JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 November 2010

ISU SOSIAL : TERAPKAN KEMAHIRAN HIDUP KEPADA ANAK-ANAK


Seandainya wujud tiga keadaan di pejabat yang mana seorang pekerja itu memiliki kelulusan tinggi dan cemerlang, tetapi apabila dia bercakap atau mengeluarkan arahan, ia membuatkan orang lain sakit hati. Kedua, seorang pekerja berpendidikan dan kemahiran tinggi, dia hanya tahu melaksanakan tugasnya dengan baik dan sering mendapat pujian dan bonus daripada majikannya. Bagaimanapun, dia kurang kebolehan bersosial. Ketiga, seorang pekerja mempunyai pendidikan dan sikap yang amat baik. Dia memiliki kemahuan belajar dan mencuba yang begitu tinggi dan mesra dengan semua orang yang bekerja dengannya. Di antara ketiga-tiga keadaan itu, yang mana satukah kita mahu wujudkan dalam pejabat atau masyarakat kita? Sudah tentu kita menginginkan keadaan ketiga iaitu seorang insan yang baik, berpandangan positif, mahu belajar, tidak sombong dan terbuka.

Kajian yang dibuat oleh sebuah universiti terkemuka dunia, Harvard Business School mendapati kepintaran ilmu dan kemahiran hanya menyumbang kepada 10 hingga 25 peratus kejayaan sebuah institusi perniagaan. Ini bermaksud sebanyak 80 peratus kejayaan syarikat atau institusi bergantung kepada sikap pekerja yang menganggotainya. Apa yang membezakan diri kita dengan orang lain adalah sikap. Perbezaan ketara orang-orang yang berjaya bukan sepenuhnya datang daripada pendidikan tinggi yang dimilikinya, tetapi sikap yang ada pada dirinya. Cuba kita ambil contoh ahli perniagaan berjaya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Tan Sri Datuk Loh Boon Siew. Mereka bukannya berpendidikan tinggi sehingga memperoleh ijazah Doktor Falsafah, tetapi kejayaan yang mereka capai amat sukar ditandingi.

Mengapa? Jawapannya adalah ‘sikap’. Sikap penentu segala-galanya kerana di dalam sikap yang mulia itu, wujud keyakinan dan kemahuan yang amat tinggi. Sikap inilah yang perlu dibentuk, bukannya kelulusan akademik semata-mata. Sekiranya hanya kelulusan akademik dan kemahiran diberi perhatian sepenuhnya dalam membentuk generasi baru, suatu hari nanti banyak penyakit sosial yang kronik akan timbul. Maka akan lahirlah generasi pekerja yang hanya fizikalnya hadir di pejabat tetapi tidak hati nuraninya. Ini kerana hidupnya hanya semata-mata untuk keadaan dan suasana pekerjaan yang dipimpin oleh majikan atau orang-orang yang tidak memiliki sikap yang mulia. Tidak dinafikan pendidikan itu penting kerana menerusi pendidikan, lahir kemahiran. Mauduk pendidikan subjektif sifatnya, manakala memperoleh ilmu itu sifatnya berterusan. Ini kerana proses menimba ilmu boleh berlaku melalui pembacaan, pemerhatian, perasaan, pemikiran dan sebagainya.

Bagaimanapun, penekanan terhadap pendidikan seperti di sekolah hari ini yang begitu kaku akan menyebabkan generasi masa depan hilang kemahiran hidup yang diperlukan. Kehidupan bertunjangkan ‘robot’ yang tidak ada perasaan menyebabkan perkara yang senang disusahkan dan perkara yang susah bertambah sukar sehingga timbul tekanan psikologi dan hidup. Justeru, berlakulah satu keadaan yang pernah diutarakan oleh pemikir ulung, Jacque Rousseau bahawa ‘kemodenan membuat kehidupan kita bertambah mundur’. San Francisco di California, Amerika Syarikat terkenal dengan The Golden Gate Bridge yang panjang dan tinggi. Namun dengan kemodenan hidup, jambatan ini jugalah menjadi tempat popular untuk orang-orang yang mengalami tekanan jiwa terjun membunuh diri. Mengapa ini berlaku dalam sebuah negara yang maju, moden dan masyarakatnya ‘terdidik’?

Hakikatnya, ramai yang menjadi mangsa tekanan hidup akibat kemodenan dan kekayaan yang menghimpit kehidupan. Corak kehidupan sebegini sudah menampakkan kelibatnya di negara-negara Asia seperti Jepun, Singapura dan China. Apakah kita mahu rakyat Malaysia berhadapan dengan corak hidup sebegini? Inilah akibatnya jika umat manusia diukur atau dibentuk berlandaskan pencapaian merit akademik semata-mata sehingga menyebabkan mereka bergantung pada satu kemahiran dan kebolehan sahaja. Media arus perdana juga ada peranan yang perlu dimainkan. Setiap kali keputusan peperiksaan utama negara seperti SPM dan STPM, pihak media membuat liputan meluas mengenai pencapaian akademik yang cemerlang. Ini menyebabkan masyarakat terpengaruh dengan budaya menekan anak-anak untuk mendapat keputusan A dalam setiap pelajaran sehingga meminggirkan fakta bahawa aspek kemahiran hidup juga penting.

Kemahiran hidup seperti kemampuan bersosial dengan sopan dan penuh tatasusila, memiliki disiplin kendiri dan sikap yang baik dipinggirkan sehingga anak-anak hanya pandai dalam kaedah atas kertas semata-mata. Kemahiran hidup sangat penting kerana di dalamnya ada elemen tambah nilai yang boleh digunakan dan bermanfaat untuk mengimbangi kehidupan biasa seorang insan dalam hidup bermasyarakat. Maka, pendidikan nasional wajar mengimbangi pendidikan berorientasikan peperiksaan dan pemarkahan dengan pendidikan berorientasikan kebolehan dan kemahiran individu. Kerangka pendidikan dan pengajaran ini perlu bermula sewaktu sekolah rendah lagi kerana pada masa inilah, anak-anak begitu aktif dan suka mencuba perkara baru. Pembelajaran anak-anak di sekolah rendah perlu diselitkan dengan kaedah dan bahan pengajaran yang boleh membuat mereka gembira. Lawatan sambil belajar adalah satu pendekatan yang sangat baik dengan syarat adanya tempat-tempat yang sesuai untuk proses pembentukan pembelajaran ini.

Sudah tentu aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menyelitkan latihan amali sukar dibuat. Ia memerlukan penglibatan sepenuhnya oleh guru. Maka guru harus menggunakan kreativiti mereka untuk mengadakan aktiviti-aktiviti sebegini. Pihak sekolah dan kerajaan perlu memberi dorongan yang kuat kepada guru bukan setakat motivasi diri dan pelbagai kursus peningkatan diri, tetapi juga dana atau peruntukan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti-aktiviti kelas yang mendatangkan manfaat kepada anak-anak. Sekiranya, elaun seperti elaun keraian, pengubahsuaian bilik pejabat, elaun kritikal dan sebagainya yang menelan belanja besar boleh diperuntukkan kepada kakitangan kerajaan yang lain, mengapa tidak diberikan peruntukan kepada guru-guru yang bergelumang hidup dengan susah senang mengajar anak-anak kita, pelapis masa hadapan?

Ibu bapa juga wajar memahami bahawa selain pihak sekolah menyediakan prasarana untuk anak-anak menimba ilmu yang jelas condong ke arah pencapaian akademik, ibu bapa perlu mendedahkan sebanyak mungkin aktiviti-aktiviti amali yang dapat membantu anak-anak membina kemahiran hidup. Anak-anak perlu didedahkan dengan kesusahan dan berdikari menerusi penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sosial hujung minggu seperti gotong-royong kejiranan. Suasana kehidupan kampung sudah tentu dapat membantu proses ini. Kemahiran hidup merupakan aspek penting bagi mengimbangi kehidupan pelajar. Melalui pembinaan aspek ini sahajalah maka terbentuknya keyakinan diri, kesungguhan, fokus, budi pekerti, hormat, dan kegembiraan. Dengan pendedahan kepada asas kemahiran hidup di peringkat awal pembesaran, anak-anak akan cerdas dan seronok menimba ilmu, bukan setakat pada apa yang ada dalam buku teks atau kelas semata-mata, malah mereka akan mampu menggunakan kebolehan berfikir, memerhati dan merasa apabila melakukan aktiviti luar darjah.

Dengan ini, bakat mereka akan terserlah mengikut keunikan diri masing-masing. Semoga apabila mereka dewasa, mereka tidak menyesal dengan apa yang mereka telah lalui dan peroleh di sekolah. Mereka inilah yang akan mampu mengharung tekanan hidup. Mereka jugalah yang akan sentiasa menambahbaik sistem pembelajaran sedia ada agar sesuai dengan zaman mereka. 

Suzalie Mohamad
Felo Pusat Kajian Syariah, 
Undang-Undang dan Politik IKIM

Utusan Malaysia
5.11.2010

SELAMAT BERSARA TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM

 
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM akan bersara pada 6 November (esok) setelah 34 tahun berada dalam bidang pendidikan. Beliau akan terus berkhidmat sebagai Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) selepas meninggalkan Putrajaya. Dalam nada sedih berbaur gembira, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) itu memberitahu Utusan Malaysia bahawa beliau akan meneruskan kelangsungan darah pendidik yang mengakar umbi dalam dirinya melalui YGMB. Ketika ditanya, bagaimanakah beliau mahu dikenang setelah melangkah keluar dari bilik KPPM, Alimuddin berkata, biarlah dia dikenali sebagai KPPM yang berjiwa guru biasa kerana banyak usaha beliau tertumpu kepada usaha memartabatkan profesion perguruan melalui beberapa dasar kerajaan sama ada secara langsung atau tidak.
 
Kerjaya Alimuddin bermula pada 1976 sebagai guru siswazah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak, diikuti sembilan sekolah lain termasuk Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum menjadi Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Swasta, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Ketua Jemaah Nazir dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah). Beliau memegang jawatan profesional tertinggi bidang perguruan sebagai KPPM bermula 16 Julai 2007 sehingga sekarang. 

Ikuti temu bual ringkas beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, WAHID HASHIM di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: TAN Sri akan bersara esok. Apakah usaha Tan Sri yang paling signifikan dan mendalam kesannya?

ALIMUDDIN: Jiwa saya adalah jiwa guru dan selama 34 tahun ini saya bergelumang dengan dunia pendidikan. Saya mahu dikenali sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang berjiwa guru biasa dan apa sahaja usaha yang saya buat semata-mata untuk memartabatkan profesion perguruan. Setiap dasar baru atau sebarang perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan cukup saya fahami. Begitu juga, saya cukup memahami apa yang terkandung dalam pemikiran pihak sekolah serta saya tahu bagaimana untuk menyampaikan dengan berkesan di sekolah.

Tan Sri berkhidmat di bawah dua Menteri Pelajaran, salah seorang ialah Timbalan Perdana Menteri. Kedua-duanya membawa dasar yang berat. Bagaimana Tan Sri melakukannya?

ALIMUDDIN: Pendekatan saya berlainan dengan KPPM sebelum ini. Saya berpegang bahawa pemikiran dan tindak tanduk kita mesti selari dengan dasar yang hendak dilaksanakan oleh menteri. Kalau ini berlaku,barulah kita boleh membuat kerja dengan baik. Saya ialah KPPM yang melaksanakan dasar yang hendak dilaksanakan oleh Menteri Pelajaran.

Apa perasaan peribadi Tan Sri sekarang? 

Saya mengalami dua perasaan, iaitu sedih dan gembira. Saya sedih kerana cukup lama dalam bidang pendidikan iaitu 25 tahun, maka pendidikan ialah darah daging saya. Saya akan kehilangan rakan-rakan, kehilangan suasana bekerja, seminar, perjumpaan dengan guru dan pelbagai lagi aktiviti dalam pendidikan. Dalam masa yang sama, saya rasa gembira kerana selepas bersara, saya dapat membuat sesuatu mengikut keupayaan saya sendiri, khususnya untuk keluarga, masyarakat dan negara. Jadi, kalau selama 34 tahun ini saya mendapat banyak keuntungan dalam kerjaya saya - daripada seorang guru biasa sehingga KPPM, jadi sudah tiba masanya saya memberi sesuatu kepada masyarakat.

Apa yang Tan Sri hendak lakukan selepas bersara?

ALIMUDDIN: Dengan pengetahuan dan pengalaman saya, saya ingin menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan negara. Salah satu caranya ialah meneruskan peranan menjadi Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), yang telah saya pegang selama tiga tahun sebelum ini. Mantan Menteri pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah melantik saya menjadi Pengerusi YGMB. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerana suntikan dana sebanyak RM10 juta kepada YGMB dalam pembentangan Bajet 2011. Saya akan pastikan dana ini dipulangkan kepada guru dalam pelbagai bentuk seperti khairat kematian, pampasan kemalangan, pembiayaan pendidikan dan sebagainya, sama ada untuk guru yang masih dalam perkhidmatan atau guru yang sudah bersara. Saya menyeru semua warga pendidikan sentiasa melihat laman web YGMB, bagaimana hendak menghubungi YGMB supaya dana yang kerajaan beri ini dapat disalurkan kepada guru.

Banyak benar dasar baru yang hendak dilaksanakan tapi Tan Sri tidak berkesempatan untuk menyudahkannya. Tan Sri kecewa atau sebaliknya?

Memang beberapa perkara masih belum selesai. Antaranya ialah perluasan bidang vokasional dan kemahiran. Sehingga 2015 beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mahu jumlah pelajar yang mengikut aliran vokasional ditingkatkan kepada 20 peratus. Bidang vokasional dapat melahirkan usahawan, ahli perniagaan. Aliran ini mencipta pekerjaan. Banyak yang boleh ditawarkan, seperti membuat roti dan kek, pengiklanan, masakan, persolekan, membaiki jentera dan teknologi maklumat dan komunikasi, perakaunan - semuanya berkembang dengan pesat. Misalnya dalam prinsip akaun, mereka diajar mengendalikan isu-isu kewangan, memohon pinjaman bank, memasarkan barangan yang mereka hasilkan, dari segi pengiklanan termasuklah dari segi komunikasi sehingga apabila mereka meninggalkan bangku sekolah, mereka sudah boleh menjadi usahawan kerana ilmu yang diajar.

Lain-lain yang belum selesai ialah pada 2016 akan kita ubah suai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) , iaitu 60 peratus komponennya masih berpusat dan 40 peratus berasaskan sekolah. Jadi apa yang menarik nanti, peperiksaan bukan semata-mata berasaskan kebolehan intelek.Kita akan campurkan juga dari segi kemahiran lain, misalnya kemahiran berkomunikasi, berkait dengan sukan, permainan kokurikulum. Jadi, dengan kata lain, penilaian lebih bersifat holistik dan tidak semata-mata intelek. Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga akan ditiadakan dan digantikan dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS), yang kita akan percepatkan ke tahun 2014. Maknanya, tahun 2012 tingkatan satu, 2013 tingkatan dua dan 2014 tingkatan tiga.

Jadi, hal ini akan membolehkan guru memainkan peranan yang penting dalam menilai pelajar dan salah satu daripada perkara yang saya rasa akan berlaku ialah rasa hormat pelajar kepada guru akan lebih meningkat kerana penilaian oleh guru akan menyebabkan pelajar sentiasa mendekati guru mereka, sentiasa memberi kerjasama dan patuh kepada guru. Saya rasa selepas ini tiada lagi cerita pelajar melawan guru, atau menconteng kereta guru tidak akan berlaku. Pada saya, PBS ialah perkara yang sangat baik untuk memartabatkan profesion keguruan. Saya gembira dengan semua dasar yang cukup cantik ini.

Apakah antara perkara besar yang Tan Sri fikir perlu dilakukan oleh guru dengan keterbukaan dasar kerajaan sekarang?

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerana membenarkan guru berpolitik. Saya rasa dasar ini sangat baik kerana sebelum negara mencapai kemerdekaan, ramai guru yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Ramai pejuang kemerdekaan dahulu datangnya daripada profesion keguruan. Selepas mencapai kemerdekaan, guru masih memainkan peranan, ramai yang menjadi menteri, timbalan menteri, menteri besar. Tetapi pada tahun 1980-an, bilangan guru yang menceburkan diri dalam politik semakin berkurangan kerana telah ramai guru yang aktif ini terdiri daripada guru siswazah. Di dalam perintah am memang tidak membenarkan guru siswazah aktif dalam politik. Akibatnya berlaku satu kelompongan, iaitu kekosongan itu. Tetapi mulai Ogos baru-baru ini, apabila Ketua Setiausaha Negara mengumumkan guru boleh berpolitik, saya rasa ini satu peluang kepada guru untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara melalui pengalaman mereka. Dalam kalangan masyarakat, guru ini dikaitkan dengan seorang yang jujur, amanah dan orang yang bertanggungjawab. Jadi, saya rasa mereka ini ‘kena’ aktif dalam politik untuk membangunkan negara kita.

Apakah harapan Tan Sri kepada guru selepas persaraan?

Saya harap guru jangan menconteng arang kepada profesion perguruan. Jaga nama baik profesion itu. Ada guru yang melanggar tata susila profesion itu, antaranya penyelewengan wang, gangguan seksual, terlibat dengan najis dadah dan juga perbuatan jenayah. Saya sangat memberi perhatian, dan selalu saya tekankan, tidak sepatutnya guru melakukan perbuatan ini. Biarlah kita sentiasa disanjung oleh masyarakat.

SELAMAT BERSARA 
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
 

BINAAN FRASA NAMA : INTI + PENERANG NAMA

INTI + PENERANG NAMA KETURUNAN

01. askar British
02. bangsa India
03. bahasa Melayu
04. masyarakat Iban
05. kaum Penan
06. keturunan Cina
07. pelajar Afrika

INTI + PENERANG NAMA JENIS

01. harimau bintang
02. kelapa sawit
03. pokok getah
04. air limau
05. baju kemeja
06. kerusi rotan
07. beg kulit

INTI + PENERANG NAMA PENYAMBUT

01. penyendal pintu
02. penjaga stor
03. pam air
04. gunting kain
05. pemandu teksi
06. pelayan tetamu
07. pengurus syarikat

INTI + PENERANG NAMA KEGUNAAN

01. alat pemadam
02. sabun pencuci
03. kayu pengukur
04. kayu pembaris
05. batu penanda
06. batu pengasah
07. minyak pelincir

INTI + PENERANG NAMA KELAMIN

01. ayam jantan
02. lembu betina
03. orang lelaki
04. kaum perempuan
05. budak lelaki
06. anak perempuan
07. anak lelaki

INTI + PENERANG NAMA TEMPAT

01. penduduk bandar
02. anak Sarawak
03. orang tempatan
04. Melayu Pulau Pinang
05. kawasan luar bandar
06. guru pedalaman
07. pinggir kota

INTI + PENERANG NAMA ARAH

01. kawasan barat
02. wilayah selatan
03. angin timur
04. jalan tengah
05. simpang kanan
06. ruang dalam
07. kulit luar

INTI + PENERANG NAMA ANGGOTA BADAN

01. jam tangan
02. gelang kaki
03. tudung kepala
04. tali pinggang
05. kepala lutut
06. batang hidung
07. barah kulit

INTI + PENERANG NAMATENAGA PENGERAK

01. kereta motor
02. perahu layar
03. kapal api
04. mesin kaki
05. perahu galah

INTI + PENERANG NAMA HAL ATAU PERKARA 

01. lesen perniagaan
02. surat kebenaran
03. borang pendaftaran
04. hari perayaan
05. garis permulaan
06. majlis perasmian
07. bilik persidangan

INTI + PENERANG NAMA MILIK

01. rumah saya
02. pekerjaan mereka
03. bumbung sekolah
04. kemajuan Malaysia
05. keluaran Jepun
06. roti canai Kapit
07. mata harimau

INTI + PENERANG NAMA KHAS

01. bandar Sibu
02. kampung Sungai Cinta
03. planet Pluto
04. negeri Kelantan
05. sungai Pahang
06. Gunung Kinabalu
07. Teluk Siam

INTI + PENERANG NAMA PANGGILAN ATAU GELARAN

01. Haji Zulkarnain Mustakim
02. Yang Arif Hakim Phildawa Al-Ibani
03. Si Belang
04. Nik Ramzi
05. Y.B Senator Haikal Fahmy
06. Sang Kancil
07. Tan Sri Philip

BINAAN FRASA NAMA : INTI + INTI

INTI + INTI DENGAN MAKSUD YANG SAMA

01. kerusi meja
02. ampun maaf
03. tubuh badan 

INTI + INTI DENGAN MAKSUD BERLAINAN

01. baik buruk 
02. siang malam 
03. adik abang