JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 Disember 2018

PENGETUA MESTI BUANG SIKAP JAGA NAMA BAIK SEKOLAH DAN LINDUNGI PENJENAYAH.


SUMBER : UTUSAN MALAYSIA ONLINE
TARIKH : 15 NOVEMBER 2018


Guru besar atau pengetua sekolah perlu membuang sikap menjaga nama baik atau imej sekolah sehingga melindungi perlakuan jenayah termasuk seksual yang melibatkan warga sekolah, kata seorang penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar.  Menurut beliau, sikap sedemikian tidak membantu mana-mana pihak malah pelaku berkecenderungan mengulangi jenayahnya jika tindakan yang diambil hanya ditukarkan sekolah. Guru besar atau pengetua kena amanah apabila terima laporan. Perlu jalankan tanggungjawab tanpa kompromi. Apabila terima laporan daripada pelajar atau ibu bapa, terus lapor kepada pihak polis bukannya melindungi pesalah demi nak jaga nama atau imej sekolah.

Budaya ini beri peluang bukan pengajaran kepada pesalah. Jika dibiar atau kenakan tindakan tidak tegas seperti kaunseling sahaja, akan jadi serius selain jatuhkan nama baik warga pendidik. Akhbar mengulas pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tawaran hubungan seks kepada guru sebagai habuan bagi mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Akhbar yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP, berkata situasi itu tidak boleh dipandang remeh, malah pelajar yang menjadi mangsa juga harus berani tampil membuat laporan dan tidak menyembunyikan perkara itu.

Pelajar perlu jaga etika pemakaian, percakapan serta perlakuan yang boleh mendorong berlakunya jenayah seksual antara pelajar dan warga pendidik," katanya memetik tiga faktor mengundang jenayah hasil penyelidikan Cohen (amp) Felson iaitu 'motivated offender, suitable victim and absence of a capable guardian' (menggalakkan pelaku, mangsa sesuai dan ketiadaan penjaga berkemampuan). Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula berkata kes sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan warga pendidik yang sememangnya dipandang mulia oleh masyarakat sejak dahulu lagi.

Beliau mahu tindakan lebih tegas dan hukuman setimpal dikenakan ke atas pelaku sekiranya didapati bersalah selain menggesa ibu bapa agar menjadi pendengar setia kepada anak masing-masing dan bukan sekadar memastikan hanya memberi pendidikan dan wang ringgit sahaja. Adalah menjadi kewajipan orang dewasa untuk lapor sekiranya menerima aduan. Warga pendidik yang ada sikap atau terima habuan seks tidak perlu ada dalam industri," katanya. Berkongsi mengenai Akta Kanak-Kanak 2001, Noor Azimah berkata individu yang mengambil sikap 'berpeluk tubuh' daripada melaporkan sebarang kes penderaan kanak-kanak juga berdepan hukuman kerana mereka wajib melindungi golongan itu. Mengikut Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, tiga pihak iaitu pengamal perubatan, anggota keluarga dan pengasuh, masing-masing wajib melaporkan sebarang kes penderaan. Sekiranya gagal, hukuman penjara dan denda boleh dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia Kamarozaman Abd Razak menyifatkan perlakuan itu sebagai mencemari profesion guru yang selama ini sinonim dengan pepatah 'guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain'. "Perkara seumpama ini tidak patut berlaku kerana ia secara langsung menjadi titik pencemaran keperibadian guru itu sendiri. Sedikit sebanyak menghakis kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap warga pendidik," katanya. Beliau berharap warga pendidik menjaga nama baik profesion selain merealisasikan saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu melihat sekolah sebagai tempat yang selamat dan selesa untuk pelajar dan guru.



GURU MALAYSIA PALING BERDEDIKASI DI DUNIA. TAHNIAH



Bancian Pendidikan Global yang pertama kali diadakan mendapati guru di Malaysia paling menyukai pekerjaan mereka dan antara golongan pendidik di dunia paling berdedikasi bagi memastikan pelajar mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Kumpulan pendidikan dari Penilaian Pendidikan Antarabangsa Universiti Cambridge yang menjalankan bancian itu berkata, sebanyak 70 peratus guru di negara ini merasakan tugas mendidik mempunyai ganjaran tersendiri. Bancian juga mendapati sebanyak tiga daripada empat guru di Malaysia mengadakan kelas tambahan untuk membantu murid mereka mencapai keputusan peperiksaan yang baik. Keputusan peperiksaan dicapai oleh murid-murid di Malaysia juga yang paling tinggi dicapai antara negara-negara terlibat dalam bancian ini. Bancian itu melihat keadaan persekolahan pelajar berumur antara 12 hingga 19 tahun dan guru di 10 negara termasuk Argentina, China, India, Indonesia, Pakistan, Sepanyol, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat. Sebanyak 477 pelajar dan 634 guru di negara ini terlibat dalam bancian tersebut.




HUTAN HUJAN AMAZON BAKAL MUSNAH?



Kadar kemusnahan hutan hujan Amazon dilaporkan sudah mencapai tahap tertinggi dalam tempoh sedekad pada tahun ini yang berpunca daripada kegiatan pembalakan haram dan pencerobohan hutan secara berleluasa. Imej satelit yang dikumpul dalam tempoh 12 bulan sehingga hujung Julai 2018 me­nunjukkan kira-kira 7,900 kilometer per segi kawasan hutan Amazon dimusnahkan dan ke­luasan itu bersamaan lebih separuh daripada wilayah Jamaica. Keadaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 13.7 pe­ra­tus dari tempoh yang sama dalam tahun 2017.

Pemusnahan hutan disifatkan sebagai satu daripada punca kepada pemanasan global di seluruh dunia. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) melaporkan perubahan iklim akan menyebabkan kerugian sehingga berbilion dolar kepada negara itu menje­lang penghujung abad ini. Menteri Alam Sekitar Brazil, Edson Duarte berkata, kegiatan pembalakan haram merupakan faktor utama kepada kemusnahan hutan Amazon, sekali gus mendesak supaya kerajaan memperkasakan undang-undang berkaitan perhutanan. Negeri Par dan Mato Grosso merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan pemusnahan hutan.

Dalam pada itu, Pemantau Iklim Brazil menyatakan, pe­ningkatan tahap kemusnahan hutan Amazon bukan lagi satu perkara yang mengejutkan ke­rana pembangunan sektor komuniti di negara ini turut me­­nyumbang kepada perma­salahan tersebut. Selain itu, beberapa badan kebajikan alam sekitar mengkritik kerajaan Brazil yang tidak mengambil langkah sepenuh­nya untuk mengatasi masalah kemusnahan hutan. Polisi baharu yang diper­kenal sebelum ini iaitu mengurangkan kawasan hutan yang terletak bawah perlindungan Persekutuan juga dilihat hanya meningkatkan masalah terbabit.





BUDAK BERUMUR 8 TAHUN RAIH PENDAPATAN RM91.7 JUTA SETAHUN



Walaupun baru berusia lapan tahun, namun Ryan mampu menjadi pencipta kandungan video YouTube yang meraih pendapatan tertinggi daripada laman terbabit. BBC yang memetik laporan majalah Forbes sebagai berkata, Ryan yang mewujudkan saluran Ryan ToysReview memperoleh pendapatan sebanyak AS$22 juta (RM91.7 juta) sepanjang tahun 2017. Ini menjadikan Ryan muncul sebagai penerima bayaran ter­tinggi YouTube selepas berada di tempat kelapan. Pendapatan Ryan, tidak termasuk cukai dan bayaran kepada ejen serta peguam, telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Ketika ditanya oleh saluran televisyen NBC mengapa kanak-kanak suka melihat videonya, Ryan menjawab: “Kerana saya menghiburkan dan kelakar.”

Sejak salurannya diwujudkan oleh ibu bapanya pada Mac 2015, sebanyak 26 bilion tontonan telah dicatat dan Ryan kini mempunyai 17.3 juta pengikut di laman tersebut. Menurut Forbes, AS$1 juta (RM4.1 juta) daripada pendapatan keseluruhannya diperoleh menerusi iklan dan selebihnya menerusi tajaan pelbagai pihak. Walmart mula menjual pelbagai barangan eks­klusif milik Ryan seperti pakaian dan patung permainan dikenali sebagai Ryan’s World. Hasil jualan barangan eks­klusif milik Ryan bersama Walmart itu akan meningkatkan lagi jumlah pendapatannya pada tahun 2019. Namun begitu, 15 peratus daripada jumlah pendapatannya akan dimasukkan ke dalam bank akaun, yang hanya boleh diakses ketika Ryan sudah dewasa.