Masih ramai pegawai tinggi kerajaan dan swasta serta pemimpin politik tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan ia tuntutan Perlembagaan yang wajib dalam konteksnya memartabatkan bahasa kebangsaan. Menurut Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Aziz Deraman, biarpun penggunaan bahasa lain seperti Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab dibenarkan, penggunaan bahasa Melayu tidak harus dicampuradukkan, bagi memelihara martabatnya sebagai bahasa rasmi. Di Malaysia kadangkala orang keliru, termasuk ahli politik yang cuba melihat perbezaan perspektif dan persepsi. Apabila kita kata bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, maknanya faktor bahasa itu sebagai tuntutan perlembagaan harus berada dalam konteksnya sebenar sebagai bahasa rasmi. Semasa mesyuarat jabatan kerajaan, kementerian, harus meletakkan kembali kedudukan bahasa Melayu ke tempat sepatutnya. Kadangkala pimpinan mesyuarat tanpa segan silu menggunakan bahasa Inggeris.
Walaupun semua yang hadir mungkin ahli politik, pegawai tinggi kerajaan, tetapi penyampaiannya dalam bahasa Inggeris. Sikap megah dan bangga terhadap bahasa ibunda itu tidak ada. Apabila kita bercakap mengenai kesatuan, satu negara, agama, bangsa, ketua, dasar dan rukun negara, bahasa juga harus satu iaitu bahasa Melayu. Kalau orang faham itu, nescaya kita tidak menimbulkan kekeliruan dan pada masa sama bahasa etnik, daerah dan sukuan masih boleh dipakai. Peneguhan sikap terhadap bahasa Melayu termasuk cara menyebut dan menggunakannya dengan betul serta lengkap sopan dan santunnya membolehkan transformasi negara seperti digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan dalam semua aspek dan bukan fizikal semata-mata. Kalau ini dapat dilakukan semula (memartabatkan bahasa Melayu), maknanya transformasi yang diminta Perdana Menteri akan berlaku dalam semua bidang, bukan saja dalam institusi, tetapi kehidupan. Sementara itu, semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan harus memberi perhatian serius terhadap papan tanda dan mengenakan tindakan kepada yang ingkar.