JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Ogos 2012

ISU NEGARA : USAH GUGAT SEKOLAH ALIRAN KEBANGSAAN


Rencana ini ditulis oleh :
Dr Anwar Ridwan
Sasterawan Negara dan
Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA


Kementerian Pelajaran sejak beberapa bulan lalu mengadakan siri sidang meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara. Pendidikan yang dinamik, seperti yang disebut dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, ‘mengambil kira cabaran dan perubahan perkembangan dunia pendidikan di luar negara dan keperluan pendidikan masyarakat Malaysia.’ Di samping itu, cabaran globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dunia masa kini menuntut Kementerian Pelajaran untuk memastikan semua murid mendapat pendidikan sewajarnya seperti yang dihasratkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dibimbangi, sebab populis untuk mendapatkan sokongan politik yang lebih meluas menjelang pilihan raya umum, Dasar Pendidikan Kebangsaan akan dikorbankan sedikit demi sedikit”

Bagaimanapun ada juga pihak yang mengatakan usaha mengadakan siri sidang meja bulat itu dilakukan pada masa kurang sesuai, iaitu ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) dicabar. Pihak berkenaan bimbang, sidang meja bulat akan diambil kesempatan untuk menuntut perubahan yang bukan-bukan, sehingga menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan.  Kebimbangan bukan dizahirkan tanpa alasan. Sebagai contoh, pihak yang menjaga kepentingan pendidikan Cina membuat tuntutan yang berlebihan melalui memorandum yang mereka kemukakan. Jika tuntutan mereka dipenuhi atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, maka usaha integrasi kaum melalui pendidikan tidak akan tercapai.

Contoh kedua ialah tuntutan agar sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) yang majoriti pelajar memilih untuk belajar melalui bahasa pengantar Inggeris, dibenarkan meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini sebenarnya permintaan sebahagian kecil ibu bapa, bukan permintaan pelajar seluruhnya. Tuntutan ini pun, jika diluluskan atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, akan melemahkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memecah-belahkan sistem pendidikan kebangsaan kita.

Rumusan perbincangan meja bulat

Baru-baru ini kerajaan memaklumkan, rumusan perbincangan meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin pada September ini. Memandangkan pilihan raya umum sudah dekat, pejuang bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan tentulah lebih berdebar-debar menunggu inti pati rumusan berkenaan. Dibimbangi, sebab populis untuk mendapatkan sokongan politik yang lebih meluas menjelang pilihan raya umum, Dasar Pendidikan Kebangsaan akan dikorbankan sedikit demi sedikit. Pengorbanan itu termasuk dengan cara memenuhi tuntutan golongan pejuang pendidikan Cina dan terus membenarkan mereka mengendalikan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina (UEC) yang jelas bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan serta menukar beberapa sekolah kebangsaan di bandar menjadi sekolah berbahasa pengantar Inggeris sementara sekolah luar bandar kekal menggunakan bahasa Melayu.

Pendidikan tulen atasi tuntutan politik

Akan tetapi ramai masih berharap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan meletakkan kepentingan pendidikan tulen di atas kepentingan politik jangka pendek. Ini bermakna Dasar Pendidikan Kebangsaan serta beberapa akta yang berkaitan, termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan Pindaan Akta Pendidikan 1997, wajib menjadi panduan, pegangan dan rujukan utama. Sebarang pindaan sistem pendidikan kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan, dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang antara lainnya menggariskan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang digunakan pada peringkat kebangsaan.

Nasib sekolah aliran kebangsaan haruslah lebih baik selepas pengumuman rumusan sidang meja bulat pendidikan, bukan sebaliknya. Sekolah aliran kebangsaan hendaklah terus diperkasakan, menjadi sekolah aliran perdana di negara ini.  Untuk memperkasa sekolah aliran kebangsaan beberapa langkah harus diambil. Antaranya ialah pengisian kurikulum serta seni pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan. Di samping itu kelas bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa ketiga harus diperbanyakkan di sekolah kebangsaan, agar sekolah kebangsaan terus menjadi tumpuan pelajar pelbagai kaum.  

Peruntukan kewangan bagi tujuan pelaksanaan kurikulum serta kokurikulum sekolah aliran perdana ini juga mesti jauh lebih besar daripada peruntukan yang diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan. Pendidikan kebangsaan arus perdana ini yang menggunakan bahasa Melayu, harus berkesinambungan ke peringkat pengajian tinggi, sebagai mana dibuktikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terutama pada dekad perkembangan awalnya.  Dalam masa yang sama pihak kerajaan melalui kementerian serta agensi di bawahnya serta sektor swasta, harus memberi nilai yang sewajarnya kepada graduan yang melalui sistem pendidikan kebangsaan itu.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
28 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : BENTUK JIWA MERDEKA SEMANGAT MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh :
DR. AMINUDIN MANSOR
Bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.


Membentuk jiwa merdeka dengan semangat Malaysia adalah tugas semua pihak. Jika di sekolah ia menjadi tugas guru, manakala apabila seseorang itu keluar dari bangku sekolah, dia seharusnya membentuk dirinya berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia. Adalah menjadi tugas pemimpin masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan juga pemimpin politik untuk mewujudkan rakyat berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia. Isu politik tidak seharusnya memecahbelahkan masyarakat dengan pandangan dan pendapat yang boleh membawa pelbagai kontroversi. Tugas pemimpin adalah menyampaikan amanat ke arah kebenaran. Islam mahukan sebagai pemimpin mukmin bukanlah pengumpat dan yang suka mengutuk, yang keji dan ucapannya kotor. Sebagai pengikut, seseorang itu tidak seharusnya mengangkat orang yang bercita-cita akan kedudukan. Merujuk kepada jiwa merdeka semangat Malaysia semua kita seharusnya sedar insaf dan bersyukur hidup di negara ini yang aman dan makmur. Hari Kemerdekaan dan hari perisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 adalah sangat penting dalam sejarah pembentukan negara kita.

Pada tahun ini ulang tahun kemerdekaan disambut kali ke-55 menandakan kedewasaan Malaysia dan seharusnya melambangkan kematangan pemikiran rakyatnya. Mengikut catatan sejarah, perjanjian Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Ratu Elizabeth II telah memperkenankan Akta Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen Britain. Ini disusuli dengan kelulusan Perjanjian Malaysia oleh Parlimen Tanah Melayu, Dewan Perhimpunan Singapura (sebelum keluar dari Malaysia), Majlis Undangan Sarawak dan Majlis Undangan Sabah. Seterusnya pada 26 Ogos 1963, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Akta Malaysia. Seterusnya, pada 16 September 1963, negara Malaysia ditubuhkan secara rasminya yang merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura (sebelum keluar dari Malaysia), Sarawak dan Sabah.

Mengimbau semula pada catatan sejarah, pada mulanya pembentukan Malaysia merupakan sesuatu yang agak mustahil terutama apabila melihat reaksi penentangnya yang datang dari dalam negeri dan negara luar. Namun, menerusi diplomasi masalah tersebut dapat diatasi. Sejarah membuktikan pembentukan Malaysia telah berjaya menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan negeri-negeri jirannya bagi kepentingan bersama. Kejayaan ini memaparkan ciri-ciri kepimpinan tokoh tempatan di Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Kerajaan British juga sanggup bekerjasama dan bertolak ansur demi mencapai kesejahteraan bersama. Di samping itu, kerjasama yang diberikan oleh rakyat negeri-negeri anggota adalah untuk memastikan kedaulatan negeri terjamin. Perjanjian Malaysia 1963 mengambil kira kepentingan semua negeri anggota untuk mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan antara negeri. Bagaimanapun, pada tahun 1965 Singapura telah berpisah dengan Malaysia.

Kini, rakyat Malaysia sedang menuju fasa transformasi ke arah kemajuan dan kemodenan dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan juga budaya. Namun, semuanya diasaskan daripada hasil kemerdekaan negara yang dicapai sejak 55 tahun lalu. Justeru, tema hari ulang tahun kemerdekaan ke-55 tahun ini, "Janji Ditepati" seharusnya menjadi pegangan kepada rakyat dan kerajaan. Membentuk jiwa merdeka dengan semangat Malaysia mestilah dengan rasa cinta dan kefahaman yang mendalam terhadap negara bangsa. Perpaduan dan semangat kecintaan kepada negara mestilah diasaskan sejak di bangku sekolah lagi dan diteruskan ke alam remaja dan dewasa. Semua ini mestilah dilakukan secara berterusan dan bukan hanya pada tanggal 31 Ogos setiap tahun. Pembinaan modal insan yang sanggup menghadapi pelbagai isu dan cabaran mestilah bermula di bangku sekolah. Dalam konteks Malaysia, modal insan dan usaha pembangunannya telah digariskan dalam pelan tindakan pembangunan modal insan yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Inti pati pembangunannya adalah bertujuan membentuk individu berkualiti dan berketerampilan dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang.

Ini disebabkan cabaran globalisasi dewasa ini dipacu oleh kuasa pasaran daripada pelbagai sudut yang arusnya mendadak dan drastik. Oleh itu, keperluan kepada pembinaan keupayaan dan pembangunan agenda 'minda kelas pertama' perlu diberi perhatian yang serius dan mendalam. Keperluan ini perlu memfokuskan kepada pembangunan modal insan kerana kita tidak boleh hanya semata-masa bergantung pada prasarana yang bertaraf dunia, malah perlu juga kepada pembangunan model insan bermotifkan kelas pertama yang bertaraf dunia. Melalui pembangunan modal insan, pembentukan jiwa merdeka dengan semangat Malaysia juga dapat dilakukan melalui pendidikan sama ada di rumah dan di sekolah. Mengangkasakan modal insan mestilah melalui impian dan cita-cita yang tinggi dengan daya usaha dan kesungguhan yang gigih, tahap cemerlang, motivasi, berpandangan jauh, bercita-cita, mengambil peluang, keberanian mengambil risiko dan mengendalikan kegagalan sebagai tanda aras kejayaan dan sebagainya.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan insan dalam bentuk yang sebaik-baiknya" (At-Tin:4). Di peringkat universiti, pelajar universiti merupakan agen sosial dan modal insan yang utuh dan mampu menyumbangkan pengetahuan, kemahiran dengan nilai-nilai murni kepada agama, bangsa dan negara. Mereka ini juga mesti difahamkan dengan semangat cintakan negara, patriotik dan perpaduan. Hakikatnya, semua rakyat hidup aman dan sejahtera dengan mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin. Oleh sebab itu, setiap pemimpin seharusnya berusaha mengekalkan semangat perpaduan tanpa mengira fahaman politik demi kesejahteraan hidup rakyat.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
28 Ogos 2012