Rencana ini ditulis
oleh
Ku Seman Ku Hussain
Ketika Duta Amerika
Syarikat (AS) di Libya Christopher Stevens dibunuh semasa demonstrasi membantah
filem menghina Nabi Muhammad, kita menganggap itu tindakan keterlaluan. Ini
kerana pada prinsipnya filem itu dibuat oleh individu di AS dan tidak mewakili
AS. Maka AS tidak wajar dipersalahkan. Tetapi beberapa hari selepas itu,
tindakan membunuh Duta AS itu bukan sahaja wajar malah sangat wajar. Ada
beberapa sebab yang mewajarkan tindakan itu antara yang paling ketara sekali
ialah sikap dan pendirian AS terhadap penerbitan filem yang menyinggung umat
Islam. Isunya sekarang ini bukanlah penerbit filem berkenaan. Sebaliknya sudah
menjadi isu AS apabila Setiausaha Negara Hillary Clinton mengambil sikap lepas
tangan terhadap isu berkenaan. Hillary mewajarkan penerbitan filem Innocence of Muslims itu kerana
bersandarkan hak kebebasan bersuara rakyat AS.
Maka pembunuhan Duta
AS itu adalah mesej Islam dari seluruh dunia supaya AS bertanggungjawab dengan
mengenakan tindakan ke atas penerbit filem berkenaan. Kalau AS tidak mengambil
tindakan, pembunuhan Duta itu bukanlah suatu yang kejam. Sebabnya AS lebih
kejam memberi kelonggaran kepada individu memberi fakta yang salah sama sekali
mengenai Nabi Muhammad. Fakta itu pula lebih kepada provokasi supaya umat Islam
supaya memperlihatkan tindakan dan itu kemudiannya dilihat sebagai pelampau
dari sudut pandangan AS. Melontarkan provokasi agama dengan menggambarkan
tokohnya dengan keburukan bukanlah kebebasan bersuara. Maksud kebebasan
bersuara lebih kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan ideologi, sosial
atau politik. Kalau isu filem ini dianggap kebebasan bersuara, ternyata ini
tidak memberi keadilan sama sekali kepada pihak majoriti atau umum. Sebabnya
hujah tentang Nabi Muhammad tidak bersandarkan fakta tetapi rekaan semata-mata.
Kalau provokasi
seperti ini dianggap kebebasan bersuara, maka jelaskan AS memberi kebebasan
yang tidak membawa kebaikan malah memberi kerosakan kepada umum. Apabila
sesuatu itu tidak memberi kebaikan kepada umum ia dengan sendirinya
bertentangan dengan kepentingan umum. Apakah ini membuktikan AS yang mendakwa
demokratik sebenarnya mengenepikan kepentingan umum untuk menjaga kepentingan
individu?
Kebebasan
Maka isu penerbit
filem sudah tidak penting lagi. Individu seperti ini ada di mana-mana, bukan
sahaja di AS malah di negara-negara Islam sendiri. Mereka ini samalah dengan
penulis Salman Rushdie yang menulis The Satanic Verses atau Irshad Manji yang
menghina Islam dengan lesen kebebasan bersuara. Individu seperti ini mempunyai
agenda tertentu atau sekadar melontarkan provokasi untuk mempopularkan diri. Tetapi
yang menjadi isu adalah pihak yang berkuasa seperti AS kerana tidak mahu
bertanggungjawab seterusnya mengambil tindakan tegas. Individu seperti ini
tidak akan muncul kalau mereka tidak diberi laluan merosakkan kepentingan umum
atas prinsip kebebasan individu. Sekarang ini penerbit filem yang entah
siapa-siapa dulunya, kini menjadi figura penting apabila dilindungi oleh AS.
Provokasi terhadap agama sudah banyak kali berlaku. Tetapi bezanya di negara
lain provokasi seperti ini diambil tindakan untuk menghentikan dan mengambil
tanggungjawab.
Tetapi sikap AS dalam
isu filem ini adalah kesinambungan diskriminasi AS terhadap masyarakat Islam.
Ini bukan perkara baru. Lihatlah isu pembinaan sebuah pusat Islam berhampiran
tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang hancur dalam tragedi 11 September 2001 di
mana Islam menjadi mangsa diskriminasi. AS juga secara psikologi mencipta
istilah baru "Islamofobia" untuk menggambarkan kebimbangan masyarakat
dunia terhadap Islam.
Islamofobia
diciptakan oleh AS untuk memberikan gambaran buruk kepada Islam. Ini ditambah
lagi dengan serangan ke atas WTC dalam tragedi 11 September 2001. Lama sebelum
itu Islam juga sudah dilabelkan sebagai "pelampau". Apa sahaja yang
berkaitan dengan Islam adalah pelampau. Semua ini dirancang dengan rapi untuk
memerangi Islam secara psikologi. Maka penerbitan filem yang menghina Nabi
Muhammad bukanlah suatu yang mengejutkan. Ia mungkin dirancang untuk dijadikan
bom jangka yang sengaja dipasang untuk mencuit umat Islam termasuk pelampau
bertindak. Ini dapat dilihat apabila pemimpin seperti Hillary lebih menyanjung
hak kebebasan bersuara daripada hak untuk hidup harmoni.
Pelampau
Selepas ini sudah
pasti Islam akan dilabelkan sebagai pelampau apabila Duta AS di Libya dibunuh.
Pembunuhan ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh AS untuk membuktikan Islam
bersekutu dengan keganasan. Kematian Duta itu akan diperbesarkan hingga
menenggelamkan isu kenapa pembunuhan itu berlaku. Kepada sesiapa juga yang
mengikuti strategi AS memerangi Islam akan setuju bahawa pembunuhan Duta AS
adalah mesej daripada umat Islam. Pada sisi yang lain, Hillary sebenarnya
berbohong apabila berkata filem adalah ekspresi kebebasan bersuara dan kerajaan
tidak boleh menghalangnya. Buktinya AS telah mengharamkan banyak filem sebelum
ini kerana memberi kesan buruk kepada pemerintah dan kelompok Yahudi. Buktinya
filem The Profit pada 2007 dan The Yes Men Fix The World (2010) antara yang
diharamkan. Siapa kata filem sebuah ekspresi kebebasan bersuara dan tidak boleh
diharamkan?
Bagaimana Hillary
boleh berkata AS menjunjung prinsip kebebasan bersuara dan tidak boleh
mengharamkan filem yang menghina Nabi Muhammad? Hillary adalah wanita yang
paling berkuasa di AS dan boleh mengarahkan supaya penerbit filem diambil
tindakan. Hillary tentu akan berkira-kira sokongan Yahudi kepadanya kalau
mengambil tindakan ke atas penerbitan filem yang menghina Islam. Apabila
Hillary menganggap filem itu sebagai kebebasan bersuara, maka tidak hairanlah
penerbitnya mengeluarkan kenyataan yang angkuh dan anti Islam. Malah enjin
carian terbesar, Google juga selari dengan kenyataan Hillary dan bertegas tidak
akan mengeluarkan filem itu dari Youtube kecuali di Mesir dan Libya.
Bagaimanapun
mendepani AS yang penuh taktikal itu tidak boleh semata-mata menyahut provokasi
dengan provokasi. Tindakan menganjurkan tunjuk perasaan termasuk membunuh Duta
adalah salah satu cara untuk memprovokasi AS. Tetapi kaedah lain yang perlu
dilakukan ialah umat Islam mesti bersatu dan memulaukan AS. Pemimpin-pemimpin
di negara Islam mesti menunjukkan teladan yang baik kepada dunia untuk
menafikan Islamofobia ciptaan AS. Tetapi apabila pemimpin-pemimpin Islam di
negara Islam sendiri menunjukkan pekerti yang buruk, diktator, membunuh rakyat
dan paling malang sanggup ditunggang oleh AS untuk terus berkuasa, inilah ruang
untuk AS memperendahkan Islam.
Sumber :
Mingguan Malaysia
17 September 2012