JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : MENGAPA SUKAR MENGUASAI BAHASA INGGERIS?


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Sejak dulu, isu bahasa Inggeris tidak pernah surut mencipta kontroversi hingga menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat selain mewujudkan polemik tidak berkesudahan. Biarpun banyak cara dilakukan bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa ini, kejayaannya masih samar dan gagal memuaskan hati pihak tertentu hingga menjadikannya sentiasa panas. Sejarahnya bermula apabila bahasa ini terpaksa ‘ditamatkan’ bagi memberi laluan kepada bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara. Selepas itu timbul konflik apabila ia digunakan dalam subjek Sains dan Matematik dengan harapan mampu mempertingkatkan lagi penguasaannya di kalangan pelajar. Bagaimanapun, ia tetap mencetuskan pelbagai insiden pro dan kontra hingga akhirnya memaksa kerajaan mengembalikan semula penggunaan ke bahasa Melayu. Terbaru, bahasa ini dipersalahkan pula dalam insiden kegagalan pelajar menguasainya dengan baik biarpun mempelajarinya di institusi pendidikan. Persoalannya, sampai bila masyarakat terpaksa menerima pelbagai ‘cerita’ kurang menarik mengenai bahasa Inggeris?

Apakah tiada jalan penyelesaian efektif untuk menanganinya?  Mantan pensyarah pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Tajol Ariffin Nordin, berkata isu itu tetap sensasi sampai bila-bila jika kekeliruan yang melanda masyarakat tidak ditangani. Beliau berkata, kekeliruan itu bukan hanya wujud pada pengenalan atau perubahan dasar semata-mata, malah mencakupi pelbagai aspek remeh atau tidak diselesaikan hingga menjadikannya satu polemik besar. Hakikatnya ia bukanlah isu besar yang tiada jalan penyelesaian cuma sering diprovokasi pihak tertentu. Dan, setiap kali ia timbul pasti menjadi panas. Dengan kata lain, masyarakat tetap keliru dan mempersoalkan apa jua aspek jika disogokkan dengan isu bahasa Inggeris kerana pemikiran mereka masih lagi dibayangi dasar pendidikan lama. Dasar pendidikan kebangsaan kini berpaksikan kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar juga menjadikan pihak tertentu beranggapan pelajar gagal berbahasa Inggeris. Melalui dasar pendidikan kebangsaan ini, katanya, bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, justeru kebergantungan terhadap bahasa Inggeris tidak kukuh.

Masalahnya, ramai beranggapan bahasa Inggeris ‘wajib’ dan sangat istimewa hingga perlu diberi penekanan secara menyeluruh sedangkan ia bukan bahasa utama. Sistem pendidikan kebangsaan kita adalah bahasa Melayu. Jadi sudah tentu bahasa itu diberi keutamaan kerana ia bahasa rasmi. Hakikatnya, sudah termaktub bahasa Melayu adalah bahasa penghantar utama, justeru lebih penting jika pelajar dapat menguasainya dengan lebih baik berbanding bahasa Inggeris meskipun ia bertaraf antarabangsa. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini berkata, Kementerian Pelajaran sedang menilai semula kurikulum pengajaran bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan meskipun selepas 13 tahun belajar di peringkat rendah dan menengah. Langkah itu perlu kerana kementerian meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Ditanya adakah benar tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar masih di takuk lama, beliau berkata perbandingan tidak boleh dilakukan secara rawak.

Dibandingkan kemampuan pelajar luar bandar dengan bandar, ada bezanya, begitu juga mahasiswa yang mengambil Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dengan yang lain. Kemampuan mereka tidak sama. Pasti ada kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum membuat rumusan muktamad,” katanya mengakui komen yang tidak membina juga boleh melunturkan semangat guru bahasa Inggeris untuk terus berkhidmat lebih dedikasi. Katanya, alasan kegagalan itu ibarat mencerminkan kelemahan guru bahasa Inggeris sewaktu menjalankan tugas. Ini mencalar kredibiliti, integriti serta profesionalisme golongan itu. Masyarakat juga akan mempersoalkan adakah guru berkenaan melaksanakan tugasan dengan baik atau apakah mereka memiliki kriteria sesuai. Ini akan menimbulkan polemik atau konflik lain sedangkan isunya tetap sama iaitu kegagalan menguasai bahasa Inggeris. Mengulas kegagalan segelintir pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik, beliau berkata puncanya bahasa itu subjek manakala latihan tidak dilakukan secara intensif. Untuk fasih, katanya, pelajar bukan saja perlu rajin malah memerlukan satu mekanisme atau latihan intensif yang agresif serta berterusan.

Katanya, subjek bahasa Inggeris diajar dalam tempoh singkat justeru sukar pelajar yang tidak menggunakan bahasa itu sebagai bahasa percakapan. Untuk mengatasinya, tukar konsep pengajaran kepada komunikasi intensif kerana boleh membantu. Corak pembelajaran sekarang lebih menumpukan kepada latihan penulisan semata-mata menjadikan mereka boleh menulis tapi gagal berkomunikasi.  Yang menjadi masalah ialah pelajar tidak boleh bercakap dengan baik, justeru ubah corak pembelajaran kepada komunikasi intensif. Saya percaya ia mampu membantu kerana majikan juga hanya mementingkan aspek ini terutama ketika temu duga. Beliau juga mengakui sistem pendidikan kebangsaan tidak gagal dengan kejayaan melahirkan ramai bijak pandai yang cemerlang mengemudi dunia kerjaya. Jika ada pihak menyatakan ia puncanya, saya tidak bersetuju kerana kejayaannya sudah ada. Hanya kerana isu bahasa Inggeris, kita tidak boleh memukta–madkan sebagai tidak berjaya. Realitinya, masalah bahasa Inggeris bukan saja berlaku di negara kita malah seluruh dunia. Menyalahkan sistem pendidikan sedia ada bukan jalan penyelesaian. Yang penting, mesej ingin disampaikan berjaya, itu lebih baik daripada melakukan perubahan drastik atau menyalahkan pihak tertentu akibat kegagalan yang boleh diperbaiki.

INFO:

Penyata Razak 1956 adalah cadangan yang dibuat satu jawatankuasa oleh kerajaan Malaysia bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Malaysia. Jawatankuasa pelajaran ini ditubuhkan pada September 1955 dan dipengerusikan Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak Hussein. Cadangan yang dikemukakan Penyata Razak ini diluluskan kerajaan persekutuan Tanah Melayu dan antara perkara penting yang dicadangkan adalah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) serta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi SRK. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

SUMBER
HARIAN METRO
15 OGOS 2011

ISU UMUM : ALAHAI, KEK LAPIS SARAWAK, IMEJ TERJEJAS AKIBAT ISU MENTEGA GOLDEN CHURN

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my



“MAK saya dah lebih 30 tahun pakai Golden Churn Butter Creamy, sejak saya belum lahir lagi.” Itu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar secara tiba-tiba oleh seorang rakan berasal dari Perak kelmarin, berhubung mentega yang disahkan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana mengandungi DNA babi.  Penggunaan mentega jenis itu yang selama ini mempunyai tanda halal pada pembungkusannya, sememangnya berleluasa di seluruh negara ini kerana kek atau roti yang diperbuat daripada mentega Golden Churn itu bukan saja lebih enak, basah dan lemak, malah tahan lama. Tidak hairanlah ada pengusaha kek lapis di Sarawak sebelum ini, meletakkan nama mentega itu pada risalah kek lapis yang mereka edarkan bagi menarik pelanggan, apa lagi mentega jenis itu sememangnya lebih mahal harganya berbanding jenis lain, dengan penggunaannya dianggap sebagai ‘jaga standard’. Malangnya hanya kerana industri kek lapis popular di Sarawak sehingga melahirkan ramai jutawan kek lapis di Bumi Kenyalang sehingga kini, maka tempias pengharaman mentega jenis itu lebih memberi kesan kepada perusahaan kek lapis di Sarawak, sehingga ada yang bertindak keterlaluan memberi jolokan kek lapis Sarawak sebagai ‘kek babi’.

Gambaran yang diberikan juga seolah-olah mentega jenis itu hanya digunakan di Sarawak, pada hal ia dipasarkan di seluruh negara sejak puluhan tahun yang lalu, serta pernah digunakan oleh kebanyakan suri rumah dan tukang masak di seluruh negara.  Malah tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan rata-rata kek dan pastri yang dihasilkan di hotel dan kedai kek terkenal di seluruh negara turut menggunakan mentega jenama Golden Churn selama ini, kerana ia sangat popular.  Justeru, tindakan melabelkan kek lapis Sarawak sebagai ‘kek babi’ amat kurang wajar dan ibarat sengaja mahu membunuh industri kek lapis di negeri itu, apa lagi penggunaan mentega jenis itu sudah lama dihentikan oleh pengusaha kek lapis di Bumi Kenyalang, selain ada yang sememangnya tidak pernah memakai mentega jenama itu.  Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS) sendiri mengakui kesemua ahlinya tidak menggunakan Golden Churn, sebaliknya mereka menggunakan Butter Lite dan Golden Fern yang dijamin halal oleh JAKIM.  Pada masa sama, pengusaha kek lapis Sarawak yang mendapat pengiktirafan dan pengesahan jenama Sarawak Best disahkan halal oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan JAKIM, termasuk jenama terkenal seperti Rabiah Amit, Di'Wannie Cake House, Mariam Cake House, D'Rieza Enterprise dan Kek Lapis Siti Payung.

Menyingkap sejarah, kek lapis Sarawak atau lebih dikenali sebagai kuih lapis di Sarawak, mula dipopularkan pada akhir 1980-an dan mempunyai keunikan tersendiri berbanding kek tradisional lain, sehingga mereka yang berkunjung ke Bumi Kenyalang pasti membawa pulang kek lapis ini.  Bezanya dulu kek lapis Sarawak yang mempunyai motif dan corak yang unik serta digabungkan dengan keenakan rasa, di samping teksturnya yang lembap namun pejal, hanya digunakan bagi hantaran kahwin dan kenduri kendara, selain dijadikan hidangan di Aidilfitri, namun kini ia sudah dikomersialkan sehingga ke luar negara termasuk ke Singapura dan Brunei Darussalam.  Asal usulnya kek lapis ini dikatakan daripada bangsa Melayu Sambas yang berhijrah dan menetap di Sarawak dan ia semakin popular pada 1990-an, sehingga jumlah pengusaha kek lapis juga tumbuh bagai cendawan, bukan saja yang membuka kedai kek, malah lebih ramai yang mengusahakannya di rumah dan menjana pendapatan sehingga ratusan ribu ringgit.


Biar pun berasal dari Indonesia, tetapi kek lapis Sarawak jauh lebih sedap berbanding keluaran negara jiran itu, kerana bahan yang digunakan lebih pelbagai dan mutunya juga lebih baik selain coraknya lebih cantik. Malangnya, isu Golden Churn memberi kesan buruk kepada industri kek lapis Sarawak dengan tempahan sehingga 10 Ramadan yang kebiasaannya mencecah RM600,000, kini menjunam kepada hanya sekitar RM150,000 saja. Mereka kehilangan ramai pelanggan biarpun sudah diberi jaminan bahawa pengusaha kek lapis Sarawak tidak menggunakan bahan jenama yang diharamkan itu. Ini kerana sudah lumrah sikap ragu dan was-was memang ada pada diri setiap manusia, jika timbul isu halal haram seperti sekarang. Malah dalam kalangan umat Islam di Sarawak juga, sudah ada kedengaran mereka yang nekad untuk tidak lagi menjadikan kek lapis sebagai hidangan wajib pada Aidilfitri yang berbaki dua minggu dari sekarang, sebaliknya mahu menukar kepada juadah kek tradisional.  Tidak hairanlah sejak dua tiga hari lalu, ada pengusaha kek lapis Sarawak semakin ligat menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk mempamerkan sijil halal dan kandungan kek lapis yang mereka keluarkan, bagi memenangi kembali keyakinan pembeli.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Sarawak

SUMBER
BERITA HARIAN
16 OGOS 2011

ISU UMUM : NATIJAH KEBEBASAN ATASI PRINSIP MORAL

Oleh Shamrahayu A Aziz


Peristiwa rusuhan di London yang mengakibatkan kerugian besar harus kita beri perhatian. Mungkin pembaca sudah dilambakkan dengan penerangan mengenainya. Namun dalam ruangan ini saya mahu berkongsi pemerhatian saya mengenai rusuhan itu untuk kita sama-sama menjadikannya sama ada teladan atau sempadan. Britain ialah negara yang sering dijadikan penanda aras hak asasi bagi sesetengah pihak di negara kita. Britain dikatakan antara negara yang begitu tinggi nilai hak asasinya. Tetapi peristiwa rusuhan menunjukkan bahawa Britain sebenarnya tidaklah begitu baik pencapaian hak asasinya. Sekiranya hak asasi dilihat dalam konteks yang luas, ia termasuklah dua hak utama, iaitu hak untuk mendapat kehidupan sempurna dan tahap sosial dan ekonomi yang dapat menyokong kehidupan asas. Malangnya perkara ini tidak begitu sempurna di sana. Di sana ada kemiskinan dan tekanan hidup. Di sana juga ada jurang sosial dan ekonomi yang tinggi. Kedua-dua perkara pokok dalam prinsip hak asasi ini disebut-sebut sebagai punca rusuhan. Ini menunjukkan Britain masih terkial-kial dalam amalan hak asasi.

Sekiranya segala keperluan atau hak asasi diambil berat dan dipenuhi, kemungkinan rusuhan tidak berlaku.  Satu perkara lain yang saya perhatikan ialah kebebasan berdemonstrasi yang diberikan kepada generasi muda menzahirkan kesan negatif kepada negara itu. Tindakan pasukan polis yang begitu berlembut pada awalnya mendorong kepada berlakunya kerosakan yang lebih besar. Jika kita bandingkan dengan tindakan kepolisan negara kita ketika demonstrasi, ia menampakkan perbezaan. Tetapi apa yang pasti ialah, kita tidak mahukan demonstrasi jalanan bertukar menjadi demonstrasi vandalisme yang sudah tentu merugikan negara seperti yang berlaku di London – bukan saja kerugian harta dan wang ringgit, tetapi reputasi negara di mata dunia. Ketegasan pihak berkuasa menyelamatkan negara, walaupun ada yang menganggap kita mencalar prinsip hak asasi. Selain daripada hak asasi, perkara berkaitan moral juga antara perkara pokok di dalam rusuhan ini. Keruntuhan moral generasi muda nampak begitu jelas. Menerusi temu ramah yang dijalankan kita dapati bahawa angkuhnya anak muda mereka.

Mereka tidak menyesali apa yang dilakukan, malah berbangga dengan perlakuan jenayah. Mereka tidak gentar dengan pendakwaan jenayah yang akan dikenakan. Mereka bukan saja gagal menghormati masyarakat sekeliling, tetapi gagal menghormati negara mereka umumnya. Keadaan ini menunjukkan tahap kerosakan moral yang amat serius – mereka nazak dalam sarat masalah kemoralan ini. Fenomena materialistik yang mementingkan duniawi dan kebendaan dengan meninggalkan nilai agama dan budaya juga antara faktor yang mendorong kepada rusuhan. Ada penulis Britain yang menggambarkan keadaan masyarakat negara itu yang mementingkan diri dan tamakkan harta benda. Kita lihat kepada realiti masyarakat kita sekarang, tidakkah kita mempunyai persamaan dengan mereka? Sudah tentu pembaca sudah maklum. Kita tidak boleh mendabik dada menganggap negara kita bebas daripada gejala seperti ini. Kita tidak boleh menyatakan kita ‘maksum’ atau terpelihara daripada keadaan ini. Kita mengetahui dengan nyata, masalah sosial kita kian melata dan melarat. Sekiranya kita berterusan memberi kebebasan dan hak asasi, pada masa sama gagal mendidik dan menjaga moral serta ditambah dengan beberapa perisa politik dan perkauman, tidak mustahil peristiwa seumpama di London boleh berlaku di sini. Saya tidak mendoakan ia berlaku, tetapi kita harus mengambil pengajarannya. Bagi menjaga negara kita, kita hendaklah sentiasa memantau hak kebebasan. Maksud saya ialah, prinsip kebebasan kita hendak sentiasa dikawal selia oleh prinsip kemoralan, terutama perasaan menghormati masyarakat dan undang-undang. 


Saya sedar, ia bukanlah perkara mudah untuk kita dilakukan sekiranya kita tidak merujuk kepada perspektif kita. Kita harus membina kesedaran dan jati diri serta bersungguh-sungguh menjaga kesejahteraan dan ketenteraman negara bukan untuk orang lain, tetapi untuk kita. Selain itu, kita juga harus menanam dan menyuburkan perasaan menghargai dan menghormati perbezaan pendapat. Pembaca juga sedar, kita sudah banyak kali menemui jalan payah. Mungkin pembaca juga tahu yang kita sudah beberapa kali gagal untuk bersetuju kepada perbezaan pendapat. Walau apa pun kepayahan dan kesukaran yang kita lalui sudah berakhir dengan selamat.  Namun ia belum tentu berakhir dengan selamat pada masa hadapan. Inilah yang harus mendorong kita membuat persediaan.  Kita seharusnya pandai mengendalikan perbezaan pendapat dengan hati terbuka dan cuba mencari cara terbaik untuk umum, bukan mengambil peluang mencari kemenangan dan meraih sokongan politik. Tidak salah sekiranya kita meniru yang baik, tetapi kita hendaklah menjauhi apa yang tidak baik menurut perspektif kita. Dalam menentukan apa yang baik dan apa yang buruk mengenai perspektif kita, kita hendaklah sentiasa mempunyai nilai kita yang tersendiri, mengikut acuan kita.

Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
16 OGOS 2011

ISU SOSIAL : HARGA SEBUAH KEAMANAN

Oleh Mustafa Kamal Basri


Kota London bagaikan medan perang apabila ibu negara Britain itu dilanda rusuhan dan keganasan, selama lima hari berturut-turut minggu lalu, sebelum ia merebak ke bandar-bandar utama lain di negara itu. Ia merupakan rusuhan ganas paling buruk pernah berlaku di London dalam beberapa dekad. Semuanya bermula kerana insiden yang membabitkan seorang lelaki kulit hitam terbunuh di bandar Tottenham di pinggir London pada 4 Ogos lalu dalam kejadian berbalas-balas tembakan dengan polis. Ekoran kejadian itu, beratus-ratus penduduk kemudian mengadakan perarakan aman menuju ke balai polis di Tottenham High Road itu bagi membantah kematian penumpang teksi itu, Mark Duggan, 29, seorang bapa kepada empat orang anak. Beberapa buah kereta peronda polis dan sebuah bas dua tingkat dibakar setelah beratus-ratus perusuh mengamuk di pekarangan balai polis itu. Ulasan-ulasan bersifat menghasut menerusi Twitter juga tersebar sehingga memburukkan lagi keadaan. Polis Britain bertungkus-lumus untuk memulihkan ketenteraman awam sepanjang lima hari itu apabila perusuh mengamuk dengan bertindak membakar kereta-kereta polis, van, bas, bangunan-bangunan disusuli kejadian mencuri yang berleluasa.

Bukan itu sahaja, empat orang terbunuh dalam kejadian rusuhan itu, tidak termasuk beratus-ratus lagi cedera, termasuk anggota polis dan penduduk awam. Kekacauan yang bermula di bandar Tottenham itu tidak terhenti di situ sahaja apabila ia merebak pula ke bandar-bandar utama lain. Insiden di Britain itu membuktikan rusuhan, keganasan dan demonstrasi jalanan boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak terkecuali negara maju dan ia boleh berlaku atas pelbagai sebab – sama ada ia munasabah atau tidak munasabah atau tanpa sebab. Ini kerana keganasan yang berlaku di Britain itu menunjukkan sebahagian daripada kekacauan yang berlaku sepanjang rusuhan itu dicetuskan oleh segelintir golongan yang melakukan kekacauan kerana suka-suka dan untuk berseronok, tanpa menghiraukan keselamatan orang lain. Namun, daripada peristiwa di Britain itu, pasti semua akan menyedari harga sebuah keamanan dan menilai betapa pentingnya dipulihara ketenteraman awam dan keharmonian.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
16 OGOS 2011

ISU SOSIAL : MEMERANGI KEMALANGAN JALAN RAYA

DATUK ABDUL RAHIM BAKRI
Timbalan Menteri Pengangkutan


Sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, sekali lagi akan ada usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kesedaran peri pentingnya keselamatan di jalan raya bagi mengelak kemalangan. Tragedi kemalangan melibatkan pengangkutan awam sering mendapat liputan media dan menimbulkan reaksi orang ramai yang paling banyak. Ini mungkin kerana ia kematian berkelompok. Namun pada hakikatnya jika dilihat dari segi statistik, kematian melibatkan pengangkutan awam adalah jumlah terendah sekali - berbanding kenderaan pelbagai jenis lain khususnya motosikal. Pada 2010, misalnya kematian di jalan raya berjumlah 6,872 orang dan daripada jumlah itu, kematian pengangkutan awam melibatkan bas hanya 77 orang iaitu lebih kurang 1.1 peratus (%) berbanding kereta 20.7% (1,421 orang) dan yang paling tertinggi sekali adalah penunggang dan pembonceng motosikal iaitu 4,036 kematian atau lebih kurang 58.7%. Oleh itu penggunaan kenderaan awam boleh menjamin keselamatan yang lebih secara perbandingan. Setiap hari secara purata 18 orang mati di jalan raya, dan setiap 1 jam 20 minit juga ada seorang mati akibat kemalangan maut.

Manakala setiap hari secara purata sekurang-kurangnya 11 orang mati melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Kos sosial bagi kemalangan yang berlaku (melibatkan kos perubatan, kos sebagai orang kurang upaya dan lain-lain) dianggarkan RM9 bilion setiap tahun. Persatuan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) menganggarkan hampir 300,000 orang menjadi anak yatim di negara ini berkait dengan kemalangan jalan raya. Secara perbandingan Malaysia berada di tempat ke-47 daripada 174 negara menurut sumber Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). China diberitakan mencatat kematian seramai 120,000 orang setahun dan India 98,000 orang. Apa yang membimbangkan kemalangan di jalan raya berkembang pesat mengikut pertambahan kenderaan. Di negara kita, ketika ini terdapat 20 juta kenderaan berdaftar dan pemandu berlesen ada 12.1 juta. Setiap bulan kereta bertambah 70,000 sehingga 80,000 dan setiap tahun dianggarkan 1 juta kenderaan berdaftar bertambah di jalan raya. Jalan-jalan yang dibina juga bertambah setiap tahun. Setakat ini terdapat 27 jalan konsesi dan difahamkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 ini akan ada 7 batang lebuh raya lagi akan dibina.

Ini tidak termasuk jalan negeri dan persekutuan yang dibina di seluruh negara. Peningkatan angka-angka ini akan menjadikan jalan-jalan dan lebuh raya kita sebagai landasan maut jika tidak ada pelbagai pencegahan dibuat untuk mengatasi masalah ini. Atas sebab itu kerajaan melaksanakan pelbagai pendekatan holistik danpencegahan bagi menangani permasalahan ini. Pendekatan ini tidak akan berjaya selagi tidak ada sokongan dari setiap golongan masyarakat sama ada pemimpin keluarga, pemimpin masyarakat, parti politik, NGO, badan korporat dan kerajaan. Ini adalah sesuai dengan slogan "Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama" dan "Kemalangan tidak mengenal sesiapa". Kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya hanyalah bertindak sebagai pemudah cara. Mereka boleh mewujudkan pelbagai pendekatan dan strategi tetapi tanpa kesedaran di kalangan rakyat dan sokongan semua golongan tidak mungkin pendekatan itu mencapai kejayaan. Berdasarkan kajian Malaysian Institute of Road Safety (MIROS) beberapa strategi telah dikenal pasti yang perlu dilaksanakan.

Di antaranya ialah strategi 4E's iaitu melibatkan Education (pendidikan) yang menjurus ke arah penambahbaikan sikap pemandu yang menjadi punca utama kemalangan iaitu menurut kajian MIROS berjumlah 67%. Oleh itu penambahbaikan sikap menjadi lebih berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab akan diberikan penekanan dalam intervensi tersebut. Strategi pendidikan jangka pendek dan berterusan ialah melalui kempen dan advokasi. Ia perlu dilaksana melalui saluran pelbagai media dan community based programme. Ia adalah program berterusan dengan bantuan media massa, NGO seperti Road Safety Marshall, Majlis Keselamatan Jalan Raya, Persatuan Permotoran Malaysia (AAM), Malaysian United For Road Safety. Badan organisasi korporat yang prihatin turut terlibat misalnya melalui badan korporat Shell, Petronas yang melibatkan kempen traffic game bagi pelajar sekolah. Kumpulan Genting turut menyumbangkan berjuta-juta ringgit bagi menaja kegiatan kempen keselamatan jalan raya seperti helmet programme selain syarikat-syarikat yang memberikan grant secara 'adhoc' seperti PLUS dan beberapa pemegang konsesi lebuh raya.

Melalui kerjasama dan bantuan Kementerian Pelajaran, sekolah digalakkan menubuhkan Kelab Keselamatan Jalan Raya yang bertindak sebagai pemangkin kesedaran khususnya generasi baru. Sebagai langkah jangka panjang, Jabatan Keselamatan Jalan Raya menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan Kurikulum Keselamatan Jalan Raya di setiap sekolah di negara ini. Ia diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (subjek wajib) bagi satu jam setiap minggu. Aspek kedua yang tidak kurang pentingnya juga ialah kejuruteraan iaitu melibatkan kejuruteraan jalan dan kejuruteraan kenderaan. Setiap kenderaan yang masuk dan didaftar di negara ini diperlukan untuk mendapatkan Vehicle Type Approval (VTA) iaitu keperluan ujian wajib setiap model kenderaan bari bagi memenuhi Malaysian Standard (MS) dan piawaian keselamatan kenderaan. Bagi kenderaan pengangkutan awam beberapa protokol dan piawaian antarabangsa tertentu perlu digunapakai seperti piawaian UNECE (United Nations Economic Commission of Europe) khususnya piawaian superstructure bas dan piawaian berkaitan tayar.

Kenderaan pengangkutan awam dan perdagangan diwajibkan melalui pemeriksaan teknikal Puspakom sebelum didaftar dan pemeriksaan berkala diwajibkan untuk menentukan roadworthiness sesebuah kenderaan. Ini termasuklah kenderaan offroad supaya setiap pemilik kenderaan mempunyai tanggungjawab duty of care. Kegagalan melakukannya boleh menjadikan satu kesalahan besar di bawah Akta Pengangkutan Jalan. Kejuruteraan dan reka bentuk jalan juga suatu isu yang perlu ditangani. Kementerian Kerja Raya perlu mengadakan audit secara berterusan dan merawat jalan-jalan yang dianggap black spot dan memastikan reka bentuk jalan memenuhi piawaian jalan antarabangsa dan bersifat selamat. Di seluruh negara setakat ini terdapat 566 kawasan black spot (accident prone area) yang telah dikenal pasti. Kawasan ini akan menjadi tempat di mana Automated Enforcement System (AES) dipasang sebagai langkah membendung pengguna jalan raya memandu laju di lokasi berbahaya ini. Satu aspek yang penting ialah berkaitan penguatkuasaan. Penyelarasan di antara agensi penguatkuasa seperti PDRM, JPJ, SPAD perlu dipertingkatkan supaya ia menjadi lebih berkesan dan digeruni.

Di musim perayaan ini agensi penguat kuasa sekali lagi akan menggembleng tenaga bagi melaksanakan Ops Sikap. Saman yang dikenakan haruslah mampu dikutip dengan cekap supaya pemandu dapat merasa keperitan dan meningkatkan persepsi ditangkap. Mereka akan mendapat pengajaran sewajarnya daripada kesalahan mereka. Diharap dengan pelaksanaan AES, kaedah saman akan menjadi lebih cekap, tepat, konsisten dan dengan sendirinya membentuk sikap pemandu lebih berhemah dan bertanggungjawab di jalan raya. Dalam melaksanakan bermacam kaedah dan pendekatan ini, perkara paling pokok adalah bagaimana mengubah sikap pemandu. Sikaplah yang boleh mengubah pola pemanduan. Kita berharap di musim perayaan ini, kita dapat merayakannya dengan kegembiraan, bukan kesedihan apabila angka yang mati di jalan raya meningkat seolah-olah tiada hujungnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
16 OGOS 2011