JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



25 Mac 2011

HASIL KARYAKU : BEGINILAH NASIBKU


Aduhai, susahnya hidup seorang guru
tiap-tiap hari diselimuti tekanan berguni-guni
tiap-tiap hari mendengar leteran
tiap-tiap hari mendengar kritikan
tiap-tiap hari menerima tugas dengan paksaan

Apabila keluar keputusan peperiksaan awam
andai peratusan naik sehingga mencecah langit
andai bilangan pelajar A+ berlonggok-longgok
guru akan dihujani puji
sehingga tidak mampu bernafas
kegembiraan menyesak sampai ke hujung jiwa nan dalam
dialah guru terbaik
dialah guru terhandal
dialah guru termasyhur

Andai peratusan menjunam ke dasar Segitiga Bermuda
bilangan A+ sekadar ada dalam tiada
guru akan dihambur dengan pelbagai tuduhan
peluru menyalah mulai menghujan
sampai nak tidur malam pun rasa terancam
telinga tak tahan dengan ribuan pertanyaan
kenapa merosot keputusan
apa dibuat, apa dilakukan
apa diajar, apa diberikan
disemak kerja tiada pembetulan

Aneh dan pelik
guru yang sama
sekejap dipuji, sekejap dimaki
sekejap dia dikata baik, sekejap dikata teruk
wahal dialah dia
tidak pernah bertukar wajah
tidak pernah bertukar nama
dulu dia, kini pun dia
dulu dia tidak mampu membela diri
sekarang pun masih sama
kerana dirinya dihakimi
oleh orang di sekelilinginya

Nukilan
Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart
96000 Sibu, Sarawak

25 Mac 2011-03-25
9.09 malam 

ISU ANTARABANGSA : AMBIL KESEMPATAN DI BUMI BERGOLAK


Tatkala kesengsaraan dihadapi rakyat Jepun yang dilanda ombak besar tsunami dan gempa bumi masih segar dalam ingatan masyarakat dunia, masyarakat antarabangsa dikejutkan pula dengan petaka baru iaitu peperangan di Libya. Amerika Syarikat (AS) dengan gelaran 'Polis Dunia' bersama sekutunya melancarkan serangan bertali arus ke atas Libya dalam usaha menjatuhkan Presidennya, Muammar Gaddafi. Senario tersebut bukanlah kali pertama menyaksikan Polis Dunia itu bertindak sebagai 'pengaman' dalam usaha memastikan keamanan dunia dan negara diserang hidup bebas daripada pemerintah kuku besi. Antara beberapa negara lain yang pernah menyaksikan AS dan sekutunya bertindak sebagai Polis Dunia termasuklah Jepun, Vietnam, Afghanistan, Iraq dan banyak lagi. Serangan ke atas Libya mula dilakukan pada 18 Mac lalu, selepas Polis Dunia mendapat tiket daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sokongan Liga Arab yang meluluskan resolusi tindakan ketenteraan bagi menghalang Gaddafi membunuh rakyatnya yang memberontak. Resolusi yang diluluskan dengan sokongan AS, Perancis dan Britain itu turut membabitkan penguatkuasaan zon larangan terbang ke atas Libya dan membenarkan penggunaan tentera darat bagi melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi. AS dan sekutunya berjaya menjatuhkan dan membunuh Presiden Saddam dalam serangan pada tahun 2003.

Perbelanjaan perang AS

Campur tangan Barat terbesar di dunia Arab sejak serangan AS dan sekutunya ke atas Iraq pada 2003 itu telah mengakibatkan Libya dibedil secara besar-besaran melalui laut dan udara untuk melumpuhkan pentadbiran Gaddafi. Bagaimanapun, kerakusan tentera bersekutu dalam menyerang Libya terutama AS bakal menyaksikan operasi serangan mencecah sehingga berbilion ringgit dan memerlukan Pentagon memohon dana kecemasan daripada Kongres. Pada hari pertama Operasi Odyssey Dawn, AS membelanjakan lebih AS$100 juta (RM303 juta) hanya untuk peluru berpandu yang dilancarkan di Libya. Tentera AS yang mengetuai serangan tersebut turut mengepam jutaan ringgit lagi untuk melumpuhkan tapak pertahanan udara dan darat di pesisir pantai Libya. Jurucakap Pentagon bagaimanapun menjelaskan, mereka tidak boleh menganggarkan kos secara rasmi sehingga kini. Pentadbiran Barack Obama mengatakan operasi yang dilancarkan di Libya menggunakan peruntukan sedia ada iaitu peruntukan perbelanjaan peperangan AS$150 juta (RM454 juta). 

"Kami tidak bercadang memohon peruntukan tambahan buat masa ini," kata jurucakap Pejabat Pengurusan dan Belanjawan, Kenneth Baer. Bagaimanapun, Pentagon mungkin terpaksa meminta Kongres untuk menambah peruntukan kewangan mereka satu masa nanti. Beberapa penggubal undang-undang juga berpendapat, AS tidak mampu untuk campur tangan di Libya. "Bukan sahaja serangan ketenteraan di Libya tidak mendapat kelulusan Kongres seperti mana termaktub dalam perlembagaan AS tetapi, melibatkan kos yang tinggi," kata ahli Kongres Parti Republikan yang mewakili negeri Michigan, Justin Amash. "Kita tidak perlu membazir wang yang sememangnya tiada untuk sesuatu peperangan tidak diperlukan," katanya. Sementara itu, Penganalisis Kanan Pusat Strategik dan Taksiran Belanjawan, Zack Cooper, berkata, perbelanjaan penguatkuasaan zon larangan terbang sahaja boleh mencecah sehingga AS$800 juta dan AS$100 juta (RM302 juta) lagi untuk mengekalkannya. "Kos semakin meningkat. Harga bagi menggantikan jet pejuang yang terhempas Selasa lalu dengan model terbaru lebih canggih boleh mencecah sehingga jutaan ringgit. "Bahkan, harga bahan api setiap kali jet pejuang ke udara menelan kos sebanyak AS$10,000 (RM30,280) bagi setiap jam penerbangan," kata Cooper.

Askar AS di bumi asing

Menyingkap kembali sejarah negara kuasa besar yang bertindak sebagai Polis Dunia, dahulunya tugas tersebut lebih dahulu dipimpin Britain yang mengepalai Kuasa Berikat yang turut dianggotai Perancis, Rusia, China dan Amerika Syarikat. Bahkan, semasa Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, pada asalnya AS mahu kekal sebagai negara neutral. Hanya dalam Perang Dunia Kedua yang tercetus pada 1939, AS mula melibatkan diri secara aktif Kuasa Berikat untuk berperang dengan Kuasa Paksi yang terdiri daripada Jerman, Jepun dan Itali. Perang Dunia Kedua menjadi antara peperangan yang paling memakan belanja paling tinggi kepada AS. Pada tahun 1942, AS menghantar jutaan anggota tentera dan ribuan pesawat perang dan kereta kebal ke Britain. 

Bagaimanapun, dua peristiwa yang tidak mungkin dilupakan sejarah, apabila tindakan Jepun membedil Pearl Harbor, membangkitkan kemarahan AS yang kemudian membalas dengan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki. Taring AS sebagai Polis Dunia selepas itu semakin menjadi-jadi. Antara peperangan besar yang diketuai AS di bumi asing termasuklah dalam Perang Vietnam yang berlangsung di antara tahun 1957 hingga 1975. Meskipun tidak mendapat sokongan sekutu rapatnya Britain, AS tetap melancarkan serangan ke bumi Vietnam pada tahun 1957. Dalam peperangan itu, AS mengetuai negara lain seperti Australia, New Zealand, Thailand, Korea Selatan dan Filipina. Menariknya, sekutu AS, Britain dan Kanada menolak untuk bersama dalam perang tersebut. Selepas lebih 57,000 orang terbunuh AS dan sekutunya keluar dari Vietnam pada tahun 1973 tanpa kemenangan yang jelas. Ia antara perang yang telah memalukan AS di mata antarabangsa. Konflik Perang Teluk pada tahun 1990 menyaksikan penglibatan besar-besaran AS apabila mengepalai 34 buah negara untuk berperang dengan Iraq. Ketika itu, dunia mahu menyelamatkan Kuwait yang diserang pasukan Iraq. Beberapa tahun selepas itu, kemarahan AS nampaknya tidak surut ke atas Iraq atau lebih tepat lagi Presidennya, Saddam Hussein. Menggempur Iraq buat kali kedua pada tahun 2003, AS bukan sahaja berjaya menumbangkan Saddam bahkan, menamatkan riwayat presiden itu. Yang pasti, dengan rekod 'cemerlang' AS sebagai Polis Dunia, nampaknya negara itu akan terus angkuh memikul tanggungjawab itu. Persoalannya, sejauh manakah ikhlasnya AS sebagai Polis Dunia?

HARIAN KOSMO

ISU TENAGA KERJA ASING : MALAYSIA KEKURANGAN TENAGA KERJA BERKEMAHIRAN TINGGI


Kerajaan terpaksa menggaji warga asing berkepakaran atau pegawai pedagang dari luar kerana ketika ini negara kekurangan tenaga kerja berkenaan. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, pada masa ini Malaysia hanya mempunyai 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi iaitu jauh lebih rendah berbanding Singapura dan Hong Kong iaitu 40 peratus manakala Eropah sudah sampai ke tahap 70 hingga 80 peratus. Kerajaan sedang berusaha memastikan menjelang 2020 tenaga kerja mahir di negara ini akan ditingkatkan kepada 40 peratus.  Maznah berkata, langkah kerajaan membawa masuk pegawai pedagang itu adalah untuk menampung kekosongan jawatan yang tidak berupaya diisi oleh rakyat tempatan sedangkan kewujudan industri-industri baru serta teknologi yang semakin berkembang pesat menuntut khidmat golongan itu.


Bagaimanapun jelasnya, pertimbangan bagi menggaji pekerja asing berkepakaran hanya dibuat bagi jawatan utama iaitu di peringkat membuat dasar dan keputusan bagi menjamin kepentingan pelaburan mereka dan di peringkat teknikal serta berkemahiran bagi memenuhi keperluan-keperluan tertentu. Katanya, kementerian bagaimanapun menetapkan syarat supaya gaji minimum pegawai pedagang tidak boleh kurang daripada RM5,000 sebulan bagi mengelak majikan sewenang-wenangnya menggaji pegawai dagang asing. Katanya, permohonan pengambilan mereka perlu dibuat kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan diproses oleh badan-badan berkuasa berkenaan sebelum dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pegawai Dagang (JKPD) yang diselia Jabatan Imigresen dan Kementerian Sumber Manusia adalah anggotanya. Maznah memberitahu, sehingga 21 Januari 2011, bilangan pegawai dagang di negara ini adalah seramai 32,999 orang atau tiga peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia.

SIDANG DEWAN RAKYAT
24 MAC 2011

ISU WANITA : 55 PERATUS TENAGA KERJA WANITA MENJELANG 2015


Kementerian Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga meletakkan sasaran 55 peratus pembabitan wanita dalam sektor kerajaan dan swasta menjelang 2015. Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sasaran itu merupakan pelan strategik yang telah diletakkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh sebagai usaha menjayakan transformasi kerajaan dalam Model Ekonomi Baru (MEB). Jelasnya, kerajaan berhasrat untuk melihat peningkatan tenaga kerja wanita dalam semua bidang pekerjaan memandangkan mereka mempunyai potensi dan bakat yang tidak boleh diketepikan. Justeru, amat penting untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang lebih mesra dan selamat kepada wanita untuk meningkatkan produktiviti negara. Malah, kerajaan turut mempertimbangkan untuk melaksanakan akta gangguan seksual dalam masa terdekat untuk memberi perlindungan sama ada ke atas kaum wanita atau lelaki Namun, ia masih di fasa terakhir kajian dan masih ada perkara yang perlu diteliti supaya dapat memberi keadilan kepada kedua-dua pihak membabitkan pekerja dan majikan.

DATUK SERI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
Hari Wanita peringkat Telekom Malaysia Bhd. (TM)
24 MAC 2011

ISU PERGURUAN : USAH CEPAT BUAT ANDAIAN?


Barangkali, imej sistem pendidikan negara kian tercalar apabila pelbagai insiden memalukan dan memualkan sering terpampang di media massa. Dulu salah laku pelajar menjadi tajuk berita, kini guru pula seolah-olah mengambil tempat dengan kesalahan dan perlakuan tidak masuk akal. Lebih memalukan apabila golongan dihormati dan disanjung itu terbabit pula dengan perbuatan mencemarkan maruah. Pastinya senario itu mengundang kemusykilan masyarakat, apakah yang sedang melanda institusi pendidikan negara hari ini hingga golongan guru hilang pertimbangan? Adakah perlakuan itu disebabkan tekanan kerja yang semakin bertambah hingga mereka 'terlanjur' perbuatan? Apakah mereka sememangnya 'gatal' dan mengambil kesempatan atau masyarakat hanya memperbesar-besarkan hal kecil yang boleh ditangani tanpa pembabitan orang luar?

Kaunselor pakar, perunding dan pakar motivasi, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata jangan terburu-buru membuat andaian kepada guru bermasalah tanpa menimbangkan kemungkinan dan faktor hingga tercetusnya insiden. Menurutnya, sikap masyarakat yang mudah mengambil tindakan dan melemparkan pandangan negatif hanya memburukkan keadaan selain menimbulkan ketegangan hingga menjejaskan maruah atau masa depan guru terbabit. "Belum tentu mereka bersalah biarpun tindakan sudah diambil. Inilah sikap buruk masyarakat kita yang mudah sangat meletakkan kesalahan tanpa usul periksa sekali gus mencalarkan nama baik sekolah, pelajar serta peribadi individu. "Tindakan terburu-buru tidak profesional dalam menangani masalah malah menjadikannya sebagai tindakan pasif bagi individu lain.

Justeru sebelum mengambil keputusan, penilaian menyeluruh perlu dilakukan supaya pihak lain tidak teraniaya," katanya. Sejak akhir-akhir ini, media massa melaporkan masalah perlakuan guru yang dianggap bermasalah dan tidak sesuai dengan norma masyarakat hingga mencetuskan kebimbangan semua pihak.  Antaranya perlakuan guru yang suka menyentuh fizikal pelajar berlainan gender dengan menggunakan 'hukuman' sebagai alasan menghalalkan perbuatan. Ada juga menyentuh dengan alasan kasih sayang biarpun tidak perlu. Beliau berkata bagi mengelakkan kekeliruan, sama ada pelajar atau guru perlu tahu menggunakan hak masing-masing bukan menyalahgunakannya bagi tujuan tertentu. "Selalunya insiden berlaku kerana pelajar berasakan hak peribadi dicabuli sementara guru beranggapan itu hak mereka untuk mendisiplinkan pelajar. Bila wujud kekeliruan, sudah tentu tercetusnya masalah.

"Sewajarnya kedua-dua pihak tahu batas-batas boleh digunakan bagi mengelakkan kontroversi. Sudah termaktub hanya atas sebab tertentu saja seseorang itu boleh disentuh, contohnya atas tujuan perubatan atau rawatan oleh mereka yang bertauliah seperti doktor.  "Jika semua pihak jelas mengenainya, sudah pasti tidak timbul isu begini. Sangat malang apabila guru dan pelajar terpaksa bertelingkah atau 'berperang' hanya kerana perkara boleh dielakkan," katanya. Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada guru suka mengambil kesempatan namun menganggapnya ia hanya kes terpencil. Guru terbabit katanya perlu mendapatkan rawatan psikologi bagi mengesan masalah supaya tidak bertambah kronik. "Tidak dinafikan, ada guru suka menyentuh pelajar dan ini memang salah. Guru ini sebenarnya mungkin mengalami masalah emosi namun tidak mampu dikesan dengan mata kasar dan tekanan itu diterjemahkan dengan perlakuan.

"Guru berkenaan tidak rasa bersalah namun pelajar pula menjadi mangsa. Jika ini berlaku, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tertentu supaya keadaan tidak bertambah melarat. "Namun sebaiknya, biarlah hanya mereka yang terbabit saja mengetahui perkara ini supaya tidak memalukan mana - mana pihak. Yang dikesali apabila guru bermasalah, ia seperti diheboh-hebohkan hingga menjadi isu nasional sekali gus menyukarkan usaha sekolah menanganinya," katanya. Ditanya mengenai kaedah terbaik, beliau berkata sama ada guru, pelajar mahupun sekolah perlu menjadi erat dan saling menyayangi selain semua pihak perlu merendahkan ego masing -masing. Menurutnya, pertikaian yang berlaku hari ini disebabkan tiadanya elemen positif seperti kasih sayang, menghormati dan menghargai di kalangan warga sekolah hingga mencetuskan situasi 'hanya kau-aku'.

"Apabila elemen positif tidak dimasukkan dalam perhubungan, sudah tentu mereka semakin renggang. Guru hanya menjalankan tanggungjawabnya mengajar, pelajar pula menerima sementara sekolah asyik berkira mengenai pencapaian kecemerlangan hingga terlupa keperluan kasih sayang. "Ini menjadikan setiap golongan hanya tertumpu pada komuniti tertentu saja sedangkan sekolah boleh diibaratkan sebagai keluarga besar yang boleh berkongsi susah senang. Jalinan kemesraan dan kasih sayang perlu disemai mengikut batas ditetapkan," katanya. "Pelajar juga perlu tahu status dan pandai menjaga diri. Jika betul guru bersalah dan perlu diambil tindakan, lakukanlah mengikut pertimbangan akal bukan emosi semata-mata. Semua pihak ada hak yang perlu dipertahankan," katanya.


Oleh Ruhaiza Rusmin
HARIAN METRO

ISU UMUM : KERJASAMA ASEAN TIDAK SEKUKUH KESATUAN EROPAH

Oleh Dr Zaini Ujang
BERITA HARIAN
25 MAC 2011


Dalam konteks serantau di kalangan negara Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama ilmiah masih pada tahap lama. Setiap negara khususnya pada peringkat kerajaan dan institusi ilmu mempunyai sebab untuk bersikap berhati-hati dengan apa saja inisiatif yang dikemukakan.  Tidak salah jika disebut bahawa kerjasama kesarjanaan masih belum menyerlah, khususnya membabitkan strategi inovasi serantau dan mekanisme pembiayaan. Hal ini jauh bezanya berbanding dengan anggota Kesatuan Eropah (EU) menerusi kerjasama akademik, penyelidikan dan jaringan kesarjanaan. Malah, pada hemat saya, beberapa negara di rantau Asia Tenggara lebih akrab dan biasa dengan kerangka Kesatuan Eropah. Secara peribadi, saya terbabit dalam satu program penyelidikan membabitkan tujuh universiti di Eropah, termasuk Oxford dan Wageningen, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Teknologi Surabaya (ITS), Indonesia sejak 2004.

Apabila pembiayaan kewangan Kesatuan Eropah tamat pada akhir 2009, kami menghadapi cabaran untuk mendapat pembiayaan bagi melanjutkan program berkenaan pada peringkat serantau. Agak aneh tetapi itu hakikatnya, bahawa jaringan ilmiah di Asia Tenggara ditaja Kesatuan Eropah. Hal ini berlaku kerana kerangka lama masih tebal dalam minda kita bahawa persaingan dengan negara jiran perlu diperhebatkan. Kita juga masih beranggapan bahawa jiran perlu dilayani secara berhemah tetapi jangan sampai terlalu pasrah sehingga segalanya dimaklumi jiran. Jika ada kepakaran atau pengetahuan maka kita pendamkan dan jika perlu hanya berkongsi dengan pihak tertentu yang pasti bukan di kalangan jiran tetangga. Hal ini lebih ketara dari segi pengajian strategik, pembangunan ekonomi dan pertumbuhan teknologi termaju. Realitinya persekitaran dunia sudah jauh berubah. Dengan adanya globalisasi, maka peranan kita tidak terbatas kepada sempadan negara saja.

Kita perlu meneroka peluang di serata dunia, terutamanya negara jiran. Dengan adanya konsep inovasi terbuka maka sumber ilmu dan kepakaran perlu diperoleh di segala peringkat dari seluruh dimensi, terutama di kalangan jiran tetangga. Itu kekuatan negara maju khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang ketika ini adalah wadah paling subur dari segi inovasi dan perkembangan ilmu. Hal ini diperteguhkan menerusi konsep memanfaatkan jiran adalah satu keutamaan paling mudah dilaksanakan. Ini mendorong UTM dan beberapa universiti awam tempatan mengusulkan penubuhan Forum Cendikiawan Malaysia-Indonesia pada akhir tahun lalu. Forum yang mendapat dukungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah susulan beberapa pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. Menerusi forum itu, kita berharap lebih banyak inisiatif serantau dilaksanakan sekurang-kurangnya antara Malaysia dan Indonesia terlebih dulu.

Matlamatnya ialah membentuk sinergi di kalangan sarjana, penyelidik dan pemikir di rantau ini sebagaimana kerangka yang wujud di negara EU. Selain bersama melaksana misi kesarjanaan, kita juga berharap hubungan setiakawan dan jaringan produktif dapat diperteguhkan dalam konteks keamanan, kemajuan dan kelestarian serantau. Kemuncaknya kita berharap lebih banyak penjanaan nilai, inovasi, penemuan ilmiah, harta intelek, gagasan besar dan penghayatan ilmu pada tahap tertinggi disuburkan di rantau ASEAN sebagaimana Lembah Silikon atau persisiran Charles River di Boston dalam konteks model ekonomi baru. Usaha ini pada tahap tertentu memang sudah lama berjalan antara Malaysia dan Indonesia. Malangnya, usaha ini tidak dinukilkan dalam konteks gagasan serantau dan kenegaraan, sebaliknya terhad kepada beberapa bidang seperti persuratan dan sastera menerusi Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan kerabatnya di Indonesia.

Ketika ini lebih 1,000 mahasiswa Indonesia belajar peringkat ijazah lanjutan di beberapa universiti awam menerusi dana penyelidikan ditaja kerajaan Malaysia, sama ada geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atau geran Universiti Penyelidikan. Pada masa sama, ribuan mahasiswa Indonesia mengunjungi universiti di Malaysia setiap tahun dalam rangka program pertukaran akademik. Dalam konteks UTM misalnya, Indonesia adalah destinasi utama sejak 2009 menerusi Global Outreach Program (GOP). Pada tahun ini saja, daripada 5,000 peserta, lebih 1,500 mahasiswa UTM dijangka mengunjungi pelbagai universiti di Indonesia.  Di kalangan ahli akademik, usaha sama dalam program ijazah kedoktoran (PhD) bermula pada 2010 lagi.

Ini membabitkan mahasiswa dari dua negara menerusi penyeliaan bersama oleh sekumpulan profesor dari dua universiti di Indonesia dan Malaysia. Ini bermakna pengalaman mengendalikan penyelidikan seorang mahasiswa PhD dapat dikongsi bersama oleh dua institusi ilmu dari dua negara dari segi pengalaman menyelia, melaksana kajian, penulisan ilmiah dalam jurnal berimpak tinggi dan reputasi. Namun, tanpa hebahan barangkali perkembangan positif ini akan luput dalam lipatan sejarah, atau tidak dihargai. Maka itu sebabnya pada majlis Konvokesyen ke-46 pada 26 Mac ini, Senat UTM bersetuju untuk menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Menteri Pendidikan Indonesia (sejak 2009), Bapak Prof Dr Ir Muhammad Nuh.