JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Mei 2012

ISU UMUM : KE MANA LAGI HALA TUJU MAS?


Rencana ini ditulis oleh :
Azman Anuar


Banyak pengajaran boleh diambil daripada sejarah korporat tempatan dan antarabangsa. Sesetengah apabila syarikat mengalami masalah, pihak lain dipersalahkan dan pada masa yang sama pihak satu lagi terus dengan sikap 'nafi'. Dalam isu pembatalan pertukaran saham Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dengan AirAsia Berhad, kesatuan dan kakitangan MAS berasa lega. Tetapi tanpa perjanjian itu lagi bukan bermakna syarikat mereka bekerja menjadi bertambah baik. Laluan di hadapan masih panjang dan berliku serta berlubang-lubang sana sini yang perlu dibaikpulih dan ditambah baik supaya MAS kembali catat keuntungan. Hakikatnya luka-luka MAS masih berdarah dan memerlukan rawatan daripada doktor pakar. MAS juga perlukan bantuan kakitangan sebagai pembantu perubatan. Preskripsi atau cara mengambil ubat-ubatan yang tidak betul juga boleh memudaratkan lagi MAS.

Dalam konteks ini, Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Rohami Shafie berpendapat pembatalan pertukaran saham MAS dengan AirAsia menggambarkan suara para pekerja didengari. "Perkara pokoknya adalah kebajikan para pekerja. Sebab itulah Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan Mas (MASEU) menyifatkan keputusan kerajaan untuk membatalkan pertukaran saham dengan AirAsia tepat sama sekali. Sebelum ini kedudukan para pekerja samar-samar dan tidak menentu dan mereka bimbang apa akan terjadi kepada mereka. Kesan ini tidak baik bagi mana-mana organisasi dari sudut motivasi dan produktiviti para pekerja. Apabila suara mereka didengar, maka segala usaha oleh MASEU telah berjaya. Para pekerja boleh fokus pada urusan kerja mereka tanpa perlu rasa bimbang lagi kedudukan mereka," kata penganalisis ekonomi ini melalui emel.

Pada hakikatnya MAS ada masalah, bukan kerana ia ketinggalan daripada pembangunan industri penerbangan tetapi kerana 'kenyataan penafian' yang dibuat hinggakan perubahan yang hendak diterapkan berjalan perlahan dan wujud pula tentangan terhadap pembaharuan. Kemunculan pesawat baru A380 bagi laluan KL-London pada Julai akan datang ini hadir lima tahun selepas Singapore Airlines melancarkan Superjumbonya dalam perkhidmatan komersial. Kini Singapura sudah mempunyai 74 pesawat A380. Dalam masa yang sama, apabila AirAsia melancarkan kemudahan tempahan tiket secara dalam talian pada 2002, ia menjadi syarikat penerbangan kedua di Asia menggunakan perkhidmatan tanpa tiket sepenuhnya. Namun, sehingga 2004 akhirnya MAS melancarkan kemudahan tempahan tiketnya secara dalam talian. Nampaknya, MAS lambat membuat perubahan yang diperlukan supaya seiring dengan perkembangan industri semasa.

Maaf jika dikatakan masalah MAS boleh menjadi sama dengan pengalaman syarikat kereta General Motors Co. (GM). "Setiap organisasi harus berubah atau mati. Maka kamu hilang daya saing. Pada akhirnya, kamu harus mencipta budaya yang bukan sahaja menerima perubahan tetapi mencari-cari bagaimana hendah berubah," kata CEO dan Pengerusi General Motors Co., Dan Akerson. Apabila GM memfailkan perlindungan Chapter 11 daripada peminjam-peminjamnya pada 2009, ia merupakan kes terbesar dalam sejarah bangkrap. Dalam sebahagian pelan pemulihan GM menutup 14 kilang, 2,400 pengedar, 21,000 jam kerja berbayar, 8,000 kerja kolar putih dan menanggung AS$79 bilion hutang. Sejak GM membuat 'turnaround' secara drastik, ia mencatatkan keuntungan AS$4.7 bilion pada 2010 diikuti rekod keuntungan AS$7.6 bilion pada 2011 dan baru-baru ini mengumumkan keuntungan AS$1.35 bilion pada suku pertama 2012.

Jika GM boleh dan mampu melakukan pusingan 360 darjah, begitulah diharapkan kepada syarikat penerbangan kebangsaan MAS. Baru-baru ini MAS mencatatkan kerugian RM2.5 bilion bagi tahun kewangan 2011 yang berakhir pada 31 Disember lalu. Lebih 40 peratus laluannya mencatatkan kerugian, malah kurang penumpang. Apakah yang patut MAS dan kakitangan lakukan untuk pastikan syarikat penerbangan Negara kembali catat untung. Menurut Rohami, MAS perlu mencari ahli lembaga pengarah terbaru bagi mengisi kekosongan yang ada dan mereka mestilah di kalangan yang benar-benar pakar dan terbaik dalam industri penerbangan. Kata Rohami yang juga Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe), Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia, MAS juga perlu ada model perniagaan yang bagus kerana model yang sedia ada mungkin tidak sesuai untuk industri penerbangan yang semakin kompetitif. Lebih-lebih lagi Dasar Langit Terbuka pada tahun 2015 membuatkan industri penerbangan semakin kompetitif.

"Daya saing MAS perlu ditingkatkan. Fokus utama adalah bagaimana untuk melaksanakan pelan dan model perniagaan baru yang boleh menjadikan operasi MAS lebih cekap bagi mencapai misi dan visi MAS. Satu elemen yang cukup penting adalah dari sudut pengurusan risiko MAS. MAS perlu mengurus risiko-risikonya dengan lebih baik agar segala pelaksanaan daripada pelan dan model perniagaan yang baru dapat dilaksanakan dengan lebih kukuh lagi," jelas Rohami. Beliau berpendapat, MAS dan kakitangan tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Perlu ke depan dengan berusaha lebih gigih lagi. Tingkatkan produktiviti, rangka perancangan dengan lebih jitu dan dilaksanakan perancangan tersebut seperti yang dirancangkan. Pengurusan atasan dan para pekerja perlu berani ke hadapan, dinamik dalam merebut peluang sedia ada umpamanya Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam bidang perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan juga bidang pelancongan.

"MAS juga perlu merangka semula laluan-laluan penerbangan di samping melihat balik pasaran tujahan (niche market) di luar negara. Kerjasama erat dengan AirAsia dalam bidang-bidang tertentu satu lagi usaha yang boleh meningkatkan prestasi MAS. Persaingan sihat di antara MAS dan AirAsia juga boleh meningkatkan prestasi MAS. MAS boleh mengambil peluang dalam Dasar Langit Terbuka 2015 dengan meningkatkan lagi prestasi Firefly sebagai satu lagi alternatif penerbangan tambang murah. Dengan cara ini, keuntungan bakal dicatatkan dalam tahun-tahun mendatang," kata pensyarah itu lagi. Kepada Rohami, MAS perlu lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak dan tidak semestinya dengan AirAsia sahaja. Kerjasama seperti berkongsi kepakaran dengan syarikat antarabangsa boleh menjadikan transformasi perniagaan MAS lebih ketara.

Ambil contoh bagaimana Petronas bekerjasama dengan Shell dan Exxon dalam industri minyak dan gas dan akhirnya membawa keuntungan yang lebih baik kepada Petronas. Rundingan demi rundingan perlu dibuat dengan pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa bagi meningkatkan lagi penguasaan pasaran MAS di peringkat antarabangsa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mei 2012

ISU BAHASA : KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DI SEKTOR AWAM!


Rencana ini ditulis oleh :
Azman Anuar


Sekarang, walaupun ramai orang besar kata mereka sentiasa mendaulatkan bahasa Melayu tetapi hakikatnya tidaklah sedemikian. Dalam bab memartabatkan bahasa rasmi negara ini, ia masih meragukan. Bukan sahaja ‘pembesar-pembesar’ dalam dunia korporat Melayu tidak mengutamakan pengiklanan dalam bahasa Melayu di media dan akhbar tempatan, malah program-program anjuran jabatan kerajaan pun ada dibuat dalam bahasa Inggeris. Cuba tinjau program yang dianjurkan oleh kementerian atau jabatan kerajaan, ada yang tanpa rasa malu mengetengahkan bahasa Inggeris pada program atau tayangan video/slide. Sepatutnya sebagai jabatan kerajaan, mereka mengutamakan bahasa Melayu. Kalau pun program bersama bukan Melayu, semua pihak wajib tahu berbahasa Melayu.

Kalau sebilangan pegawai atasan kerajaan pun ‘malu-malu’ untuk guna bahasa kebangsaan, apatah lagi orang swasta. Nampak sangat pegawai-pegawai kerajaan sebegini tidak menjiwai semangat cintakan bahasa sendiri. Memang mereka terdiri daripada orang Melayu, boleh berbahasa Melayu dan Inggeris. Tapi keutamaan bahasa diletak pada tempat yang salah. Kalau pegawai tertinggi kerajaan tidak menghormati dan memartabatkan bahasa Melayu, janganlah kita terlampau mengharapkan syarikat bukan Melayu akan mematuhinya. Agak-agaknya bila kita tidak perlu lagi bercakap soal mendaulatkan bahasa kebangsaan? Saban tahun kita asyik membicarakan tentang bahasa kebangsaan yang semakin hilang tempatnya.

Jangan kita salahkan orang bawahan jika orang atasan terutama pemimpin kerajaan sendiri ‘malas’ untuk mengangkat bahasa ibundanya sendiri. Sebab itu masyarakat Cina dan India mempertahankan bermati-matian sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil daripada ditutup. Mereka tidak mahu perkembangan bahasa dan tulisan ibunda masing-masing terhapus sebagaimana sedang dialami oleh tulisan jawi yang menjadi warisan orang Melayu. Kita asyik menafikan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam segala urusan terutama sektor awam tetapi hakikatnya tanpa disedari bahasa itu menjadi ‘eksklusif’ hinggakan malu untuk dipertuturkan. Kadangkala dalam majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat pun bahasa Inggeris yang dikumandangkan.

Bukan tetamu yang hadir tidak tahu bahasa Melayu, tetapi mulut mudah memantulkan bicara dalam bahasa Inggeris. Mengapa jadi begini? Mungkin kita harus terima hakikat, generasi berpendidikan aliran Inggeris masih ada dalam tampuk pimpinan kerajaan dan swasta. Jadi mereka masih kurang peka dan ‘terbiasa.’ Saf-saf kepimpinan ini akan bersara dalam beberapa tahun mendatang. Tempat mereka akan diambil pula oleh generasi aliran bahasa Melayu sepenuhnya. Entahlah, apakah saf kepimpinan aliran bahasa Melayu ini boleh diharapkan atau tidak untuk mengembalikan martabat penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan kerajaan. Tunggulah...

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mei 2012

ISU KEWANGAN : NILAI MAKLUMAT RAHSIA PERBANKAN


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI


Sejajar dengan perkembangan teknologi moden, sistem perbankan negara dan dunia kini bergerak ke arah aplikasi digital bagi memudahkan urusan pelanggan. Secara positif, langkah ini bukan sahaja menjimatkan penggunaan kertas dan meringkaskan proses dokumentasi rekod, malahan mempercepatkan lagi urusan aliran tunai. Umum juga sedar teknologi moden turut mendedahkan pelanggan bank kepada risiko pencurian identiti mahupun mencuri duit di dalam akaun yang semakin kerap dilaporkan media dari hari ke hari. Dari segi kewangan, kebanyakan simpanan dan pelaburan pelanggan bank-bank dan institusi kewangan dilindungi dan kebiasaannya wang yang hilang akan dipulangkan jika bukan atas kesalahan pelanggan. Bagaimanapun, timbul pula persoalan tentang rekod kewangan dan maklumat pelanggan yang sepatutnya menjadi rahsia sulit antara pemilik akaun dan pegawai bank sahaja.

Pembangunan sistem komunikasi moden telah membolehkan pihak tertentu mengaut keuntungan besar secara mudah dengan mengumpul dan menjual maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran, walaupun cuma nombor telefon dan alamat e-mel. Beberapa tahun lalu, timbul isu pihak tertentu menjalankan urus niaga menjual maklumat kewangan individu milik orang awam di negara ini dan menjualnya kepada bank-bank kononnya untuk memudahkan penilaian permohonan pinjaman mereka. Walaupun lebih kerap melibatkan orang persendirian, baru-baru ini maklumat kewangan beberapa individu berprofil tinggi pula didedahkan kepada umum oleh pihak dengan agenda politik, melibatkan perincian aliran tunai dan pegangan milik peribadi dan juga syarikat. Sekali lagi timbul persoalan, bagaimana maklumat sulit pelanggan yang disimpan oleh pihak bank dan institusi kewangan begitu mudah disalin dan diperoleh pihak luar tanpa kebenaran, sama ada secara digital mahupun hitam putih?

Bukankah ini pelanggaran kepercayaan serta amanah pelanggan dan pencabulan privasi mereka? Bagaimana pula dengan tanggungjawab yang perlu dipikul pihak perbankan dan pegawainya dalam kes sebegini terutamanya jika sistem perlindungan yang disediakan begitu mudah diceroboh? Walaupun adanya saluran dan sistem perundangan seperti Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan Akta Perbankan Islam serta Biro Perantaraan Kewangan (BPK) dan Biro Pengantaraan Perbankan (BPP), kebimbangan umum masih berlegar apabila kes serupa berterusan dilaporkan media massa. Tanpa penguatkuasaan dan tindakan tegas terhadap institusi dan kakitangannya yang terlibat dengan kebocoran maklumat sulit ini, orang ramai mungkin akan hilang kepercayaan untuk melabur mahupun berurus niaga dengan bank-bank di negara ini kelak.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu Abd. Aziz menjelaskan, setiap pelanggan perbankan dilindungi dari segi hak asasi dan hak privasi. “Sebarang kebocoran maklumat tanpa kebenaran adalah pelanggaran hak pengguna yang serius dan pelanggan berhak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya. Negara kita juga mempunyai kawalan melalui akta-akta khusus untuk melindungi pengguna termasuk dalam aspek maklumat peribadi," katanya. Menurutnya lagi, Bank Negara dan Kementerian Kewangan juga boleh memantau mahupun menyiasat institusi kewangan terbabit tetapi terhad kepada tahap tertentu dan banyak bergantung kepada komitmen pegawai dan institusi kewangan itu sendiri.

Beliau memaklumkan, perbuatan membocorkan maklumat peribadi kewangan tanpa kebenaran melibatkan kes sivil dan undang-undang peribadi yang boleh dibawa terus ke mahkamah. “Seperti mana jika ada pelanggan yang rasa teraniaya dengan contohnya syarikat telekomunikasi yang didakwa menyebarkan nombor telefon mereka, mangsa boleh terus mengupah peguam untuk membawa tuntutan ke mahkamah. Walaupun perlu membuat laporan polis, kes sebegini kebiasaannya tidak melibatkan siasatan polis mahupun Jabatan Peguam Negara dan mangsa boleh terus ke mahkamah jika merasakan diri mereka teraniaya," jelasnya.

Bagi Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin, membocorkan maklumat strategik dan peribadi tanpa kebenaran pemiliknya adalah satu kesalahan dari semua sudut moral dan perundangan. “Tindakan disiplin perlu diambil, bukan sahaja terhadap mereka yang mendedahkan maklumat sulit itu malahan kepada institusi dan pegawai yang terlibat. Bank Negara perlu menyiasat sebaiknya kes membocorkan maklumat kewangan sebegini kerana jika terus berlaku, lama kelamaan akan menggugat sistem perbankan negara," tegasnya.

Menurut beliau, orang ramai dan juga organisasi luar akan hilang kepercayaan jika maklumat sulit yang sepatutnya hanya diketahui pegawai bank kerap kali bocor ke tangan pihak ketiga tanpa kebenaran pemiliknya. Dalam kes terbaru melibatkan individu berprofil tinggi, beliau turut berharap disiasat jika ada pegawai di institusi kewangan terbabit yang menyalahgunakan kedudukannya untuk agenda peribadi parti politik atau individu tertentu. “Jika kerana politik dibocorkan maklumat pelanggan institusi kewangan, ini satu kesalahan etika kerja yang besar, tiada siapa berhak berbuat demikian. Bank dan institusi kewangan adalah pemegang amanah kepada rekod dan tunai pelanggan mereka, perlulah bertanggungjawab dan menjaga amanah itu," katanya.

Tambahnya, urus niaga perbankan juga sebenarnya amat sensitif kerana melibatkan amanah duit dan harta milik orang. Beliau menyamakan sebarang tindakan pegawai atau institusi itu sendiri yang dianggap mengkhianati kepercayaan pelanggan mereka umpama rasuah kerana dilakukan atas tujuan tidak elok. “Bukannya senang untuk mendapatkan maklumat peribadi seseorang daripada institusi kewangan tetapi lebih elok jika sebarang keperluan mendapatkan maklumat sulit sedemikian diletakkan di bawah Bank Negara. Seperti mana sebelum ini ada pihak yang menjual maklumat peribadi orang ramai kepada pihak bank, apa hak mereka untuk bermain dengan maklumat rahsia rakyat," soal beliau.

Amir menegaskan, mana-mana individu ataupun syarikat tiada hak untuk menjual sebarang maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran dan adalah lebih elok jika urusan melibatkan maklumat sedemikian diuruskan Bank Negara sahaja. Beliau juga berharap pihak media sama ada media utama mahupun alternatif mengelak daripada terlibat dalam menyebarkan maklumat sulit rekod kewangan individu demi menjaga hak dan privasi mereka. “Pihak bank juga perlu bertanggungjawab jika berlaku kesilapan atau salah laku di kalangan pegawai mereka termasuk menyiasat dan memberi pampasan sewajarnya tanpa perlu pelanggan ke mahkamah. Jika tidak, setiap pelanggan yang merasakan amanah itu telah dilanggar, berhak mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi terhadap pihak yang terlibat," ujarnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mei 2012