JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Oktober 2010

ISU SOSIAL : PELAJAR WANITA LEBIH RAMAI DARIPADA PELAJAR LELAKI DI UNIVERSITI


TAJUK KARANGAN:
Kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPTA dan IPTS di negara kita semakin serius. Mengapakan fenomena ini berlaku dan cadangkan usaha-usaha untuk mengatasinya.



Isu pelajar wanita lebih ramai di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sama ada IPTA aatu IPTS semakin membimbangkan banyak pihak.  Hakikatnya, isu itu bukanlah perkara baru. Saban tahun, setiap kali tiba sesi kemasukan pelajar baru ke IPT, isu ketidakseimbangan jantina menjadi antara topik utama yang dibincangkan atau diutarakan. Kebimbangan terhadap trend pelajar wanita yang menguasai IPT pernah disuarakan sebelum apabila nisbah menunjukkan pelajar lelaki dan perempuan ialah 60:40, iaitu 60% bagi pelajar perempuan dan 40% bagi lelaki. Tidak dinafikan bahawa pelbagai punca telah menyebabkan fenomena ini berlaku dan langkah-langkah yang sepatutnya harus diambil untuk mengatasinya.



Pada pendapat saya, kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT adalah disebabkan oleh masalah kekeluargaan. Pada masa sekarang, kos hidup masyarakat semakin meningkat. Hal ini menyebabkan kebanyakan keluarga kekurangan kemampuan untuk membiayai pengajian anak mereka di universiti. Oleh itu, kebanyakan pelajar lelaki terpaksa berdikari untuk mencari peluang pekerjaan bagi menanggung kos hidup keluarga. Selain itu, ibu bapa yang berfikiran bahawa anak perempuan wajar mempunyai kerjaya yang boleh memperuntukan lebih banyak masa dengan keluarga juga turut menyumbang kepada jurang perbezaan ini. Anak perempuan digalakkan untuk memilih bidang yang bersifat akdemik. Oleh itu, tidak menghairankan apabila jumlah mereka terus meningkat di universiti. Ringkasnya, kekurangan bilangan lelaki di IPT adalah disebabkan oleh masalah kekeluargaan.



Selain itu, sikap pelajar lelaki sendiri juga merupakan salah satu punca yang meyebabkan masalah kekurangan pelajar lelaki di IPT. Kajian awal mendapati bahawa sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan memberi kelebihan kepada pelajar perempuan berbanding dengan lelaki. Hal ini demikian kerana konsep pendidikan tersebut memerlukan ketekunan dan semangat mengulang kaji pelajaran yang tinggi. Lelaki sekarang tidak ramai yang ulat buku, sebaliknya lebih selesa mengembangkan bakat dan kemahiran diri secara praktikal. Mereka lebih gemar belajar di Kolej Komuniti seperti Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Mara(IKM), biarpun sebenarnya berkelayakan melanjutkan pelajaran di IPT. Pendek kata, masalah kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT adalah disebabkan oleh sikap pelajar lelaki sendiri.



Selain itu, sistem meritokerasi yang diamalkan sejak beberapa tahun lalu juga menjadi punca kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT. Walaupun ada saranan supaya sistem kuota digunapakai bagi membendung fenomena ini, namun ia bukanlah langkah terbaik. Kebanyakan IPT membenarkan pelajar lelaki masuk ke IPT atas alasan menyempitkan jurang dengan mengorbankan aspek kualiti dan minat. Keadaan ini akan meruntuhkan imej universiti sebagai penjana graduan cemerlang dan berkualiti. Kecemerlangan pelajar perempuan seharusnya menyuntik semangat kepada pelajar lelaki untuk bersaing secara sihat. Pelajar perempuan tidak harus mempertikaikan pemilihan jumlah pelajar perempuan yang ramai di IPT. Tuntasnya, sistem meritokrasi yang dilaksanakan telah menjadi salah satu punca menyebabkan kekurangan pelajar lelaki di IPT.



Di sebaliknya, langkah yang wajar yang perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT ialah melalui peranan pihak IPT. Mereka harus menawarkan lebih banyak kursus yang digemari oleh pelajar lelaki. Pada masa sekarang, kebanyakan lelaki tadak minat belajar. Oleh itu, pihak IPT harus menawarkan lebih banyak kursus yang istimewa dan dapat menarik minat pelajar lelaki untuk melanjutkan pelajaran ke IPT. Selain itu, pihak IPT tidak harus hanya menerima pelajar perempuan yang lebih mahir daripada pelajar lelaki. Pihak IPT juga harus memberi peluang kepada pelajar lelaki yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPT. Pendek kata, pihak IPT telah memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah kekurangan pelajar lelaki di IPT.



Selain itu, kerajaan juga harus mengadakan kempen dan ceramah kesedaran terhadap pelajar lelaki. Kerajaan harus mengadakan ceramah di sekolah untuk menggalakkan pelajar lelaki melanjutkan pelajaran ke IPT. Melalui cara ini kita dapat memupuk semangat belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh dalam kalangan pelajar lelaki. Dengan ini, pelajar lelaki dapat bersaing secara sihat dengan pelajar perempuan di IPT. Pelajar lelaki harus sedar bahawa mereka akan dipandang rendah apabila taraf pendidikan mereka labih rendah daripada kaum wanita. Oleh itu, dengan mengadakan kempen dan ceramah kita dapat mengatasi masalah ini.



Bukan itu sahaja, penawaran pelbagai ganjaran dan kemudahan  kepada pelajar lelaki juga dapat mengatasi masalah kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT. Tawaran khas seperti membekalkan biasiswa, pinjaman dan tempat tinggal harus ditawarkan khusus kepada pelajar lelaki. Keadaan ini dapat menarik minat pelajar lelaki melanjutkan pelajaran ke IPT. Penawaran biasiswa dan pinjaman kepada keluarga mereka pasti dapat membantu pelajar lelaki tersebut membiayai pengajian semasa belajar di universiti. Mereka tidak perlu risau mengenai masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga mereka. Dengan ini, keadaan kekurangan pelajar di IPT dapat diatasi. Oleh itu, strategi ini merupakan salah satu langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah kekurangan bilangan pelajar di IPT.



Kesimpulannya, masalah kekurangan pelajar lelaki merupakan satu masalah yang serius dan akan membawa kesan buruk terhadap masyarakat pada masa hadapan jika tidak diatasi mulai dari sekarang. Hal ini demikian kerana ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai IPT terus berlaku. Oleh itu, pihak yang berkenaan harus berganding bahu bagi mengatasi masalah ini. Mahu tidak mahu, kita hendaklah terus berhadapan dengan dunia yang penuh persaingan dan mereka yang berpendidikan akan terus maju ke hadapan. Hal ini seterusnya dapat melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang memang diperlukan negara untuk merealisasikan Wawasan 2020.

MORFOLOGI = FRASA ENDOSENTRIK DAN FRASA EKSOSENTRIK


Binaan frasa dibahagikan kepada dua jenis atau sifat iaitu :


A. FRASA ENDOSENTRIK

= Frasa yang mempunyai satu unsur inti
= inti tersebut mewakili seluruh frasa berkenaan
= Terdiri daripada Frasa Nama, Frasa Kerja, dan Frasa Adjektif

B. FRASA EKSOSENTRIK

= Frasa yang tidak mempunyai unsur inti
= inti tidak dapat mewakili keseluruhan frasanya
= Terdiri daripada Frasa Sendi Nama
= mengandungi unsur wajib iaitu Kata Nama atau Frasa Nama

FONOLOGI = CARA UDARA DILEPASKAN

PERINGATAN DARIPADA CIKGU ZUL
= Soalan ini selalu ditanya dalam STPM

PERBEZAAN CARA UDARA DIKELUARKAN

1. Vokal = Udara dikeluarkan tanpa sekatan
2. Letupan = Udara dilepaskan serta-merta
3. Letusan = Udara dilepaskan pelahan-lahan
4. Sengauan = Udara keluar melalui rongga hidung
5. Getaran = Udara mengetarkan hujung lidah
6. Sisian = Udara keluar melalui sisi lidah
7. Geseran = Udara keluar secara bergeser

FONOLOGI = KONSONAN LETUSAN

[ c ]

= Letusan lelangit keras tidak bersuara
= Pita suara tidak bergetar
= aliran udara ditahan apabila depan lidah ditemukan pada daerah lelangit keras
= sekatan udara dilepaskan pelahan-lahan

[ j ]

= Letusan lelangit keras bersuara
= Pita suara bergetar
= aliran udara ditahan apabila depan lidah ditemukan pada daerah lelangit keras
= sekatan udara dilepaskan pelahan-lahan

ISU EKONOMI : MEWUJUDKAN MALAYSIA MAKMUR


Kerajaan akan membentangkan Bajet 2011 pada pertengahan bulan Oktober 2010 nanti. Bajet kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Menteri Kewangan ini adalah untuk memenuhi agenda pelaksanaan rancangan bertahap dan jangka panjang khasnya Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMKe-10) dan Wawasan 2020. Apa juga bentuk bajet tahun depan adalah bermatlamat untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur. Sebahagian besar masalah dalam negara ini akan selesai apabila kehidupan rakyat sampai ke tahap makmur. Ini bukanlah perkara mudah kerana dalam perjalanan bagi mencapai matlamat itu, banyak rintangan yang terpaksa ditempuhi khasnya tentangan politik parti pembangkang. 

Tidak ada parti pembangkang di negara mana sekali pun mahu melihat kerajaan yang ditentang, berjaya memakmurkan negaranya. Bila negara maju dan rakyat hidup makmur, pembangkang ketiadaan isu untuk diperjuangkan. Ruang yang ada hanyalah dengan mengeksploitasi keadaan seperti berlaku hari ini.  Dalam keadaan semasa pun, pembangkang sebenarnya ketandusan isu untuk diputarbelitkan. Rakyat sebenarnya sudah pun berada pada garisan hidup selesa, walaupun belum sampai ke tahap makmur. Itulah sebabnya isu yang dihebohkan pembangkang hari ini bukan soal kemakmuran rakyat. Mereka menggunakan isu perkauman dan agama, selain tuntutan kebebasan dan hak asasi sebagai agenda perjuangan politik mereka. Apabila negara makmur pembangkang kehilangan modal untuk menentang kerajaan.

Kemakmuran negara akan menyebabkan rakyat hidup selesa dan masing-masing mempunyai peluang pekerjaan. Bila semua orang ada kerja, keluarga gembira dan banyak masalah sosial boleh diatasi. Walaupun masalah jenayah tidak boleh dihapuskan sepenuhnya kerana ia turut membabitkan faktor lain, ia boleh dikurangkan jika rakyat ada wang. Di Malaysia, masalah jenayah turut dikaitkan dengan pendatang asing, selain masalah psikologi dan latar belakang penjenayah. Kemakmuran negara juga akan menyebabkan rakyat mampu memiliki rumah yang selesa mengikut kemampuan masing-masing. Dengan fenomena suami isteri bekerja, pendapatan keluarga meningkat dan kemampuan untuk hidup selesa bertambah tinggi. Hari ini pembantu pejabat atau tukang kebun sekali pun, mampu memiliki kereta sendiri. Pastinya, kemakmuran negara juga meningkatkan kemampuan kerajaan dan sektor swasta membina banyak rumah kerana yakin dengan permintaan memiliki rumah yang tinggi. Permintaan membeli rumah dan kenderaan yang tinggi turut membuka ruang perniagaan yang besar kepada bank. Keyakinan bank memberi pinjaman menunjukkan kemakmuran hidup rakyat.

Secara tidak langsung, pembangunan fizikal begini akan mendorong peningkatan pembinaan prasarana lain daripada bekalan air dan elektrik hinggalah pembinaan jalan dan lebuh raya. Kemakmuran hidup akan meningkatkan kemampuan ibu bapa memberi peluang kepada anak mereka mengikuti sistem pendidikan negara tanpa sebarang masalah.  Selain menghantar anak ke sekolah, ibu bapa juga mengeluarkan wang untuk tuisyen. Masing-masing mahu anak mereka maju dalam pelajaran hingga ke peringkat tertinggi kerana yakin ia akan memudahkan mereka mendapat pekerjaan yang baik pada masa depan. Jika tidak yakin dengan kemudahan pekerjaan, sudah tentulah anak berhenti sekolah dan bekerja di pasar atau menjadi jurujual di kompleks beli-belah. Kemakmuran negara juga akan menyebabkan rakyat sihat. Jika sakit mereka mendapat rawatan sama ada di hospital kerajaan atau swasta.

Kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya membina hospital di bandar dan desa kerana mahu rakyat hidup sihat. Pihak swasta membina hospital di merata tempat kerana yakin sambutan rakyat untuk menggunakan kemudahan selesa yang disediakan, selain yakin dengan kemampuan rakyat untuk membayar bil yang lebih tinggi. Oleh itu, kemakmuran hidup rakyat mempunyai makna yang sangat besar kepada negara. Ia boleh mengubah suasana politik. Bila negara makmur dan rakyat hidup selesa, tidak ada sebab mereka menyokong parti pembangkang.  Rakyat perlu yakin dengan kemampuan kerajaan untuk memakmurkan negara. Malaysia adalah sebuah negara subur yang hanya didiami 26 juta rakyat. Banyak lagi potensi yang belum diterokai. Najib dan kerajaan pimpinannya bekerja keras untuk memakmurkan negara, termasuk mengadakan rundingan dengan syarikat multinasional di Amerika Syarikat dan setiap negara yang dilawatinya. Beliau sendiri berusaha menarik seramai mungkin pelabur supaya menanam modal di negara ini bagi mempercepatkan proses pembangunan rakyat dan negara.
 
Ukuran mudah mengenai kemakmuran ialah apabila seseorang individu boleh memiliki sesuatu barang yang berharga lebih daripada satu. Hari ini kemampuan mereka yang memiliki ‘lebih satu benda’ menjadi fenomena biasa bagi rakyat Malaysia. Sudah ramai rakyat memiliki lebih daripada sebuah rumah. Sebuah rumah untuk didiami dan selebihnya disewakan atau untuk bekalan anak-anak. Memiliki lebih daripada sebuah kereta juga menjadi perkara biasa – sebuah untuk pergi kerja, sebuah untuk kegunaan harian, sebuah lagi untuk keluarga khasnya kenderaan pelbagai guna. Ini tidak termasuk kereta untuk isteri dan anak. Telefon bimbit juga lebih daripada satu kononnya untuk lebih mudah berkomunikasi dan urusan lain. Mereka sebenarnya tahu tidak ada orang yang boleh bercakap serentak menggunakan lebih daripada satu telefon.  Di rumah ada telefon dan di pejabat juga ada telefon lain. Ini tidak termasuk kemudahan telefon untuk anak. Paling sensitif ialah apabila suami mempunyai lebih daripada seorang isteri.
 
 
Tajuk Rencana :Mewujudkan Malaysia makmur
Sumber : Berita Harian
Oleh Mior Kamarul Shahid
02 Oktober 2010

ISU SOSIAL : PENGHIJRAHAN TENAGA PAKAR DARI MALAYSIA KE LUAR NEGARA



Penghijrahan rakyat Malaysia ke luar negara bukanlah perkara baru. Kita biasa mendengar kisah kejayaan anak tempatan yang menjadi perantau ini. Dalam dunia fesyen misalnya, Datuk Jimmy Choo menempa nama besar sebagai pereka kasut bukan di Malaysia tetapi di luar negara. Datuk Michelle Yeoh juga terpilih menjadi Gadis Bond kerana resume panjangnya sebagai pelakon terkenal Hong Kong. Dari dulu, bukan rahsia apabila orang Cina dikatakan paling ramai berhijrah ke Australia dan Kanada. Namun pada masa itu, ia lebih kepada tindakan perseorangan untuk merantau menuntut ilmu atau cuba melebarkan sayap di tanah lain yang lebih hijau.

Oleh itu,  pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi Eksekutif Maybank Investment Bhd., Tengku Datuk Zafrul Aziz baru-baru ini, bahawa penghijrahan itu melibatkan hampir sejuta bakat tempatan dengan separuh daripadanya profesional, cukup mengejutkan. Dilaporkan 300,000 rakyat Malaysia telah berhijrah ke luar negara dalam tempoh setahun setengah sejak Januari 2008 berbanding tak sampai separuh daripadanya pada tahun sebelum itu. Jika dakwaan itu benar, ia perlu diberi perhatian serius. Langkah-langkah sewajarnya juga perlu diambil untuk menangani dan mengatasi fenomena tersebut.

Bayangkan apa yang akan berlaku kepada negara ini jika golongan profesional khususnya doktor, berbondong-bondong berhijrah. Siapa yang akan mengisi jawatan itu di hospital-hospital kita? Lompong yang ditinggalkan hampir setengah juta tenaga profesional itu jika tidak diisi sudah pasti akan menjejaskan sektor tertentu yang sekali gus membantutkan rancangan pembangunan negara.  Tidak mungkin kita hendak mengharapkan tenaga asing mengisi jawatan-jawatan profesional yang ditinggalkan. Justeru, strategi kerajaan menubuhkan Talent Corporation di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk menarik minat anak rantau berkemahiran tinggi kembali ke tanah air selain mengelakkan golongan profesional baru berhijrah ke luar negara, memang dialu-alukan. Bagaimanapun Talent Corporation perlu mempunyai mekanisme yang jelas dalam melaksanakan tindakan-tindakannya.

Sesuatu yang wajib dipastikan adalah dengan 'mengikat' pelajar tajaan di universiti terkemuka dalam dan luar negara untuk berkhidmat dengan kerajaan mahupun sektor swasta di Malaysia selepas menamatkan pengajian mereka. Difahamkan ramai penuntut Malaysia yang cemerlang di luar negara siang-siang lagi sudah 'disambar' oleh syarikat-syarikat konglomerat di negara tempat mereka belajar sebelum menamatkan pengajian lagi. Di Korea Selatan dan Jepun sahaja di mana ramai pelajar kita dihantar mengikuti jurusan kejuruteraan, hampir separuh daripada mereka yang sepatutnya pulang ke tanah air selepas berjaya menggenggam segulung ijazah, tidak berbuat demikian. Selain alasan menimba pengalaman, faktor gaji juga dijadikan asas untuk mereka 'menangguhkan' kepulangan ke Malaysia. Gaji asas yang ditawarkan mungkin tidak jauh bezanya dengan di dalam negara dari segi angka. Namun nilai tukaran mata wang yang nisbahnya di antara dua hingga tiga kali ganda, boleh mengelabui keputusan mereka.

Apatah lagi dengan glamor bekerja di negara asing. Jika mereka pulang sejurus habis belajar misalnya dalam jurusan kejuruteraan, mereka hanya akan dilayan sebagai jurutera biasa. Sebaliknya jika pulang dengan pengalaman bekerja di syarikat luar negara, tentulah resume mereka akan lebih berharga! Dalam hal ini, kita memahami tarikan-tarikan yang ada di luar sana. Justeru perlu ada strategi bijak untuk memastikan kumpulan profesional ini pulang menyumbang bakti di tanah tumpah darah mereka. Jika faktor gaji yang menjadi puncanya, tidak boleh tidak, sesuatu perlu dilakukan agar struktur gaji kita juga menarik dan setanding dengan ditawarkan di negara lain.

Pada masa yang sama, insentif lain juga perlu ada sebagai tarikan termasuk peluang-peluang untuk mengembangkan kerjaya. Perasaan bangga bekerja di dalam negara hanya akan wujud jika mereka merasakan jawatan yang dipegang itu setaraf dan bukannya lebih lekeh daripada rakan-rakan sejawat di luar negara. Jika isu itu ditangani, barulah matlamat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi benar-benar terlaksana.

ISU ANTARABANGSA : KRISIS MAKANAN DUNIA

SETELAH beberapa kali menolak kemungkinan dunia akan kembali terjerumus ke kancah krisis makanan selepas 2008, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FOA), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mengadakan mesyuarat tergempar mengenainya. Pertemuan yang diadakan di Rom, Itali itu terpaksa diadakan selepas Rusia mengambil langkah drastik menghentikan eksport hasil pertanian gandum dan barli mereka. Tindakan Rusia itu didorong oleh penyusutan mendadak hasil pertanian negara itu kerana masalah perubahan cuaca yang ekstrem.  Sejak pertengahan tahun ini, suhu di Rusia mencecah sehingga 40 darjah Celsius menyebabkan lembah pertanian gandum dan barli kering-kontang dan terbakar. Negara itu bukan sahaja terpaksa menghentikan eksport hasil pertanian, malah mengumumkan akan mengimport pula kira-kira lima juta tan gandum dan barli bagi tahun 2010/2011.

Tindakan Rusia mengundang kebimbangan di banyak negara sekali gus melonjakkan harga bahan makanan tersebut di pasaran dunia. Awal Julai lalu, harga kedua-dua bahan makanan itu naik hampir 50 peratus.  Di pasaran AS, harga barli yang merupakan sumber makanan utama bagi sektor penternakan meningkat daripada 500 sen per dolar AS kepada 750 sen per dolar AS. Harga gandum pula dijual pada 250 dolar AS per metrik tan berbanding 175 dolar AS sebelumnya.  Peningkatan harga hasil pertanian itu tidak menunggu masa yang lama untuk mencetuskan kesan domino apabila harga barangan berasaskan sektor penternakan seperti daging dan hasil tenusu turut melonjak. Bimbang dengan kesan yang boleh berlaku daripada tindakan Rusia itu, PBB pantas mengingatkan negara-negara lain untuk tidak mengambil langkah serupa. Ini kerana sudah ada desas-desus beberapa negara pengeluar utama gandum dan barli seperti Australia serta Kanada sedang berkira-kira untuk menghentikan eksport mereka.

Sama seperti Rusia, Australia ketika ini juga berdepan dengan tekanan penyusutan hasil pertanian itu ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu. Negara pengeksport keempat terbesar gandum itu tidak dapat menuai hasil tanaman tersebut dari wilayah baratnya kerana suhu yang terlalu panas. Keadaan sebaliknya berlaku di Kanada apabila musim pertanian negara tersebut tahun ini jatuh serentak dengan musim hujan. Apa yang boleh dijangkakan, panas melampau di Australia dan cuaca lembap di Kanada akan mengurangkan hasil pertanian gandum. Di rantau Asia Selatan, Kazakhstan dan Ukraine yang juga termasuk dalam kategori negara pengeluar gandum dan bijirin turut berdepan dengan ancaman serupa. Bagi negara-negara di rantau Asia yang kebanyakan rakyatnya menjadikan beras sebagai makanan ruji, kekhuatiran serupa sedikit pun tidak berbeza.

Bekalan beras menyusut dengan drastik serentak dengan apa yang berlaku terhadap pengeluaran gandum kerana faktor yang sama. Negara-negara pengeluar seperti China, Myanmar, Vietnam dan Pakistan tidak mampu menampung permintaan bekalan dunia kerana beberapa faktor. Punca utama sudah semestinya bencana alam kerana perubahan cuaca yang luar biasa. Wilayah pertanian yang meluas di Pakistan tidak lagi kelihatan ketika ini selepas ditenggelamkan oleh banjir besar awal Ogos lalu. Bencana alam yang disifatkan terburuk dalam sejarah Pakistan itu turut mengorbankan kira-kira 1,600 orang dan menjadikan berjuta-juta rakyatnya yang lain sebagai pelarian. Untuk tempoh yang panjang, Pakistan bukan hanya tidak mampu mengeluarkan hasil pertanian. Malah, mengharapkan dunia luar menghulur bantuan makanan kepada rakyatnya yang kini diancam kebuluran. China yang meskipun menyaksikan pertumbuhan ekonomi luar biasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, turut mencatatkan kejadian bencana alam yang luar biasa juga sifat dan jumlahnya.

Banjir besar dan ribut taufan menyebabkan China berdepan kesukaran menguruskan sektor pertanian mereka dengan baik. Negara-negara pengeluar padi utama Asia Tenggara seperti Myanmar, Vietnam dan Thailand juga berdepan dengan ancaman bencana alam yang serupa. Sesuatu yang pasti, krisis kekurangan bekalan makanan ini akan lebih menjerut negara-negara miskin terutamanya di benua Afrika dan Afghanistan.  Dari 50 buah negara yang menghadapi krisis makanan ketika ini, 36 buah negara terletak di rantau Afrika. Antaranya seperti Sudan, Chad, Liberia, Zimbabwe dan Republik Congo.  Di negara-negara ini, pembunuhan sesama rakyatnya kerana berebutkan makanan bukanlah sesuatu yang asing. Inilah yang dibimbangi oleh PBB daripada krisis bekalan makanan terbaru kali ini kerana sudah ada laporan berlakunya keganasan serupa di Zimbabwe baru-baru ini.

Afghanistan pula termasuk antara negara paling berisiko kerana faktor-faktor seperti konflik politik dan peperangan selain mempunyai jumlah penduduk yang paling ramai berada di bawah garis kemiskinan. Krisis bekalan makanan terbaru ini juga akan menjejaskan usaha PBB untuk mengurangkan jumlah penduduk dunia yang kekurang gizi atau kelaparan. Tahun ini, usaha itu terutamanya menerusi FOA dan organisasi kemanusiaan antarabangsa mula menampakkan hasil apabila buat pertama kalinya selepas 15 tahun, jumlah penduduk yang terpaksa berlapar berkurangan. Menurut rekod FOA, jumlah penduduk dunia yang terpaksa berlapar atau kekurangan gizi ialah seramai kira-kira 920 juta orang. Ia merupakan penurunan yang agak besar berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 1.02 bilion orang.

Begitu pun, jumlah itu masih tinggi berbanding sebelum berlakunya krisis bekalan makanan pada 2008. FAO turut merekodkan seramai enam orang bayi dan kanak-kanak meninggal dunia setiap saat kerana kelaparan atau kekurangan gizi.  Ini merupakan jumlah yang tinggi dan PBB tidak menolak krisis bekalan makanan terbaru akan menyebabkan lebih ramai yang mati kebuluran.

 
Tajuk Rencana : Dunia di ambang krisis makanan
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Utusan Malaysia
2 Oktober 2010

ISU WANITA : SUMBANGAN WANITA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA


Kira-kira 11 juta daripada 13.9 juta penduduk wanita di negara ini menjadi penyumbang utama dalam sektor pekerjaan dengan 45.5 peratus daripadanya terlibat dalam bidang profesional. Sehubungan dengan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu kerajaan sentiasa membantu golongan berkenaan melalui polisi dan program kesamarataan gender. Menurut Laporan Pembangunan Manusia Asia Pasifik 2010 (UNDP) berkaitan gender menunjukkan pertumbuhan negara kasar mampu meningkat daripada dua peratus kepada empat peratus setiap tahun jika kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan meningkat daripada 47 peratus kepada 70 peratus.
 
Kerajaan sedar tentang kepentingan pembabitan wanita dalam industri pekerjaan. Walau bagaimanapun disebabkan perbezaan gender, wanita sering dikaitkan dengan kerja-kerja rumahtangga dan kebajikan, sedangkan lelaki juga perlu memainkan peranan dalam menjaga rumahtangga dan komuniti. Pada 2003, dianggarkan kerja-kerja yang tidak dibayar yang dilakukan oleh wanita bernilai RM75.6 bilion setahun mampu memberi sumbangan dan kesejahteraan kepada negara. Melihat kepada perspektif ini, sumbangan wanita kepada negara tidak boleh dinafikan dan seharusnya diberi penghargaan.