Saya sedih. Bukanlah
saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya
ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya,
orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa,
begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup
memburukkan bangsa sendiri.
Bagi generasi yang
dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang
dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka
tidak baca sejarah bangsa mereka. Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak
dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang
biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa
dijajah. Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki
apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka
terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka
di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba
rumah yang diduduki orang lain.
Orang putih, secara
terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang
apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi
pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap
tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada
mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi
masalah Melayu malas dan tidak cekap. Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan
perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual
pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika
tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka
dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka
diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal
mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.
Tanpa bertanya
sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu,
Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan
Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam. Di bawah pemerintahan Siam,
orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya
lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu
kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu
berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain
tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan
boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian, British
kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika
tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah
secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan
pangkat kepada kadi besar negeri mereka. Cadangan Malayan Union British
bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang
Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan
Union milik British. Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak
berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata,
tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada
orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah
tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka
akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan
bagi mereka.
Alhamdulillah. Di
saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang
terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka
ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau
kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan
Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak
berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan
rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan
Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang
Melayu dan negeri mereka. Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah
Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang
dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan
negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun
dan lain-lain kemudahan.
Untuk bekerja sebagai
budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang
Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau
kelulusan. Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat
perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri.
Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam
pilihan raya yang akan datang. Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan
terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya
10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya
satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.
Tetapi Tuhan Maha
Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi
kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini
sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti
Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai
pada 1957. Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada
Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan
bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh
mereka semasa dijajah. Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu.
Alhamdulillah. Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan
merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan
yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.
Semua ini terang dan
nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka
belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang
perniagaan dan perusahaan. Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan
mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan
yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan
serpihan daripada parti utama mereka. Mereka yang kecewa kerana gagal merebut
tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk
menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana
Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain
yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan,
kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.
Hasilnya ialah
perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni
oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga
kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain
termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang
Melayu dengan kaum-kaum lain. Sokongan orang lain ini tidak diberi secara
percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan
mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti
telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan
negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak
minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil
perpecahan orang Melayu.
Siapakah yang membawa
malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu
sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang
Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci
apabila dihasut.
Orang Melayu sudah
lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun
mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan
mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka. Oleh kerana lupa dan
tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada
mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang
sedikit yang ada pada mereka. Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas
tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu
bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa
kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.
Jangan bersedih dan
bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri,
dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan
begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.
SUMBER
Utusan Malaysia
23 September 2012