JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 September 2011

ISU SOSIAL : BUDAYA YANG MENJADI ANCAMAN KEPADA FITRAH MANUSIA

Mohamad Asim Ismail


Isu tentang seorang paderi gay berasal dari Malaysia ingin membuat satu resepsi perkahwinan sejenis di tanah air setelah melangsungkan perkahwinan dengan pasangan beliau di New York, Amerika Syarikat (AS) menjadi bualan khalayak ramai. Menariknya, resepsi perkahwinan sejenis ini ingin dilakukan dalam Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah Muslim, dalam masyarakat majmuk yang mengamalkan aliran agama, budaya yang menolak gay apatah lagi perkahwinan sejenis. Walaupun perkara ini melibatkan seorang yang bukan Muslim tetapi keghairahannya untuk menonjolkan kehidupan gaynya secara terang-terangan dalam kehidupan masyarakat perlu dipandang serius oleh kita sebagai umat Islam. Ini kerana penerimaan secara terbuka pengikutnya di Malaysia sudah tentu memberi kesan kepada umat Islam di tanah air. Dengan pelbagai hujah seperti kerana kasih sayang, keadilan, toleransi, hak asasi manusia yang ditafsir secara melencong, golongan ini boleh mempengaruhi ramai di kalangan umat Islam yang boleh bersimpati, bahkan terjebak ke dalam gejala negatif ini serta bangga dengan perlakuan mereka.

Kita perlu memahami bahawa kehidupan dan perkahwinan gay sendiri merupakan satu aliran minoriti di Barat dan bukan menjadi dokongan masyarakat majoriti mereka. Bahkan dalam 1988 Presiden AS ketika itu, Bill Clinton telah menandatangani satu Akta Perlindungan Perkahwinan yang mentakrifkan perkahwinan di sisi undang-undang ialah ikatan yang sah di antara lelaki dan wanita sebagai suami isteri. Di AS iaitu sebuah negara republik berperlembagaan persekutuan yang mengandungi 50 negeri, hanya 10 negeri yang tidak menghalang perkahwinan sejenis berbanding negeri-negeri baki yang lain. Di Malaysia, perundangan negara jelas termaktub bahawa hubungan gay atau homoseks adalah satu kesalahan sama ada di sisi perundangan sivil atau pun syariah. Dalam perundangan sivil kesalahan ini adalah mengikut Seksyen 377A iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii melalui dubur. Hukumannya adalah penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat. Dalam perundangan syariah seperti Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan), kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 25 liwat iaitu mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana- mana kombinasi hukuman itu.

Dalam aspek melangsungkan perkahwinan bagi bukan Islam di Malaysia, mereka tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Sebarang perkahwinan yang diupacarakan tetapi tidak mengikut di bawah akta ini adalah satu perkahwinan yang tidak sah. Perlu dimaklumi bahawa upacara perkahwinan yang disebut di bawah akta ini adalah upacara perkahwinan yang sah mengikut undang-undang, agama, adat atau kelaziman masyarakat. Jadi perkahwinan sejenis bukan daripada norma dan adat masyarakat Malaysia. Bagi umat Islam, ulama telah mendefinisikan perkahwinan dengan jelas. Perkahwinan dari segi bahasa bermaksud berkumpul, bercampur atau bercantum. Pada maksud syarak pula ialah akad yang menghalalkan persetubuhan atau hubungan kelamin di antara lelaki dan perempuan pada lafaz yang diucapkan yang membawa maksud nikah dengan mengikut peraturan serta syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Umat Islam yang ingin berkahwin perlu mengikut undang-undang Syariah dan bukan Undang-undang Sivil.

Undang-undang Syariah diperjelaskan dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri. Perkahwinan dalam Islam merupakan satu institusi yang memenuhi keperluan fitrah manusia. Berkahwin merupakan satu Sunnah. Nabi SAW sendiri bersabda “Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan daripada golonganku”. (Riwayat Ibnu Majah). Tujuan asas perkahwinan mengikut syariah ialah untuk menghalalkan perhubungan kelamin di antara seorang lelaki dan wanita. Ia juga bertujuan menghasilkan zuriat manusia demi meramaikan umat. Sabda Nabi SAW “Hendaklah kamu berkahwin. Sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan kamu yang banyak di hadapan umat-umat yang lain pada hari kiamat”. (Riwayat al-Baihaqi). Jika kita lihat kepada proses penambahan umat manusia, tidak dapat tidak ia memerlukan percantuman sperma lelaki dan wanita. Maka perkahwinan sejenis golongan gay terang-terangan menolak fitrah kejadian manusia dengan menghalang proses kesinambungan zuriat manusia. Apabila kita melihat kepada Syariah Islam itu sendiri, amalan gay atau homoseks sudah pun berlaku khasnya pada zaman nabi Luth a.s.

Ia merupakan perkara haram dan suatu yang dikeji. Dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat- tempat perhimpunan kamu? Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): Datangkanlah kepada kami azab daripada Allah (yang Engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar. Nabi Luth berdoa dengan berkata:“Wahai Tuhanku! tolonglah akan daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)” (Al-Ankabut: 29-30). Umat nabi Luth a.s. yang mendatangi kaum lelaki sejenis akhirnya ditimpa bala bencana yang amat dahsyat akibat perbuatan mereka. Oleh itu usaha yang boleh menonjolkan gay di negara kita atas sebarang alasan atau yang dicetuskan oleh golongan yang mengaku sebagai cendekiawan sekalipun maka masyarakat perlu menongkah aliran ini secara bersungguh-sungguh kerana sistem gay yang songsang itu bukan daripada budaya dan sistem nilai hidup masyarakat majmuk negara kita. Bahkan gay melanggar hukum Syarak yang memelihara fitrah kejadian manusia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : OPS SIKAP KE-24 GAGAL DIDIK PEMANDU


OPS Sikap yang ke-24 seperti dijangka, tidak mampu mengurangkan jumlah kematian di jalan raya ketika sambutan perayaan berganda Aidilfitri dan Hari Kebangsaan ini. Setakat Rabu, 166 pengguna jalan raya dilaporkan terkorban. Pihak polis sudah mengerahkan anggota tambahan untuk mengawal lalu lintas serta menghindar pemandu daripada melanggar peraturan jalan raya. Namun jika ditambah dua kali ganda jumlah anggota polis itu, jumlah korban jalan raya mungkin tetap menunjukkan peningkatan. Polis juga mengubah pendekatan yang diambil iaitu daripada semata-mata memberi tumpuan kepada penguatkuasaan kepada memberi kata nasihat. Bagaimanapun, berdasarkan lonjakan 26 peratus jumlah korban setakat seminggu Ops Sikap dilaksanakan, pendekatan baru itu terbukti belum membuahkan sebarang hasil. Adalah jelas tidak banyak lagi yang boleh dilakukan polis. Saban tahun beribu-ribu anggota keselamatan mengorbankan cuti raya mereka bersama-sama keluarga, semata-mata untuk memastikan kebanyakan daripada kita selamat pulang ke kampung halaman.

Pihak media turut memainkan peranan memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar memandu berhati-hati untuk mengelak sebarang kecelakaan menimpa diri mereka dan keluarga. Bagaimanapun usaha terbabit nampaknya tidak memberi sebarang kesan kepada sesetengah pengguna jalan raya. Mengikut perangkaan polis, daripada jumlah kematian sepanjang Ops Sikap 2011, 60 peratus daripada yang terkorban itu ialah penunggang motosikal. Berdasarkan perangkaan berkenaan agak mudah untuk kita membuat kesimpulan bahawa kelompok pengguna jalan raya inilah yang harus dipersalahkan di atas peningkatan jumlah korban. Namun, hakikatnya kemalangan membabitkan motosikal turut disebabkan oleh pemandu kenderaan lyang tidak menghiraukan keselamatan pengguna lain. Antara kesalahan yang banyak ditegur polis ialah kecenderungan sesetengah pemandu untuk meletak kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebarang alasan kecemasan. Sikap seperti ini sudah tentu membahayakan penunggang motosikal yang menggunakan lorong berkenaan bagi mengelak kenderaan yang lebih laju di lorong biasa.

Mungkin ada baiknya dipertimbangkan saranan ini agar syarat mendapatkan lesen memandu diperketatkan lagi dengan turut memberi penekanan kepada kemahiran memandu dengan selamat. Kita perlu memahami bahawa pemilikan lesen memandu hanya bermaksud kita dibenarkan memandu dan bukan bererti kita sudah mahir memandu. Dengan peningkatan kes kemalangan maut di jalan raya, ini bermakna kebanyakan kita bukanlah pemandu yang mahir.


SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
2 SEPTEMBER 2011