JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Ogos 2011

HASIL KARYAKU : GURUKU, KAULAH PERMATA


Guruku tersenyum
melihatku pandai membaca
melihatku pandai mengira
melihatku pandai menulis
petah berbicara
menyusun kata
lagak negarawaan ulung
Bapa Pembangunan Malaysia


Guruku tersenyum lagi
apabila kuucapkan terima kasih
atas didikan dan asuhan
atas pengorbanan dan kecekalan
atas kepayahan dan keikhlasan
dialah guru terbaik
berdedikasi dan berwawasan
prihatin dan penyayang


Guruku tersenyum tak henti-henti
sehingga jatuh mutiara dipipinya
berguguran melimpah dibumi
pabilaku jejakkan kaki ke menara gading
meneruskan tekad menggapai cita-cita
dia berasa amat bangga
aku telah menunaikan hasratnya
yang selama ini 
terpatri di sanubari
aku dan dia


Setelah jaya kurangkul
setelah hidup dilimpahi senang
aku kembali lagi ke situ
tempat guruku berkhidmat dahulu
dia masih ada di situ
masih bertenaga
masih mesra


Cuma kulihat
wajahnya bergayut redup
pabila ku tanya
guruku dengan sayu mengadu
anak-anak muridnya 
tidak seperti aku
lagak mereka 
mematahkan semangatnya
laku mereka 
meranapkan impiannya
dalam sendu dia tertawa
mereka tidak seperti aku
aku tidak seperti mereka
kata guruku
aku rajin, mereka rajin
aku pandai, mereka pandai
cuma kurangnya mereka lebihnya aku
mereka miskin budi bahasa
daif sopan dan tatatertib

Kukesat dan kusapu pipi guruku
tanpa malu dia kudakap
rasa keibuannya menyelinap
ke segenap urat saraf
dalam hati berpancur doa
janganlah dia disakiti
baktinya terlalu murni
jasanya terlalu suci
tanpanya dan rakan-rakannya
dunia tidak jadi realiti
mimpi akan terus jadi fantasi


NUKILAN
ZULKARNAIN FARIHIN
5.00 PETANG
7 OGOS 2011

ISU SOSIAL : AKIBAT TERLALU DIMANJA

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@nastp.com.my


Menjelang Ramadan ini, setiap umat Islam perlu insaf dan melihat ke dalam diri sendiri. Cara paling mudah ialah membandingkan diri kita dengan orang lain. Bagi umat Islam di Malaysia, salah satu perbandingan yang boleh dijadikan teladan ialah kedaifan hidup masyarakat Islam minoriti di Kemboja.  Buruk cakap, bersalaman dengan masyarakat Islam Kemboja ibarat memegang kertas pasir. Tapak tangan mereka yang keras begitu terasa walaupun seorang imam masjid. Fahamlah, mereka bekerja keras membanting tulang dan melakukan apa saja kerja dengan kudrat tangan empat kerat untuk menyara hidup keluarga. Jika sakit, mereka hanya terlantar di rumah dan mengharapkan ubat yang dibeli di kedai biasa, menyembuhkan penyakit mereka. Jika perlu dimasukkan air ke dalam badan pesakit, alat dibekalkan doktor digantung pada tiang atau palang dalam rumah. Kalau badan panas, hanya ais batu diletakkan di atas badan untuk menyejukkan badan. Ini sekelumit pengalaman yang dapat dilihat ketika berkunjung ke kawasan penduduk masyarakat Islam minoriti di negara itu.

Namun begitu, mereka tidak memburuk-burukkan kerajaan Kemboja, sebaliknya, mereka bersyukur kerana kerajaan tidak menghalang mereka menjalankan kegiatan agama, cuma wang cari sendiri. Kemiskinan punca kepada segala-galanya. Walaupun bukan semua terlalu miskin kerana ada juga yang memiliki telefon bimbit, majoriti penduduk Islam Kemboja dalam kumpulan daif. Mereka tidur tanpa tilam dan makan di tempat yang sama bersama anak. Mereka masih menggunakan air sungai yang keruh sebagai bahan minum dan memasak dan tiada bekalan elektrik. Masakan tetap menggunakan kayu yang dicari di hutan. Jika makan sedap pun sekali sekala terutama bila ada sumbangan dari masyarakat luar yang simpati dengan kedaifan mereka. Mereka sering menerima sumbangan bekalan makanan seperti beras, gula dan minyak masak dari masyarakat luar tetapi berapa lama harus begitu? Untuk sampai di kampung tertentu, terpaksa menggunakan lori atau setidak-tidaknya kenderaan pacuan empat roda. Jika menaiki kereta biasa, sukar sampai disebabkan berselut sepanjang jalan dan sepanjang tahun.

Kenderaan mereka ialah motosikal dan kereta kuda untuk membawa hasil pertanian ke luar kampung. Itu pun terpaksa mencari kawasan kurang berlopak. Disebabkan kampung mereka berhampiran sungai yang menjadi tempat mereka mencari rezeki menangkap ikan, jalan merah di sepanjang kampung, sering banjir. Bila hujan, air bertakung di kawasan lopak yang juga menjadi tempat anak bermain becak. Anak yang berlenggeng, malah telanjang bulat menjadi pemandangan biasa. Anak baru berkhatan ke sana ke mari dalam becak walaupun luka sunat belum sembuh dan bengkak. Ia berbeza dengan masyarakat yang selalu dimanjakan seperti di negara ini. Akibat terlalu dimanjakan, rakyat negara ini naik lemak dan besar kepala. Apa juga yang dilakukan kerajaan dijadikan bahan cacian. Ada satu perbezaan ketara masyarakat Islam minoriti di Kemboja dengan masyarakat Islam majoriti di Malaysia. Walaupun masyarakat Islam di Kemboja hidup susah, mereka tetap bersatu. Di negara ini, umat Islamnya berpecah-belah akibat kepentingan politik. Walaupun bertungkus-lumus meneruskan hidup, mereka tahu erti kesyukuran dan nikmat Tuhan.

Mereka tidak menganggap hidup mereka tertekan walaupun apa juga dasar ditetapkan kerajaan Kemboja, mereka tetap terkena tempiasnya. Harga minyak pada paras lebih AS$2 (RM6) seliter sekarang, walaupun memang tinggi, tetapi tidak pun menjadi punca rakyatnya mengadakan demonstrasi. Harga tol AS$4 (RM12) bagi satu laluan berikutan pembinaan jambatan merentasi Sungai Mekong, tidak pun menyebabkan rakyat membantah dan berarak di jalan raya. Bagi mereka yang tidak mampu, mereka mencari jalan lain, tidak ada masalah bagi mereka. Mereka sudah biasa hidup susah dan apa juga masalah yang datang, ia dianggap perkara biasa. Ia berbeza dengan masyarakat yang selalu dimanjakan seperti di negara ini. Akibat terlalu dimanjakan, rakyat negara ini naik lemak dan besar kepala. Apa juga yang dilakukan kerajaan dijadikan bahan cacian. Akibat sikap buruk rakyat daripada kaum majoriti yang membangkang apa saja dilakukan kerajaan menyebabkan rakyat minoriti juga kian berani mempersoalkan dasar kerajaan.  Mereka juga tidak sedikit pun bimbang membangkitkan isu agama, walaupun kerajaan juga membantu mereka dalam banyak urusan, Bagi masyarakat majoriti Islam di Malaysia, ingat, apa yang berlaku di negara masyarakat Islam minoriti juga boleh berlaku di negara ini, tanda-tanda mengenai sudah pun ada.

Waktu itu, menangis air mata darah sekali pun, tidak boleh lagi merubah keadaan. Kesengsaraan hidup masyarakat Islam minoriti di Kemboja atau di mana sekali pun, boleh menimbulkan kesedaran kepada umat Islam di dunia ini. Di Kemboja, Walaupun kerajaan tidak melarang kegiatan beragama, tidak membantah pembinaan masjid atau sekolah untuk mengajar agama kepada anak, tetapi dalam keadaan kewangan dan sumber terbatas, tidak banyak kemajuan boleh dilakukan. Ada guru agama, tetapi tidak ada badan yang membayar gaji mereka. Terpaksa guru agama mengajar secara percuma. Jika ada simpati penduduk kampung, dapatlah sumbangan beras secupak dua daripada ibu bapa penduduk yang menghantar anak mereka mengaji agama.  Keadaan hari ini mungkin lebih baik berbanding 30 tahun ketika mereka menghadapi tekanan dan penindasan rejim Pol Pot pada penghujung 1970-an. Bezanya, hari ini nyawa mereka tidak lagi diancam. Ketika Pol-Pot berkuasa mereka menghitung hari menunggu ajal. Pelaburan masyarakat Islam Kemboja adalah kepada pendidikan anak. Mereka mengharapkan ada di kalangan anak mereka belajar ke tahap yang tinggi hingga ke luar negara dan pulang nanti menjadi penggerak kepada kemajuan keluarga dan bangsa mereka. Di Malaysia, semua orang tidak kira bangsa dan agama mendapat pendidikan sama rata. Itu pun dianggap sebagai tidak adil lagi?

SUMBER
BERITA MINGGU
7 OGOS 2011

ISU SOSIAL : DIDIK ANAK BUKAN SEMUDAH BACA A,B,C

Oleh Hanizam Abdullah


Niat memang baik tetapi ada kalanya orang curiga dan tak boleh terima. Biasalah, penawar bagi kita mungkin racun bagi yang lain pula. Mungkin itu yang berlaku apabila 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, Johor Bahru mendakwa dipaksa membotakkan kepala ketika mengikuti kem motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang, Johor baru-baru ini. Al-kisahnya, mereka juga kononnya dipukul, ditumbuk dan diherdik dengan kata-kata kesat dan diperlakukan seperti banduan sedangkan mereka sepatutnya didedahkan dengan kehidupan insan pagar kawad berduri melalui program Price of Freedom.  Pada 5 Ogos 2011, berita itu dinafikan pihak Jabatan Penjara selepas menjalankan siasatan dalaman, tiada sebarang ‘sentuhan badan’ dengan pelajar itu kecuali ketika proses simulasi. Ada yang ditepuk belakang tetapi kata pihak penjara ia sekadar nasihat kepada mereka supaya jangan sesekali terjerumus dalam kegiatan jenayah dan tak bermoral. Anehnya, sejak terbongkarnya insiden itu, ramai pula bekas peserta program itu tampil membuat kenyataan mereka juga pernah diperlakukan sebegitu, sehingga kononnya ada masih trauma dan berpendapat program itu tidak langsung memanfaatkan mereka.

Hasrat mengembalikan rasa dan sikap tanggung jawab di kalangan pelajar itu memang murni, pelaksanaannya mungkin ada yang tak kena dan perlu dinilai semula. Niat tidak semestinya menghalalkan cara. Jangan salah faham pula kerana coretan teman minggu ini bukan untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, baik pelajar, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berniat murni atau Jabatan Penjara itu sendiri. Amat malang sekali, kerana program yang bertujuan menyedarkan kalangan murid terutama yang bermasalah, agar membuka mata dan minda, bahawa tabiat buruk itu elok saja dibuang jauh-jauh supaya apabila besar kelak mereka menjadi insan berguna dan bukan sampah masyarakat, menjadi begitu akhirnya. Mendidik anak bukan semudah membaca ABC. Apatah lagi dalam zaman serba mencabar ini, cara didikan ibu bapa zaman dulu dan kini bagai langit dengan bumi. Ibu bapa selalunya sibuk memanjang memenuhi tuntutan kerja sehingga apabila tiba bab anak seperti tak kuasa kerana tak cukup masa. 

Maaflah, teman hendak angkat bendera tanda bersalah kerana tak pernah sekali pun hadir mesyuarat PIBG sedangkan banyak perkara yang mahu dikongsi. Alasan klise, sibuk, mesyuarat di pejabat dan 1001 sebab musabab. Paling tidak pun, teman ke sekolah sempena hari terbuka, itu pun mengambil laporan prestasi akademik anak atau ketika telefon bimbitnya dirampas.  Jumpa cikgu, baru dapat tahu kerenah si manja. Merah juga muka yang tak berapa nak putih ini apabila dengan selamba cikgu bertanya, “Dia lewat tidur ke sebab selalu tertidur dalam kelas?” Selamba juga teman jawab, “Ya Cikgu... selalu main SMS dalam selimut!” Itu baru perkara kecil yang ibu bapa dapat diselongkar. Biasalah anak kalau depan kita memang pijak semut pun tak mati tetapi di belakang kita semut tengok pun lari. Tak mustahil ada yang bukan setakat kaki ponteng dan perokok tegar tetapi juga kaki buli. Apa nak jadi kalau kecil lagi sudah pandai membuli, bayangkan apabila sudah besar panjang.  Bukan sesuatu yang asing bagi teman melihat pelajar yang tukar arah sebaik saja dihantar ke sekolah. 

Mati-matilah ibu bapa itu ingat mereka masuk bilik darjah, sedangkan mereka buat benda tak semenggah. Selamba saja mereka menuju arah yang bertentangan dengan pintu pagar sekolah dan sebaliknya menuju ke pusat beli-belah. Ada juga yang sebaik saja melangkah keluar kawasan sekolah terus mengeluarkan kotak rokok sambil ketawa mengilai. Lagak mereka seperti keluar dari kelab malam. Teman urut dada sambil berdoa agar dihindari daripada menghadapi situasi sebegini. Pihak sekolah pun resah gelisah kerana dibebankan tugas semakin mencabar. Kisah di SMK Bandar Baru UDA itu contoh klasik. Mungkin tenaga pengajarnya sudah buntu mencari jalan penyelesaian masalah disiplin pelajar. Lalu perkara ini dibawa dalam mesyuarat PIBG. Namun apa yang berlaku lain pula. Itulah teman kata, penawar bagi kita mungkin jadi racun bagi sesetengah orang. Teman amat berharap program sebegini dapat diteruskan tetapi perlu diawasi dan dipinda modulnya dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian. 

Seperti juga apabila kerajaan mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Sejak diperkenalkan tujuh, lapan tahun lalu, kem itu sudah melalui pelbagai perubahan baik dari segi fizikal kem itu sendiri sehingga kepada modulnya.  Semua ini dibuat selepas mendapat maklum balas semua pihak sementalah anak kita pun ada kalanya terlebih manja. Dulu mak bapak kita tak ambil pusing jika anak ditengking jerkah cikgu tetapi sekarang ini nak tinggi suara pun, bimbang masuk mahkamah. Susah juga melayan ibu bapa yang sensitifnya semacam. Bak cubit paha kira, paha kanan pun terasa. Siapa pun tidak mahu anak mereka didera. Seperti cerita beberapa hari lalu, bagaimana anak semuda 12 tahun didakwa bukan saja membelasah pelajar lebih junior tetapi lebih memeranjatkan apabila mereka juga dikatakan meliwat mangsa. Paling sedih apabila mereka kalangan pelajar sekolah tahfiz. Siapa nak jawab apabila pelajar tahfiz pun boleh terbabit dalam salah laku sebegini keji?

SUMBER
BERITA MINGGU
7 OGOS 2011

ISU SOSIAL : SEMAKIN RAMAI WARGA TUA DI JEPUN MATI KESEPIAN


Pihak berkuasa Jepun bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti pejabat pos untuk memeriksa keadaan warga tua, memastikan mereka berhubungan dan memperbaiki kehidupan dalam usaha mengelak mereka mati sendirian.  Masyarakat Jepun yang semakin tua, dengan satu dalam empat penduduknya berusia 65 tahun ke atas, bermakna lebih ramai warga tua tinggal bersendirian setiap tahun, dan lebih menyedihkan ada mayat mereka ditemui selepas beberapa hari mati. Wad kebajikan Shinagawa memulakan kerjasama dengan Pos Jepun yang membolehkan posmen memeriksa penduduk berusia 65 tahun ke atas sebulan sekali dengan menyerahkan kad ucapan. Program ujian berkenaan meminta posmen memastikan semuanya dalam keadaan baik apabila melawat kediaman warga tua dan menghubungi pusat khas di pejabat wad itu jika ada sesuatu yang tidak kena. Pegawai akan menghubungi hospital dan pegawai kebajikan jika diperlukan.  Pertambahan warga tua yang keseorangan menjadi masalah sosial yang penting.  Tahun 2010, 4.6 juta warga tua tinggal bersendirian di seluruh Jepun, dan bilangan yang mati di rumah meningkat 61 peratus antara 2003 dan 2010, daripada 1,364 kepada 2,194, menurut Biro Kebajikan Sosial dan Kesihatan Awam di Tokyo.  

Keengganan penduduk Jepun untuk campur tangan dalam kehidupan orang lain, walaupun jiran, bermakna sebahagian warga tua ini menjalani hari tua mereka tanpa bercakap dengan sesiapa.  Masalah lain ialah tradisi menghormati warga tua yang semakin dilupakan dan ikatan kemasyarakatan yang sudah tidak sekuat dulu, menjadi punca keadaan itu meningkat, kata pakar.  Satu karakter teruk masyarakat Jepun pada masa kini ialah kita melayan warga tua seperti mereka haiwan yang tidak mempunyai kehidupan. Beberapa pendekatan kreatif lain diambil untuk memastikan masyarakat sentiasa berhubung dengan warga tua.  Seorang ejen hartanah mula mempromosikan idea perkongsian rumah oleh ibu tunggal dan warga tua, menghimpunkan warga emas yang berminat menyewakan ruang dalam rumah selepas keluarga sendiri meninggalkan mereka kepada ibu tunggal yang mencari rumah pada harga berpatutan.  Namun, idea itu masih ada masalahnya, kata Hiroshi Kuwayama, Ketua Pengarah Eksekutif Now-e, firma hartanah yang terbabit.  Ibu tunggal masih muda dan lebih mudah menerima idea berkongsi rumah tetapi warga tua mengambil masa untuk menerima konsep ini.  Usaha lain membabitkan keperluan seperti makanan. Sebuah firma di Niigata, Mills, menghantar makanan setiap hari kepada warga tua yang sudah tidak mampu membeli makanan atau memasak dan memeriksa untuk memastikan mereka sihat.

SUMBER
BERITA MINGGU
7 OGOS 2011

INILAH KESAN KEMAJUAN
SEMOGA RAKYAT MALAYSIA 
MENGAMBIL IKHTIBAR 
DARIPADA ARTIKEL INI.

SEMAIKAN KASIH SAYANG 
DALAM JIWA ANAK-ANAK 
SEJAK MEREKA KECIL.

ISU BENCANA ALAM : 29 000 KORBAN AKIBAT KEMARAU DI SOMALIA


Krisis kemarau dan kebuluran di Somalia telah mengorbankan lebih 29,000 orang terutama kanak-kanak di bawah umur lima tahun dalam tempoh tiga bulan lalu, menurut anggaran Amerika Syarikat (AS). Seorang pegawai bantuan kerajaan AS, Nancy Lindborg memaklumkan kepada jawatankuasa Kongres di Washington Rabu lalu mengenai angka itu, yang kebanyakan berlaku di selatan Somalia. Angka itu berdasarkan tinjauan pemakanan dan kematian yang disahkan oleh Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit AS. Anggaran itu adalah yang pertama dikeluarkan mengenai angka korban akibat krisis kebuluran di negara Tanduk Afrika itu. Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, berpuluh-puluh ribu rakyat Somalia telah mati akibat kemarau di negara itu, tanpa memberi angka rasmi, krisis terburuk dalam tempoh 60 tahun. Menurut PBB, 640,000 kanak- kanak Somalia lagi turut berhadapan kekurangan makanan yang serius, statistik yang menunjukkan angka kematian kanak-kanak akan meningkat. Dalam pada itu, PBB turut mengumumkan tiga lagi penambahan zon kebuluran di Somalia, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan zon kebuluruan kini berjumlah lima wilayah yang meliputi 7.5 juta penduduk. Menurut PBB, 3.2 juta rakyat Somalia kini memerlukan bantuan segera. Namun, usaha membawa masuk bantuan ke negara ini adalah sukar ekoran rangkaian kumpulan al- Qaeda, al-Shabab menguasai kebanyakan wilayah yang tandus di negara ini. Al-Shabab menafikan kebuluran berlaku di kawasan mereka dan tidak mahu memberikan akses kepada Program Makanan Dunia.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
7 OGOS 2011

ISU SEJARAH : 15 OGOS 2011 INI GENAPLAH 500 TAHUN JATUHNYA MELAKA


Pada  tahun-tahun 40-an dahulu, lama sebelum negara mencapai kemerdekaan, ada segelintir guru-guru Melayu yang setiap 15 Ogos akan memakai baju kemeja hitam dan bertali leher merah ketika mengajar di sekolah. Hitam sebagai tanda berkabung sementara merah bermakna kesanggupan berjuang. Mereka yang menjadi penyokong Kesatuan Melayu Muda (KMM) ini berpakat memakai baju itu sebagai mengenang kejatuhan kota Melaka di tangan Portugis yang berlaku pada 15 Ogos 1511. Memang sukar bagi mereka mencari baju kemeja hitam dan tali leher merah yang perlu dibuat khas, dan tentunya memerlukan wang. Pada masa itu, pakaian guru ialah baju putih dan seluar putih bertali leher hitam dan bersongkok hitam. Maka pada 15 Ogos 2011 ini, genaplah 500 tahun kota Melaka tumbang. Kota Melaka hanya merdeka pada 31 Ogos 1957 sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu. Ini bermakna kota Melaka dijajah 446 tahun 16 hari. Tun Ghafar Baba yang menjadi bapa kemerdekaan bagi Melaka mencadangkan bendera merah putih sebagai latar belakang kepada bendera negeri tetapi dengan bintang bulan di bucunya selaras dengan jati diri Melaka sebagai negeri Melayu seperti negeri-negeri Melayu lain di Tanah Melayu ketika itu.

Beliau mencadangkan supaya petak empat segi yang menempatkan bulan bintang itu supaya berwarna hijau sebagai kaitannya dengan agama Islam. Tetapi cadangannya ditolak oleh Tunku Abdul Rahman yang mahukan warna petak itu sebagai biru, selaras dengan warna petak empat segi di bucu bendera persekutuan. Dengan kemerdekaan itu, Melaka yang sudah tidak mempunyai raja sendiri sejak tahun 1511 mendapat pula kedaulatan diraja melalui Yang di-Pertuan Agong yang menjadi ketua agama bagi negeri itu. Maka pada masa giliran Sultan Perak menjadi Yang di-Pertuan Agong, Melaka memperoleh semula seorang raja yang susur galurnya sampai kepada Kesultanan Melayu Melaka ketika kota itu belum jatuh ke tangan Portugis. Tetapi pada tarikh 31 Ogos 1957, buat pertama kalinya kota Melaka menjadi negeri yang berdaulat. Ini kerana sebelum itu, ia hanya menjadi kota jajahan bagi Inggeris, Belanda dan Portugis. Dengan beberapa tahun pernah berada di bawah Jepun. Sementara semasa pemerintahan Kesultanan Melayu, kota Melaka adalah tempat bersemayam sultan yang memerintah satu kerajaan yang wilayah pemerintahannya adalah luas meliputi sebahagian besar kepulauan Nusantara yang meliputi semenanjung Tanah Melayu, pulau Sumatera hinggalah ke Brunei.

Perlu diingatkan bahawa pada zaman itu, orang tidaklah menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melaka dan negaranya sebagai Melaka. Mereka menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melayu dengan kerajaannya sebagai kerajaan Melayu yang memerintah negeri-negeri di kepulauan Melayu. Melaka hanyalah kota di mana bersemayam raja Melayu. Maka oleh kerana pusat kerajaan terletak di kota Melaka, maka selat itu juga kemudian dikenali sebagai Selat Melaka. Tetapi negara yang diperintah oleh sultan yang bersemayam di Melaka itu adalah luas dan disebut sebagai negeri-negeri Melayu saja. Sementara Kesultanan Melayu di Melaka itu pula merupakan kesinambungan kepada Raja-raja Melayu terdahulu yang bersemayam di Palembang, Sumatera di bawah nama kerajaan Sri Wijaya. Tetapi apa yang disebut sebagai Melayu meliputi semenanjung, dan semua pulau di sekitarnya iaitu Sumatera dan Brunei. Sudah tentu Singapura juga termasuk di dalamnya. Malah sebelum Melaka, kerajaan Melayu ini cuba menjadikan Singapura yang ketika itu dikenali sebagai Temasik sebagai kota kerajaan Melayu sebagai lanjutan kepada Palembang sebelum itu.

Sejarah mungkin berbeza jika kerajaan Melayu dapat bertapak di Singapura untuk memerintah kepulauan Melayu. Tetapi Siam menganggap keseluruhan semenanjung, termasuk Temasik adalah miliknya. Maka bala tentera dihantar Siam untuk mengajar raja Melayu itu. Askar Melayu yang ada tidak akan mampu berlawan dengan tentera Siam itu. Maka berpindahlah raja Melayu itu ke Melaka untuk ditubuhkan sebuah kerajaan yang kuat. Siam tetap mahu memusnahkan Melaka. Tetapi kemenangan Melaka di Batu Pahat di bawah pimpinan Laksamana Hang Tuah menyelamatkan kerajaan Melayu. Tetapi pada keseluruhannya yang memantapkan kedudukan kerajaan Melayu adalah hubungan diplomatik dengan Kerajaan Ming China melalui laksamana Cheng Ho dan pemelukan Islam oleh raja dan rakyat Melaka. Islam adalah trend pada masa itu. India menjadi Islam di bawah Moghul. Dinasti Ming hampir penuh menjadi Islam. Di Jawa pula, Islam juga sedang mara menguasai keseluruhan pulau itu. Tetapi pada waktu yang sama di sebelah Barat, kerajaan Andalusia sudah lama tumbang dan munculnya kuasa baru yang akan mengubah dunia, Sepanyol dan Portugis.

Dengan semboyan Glory, Gold dan Gospel atau Kegemilangan, Emas dan Injil, dalam erti kata lain, kekuasaan, kekayaan dan penyebaran agama, bala tentera Portugis sampai ke Nusantara. Di sebalik semboyan itu, apa yang mereka cari ialah rempah. Rempah ratus! Makanan dan dorongan tekak dan perut yang mendorong mereka sampai ke sini. Begitulah besar motivasi makanan. Maka dengan dorongan inilah, Melaka tumbang. Tetapi walaupun ia memusnahkan istana dan bandarnya, kerajaan Melayu tidak tumbang. Ia hanya berpindah tempat istana semayamnya iaitu ke Kota Tinggi di Johor. Walaupun tempat itu tidaklah sehebat Melaka, tetapi ia cukup untuk meneruskan kesultanan Melayu. Hakikatnya kerajaan Melayu di Melaka dan Johor-Riau adalah serupa dan sambung-menyambung saja. Oleh kerana ia terletak di Johor dan Riau, maka ia disebut sebagai kesultanan Johor-Riau, tetapi hakikatnya ia adalah kesultanan Melayu yang sama dengan di Melaka. Walaupun kemudiannya kerajaan ini tidak lagi diperintah oleh waris-waris Sultan Melaka, ia tetap merupakan pewaris kepada kesultanan terdahulu.

Bendaharanya menjadi Sultan Pahang. Sementara Maharaja Abu Bakar menjadi Sultan Johor yang menyambung kesultanan Melayu. Kerajaan ini terus berdaulat walaupun British kemudiannya menguasai pertahanan dan hal ehwal luar Johor. Justeru apabila Malayan Union diperkenalkan, Datuk Onn mampu bangkit dan membantah. Ini kerana negeri-negeri Melayu masih berdaulat dengan raja-rajanya tidak boleh menyerahkan kedaulatannya ke pada British begitu saja. Kedaulatan sesebuah negara bukan milik raja seseorang tetapi adalah persetujuan dengan rakyatnya. Ketika itu, rakyat Raja-raja Melayu adalah orang Melayu. Maka untuk berdepan dengan British, orang Melayu telah mewakilkan UMNO untuknya. Negeri Melaka pula lain. Ia memang tanah jajahan British. Rakyatnya adalah anak jajahan British. Tetapi UMNO meliputi semua negeri dalam Tanah Melayu. Ini membolehkan Melaka turut merdeka. Begitu juga dengan wilayah dalam kesultanan Melaka dahulu yang kini juga merdeka dalam Indonesia.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
7 OGOS 2011