JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Ogos 2012

ISU IPT : DIKRITIK KERANA GAGAL LAKSANA FUNGSI


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin


Sedikit sebanyak, isu membabitkan mahasiswa pasti mengganggu minda masyarakat, apatah lagi kebangkitan golongan itu kebelakangan ini agak ketara. Kebangkitan itu juga ibarat isyarat mahasiswa hari ini lebih mudah dipengaruhi atau terpengaruh dengan sesuatu isu berbentuk provokasi berbanding perkara rasional. Sedangkan antara matlamat utama institusi pengajian tinggi (IPT) ialah membantu mentransformasikan minda serta diri mahasiswa menjadi lebih terbuka, peka, dinamik dan berwibawa. Namun, usaha itu tampak sukar dengan mentaliti mahasiswa sukar diubah. Apakah peningkatan nilai ilmiah di kalangan mereka masih lagi di takuk lama? Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, proses itu berdepan halangan kerana mereka sendiri membuat batasan terhadap perubahan ingin dilakukan.

Beliau berkata, transformasi mudah jika dilaksanakan melalui kata-kata, sebaliknya perubahan bagi menganjakkan nilai pemikiran serta perbuatan adalah cabaran terbesar. “Semua boleh melakukan transformasi melalui kata-kata, tapi hakikatnya mereka akan gagal jika melaksanakannya melalui perbuatan. Ini menunjukkan transformasi bukan mudah kerana berkait rapat dengan cara berfikir, kesedaran dan motivasi melakukan perubahan. Masalahnya, cara pemikiran mahasiswa kita tidak sama serta ada pelbagai definisi. Itu menyebabkan proses perubahan yang ingin dilaksanakan sukar dan bersimpang-siur,” katanya. Pembabitan mahasiswa yang lebih menjurus kepada perlakuan negatif kebelakangan ini cukup membimbangkan masyarakat, apatah lagi mereka mengharapkan golongan itu sebagai ejen perubahan masa depan. Kegusaran semakin bertambah apabila melihat mudahnya mereka dipergunakan dalam ‘memanaskan’ sesuatu isu hingga menimbulkan tanggapan kurang menyenangkan.

Apatah lagi pencapaian sebahagian besarnya yang kurang cemerlang dalam akademik menjadikan mereka sasaran mudah untuk disalahkan. Natijahnya, IPT sebagai tempat naungan turut menerima kritikan dengan tanggapan gagal melaksanakan fungsi sebenar memberi pendidikan. “Mahasiswa yang menggunakan nama IPT sebagai tempat untuk meluahkan rasa tidak puas hati dianggap sebagai tidak tahu berterima kasih. Biarpun ia bukan kesalahan institusi itu, tapi kerana perlakuan mahasiswanya, ia turut mendapat nama busuk. Bagaimanapun, masyarakat jangan membuta tuli membuat tanggapan, perlu mengakui bukan mudah membantu generasi muda ini melakukan transformasi. Melaksanakan transformasi perlu lahir daripada hati yang ikhlas serta pemikiran matang. Belajarlah di institusi terbaik di dunia sekali pun, jika mahasiswa enggan berubah, segala usaha menjadi sia-sia,” katanya.

Usaha tranformasi perlu memberi penekanan kepada mahasiswa Melayu kerana mereka mudah terpengaruh dengan isu di luar kampus sehingga membawa masalah kepada IPT. Menurutnya, mereka yang tidak bertanggungjawab sering mengintai peluang di kalangan mahasiswa kerana tahu golongan itu ‘mempunyai kuasa untuk bersuara’. “Jangan menafikan bahawa mahasiswa antara jentera paling berpengaruh di dunia, justeru pihak berkepentingan peribadi suka mengambil kesempatan. Mereka tahu sejauh mana kemampuan mahasiswa ini. Sebab itu pentingnya mereka mempunyai pengukuhan jati diri dengan melakukan transformasi minda dan diri bagi mengelak diperdaya. Malangnya, bukan semuanya dalam kategori ‘bijak’. Ramai yang pandai tapi ada pandai memanipulasi atau mudah dimanipulasi hingga menjejaskan keseluruhan sistem sedia ada,” katanya.

Transformasi adalah satu 
frasa perubahan dan menjadikan 
mereka lebih baik.
Jika tidak, 
frasa kehidupan akan mati.

“Transformasi juga boleh membantu menyelamatkan masa depan mereka daripada terus menjadi ‘hamba’ orang lain. Perubahan yang positif boleh melahirkan generasi terbilang,” katanya. Beliau turut kesal kerana kebanyakannya sukar berubah hingga menyebabkan kualiti mahasiswa hari ini mudah dipersoalkan. “Setiap IPT komited menjalankan tanggungjawabnya seperti menyediakan pensyarah  yang bagus dan kemudahan terbaik, namun berapa ramai yang nampak kelebihan ini? “Betul mereka belajar tapi hanya ilmu yang sudah ada sedangkan banyak lagi boleh diterokai. Berapa ramai mahasiswa yang suka membuka mulut di dalam kuliah? Berapa ramai sanggup mengejar pensyarah hanya kerana ingin bertanyakan soalan? “Saya percaya senario ini sama seperti 20 tahun dulu. Kebanyakannya pasif menjadikan institusi ‘terpaksa’ melahirkan mahasiswa bertaraf sederhana,” katanya.

Bagaimanapun, jika ada kemahuan, mahasiswa pasti mampu melonjakkan keupayaan dan meletakkan kemampuan pada tahap membanggakan. “Bukankah universiti adalah gedung ilmu, mengapa tidak menggunakan peluang ini sebaiknya tanpa perlu ‘menambah’ perencah yang boleh memusnahkan diri sendiri? “Malangnya kebanyakan mahasiswa lebih teruja ke arah itu, sekali gus terus meninggalkan persepsi serta pandangan skeptikal yang tidak berubah kepada masyarakat,” katanya.

Sumber
Harian Metro
30 Julai 2012


ISU SOSIAL : BENCANA MENUNGGU PENGGUNA LEBUH RAYA


Rencana ini ditulis oleh :
DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.


Memandu di lebuh raya terutama arah timur, barat, utara atau selatan tidak lagi mengundang keselesaan. Tanpa mengira waktu, baik di awal pagi, rembang tengah hari atau waktu dinihari sudah tidak lagi terasa ketenteramannya. Malah setiap kali terpaksa memandu melalui lebuh raya ini para pengguna sentiasa diancam kebimbangan bakal berhadapan dengan kemalangan. Umpama memasuki medan peperangan, yang mana risiko kecederaan dan kematian sentiasa terbayang dalam minda. Ini dikukuhkan dengan bukti yang saban waktu kita baca, kita lihat paparannya di media bagaimana ngerinya kemalangan yang bukan sahaja meragut satu nyawa pada satu ketika tetapi memakan korban hingga puluhan nyawa. Ia bukan sahaja sekadar kematian yang ditangisi oleh keluarga mangsa tetapi sebenarnya mendatangkan kerugian besar kepada negara dari impak ekonomi, pelaburan dan tenaga kerja. Malah rata-rata yang terkorban adalah dalam lingkungan umur yang produktif.

Pelbagai kempen serta penguatkuasaan sudah dilaksanakan namun statistik kemalangan jalan raya di negara kita tidak pernah menurun. Malah menunjukkan peningkatan dan menelan korban yang semakin ramai. Tentu ada yang tidak kena. Mustahil penyakit tidak mempunyai ubat dan penawarnya atau masalah tidak menemui penyelesaian dan menjadi usai begitu sahaja. Sedangkan masalah global boleh kita maju ke hadapan menjadi juara takkanlah pula masalah di jalan raya kita sudah buntu menggaru kepala? Malangnya, kita semua sudah seperti hilang punca dan cara dan menyerahkan semua pada pihak berkuasa. Pihak berkuasa mana pula agaknya yang patut menjadi juara? Ini pun menjadi satu lawak jenaka apabila berlaku upacara tuding menuding dan saling melepaskan tengkuk masing-masing.

Cuba kita perhatikan di lebuh raya yang mempunyai tiga lorong. Bagaimana sikap buruk pemandu kita yang memandu perlahan di lorong paling kanan. Ini mengundang rasa marah kepada pemandu di belakang yang tidak dapat memotong. Alasan mereka, had laju cuma 110 kilometer sejam jadi kiranya sudah memandu pada had laju berkenaan orang di belakang sudah melanggar undang-undang, jadi persetankan mereka. Benarkah begitu cara pemanduan di lebuh raya? Kemudian kita lihat kenderaan berat dan komersial. Baik lori, bas, teksi, van, treler bukan sahaja memandu melebihi had laju malah saling berlumba. Bukan setakat lorong yang diperuntukkan kepada mereka yakni lorong pertama dan kedua tetapi sudah bermaharajalela di lorong paling kanan yang sememangnya 'diharamkan' untuk mereka. Tetapi dengan selamba mereka memandu di lorong itu bukan setakat waktu memotong tetapi kadangkala berjam lamanya berada di lorong berkenaan.

Tidakkah mereka diberi kursus wajib sebelum mendapat lesen PSV mengenai tatacara memandu di lebuh raya? Sudahlah begitu, dengan barangan yang dibawa terdedah seperti sampah sarap, pasir, malah daging babi yang menjengkelkan memang menggambarkan seolah-olah tidak ada undang-undang dan peraturan yang perlu mereka patuhi. Menjadi kepantangan kepada golongan pemandu kenderaan komersial ini jika diberi lampu atau dihon supaya ke tepi, alamat bala bakal menanti sama ada ditunjuk isyarat lucah dihimpit malah dibaling dengan botol minuman juga seringkali berlaku. Tidak cukup dengan itu, kini penunggang motosikal juga sudah berani menunggang secara cilok ke tepi dan ke tengah tanpa menghiraukan keselamatan diri seolah-olah mereka berada di jalan persekutuan dan menganggap cara pemanduan begitu dibenarkan di atas lebuh raya.

Lebih merisaukan apabila lebuh raya seperti Lebuh Raya Koridor Guthrie yang sudah menyediakan lorong khusus untuk motosikal juga tidak berupaya menghalang laluan lebuh raya dirampas oleh penunggang motosikal. Alasannya, lorong motosikal lebih terpencil, jauh dan sunyi sehingga memungkinkan berlaku kejadian jenayah. Tetapi yang menjadikan lorong motosikal itu sunyi adalah disebabkan mereka sendiri tidak menggunakannya. Sudah tentu banyak tanda tanya kini berlegar di minda kita bagaimana ini boleh berlaku dan bagaimana pula boleh terjadi sedemikian atau apa pula caranya untuk diselesaikan? Sebenarnya banyak yang boleh dilakukan selain operasi menjelang perayaan atau saman ekor dan saman acilut macam orang main polis sentry di pedalaman dahulu kala. Sambil menyorok ambil gambar sudah tentu seronok menghantar saman yang mana keberkesanannya memang diragukan.

Malah menimbulkan kemarahan rakyat seperti mana menganiaya pemandu dan sengaja pula ditahan jerat di kawasan-kawasan yang tidak munasabah seperti had laju turun bukit adalah 80 km sejam lantas di hujung sana sudah menunggu mangsa yang jika menekan brek ketika menurun bukit akan mengundang bencana belakang dihentam oleh pemandu di belakang. Sudah sampai masanya, anggota penguat kuasa ini diberikan modul khusus penguatkuasaan yang lebih komprehensif bagi menangani isu-isu di atas. Kehebatan dan kesamsengan pemandu kenderaan berat dan komersial di negara kita memang sudah menjadi buah mulut kepada pelancong asing yang datang hingga timbul komentar sebahagian daripada mereka bahawa rakyat negara ini memang amat tinggi budi bahasa mereka kecuali bila berada di jalan raya. Atau lebih menyakitkan telinga apabila mereka memberikan komen bahawa ekonomi negara sudah menghampiri negara pertama tetapi minda masih ditakuk lama.

Jadi kepada siapa ingin kita marah? Pada pemerintah, pada penguat kuasa, pemandu jentera atau pada diri kita sendiri? Kerana itu, berbalik semula kepada perkara asas yakni semuanya perlu dilaksanakan secara penuh komited serta berterusan bukan setakat bermusim atau ikut sedap. Seperti kempen memasang lampu di kenderaan berat yang menyala apabila dipandu melebihi had, atau memasang GPS dan kotak hitam yang boleh merekod aktiviti pemandu kenderaan seperti had laju, jarak perjalanan, dan juga laluan yang digunakan sebenarnya tidak akan berkesan jika sekadar melepas batuk di tangga semata-mata. Kita tidak pernah melihat sebarang papan tanda memaparkan bagaimana cara menggunakan lebuh raya selain amaran-amaran seperti kenderaan berat ikut lorong kiri. Kadangkala ditulis kenderaan berat dilarang memotong. Malangnya, tidak ada satu pun yang menunjukkan bagaimana cara betul menggunakan lebuh raya dua lorong, tiga lorong dan seterusnya. Malah tidak ada juga ditunjukkan larangan kepada kenderaan komersial yang tidak boleh menggunakan lorong paling kanan sehingga ramai yang tidak menyedari ia menjadi satu kesalahan.

Oleh itu, adalah baik sekiranya dilaksanakan kempen khusus terutama oleh pihak pengendali lebuh raya sendiri sebagai tanggungjawab sosial mereka dengan menggunakan pelbagai medium terkini supaya ilmu pemanduan sedia ada boleh dipertingkatkan. Pada masa sama, Plus Ronda turut diberi kuasa membantu penguat kuasa untuk mengenakan tindakan, memberi tunjuk ajar atau menghambat keluar penjenayah lebuh raya ini ke jalan biasa sekiranya masih berdegil dengan sikap biadab mereka ini. Ia seperti mana yang diperolehi oleh Penguatkuasa Dewan Bandaraya yang diberikan kuasa menyaman pesalah trafik ketika ini. Polis, JPJ, SPAD, MKJR dan sebagainya perlu melaksanakan usaha sama secara bersepadu dengan modul khusus secara berterusan. Ia memang terbukti mampu dilaksanakan sebagaimana kejayaan Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan Strategi Gelombang Biru mereka yang menggabungkan pelbagai agensi dalam gerak kerja membanteras jenayah, mengekang dan membetulkan perspektif umum terhadap indeks jenayah di negara ini.

Sumber :
Utusan Malaysia
1 Ogos 2012

PERJUANGAN KITA BELUM SELESAI
JANGAN DILANGSAIKAN DI JALAN RAYA
INGATLAH ORANG YANG TERSAYANG
MEREKA PERLUKAN KITA
KITA PERLUKAN MEREKA

ISU SOSIAL : BUAT PINJAMAN UNTUK BERAYA SAKAN


Oleh Fauziah Arof


Iklan promosi menyambut Hari Raya Aidilfitri, daripada kain, langsir, produk minuman, makanan, jubin lantai dan entah apa lagi semuanya dikaitkan dengan perayaan itu. Dan yang paling menarik perhatian adalah iklan daripada sebuah institusi kewangan yang menawarkan pinjaman wang sempena Hari Raya. Wah, semua pihak mahu mengambil kesempatan sempena Hari Raya untuk melariskan produk-produk termasuk perkhidmatan. Semuanya mahu menggalakkan orang kita berbelanja besar dan sakan untuk menyambut Syawal ini. Dan jika anda lihat di laman sosial terutamanya Facebook dan iklan-iklan di Internet, ramai juga yang menjadi agen kepada mana-mana syarikat kewangan berlesen mengajak rakan-rakan mengambil pinjaman yang ditawarkan sempena hari raya, ada yang mencapai sehingga RM50,000! Memang hebat penangan iklan-iklan tersebut, jika tidak fikir panjang, ramai yang pasti terjerat untuk meminjam walaupun sebenarnya tidak ada keperluan langsung atau terdesak pun.

Perlukah kita sampai ke tahap meminjam wang pada bank atau syarikat kewangan berlesen untuk menyambut Hari Raya? Itu belum lagi masuk khidmat ceti-ceti haram atau ah long. Dengan kakitangan awam mendapat bonus setengah bulan, pesara pun dapat bonus, peneroka Felda juga, tentu ini dapat melegakan sedikit sebanyak persediaan golongan ini untuk menyambut hari lebaran itu. Kepada kakitangan swasta, tidak mendapat bonus tidak semestinya perlu meminjam sana sini. Memanglah perit kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk menyediakan segala persiapan Hari Raya terutamanya dalam memenuhi keperluan dan permintaan anak-anak dengan pendapatan yang tidak banyak. Tetapi sekiranya anda memilih untuk membuat pinjaman bank atau syarikat kewangan, ia pasti akan menambah beban tanggungan anda selepas ini. Nanti, raya sudah habis sebulan, hutang sehingga raya tahun depan pun belum tentu habis.

Kita mesti ingat beberapa bulan lagi, pejam celik, pejam celik, musim persekolahan sesi tahun depan pula akan bermula. Perbelanjaan ini lebih penting dan besar kepada yang mempunyai ramai anak. Pada masa itu, masihkah kita mahu meminjam lagi? Sebaik-baiknya, perbelanjaan diatur mengikut kemampuan diri sendiri dan keluarga. Perlukah kita berhabis-habisan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sedangkan agama kita turut menuntut kita bersederhana dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri dan keluarga kelak. Sekiranya kita berbelanja secara berhemah, tidak mengikut rasa, ukur baju di tubuh sendiri dan berbelanja atas perkara-perkara yang perlu, sudah pasti isu-isu melibatkan kewangan setiap tiba Hari Raya dapat diatasi. Dan kita juga dapat menjalani ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan ini dengan hati dan fikiran yang tenang, fokus, tanpa diserabutkan dengan masalah-masalah kewangan.

Kita perlu mensyukuri dengan kemakmuran yang diberikan Tuhan di negara ini, di bulan Ramadan, kita dapat berpuasa, membuat amal ibadah dengan aman, serba serbi ada, sedangkan umat Islam di negara lain seperti Somalia dan umat Islam Rohingya di Myanmar bukan sahaja tiada makanan untuk bersahur, berbuka pun begitu juga. Inikan pula hendak membuat persiapan seperti kita untuk menyambut raya. Dan ada juga suami isteri yang tidak bertegur sapa, bertengkar di bulan yang mulia ini kerana hal-hal perbelanjaan untuk berhari raya! Yang peliknya, pada Hari Rayalah semua benda hendak ditukar baru. Seolah-olah kalau tidak ditukar, tidak boleh beraya. Dan berlaku juga amalan pembaziran, sehingga ada kuih raya yang dibeli masih ada apabila menyambut Hari Raya Aidiladha nanti. Ada yang membeli baju berpasang-pasang, sudahnya berlapuk disimpan di dalam almari dan dipakai setahun sekali sahaja.

Dalam pada itu, kita juga meminta pihak yang berkaitan agar membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap peniaga-peniaga yang mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan sesuka hati. Dengan pemberian bonus kepada kakitangan awam, pesara, peneroka Felda dan kecenderungan orang kita berbelanja sakan untuk menyambut Aidilfitri ini, kita bimbang ramai peniaga yang ‘gatal’ menaikkan harga barangan. Selain isu harga, kualiti barangan juga perlu ditengok sama. Dalam berbelanja kitalah sebenarnya menentukan apa yang perlu, apa yang tidak, bukannya promosi atau iklan-iklan produk. Jika mampu berbelanja lebih, tidak mengapa, jika tidak, kesannya mungkin menganggu kesejahteraan dan kualiti hidup kita dan keluarga dalam tempoh yang agak panjang.

Sumber :
Utusan Malaysia
1 Ogos 2012

MENGAPA HARUS 
MENGORBANKAN KEBAHAGIAAN JANGKA PANJANG UNTUK 
MENIKMATI KEBAHAGIAAN 
JANGKA PENDEK?

ISU GLOBAL : HARAPAN KEAMANAN DI BUMI SOMALIA


Teks dan Gambar METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


Empat kunci utama Somalia mampu mencapai semula keamanan." Itu yang digariskan oleh Presiden Wilayah Udubland, Ibrahim Abdullah Addo ketika ditanya mengenai harapan untuk melihat bumi Somalia kembali ke landasan keamanan hakiki. Bagi Ibrahim Abdullah, biar dunia melihat Somalia sebagai negara paling tidak selamat, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan dalam mengejar harapan menjadikannya sebagai negara aman dan sejahtera. Untuk itu, jelasnya, Somalia perlu memperkukuhkan kembali sistem politiknya, selain ekonomi dan keselamatan serta ketenteraan. Penglibatan masyarakat antarabangsa, ujar beliau, dalam menghulurkan sokongan dan bantuan menerusi misi kemanusiaan juga mampu menyumbang kepada 'pencarian' harapan berkenaan.

''Konflik bersenjata dan pergolakan yang berlarutan di Somalia selama dua dekad mampu diselesaikan menerusi empat komponen itu. Namun, Somalia yang kaya dengan pelbagai sumber asli, perikanan dan pertanian tidak akan memberi sebarang makna jika pergolakan masih berterusan. ''Tahun ini sahaja beberapa pelabur menyatakan minat untuk mengusahakan pengeluaran gas asli di Somalia. Ini juga tidak akan berjaya jika kita (rakyat Somalia) tidak bersatu. Malaysia sendiri pun 'takut' untuk melabur di sini ekoran faktor keselamatan. Justeru, dengan penglibatan misi kemanusiaan, ia diharap dapat membuka mata kita semua bahawa Somalia perlu kembali mengecap keamanan. ''Malaysia sebagai contoh, tiga tahun lebih awal mencapai kemerdekaan berbanding Somalia. Ia bukanlah jarak yang jauh. Tetapi Malaysia jauh meninggalkan Somalia dan menjadi negara yang makmur. Kita punyai kekuatan tersendiri tetapi tidak akan mencapai kejayaan jika tiada kekuatan politik, ekonomi dan keselamatan," katanya.

Pemerhati Hak Kemanusiaan (HRW) baru-baru ini mendakwa semua pihak bertelagah dalam konflik di Somalia telah melanggar undang-undang perang dan bersalah menyebabkan kematian orang awam, keadaan yang menyumbang kepada bencana kemanusiaan di negara tersebut. Al-Shabab, kumpulan militan yang mengawal sebahagian besar kawasan di Somalia bersalah melakukan kekejaman manakala tentera kerajaan pula melakukan penangkapan dan penahanan tanpa usul periksa. Apa yang menyedihkan, keganasan di Mogadishu telah mengganggu pengagihan bantuan kepada berpuluh ribu orang yang kebuluran ekoran kemarau dahsyat yang melanda negara itu sejak tiga tahun. Ibrahim Abdullah memberitahu, dalam mencari kaedah penyelesaian di Somalia, rakyat Somalia sendiri harus bersama bersatu dalam mencari kaedah terbaik menuju keamanan.

Ditanya mengenai peranan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam menyelesaikan konflik di Somalia, katanya, pertubuhan itu tidak kompeten untuk melakukan perkara tersebut. ''Apa yang mereka boleh lakukan? Mereka tidak kompeten. Sekarang pun banyak isu melanda negara Islam seperti Libya dan Mesir," tambahnya. Kepada soalan tentang perkembangan pendidikan di Somalia, katanya, rakyat Somalia sememangnya dahagakan pendidikan tetapi sistem pendidikan di negara itu tidak mampu untuk berjalan dengan baik kerana kegagalan kerajaan pusat berfungsi dalam mentadbir negara. Sedikit latar mengenai Somalia, tujuh tahun selepas mencapai keamanan pada 1960, ketika berlangsungnya pilihan raya Presiden, Abdirashid Ali Shermarke dilantik menjadi Presiden Somalia yang kedua. Malangnya, beliau dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri.

Justeru, Sheikh Mukhtar Mohamed Hussein kemudiannya dilantik menjadi Presiden sementara. 'Hayat' Sheikh Mukhtar untuk menerajui Somalia tidak berpanjangan apabila Mohamed Siad Barre menjalankan 'operasi' rampasan kuasa pada 21 Oktober 1969. Sungguhpun memerintah secara kuku besi, beliau berjaya membawa Somalia ke tahap tinggi dalam pembangunan negara. Siapa sangka, Somalia ketika era 1970-an turut digeruni lantaran kekuatan dalam bidang ketenteraan di bawah pemerintahan Mohamed Siad. Namun, detik-detik kehancuran Somalia berputik menjelang 1991 tatkala Mohamed Siad dijatuhkan oleh beberapa puak di utara dan selatan. Dan, ketika itu wilayah utara di Somalia bertindak mengisytiharkan kemerdekaan dengan menggunakan nama Somaliland. Ia bagaimanapun tidak mendapat pengiktirafan dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Lantaran kekalutan, Somalia diletakkan di bawah penguasaan Kerajaan Peralihan Persekutuan (TFG). Ia bagaimanapun tidak mempunyai 'taring' untuk berkuasa di hampir keseluruhan Somalia apabila wilayah selatannya dikuasai militan Al-Shabab. Memeranjatkan, permusuhan dan perpecahan kalangan rakyat Somalia yang terjadi sekitar 1991 masih berlarutan hingga kini. Segalanya musnah dan Somalia yang satu ketika cukup disegani di kalangan benua Afrika kini bertukar menjadi miskin dan mundur.

Sumber :
Utusan Malaysia
5 Oktober 2011