JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Julai 2017

CATATAN CIKGU ZUL: TETAMU KERDIL BUMI SERAMBI MEKAH


Petang Ahad ini sungguh indah dan tenang. Setelah seminggu berjuang melawan demam yang semakin kebah saya mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya di Villa Farihin Liverpool yang selalu saya tinggalkan akibat memenuhi jemputan ceramah hujung minggu atau bermesyuarat di Ibu Kota. Saya buka peti sejuk, dan nampak 3 paket serunding daging, ayam dan ikan serta sepaket keropok isi ikan buatan Terengganu. Ingatan saya kembali ke negeri Serambi Mekah yang saya kunjungi pada 14 hingga 16 Julai 2017 yang lalu. Pemergian saya hingga ke Kelantan adalah untuk memenuhi undangan sebagai penceramah di Bengkel Penataran Bahasa Melayu STPM Penggal 3 di Daerah Bachok. Bengkel tersebut dihadiri kira-kira 148 orang guru Bahasa Melayu STPM di negeri Kelantan. Undangan ini merupakan yang pertama saya terima daripada guru-guru di Kelantan. Apabila Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM Kelantan, Tuan Haji Mohd Lazim bin Mohd. Amin mengutarakan hasrat untuk menjemput saya ke Kelantan, saya tidak mampu untuk menolak tetapi pada masa yang sama saya takut kalau-kalau saya bukanlah orang yang tepat untuk menjadi tonggak utama semasa bengkel itu nanti.

HATI TERLALU DEKAT 

Satu-satunya negeri yang amat dekat di hati saya sememangnya negeri Kelantan. Seawal remaja, sebaik-baik sahaja menjejaki alam persekolahan di Tingkatan Satu, saya sudah diasuh dan dididik oleh ramai guru yang berasal dari Kelantan. Bukan dongengan tetapi kenyataan, kebanyakan sekolah-sekolah menengah di pedalaman Kapit, Sarawak merupakan petempatan wajib bagi guru-guru dari Kelantan. Guru-guru Kelantan ini amat unik kerana mereka fasih bertutur dialek Melayu Kelantan walaupun berbangsa Cina. Guru-guru yang mendidik kami pula amat baik dan dedikasi. Mereka amat memahami persekitaran kehidupan dan keadaan keluarga anak-anak pedalaman seperti kami. Mereka mendidik dan mengasuh kami tanpa jemu sehingga ramai dalam kalangan kami yang berjaya kerana usaha mereka. Saya sendiri amat beruntung kerana mendapat sentuhan asuhan yang luar biasa daripada guru-guru saya. Saya dilatih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pesta pantun, syarahan, dan pidato sehingga menjadi juara. Penglibatan diri saya dalam aktiviti sebegini sedikit sebanyak berjaya mengikis rasa rendah diri dan sifat malu yang amat tebal dalam jiwa saya pada ketika itu. Saya yang pada mulanya amat pendiam dan takut untuk memberikan pendapat mula menjadi berani bersuara dan diberi kepercayaan menjadi pengacara majlis dan sebagainya. Semua ini berlaku hasil daripada didikan dan asuhan guru-guru dari Kelantan yang sehingga kini tidak mungkin dapat saya lupakan.


Sayang 1000 kali sayang, sejak menjawat jawatan sebagai guru, sudah bergaji dan berkemampuan untuk pergi ke Kelantan, hasrat itu tidak pernah saya lunaskan. Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang langsung tidak pernah tercatat dalam diari pengembaraan saya ke tanah Semenanjung. Saya tahu, ramai bekas guru dan kawan-kawan sekerja saya berada di Kelantan. Sesekali saya membaca mengenai bumi Kelantan di Internet dan saya pasang niat untuk berkampung di Kota Baharu namun pada saat-saat akhir niat itu hanya tinggal niat yang tidak pernah tertunai. Tawaran daripada Tuan Haji Lazim, saya terima dengan penuh semangat. Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, urusan pengangkutan dan penginapan saya selesaikan. Saya berdoa agar pemergian ke Kelantan pada kali ini benar-benar menjadi realiti. Saya juga berdoa agar tiada aral yang merintang sehingga program ke Kelantan dibatalkan. Alhamdulillah, perjalanan pergi dan balik yang saya lalui ke Kelantan amat lancar. Gangguan akibat penerbangan tergendala merupakan perkara biasa, yang penting tepat jam 11.25 malam pada 14 Julai 2017, saya selamat melapor diri di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Baharu. Kemudian, selepas menikmati Mee Hoon Tom Yam bersama Tuan Haji Lazim, saya mendaftar di Hotel Perdana yang cantik dan indah untuk menikmati malam pertama di Kelantan.

PASAR BESAR SITI KHADIJAH

Saya bukanlah seorang yang kaki shopping sebab mata saya sukar untuk memilih apabila inginkan sesuatu barangan. Akan tetapi, apabila Tuan Haji Lazim membawa saya menyusuri Pasar Besar Siti Khadijah yang memang terkenal dalam kalangan pelancong yang melancong ke Kelantan, saya amat terpegun dengan keadaan di tempat itu. Pasar itu amat besar dan lengkap dengan pelbagai barangan dan perkhidmatan. Reka bentuk yang agak lama memang unik dan menarik. Setiap tingkat mempunyai pelbagai gerai jualan yang menjual barangan mengikut kategori. Kalaulah Kelantan dekat dengan Sibu (tempat tinggal saya) banyak benda yang boleh saya angkut untuk di bawa balik ke rumah. Malangnya, saya terpaksa mengawal nafsu membeli kerana kedatangan saya ke Kelantan menggunakan penerbangan Air Asia yang amat cerewet dengan jumlah kilogram barangan yang di bawa oleh penumpang. Seringkali saya melihat penumpang memarahi petugas kaunter apabila beg mereka yang lebih cuma sekilo atau dua kilo pun dikenakan caj wahal jika kita terbeli lebih kilo dan barangan kita tidak mencapai jumlah kilo yang dibeli beratnya, tidak pula dia pulangkan baki wang kita! Itulah karenah Penerbangan Tambang Murah Terbaik di Dunia. Sakit hati macam mana sekali pun, naik juga sebab hanya itu sahaja yang ada.


Saya amat tertarik dengan kain samping songket lelaki yang bergantungan dengan pelbagai corak yang menarik. Harganya pula amat berpatutan. Apabila kami memasuki ruangan yang menjual pelbagai makanan, saya akhirnya tertarik juga untuk membeli seruding daging tempatan, seruding ayam, dan seruding ikan. Semuanya sedap-sedap belaka. Pengembaraan singkat ini amat indah walaupun hanya bertandang ke Pasar Besar Siti Khatijah. Pada sebelah petang pula, saya berjalan berseorangan di KB Mall yang tidak jauh dari hotel penginapan saya. Sasaran utama saya memanglah kedai yang menjual barangan aksesori telefon. Saya amat suka membeli pelbagai aksesori telefon bimbit (Apple 7plus) apabila pergi ke sesuatu tempat. Sebaik sahaja masuk ke sebuah gerai aksesori, saya tertarik dengan beberapa sarung telefon yang terkini. Harganya amat murah malah lebih murah daripada harga yang ditawarkan di Kuala Lumpur. Keseronokan saya memilih aksesori terhenti apabila muncul suara seorang gadis pembantu kedai.  bertanya, “Encik, bukan orang Kelantan,kan?” (Ujarnya dalam dialek Kelantan). Saya anggukkan kepala. Saya beritahu saya berasal dari Sarawak. Dia kata penampilan saya agak lain daripada orang Kelantan. Saya tersenyum dek keramahan pembantu kedai itu. Dia perkenalkan pelbagai aksesori telefon kepada saya sehingga melayang pitis lebih kurang RM250.00. Semuanya dek kerana minat.

BERTEMU DENGAN BEKAS GURU

Kedatangan saya ke Kelantan amat bermakna kerana pertemuan dengan Cikgu Mat Yaakub. Beliau merupakan guru Bahasa Melayu Kertas 2 STPM semasa saya menuntut di Tingkatan Enam di SMK Kapit Sarawak. Cikgu Mat Yaakub merupakan seorang guru yang amat baik, murah dengan senyuman, dan tidak pernah marah. Beliau sentiasa tenang dalam apa-apa juga keadaan. Hubungan saya dengan Cikgu Mat Yaakub agak rapat kerana beliau selalu menjadi guru pengiring sekiranya saya mewakili sekolah dalam pertandingan Pidato Piala Diraja. Beliau menjaga saya dengan amat baik. Segala keperluan memang tidak pernah diabaikan. Pertemuan dengan beliau pada malam itu merupakan pertemuan kami selepas 25 tahun. Yang nyata, Cikgu Mat Yaakub tidak nampak tua cuma saya yang kelihatan berusia. Banyak jugalah cerita-cerita lama yang kami bualkan. Sesekali Cikgu Mat cuba bertutur dalam bahasa Iban, ternyata sebutannya masih betul dan beliau masih ingat beberapa patah perkataan.


Sebenarnya, saya juga turut berjumpa dengan guru yang pernah berkhidmat satu sekolah dengan saya di SMK Sacred Heart Sibu, Cikgu Zulkifli dan isteri beliau. Jika waktu keberadaan saya di Kelantan dipanjangkan hingga sebulan, mungkin ramai lagi bekas guru dan rakan-rakan yang dapat saya temui kerana saya sebenarnya amat rapat dengan orang Kelantan. Jika disenaraikan nama, mungkin saya tidak tersenarai semuanya. Insyallah, kunjungan pertama ini tidak akan menjadi kunjungan yang terakhir saya ke Kelantan kerana di sini semuanya indah, tenang, dan damai. Semasa berjalan-jalan, saya juga sempat berkenalan dengan kenalan-kenalan baharu disebabkan mulut terlalu ringan untuk menegur dan menyapa, ditambah pula dengan sikap ramah orang Kelantan.

BENGKEL PENATARAN

Tepat jam 7:00 pagi, saya keluar dari Hotel Perdana (Arahan lift di hotel ini semuanya menggunakan bahasa Melayu). Tuan Haji Lazim mengajak saya sarapan pagi di sebuah warung di tepi jalan, kami makan roti bakar dan telur separuh masak bersama segelas milo. Sarapan pagi itu amat ringkas tetapi sedap tak terkata. Saya berdoa dalam hati agar bengkel itu nanti berjaya. Saya takut kalau-kalau saya gagal kerana saya tahu mereka yang datang ingin menuntut ilmu dan saya perlu berkongsi sesuatu yang boleh mendatangkan kemaslahatan kepada mereka. Tanggapan dalam hati saya, guru-guru yang datang menyertai bengkel ini bukannya guru-guru baharu tetapi mereka sebenarnya lebih berpengalaman daripada saya. Ilmu mereka lebih tinggi daripada saya. Pencapaian mereka lebih hebat daripada saya. Walau bagaimanapun, segala rasa takut, segan, malu dan rendah diri yang berkecamuk di lubuk hati saya sembunyikan dengan senyuman terukir di bibir. Alhamdulillah, sebaik sahaja acara bermula saya dapat menyampaikan segala ilmu yang ada tanpa gangguan. Bengkel yang berlangsung dalam suasana yang agak santai, diserikan dengan lawak jenaka yang membuatkan hadirin tertawa untuk menghilangkan gemuruh yang bergelombang di dada. Masa berlalu begitu cepat sehingga tidak sedar bahawa saya telah memberikan ceramah 4 jam setengah. Acara pada hari itu saya akhiri dengan kuiz berkaitan dengan Bahasa Melayu Penggal 3. Hadiahnya ialah Tabaloi Mukah yang dibawa khas dari Sibu, kuih tradisional masyarakat Melanau yang dijual sehingga ke peringkat antarabangsa.



Terima kasih saya ucapkan kepada 
Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, 
Jabatan Pendidikan Daerah Bachok, 
semua Jurulatih Utama BM STPM Kelantan, 
dan semua guru yang hadir 
di Bengkel Penataran BM Penggal 3 STPM. 
Terima kasih atas jemputan dan kepercayaan. 

Saya sudahi bengkel pada hari itu dengan acara bergambar bersama peserta. Kebanyakan yang sudi bergambar merupakan guru-guru wanita. Guru-guru lelaki semuanya angkat kaki sebaik sahaja majlis berakhir. (Fenomena biasa bagi guru-guru lelaki termasuk diri saya). Apabila jam semakin menghampiri pukul 1:00 petang saya diamuk rasa risau kerana penerbangan saya ke Kuala Lumpur ialah pada pukul 2:35 petang. Tuan Haji Lazim memandu kereta ke lapangan terbang dengan agak laju tetapi terkawal. Alhamdulillah, sebelum pukul 1:35 petang kami sampai di lapangan terbang. Selepas memasukkan beg saya dan Tuan Haji Lazim bergerak ke pintu pelepasan. Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Haji Lazim. Sebaik sahaja melabuhkan diri di kerusi menunggu, saya terdengar pengumuman penerbangan ditangguhkan selama 30 minit. Menyesal pula masuk awal! Akan tetapi, lebih baik saya gunakan masa ini untuk berehat.

SAYA KURANG SIHAT

Pagi 16 Julai 2017 itu sebenarnya saya mula tidak sedap badan. Sebaik sahaja bangun dari tidur saya rasa amat berat sekali untuk membuka mata. Badan saya amat lemah dan tidak bermaya. Saya muntah di bilik mandi selama beberapa kali. Saya panjatkan doa kepada Yang Maha Esa, jika hendak bagi saya sakit pun biarlah saya habiskan acara pada hari ini dan sampai di Sibu. Saya tidak mahu, segala perancangan yang telah dibuat gagal disebabkan saya. Barangkali kerana Allah mendengar doa-doa saya maka saya berjaya melunaskan tugas dan tanggungjawab di Kelantan tanpa cacat cela. Keadaan kesihatan saya agak baik sehinggalah saya sampai ke Kuala Lumpur, cuma selera makan memang tertutup. Saya hanya minum air kosong sahaja. Tepat pukul 10:00 malam, saya sampai di rumah saya sendiri di Sibu. Selepas mandi saya pun mula beradu. Pada masa itu rasa sakit itu kembali datang hinggalah saya terlena. Keesokkan harinya, saya cuba bangkit tetapi kaki dan kepala terasa amat berat. Saya mohon untuk pergi ke klinik dahulu sebelum pergi ke sekolah. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana urusan saya di Kelantan berjalan lancar. Saya tidak tahu sama ada saya diterima atau tidak oleh orang Kelantan. Saya tidak tahu sama ada bengkel itu berjaya atau tidak. Semua yang baik itu saya anggap datang daripada Allah Yang Maha Berkuasa dan segala yang kurang itu datang daripada saya insan yang hina dan serba kekurangan. 


Sakit ini merupakan suatu ujian. 
Selama ini saya selalu leka dengan tugas 
sehingga alpa menyayangi diri sendiri 
sehinggalah Allah turunkan sakit 
supaya saya berehat seketika. 
Terima kasih Allah.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu Sarawak