JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Februari 2012

ISU UMUM : PEMIMPIN SEJATI SENTIASA PRIHTI

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA)
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah



Rasulullah SAW ialah pemimpin teragung pernah dilahirkan di muka bumi ini. Baginda seorang pemimpin yang menyatukan kabilah-kabilah yang bergaduh di bawah panji Islam. Baginda menunjukkan ciri-ciri kesatuan ummah supaya umat Islam bersatu padu sepanjang masa. Baginda diangkat sebagai pemimpin terbaik sepanjang zaman yang membela umatnya. Rasa kasih baginda kepada umatnya tidak kira masa. Keprihatinan baginda terhadap umatnya tiada tolok bandingnya. Baginda mementingkan orang lain berbanding dirinya sendiri. Baginda tidak sesekali meninggalkan orang lain ketika kesusahan. Tidak pula hanya bercakap kosong dengan menabur pelbagai janji tetapi tidak pula ditunaikan. Jauh sekali mengaut kekayaan atas kapasitinya sebagai pemimpin terulung. Baginda tidak meninggalkan sebarang harta kecuali al-Quran dan hadis yang menjadi sumber rujukan utama umatnya. Kepimpinan dan keperibadian baginda mencerminkan betapa indahnya itu Islam. Baginda sentiasa diingati setiap masa.

Sewajarnya, pemimpin-pemimpin di Malaysia menjadikan baginda sebagai idola pemimpin terbaik di dunia. Nasib rakyat wajib dibela. Usahlah hanya menabur pelbagai janji tetapi janji-janji tersebut hanya sekadar tinggal janji-janji manis kerana ia tidak realistik. Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang sentiasa membela rakyat. Kekayaan negara diagih-agihkan dengan adil untuk rakyat. Yang kaya membantu yang miskin. Yang miskin pula bertanggungjawab untuk sentiasa mempertingkatkan taraf ekonomi mereka.

Pemimpin yang baik sentiasa memikirkan dan melaksanakan janji-janji untuk membela nasib rakyat. Tanggungjawab pemimpin amat besar sama sekali dan akan ditanya di akhirat nanti sejauh manakah beliau melaksanakan amanah dengan baik. Apabila disebut pembelaan, rakyat mahukan kehidupan yang selesa, makmur dan bahagia. Jika tidak diurus dengan baik, lihatlah apa yang terjadi di Mesir. Rakyat memberontak dan sehingga sekarang negara tersebut masih lagi bergolak. Pergaduhan sesama rakyat terbawa-bawa sehingga ke padang bola. Semuanya bermula dek kerana negara ditadbir urus mengikut hawa nafsu sendiri. Bukan untuk membela rakyat tetapi digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Nescaya, pemimpin sebegini tidak ke mana. Lambat lalu rakyat akan memberontak.

Pemimpin yang lupa daratan akhirnya akan rebah jua. Walhal, Rasullullah SAW dengan jelasnya mengajar umatnya bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik dan disayangi rakyat. Dalam konteks negara kita Malaysia, pelbagai program pembangunan ekonomi dilaksanakan sejak dahulu lagi. Namun demikian, banyak lagi program yang melibatkan pembangunan ekonomi rakyat perlu dilaksanakan. Program-program terbaru yang melibatkan produk-produk ekonomi 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia, SARA 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia serba sedikit mampu melegakan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Tidak kurang juga, ada cadangan menetapkan gaji minimum para pekerja sektor swasta. Semuanya untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan pada masa yang sama berusaha untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat. Rakyat mengharapkan program-program sebegini diteruskan pada setiap masa. Manakala idea-idea terbaru untuk memperkukuhkan lagi ekonomi rakyat diketengahkan agar kualiti kehidupan rakyat dapat dipertingkatkan. Rakyat juga berharap segala bantuan diberikan bukanlah sebagai "gula-gula" menjelang pilihan. Tidak kira apa pun tindakan, ia perlu disusuli dengan keikhlasan.

Pemimpin yang baik juga tidak boleh sesekali terlalu memanjakan rakyatnya dengan memberi pelbagai bantuan yang keterlaluan. Lihatlah contoh yang berlaku di negara-negara Eropah seperti Greece dan United Kingdom (UK). Rakyatnya diberikan kemewahan yang palsu semata-mata untuk menjadikan pemimpinnya sentiasa popular dan disayangi. Rakyat tidak boleh dijanjikan bulan dan bintang. Apa yang boleh dijanjikan adalah melaksanakan sebaik mungkin untuk membela nasib ekonomi rakyat mengikut kemampuan yang ada. Di UK, negara yang berpaksikan konsep negara berkebajikan, rakyatnya yang rajin bekerja terpaksa menyumbang sebahagian besar pendapatan melalui potongan cukai untuk "membahagiakan" rakyat yang tidak mahu bekerja. Walhal kebanyakan yang tidak mahu bekerja ini mempunyai kudrat yang secukupnya untuk bekerja. Natijahnya, rakyat yang bekerja bersungguh-sungguh berasa tidak puas hati dengan mereka yang malas bekerja meskipun mampu mengerah kudrat mereka untuk mendapatkan rezeki. Maka, ada satu yang tidak kena dengan sistem ekonomi sebegini.

Rakyat sendiri bertanggungjawab sepenuhnya untuk memajukan ekonomi dengan berusaha untuk mempertingkatkan produktiviti. Apa akan terjadi jika sekiranya produktiviti tetap sama tetapi pendapatan sentiasa ditingkatkan atas dasar kononnya itu hak para pekerja? Yakinilah, negara tersebut bakal terjerumus ke kancah krisis ekonomi dalam tempoh jangka masa panjang. Justeru, para pemimpin perlu mencontohi Rasullullah SAW yang mengajar umatnya mengenai keadilan dan keseimbangan yang merupakan jalan terbaik dalam mengurus ekonomi rakyat dan negara. Dengan cara ini sahaja, para pemimpin akan dihormati dan disayangi oleh rakyat, manakala rakyat pula akan berasa nasib mereka terbela pada setiap masa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : PADERI LAKUKAN 250 PENDERAAN SEKSUAL

Oleh AMIRUDDIN HARUN
s2@utusan.com.my


Bukan satu atau dua tuduhan dihadapi oleh seorang paderi Katolik ini. Sebaliknya sejumlah 250 tuduhan didakwa telah dilakukan oleh lelaki tersebut. Kesemua tuduhan itu melibatkan penderaan seksual yang membabitkan tiga budak lelaki dalam tempoh lapan tahun. Akibat perbuatan keji yang dilakukannya antara 2004 dan 2011, paderi berusia 46 tahun itu akhirnya pada 27 Januari lalu dihukum penjara enam tahun oleh sebuah mahkamah di Jerman. Mahkamah di Braunschweig memutuskan bahawa paderi tersebut didapati bersalah mendera budak-budak lelaki terbabit yang berusia antara sembilan dan 15 tahun. Dua daripada mangsa tersebut merupakan adik-beradik. ''Dia mengambil kesempatan terhadap kepercayaan ibu bapa budak-budak tersebut,'' tegas Hakim Manfred Teiwes semasa menjatuhkan hukuman. Paderi tersebut yang namanya tidak didedahkan, disabitkan atas pertuduhan-pertuduhan berkenaan selepas dia bersetuju dengan rundingan bagi pengakuan bersalah pada peringkat awal perbicaraan kes yang dihadapinya.

Tuduhan penderaan itu telah menggegarkan Gereja Katolik Roman di Jerman sehingga menyebabkan beribu-beribu rakyat negara itu yang berasa kecewa bertindak meninggalkan kepercayaan kepada agama tersebut. Pope Benedict XVI yang berasal dari Jerman turut mengadakan pertemuan singkat dengan mangsa-mangsa penderaan seks oleh paderi itu sewaktu beliau melawat negara kelahirannya itu pada September 2011. Dalam pertemuan tersebut, Pope Benedict melahirkan 'rasa amat kesal dan kasihan' ke atas penderitaan mereka. Dalam kes berkenaan, paderi terbabit dilaporkan memberitahu mahkamah bahawa pada mulanya dia mendera budak lelaki berusia sembilan tahun yang merupakan anak kepada seorang balu. Selepas dilarang oleh pihak Uskup daripada berhubung dengan budak tersebut, dia beralih pula kepada dua beradik lelaki yang berusia sembilan dan 13 tahun. Namun nasib paderi itu tidak selalunya baik apabila dia ditangkap pada musim panas tahun lalu iaitu selepas ibu mangsa yang pertama melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Wanita itu bertindak demikian selepas anaknya yang kini berusia 17 tahun mendedahkan kepadanya tentang penderaan yang dilaluinya selama dua tahun. Perbuatan penderaan seksual terhadap ketiga-tiga budak lelaki itu berlaku di pelbagai tempat seperti di rumah paderi tersebut, semasa percutian bermain ski, di rumah ibu bapa mangsa, semasa perjalanan ke Disneyland, Paris dan di dalam gereja. Menceritakan permulaan kepada perbuatannya itu, paderi tersebut yang menutup mukanya ketika hadir ke mahkamah menyatakan bahawa dia menjalin hubungan rapat dengan balu tersebut ketika bekerja di Braunschweig pada 2004. Apabila dia berpindah ke Salzgitter, anak wanita berkenaan selalu menghabiskan masa hujung minggu bersama-sama lelaki tersebut. Untuk mengumpan mangsa, paderi terbabit mendakwa turut memberi hadiah seperti kamera dan telefon bimbit kepada budak lelaki terbabit.

Penderaan selalunya terjadi tiga kali seminggu. Paderi itu menyatakan, bukan niatnya untuk menjalinkan hubungan secara seksual dengan budak-budak lelaki berkenaan dan tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa dia melakukan sesuatu yang memudaratkan mangsa. Ketika disoal di mahkamah sekiranya dia merupakan seorang fidofilia, menurut akhbar tempatan Braunschweiger Zeitung, paderi itu berkata: ''Adalah salah jika saya kata 'Tidak' tetapi untuk menyatakan' Ya' akan menjurus kepada kebenaran.'' Namun paderi itu hanya mendiamkan diri apabila disoal oleh pihak pendakwaan di mahkamah sekiranya dia berpendapat 'seorang bapa akan melakukan sedemikian kepada anak-anaknya'. Orang awam yang hadir pada prosiding kes itu turut terkejut besar apabila mahkamah diberitahu bahawa hampir 2,800 gambar lucah ditemui disimpan pada komputer milik paderi tersebut.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2012

ISU SOSIAL : PERJUANGAN HOMOSEKSUAL SEMAKIN MENULAR DI SELURUH DUNIA

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Dalam menentukan menang-kalah sesuatu perjuangan, taktik dan ideologi menjadi titik penting, tetapi akhirnya bilangan pengikut 'perjuangan' itu yang menentukan ia berjaya atau tidak. Sama juga untuk agenda 'hak' individu homoseksual atau gay yang mahu masyarakat di sekeliling mereka membenarkan mereka hidup dengan apa sahaja cara mereka mahu, bilangan 'pengikut' akan menentukan menang atau kalah. Minggu ini, antara kejayaan perjuangan gay global adalah membatalkan pengharaman perkahwinan pasangan sejenis oleh Mahkamah Rayuan di California, Amerika Syarikat (AS). Dengan alasan melanggar Perlembagaan dan undang-undang kesamarataan AS, pengharaman perkahwinan pasangan sejenis dibatalkan hakim mahkamah tersebut sedangkan majoriti penduduk California mahu mempertahankan 'perkahwinan tradisional'.

Mungkin tidak begitu mengejutkan bila menyebut golongan gay di AS berbanding Malaysia tetapi ia tetap satu kejayaan besar bagi golongan itu 'menawan' baki 44 daripada 50 negeri di AS yang belum menerima perkahwinan sama jantina sebagai satu norma kehidupan. Bukan sahaja di Eropah dan AS, malahan Afrika, India, China, Jepun, Korea, Asia Tenggara serta rantau Arab juga kini semakin tumpas kepada pelbagai tuntutan golongan gay sama ada untuk bebas berpakaian, pesta atau tapak hiburan khas homoseksual, berkahwin, mahupun warisan harta pasangan dan hak memiliki anak. Di Namibia, golongan gay secara terbuka mencabar norma kehidupan setempat dengan mengadakan pertandingan 'Mr. Gay Namibia' yang membolehkan pemenangnya bertanding di pertandingan 'Mr. Gay Dunia' di Afrika Selatan pada bulan April ini.

Wendelinus Hamutenya, 25, yang menjadi juara Mr. Gay di Namibia baru-baru ini bakal menjadi lelaki kulit hitam pertama dari Afrika yang bertanding sebagai Mr. Gay Dunia. Kebanyakan negara di benua Afrika, kecuali Afrika Selatan, mempunyai undang-undang ketat menghalang aktiviti homoseksual termasuk hukuman mati tetapi berterusan dicabar golongan gay tempatan dengan bantuan pihak luar seperti pertubuhan gay atau pertubuhan hak asasi dari Barat. Ghana dan Tanzania baru-baru ini bertindak tegas dalam menyahut dan menolak sebarang usaha mengugut perundangan anti-homoseksual negara tersebut daripada Britain yang mahu menghentikan bantuan ke negara yang tidak memperakui hak golongan gay. Ancaman Britain itu dikeluarkan Perdana Menterinya, David Cameron tahun lalu selepas ketua-ketua negara Komanwel enggan menerima perubahan untuk menghapuskan undang-undang anti-homoseksual di 41 negara anggota.

Uganda pula menerima kecaman hebat Amnesty International ketika mengemukakan rang undang-undang untuk mengenakan hukuman mati terhadap perbuatan homoseksual yang khusus melibatkan kanak-kanak bawah umur dan penghidap HIV/AIDS. Rata-rata di benua Afrika, media Barat juga berterusan menggunakan kisah kehidupan golongan homoseksual yang ditolak masyarakat setempat bagi menarik sokongan antarabangsa sama ada daripada golongan gay sendiri mahupun mereka yang bersimpati dengan 'perjuangan' tersebut. Malahan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri, Ban Ki-Moon turut menekan pemerintah di rantau Afrika agar menghormati hak golongan homoseksual. Di New Delhi, India pula, perarakan homoseksual kini menjadi acara tahunan sedangkan negara itu dahulu pernah menetapkan hubungan gay sebagai satu perbuatan jenayah sehingga 2009.

Selain acara 'Kebanggaan Gay', festival filem, pesta homoseksual dan parti, India juga kini semakin menjadi destinasi pelancongan tumpuan golongan homoseksual. Israel yang terkenal dengan fahaman ortodoks dalam membentuk negara sendiri di atas tanah Palestin juga tidak terkecuali apabila agenda pusat pelancongan homoseksual diutamakan kepimpinan tertinggi di bandar Tel Aviv. Di Asia Tenggara, Malaysia menjadi fokus komuniti gay global apabila penganjur sebuah program untuk golongan homoseksual mencabar pengharaman program tersebut di mahkamah di samping dakwaan perlakuan songsang terhadap seorang pemimpin politik tempatan. Namun, di semua peringkat pelbagai jenis agama tetap membantah hubungan sama jenis sama ada Islam, Pope di Vatican, Yahudi serta agama-agama lain dunia.

Melihatkan kesukaran mendapat perakuan kepimpinan agama, golongan gay telah beralih kepada usaha gerakan sivil melalui hak asasi dan terjemahan perundangan untuk memaksa dunia menerima cara hidup mereka. Di Malaysia, Afrika, India, Eropah, AS mahupun mana-mana negara dunia, agenda sivil itu hanya boleh berjaya jika golongan homoseksual mempunyai bilangan pengikut dan golongan bersimpati yang lebih ramai berbanding golongan penentang dan ortodoks agama. Seperti mana Britain mengancam sekatan bantuan kepada negara Komanwel jika menolak cara hidup gay, sokongan pelbagai agensi dan pertubuhan pro homoseksual di Barat turut membantu golongan ini mencapai agenda mereka, secara sukarela atau paksa.

Jika kesemua cara itu gagal, kisah kekalahan mereka akan diolah sebagai satu kejadian menyedihkan dalam sejarah manusia bagi membuat semua pihak berasa serba salah dan mengutuk masyarakat serta kepimpinan yang menentang kehidupan songsang homoseksual. Jika dibiarkan terus menular, aktiviti golongan homoseksual akan menarik lebih ramai penyokong dan simpati sehingga akhirnya mereka mampu mengubah sistem sosio-budaya masyarakat setempat. Dengan sokongan kuat dari dalam dan luar negara, tidak mustahil agama mahupun tradisi mana-mana negara akan tumpas kepada tekanan komuniti homoseksual seperti mana India yang kini dilihat menerima gaya hidup tersebut.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2012

ISU IPT : UNIVERSITI TEMPATAN PERLU TERUS DIPERKASA

Oleh Dr Zakri Abdul Hamid
Pengerusi Majlis Profesor Negara dan Penasihat Sains Perdana Menteri


Amanat Tahun Baru 2012 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 26 Januari lalu dengan slogan ‘Berfikiran global bertindak lokal’ adalah suatu ‘tour de force’ yang melakarkan wawasan beliau untuk mencetuskan anjakan paradigma dalam arena pengajian tinggi semasa. Frasa ‘Berfikiran global bertindak lokal’ ini luas digunakan dalam konteks alam sekitar sejak 40 tahun lalu untuk menjelaskan betapa masalah pada peringkat sejagat atau serantau itu hanya boleh diselesaikan pada tahap setempat. Ia juga membawa maksud bahawa sebarang cabaran itu harus diteliti dari dua dimensi: Sejagat dan setempat. Frasa ini mula digunakan oleh seorang rakyat Scotland, Patrick Geddes pada 1915 dalam merangka strategi sebagai seorang perancang bandar. Mohamed Khaled percaya sikap sedemikian dalam kalangan ahli akademik dapat membantu transformasi negara melalui ‘pembinaan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi, penyelidikan yang bernas dan penghasilan inovasi berimpak tinggi’.

Empat agenda pokok yang boleh merealisasikan slogan ini ialah mewujudkan persekitaran baru kampus; membangunkan modal insan yang unggul dan syumul; meligatkan IPT sebagai hab inovasi dan memperagakan kredibiliti pengajian tinggi Malaysia di pentas dunia.  Unsur penting dalam agenda persekitaran baru kampus ialah pemberian autonomi kepada universiti tempatan, bermula dengan lima universiti yang tertua iaitu UKM, UM, UPM, USM dan UTM. Langkah ini amat dialu-alukan ahli akademik dan melambangkan keyakinan pihak kerajaan mengenai kematangan universiti tanah air dalam menangani isu kebebasan akademik dan daya urus sesebuah universiti itu.  Pemberian autonomi membabitkan governans, kewangan, pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik termasuk kemasukan pelajar memberikan peluang lima universiti di atas bergerak dengan lebih ampuh.  Bagaimanapun, keistimewaan yang dianugerahkan ini juga menuntut akauntabiliti tinggi, dalam erti kata sebarang kelekaan di mana-mana universiti berkenaan tidak boleh dikaitkan dengan kekangan peraturan pentadbiran kerajaan.

Adalah diharapkan dengan autonomi, universiti di tanah air akan lebih berupaya menaikkan kewibawaan dan tahap kecemerlangan mereka setanding dengan universiti terkemuka dunia.  Tatkala membincangkan modal insan syumul dan unggul, amat menarik apabila Mohamed Khaled berhujah bahawa dalam memastikan kejayaan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), sudah tidak memadai menghasilkan modal insan semata-mata tetapi graduan ini mestilah padat dengan ilmu dan berkemahiran tinggi dan disematkan pula dengan semangat untuk terus berkhidmat di negara ini dan tidak berhijrah keluar.  Menteri Pengajian Tinggi juga menyarankan pembelajaran dan pengajaran di IPT wajar berpaksikan kepada falsafah ‘ilmu dan kemahiran untuk masa depan, dan bukan menyelesaikan masalah semalam.’ Ini memerlukan orientasi semula kurikulum pra dan pascasiswazah dengan menyisipkan konsep pendidikan liberal dan multidisiplin. Pendekatan sedemikian mampu menghasilkan graduan mempunyai keupayaan berfikir lebih terbuka, kritis dan mampu melihat persoalan negara dan cabaran global dari pelbagai sudut.

Sesungguhnya ini sesuatu pendekatan segar dan selari dengan apa yang telah dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini oleh universiti terkemuka di negara maju. Cabaran masa kini begitu kompleks, misalnya masalah perubahan iklim atau pembangunan mapan, hanya boleh diselesaikan melalui pendekatan yang multidisiplin dan rentas sektor.  Sempena 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional, Mohamed Khaled menggesa agar universiti memainkan peranan utama dalam penciptaan, pembangunan dan penyebaran inovasi. Namun demikian, beliau mengakui pada hari ini masih terdapat kekangan ketara membantutkan usaha melonjakkan inovasi dalam sains dan teknologi.  Bidang sains kurang menarik minat pelajar. Sejak 2007 peratus pelajar sekolah mengambil jurusan sains terus merudum sehingga 29 peratus pada 2012. Trend ini berterusan ke tahap universiti. Pembelajaran sains dianggap sukar dan membosankan dan seterusnya kerjaya sains digambarkan sebagai sesuatu yang kurang menarik dan tidak menguntungkan.

Sains harus ditonjolkan sebagai asas teknologi dan inovasi, dan inovasi ialah kunci transformasi ke negara maju dan kemakmuran rakyat. Beberapa langkah telah dicadangkan oleh menteri termasuk menawarkan biasiswa peringkat PhD dalam bidang sains tulen, penyediaan infrastruktur penyelidikan bersesuaian di universiti tempatan, penubuhan syarikat terbitan universiti untuk memindah-kan hasil penyelidikan ke industri dan laluan kerjaya sains yang jelas dan pelbagai. Kerjasama lebih erat dengan industri akan dijalinkan melalui penubuhan pusat kecemerlangan industri (ICoE).  Komitmen Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkukuh kedudukan sains di negara ini, agenda yang juga menjadi fokus Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu disokong semua pihak. Langkah KPT yang dilakarkan di atas adalah pakej padat untuk menyokong strategi dan pelan tindakan yang gigih diusahakan Majlis Sains dan Penyelidikan Kebangsaan dan Agensi Inovasi Malaysia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
BERITA HARIAN
11 FEBRUARI 2012