JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Februari 2011

CERITA INSAN BERJAYA : RYAN SEACREST, SIMBOL LELAKI BERJAYA


Siapa  yang tidak kenal dengan program American Idol. Seperti mana Akademi Fantasi yang dipenuhi jerit pekik oleh penyokong fanatik, begitu jugalah program realiti American Idol cuma jumlah penonton jauh berkali ganda lebih ramai. Melihat kepada pesertanya yang tergolong dari mereka yang pertama kali muncul dalam pertandingan nyanyian, sambutan yang diberikan sejak kali pertama ke udara pada 2002 begitu memberangsangkan. Walau bagaimanapun seperti Akademi Fantasi jumlah penonton American Idol semakin merosot pada edisi ke 10 tahun ini. Dari jumlah penonton sebanyak 9.85 pada edisi pertama dan kemuncak 37.4 juta pada edisi ke enam ia merudum kepada 26.23 juta dalam edisi ke 10, Januari lepas. Namun jumlah pendapatan pengacara sensasi, Ryan Seacrest tidak berkurangan walaupun jumlah penontonnya semakin menurun. Nama Seacrest dan American Idol sudah tidak boleh dipisahkan lagi.

Sehingga kini beliau masih lagi bertahan sebagai satu-satunya pengacara yang mengendalikan rancangan berkenaan walaupun juri rancangan tersebut sudah acap kali bertukar ganti. Yang tinggal hanya Randy Jackson sebagai pengacara asal dan terbaru penyanyi sensasi Jennifer Lopez dan legenda rock Steven Tyler menggantikan Kara DioGuardi dan Ellen DeGeneres. Namun bagi lelaki yang sering dikaitkan dengan ramai wanita cantik ini, tugasnya bukan sekadar menjadi hos program realiti sahaja tetapi mencakupi sebagai juruhebah, personaliti radio serta produser televisyen. Bagi lelaki kacak berusia 37 tahun ini wang bukan lagi satu masalah bagi dirinya malah dengan kekayaan yang dimiliki tidak hairan begitu ramai wanita yang mendambakan dirinya sebagai kekasih. Ada yang mengatakan sensasi yang timbul dalam American Idol bukan sahaja kerana aksi lincah peserta mahupun kelancangan jurinya mengkritik tetapi berkait rapat dengan kehebatan Seacrest mengawal suasana dan kelancaran perjalanan program berkenaan.

Namun lain pula keadaannya apabila dia mengendalikan konti radio ketika ke udara bersama stesen radio KISS-FM yang berpusat di Los Angeles. Antara rancangan yang paling mendapat perhatian adalah On Air with Ryan Seacrest dan Top 40 radio show dimana kepetahannya berbicara dan mengendalikan pendengar begitu mengujakan. Dilahirkan pada 24 Disember 1974 di Dunwoody, Georgia, bakat pengacaraan dan kepetahannya bercakap sudah mula wujud sejak kecil. Menurut kakaknya Connie Seacrest berbanding kanak-kanak lain yang lebih gemar bermain patung G.I Joe atau pelbagai watak adi wira lain, Seacrest lebih gemar bercakap melalui mikrofon mainan kecil seolah-olah sedang mengendalikan rancangan radionya sendiri di depan ahli keluarga. Ketika berusia 14 tahun, beliau dikenali di sekolahnya sebagai "Voice of Dunwoody High School", kerana menjadi penyampai pengumuman pada waktu pagi.

Namun keadaan dirinya sangat berbeza berbanding sekarang kerana ketika itu beliau adalah seorang remaja gemuk memakai cermin mata dan pendakap gigi serta selalu dibuli oleh pelajar lain. Kepetahannya itu telah menarik minat sebuah stesen radio tempatan, WSTR FM untuk memberinya satu slot setiap hujung minggu walaupun ketika itu hanya berusia 16 tahun. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di University of Georgia dalam bidang kewartawanan tetapi meninggalkan pengajian pada usia 19 tahun untuk berhijrah ke Hollywood. Setahun kemudian Seacrest berjaya mendapat tempat sebagai juruhebah di KYSR-FM 98.7's dan mengendalikan program Ryan Seacrest for the Ride Home dengan gaji AS$15 (RM46) sejam. Rancangan tersebut mendapat tempat pertama dari rating pendengar di stesen berkenaan sebelum diperluaskan ke seluruh AS. Selain pengacara radio, kebolehan lelaki ini terserlah dalam bidang pengacaraan televisyen dengan membuat kemunculan pertama di ESPN's Radical Outdoor Challenge pada 1994.

Kemudian pelbagai stesen televisyen mula berminat dengan kebolehannya walaupun masih belum begitu dikenali. Antara program televisyen yang pernah mendapat sentuhannya adalah Gladiators 2000, NBC Saturday Night at the Movies, Ultimate Revenge dan pelbagai lagi. Pastinya kemuncak kejayaannya adalah terpilih mengacara American Idol yang pada awalnya dikendalikan bersama Brian Dunkleman. Kini tugasan Seacrest melebihi dari kerjaya asalnya dengan pendapat tahunan mencecah AS$40 juta (RM124 juta) pada tahun lepas. Malah dalam senarai selebriti terkaya tahun lepas beliau menduduki tempat ke 44. Untuk kontrak baru American Idol, beliau mendapat pendapat AS$60 juta (RM186 juta) untuk tiga tahun yang ditandatangani pada tahun lepas. Itu belum termasuk pelbagai pendapatan lain yang disumbang melalui pengacaraan radio dan ketika mengacara program saluran kabel E!.

Pada tahun 2006 beliau menandatangani kontrak sebanyak AS$21 juta (RM65.1 juta ) untuk mengendalikan program E! News dan juga sebagai produser beberapa rancangan televisyen. Antara program yang beliau bertindak menjadi produser adalah Keeping Up with the Kardashians dan Denise Richards: It's Complicated. Selain itu beliau juga bertindak sebagai produser untuk beberapa rancangan televisyen keluaran stesen televisyen lain namun pengkritik sering melabelkan siri televisyen keluarannya sebagai sampah. Malah penulis dan pastinya ramai lagi pembaca di luar yang bersetuju dengan pandangan ini kerana kebanyakan siri televisyen berkenaan yang berkonsepkan realiti tv sebagai “tin kosong” yang tidak diketahui apa yang mahu ditonjolkan. Namun mungkin perkara itu tidak menjadi keutamaan baginya memandangkan pendapatan yang diperolehi begitu lumayan dengan hanya bersandarkan kepada populariti dan kemasyhuran yang dimiliki.

Sehingga kini beliau masih lagi menduduki tempat teratas sebagai pengacara televisyen paling tinggi menerima bayaran. Malah oleh kerana popularitinya pengacara legenda, Larry King pernah menguar-uarkan bahawa Seacrest adalah orang paling layak untuk menggantikannya dalam rancangan Larry King Live pada tahun lepas. Namun kemudian pihak CNN memilih bekas wartawan British yang juga bekas juri America's Got Talent, Piers Morgan sebagai pengganti. Kini beliau mengacarakan program Piers Morgan Tonight di saluran CNN sebagai ganti Larry King Live. Dalam hubungan peribadi beliau kini menjalinkan hubungan dengan bekas peserta Dancing with the Stars, Julianne Hough yang berusia 22 tahun. Selain itu dek kerana populariti juga telah mengakibatkan Seacrest menjadi mangsa serangan oleh seorang peminatnya. Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Chidi Benjamin Uzomah Jr kini ditahan kerana cuba menyerang beliau tetapi sempat dihalang oleh pengawal peribadinya pada 2009.

Melihat kepada populariti pasti membuatkan kita semua kagum dengan hasil usaha beliau yang tidak pernah kenal erti penat, adakalanya bekerja sehingga lima enam program dalam sehari. Dengan usaha gigihnya maka tidak hairan beliau dikenali sebagai manusia paling bekerja keras dalam bidang penyiaran di AS malah mungkin juga di dunia.

Oleh : Hafizahril Hamid
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : NILAI KOMERSIAL HARI VALENTINE


Buku Consumer Rites: The Buying and Selling of American Holiday tulisan Leigh Eric Schmidt antara lain memperkatakan tentang hari-hari penting seperti Hari Krismas, Hari Ibu, Hari Valentine dan banyak lagi dari sudut budaya kepenggunaan. Penulis yang juga seorang sarjana yang banyak mengkaji tentang agama ini melihat bagaimana Barat memperdagangkan hari-hari istimewa ini terutama berkaitan agama untuk mengaut keuntungan. Menurut buku ini, budaya kepenggunaan membentuk selain memperkukuhkan hari-hari tersebut dalam agenda kehidupan sejak abad ke 20. Para kapitalis memperhebatkan kerja-kerja pemasaran supaya hari-hari istimewa itu kononnya menjadi penanda aras dalam kehidupan moden. Hal ini telah berlaku di negara ini pada setiap kali sambutan Hari Valentine. Esok 14 Februari adalah Hari Valentine. Sejak seminggu lalu pusat-pusat membeli belah besar dan ternama memperagakan barangan yang berkaitan Hari Valentine.

Daripada sekecil-kecil barang hinggalah kepada yang besar dan mahal semuanya untuk perayaan yang senama dengan warna merah jambu ini. Sebahagian besar remaja kita termasuk “bapa remaja” dan “emak remaja” turut menyibuk dengan hari yang diperkenalkan oleh Pope Gelasius I pada tahun 500 Sebelum Masihi. Mereka ini tidak tahu apa-apa tentang Hari Valentine serta tidak mempunyai sikap yang jelas terhadap sebarang pembudayaan dari luar. Walaupun Hari Valentine mempunyai hubungan yang jelas dengan Kristian tetapi banyak pengagum dan pak turutnya adalah orang Melayu - Islam. Kepada golongan ini keghairahan menyambut Hari Valentine menenggelamkan Maulidul Rasul Selasa ini. Inilah kesan ledakan budaya kepenggunaan Barat untuk memasarkan Hari Valentine. Maka dalam kelompok manusia yang bingung itu muncullah yang sedikit cerdik lalu mencipta terjemahan dalam bahasa Melayu sebagai Hari Kekasih, ada juga menyebut Hari Kasih Sayang.

Semua ini utuk memberi nilai setempat kepada satu nilai asing dari Barat. Hakikatnya Hari Valentine adalah Hari Valentine. Tahun-tahun sebelum ini juga ada beberapa stesen televisyen termasuk yang diterajui oleh Melayu - Islam menyediakan rancangan khas Hari Valentine. Mereka juga mengambil peluang untuk menaikkan rating penonton yang akhirnya boleh menambah kemasukan iklan sebagai punca pendapatan. Sikap begini juga yang menyebarluaskan tentang “keperluan” Hari Valentine hingga di segenap ceruk desa dan pekan. Banyak remaja Melayu - Islam tanpa segan silu turut mengambil bahagian dalam pesta Hari Valentine. Orang Melayu yang menyambut Hari Valentine adalah kalangan yang perasan menjadi manusia moden tetapi berada dalam kotak fikir yang mundur. Inilah yang menjadi kebimbangan banyak pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melancarkan Kempen Awas Jerat Hari Valentine.

Sementara Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyarankan kepada semua Jabatan Agama Islam negeri mewartakan pengharaman Hari Valentine. Ini dari sudut agama Islam dan sewajarnya Jabatan Agama Islam negeri lebih awal melaksanakan perkara asas begini sebelum didesak oleh pihak lain. Nilai-nilai Hari Valentine yang bertentangan sama sekali dengan Islam telah banyak diperkatakan sebelum ini. Rencana ini cuba melihat Hari Valentine juga menjadi musuh kepada semua orang, tidak kira bangsa, agama atau budaya apabila sambutan ini menjadi agenda budaya kepenggunaan. Orang bukan Islam atau bukan Melayu tidak terkecuali kerana mereka yang meraikannya menjadi mangsa puak yang mengambil peluang dalam kepesatan budaya kepenggunaan. Sanggupkah anda dikatakan kurang cerdik kerana membiarkan diri menjadi mangsa pengiklan, pembuat barangan, pemilik hotel, pusat hiburan waima penjual riben merah jambu?

Apa pun jawapannya, elok kita lihat bagaimana Hari Valentine ini digempur sebagai budaya popular setaraf dengan kegilaan kepada muzik untuk tujuan perniagaan. Golongan kapitalis memasang bubu untuk memerangkap ikan-ikan yang terdiri daripada remaja dan golongan dewasa. Mereka inilah yang terpesona dengan terjemahan Hari Valentine sebagai Hari Kekasih atau Hari Kasih Sayang. Dalam ledakan budaya kepenggunaan, kebijaksanaan mengambil peluang, memperagakan strategi pemasaran yang kreatif serta mampu membentuk sudut pandangan umum adalah syarat untuk berjaya. Kerana itu kalau diperhatikan di Kuala Lumpur khususnya, pusat membeli belah, hotel dan pusat hiburan telah lama merangka strategi pemasaran mereka. Mereka tidak peduli dengan punah-ranah moral dan akhlak remaja Islam, malah turut menyumbang kepada gejala sosial bukan Islam. Matlamat mereka adalah mengaut keuntungan.

Budaya kepenggunaan merangsang orang membeli, ikut serta dalam nilai-nilai popular tetapi akhirnya menyumbangkan kepada golongan peniaga. Persiapan yang seolah-olah tahun ini “Hari Valentine terakhir” bertujuan meningkatkan kecenderungan masyarakat untuk berbelanja. Mana ada nilai-nilai kasih sayang yang diterapkan dalam kempen pemasaran Hari Valentine. Ini membuktikan ia tidak ada kena mengena dengan kasih sayang. Masyarakat kita yang baru dijengah budaya kepenggunaan dengan mudah menjadi mangsa kapitalis yang menjaja Hari Valentine, Hari Ibu dan segala macam hari lagi kecuali Hari Merdeka, Hari Maal Hijrah dan Hari Pahlawan. Mereka dibentuk supaya berfikir bahawa tanpa menyambut Hari Valentine tidak ada kasih sayang. Pembudayaan yang datang bersama barangan Hari Valentine telah berjaya dalam agendanya. Padahal Hari Valentine tidak lebih perangkap untuk memaksa masyarakat yang kurang cerdik berbelanja kepada suatu yang tidak perlu selain menerima nilai-nilai moral yang muflis dari Barat.

Orang tua-tua pernah berkata, yang bodoh adalah makanan yang cerdik. Inilah yang berlaku pada setiap kali menjelang 14 Februari, ketika langit senja berwarna jingga seolah-olah bertukar menjadi merah jambu. Kepada pengagum Hari Valentine, bersedialah untuk berubah menjadi lebih baik, jadilah orang yang cerdik dan esok tidak wujud Hari Valentine untuk disambut. Hiduplah seperti biasa kerana kasih sayang tidak ada hari-hari tertentu saja untuk dizahirkan. Hari Valentine bukan untuk mengeratkan kasih sayang. Semua itu mengarut.

Oleh : Ku Seman Ku Hussien
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : REJUVENASI BUDAYA AKADEMIK

Universiti perlu berani berubah dalam melahirkan pelajar mampu cetus teori baru


Perbincangan bertajuk Perlunya Rejuvenasi Budaya Akademik pada Persidangan Akademik 2011, Menjuarai Kecemerlangan Universiti anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, pada hari Jumaat, 11 Februari 2011 yang lalu, mendedahkan betapa perlunya universiti di negara ini melakukan perubahan yang berteraskan kemajuan dunia hari ini dan menjangkaui masa akan datang. Perbincangan juga menjurus kepada kemampuan universiti melahirkan ‘jutawan’ dalam pelbagai bidang yang dicetuskan daripada idea universiti. Sarjana dan mahasiswa universiti juga perlu melahirkan teori baru dan asli dalam pelbagai disiplin lengkap dengan kajian yang dijadikan rujukan sarjana dunia, sekali pun terpaksa menolak teori dihasilkan sarjana Barat sekiranya mendapati ia sudah jumud berikutan perubahan zaman.

Hari ini, kajian yang dijalankan dalam hampir semua bidang terpaksa merujuk kepada teori atau model Barat menyebabkan apa juga idea yang dicetuskan sarjana dan mahasiswa terikat kepada pemikiran Barat, terutama dalam bidang politik dan sains sosial. Inilah antara inti perbincangan mengenai maksud rejuvenasi budaya akademik yang diutarakan ahli panel.  Memang diakui, kejayaan yang dicapai universiti di negara ini hari ini, walaupun dalam usia yang singkat, sudah boleh dibanggakan dengan kualiti dan standard pembelajaran yang baik.  Suasana ini mendorong ramai pelajar asing memilih universiti di Malaysia sebagai tempat mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ini adalah pengiktirafan yang tinggi kepada Malaysia seperti pelajar dan negara kita mengiktiraf universiti di luar negara di mana ramai pelajar negara ini menuntut ilmu. Namun, untuk mencapai kecemerlangan masih banyak perubahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar tidak ragu-ragu menyatakan bahawa untuk menjadikan sebuah universiti bertaraf dunia, ia adalah tugas yang amat mencabar. Sebagai contoh, beliau membandingkan UiTM dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat yang diibaratkan mempunyai matlamat dan dimensi yang sangat berbeza.  Jika pelajar di Harvard adalah kalangan anak orang yang berpengaruh, bangsawan dan berwang yang sememangnya mempunyai segala kemudahan dan kemampuan, UiTM adalah tempat anak pelbagai latar belakang menimba ilmu.  Jika diperhalusi seorang demi seorang pelajar UiTM, mereka adalah anak petani dan nelayan, pengayuh beca, pemandu lori, buruh kasar, kerani dan sebagainya walaupun ada juga anak orang berada. Dengan sasaran angka 250,000 pelajar, UiTM sebenarnya pun menempah satu kejayaan yang sangat cemerlang. Dari konteks ini, tidak banyak universiti yang mampu menyaingi UiTM.

Selain daripada negara yang mempunyai bilangan penduduk ratusan juta seperti India, malah melebihi angka 1 billion seperti di China, sebutlah apa juga universiti di dunia ini, mereka tidak mempunyai matlamat seperti yang digariskan oleh UiTM untuk membantu rakyatnya. UiTM perlu diakui sebagai sebuah universiti yang mempunyai visi dan misi yang luar biasa.  Cabaran UiTM sangat besar kerana ia bukan saja perlu menghasilkan kuantiti pelajar, tetapi lebih penting ialah kualiti. Namun, tidak dinafikan juga setiap universiti di negara ini turut memainkan peranan mengikut ‘niche’ masing-masing untuk membangunkan bangsa dan negara.  Rejunevasi dalam konteks budaya akademik ini tidak bermakna untuk meremajakan budaya akademik. Rejunevasi lebih menunjuk jalan kepada keberanian untuk berubah dan mengamalkan kaedah dan pendekatan serta persekitaran ekosistem yang baru. Universiti perlu sedia mengubahsuai apa juga yang sudah ketinggalan zaman kepada sesuatu yang lebih bertenaga.

Jika cara pembelajaran kuliah, umpamanya menggunakan power point sudah difikirkan ketinggalan zaman, sesuatu yang baru perlulah difikirkan seperti syarikat terkemuka dunia mencipta pelbagai gajet baru di pasaran hari ini. Cara bertindak dan bentuk komunikasi pelajar hari ini, yang kebanyakannya mewakili generasi Y, sudah berbeza dari pelbagai segi. Sementara, pensyarah mereka terkial-kial dengan alat dan gajet komunikasi canggih sama ada telefon, Ipad, komputer dan sebagainya, pelajar mereka tidur dan makan bersama alat-alat itu. Malah, mereka lebih layak mengajar pensyarah mereka dalam penggunaan alat canggih. Bagi pelajar seperti ini, teknik pembelajaran sedia ada mengurangkan minat mereka belajar. Pelajar hari ini sudah kurang menulis, tetapi menaip pada papan kekunci komputer. Mereka tidak boleh lagi menerima alasan pemberitahuan pembatalan kuliah ditampal di papan notis.

Dalam sebuah dewan kuliah, tanyalah siapakah antara mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit? Jika 100 orang dalam sebuah dewan, semuanya mempunyai alat itu. Apa pun budaya akademik yang diamalkan di universiti, kualiti pelajar ditentukan oleh pasaran. Sekiranya mereka diterima pasaran pekerjaan dan memberi sumbangan besar kepada majikan mereka dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara, mereka adalah golongan yang berjaya. Dalam tempoh selepas negara merdeka, tidak siapa boleh menafikan bahawa kejayaan negara ini adalah hasil sokongan mahasiswa di universiti yang menggerakkan kemajuan ekonomi negara. Sebenarnya, secara individu mereka yang berjaya dalam bidang dan profesion masing-masing di negara ini terutama mereka yang berada di puncak kejayaan, kebanyakannya adalah produk daripada universiti tempatan, seterusnya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Sebahagian besar mereka tidak akan dapat keluar negara jika asas pembelajaran awalnya tidak bermula di negara ini. Di Malaysia, sebenarnya sudah ramai yang berjaya menjadi ahli korporat ternama, presiden dan ketua eksekutif institusi ternama dan sebagainya, walaupun pada asalnya mereka adalah benih daripada sebuah keluarga yang miskin. Mereka ini adalah aset negara kerana peranan yang mereka mainkan adalah besar dalam pembangunan negara. Dalam menghadapi cabaran akan datang, sudah tentu universiti perlu melihat sumbangan yang lebih besar. Universiti perlu menjana idea yang jauh lebih inovatif berasaskan kemudahan dan budaya akademik yang segar.

Oleh  :  Mior Kamarul Shahid
SUMBER : BERITA MINGGU, 13 FEBRUARI 2011

ISU PENGANGKUTAN AWAM : PENGANGKUTAN AWAM LEBIH SELESA PADA TAHUN 2012


Kerajaan percaya proses mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih bersepadu di Lembah Klang dapat dicapai tahun depan menerusi pelbagai usaha menambah baik yang telah dan sedang dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, pelbagai usaha meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam yang dimulakan tahun lalu seperti menambah bilangan bas dan rel berjaya meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam di ibu negara. Sepanjang 2010, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas meningkat 17 peratus, melebihi sasaran 15 peratus. Kita menjangkakan pada 2011 kadarnya meningkat 21 peratus dan pada 2012, ia mungkin meningkat kepada 25 peratus.  Jumlah orang awam menggunakan khidmat bas pada waktu puncak turut menunjukkan peningkatan daripada 139,500 penumpang pada 2009 kepada 150,000 pada tahun 2010.

Selain itu, sepanjang 2010, pengguna perkhidmatan rel termasuk transit aliran ringan (LRT) dan komuter pada waktu puncak berjumlah 504,000 orang dan secara keseluruhan, jumlah pengguna yang memilih khidmat rel pada tahun lalu ialah 2.4 juta orang,” katanya. Muhyiddin berkata, beliau berpuashati dengan pelbagai usaha dilakukan Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) menambah baik sistem pengangkutan awam di ibu negara mengikut Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Namun katanya, ada beberapa perkara perlu diatasi bagi menjadikan orang awam terus tertarik menggunakan pengangkutan awam termasuk mempercepatkan pelaksanaan sistem tiket berintegrasi, menambah bilangan tempat letak kenderaan di stesen LRT dan memastikan perjalanan bas atau LRT tepat pada masanya. Katanya, ia termasuk meningkatkan tahap keselamatan di semua hentian bas dan stesen LRT seperti menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi melindungi keselamatan pengguna dan memantau perlakuan jenayah terhadap pengguna.

SUMBER : BERITA MINGGU, 13 FEBRUARI 2011.

ISU UMUM : SUSAHNYA MAHU JADI PEGUAM?


Belum selesai kes sama ada bukan Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, dunia perundangan kembali dipanaskan dengan isu kualiti peguam sivil pula. Kekhuatiran yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam (sama ada bertempat atau tidak) sejak era 80-an adalah berasaskan fakta terkini. Majlis Peguam memetik angka lebih kurang 1,000 peguam baru diterima masuk setiap tahun. Oleh kerana jumlah yang besar, maka kemasukan mereka dalam bidang profesional ini dicadangkan supaya ditapis ketat untuk memastikan kualiti dan kecekapan kepeguaman terjamin. Lantas tercetus cadangan satu sistem proses penilaian iaitu dalam bentuk kursus dan peperiksaan yang sama (Common Bar Course and Examination-CBE). Walaupun pada dasarnya cadangan itu nampak murni dan baik, beberapa perkara perlu diteliti terutama dari aspek praktikal sebelum ia dilaksanakan. Cadangan ini walaupun dibantah universiti tempatan tetapi mendapat sokongan dari Lembaga Kelayakan.

Ini ditunjukkan melalui penubuhan satu pasukan penilai pada 2008 yang diketuai Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan. Ia bertujuan menilai sama ada graduan dari Universiti Utara Malaysia dan Universiti Multimedia boleh dikecualikan dari Sijil Amalan Guaman (CLP). Pengecualian itu hanya bagi tempoh dua tahun dan akan tamat sekiranya tidak diperbaharui pada 15 April ini. Kekhuatiran tersebut boleh bertukar igauan ngeri. Implikasinya, sekiranya tidak diperbaharui, graduan undang-undang dari kedua-dua universiti perlu lulus CLP sebelum boleh memulakan Latihan dalam Kamar (chambering). Boleh dikatakan dua kali rugi kerana pertamanya jangkamasa yang lebih panjang (empat tahun) berbanding dengan graduan undang-undang lulusan luar negara (hanya tiga tahun) dan kedua, “kesilapan” membuat pengajian di kedua-dua universiti ini. Cadangan Majlis Peguam ini perlu diteliti dari pelbagai sudut.

Pertama, isu masa depan sekiranya memilih kerjaya dalam bidang perundangan. Sekiranya, cadangan ini diterima, ramai pelajar tempatan akan merungut tentang jangkamasa yang perlu diambil untuk tamat belajar sebelum boleh beramal sebagai peguam iaitu secara dasarnya empat tahun untuk memperolehi Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian - LL.B (Hons), setahun lagi untuk CBE (sekiranya diwajibkan), dan sekiranya lulus, baharulah boleh menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan. Keseluruhannya, jangkamasa minimum adalah hampir enam tahun. Profesion ini akan menjadi semakin elit sekiranya cadangan Majlis Peguam untuk meningkatkan mutu kepeguaman adalah keperluan kepada penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Aspek bahasa perlu dilihat dengan sangat teliti kerana kemampuan berbahasa terutama penguasaan Bahasa Inggeris yang baik tidak datang dalam waktu yang singkat dan pembelajaran semasa CBE.

Pada masa yang sama, penguasaan bahasa Melayu terutama di mahkamah perlu ditekankan juga. Ramai peguam terutama yang lama lebih fasih berbahasa Inggeris dari bahasa Melayu. Mereka juga lebih selesa menggunakan bahasa tersebut di mahkamah walaupun lahir dan telah lama tinggal di Malaysia! Antara aspek lain yang penting dan perlu diteliti adalah kelayakan akademik seseorang sebelum dikira sebagai orang yang “berkelayakan”. Pengajaran dan pembelajaran undang-undang di enam universiti tempatan dikawalselia oleh Lembaga Kelayakan Malaysia dan Lembaga Kelayakan Profesion Perundangan yang dipengerusikan Peguam Negara. Selain dari kelayakan dari Universiti Malaya, National University of Singapore dan Barristers dari England, sebarang perubahan status kelayakan yang telah ditetapkan oleh Lembaga hanya boleh dibuat melalui pindaan statut. Dengan adanya dua lembaga mengawal mutu pengajaran dan pembelajaran undang-undang, perlukah kita lagi kepada CBE atau cukup dengan beberapa latihan praktikal sahaja?

Dari segi jangkamasa pembelajaran, secara perbandingan dengan graduan undang-undang lulusan luar negara yang ingin beramal, mereka hanya perlu mempunyai kelulusan undang-undang tanpa kepujian (tiga tahun sahaja) dan lulus CLP sebelum menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan. Mereka boleh menjimatkan setahun di situ. Graduan undang-undang luar negara mendesak supaya CLP dibatalkan kerana peratus yang gagal adalah tinggi. Sijil ini diperkenalkan pada tahun 1984 sebagai menampung keperluan sementara bagi membantu graduan undang-undang keluaran universiti British yang gagal mendapat markah baik (sekurang-kurangnya Kelas Kedua Rendah) dan tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir untuk English Bar. CLP juga memperkenalkan pembelajaran terutama aspek prosedur yang telah pun diikuti oleh graduan undang-undang tempatan semasa di tahun empat dan aspek penyesuaian undang-undang seperti yang terpakai di Malaysia.

Sekiranya CLP dihapuskan, di manakah graduan undang-undang dari luar negara belajar tentang Sistem Perundangan Malaysia dan subjek-subjek prosedur? Sekiranya mereka ingin beramal sebagai peguam di Malaysia, mereka perlu memahami undang-undang Malaysia kalau tidak sistem perundangan kita akan menjadi porak peranda. Sekiranya CBE hendak diteruskan dan di situlah pengajian tentang prosedur diterapkan, maka pelajar tempatan sepatutnya hanya perlu mengikuti tiga tahun pengajian undang-undang sahaja. Desakan memansuhkan CLP perlu diteliti kewajarannya kerana terdapat beberapa isu penting seperti kelayakan akademik yang baik sebagai pra-syarat untuk mengikuti program undang-undang bagi pelajar di universiti tempatan. Seperti kata pepatah Melayu, “benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau”. Dalam kebanyakan kes, pelajar undang-undang di tempatan biasanya adalah crème-de-la creme.

Bagaimanapun, peluang juga diberi kepada pelajar yang kurang baik prestasi akademik semasa peringkat kemasukan. Faktor ini sebenarnya memberi kesan kepada prestasi akademik. Perkara ini disokong oleh kenyataan para hakim dan peguam yang berpengalaman bahawa terdapat graduan undang-undang dalam kategori “from the good to the grotesque”. Dalam konteks ini, penyelesaian kepada masalah kualiti peguam bukannya terletak di hujung pengajian tetapi di awal pembelajaran itu sendiri. Sekiranya pelajar tersebut tidak sesuai mengikuti pengajian undang-undang (not wired-up for law), pelajar tersebut bukanlah bodoh tetapi potensinya boleh disalurkan kepada bidang yang diminati pelajar tersebut. Kita tidak perlu melayan kehendak ibubapa yang mahukan anak mereka mempunyai kerjaya yang dikatakan glamor. Jika kita serius tentang kualiti peguam yang bakal kita hasilkan, kita perlu menapis seperti tapisan di England.

Kenapa mereka yang gagal di sana diterima di sini? Jawapannya adalah kerana kita ingin memberi peluang kedua kepada pelajar kita. Kalau itulah semangatnya, maka dalam melaksanakan niat itu, kita perlu berlaku adil. Adakah adil mengadakan syarat yang sama kepada orang yang dalam kategori yang berlainan atas alasan mengawal kualiti? Tulisan ini saya akhiri dengan satu fakta paling menarik untuk direnung. Majlis Peguam dalam laporan yang dikemaskini pada 31 Disember 2010, menyatakan terdapat 13,350 peguam yang beramal di Malaysia di mana separuh daripada mereka berkelulusan dari luar negara. Dari segi pecahan kaum, peguam berbangsa Melayu adalah 5,190, Cina (5,025), India (2,517), Punjabi (485) dan 129 peguam dari bangsa-bangsa lain. Cabaran yang dihadapi oleh Majlis Peguam sebenarnya apa? Kuantiti atau kualiti? Cabaran yang dihadapi oleh universiti tempatan pula, kalau graduan tempatan bagus, kenapa perlu takut kepada CBE?

OLEH : DR. ZALEHA KAMARUDDIN
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2011.

ISU LUAR NEGARA : ANCAMAN LANUN SOMALIA BOLEH MENGANCAM DUNIA?

Ini bukan lanun somalia ..... he he

Umur mereka baru 15 tahun tetapi dalam usia sementah itu, tiga remaja ini memilih untuk menggalas senjata dan menjadi lanun yang paling ditakuti Teluk Aden, Somalia. Kasayah Dhalin Hassan, Mohammad Abadi Ibrahim dan Hassan Yusuf Ahmad adalah antara tujuh lanun Somalia yang ditahan dalam satu operasi menyelamatkan kapal dagang Malaysia, MT Bunga Laurel oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Januari lalu. Ketika ditawan Somalia, kapal dagang yang membawa muatan minyak pelincir dan bahan kimia dari Asia Barat ke Singapura itu berada kira-kira 300 batu nautika atau 550 kilometer di timur Oman. Selain tiga remaja terbabit, empat lagi rakan mereka, Ahmad Othman Jamal, Abdil Eid Hassan. Koore Mohammad Abdile dan Abdi Hakim Mohd. Abdi, berusia di antara 18 hingga 25 tahun turut dicekup Pasukan Pelindung Khas ATM.

Tujuh lanun tersebut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan melepaskan tembakan senjata api kepada tentera Malaysia. Mereka bakal berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971. Pembabitan aktif rakyat Somalia yang majoritinya beragama Islam sejak 10 tahun kebelakangan ini amat membimbangkan. Teluk Aden yang terletak di antara Yemen di Semenanjung Arab dan Somalia di Afrika kini dianggap ‘Teluk Paling Bahaya’ di dunia. Namun, lebih 21,000 kapal masih melaluinya setiap tahun memandangkan ia merupakan laluan air pintas yang menghubungkan Eropah dan Asia menerusi Terusan Suez. Lanun moden Somalia dianggap licik, sofistikated dan melanun untuk meraih wang tebusan jutaan dolar yang begitu besar nilainya di negara Somalia yang kebanyakan rakyatnya hidup dalam kedaifan. 

Menurut seorang penganalisis politik untuk saluran BBC, Mohamed Mohamed, kumpulan lanun Somalia dibentuk oleh pakar dalam tiga bidang berbeza. Berpura-pura menangkap ikan sebelum menyerang kapal dagang menjadi taktik popular lanun Somalia. Ia termasuk bekas nelayan yang menjadi ketua kerana kepakaran mereka mengenai laut, bekas militan yang mempunyai kemahiran bertempur dan juruteknik sokongan yang mahir mengendalikan peralatan operasi berteknologi tinggi seperti telefon satelit, kelengkapan ketenteraan dan sistem kedudukan global (GPS). Selain menjadi lanun, mereka juga berniaga senjata api di Yemen dan Mogadishu. Mereka juga memberi perkhidmatan pinjaman wang. Kawalan keselamatan yang semakin longgar menjadikan ratusan lelaki yang bersenjata memilih untuk menyertai kumpulan perompak laut apatah lagi ‘kerjaya’ itu menjanjikan kehidupan yang mewah di Somalia.

Seorang penduduk di Gawoore, Puntland, iaitu negeri yang paling ramai penduduknya menjadi lanun, Abdi Farah Juha, berkata, kekayaan hasil daripada merompak membolehkan lanun Somalia hidup senang. Mereka ada duit, ada kuasa dan kumpulan mereka semakin kuat dari sehari ke sehari. Mereka berkahwin dengan wanita muda yang cantik, membina rumah besar serta memiliki kereta dan senapang baru. Kerjaya sebagai lanun boleh diterima masyarakat, malah sudah menjadi satu trend. Bagi rakyat yang sebelum ini terpaksa menjadi mangsa konflik antara puak selepas kejatuhan Presiden Mohamed Siad Barre pada tahun 1991, hasil daripada aktiviti melanun dianggap sebagai habuan termewah dalam hidup mereka. Kebanyakan lanun berusia 20 hingga 35 tahun dan mereka melakukannya kerana wang. Mereka tidak pernah dilihat bergaduh sesama sendiri kerana terikat dengan perjanjian wang malah lanun yang tercedera juga jarang ditemui. 

Walaupun ada di kalangan mereka yang ditangkap dan mati di tangan tentera asing, aktiviti lanun Somalia tidak tergugat. Adakah lanun Somalia sangat ganas dan tidak boleh dikalahkan walaupun oleh pasukan tentera marin terbaik dunia? Mengulas senario lanun yang semakin serius, Pensyarah Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain menyifatkan kejatuhan regim Mohamed Siad mengakibatkan Somalia berada dalam keadaan lebih kritikal selepas tiada kerajaan pusat yang sahih untuk mentadbir negara tersebut. Perang saudara antara dua wilayah di Somaliland dan Puntland memburukkan lagi keadaan. Tambah Atory, ketiadaan undang-undang dan pentadbiran sistematik menjadikan Somalia sebuah negara bebas atau digelar anarki. 

Pergolakan terjadi di mana-mana termasuk perairan negara kerana setiap kawasan pantai dikawal militan tertentu yang diketuai pemimpin puak. Keadaan yang kucar-kacir menyebabkan rakyat semakin tersepit. Desakan hidup memaksa mereka menjadi apa saja walaupun perlu merompak dan menjadikan anak kapal sebagai tebusan. Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Pengajian Strategi, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff pula berpendapat modus operandi yang dijalankan oleh lanun Somalia bersifat profesional dan sistematik. Setiap kapal asing yang melalui perairan Somalia perlu membayar cukai atau royalti kepada militan yang mengawasi kawasan itu. Keengganan akan menyebabkan pemimpin puak bertindak lebih agresif dengan menyerang dan merampas barangan daripada kapal asing tersebut. 

Selain itu, tindakan pemberian permit kepada kapal asing untuk menangkap ikan di perairan tersebut tanpa menghiraukan penduduk tempatan turut membangkitkan kemarahan rakyat tempatan. Bimbang hak asasi dirampas oleh pendatang asing, tindakan lebih ganas dipilih bagi mengelakkan penindasan ke atas mereka. Bagaimanapun, istilah lanun yang dilabelkan pedagang antarabangsa sebenarnya bukan berpunca daripada tindakan agresif mereka semata-mata. Pada awalnya pengiktirafan diberikan kepada beberapa puak sahaja untuk menguasai wilayah tertentu di Somalia namun apabila kuasa itu berjalan, komuniti antarabangsa pula melabelkan mereka sebagai lanun. Oleh kerana tiadanya pengawasan antarabangsa maka jumlah kes berkaitan lanun di perairan tersebut semakin meningkat berikutan desakan untuk mendapatkan wang membeli senjata.

SUMBER : KOSMO AHAD, 13 FEBRUARI 2011