JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Januari 2012

ISU SOSIAL : RASUAH ANCAM MASYARAKAT PERLU DITANGANI BERSAMA


Rasuah adalah antara masalah etika tertua dalam sejarah manusia, yang membayangkan kepincangan integriti masyarakat dan dalam gambaran yang lebih luas sebuah masyarakat dengan nilai murninya tercemar. Rakyat Malaysia terutamanya bimbang dengan kedudukan negara dalam indeks persepsi rasuah walaupun usaha tanpa kenal penat lelah diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan pimpinannya untuk membanteras gejala itu. Saya cadangkan supaya kerajaan meningkatkan peruntukan SPRM supaya ia boleh melantik lebih ramai pegawai dan meningkatkan kemudahan untuk memerangi rasuah di Malaysia. - Moehamad Izat, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Pada 2011, Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International merosot ke tangga ke-60 daripada kalangan 183 negara berbanding tangga ke-56 daripada kalangan 178 negara pada 2010. Sehingga ini sektor awam lazim dipersalahkan kerana amalan rasuah tetapi satu siri kes rasuah yang disiarkan oleh media baru-baru ini menunjukkan dunia perniagaan juga tidak terkecuali daripada rasuah.

Yang terbaru, satu audit ke atas Iskandar Investment Berhad menunjukkan banyak amalan rasuah di kalangan kakitangan perbadanan itu yang ditubuh untuk membangunkan wilayah pembangunan ekonomi selatan, Iskandar Malaysia. Setiausaha Agung Pertubuhan Malaysia bagi Ketelusan dan Integriti, Josie M Fernandez menunjukkan bahawa rasuah dalam dunia korporat membawa implikasi buruk terhadap negara.  Rasuah perniagaan boleh berlaku dalam dua keadaan, khasnya membabitkan individu dalam syarikat atau syarikat itu sendiri.  Fernandez berkata amalan seperti ini membawa kepada peningkatan dalam kos menjalankan perniagaan di negara dan dengan itu pelabur tidak akan menunjukkan minat dalam menjalankan perniagaan di sini. "Syarikat-syarikat tidak akan melabur jika mereka tidak melihat margin keuntungan yang baik dalam mana-mana urusan perniagaan, jadi apabila ditambah dengan kos rasuah margin keuntungan merosot lagi. "Lagipun, pelabur besar mencari negara dengan etika perniagaan baik yang akan membolehkan perniagaan mereka terus berkembang. Jadi rasuah perniagaan boleh menjejaskan ekonomi negara kita," katanya. Fernandez juga gembira dengan tindakan kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif menerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) seperti memperkenalkan aku janji integriti korporat untuk memerangi rasuah perniagaan.

Kebiasaannya, tiada sektor perniagaan yang terkecuali daripada gejala ini dengan implikasinya meluas.  Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia, Datuk Moehamad Izat Emir mengulas mengenai implikasi daripada amalan rasuah dalam dunia perniagaan.  "Amalan rasuah dalam perniagaan boleh mengekang pembangunan usahawan yang berdaya maju di negara ini. Sebagai contoh, jika usahawan yang sama mendapat tender setiap kali daripada syarikat melalui amalan rasuah, mereka yang lain pula tiada peluang untuk menunjukkan tawaran mereka yang mungkin lebih baik.  "Yang lebih buruk lagi apabila pembida mendapatkan projek dengan memberikan rasuah tetapi sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kerja," kata beliau.  Moehamad Izat juga memuji langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melanjutkan usaha memerangi rasuah ke dunia perniagaan.  Usaha berterusan SPRM untuk bertindak terhadap sesiapa saja yang mengamalkan rasuah tidak kira pangkat dan kedudukan juga akan membantu meningkatkan persepsi awam terhadap pertubuhan itu.

"Saya cadangkan supaya kerajaan meningkatkan peruntukan SPRM supaya ia boleh melantik lebih ramai pegawai dan meningkatkan kemudahan untuk memerangi rasuah di Malaysia.  "Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada SPRM saja dalam memerangi rasuah, tanggapan umum juga perlu diubah. Kita mesti melihat rasuah sebagai sesuatu yang benar-benar mengancam masyarakat kita, bukan satu lagi 'salam' dalam memeterai satu-satu transaksi," katanya. Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Datuk Mohd Khalid Harun juga menunjukkan amalan rasuah perniagaan boleh berlaku dalam mana-mana sektor perniagaan.  "Sektor perniagaan juga tidak terkecuali," kata beliau sambil menambah kata apabila berlaku amalan rasuah tidak akan ada ketelusan dalam transaksi perniagaan dan ini akan menjejaskan perancangan, pengurusan dan yang lain dalam industri. "Bagi penggiat pelancongan yang mempunyai kepakaran, kemampuan dan komitmen, rasuah boleh menghalang mereka daripada menikmati peluang yang ada. Saya juga khuatir yang produk pelancongan di negara ini juga akan terus terjejas," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata; "Apabila mereka tanpa pengetahuan atau pengalaman mendapat permit ataupun apa-apa projek pengangkutan, kualiti perkhidmatan akan terjejas. "Kita perlu ingat bahawa pengangkutan adalah kemudahan penting di negara ini. Orang ramai akan mengeluh jika tiada kualiti dalam khidmat pengangkutan," katanya.  Sementara Malaysia masih belum menyaksikan lagi kemunculan pejuang antirasuah ikonik seperti Anna Hazare di India, mereka masih boleh menaruh harapan kepada kerajaan untuk mengatasi gejala ini. Bagaimanapun, usaha murni ini bergantung kepada sumbangan setiap rakyat dalam menjayakannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
Berita Harian
13 Januari 2012

ISU ICT : MENJAGA ADAB AMAT PENTING KETIKA MELAYARI FACEBOOK


Facebook (FB) sudah menjadi satu kebiasaan bagi golongan yang celik teknologi maklumat (IT), terutama di kalangan generasi muda. Memang banyak kelebihan dinikmati jika seseorang memiliki akaun FB. Melalui laman sosial internet itu, pemiliknya boleh saling berhubungan dengan keluarga dan sahabat handai serta berkongsi maklumat dengan mereka, tidak kira di mana mereka berada. Apa yang lebih menarik ialah perkhidmatannya percuma. Berikutan itu, tidak hairanlah FB mempunyai 800 juta pengguna aktif di seluruh dunia dengan 50 peratus daripada mereka menggunakan laman sosial itu setiap hari. Di Malaysia saja, FB mencatatkan 10.2 juta pengunjung unik setiap hari. Walaupun diakui boleh memberi manfaat, FB tidak kurang mempunyai pengkritiknya. Antara kerap menjadi kritikan terhadap FB ialah isu berkaitan privasi dan keselamatan kanak-kanak. Dalam isu privasi, sesetengah negara mendapati laman sosial itu melanggar undang-undang privasi kerana secara bebas membolehkan akses kepada maklumat peribadi di antara pengguna.

Berhubung keselamatan kanak-kanak pula, ada kebimbangan orang yang tidak bertanggungjawab melayari FB untuk mencari mangsa kalangan kanak-kanak yang mudah terpedaya. Kritikan terhadap FB turut kedengaran di negara Islam. Baru-baru ini, seorang ulama Iran menetapkan FB bercanggah dengan ajaran Islam, sekali gus berdosa menjadi ahlinya kerana menggalakkan perilaku tidak bermoral. Menurut ulama itu, hanya penggunaan laman web yang menekankan kriteria agama dan tidak membawa kepada sebarang perilaku atau etika tidak bermoral yang tiada masalah. Di negara kita, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin kelmarin, berkata hukum mempunyai akaun FB adalah dosa besar dan dilarang dalam Islam jika digunakan atas tujuan memudaratkan, termasuk melemparkan fitnah, mencaci serta memburukkan orang.

Sebaliknya jika digunakan untuk menyebarkan maklumat benar dan digunakan untuk berinteraksi secara berhemah, ia diharuskan. Kedua-dua ulama ini nampaknya bersetuju bahawa FB atau mana-mana laman sosial lain tidak bercanggah dengan agama Islam. Apa yang menjadi masalah ialah jika ia disalah guna untuk tujuan yang memudaratkan. Sama juga dengan penggunaan alat komunikasi yang lain, pengguna laman sosial seperti FB atau blog harus sentiasa menjaga adab serta nilai sensitiviti agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada diri masing-masing atau orang lain. Penggunaan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah mahupun mengaibkan orang lain secara melampaui batas seperti mengedar gambar dengan aksi tidak senonoh bertujuan memalukan seseorang mesti dihentikan. Sebaliknya, kesempatan berinteraksi menerusi FB sebaik-baiknya digunakan bagi tujuan baik seperti menyebarkan maklumat berunsur ilmu, memberi nasihat serta panduan kepada orang lain.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
Ruangan Minda Pengarang
Berita Harian
13 Januari 2012

ISU UMUM : PERMULAAN 2012 YANG BAIK

Oleh
MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.


Datuk Nicol David bergambar bersama sebahagian peminat setianya 
di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang

Permulaan tahun baharu 2012 menampakkan bibit-bibit kecemerlangan dan kegemilangan buat seluruh rakyat Malaysia. Ini dapat dilihat dengan pelbagai pencapaian di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan yang berjaya diraih oleh beberapa tokoh terkenal tanah air sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia. Kejayaan Datuk Lee Chong Wei mengalahkan musuh tradisinya Lin Dan dari China pada Pertandingan Badminton Terbuka Korea jelas menunjukkan di mana ada usaha di situ ada jalan yang terbuka luas buat sesiapa sahaja yang ingin maju dan meningkatkan potensi diri. Selain itu kejayaan Datuk Nicol Ann David menjuarai pertandingan akhir Skuasy Siri Dunia Akhir di London berjaya membuka mata dunia betapa di sebalik Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun terdapat sebutir intan yang tidak ternilai harganya. Kejayaan demi kejayaan yang berjaya diraih oleh atlet sukan negara di persada dunia seperti ini seharusnya menjadi contoh kepada komuniti pelajar untuk berjuang bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran, apatah lagi dengan musim persekolahan yang baharu sahaja bermula.

Malah ia boleh dijadikan sumber inspirasi oleh pelajar semua peringkat sama ada sekolah rendah, menengah mahupun di institusi pengajian tinggi untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti pembelajaran. Untuk tujuan itu, golongan pelajar dinasihat supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti negatif dan kurang sihat seperti berpeleseran tanpa tujuan, terlibat dengan aktiviti jenayah seperti mencuri juga aktiviti yang boleh mengancam keharmonian dan kestabilan negara. Akibatnya masa depan mereka tergadai dan maruah keluarga tercalar. Masyarakat pelajar juga diingatkan supaya sentiasa menjaga sahsiah dan jati diri walau di mana mereka berada demi maruah agama, bangsa dan negara tercinta. Selain itu, masyarakat Islam secara umumnya turut diseru memperdalami ilmu dan pengetahuan bagi meningkatkan martabat dan ketinggian Islam. Dalam hal ini tokoh-tokoh ilmuwan Islam terkemuka seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi, al-Farabi dan lain-lain lagi patut dicontohi. Malah tidak salah jika dikatakan pencapaian umat Islam dalam bidang ilmu dan pengetahuan pada masa itu merupakan hadiah bernilai buat Eropah dan negara Barat sehingga mereka berjaya keluar daripada kepompong zaman kegelapan yang menyiksakan. Lalu tanpa menoleh ke belakang Barat terus mengorak langkah ke hadapan dan meraih pelbagai kemajuan dalam pelbagai bidang sedangkan umat Islam masih lena dibuai kenangan indah sejarah silam yang mengagumkan.

Di sudut pandang lain, kemenangan Dr. Ezani Farhana Md. Monoto dalam pertandingan Master Chef Malaysia yang pertama juga jelas menampakkan betapa air tangan wanita masih berbisa apabila di dapur. Walaupun dunia masakan dan kulinari biasanya didominasi oleh golongan chef lelaki, kemenangan Dr. Ezani membuktikan betapa gelaran sebagai seorang doktor tidak menghalang wanita untuk berjaya di dapur. Malah kesediaan isteri untuk menyediakan juadah kepada suami dan anak-anak boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan yang kemungkinan renggang akibat kesibukan dengan kerjaya masing-masing. Usahlah semuanya diserahkan bulat-bulat kepada kepada pembantu rumah yang biasanya hanya berharap upah dan ganjaran semata-mata. Begitu juga walau setinggi mana pangkat dan jawatan yang disandang kesediaan isteri untuk ke dapur tidak sedikit pun merendahkan martabat dan kedudukan mereka di mata masyarakat. Sementara itu, penguatkuasaan Akta Perdagangan dan Pensijilan Halal pada 1 Januari 2012 yang lalu merupakan kejayaan buat seluruh umat Islam khususnya di Malaysia dalam usaha mencari yang halal. Kesungguhan dan keprihatinan pihak kerajaan, juga pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi merealisasikan tuntutan halalan tayyiba seperti ini wajar diberi sanjungan dan penghormatan memandangkan masyarakat Islam di Malaysia adalah golongan pengguna yang terbesar.

Sungguhpun demikian kesedaran dan keprihatinan pengeluar dan pengguna terhadap logo halal juga perlu dipertingkatkan. Apalah gunanya penguatkuasaan logo halal Jakim terutama pada produk yang berasaskan makanan jika masyarakat Islam khususnya masih berselera menjamah makanan yang tidak dipastikan aspek halalnya. Golongan pengeluar juga disaran menyumbang kepada amalan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat pengguna dengan berusaha untuk memastikan produk yang dikeluarkan adalah halal dan berkhasiat, bukan semata-mata mengejar keuntungan yang kemungkinan memudaratkan orang lain. Malah dengan penguatkuasaan Akta Perdagangan dan Pensijilan Halal 2012 yang lalu mana-mana syarikat yang didapati bersalah menggunakan sebarang perbahasan halal terdedah kepada hukuman denda sehingga RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi pertubuhan atau perbadanan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Badan perundangan dan kehakiman negara turut menempa sejarah dengan penghakiman ahli politik negara yang tidak lekang dengan cerita-cerita panas dan sensasi. Tanggal 9 Januari 2012 sudah pasti hari yang sangat gembira buat Datuk Seri Anwar Ibrahim, keluarga dan juga penyokongnya apabila disabitkan tidak bersalah akibat kekurangan bukti atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Ia sekali gus mencerminkan ketelusan dan kebebasan badan perundangan negara yang berpaksikan kepada amalan perundangan sedia ada. Keputusan ini juga patut menjadi iktibar kepada semua golongan masyarakat dengan sentiasa berusaha untuk berlaku adil dalam membela kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Jika tidak keamanan dan kestabilan negara yang dinikmati hari ini akan hancur dan musnah dalam sekelip mata dan bukan mudah untuk membangunkannya semula. Namun di sebalik semua kejayaan itu terdapat hikmah terbesar yang kadang-kala lekang daripada ingatan manusia. Kejayaan untuk mengabdikan diri kepada Tuhan Yang Esa sehingga mampu merubah corak dan gaya hidup seharian mula dipandang remeh. Ramai yang leka berfoya-foya sedangkan masa semakin pantas berlalu dan usia semakin meningkat tua. Marilah semua berusaha untuk berbakti kepada Ilahi demi mengharap kejayaan yang kekal lagi abadi.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 Januari 2012

ISU SBPA : KEWAJARAN PENANGGUHAN

Oleh NORAINI ABD. RAZAK


Akhirnya pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan. Keputusan tersebut tentunya menutup dilema penjawat awam yang hanya mempunyai tiga hari saja lagi untuk mengembalikan borang opsyen. Sememangnya sejak SBPA diumumkan pelbagai reaksi dan kenyataan dapat dilihat - hangat dan dingin. Di sebalik khabar kenaikan gaji dan penyusunan jawatan, masih ada rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam terutama yang berpangkat rendah. Perkara itu diakui sendiri oleh CUEPACS yang mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi berunding semula terma-terma dalam SBPA. Persoalannya, adakah keseluruhan kakitangan awam di negara ini telah diberi penerangan dan penjelasan mengenai skim itu sebelum ia dilaksanakan. Atau sekadar memberi peluang kepada mereka menatap terma-terma sebelum borang dikembalikan? Khabarnya, ramai penjawat awam masih kabur dan keliru mengenai SBPA. Kumpulan mana yang benar-benar dapat manfaat daripada skim tersebut - gaji rendah, pertengahan atau super skil.

Sumber perkhidmatan awam memberitahu, secara pukal golongan penjawat awam selain peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) hanya mendapat kenaikan paling tinggi RM320 dan purata memperoleh RM200. Itu mungkin di peringkat penjawat awam kategori gaji pertengahan. Bagaimana pula dengan kenaikan gaji untuk JUSA? Khabarnya, kenaikan kategori itu paling menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga SBPA dilihat agak pincang daripada matlamat asal. Kenaikan untuk JUSA dan ke atas dikatakan amat lumayan hampir menyamai gaji asas di tahap sedia ada (dilaporkan hampir RM5,500). Adalah diakui penjawat awam di peringkat JUSA mempunyai beban kerja yang agak besar, tetapi bagaimanapun pula dengan kakitangan rendah yang bertungkus lumus memberi perkhidmatan supaya golongan atasan dilihat membuat kerja? Bukankah kesemua kategori dalam perkhidmatan awam sama penting kerana sumbangan mereka untuk sama-sama membangunkan bidang masing-masing. Misalnya, jika guru-guru berkhidmat dengan cemerlang maka guru besar atau pengetua bakal mendapat nama yang baik, sekolah juga akan mencatatkan keputusan gemilang. Jadi adakah wajar jika kenaikan gaji guru hanya 1 peratus daripada kenaikan gaji guru besar atau pengetua.

Satu lagi dipersoalkan di dalam SBPA adalah pengenalan Kumpulan Premier. Ada kerunsingan dan kebimbangan selain tanda-tanya yang mesti dijawab atau diperjelaskan bagi mengelak salah sangka. Sumber perkhidmatan awam membangkitkan persoalan mengapa kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk mereka walhal perkhidmatan kerajaan telah beroperasi dengan baik selama ini. Kenapa perlu ada kumpulan baru sedangkan perkhidmatan awam di negara ini semakin cemerlang dan mampu menambah baik tanpa perlu kumpulan atau jawatan baru sebelum ini. Apatah lagi apabila orang luar turut dibenarkan mengisi jawatan tersebut biar pun menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak mengisi jawatan tersebut. ''Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier,'' katanya baru-baru ini. Memang diakui seperti mana yang ditegaskan Abu Bakar, setiap dasar atau skim yang diputuskan kerajaan bertujuan mengatasi masalah sedia ada dan juga melihat kemungkinan pada masa akan datang.

Tetapi bagaimana pula jika skim yang diperkenalkan mencetuskan masalah baru selain menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam sehingga dibimbangi kelak akan menjejaskan mutu perkhidmatan. Khabarnya juga, syarat-syarat perkhidmatan yang lebih rumit terkandung di dalam SBPA. Sepatutnya skim baru lebih memudahkan kakitangan. Merumitkan mengundang masalah dan ia bukan petanda yang baik untuk kakitangan awam termakan dengan mungkin satu atau dua peratus manfaat kecil yang ditawarkan di dalam skim itu. Rata-rata kakitangan awam mengalu-alukan hasrat murni kerajaan mahu melegakan bebanan mereka tetapi janganlah kerana terdapat kecacatan dalam pelaksanaan SBPA, maka hasrat tersebut tersasar sehingga menimbulkan kekeruhan. Daripada bilangan 1.4 juta penjawat awam, ramai merasakan cuma segelintir (mungkin kurang 1,000 orang) yang merasa nikmatnya tetapi yang lainnya terpaksa berfikir panjang apakah yang ada untuk mereka. Maka berilah ruang untuk SPBA dikaji semula. Ambillah masa yang mencukupi untuk melihat semula kepincangan yang mungkin tidak disengajakan. Rundinglah dengan semua pihak yang terlibat, jangan cipta skim untuk kepentingan satu kumpulan sahaja lantaran perkhidmatan awam melibatkan semua.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 Januari 2012

ISU SBPA : DISEMAK SEMULA UNTUK SELESAI ISU BERBANGKIT


Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula. Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA. Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan. Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula. Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Najib juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan. Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak. Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas. Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama. Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

KOMEN CIKGU ZUL

Sesuatu dasar kerajaan hendaklah dikaji dan bahaskan terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada umum untuk dilaksanakan. Pendapat semua pihak dan perkaitannya dengan dasar-dasar yang sedia ada hendaklah dilihat. Jangan sampai yang terabai terus terabai sehingga timbuk ketidakpuasan yang tidak berkesudahan. Kakitangan awam di negara kita terutamanya golongan guru yang sering diharubirukan dengan pelbagai syarat kenaikan pangkat yang nampak bias dan menjengkelkan memerlukan pengubahsuaian dengan kajian yang mendalam. Pengalaman dan kelulusan pegawai perkhidmatan awam yang berkhidmat dalam bidang pendidikan selalu diketepikan dalam soal kenaikan pangkat lantaran pihak atasan lebih mengutamakan tarikh lantikan ke DG41. Nasib sesetengah guru DG29-DG41 yang bagaikan melukut ditepian gantang, sewajarnya diberikan perhatian, jangan sampai luka yang terpendam membusung nanah hingga berulat. Keparahan itu susah diubat kerana hanya rawatan yang terbaik dan termahal sahaja mampu menyembuhkannya.

Kepincangan dalam pemilihan pegawai yang layak menjawat jawatan Guru Akademik Tingkatan Enam yang mengabaikan pengalaman sehingga menyebabkan ratusan guru berpengalaman mengajar Tingkatan Enam dianaktirikan sewajarnya dilihat, dikaji dan dipantau semula. Bayangkan seorang guru DG29-DG41 yang sudah mengajar Tingkatan Enam melebihi 10 tahun tidak dilantik menjadi Guru Akademik hanya kerana syarat yang ditetapkan oleh pihak Bahagian Kenaikan Pangkat, Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada masa yang sama, guru yang langsung tidak pernah mengajar Tingkatan Enam dilantik dengan sewenang-wenangnya untuk mengisi kekosongan jawatan sedia ada. Hati siapa yang tidak sakit, Jiwa siapa yang tidak terluka. Pihak di atas sana hanya bersenang lenang meletakkan syarat dan menggubal dasar tanpa memikirkan nasib guru dan pelajar. Bayangkan seorang guru Kimia yang berpengalaman 10 tahun disisihkan dan digantikan dengan seorang guru yang langsung tidak pernah mengajar Tingkatan Enam tetapi diberi jawatan Guru Akademik. Pelajarlah yang menjadi mangsa!

Banyak lagi kepincangan yang perlu dikaji dan diambil kira dalam SBPA. Kita tidak boleh memandang sebelah mata masalah yang wujud terutamanya dalam soal gaji dan kenaikan pangkat kerana semua orang bekerja untuk menyara hidup bukannya untuk suka-suka. Kebajikan terbela, semangat untuk bekerja juga melonjak dan Negara juga yang mendapat manfaatnya. Tolonglah memahami dan jangan sesekali menyakiti.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 Januari 2012