Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
Pengalaman hidup zaman kanak-kanak di Perlis memang mengasyikkan. Tiupan serunai Allahyarham Mahmud Wahid (Tok Mud Wahid) dengan celoteh Awang Batilnya memang mencuitkan. Topeng dan batil ajaibnya menjadi tumpuan kanak-kanak. Tidak kurang hebatnya penglipurlara Tok Ismail Selampit dengan kiasan zaman antah-berantahnya. Kepada siapa sahaja yang membesar dalam persekitaran kampung tahun 70-an, kesenian tradisi pasti menjadi satu pendedahan awal terhadap akar umbi budaya. Malah Mahmud Wahid dan Ismail Selampit menjadi media hiburan masyarakat selepas berpenat lelah di sawah dan ladang. Tetapi zaman telah mengubah segala-galanya. Ketiadaan Mahmud Wahid, Ismail Selampit, primadona canggung Cik Lian dan Cik Intan memang terasa. Persembahan gendang terinai juga semakin sukar dinikmati. Kini, apabila sesekali balik ke kampung, persembahan hadrah di majlis kenduri kahwin juga sudah tiada.
Mereka ganti dengan karaoke yang entah apa-apa. Seni penglipurlara seperti Selampit telah lama hilang selepas tokoh budaya itu menghembuskan nafas terakhir. Kerana tanpa pembelaan daripada aspek pemuliharaan kesenian tradisi, semua ini telah pupus. Banyak seniman tradisional juga telah meninggalkan bidang ini kerana ketiadaan rangsangan daripada pihak tertentu. Sistem sosial dan tuntutan hidup yang semakin mencabar barangkali salah satu faktor meninggalkan keperluan tradisi itu jauh di belakang. Canggung juga telah pupus pada dekad pertama abad ke 21. Persembahan yang dulunya meraikan pengantin baru atau penghias pesta menuai kini sudah tiada. Makyung, dikir barat di Kelantan atau jikey di Kedah mengalami nasib yang sama. Penggiat seni tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mahu berkorban lagi untuk seninya. Mereka telah banyak berkorban dan sekarang mereka perlu hidup seperti orang biasa.
Mereka perlu memikirkan bayaran pengajian anak di universiti dan harga barang yang melambung biarpun pemimpin mereka kata, 'harga terkawal'. Sangat malang kerana usaha memulihara begitu terbatas dan tidak ada kelangsungan. Di kepala pemimpin, banyak perkara lain menjadi agenda berbanding membawa kesenian tradisi kembali ke tengah masyarakat. Buktinya Kuala Lumpur yang 'kaya raya' itu juga gagal menjadi kota budaya. Ah, kita mahu menjadi negara maju rupa-rupanya. Barangkali pemimpin-pemimpin di peringkat negeri boleh mencontohi negeri Johor yang menjadi satu-satunya negeri di negara ini yang sangat giat memulihara kesenian tradisi. Kewujudan Yayasan Warisan Johor dan prihatin pemimpin Johor sendiri telah menghidupkan kesenian seperti zapin, keroncong, ghazal dan lain-lain lagi. Sebenarnya ini bukan soal kewangan. Ini adalah soal sama ada pemimpin 'buta seni' atau 'celik seni'. Kerajaan negeri Johor 'celik seni' apabila melakukan sesuatu yang sepatutnya dibuat oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Barangkali kementerian ini 'terlalu' sibuk sehingga kebudayaan sudah jauh tertinggal di belakang program lain yang menguntungkan.
UTUSAN MALAYSIA
7 MAC 2011