Perkongsian ikhlas daripada seorang guru yang sedar bahawa ilmu itu bukannya hak mutlak seorang individu tetapi milik Allah Yang Maha Mengetahui. Ilmu itu terlalu luas dan tidak pernah ada garisan penamat bagi setiap insan yang sentiasa dahagakannya untuk dijadikan panduan serta petunjuk meredah onak dan duri kehidupan ini.
26 Jun 2021
CATATAN CIKGU ZUL: TINGKATAN ENAM, PILIHAN BIJAK UNTUK LEPASAN SPM MELANJUTKAN PELAJARAN
1. STPM Modular Senang Lulus Cemerlang
Ibu bapa dan pelajar selalu beranggapan
bahawa risiko gagal dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah
tinggi kerana sukar untuk lulus. Pembelajaran di Tingkatan Enam adalah susah
dan mereka hanya membuang masa sahaja jika meneruskan pengajian di Tingkatan
Enam kerana di penghujungnya tidak seindah yang diharapkan. Sebenarnya, sejak STPM Modular diperkenalkan
pada tahun 2012 bagi kohot 2013, pengajian di Tingkatan Enam sudah berubah. Tingkatan
enam dibahagikan kepada tiga semester dan tempoh pengajian di Tingkatan Enam
hanyalah 1 tahun setengah sahaja. Setiap semester pelajar akan menduduki
peperiksaan Semester 1, Semester 2, dan Semester 3. Pelajar boleh mengulang subjek-subjek yang keputusannya
kurang memberangsangkan dalam Semester 1 dan Semester 2. Keputusan keseluruhan
akan diumumkan beberapa minggu selepas keputusan Semester 3 diketahui oleh
calon. Semester 3 tiada ulangan. Keputusan keseluruhan ditentukan dengan
mengambil gred terkumpul yang paling baik daripada 3 semester. Cara ini adalah
sama dengan cara yang digunakan di universiti. Jadi, jika kita lihat daripada
aspek ini, tidaklah susah meneruskan pengajian di Tingkatan Enam. Pelajar yang
tahu, mereka pasti akan memilih Tingkatan Enam kerana mudah untuk memperoleh
CGPA melebihi 3.50 ke atas. Pelajar memang boleh mendapatkan pointer tersebut
kerana markah Kerja Kursus juga turut diambil kira dalam menentukan keputusan
keseluruhan. Dengan keputusan itu, mereka boleh memohon kursus-kursus yang
sesuai di universiti tempatan bagi menyambung pengajian.
2. Kos Pengajian di Tingkatan Enam Lebih Murah
Pelajar tingkatan enam tidak perlu
menggunakan kos yang banyak bagi mendapatkan sijil STPM yang setaraf dengan
diploma. Mereka hanya perlu membeli buku rujukan dan alat tulis untuk belajar
dan membayar yuran asas seperti yuran PIBG, pembangunan, majalah sekolah dan
sebagainya yang tidak melebihi RM200.00. Jadi, mereka tidak perlu meminjam
dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) malahan ramai
pelajar memperoleh Biasiswa sepanjang pengajian di Tingkatan Enam. Walaupun
nilai biasiswa itu tidak banyak tetapi mencukupi untuk meneruskan pengajian di
Tingkatan Enam. Jika mereka melanjutkan pengajian di institusi lain terutama swasta
kos pengajian mungkin akan meningkat berpuluh-puluh kali ganda untuk memperoleh
sijil yang sama taraf dengan Sijil STPM. Pelajar yang berkemampuan, kewangan
bukan masalah namun bagi mereka yang berasal daripada keluarga yang kurang
mampu, beban kewangan mungkin akan memeningkan kepala. Jika diberikan bantuan
oleh PTPTN, mereka sudah berhutang sekurang-kurangnya RM10,000 hanya untuk
mendapatkan sijil setaraf STPM. Hutang itu mesti dibayar apabila mereka sudah
bekerja nanti. Pelajar Tingkatan Enam terlepas daripada semua beban ini.
3. Sijil
STPM Setaraf A-Level Cambridge
Sijil STPM mendapat pengiktirafan
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membolehkan pelajar-pelajar bekerja dalam
perkhidmatan awam. Dengan sijil STPM juga, pelajat-pelajar boleh menyambung
pengajian peringkat ijazah baik di institusi awam mahupun swasta malahan
berdasarkan Cambridge Assessment UK, mereka boleh menyambung pengajian di IPT
luar negara baik sama ada di negara Komenwell dan bukan Komenwell. Saya sendiri
merupakan lulusan STPM tahun 1990-an. Berdasarkan pengalaman saya, laluan
kerjaya dan menyambung pengajian amatlah mudah jika kita memperoleh keputusan
yang bertaraf kepujian dan cemerlang (Gred C hingga A+ dalam subjek yang
diambil) di peringkat STPM. Tanggapan susah belajar di Tingkatan Enam mesti
dihapus. Semua peringkat pembelajaran adalah sudah. Yang penting kita mesti
berusaha bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika kita
hanya berbulan madu semasa belajar jangan mengimpikan kejayaan kerana yang bulat
tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Insiatif
kendiri amat penting untuk mencapai kejayaan dalam hidup.
4. Guru
Tingkatan Enam sangat Komited
Pelajar tingkatan enam tidak perlu
terkejar-kejar mencari guru kerana guru-guru mereka sentiasa bersama mereka.
Proses pengajaran dan pembelajaran berlaku setiap hari mengikut jadual. Guru
akan menyampaikan pelajaran, membimbing mereka menyiapkan kerja kursus,
memberikan motivasi dan dorongan dan melakukan banyak lagi usaha untuk
memastikan mereka lulus dengan cemerlang dalam STPM. Mereka sentiasa ada ruang
dan peluang untuk bertanya tentang perkara-perkara yang tidak difahami baik di
dalam kelas mahupun di luar kelas. Guru-guru tingkatan enam sentiasa
berkolaboratif menggunakan saluran media sosial bagi berkongsi pengalaman,
bahan pengajaran, dan kepakaran demi anak-anak didik mereka. Dengan ini,
pelajar sentiasa mendapat input-input berguna untuk melakukan persediaan bagi
menduduki peperiksaan STPM di penghujung Semester 1, 2, dan 3. Insya-Allah,
jika mereka berdedikasi dan tekun dalam pengajian, mereka tidak akan gagal.
Pengalaman saya mengajar Tingkatan Enam, hubungan dengan pelajar amat rapat
ibarat ayah dengan anak kerana mereka sudah matang dan boleh berkomunikasi
dengan baik. Saya sanggup menghabiskan masa untuk memberikan kelas tambahan dan
melayan soal jawab bersama pelajar di WhatsApp dan Telegram agar mereka
menguasai isi pelajaran yang diajar.
5. Masuk Universiti dengan Lebih Mudah
Pengalaman saya sendiri apabila meneliti
kursus-kursus yang pelajar-pelajar saya dapat selepas keputusan STPM diumumkan
membuktikan pelajar tingkatan enam yang mempunyai pointer melebihi 3.50 amat
mudah mendapat tempat di universiti tempatan dengan ditawarkan kursus-kursus
yang mempunyai peluang pekerjaan. Pelajar Tingkatan Enam hanya perlu mengambil
4 subjek sahaja ikut pakej yang ditawarkan di sekolah tempat mereka belajar dan
MUET. Dengan subjek itu mereka boleh memohon pelbagai kursus yang relevan
apatah lagi kalau mereka mendapat 4A, pilihan kursus amatlah banyak. Contohnya,
ada pelajar saya yang mendapat 4A dalam Pengajian Am, Bahasa Melayu, Ekonomi,
dan Geografi ditawarkan tempat mengikut kursus undang-undang di Universiti
Malaysia. Majoriti pelajar saya memilih laluan untuk mengikuti kursus-kursus
dalam bidang pendidikan, mereka kebanyakannya berjaya mendapat tempat di UPSI.
Kebanyakan pelajar lepasan STPM yang memperoleh sijil STPM mempunyai pekerjaan
yang setimpal dengan kelulusan mereka bagi yang tidak menyambung pengajian ke
IPTA atau IPTS. Walau bagaimanapun, lulusan martrikulasi, diploma, dan
kemahiran juga ada peluang yang sama jika mereka memperoleh keputusan yang baik
dalam pengajian masing-masing. Peluang akan tertutup kalau kita malas belajar
biarpun hakikat kejayaan dalam hidup itu tidak dapat diukur dengan keputusan
peperiksaan, perkara ini hanya relevan hanya untuk orang tertentu sahaja.
Hakikatnya, 70% kelansungan hidup yang sukses masih ditentukan oleh taraf
pendidikan individu.
Konklusinya, arah tuju kita selepas SPM
perlu ditentukan dengan berhati-hati. Saya ingin mengingatkan pelajar-pelajar
supaya melangkahlah dengan bijak ke hadapan. Anda telah memperoleh keputusan
yang cemerlang, amatlah sayang kalau tersalah pilih jalan. Peribahasa Melayu
yang berbunyi, “ukur baju di badan sendiri’ wajar dijadikan indikator sebelum
kita melangkah. Jika ibu bapa kita kurang berkemampuan, tangguhkanlah niat
untuk ikut kawan melanjutkan pengajian di instituti yang memerlukan biaya yang
tinggi. Memanglah kita rasa percuma sebab ada pinjaman PTPTN tetapi fikirkan
pula hutang itu perlu dibayar juga nanti. Jadi, tiada salah memilih untuk
meneruskan pengajian di Tingkatan Enam, fokus betul-betul, insya-Allah anda
mampu mencapai keputusan yang cemerlang dalam STPM dan mudah mendapat tempat di
universiti tempatan. Percayalah, tindakan anda memilih untuk meneruskan
pengajian di Tingkatan Enam adalah bijak. Jangan terpengaruh dengan kata-kata
orang sekeliling. Masa depan kita, kebijaksanaan kitalah yang mencorakkannya.
Pandangan Peribadi
Cikgu Zulkarnain Farihin
Anak Sarawak
CATATAN CIKGU ZUL: KELAS PdPR, SIAPAKAH SEBENARNYA YANG RISAU, KECEWA DAN TERLUKA?
Pelaksanaan PdPR
ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada ibu bapa atau penjaga,
pelajar-pelajar dan guru-guru. Saya masih ingat, pada mula-mula PdPR ini
dilaksanakan keadaan agak kelam kabut dengan pelbagai masalah namun semakin
lama semakin baik apabila golongan pendidik dan ibu bapa serta pelajar sendiri
mulai memahami konsep dan cara pelaksanaannya. Namun begitu, kita masih
mendengar keluhan daripada ibu bapa tentang cara pengendalian kelas PdPR oleh
guru. Keluhan-keluhan itu disampaikan di ruang media sosial baik secara berkias
mahupun secara marah-marah kerana tertekan dengan norma baharu ini. Kita faham,
selama ini ramai ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik anak
kepada guru-guru di sekolah. Apabila berlangsungnya PdPR mereka rasa kekok dan
terganggu dengan perangai dan jadual waktu PdPR anak-anak mereka. Pada masa
yang sama mereka mulai terbeban dengan tuntutan untuk menyediakan peranti dan
biaya Internet bagi membolehkan anak-anak mereka menjalani kelas PdPR dengan
selesa.
Warga guru
merupakan kelompok yang paling terkesan dengan pelaksanaan PdPR. Mereka bukan
sahaja terbeban dengan tugas mengajar malahan mereka terpaksa melayan arahan
daripada pihak atasan untuk menyediakan laporan dan mengikuti kursus, taklimat,
dan mesyuarat atas talian. Pihak atasan pula bagaikan tidak memahami keadaan
guru-guru semasa waktu pejabat. Ada ketikanya, guru terpaksa menjalankan tugas
tiga dalam satu, iaitu mengajar, mendengar taklimat, dan menyediakan laporan
yang diminta oleh pihak atasan baik PPD, JPN, mahupun KPM serta Ketua Jabatan
sendiri. Tekanan golongan guru ini bermula pada awal jam 7:00 pagi. Apabila kelas
bermula pada pukul 7:00 pagi, pelajar pula masih tidur. Kelas sunyi dan sepi. Jumlah
pelajar seramai 30 orang, yang hadir shanyalah
seorang atau tidak ada langsung. Walau bagaimanapun, guru tersebut akan
menunggu dan terus menunggu kerana sepanjang tempoh itu dia tidak boleh pergi
ke mana-mana.
Alangkah kecewa
dan hampanya Si Guru yang menyediakan bahan-bahan pembelajaran hingga lewat
malam apabila pelajar-pelajarnya tidak ambil peduli. Apabila ditanya, mereka
memberikan pelbagai alasan, ibu bapa belum beli kouta Internet, tiada laptop
atau komputer, dan sebagainya wahal sejak awal pagi mereka sentiasa update
status di Facebook dan Tik Tok. Para guru letih memikirkan pelbagai kaedah
untuk membantu pelajar terutamanya mereka yang mengajar kelas peperiksaan yakni
pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM. Dalam Kumpulan
Media Sosial WhatsApp dan Telegram Guru, ramai yang meluahkan kekecewaan hingga
terpaksa ditenangkan oleh rakan-rakan yang lain. Keluhan dan kekecewaan warga
guru ini hanya mereka yang tahu dan merasai. Mereka tidak akan berkongsi dengan
masyarakat kerana masyarakat yang bergelar netizen tidak akan memahami,
silap-silap keluhan itu akan menjadi senjata untuk mereka memaki, menghina, mencaci,
dan mengeji guru dan kerjaya perguruan.
Kita masih belum
dapat mengenal pasti tarikh tamat pelaksanaan kelas PdPR ini. Jika kelas bersemuka
dilaksanakan pun ramai ibu bapa yang berkeras tidak mahu menghantar anak ke
sekolah kerana risau akan keselamatan anak mereka. Jika PdPR terus dilaksanakan
guru akan terus dijadikan tempat untuk melepaskan geram dan kemarahan. Semua
cara yang guru lakukan untuk melaksanakan PdPR adalah salah pada mereka yang
tidak mengerti atau sengaja tidak mengerti. Selagi kelas PdPR terus terlaksana
semua pihak perlu bersikap positif dan elakkan daripada terlalu sensitif
sehingga semuanya menjadi sulit. Kita mesti matang berhadapan dengan situasi
ini. Golongan guru bukannya supermen atau superwomen yang boleh memuaskan hati
semua ibu bapa pelajar-pelajar mereka. Seorang guru yang mengajar 3 hingga 4 kelas
terpaksa menjaga jumlah pelajar lebih daripada 100 orang. Ada guru yang
mengabaikan anak sendiri kerana lebih mementingkan kerja dan amanah kepada
negara ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Pandangan Peribadi
Cikgu Zulkarnain Farihin
Anak Sarawak