JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 April 2011

ISU SOSIAL : ILTIZAM PERANGI DADAH

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia


LANGKAH yang diambil oleh Malaysia untuk menjadi negara bebas daripada dadah menjelang tahun 2015 sangat dialu-alukan tetapi untuk mencapainya, ia memerlukan komitmen, iltizam politik, dan penyertaan sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat termasuk ibu bapa dan guru. Sama ada matlamat ini tercapai atau tidak menjelang tahun 2015, iaitu empat tahun dari sekarang, masih menjadi tanda tanya. Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan telah membelanjakan beratus juta ringgit untuk mengatasi ancaman dadah tetapi masalah berkenaan masih jauh daripada penyelesaiannya. Malahan, ia belum menampakkan hasilnya. Perangkaan mengenai penagih dadah ini semakin membimbangkan. 

Dianggarkan lebih ratusan ribu penagih dadah telah dikenal pasti sejak tahun 1980-an sehingga kini. Berdasarkan perangkaan tersebut dapat diandaikan bahawa bagi seorang penagih dadah yang dikenal pasti, terdapat tiga hingga empat penagih dadah yang belum dikenal pasti. Adalah jelas bahawa usaha memerangi ancaman dadah tidak mampu dilakukan oleh satu pihak sahaja. Kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, badan sukarela dan pertubuhan agama, malahan ibu bapa perlu bekerjasama membantu usaha membendung masalah dadah. Masalah penagihan dadah telah menjadi musuh utama Malaysia sejak lebih dua dekad yang lalu. Malahan, ia masih menjadi masalah utama negara terutama mereka yang berusia antara 19 dan 39 tahun yang menjadikan 72 peratus penagih dadah di negara ini. 

Kebanyakan kes jenayah berlaku berpunca daripada dadah. Penyalahgunaan dadah merupakan penyebab utama berlakunya kes-kes jenayah harta benda dan keganasan di seluruh negara. Sudah sampai masanya semua organisasi, persatuan dan seluruh rakyat Malaysia bekerjasama erat dengan satu tekad iaitu untuk memerangi ancaman dadah demi untuk menyelamatkan generasi muda kita daripada menjadi hamba dadah. Kepada semua anak-anak muda yang merupakan aset yang paling besar dalam negara ini, saya ingin menasihatkan supaya mereka menjauhkan diri daripada najis dadah, bukan sahaja untuk kebaikan diri mereka sendiri tetapi juga demi masa depan negara. Oleh kerana punca utama di dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah terletak pada pencegahan, satu strategi pencegahan peringkat nasional yang melibatkan keluarga, masyarakat dan tempat kerja untuk menghapuskan masalah ini perlu diwujudkan. 

Peranan aktif ibu bapa dan masyarakat di dalam kempen untuk membasmi penyalahgunaan dadah sangat penting dan perlu dipertingkatkan sekiranya negara ingin memastikan penagihan dadah di kalangan remaja dan anak-anak muda, termasuk pelajar, tidak menjadi lebih buruk. Atas dasar keprihatinan kepada penglibatan golongan remaja dalam dadah, saya ingin memberikan nasihat dan cadangan berikut: a) Golongan belia dan remaja perlu belajar untuk menghadapi berbagai tekanan hidup harian tanpa mengambil dadah. Mereka boleh melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi berfaedah; b) Mereka mesti bijak menangkis pengaruh rakan sebaya yang cuba mempengaruhi mereka untuk melakukan perkara-perkara yang mereka tahu salah, tidak baik dan boleh membinasakan diri; c) Mereka perlu diberi didikan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan penagihan melalui seminar, bengkel, bahan bacaan dan penerbitan berkaitan. Mereka seharusnya menyebarkan maklumat tentang bahaya dadah kepada rakan-rakan; d) Mereka perlu memupuk keberanian, disiplin, rasa tanggungjawab dan harga diri untuk membina masa depan diri dan negara yang lebih baik dengan menolak dadah.

UTUSAN MALAYSIA
19 APRIL 2011

ISU ALAM SEKITAR : PERLU PROGRAM MENGINDAHKAN SUNGAI KITA

Oleh MOHAMAD GHAZALI ZAINAL ABIDIN
UTUSAN MALAYSIA, 23 APRIL 2011



SUNGAI adalah antara sumber air minuman dan jika tidak dijaga dengan baik, sungai juga boleh menyebabkan bencana besar kepada diri, keluarga mahupun negara seperti banjir. Seringkali banjir yang melanda ibu kota dan kawasan pedalaman akibat limpahan air yang tersekat alirannya kerana terhalang oleh timbunan sampah yang dibuang oleh masyarakat yang tidak mempunyai keprihatinan. Namun, kita yakin bahawa kewujudan pelbagai teknologi baru dan canggih dapat menjaga dan menjadikan air sungai di seluruh negara kita bersih dan selamat. Baru-baru ini, penulis berkunjung ke Korea Selatan untuk melihat sendiri keindahan dan kecantikan sungai di sana. Daripada maklumat yang diperoleh, kerajaan Korea Selatan telah memulakan projek memulihkan sungai-sungai utama di negara itu sejak Julai 2009 dengan membelanjakan kira-kira AS$17 bilion dan ia adalah projek untuk lima tahun. Lebih daripada 929 kilometer (km) panjang sungai-sungai nasional telah dikenal pasti sebahagian daripada projek pemulihan tersebut dan dijangka bertambah kepada 10,000 km aliran sungai untuk dipulihkan. Ia dijalankan oleh syarikat swasta yang dilantik kerajaan.

Kerajaan Korea Selatan sanggup mengeluarkan belanja yang amat besar bagi memulihkan sungai di seluruh negara dan ia bertujuan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan bekalan air bersih, pengawalan banjir, kemarau dan untuk tujuan keindahan. Jumlah pelaburan yang besar ini antaranya juga bertujuan memulihkan kerosakan berkaitan air yang boleh diselamatkan bagi pencegahan bencana. Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan bekalan air bersih serta memulihkan ekosistem dan secara tidak langsung ia dapat membangunkan daerah yang berpusat di sungai. Peningkatan suhu global serta perubahan iklim harus dilihat lebih mendalam oleh kerajaan Malaysia dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi mengelakkan berlakunya masalah kekurangan air pada masa akan datang atau kewujudan musim kering (kemarau) yang teruk. Kerajaan Malaysia haruslah mencontohi dan mengambil peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan Korea Selatan, mencontohi bagaimana negara itu membangunkan infrastruktur sungai menjadi tempat yang cantik dan menarik untuk dikunjungi serta menjadi tempat riadah keluarga.

Peluang penulis melawat Korea Selatan baru-baru ini telah digunakan untuk mengunjungi sungai yang digambarkan oleh rakan penulis sebagai antara lokasi awal yang perlu lawati. Memang benar apa yang diceritakan oleh rakan penulis iaitu kecantikan, keindahan dan kebersihan sungai di sini memang menarik hati dan pemandangan. Dengan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Korea Selatan baru-baru ini, penulis berharap agar kerjasama di antara kedua-dua kerajaan dapat dijalinkan, sekali gus membuka lembaran baru dalam usaha mencantikkan dan memberi keindahan terhadap sungai-sungai di negara kita, khususnya di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, kerajaan haruslah lebih berhati-hati memilih syarikat untuk melaksanakan projek mencantikkan sungai-sungai ini. Pastikan setiap duit rakyat dibelanjakan dengan lebih berhemah dan kerajaan tidak kerugian di kemudian hari.

ISU EKONOMI : DIBELENGGU LONJAKKAN INFLASI

Oleh NURUL ANUAR KARI
UTUSAN MALAYSIA
19 APRIL 2011


INFLASI! Bagi rakyat biasa di mana-mana negara seluruh dunia, perkataan ini hanya mempunyai makna yang negatif iaitu kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Situasi global jelas menunjukkan inflasi berlaku di semua sektor yang akhirnya memberi kesan paling mendalam kepada rakyat terutamanya penduduk berpendapatan rendah dan miskin di negara-negara dunia ketiga. Zon Eropah yang merangkumi 17 buah negara pada bulan lalu mencatatkan peningkatan kadar inflasi paling tinggi dalam tempoh 29 bulan. Amerika Syarikat (AS) juga mencatatkan 0.5 peratus peningkatan inflasi kepada 2.1 peratus untuk Februari 2011. Sri Lanka, India dan Indonesia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar inflasi yang tinggi tetapi jauh ketinggalan berbanding Vietnam yang mencatatkan rekod peningkatan inflasi paling pantas di Asia dan tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Filipina mengekalkan kadar inflasi 4.3 peratus untuk Januari dan Februari, China 4.9 peratus dan Singapura lima peratus (Februari). Thailand dan Malaysia pula mencatatkan antara kadar inflasi paling rendah di rantau ini dengan masing-masing 2.8 peratus dan 2.9 peratus untuk bulan Februari. Namun, kadar inflasi Malaysia merupakan tertinggi dalam tempoh 22 bulan sementara Thailand turut mencatatkan kenaikan paling tinggi sejak 29 bulan lalu selepas rekod untuk bulan Mac 2011 melonjak kepada 3.14 peratus. Jelas daripada rumusan tersebut, hampir semua negara di Asia dan seluruh dunia kini dibelenggu lonjakan inflasi yang dikaitkan dengan harga komoditi global. Bank Pembangunan Asia (ADB) pula mengeluarkan amaran rantau Asia perlu mengawal kadar inflasi berikutan kenaikan mendadak kos makanan yang berlaku sepanjang Februari lalu boleh menggoncang kestabilan pembangunan rantau ini serta membawa kepada ketidakseimbangan pendapatan dan meningkatkan tekanan sosial masyarakat setempat.

ADB juga menjangkakan kadar inflasi rantau Asia akan melonjak kepada 5.3 peratus berbanding 4.4 peratus tahun lalu berikutan krisis nuklear di Jepun dan pergolakan di Timur Tengah. Berdasarkan rekod terdahulu, purata inflasi jangka panjang di Malaysia adalah 2.9 peratus iaitu antara paling rendah di rantau ini. Namun, beberapa kejadian inflasi tinggi dicatatkan dalam tempoh 50 tahun lalu iaitu pada pertengahan 1970-an, awal 1980-an, 1990-an dan lewat tahun 2000. Kejadian sekitar 1970-an dan 1980-an berkaitan harga makanan dan minyak dunia, 1990-an disebabkan permintaan domestik yang kukuh dan aliran masuk modal yang besar sementara inflasi sejak tahun 2000 dikaitkan dengan peningkatan berterusan harga komoditi global. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini menyatakan tiga penyumbang utama peningkatan harga komoditi dunia iaitu faktor cuaca, kapasiti pengeluaran dan dasar larangan eksport.

Cuaca di seluruh dunia yang semakin sukar diramal telah menjejaskan pengeluaran termasuk di Rusia dan Kazakhstan yang dilanda kemarau sementara India dan Australia dilanda banjir. Kapasiti pengeluaran makanan global yang cuma meningkat antara satu dan dua peratus setahun juga tidak dapat menampung keperluan penduduk dunia yang meningkat empat peratus setahun. Berikutan kebimbangan terhadap bekalan, beberapa negara turut menghentikan eksport produk tertentu seperti Rusia yang melarang eksport gandum dan India melarang eksport bawang merah. Kerajaan kini memantau 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946, di samping kawalan harga pada musim perayaan membabitkan 28 jenis produk. Kempen bagi menjelaskan kenaikan harga barangan turut dibuat melalui radio dan televisyen, edaran risalah, roadshow di peringkat negeri, khidmat pesanan ringkas (SMS), sembang pengguna (kelab, persatuan, pertubuhan dan koperasi) dan perjumpaan bersama industri.

Namun, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berpendapat, masalah inflasi jangka pendek khususnya untuk Malaysia tidak akan memberi kesan besar. "Tetapi, kerajaan perlu tumpu kepada risiko jangka panjang terutamanya dari segi sewaan tapak niaga (kecil atau besar) yang kini sudah terlampau tinggi. "Kos sewaan ini seterusnya akan diserap ke dalam barang jualan dan akhirnya pengguna sendiri yang terpaksa menanggung 'kerasukan' pemilik premis mengaut keuntungan daripada peniaga," tegasnya. Beliau turut mencadangkan kerajaan membuat ketetapan tahap maksimum kenaikan harga jualan dalam satu tahun bagi mengelakkan pihak yang tegar dan rakus mengambil kesempatan terhadap rakyat. "Inflasi kita masih yang terendah tetapi jika semua (tuan premis, peniaga) tidak mengikut usaha kerajaan mengekang peningkatan inflasi, harga barang akan terus melonjak secara tidak formal (senyap)," ujarnya.  Amir juga menasihatkan semua pihak memberikan kerjasama dalam mengawal inflasi dan mengelakkan kenaikan harga sesuka hati kerana akhirnya mereka sendiri selaku rakyat negara ini akan menerima kesannya.

"Apa kerajaan Malaysia buat sekarang sudah mencukupi untuk mengawal inflasi tetapi masalahnya ada yang mengambil kesempatan berita masalah dunia seperti di Jepun dan Libya bagi menghalalkan tindakan mereka menaikkan harga jualan atau sewaan. "Bencana global sedemikian bukannya berlaku setiap hari dan tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan. Lebih teruk lagi, harga jualan yang sudah dinaikkan di negara ini tidak lagi diturunkan kemudiannya, walau apa pun yang berlaku," katanya. Ini dakwanya dapat dilihat apabila harga rumah jatuh merudum ketika gawat 1997 dan 1998 tetapi ketika gawat 2008 harga rumah terus meningkat dengan sesetengah pihak sengaja membuat spekulasi kenaikan harga. "Harga jatuh ketika gawat 1990-an kerana mereka ingin menjual lot rumah yang sudah siap tetapi pada 2008, harga rumah menjadi semakin mahal atas dasar 'ada pembeli yang mampu dan sanggup membeli'. "Seperti berita kenaikan rumah di Pulau Pinang yang kononnya akan berterusan setiap tahun selagi ada orang yang membeli. Bila sudah tiada yang mampu membelinya nanti, maka lingkuplah sektor tersebut," ujarnya.