. Bayaran yang dikenakan untuk setiap subjek yang diulang hanyalah RM50.00 sahaja. Selain itu, pelajar tingkatan enam dibenarkan memakai baju formal untuk pergi ke sekolah. Cara pemakaian ini sama dengan tatacara berpakaian mereka yang menuntut di universiti. Kini, secara beransur-ansur Tingkatan Enam dibahagikan kepada 3 mod, iaitu Mod 1, Mod 2, dan Mod 3. Mod 1 merupakan Kolej Tingkatan Enam. Setakat ini, kita ada lebih kurang 11 buah kolej Tingkatan Enam di seluruh negara. Pelajarnya semua terdiri daripada mereka yang menuntut di Tingkatan Enam.

Pelajar lepasan SPM harus berfikir di luar kotak, tiada buruknya melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam. Yang buruknya apabila anda terlalu ghairah ingin melanjutkan pelajaran di kolej-kolej ternama tetapi di penghujungnya anda menjadi penganggur kerana silap memilih kursus. Ingatlah, tiada jalan mudah untuk berjaya tetapi jalan yang susah itu akan jadi mudah andai kita gigih berusaha. Laluan meneruskan pengajian di Tingkatan Enam sebenarnya amat indah tetapi mata kita kadang-kadang buta untuk melihat yang indah itu kerana kita selalu tertarik dengan kerdipan neon di hujung jalan sana. Cahayanya indah, pancarannya terang tetapi sayang sinarannya bukan dihalakan kepada kita. Jika anda meneruskan pengajian di Tingkatan Enam dan belajar bersungguh-sungguh, peluang yang lebih baik akan menanti anda di universiti. Tanyalah mereka yang pernah merasainya! Jangan suka dengar cakap orang atau pandangan orang yang tak tahu nanti anda bertindak bagai kerbau dicucuk hidung.

PINTU KEJAYAAN 2 : 
INSTITUT KEMAHIRAN

Satu lagi cara untuk membina arah haluan masa hadapan adalah dengan melanjutkan pelajaran di pelbagai institut kemahiran. Kerajaan yang prihatin telah menubuhkan pelbagai institut kemahiran seperti Politeknik, Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian, dan sebagainya. Ibu bapa dan pelajar jangan salah tanggapan tentang kemasukan ke institut kemahiran. Pelajar yang melihat masa depan akan memilih institut kemahiran kerana peluang untuk mendapat pekerjaan amat tinggi. Jika kita berminat dalam bidang bakeri, tamat Tingkatan 5 kita terus belajar pelbagai kemahiran berkaitan dengan pembuatan roti. Insyallah, jika kita ada kesungguhan, kita akan menjadi usahawan roti yang berjaya. Pendapatan bulanan mungkin lebih tinggi daripada kawan kita yang menjadi guru, doktor, atau peguam. Pelbagai kursus ditawarkan di institut kemahiran di negara. Kebanyakan kursus yang disediakan mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran.

Dari manakah datangnya pereka fesyen terkenal? Dari manakah datangnya chef terkemuka? Dari manakah asalnya pereka grafik tersohor? Kebanyakan mereka bermula di institut kemahiran. Orang yang berfikir di luar kotak akan memilih jalan hidup yang terbaik dan sesuai dengan jiwa mereka. Jika kita mahu menjadi mekanik, mengapa perlu bersusah payah, teruskan pengajian di institut kemahiran. Belajarlah rajin-rajin semasa menuntut. Saya percaya, anda tidak akan gagal bersaing untuk mendapatkan kerja. Majikan pula lebih suka mengambil pekerja yang ada kemahiran kerana mereka tidak perlu memberikan tunjuk ajar malah pekerja yang berkemahiran ini akan membawa keuntungan berganda kepada syarikat. Mereka mampu berinovasi untuk menambahbaik kualiti produk dan perkhidmatan. Jangan pandang remeh pelajar yang belajar dalam bidang kemahiran. Mereka mampu meraih pendapatan lebih tinggi daripada orang lain. 

PINTU KEJAYAAN 3 : 
KOLEJ MATRIKULASI

Program matrikulasi merupakan satu program persediaan prauniversiti bagi lepasan SPM (90% Bumiputera) untuk melanjutkan pelajaran sebelum ke peringkat Ijazah Pertama di universiti ataupun kolej universiti. Objektif Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang berwawasan, berakhlak mulia, berilmu dan berketrampilan demi memenuhi keperluan sumber tenaga manusia untuk kemajuan negara.   Matrikulasi tidak menganugerahkan sijil sebagaimana STPM dan DIPLOMA. Yang diberi nanti adalah slip peperiksaan. Slip ini tidak laku untuk mencari pekerjaan. Ia khas untuk kelayakan ke universiti dalam bidang bidang yang kita pilih kelak. Sijil STPM dan DIPLOMA laku untuk mencari pekerjaan. Walau bagaimanapun, perkara ini bukanlah halangan utama kerana jika kita belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan cemerlang, peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati terbentang luas. Jika gagal, itu lain cerita. Belajar di mana-manapun, jika kita malas belajar, kita tetap akan gagal. Peluang yang ada itu kita tutup sendiri.

Matrikulasi mempunyai 3 kos. Kos Sains Hayat, Kos Sains Fizikal dan Kos Akaun. Pelajaran teras Kos Sains Hayat: Biologi, Matematik dan Kimia. Pelajaran teras Kos Sains Fizikal: Fizik, Matematik dan Kimia. Pelajaran Kos Akaun: Matematik, Akaun, dan Ekonomi. Kebanyakan kos memerlukan pelajar aliran sains kecuali kos akaun. Matrikulasi mempunyai pembelajaran kuliah dan kelas tutorial. Kuliah adalah waktu pembelajaran topik yang baru. Kelas tutorial adalah waktu mengukuhkan pemahaman pembelajaran di kuliah tadi melalui buku latihan atau soalan dari pensyarah. Pada masa yang sama, setiap minggu ada kelas kokurikulum. Yang pasti, masa di matrikulasi adalah padat. Anda perlu mengejar masa untuk mengulangkaji. Markah dikira dalam bentuk Gred PNGK. Gred yang paling tinggi adalah 4 PNGK. PNGK dikira berdasarkan markah 0%-100% bagi setiap pelajaran (sama seperti sekolah). Cuma keputusan rasmi matrikulasi dalam bentuk PNGK.

PINTU KEJAYAAN 4 : 
KOLEJ SWASTA

Perkembangan pesat dunia pendidikan di Malaysia mendorong banyak pihak berkolaboratif dengan pihak luar untuk membolehkan pihak swasta membuka kolej dan universiti di Malaysia. Bagi golongan yang berkemampuan, kolej-kolej swasta menjadi pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM. Mereka lebih mementingkan keselesaan dan kebajikan pelajar dengan mengenakan sejumlah bayaran bagi setiap semester. Tidak salah melanjutkan pelajaran di kolej-kolej swasta kerana objektifnya tetap sama iaitu ingin melahirkan generasi berilmu yang bakal menjadi sumber tenaga mahir di negara kita. Walau bagaimanapun, ibu bapa dan pelajar perlu mengkaji latar belakang kolej tersebut dan kursus-kursus yang ditawarkan. Jangan sampai belajar separuh jalan kemudian berhenti kerana indah khabar dari rupa. Pilihlah kolej-kolej ternama yang sudah bertapak kukuh di Malaysia. Kini, pelajar yang belajar di kolej swasta pun boleh membuat pinjaman PTPTN untuk membiayai kos pengajian dan sara hidup sepanjang pengajian.

PINTU KEJAYAAN 5 :
INSTITUT PERGURUAN

Sejak akhir-akhir ini jumlah permohonan memasuki Institut Perguruan semakin meningkat. Ibu bapa mula melihat kerjaya perguruan merupakan pilihan terbaik untuk anak-anak mereka. Walaupun segelintir ibu bapa selalu memandang rendah terhadap kerjaya perguruan tetapi masih ramai yang mahu anak mereka menjadi guru selepas SPM. Walau bagaimanapun, laluan ini bukan mudah kerana persaingan untuk mendapat tempat amatlah tinggi. Di samping keputusan peperiksaan yang cemerlang, pelbagai faktor lain juga diambil kira kerana kerajaan mahu melahirkan warga guru yang berdedikasi dan berkeperbadian mulia. Namun begitu, tidak salah untuk mencuba jika betul-betul berminat menjadi guru. Jika memilih kerjaya ini, hati mesti ikhlas dan jujur untuk berbakti kepada nusa dan bangsa. Kita harus rela ditempatkan di mana-mana kerana lokasi guru bertugas berbeza-beza di seluruh negara. Jangan jadi guru hanya kerana gaji yang ditawarkan agak tinggi. Jangan jadi guru jika hanya berangan-angan mendapatkan elaun susah hidup mengajar di kawasan pedalaman, takut hanyalah menuai dosa kerana gagal menunaikan amanah dengan bijaksana. 

PINTU KEJAYAAN 6
POLIS, KASTAM,DAN TENTERA

Saya juga melihat kian ramai anak-anak muda yang berminat menjadi pegawai polis, tentera dan kastam selepas SPM. Ketiga-tiga kerjaya ini pun baik dan sesuai jika minat dan keinginan tinggi untuk berkhidmat. Yang penting, peluang pekerjaan itu telah tersedia. Jika berminat bertanyalah kepada mereka yang sudah menceburi kerjaya sebegini. Mereka amat senang dijumpai. Mereka ada di sekeliling kita. Mereka amat dekat dengan kita. Jangan ambil keputusan terburu-buru. 

PINTU KEJAYAAN 7
KOLEJ KEJURURAWATAN

Kerjaya dalam bidang ini merupakan kerjaya yang mulia kerana begitu rapat dengan masyarakat. Ramai pelajar SPM yang memohon untuk mengikuti latihan kejururawatan di pelbagai kolej kejururawatan yang ada di negara kita baik awam mahupun swasta. Walau bagaimanapun, pencapaian dalam subjek Sains dan Matematik hendaklah cemerlang. 

ARAH MANA HARUS KU TUJU? 

Jalan hidup kita biar kita yang tentukan. Kita tidak boleh terpengaruh dengan cakap-cakap orang. Kita harus mengkaji dan melihat kebolehan dan kemampuan diri. Jangan menyusahkan banyak pihak semata-mata untuk mendapatkan sekeping sijil atau diploma selepas menamatkan pengajian di peringkat SPM. Jangan tanya orang apa yang terbaik untuk kita, sebaliknya tanyalah diri kita sendiri. Apakah yang kita ingin capai dalam hidup ini? Apakah pekerjaan yang kita hendak lakukan? Berapakah gaji yang kita mahu? Sekiranya kita asyik mengikut orang lain, kita tidak akan maju ke hadapan. Mengapakah kita memerlukan orang lain mengatur hidup kita? Jika hati kita ingin meneruskan pengajian di Tingkatan Enam, tetapkan laluan di situ. Bina strategi untuk mara ke hadapan. Jangan terganggu dengan pelbagai hasutan luar yang boleh melemahkan semangat kita. Umur masih muda, pilihlah yang terbaik untuk diri sendiri. Jangan terlalu memikirkan soal mahu bekerja selepas SPM. Jangan tanya saya kenapa, tanyalah mereka yang pernah mengalaminya. Anda akan dapat jawapannya!


Hang pi mana selepas SPM? Pertanyaan ini harus dijawab dengan rasa tanggungjawab terhadap diri, keluarga, bangsa, dan negara. SPM merupakan pintu masa hadapan semua pelajar. Inilah satu-satunya peluang untuk kita membuktikan kepada orang lain bahawa jalan yang kita pilih itu tidak salah. Yang penting, tengok cermin. Lihatlah diri anda? Jangan ada wajah orang lain muncul di kaca yang anda lihat itu kerana jika anda tidak nampak wajah anda sendiri, anda merupakan insan yang paling malang di dunia ini. Manusia yang berjaya dalam hidup merupakan manusia yang tahu siapakah dirinya yang sebenar. 

Saya menyeru semua ibu bapa agar bijaksana dalam menentukan hala tuju anak selepas SPM. Datanglah ke sekolah. Mohon nasihat daripada pihak Bimbingan dan Kaunseling. Mereka boleh membantu. Kadang-kadang guru di sekolah lebih memahami hati dan perasaan anak-anak kita lebih banyak daripada kita yang melahirkannya. Turunkan darjah keegoan. Lenyapkan rasa bongkak dalam jiwa. Yang kita mahukan, anak-anak tidak tersalah haluan selepas SPM. Saya akan berasa amat berdukacita apabila ada pelajar lepasan SPM yang menjadi biawak hidup di rumah. Sekolah tidak, kerja pun tidak. Hidup disara oleh ibu bapa. Kalau ibu bapa orang berada, tidaklah mengapa. Kalau ibu bapa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, alangkah malunya kita menjadi anak sebegitu!

Jangan terlalu memilih sehingga kita tersalah pilih. Ingatlah, apa pun kerjaya yang kita ceburi suatu masa nanti jika kita ikhlas, jujur, dan amanah melakukannya Tuhan pasti akan merahmati kita. Rezeki kita akan bertambah. Hidup kita akan bahagia. Kita tidak menghadapi masalah rumahtangga. Anak-anak kita semua berjaya. Kesihatan kita terpelihara. Jangan ingat orang yang bergaji tinggi itu senang. Gaji berpuluh-puluh ribu tetapi masalah datang bagai hujan mencurah ke bumi. Puncanya sebab kita tidak amanah, jujur, dan ikhlas melakukan kerja. Itulah senario kehidupan. Inilah hakikat yang tersurat dalam putaran hidup setiap insan. 

Cetusan Idea
Cikgu Zulkarnain Farihin