Masih ada pihak khususnya mereka yang terbabit dalam dunia perniagaan percaya dongeng bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tidak mempunyai nilai ekonomi. Justeru, ia tidak digunakan bagi tujuan komersial seperti dalam iklan, urusan perniagaan atau perdagangan, sama ada pada peringkat dalaman mahupun antarabangsa. Benarkah kenyataan ini?
Sejarah membuktikan bahawa di alam Melayu atau kepulauan Melayu di Nusantara ini, bahasa Melayu digunakan sejak berabad-abad lamanya oleh ramai pedagang yang berurusan di sini, sama ada dari Eropah, China, India, Portugis dan Belanda dalam perdagangan rempah-ratus, pakaian, herba, ubat-ubatan, makanan dan sebagainya.
Mengimbau sejarah Melaka sebagai empayar perdagangan suatu ketika dulu bukanlah untuk tujuan nostalgia, tetapi mengambil pengajaran mengapa Melaka maju sebagai pusat perdagangan dan bahasa Melayu berkembang dengan penggunaannya sebagai bahasa perdagangan di samping bahasa perhubungan diplomatik.Bagaimana bahasa mendapat nilai yang tinggi? Tidak lain dan tidak bukan apabila penuturnya sendiri menggunakannya pada waktu dan tempat tertentu. Penuturnyalah yang menentukan sama ada bahasa itu mahu digunakan di pasar, di kaki lima atau digunakan sehingga di gedung ternama, hotel, mesyuarat, persidangan peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
Mengambil contoh mudah, suatu ketika dulu, ulam-ulaman seperti ulam raja dan pegaga hanya tumbuh di bawah tangga rumah di kampung. Tidak ramai yang mencari petai, jering, pucuk paku, air kelapa muda, mengkudu, durian belanda, kacip fatimah, tongkat ali, daun serapat atau daun sirih.
Kini semua ulaman itu menjadi hidangan hingga ke hotel terkemuka. Kajian membuktikan khasiat tertentu seperti mengkudu dan sirih menyebabkan ramai yang bersedia membeli jus mengkudu sekalipun harganya mencecah puluhan ringgit di samping minuman herba tempatan yang sudah dikomersial dan menjadi industri menguntungkan.
Tetapi kini keadaan sudah berbeza. Jika kita sendiri yang menetapkan bahawa bahasa Melayu hanya boleh digunakan ketika makan di kafeteria atau di pondok pengawal dan tidak boleh digunakan dalam mesyuarat syarikat, brosur, iklan atau bungkusan produk, maka kitalah yang sebenarnya merendahkan nilai ekonomi bahasa itu.
Bahasa itu lengkap dengan laras dan istilahnya untuk digunakan. Kitalah sebenarnya yang bersalah kerana ‘memandulkan’ keupayaannya dengan menetapkan secara paksa akan had penggunaan bahasa itu sedangkan keupayaan bahasa itu jauh menjangkau lebih daripada itu, malah sehingga ke peringkat antarabangsa sebagai bahasa ilmu.
Kitalah yang perlu menetapkan nilai ekonomi yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan dengan menunjukkan keutamaan penggunaan jenama produk, iklan, pembungkusan dan pengumuman.
Dalam satu pertemuan berkaitan pelaksanaan bahasa kebangsaan baru-baru ini, penulis dimaklumkan bahawa sebuah bank perdagangan asing di Malaysia turut menggunakan bahasa Melayu dalam urusannya.
Tentulah ini sesuatu yang amat membanggakan berbanding cerita yang ironi mengenai sebuah bank tempatan yang dikatakan enggan memberi nilai ekonomi terhadap bahasa kebangsaan sendiri.
Mungkin kita tidak perlu risau dan dapat menerima jika cuma beberapa kerat saja yang berjenama asing, tetapi malangnya ketara sekali yang berjenama asing itu terlalu berleluasa sehingga menenggelamkan jati diri kebangsaan.
Selain jenama produk yang sememangnya milik rangkaian antarabangsa, sepatutnya yang lain perlu memaparkan citra dan jati diri kebangsaan negara ini dan kita tidak perlu berkompromi lagi selepas usia kemerdekaan negara mencapai 53 tahun.
Jika dibiarkan, kita percaya status sedia ada akan berterusan buat selama-lamanya. Justeru, usaha secara lembut dan diplomasi perlu digantikan dengan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bagi sektor awam mungkin tidak banyak masalah kerana mereka terikat peraturan, tetapi tetap ada ruang yang perlu ditambah baik.
DBP juga perlu memastikan penguatkuasaan semula peraturan mengembalikan surat urusan rasmi pejabat yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu, seperti yang pernah dilakukan ketika Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail menerajui DBP suatu ketika dulu sebagai pengajaran agar bahasa kebangsaan tetap diutamakan dan dihormati.
Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani
Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)
BERITA HARIAN
4 JANUARI 2010