JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 September 2012

ISU NEGARA : FORMULA KEKALKAN KEMERDEKAAN NEGARA


Rencana ini ditulis oleh:
MOHD ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru


Kemeriahan Syawal masih lagi terasa. Namun begitu seluruh masyarakat diseru tidak lupa betapa nikmat kemerdekaan yang di kecapi hari inilah yang membolehkan kita melakukan segala-galanya termasuklah bebas berhari raya ke sana ke mari dalam suasana muhibah semangat 1Malaysia. Sementara itu, amalan rumah terbuka yang meriah dilakukan di merata tempat turut dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang berkongsi budaya sungguhpun berlatarbelakangkan kepercayaan yang berbeza. Nikmat kemerdekaan dan kebebasan ini hendaklah dipelihara agar ia berkekalan sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Sehubungan itu juga beberapa formula untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan negara perlu dilestarikan bagi keharmonian hidup bersama.

Era penjajahan di Tanah Melayu sudah lama berkubur, namun begitu puing-puing penjajahan budaya dan pemikiran yang membelenggu masyarakat kelihatan sukar untuk dikikis. Akibatnya satu demi satu nilai jati diri Melayu secara khususnya tidak lagi mendapat tempat di hati segelintir masyarakat. Pemakaian baju Melayu, bersongkok dan bersamping sebagai contohnya mula dilupakan terutama ketika menyambut hari raya. Begitu pula terdapat di kalangan generasi muda lebih gemar memperagakan fesyen terkini berbanding baju kurung yang melambangkan kesopanan dan nilai Nusantara. Malah ada yang lebih selesa mengenakan fesyen pakaian yang menjolok mata dan keterlaluan demi ikutan nafsu sendiri.

Corak pemikiran yang tidak berteraskan nilai-nilai ketimuran juga mula dipraktikkan. Akibatnya gejala seks songsang seperti gay dan lesbian menarik perhatian golongan yang menyimpang daripada ajaran agama suci. Kelab-kelab hiburan yang mempromosikan amalan seks songsang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Muda-mudi Islam tanpa segan silu memuat naik perlakuan jijik mereka di laman sosial sehingga seluruh dunia menyaksikan betapa kita masih dijajah walaupun setelah 55 tahun merdeka. Justeru apa erti kemerdekaan jika hakikatnya masyarakat masih terjajah tanpa disedari.

Nikmat kebebasan beragama yang sebati dengan masyarakat Malaysia juga hendaklah terus dipelihara. Malah nilai yang dikongsi bersama ini merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah dinikmati sejak zaman berzaman. Oleh itu, sebarang anasir jahat yang cuba diseludup masuk ke negara ini seperti usaha buruk menyebarkan ajaran menyeleweng kepada golongan gelandangan dan umat Islam yang dalam kesempitan hendaklah ditentang habis-habisan. Begitu pula usaha pihak tertentu sama ada dari dalam mahupun luar yang ingin mencetuskan huru-hara dengan gerakan memurtadkan orang Islam secara terancang eloklah dihentikan bagi mengelak perbalahan agama yang merugikan semua.

Ini kerana berteraskan kepada Perlembagaan Negara, Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang dipersetujui oleh semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan oleh penganutnya, sehingga tiada sekatan untuk membina rumah ibadat secara sah dan melaksanakan ritual agama masing-masing. Bagaimanapun kebebasan ini tertakluk kepada larangan untuk mempengaruhi dan menyebarkan agama lain kepada umat Islam.

Malah uniknya lagi perayaan kaum yang berlatar belakangkan agama berbeza juga turut diraikan bersama oleh seluruh masyarakat Malaysia. Justeru diingatkan agar tiada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dalam situasi yang aman harmoni ini. Oleh itu, fahaman menyimpang seperti fanatisme, cauvanisme dan taksub yang melampau eloklah dijauhi dan dihindari. Jika tidak nikmat keamanan sedia ada serta impak negatif perbalahan etnik dan agama seperti yang berlaku di Rohingya pada ketika ini boleh sahaja menular ke sini dan pasti tiada sesiapa menghendakinya.

Sebagai makhluk yang dicipta tiada sesiapapun yang sempurna. Sudah pasti setiap insan punya kelemahan dan kelebihan masing-masing. Justeru jadikan kekurangan sebagai mekanisme untuk memperbaiki diri dan kelebihan dikongsi bersama agar manfaatnya melata dan dapat dirasai oleh semua. Selain itu sikap buruk saling mengeji dan memburuk-burukkan orang lain tidak wajar dipraktikkan. Begitu juga sikap dengki dan sering berpandangan serong termasuk penyakit dalaman yang memudaratkan.

Sebaliknya nikmat kemerdekaan hendaklah dikongsi bersama dengan semua pihak berusaha mengamalkan nilai-nilai positif seperti toleransi dan saling menghormati antara satu dan lain. Perselisihan dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara hendaklah disalurkan kepada pihak bertanggungjawab supaya penyelesaian yang komprehensif dapat diusahakan. Umum mengetahui betapa susah payah tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu berusaha membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Segala pengorbanan yang ditempuhi mereka demi keamanan hidup generasi hari ini hendaklah dijadikan sumber inspirasi bagi membina negara bangsa yang berjaya dan disegani di mata dunia.

Untuk itu, semua individu yang cinta kepada negara haruslah berjuang meningkatkan pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi hingga akhirnya manfaat dan kebaikannya akan dirasai bersama. Golongan muda diseru memanfaatkan masa muda dengan berjuang untuk mendalami ilmu dan pengetahuan, supaya akan lahir lebih ramai cendekiawan Malaysia yang boleh dibanggakan satu hari nanti. Kalangan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta selayaknya bekerja dengan penuh dedikasi tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif seperti rasuah, curi tulang dan mengamalkan kerenah birokrasi melampau yang boleh jadi menyusahkan urusan orang lain.

Akhirnya perpaduan dan kesatuan masyarakat untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan ini merupakan formula terbaik untuk mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan negara. Apa guna berbagai-bagai slogan dan pandangan diutarakan jika masyarakat berpecah belah dan tidak bersatu hati. Malah situasi seperti ini dibimbangkan akan membuka jalan dan ruang kepada pihak tertentu yang cuba untuk meniupkan api perkauman hingga marak menyala dan sukar untuk dipadamkan. Umum mengetahui perselisihan dan pandangan berbeza dalam sesuatu perkara akan tetap berlaku di mana-mana namun begitu biarlah ia berteraskan kepentingan dan kemaslahatan hidup bersama bukan atas kepentingan kendiri.

Sumber :
Utusan Malaysia
6 September 2012

ISU SOSIAL : LALUI HIDUP TENANG DENGAN "MEMERDEKAKAN DIRI" DARIPADA HUTANG-PIUTANG


Rencana ini ditulis oleh:
DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Hutang adalah perkataan yang paling digeruni apabila kita tidak mampu membayarnya. Bila menerima gaji, waktu itulah yang paling ditunggu dan waktu itu juga duit akan keluar seperti air untuk melunaskan segala hutang pinjaman. Sehingga tidak sempat untuk dipegang lama gaji yang diterima, terus sahaja mengalir seperti aliran air sungai yang deras. Hal ini membuatkan kita merasa hidup ini seperti menjadi hamba untuk membayar rumah dan kereta . Itu semua adalah senario yang dihadapi semua orang terutama yang bekerja makan gaji. Hutang rumah, kereta, pembiayaan peribadi dan setiap orang ada alasan masing-masing untuk berhutang. Apabila diminta untuk menjadi penjamin saudara mara atau kawan, maka kita akan cuba mengelak. Bukan sebab tidak mahu menolong tetapi menjadi penjamin akhirnya membuatkan kita secara tidak langsung akan terlibat dengan hutang. Malah penjamin selalu menjadi mangsa apabila saudara mara dan kawan yang dijamin tidak mampu membayar, dan dengan mudah boleh menghilangkan diri lalu membuatkan penjamin yang merana.

Rekod Jabatan Insolvensi (Jun 2012) menunjukkan sebanyak 116,379 kes muflis di negara ini dilaporkan di antara 2005 hingga April 2012. Sebanyak 20 peratus melibatkan individu berusia kurang 35 tahun. 32 peratus melibatkan golongan umur 35 hingga 44 tahun. Sebanyak 18 peratus melibatkan usia 45 hingga 54 tahun. Sebanyak 25 peratus kes muflis disebabkan beban hutang melibatkan pinjaman kereta, pinjaman peribadi (13 peratus), pinjaman perumahan (12 peratus), pinjaman perniagaan (11 peratus) dan hutang kad kredit (5 peratus). Pengurusan hutang perlu dilakukan secara bijak dan jika kita ada kelemahan itu maka jangan gunakan kad kredit.

Mengikut perkiraan awal, memang kita mampu membayar ansuran pinjaman tetapi apabila berlakunya perkara yang tidak dijangka seperti dibuang kerja, hubungan rumah tangga dan lain-lain, masalah akan mula timbul. Akhirnya ia menyebabkan hidup kita menjadi huru-hara, ada yang bercerai-berai, ada sehingga melibatkan Along diikuti dengan jenayah yang mengorbankan nyawa. Fikiran akan berserabut jika kita tidak dapat membayar hutang pada tarikh yang ditetapkan. Bank atau institusi pinjaman akan menelefon tidak henti-henti. Walaupun begitu ada juga bank yang mengambil pendekatan memahami dan memberi masa serta peluang untuk pelanggan membuat cara pembayaran yang efisien.

Bersembang tentang hutang ini, perbelanjaan yang berlebihan dengan adanya shopping online yang sangat popular kini merupakan satu sindrom apabila kita dapat membeli belah di hujung jari sahaja. Saya tidak begitu mahir dengan shopping online tetapi rakan-rakan sekerja hanya melayari Internet dan dapat membeli apa sahaja yang diinginkan dengan mudah, cepat dengan harga berpatutan. Barangan yang dihantar pula berkualiti maka itulah punca perasaan untuk membeli membuak-buak.Itu juga punca masalah apabila kad kredit yang digunakan untuk membeli-belah akan menyebabkan kita lupa bajet bulanan. Jadi hilang ingatan sekejap apabila melihat tawaran-tawaran hebat yang boleh didapati dengan harga yang murah dari luar negara. Hutang kad kredit sangat berbahaya tetapi penggunaan kad debit atau charge card lebih selamat jika dibandingkan dengan kad kredit.

Insiden yang ingin saya kongsikan bersama adalah wujudnya andaian bahawa sikap ketagihan menggunakan kad kredit dan berbelanja khususnya kaum wanita dikatakan dapat menghilangkan tekanan. Membeli-belah menjadi terapi untuk melegakan kekusutan dan memberi penghargaan kepada diri sendiri namun terlalu leka boros akan menimbulkan masalah lain pula. Statistik Harvard Business Review (HBR) menunjukkan mungkin tidak tepat pada beberapa keadaan terutamanya apabila anda adalah seorang yang menggalakkan perbelanjaan bijak dan membuat belanjawan. Kuantiti dalam realiti kes ini, percaya atau tidak majoriti daripada orang (62%) berbelanja atau membeli sesuatu ialah untuk memulihkan mood.

Kawan saya, Adi memberitahu bahawa isterinya terlalu gila membeli-belah sehingga perbelanjaan sebulan mencecah RM5,000. Akhirnya, Adi terpaksa mematahkan kad kredit di depan isterinya demi menyelamatkan masalah hutang yang semakin tinggi dan rumah tangga, dengan memilih memerdekakan diri daripada hutang. Ini berbeza dengan seorang kakitangan awam yang bersara, Sarjan Rohani pernah memberitahu saya bahawa tidak ada istilah hutang dalam hidupnya. Dia tidak suka berhutang kerana katanya malam-malam dia tidak boleh tidur jika berhutang. Semua keperluan akan dibeli secara tunai dan jika tidak mampu dia tidak akan membelinya. Katanya, apabila sudah bersara dia inginkan ketenangan dan tidak suka jika bank menelefon setiap bulan.

Bercakap tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada 2009, seramai 78,000 peminjam disekat keluar negara kerana tidak membayar hutang PTPTN. Soalnya, bukan berapa banyak hutang kepada PTPTN tetapi soal prinsip dan moral; tentunya apabila kita meminjam maka hutang perlu dibayar. Menurut Datuk Ismail Mohamad Salleh, Pengerusi PTPTN kepada Kosmo! baru-baru ini, seramai 70% peminjam tabung melunaskan hutang. Namun begitu, sebanyak satu peratus caj perkhidmatan pentadbiran atau ujrah akan dicajkan kepada yang belum membayar dan amat relevan jika dibandingkan dengan 4% dari bank-bank lain. Sebanyak RM44 bilion peruntukan telah dipinjamkan kepada 1.94 juta penuntut dalam dan luar negara.

Peraturan asas pengurusan kewangan nampak mudah tetapi hakikatnya sukar. Senang cerita, " besar periuk besarlah keraknya". Tidak kira berapa gaji kita, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan besar pada tabungan. Jadualkan perbelanjaan dan lunaskan hutang kad kredit, mencarum dalam pelan persaraan, menabung, melabur dan tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja dan kita semak liputan insurans. Merdeka dari hutang membawa erti tersendiri untuk kita hidup dengan lebih tenang. Kita baharu menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dengan tema 'Janji Ditepati'. Janji kita tepati dengan ukur baju di badan sendiri dan ingatkan diri sendiri dengan mengawal diri dan fikir apa yang perlu dan tidak perlu untuk kita dalam berbelanja.

Belanja mengikut kemampuan dan kita tidak perlu rasa rendah diri jika tiada kemampuan. Kita sebenarnya patut bangga kerana walaupun tidak mampu memiliki barangan mewah namun kita tidak berhutang. Bukankah itu lebih bermakna dan lena dibuai mimpi setiap malam? Berhutang ada banyak buruk daripada baiknya. Jika kita berhutang untuk membeli aset seperti rumah dan kereta sebagai jaminan untuk masa depan, itu ada baiknya. apa yang penting adalah menguruskan hutang dengan bijak dan mengawal segalanya dengan baik sebab kitalah penentunya. Beli mengikut kemampuan bukan dengan nafsu. Merdeka! Salam 1Hati.

Sumber :
Utusan Malaysia
6 September 2012