Tindakan menghukum pelajar secara keterlaluan atas apa juga kesalahan sehingga ke tahap mendera tidak sepatutnya berlaku. Walaupun hukuman itu perlu bagi mendisiplinkan pelajar, tetapi ia tidak sepatutnya hingga boleh mencederakan atau menyebabkan mereka menjadi trauma. Kejadian seorang pelajar berusia 13 tahun di sebuah sekolah agama di Bachok, Kelantan yang bukan saja dipukul, malah dirantai gurunya adalah keterlaluan dan tidak wajar. Dalam kejadian 6 Julai lalu, pelajar terbabit, Mohd Ihsaan Mohd Hussin yang belajar di Tahfizul Quran Al Ikhlas, dirantai kedua-dua kakinya selama sejam atas kesalahan menghisap rokok. Walaupun merokok itu satu kesalahan serius bagi seorang pelajar, namun hukuman yang dikenakan itu boleh dianggap tidak bertamadun. Kita simpati dengan ibu bapa serta keluarga pelajar terbabit. Ketika mengharapkan anak mereka mendapat ilmu agama yang mencukupi bagi bekalan dunia akhirat dan dijaga dengan baik oleh pihak sekolah, tetapi ia tidak berlaku seperti yang mereka hajati.
Pihak sekolah sepatutnya mengenakan hukuman lebih sesuai bagi mendisiplinkan pelajar mereka. Kita bimbang pelajar akan berada dalam keadaan ketakutan melampau selama berada di sekolah atau asrama. Suasana itu pastinya tidak sesuai untuk pelajar menimba ilmu kerana bimbang hukuman yang berbentuk ‘seksaan’ ini akan dikenakan ke atas mereka pada bila-bila masa. Kita juga bimbang kesan daripada hukuman yang keterlaluan ini akan menghantui mereka sepanjang hidup, malah lebih buruk ia akan terbawa-bawa sehingga mereka dewasa. Justeru, kita berharap pihak terbabit sama ada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Jabatan Agama Islam negeri yang mengawal selia sekolah agama dapat memantau keadaan ini. Pihak berkenaan sepatutnya mempunyai garis panduan jelas mengenai bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap pelajar seperti diamalkan di sekolah kebangsaan (SK) atau sekolah menengah kebangsaan (SMK).
Kita tidak mahu kejadian sama di Kangar, Mac lalu berulang apabila seorang guru agama di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, dituduh mendera murid Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee hingga mati. Kita berasa kecewa kerana sekolah agama yang sepatutnya menerapkan nilai disiplin yang tinggi berteraskan ajaran Islam, namun berlaku pula sebaliknya. Lebih mengejutkan maahad tahfiz terbabit belum didaftarkan walaupun sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu. Apapun, kita berharap ibu bapa yang mahu menghantar anak masing-masing ke sekolah agama supaya memastikan terlebih dulu sekolah terbabit berdaftar dengan pihak berkuasa dan mempunyai peraturan jelas. Selain itu ibu bapa juga harus memastikan tenaga pengajarnya juga terlatih supaya mereka tahu peraturan serta garis panduan yang perlu dipatuhi.
SUMBER
BERITA HARIAN
15 MEI 2011