JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Ogos 2012

ISU SOSIAL : SEPERTI SESEORANG MELUDAH KE LANGIT


Nordin Kardi
Penyandang Kursi Za'aba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Dalam sesebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi, hak bercakap, hak bertindak, hak membuat sesuatu pendirian dan hak berhimpun sememangnya dijunjung dengan peruntukan perundangan negara yang melindungi hak-hak tersebut. Namun demikian hak-hak itu bukan semata-mata dilindungi dan terikat kepada sesuatu undang-undang negara, sebaliknya terikat juga dengan tamadun yang melindungi sesuatu negara bangsa serta undang-undang itu sendiri. Ahli masyarakat sesebuah negara bertamadun (ada yang suka menyebutnya sebagai masyarakat sivil dan ada pula yang menyebutnya masyarakat madani) banyak menguruskan diri mereka sendiri dan mengurangkan pergantungan kepada peraturan yang dikuatkuasakan oleh alat-alat negara. Jika berlaku pertindihan kepentingan antara individu atau antara kumpulan dalam masyarakat mereka memilih untuk menyelesaikan sesama sendiri secara bertamadun. Apakah cara bertamadun itu?

Di sinilah letaknya adab atau etika hidup dalam sesebuah negara bertamadun. Setiap ahli bebas melakukan apa saja untuk menunaikan kepentingan mereka namun beberapa prinsip mereka pegang sebagai prinsip hidup peribadi dan prinsip hidup bermasyarakat. Sambil setiap individu bebas mempunyai prinsip hidup tersendiri, ada pula prinsip yang dipersetujui bersama secara sejagat bagi menentukan kepentingan individu dan kepentingan orang ramai terpelihara. Antara prinsip adab universal yang utama ialah prinsip tidak menyakiti atau mendatangkan kesakitan kepada orang lain. Individu bebas melakukan apa sahaja tetapi dia hendaklah dibataskan oleh adab tidak mendatangkan kesakitan. Jika dia mendapati tindakannya bakal menyakiti orang lain maka dia hendaklah membatalkan hasratnya. Prinsip selanjutnya ialah prinsip tindakan membawa kebaikan.

Apabila individu hendak meluaskan ruang kepentingannya sehingga bertindih dengan ruang-ruang kepentingan orang lain, dia hendaklah memastikan pertindihan ruang itu (contohnya berkomunikasi dengan/atau memberi sesuatu kepada orang lain) bakal membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak, bukan sepihak sahaja. Prinsip terpenting yang lain ialah prinsip keadilan. Ahli masyarakat bertamadun sangat menghormati keadilan. Keadilan bukan bererti sama rasa dan sama rata, sebaliknya ialah memberi layanan dan hak yang berbeza kepada individu yang berbeza bersesuaian dengan kedudukan dan kepentingan individu itu. Disebutkan bahawa keadilan ialah to treat equal equally and unequal unequally. Namun, ahli-ahli adab berkata apabila berlaku konflik antara prinsip adab, maka orang beradab akan meletakkan prinsip tidak menyakiti orang lain pada kedudukan paling hadapan.

Kesakitan

Maksudnya, jika seseorang itu hendak membuat kebaikan atau menegakkan keadilan tetapi pada yang sama dia akan menyebabkan kesakitan kepada orang lain maka dia akan membatalkan hasratnya membuat kebaikan dan menegakkan keadilan yang bakal mendatangkan kesakitan itu. Prinsip mendahulukan kepentingan tidak menyakiti orang lain ini menjadi penyemak sangat kuat kepada idea-idea menarik yang dijana oleh individu sesebuah masyarakat bertamadun yang boleh membawa mudarat dan bakal menghancurkan sesuatu tamadun itu sendiri. Antara contoh kemasyarakatan yang pernah berlaku di rantau ini dan negara Malaysia sendiri ialah keinginan penganut fahaman komunis yang ingin menegakkan keadilan untuk rakyat miskin dan mengemukakan cara yang pada mereka baik melalui penyebaran ideologi tetapi kedua-dua idealisme itu dilaksanakan melalui cara yang menyakiti orang lain seperti melakukan kekerasan, pembunuhan dan sebagainya.

Sebarang tindakan menyakiti tentulah akan dibalas dengan tindakan menyakiti oleh pihak yang disakiti juga. Keadaan itu akan menyebabkan keseluruhan masyarakat itu mengalami kesakitan. Dalam dunia intelektual pula, pernah terdengar bagaimana segolongan ahli ilmu atau ulama agama menggunakan kuasa pengaruh menyakiti segolongan lagi yang tidak sealiran dengan mereka sehingga buku-buku dan kitab dibakar oleh pihak berkuasa demi menegakkan apa yang baik kepada mereka dan atas nama menjaga keharmonian masyarakat beragama yang bunyinya sangat mulia. Dalam konteks semasa dan dengan menggunakan panduan prinsip yang telah dihuraikan ini, jika ada seseorang atau sekumpulan pemimpin politik atau masyarakat yang menyerukan pembinaan masyarakat madani, orang awam boleh dengan segera mengesan sama ada pemimpin itu hidup sepenuhnya dengan prinsip masyarakat madani yang telah disebutkan di atas.

Masyarakat madani tidak boleh ditegakkan dengan cara yang menyakiti dan menimbulkan kesusahan kepada orang awam. Apa yang berlaku di Mesir, di Libya, di Iraq dan sekarang di Syria yang dipanggil Arab Spring belum tentu boleh dijadikan model yang baik menuju pembinaan masyarakat sivil. Lihatlah bagaimana cara Nabi Muhammad SAW membawa prinsip manusia madani sebaik Nabi SAW dan para sahabat menawan Mekah. Tiada orang yang disakiti dan semua dendam dilupuskan. Atas tanda-tanda ini masyarakat awam Malaysia sewajarnya dapat membuat keputusan segera bahawa seseorang itu bukanlah seorang pendukung kepercayaan pembinaan masyarakat madani yang tulen jika caranya menyakiti awam, sebaliknya dia menjadikan seruan itu hanya sebagai suatu slogan menjayakan sesuatu ideal atau ijtihad peribadi yang dia sahaja tahu maksudnya.

Faedahnya nanti akan hanya untuk dirinya sendiri, bukan untuk ahli masyarakat yang di ajaknya bersama. Di dalam facebook dan blog-blog tentu ramai yang terhibur dengan buah fikiran yang pelbagai dan luar biasa. Namun kebebasan yang disediakan oleh karya teknologi itu tidak semestinya bergerak ke hadapan seiring dengan karya-karya alat tersebut. Isi kandungan bahan yang sangat menyakiti individu dan kumpulan masyarakat disebarkan melalui medium teknologi paling baru. Ini menjadikan masyarakat hidup dalam dunia teknologi paling ke hadapan dan berterusan diperbaharui tetapi ada ahli masyarakatnya berpatah balik ke belakang dan hidup dalam masyarakat barbarik. Bahan, perkataan dan istilah-istilah yang menyakiti dicipta, seolah-olah sama seperti manusia kuno zaman batu menyakiti haiwan makanan yang disembelih dengan ketulan batu berbanding pisau ciptaan termoden yang tajam untuk mengurangi kesakitan.

Merungut

Dalam hal di atas ada yang merungut dan menulis soal kenapa ada penulis yang menghina pemimpin yang berlatarbelakangkan ilmu agama yang tinggi sambil mereka juga tidak pula merekodkan jumlah keceluparan pemimpin itu untuk tempoh yang panjang tanpa reaksi dengan darjah keceluparan yang sama daripada lawannya. Patutlah, bijaksana Melayu silam mencipta istilah seperti ‘meludah ke langit’ dan ‘menepuk air di dulang’. Patutlah juga, Tuhan melarang seseorang Islam mencerca tuhan orang bukan Islam kerana perbuatan mencerca tuhan orang lain itu akan menyebabkan Tuhan orang Islam mendapat cercaan sebagai balasannya. Sambil saya membuat telaah mengenai masyarakat bertamadun dan masyarakat sivil ini saya mengikuti perkembangan persaingan antara Mitt Romney dan Barack Obama yang sedang rancak di Amerika Syarikat pada ketika ini.

Minggu lepas Romney membuat lawatan kerja bagi meluaskan hubungan diplomatiknya ke Eropah. Romney ialah pemimpin pembangkang calon Presiden Amerika Syarikat melawan Obama, Presiden yang sedang memegang jawatan yang bakal bertanding mempertahankan jawatan. Semasa berada di Britain Romney disoal oleh pelbagai media mengenai banyak perkara termasuk pentadbiran Obama. Jawapan Romney amat menarik. Katanya dia tidak akan sekali-kali mengkritik dasar Obama semasa dia berkunjung ke luar negara. Katanya, “While I am on foreign soil, I’m very careful not to be critical of my own government‘s policies," (terjemahan: semasa saya berada di bumi bukan tanah tumpah darah saya, saya amat berhati-hati terhadap dasar-dasar kerajaan saya). Cuba perhatikan betapa semasa berada di luar negara, Romney memberitahu orang yang tidak sebangsa dan senegara dengannya bahawa kerajaan Obama itu ialah kerajaan dia juga dengan merujuk ‘my own government‘s policy’.

Maksudnya dia menerima negaranya secara holistik - tanahnya, warganegaranya/bangsanya dan kerajaannya dalam satu pakej di bawah panji-panji negara Amerika Syarikat’. Inilah contoh adab pemimpin bertamadun (baca dalam konteks ini sahaja). Sambil melakukan telahan itu saya menyingkap juga beberapa kenyataan pemimpin Malaysia semasa berada di luar negara. Antaranya, Ketua Pembangkang Malaysia yang dipetik oleh Today‘s Zaman pada 1 Ogos semasa berucap di Turki menyatakan ‘Turkey is a democracy. Malaysia is not’. Kemudian di sambungnya lagi dengan menjenakakan negaranya sendiri: “I often joke that in Malaysia we have freedom of speech, but not after speech,".

Semasa membakar semangat warganegara Indonesia untuk benci kepada kerajaan Malaysia pula bertempat di Jentera School of Law, Jakarta secara implied beliau mengatakan kerajaan Malaysia melayan orang Indonesia di Malaysia seperti binatang, katanya ‘Do not send them home as if they were animals’. Demikianlah perbezaan tanggapan terhadap adab di antara calon penentang Presiden Obama dengan calon penentang Najib di Malaysia. Warganegara Amerika Syarikat bakal memilih pemimpin mereka dan warganegara Malaysia juga bakal melakukan yang sama di Malaysia. Kedua-dua pemimpin yang menentang penjawat semasa di dua negara ini menjunjung kebebasan bercakap tapi cara menggunakan kebebasan itu berbeza nampaknya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 05 Ogos 2012
Hari : Ahad

ISU SOSIAL : LELAKI MALAYSIA BUKA 'CAWANGAN'



Rencana ini tidak berniat untuk menakutkan wanita di tanah air. Sebaliknya, ia sekadar cerita yang saya fikir harus dikongsi dengan seluruh pembaca akhbar ini mengenai kehebatan lelaki Malaysia. Selama ini, kita mungkin sering mendengar berita bagaimana gadis-gadis Malaysia yang dilarikan lelaki-lelaki Lombok. Gadis-gadis malang itu dibawa pulang ke kampung halaman lelaki yang sudah menjadi suami mereka dan hidup dalam serba kekurangan. Selang dua tiga tahun, keluarga mangsa-mangsa berkenaan mula merayu meminta bantuan membawa pulang anak-anak mereka. Itu kisah wanita-wanita Malaysia yang diperdayakan kekasih mereka.

Situasi bagi lelaki yang berasal dari Malaysia dan gemar berkunjung ke negara jiran ini pula amat berbeza. Sebilangan besar yang pernah saya temui dan temu bual, semuanya terlalu gemar datang ke Indonesia - tidak kira sama ada di Jakarta, Bandung atau Medan. Semuanya datang bersebab. Ada yang menjalankan perniagaan serta tidak kurang yang berada di negara ini sekadar untuk bercuti. Namun, jawapan ketiga yang membuatkan saya mula terfikir untuk mengadakan laporan penyiasatan adalah mengenai kecenderungan lelaki Malaysia memiliki "cawangan" di sini. "Cawangan" yang dimaksudkan ialah isteri kedua atau mungkin isteri ketiga dan keempat di Indonesia.

Kerana itu, awal-awal lagi sudah ditegaskan di perenggan terawal, artikel ini tidak langsung berniat untuk menakutkan wanita yang mungkin suami mereka gemar berkunjung ke negara ini. Ini merupakan perkongsian cerita yang saya peroleh daripada pelbagai sumber yang boleh dipercayai. Tolak ketepi sama ada lelaki-lelaki yang mahu berkahwin di Indonesia memberikan fakta yang betul mengenai latar belakang diri dan status perkahwinan mereka sebelum menikahi wanita muda di sini.

Berkahwin

Jauh sekali membawa bersama dokumen yang lengkap untuk berurusan dengan pihak berwajib di Kedutaan Besar Malaysia di negara ini atau Jabatan Agama Islam di tanah air untuk mendapatkan kelulusan berkahwin di luar negara. Ini kerana, selagi pada wajah lelaki-lelaki berkenaan tertera simbol RM (Ringgit Malaysia), segala kesulitan boleh diatasi dengan mudah. Ada seorang lelaki kaya dan berpengaruh Malaysia (maaf namanya tidak boleh disebut) yang terlalu gembira apabila berkunjung ke Medan di Pulau Sumatera. Tokoh berkenaan bukanlah muda sangat. Usia pun sudah 60-an atau mungkin sudah mencecah angka 70 tahun. Secara logiknya, untuk lelaki seperti beliau, peluang mencari pucuk muda untuk disunting sebagai isteri amatlah sukar.

Wanita-wanita Malaysia khususnya mereka yang muda dan bergetah kalau mahu mencari jodoh lelaki kaya sekalipun tentu sekali calon seperti tokoh berkenaan bukanlah pilihan yang tepat. "Di Malaysia, jangan harap ada perempuan muda nak lihat muka aku. Tetapi di Medan, aku rasa sentiasa muda," pengakuan jujur tokoh itu mengenai "kehidupan baru" yang diperoleh selepas menikahi wanita muda di Medan beberapa tahun lalu. Kerana kasih dan sayang pada isteri mudanya itu, banyak wang yang dilaburkan tokoh berkenaan. Ada juga kes di mana seorang lelaki yang berhadapan dengan masalah dokumen perjalanan sehingga terpaksa menetap lebih setengah tahun di Indonesia memilih berkahwin di wilayah yang sama.

Ketika ingatan dan kasih sayang tidak pernah putus terhadap isteri dan anak-anak yang ditinggalkan di Malaysia, beliau masih lagi sempat berkahwin lain dengan wanita tempatan. Perkahwinan itu katanya sebagai menghindari diri daripada melakukan maksiat. Itu baru dua kisah benar yang saya dengar. Ada lagi banyak kes yang kalau dikongsi akan membuatkan isteri-isteri pasti akan mahu ikut suami mereka setiap kali berkunjung ke Indonesia. Untuk pengetahuan pembaca, jumlah rakyat Malaysia (khususnya lelaki) yang berkahwin dengan rakyat Indonesia setiap tahun meningkat. Pada tahun lalu sahaja, rekod warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warganegara Indonesia ialah 388 pasangan.

Itu jumlah mereka yang berdaftar dengan pihak berkuasa. Sementara jumlah yang tidak mendaftar (berkahwin tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia) pula gagal dikesan. Berdasarkan kajian yang saya buat, sebab utama rakyat Malaysia (khususnya lelaki) tidak mendaftarkan perkahwinan mereka lazimnya disebabkan tidak mendapat kelulusan berpoligami. Cara mudah adalah datang ke Indonesia dan berkahwin secara 'koboi'. Apa lagi dengan senario pernikahan siri yang menjadi kecenderungan di beberapa wilayah seperti di Bogor antara punca yang menyebabkan ada segelintir lelaki Malaysia mengambil kesempatan. Kalau mereka yang pernah ke Bogor tentu sekali akan terperanjat melihat bagaimana pernikahan bersiri ini diterima sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat di sana.

Di Bogor, anda dengan mudah melihat wajah anak-anak kecil berdarah kacukan kerana mereka merupakan zuriat yang dilahirkan hasil pernikahan bersiri. Difahamkan ramai lelaki dari Timur Tengah yang datang bercuti ke Indonesia memilih untuk bernikah siri dengan wanita-wanita tempatan. Memandangkan golongan ini sering menghabiskan masa yang lama di Indonesia (tanpa ditemani isteri), maka mereka memilih untuk berkahwin di lokasi percutian mereka.

Budaya ini yang dikhuatiri akan menjadi ikutan rakyat Malaysia kerana pernikahan bersiri membawa maksud bernikah untuk satu tempoh masa sahaja. Sejurus berakhir tempoh berkenaan, wanita-wanita itu akan ditinggalkan oleh suami mereka kerana ikatan perkahwinan itu gugur secara automatik. Banyak kesan yang kurang baik boleh berlaku ke atas isteri dan anak-anak pada masa depan. Seeloknya urusan perkahwinan mengikut aturan agama dan undang-undang negara kerana ia satu tugas mulia di sisi Allah. Janganlah kita hanya menjadi jaguh dalam hal ehwal kahwin banyak tetapi gagal menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 05 Ogos 2012
Hari : Ahad

ISU SOSIAL : JANGAN KOMPROMI PERANGI MERCUN


Rencana ini ditulis oleh :
ARIF ATAN


Tidak ada disebut dalam al-Quran atau kajian akademik sekalipun yang menunjukkan kaitan mercun dengan syarat pelengkap kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Namun, sepanjang bulan Ramadan tambah-tambah mendekati 1 Syawal, sebahagian orang kita tidak terkecuali golongan dewasa entah kerana dirasuk apa, sibuk benar mahu bermain mercun. Walaupun mercun secara rasminya diharamkan sejak 1991 di negara ini, namun ibadah solat Tarawih kita pasti ada yang dikejutkan dan diganggu dengan bunyi letupan mercun di sana sini. Ada sahaja mangsa letupan mercun yang telah dan akan kita dengar setiap kali Hari Raya. Nama mercunnya pun bermacam-macam dengan mercun bola, mercun roket selain mercun buatan sendiri antara jenis mercun yang membunuh diri.

Baru-baru ini di Alor Setar, seorang pekerja kilang berdepan dengan risiko buta mata sebelah kirinya. Gara-gara bermain mercun ketika menantikan masuknya waktu berbuka puasa, separuh nikmat penglihatan pemuda berusia 27 tahun itu lebur apabila 40 biji mercun bola miliknya turut meletup sama. Malangnya, masyarakat kita tidak pernah mahu ambil iktibar daripada kes mercun yang mengundang tragedi walaupun mendapat liputan meluas dalam media. Permintaan dan tawaran mercun tetap berlangsung saban tahun. Hairan bercampur lucu juga apabila diperhatikan ada pemilik gerai di bazar Ramadan yang boleh pula melambakkan pelbagai jenis mercun dan bunga api di atas meja jualan bukannya makanan seperti yang sepatutnya!

Peniaga yang menjual mercun di bazar Ramadan juga tidak jauh bezanya dengan peniaga yang kotor dalam penyediaan makanan mereka. Malah, mereka lebih bahaya lagi kerana menyumbang kepada indeks 'kegilaan', kemalangan dan kecederaan kepada orang awam. Sama seperti kesan asap rokok yang turut memberi impak buruk kepada orang sekelilingnya begitulah juga mercun. Di kawasan perumahan rumah pangsa misalnya, orang lain yang berada di bawah blok terdedah kepada risiko cedera anggota badan apabila wujud kecenderungan membaling mercun dari tingkat atas. Tiba masanya untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memeriksa dan menarik balik sewaan tapak gerai kepada penjual yang menyalahgunakan peluang yang diberi untuk menjual bahan api.

Masyarakat termasuk pengunjung bazaar Ramadan harus berperanan melaporkan kegiatan penjualan bahan yang telah diharamkan oleh kerajaan. Paling penting usah gatal tangan membeli sebutir dua mercun tersebut lantaran ikutkan kehendak anak. Langkah kawalan ketat di sempadan negara juga disambut baik bagi mengurangkan kes cedera atau hilang anggota pada pagi raya. Tindakan tangkas pihak Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Rantau Panjang, Kelantan merampas mercun dan bunga api semasa waktu bersahur bernilai lebih RM100,000 patut dipuji.

Seharusnya, usaha tersebut digiatkan lagi dari semasa ke semasa bagi memastikan mercun dan bunga api yang lazimnya dibawa dari China melalui Thailand tidak lolos sehingga sampai ke tangan masyarakat kita. Paling penting, setiap daripada kita mesti bersikap tanpa berkompromi terhadap anggota keluarga dan kejiranan kita daripada bermain mercun sekiranya tidak mahu ada anggota pada tubuh mereka cedera atau ghaib sehingga mengalami kelainan upaya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 04 Ogos 2012
Hari : Sabtu 

ISU SOSIAL : KERJASAMA BENTERAS JUALAN MERCUN


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Baru minggu kedua Ramadan, berita tentang kecederaan berkaitan mercun semakin banyak dilaporkan media cetak dan elektronik. Walaupun menyayat hati terutama jika menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak, namun rakyat Malaysia seolah-olah sudah lali dengan berita sebegini dan tidak lagi merasakan kemalangan sedemikian sesuatu yang mengejutkan. Tambahan pula, sebilangan remaja bermasalah kini sudah mula bermain mercun dengan membaling kepada orang, kenderaan mahupun rumah sebagai satu bahan jenaka. Mercun ada fungsinya dalam upacara kaum dan kepercayaan tertentu tetapi langsung tiada tempat dalam budaya Melayu mahupun agama Islam.

Walaupun ada budaya bermain meriam buluh di kampung-kampung sejak beberapa dekad lalu, tetapi ia bukan sebahagian daripada amalan umat Islam pada bulan Ramadan dan Syawal. Umum dan media sendiri sudah muak menceritakan tragedi yang berulang setiap kali ketibaan Ramadan dan Syawal ini, tetapi sebenarnya ramai yang tidak sedar punca masalah adalah sikap anggota masyarakat itu sendiri. Rata-rata masyarakat menyalahkan kanak-kanak atau mereka yang cedera kerana bermain mercun, ibu bapa mahupun pihak berkuasa yang dianggap tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Semua orang mengetahui bermain mercun adalah satu aktiviti yang sia-sia dan lebih membazir daripada merokok. Lebih teruk, ia mampu mencederakan dan membunuh dengan lebih dahsyat daripada asap tembakau. Namun, jika bertanya kepada diri sendiri, berapa ramaikah di antara rakyat negara ini yang pernah menghalang mahupun melaporkan aktiviti penyeludupan dan penjualan mercun haram kepada pihak berkuasa atau sekurang-kurangnya kepada Rukun Tetangga?

Realitinya, penjualan mercun amat mudah dilihat di pasar malam, bazar Ramadan, gerai mahupun premis kedai terutama pada musim perayaan. Dalam menangani masalah itu pula, masyarakat seolah-olah lepas tangan dengan mengharapkan pihak berkuasa datang menyiasat sendiri serta menangkap penjenayah terbabit. Dengan itu, tidaklah pelik apabila ramai di kalangan generasi muda kudung anggota, buta, pekak dan melecur teruk. Jika tidak maut sekalipun, mereka akan menjadi pewaris negara yang cacat kekal selama-lamanya. Terbaru, kes seorang pemuda dan anak jirannya di Kedah sudah berada dalam statistik mangsa mercun. Mangsa dilaporkan membeli mercun di bazar Ramadan berhampiran rumahnya.

Yang bermain mercun itu mungkin akan kehilangan deria penglihatan tetapi ramai terlepas pandang, terutama anggota masyarakat setempat di negara ini tentang aktiviti jualan mercun yang dibiar berleluasa. Sikap kejiranan kini yang lebih suka mengata dan mengutuk jika terkena kepada orang lain memburukkan lagi keadaan. Hanya apabila terkena pada keluarga sendiri barulah mereka tersentak. Jika ditanya, klise biasa adalah penguat kuasa tidak buat kerja, kerajaan gagal kawal penyeludup dan peniaga mercun, mahupun 'Perdana Menteri' perlu selesaikan masalah ini. Sedangkan terdapat beribu-ribu mata yang sekadar memandang kegiatan menjual mercun haram itu setiap hari. Agak menyedihkan apabila tiada yang melaporkannya dan sekadar menjeling dengan tanggapan 'biarlah...asal tidak menyusahkan aku'.

Ramai yang mungkin terlupa tragedi letupan kilang dan gudang mercun sebelum ini, di dalam dan luar negara. Seperti tragedi pada Ogos 2010 di Terengganu yang sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan semua pihak apabila seorang kanak-kanak berumur enam tahun maut dengan tragis akibat letupan mercun yang disimpan bapanya sendiri. Dengan jumlah mercun yang begitu besar, mustahil tiada langsung tetangga, saudara mahupun penduduk sekitar mengetahui atau sekurang-kurangnya mengesyaki sesuatu tidak kena sedang berlaku. Sama juga di mana-mana sekalipun, jika orang ramai masih tidak endah dan mengabaikan tanggungjawab bersama dalam menghalang aktiviti haram ini, usahlah terkejut jika suatu hari nanti, mercun akan meragut nyawa keluarga atau kenalan anda. Hakikatnya, penguat kuasa tidak boleh berada di semua tempat sepanjang masa, justeru penduduk setempat yang mengetahui aktiviti haram yang dijalankan itu wajarlah melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 04 Ogos 2012
Hari : Sabtu