JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Januari 2011

ISU SOSIAL : SEMANGAT PERPADUAN MESTI TERUS DISEMAI


Setiap rakyat Malaysia yang cintakan keamanan haruslah menyumbang ke arah keharmonian dan perpaduan dan juga meningkatkan usaha ke arah mempromosikan satu budaya yang aman, harmoni dan bersatu. Bagi memastikan keharmonian dan perpaduan di Malaysia, kita perlu memperbanyakkan penganjuran aktiviti antara kaum bermula di peringkat awal dikalangan pelbagai suku kaum dan etnik.

Pendidikan mengenai perpaduan seharusnya bermula di sekolah dengan memberi pendedahan awal di peringkat pusat asuhan, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di mana satu daya usaha boleh dihasilkan bagi mempengaruhi nilai keharmonian dan perpaduan. Pendidikan mengenai perpaduan juga harus bermula di kawasan kejiranan di mana disitulah nilai kehidupan bermula. Tanggungjawab memperkenalkan konsep perpaduan ini tidak hanya dipikul oleh pihak kerajaan. Justeru sektor swasta turut memainkan peranan penting yang perlu digalas bersama. Sektor ini juga harus meletakkan syarat bahawa sumbangan korporat dan tugas-tugas kebajikan tidak hanya memperlihatkan penajaan berunsurkan daya tarikan dan ganjaran menarik seperti dalam penganjuran program berunsurkan hiburan secara besar-besaran. Kumpulan syarikat juga dilihat dapat menyumbang ke arah mengetengahkan keharmonian kaum dan menyatukan pelbagai kaum, mempromosikan pemahaman serta menghargai antara satu sama lain menerusi organisasi ilmu sivik, kebudayaan dan aktiviti kesukanan.

Kehidupan pelbagai kaum dan bermasyarakat merupakan sebahagian daripada sejarah dan warisan kita. Ia telah menjadi sumber rujukan kepada integrasi kaum sekian lama yang turut menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah tempat yang harmoni untuk didiami, menimba ilmu, bekerja dan juga bermain. Dalam kita memperjuangkan 1Malaysia ke arah perpaduan nasional, Yayasan 1Malaysia memainkan peranan untuk mempromosikan sebuah Malaysia yang bersatu dalam konteks kepelbagaian. Prinsip Yayasan 1Malaysia juga menggalakkan perbincangan secara terbuka dan penglibatan di dalam pembangunan sosial yang kritikal, isu awam dan program. Secara amnya Yayasan 1Malaysia sentiasa mencari langkah terbaik dalam mencapai ke arah bangsa Malaysia yang bersatu.

Konsep 1Malaysia perlu mengorak langkah demi mengembalikan proses pembangunan perpaduan melibatkan setiap rakyat Malaysia tanpa memilih bangsa, warna kulit dan kepercayaan. Setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian perlu memberi sepenuh tanggungjawab ke arah memperkenalkan budaya keamanan, harmoni dan bersatu. Meskipun ekonomi dan teknologi maklumat mempelopori era pembangunan hari ini dan masa akan datang, kita perlu terus mengekalkan keharmonian kaum dan perpaduan. Pembangunan ekonomi tidak memberi sebarang makna tanpa wujudnya persefahaman, keharmonian, kebajikan dan kepercayaan sesama kita. Pelaksanaan program perlu diteruskan demi menyemai semangat ke arah memelihara dan memperkukuhkan lagi semangat kecintaan dan patriotisme kepada negara.

UTUSAN MALAYSIA
27 JANUARI 2011

ISU EKONOMI : BANYAK NEGARA ALAMI INFLASI


Isu kenaikan harga barang timbul lagi. Setiap kali pilihan raya kecil isu kenaikan harga barang sering menjadi modal pembangkang untuk mengelirukan rakyat bagi menabur janji manis untuk menurunkan harga barang sebagai taktik memancing undi. Selain isu kenaikan harga barang terdapat juga kebimbangan di kalangan rakyat mengenai berlakunya inflasi di negara ini. Tidak dinafikan terdapat harga barangan yang naik kebelakangan ini. Namun kerajaan tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana ada kenaikan harga yang berlaku akibat fenomena global.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini berkata, tidak semua harga barangan boleh dikawal terutama yang diimport. ''Harga barangan tertentu seperti petrol adalah berdasarkan harga pasaran dunia manakala barangan diimport mengalami kenaikan harga berikutan beberapa faktor lain seperti bencana di negara pengimport. "Sebagai contoh harga bawang yang diimport dari India baru-baru ini mengalami kenaikan disebabkan oleh bencana yang melanda negara berkenaan. Kenaikan harga barangan turut berlaku di seluruh dunia," katanya. Berdasarkan laporan Financial Times, kajian yang dijalankan oleh Northern Light mendapati 62 peratus pelabur menjangkakan inflasi akan meningkat secara global. Awal minggu ini data yang dikeluarkan di Britain menunjukkan Indeks Harga Pengguna di United Kingdom mencecah 3.7 peratus bulan lalu. Ini menguatkan spekulasi bahawa inflasi sedang meningkat.

Inflasi dikatakan bakal mencecah kadar empat peratus dalam beberapa bulan akan datang dan penganalisa kini mempersoalkan sama ada Bank of England sudah kehilangan kredibiliti. Pakar ekonomi percaya Indeks Harga Pengguna akan meningkat sekitar 3.4 peratus pada Disember dengan petrol, makanan dan bil utiliti memberikan tekanan paling kuat terhadap inflasi. Harga minyak dan komoditi dijangka meningkatkan inflasi harga pengguna pada Disember dengan harga makanan terus meningkat. Baru-baru ini Bank Dunia mengingatkan Indonesia mengenai kadar inflasinya yang tinggi supaya kerajaan melakukan sesuatu sebelum ia memberi kesan negatif ke atas ekonomi apabila kadar faedah dan pengangguran meningkat. Agensi berita Antara dalam laporan terkininya berkata terdapat ramalan yang bahawa kadar inflasi republik berkenaan boleh mencapai tujuh peratus pada akhir tahun ini.

Indonesia yang mendakwa kadar inflasinya masih boleh ditangani bagaimanapun mahukan Bank Dunia menyokong polisi fiskal yang dilaksanakannya. Reuters pula melaporkan syarikat-syarikat di China dan India yang selama ini menikmati ekonomi yang kukuh turut bimbang menghadapi risiko inflasi. Inflasi dan peningkatan gelembung aset syarikat-syarikat utama menjadi kebimbangan gergasi ekonomi Asia dan ekonomi ketiga dunia, kata pakar yang ditemui pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland baru-baru ini. Pengerusi syarikat pembuat tayar India, Apollo Tyres, Onkar Kanwar berkata, harga minyak dan getah asli melonjak seumpama emas kini. Peningkatan harga pelbagai komoditi termasuk gula dan besi memaksa beberapa perniagaan asing dan tempatan yang beroperasi di China dan India menyebabkan pengguna menanggung kos berkenaan.

Inflasi makanan di India berada pada 15.5 peratus pada bulan Disember. Ia merupakan yang paling tinggi di antara ekonomi utama Asia diikuti dengan China dengan kadar inflasi makanannya sembilan peratus. Di India, inflasi makanan meningkat dalam angka dua digit kebelakangan ini dan perkara ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Di China pula penulis-penulis blog melahirkan rasa kecewa terhadap harga barangan yang semakin meningkat. Justeru, adalah tidak adil menggunakan isu kenaikan harga untuk menanam sentimen anti-kerajaan kerana ia adalah satu fenomena global yang melanda banyak negara. Apa yang penting, rakyat perlu menyokong kerajaan dalam melaksanakan pelbagai pendekatan dan strategi untuk mengawal berlakunya inflasi.

Rohani Ibrahim
Utusan Malaysia
27 Januari 2011

ISU EKONOMI : KEJAYAAN PEMBAHARUAN TRANFORMASI DASAR-DASAR KERAJAAN


Pencapaian Malaysia menduduki tempat ke-27 dalam Indeks Globalisasi Ernst & Young 2010 sungguh membanggakan. Berada di tangga 27 dalam Indeks Globalisasi bagi tahun 2010 amat baik dibandingkan pencapaian 2009 yang mana Malaysia di kedudukan ke-33. Indeks itu mengukur 60 ekonomi terbesar mengikut tahap globalisasi yang berkaitan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masing-masing. Sebab itu kita patut berbangga kerana Malaysia cuma berada di belakang Australia dan berjaya pula mengatasi Amerika Syarikat dari segi KDNK. Kejayaan terbaharu ini adalah susulan memberangsangkan sejak tahun lalu. Satu demi satu kedudukan negara dalam senarai pembangunan ekonomi diiktiraf di peringkat global.

Pada Disember lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-57 daripada 169 negara mengikut Indeks Pembangunan Manusia (HDI) 2010 yang dikeluarkan oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP). Indeks tersebut menggambarkan kualiti hidup di sesebuah negara mengikut kriteria tertentu seperti pendidikan, ekonomi dan taraf hidup. Pada November lalu juga Malaysia mencatatkan peningkatan mengagumkan sebanyak lima anak tangga dan merupakan antara 20 negara terunggul dalam Indeks Pembangunan Kewangan Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahun 2010, ekoran pertambahan besar pengumpulan mata, terutama daripada segi kestabilan kewangan hingga mengatasi Singapura.

Kemampuan negara meningkatkan kedudukan dalam Indeks Globalisasi Ernst & Young 2010 adalah melalui pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Model Baru Ekonomi (MBE) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Di samping itu, pencapaian itu dibantu melalui suasana ekonomi yang stabil, keselamatan yang terjamin hingga mendorong pelabur asing terus menanam modal di negara ini. Berkat usaha gigih itu juga Malaysia buat kali pertama berjaya berada pada kedudukan di kalangan 10 negara paling berdaya saing di dunia, mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010 (WCY) yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.

Pencapaian terbaru di awal tahun ini adalah satu kejayaan besar kepada Malaysia. Ini adalah hasil inisiatif inovatif yang diambil oleh kerajaan bagi memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan sektor swasta yang berdaya tahan. Kerjasama sektor awam dan swasta telah berjaya dan dapat dijadikan asas bagi pertumbuhan yang kukuh, stabil dan menyeluruh untuk masa hadapan. Kita tidak dapat nafikan, kejayaan ini juga adalah hasil pembaharuan dan transformasi dasar-dasar kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Salah satu faktor ialah melalui program Pelan Transformasi Kerajaan yang memberi fokus kepada usaha kerajaan dalam bidang utama seperti memperkukuhkan persekitaran perniagaan, membanteras rasuah, memperbaiki infrastruktur, mempermudahkan prosedur kerajaan dan mengukuhkan sistem pendidikan. Hakikatnya, kita mampu memperbaiki kelemahan dan mengubah pandangan negatif terhadap negara ini, jika kita mahu.

UTUSAN MALAYSIA
27 JANUARI 2011

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : PENARAFAN KERETA TEMPATAN MAMPU KURANGKAN RISIKO KEMALANGAN


Reka bentuk dan ciri keselamatan adalah aspek utama yang perlu diambil kira dalam menghasilkan sesebuah kenderaan. Selain faktor kesilapan manusia yang sering dibangkitkan jika berlaku sesuatu kemalangan, aspek fizikal kenderaan juga wajar dititikberatkan tanpa kompromi. Memastikan keadaan kenderaan sentiasa berada pada tahap terbaik sebelum dibenarkan berada di jalan raya oleh syarikat automotif tempatan wajar menjadi prasyarat utama. Langkah itu dapat menjamin pemandu dan penumpang tidak terdedah kepada risiko kemalangan maut akibat kelemahan aspek teknikal sesebuah kenderaan yang dikeluarkan. Pengguna wajib mengetahui tahap serta ciri keselamatan kenderaan yang dikeluarkan sebelum membuat keputusan membelinya. Pada masa sama, pihak pengeluar tidak wajar menyembunyikan kelemahan kenderaan yang dikeluarkan hanya bagi menjaga nama baik syarikat atau meraih keuntungan.

Sehubungan itu, kita menyambut baik langkah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk memperkenalkan Program Penilaian Kenderaan Malaysia (MyVAP). Melalui MyVAP, setiap model kenderaan akan dinilai dan diberi penarafan dari satu bintang sehingga lima bintang. Kita percaya ia mampu memberi kesan besar dalam membantu pengguna membuat pilihan sebelum memutuskan model mana yang mempunyai ciri keselamatan terbaik. Antara penilaian spesifikasi utama keselamatan yang akan diambil kira termasuk sama ada dipasang beg udara atau sistem brek dilengkapi ABS. Justeru, pada masa depan kita juga mahu ujian pelanggaran dimasukkan dalam ciri keselamatan utama yang perlu dinilai MyVAP sebelum sesebuah kenderaan itu dibenarkan berada di atas jalan raya.

Ujian pelanggaran ini yang dibuat melalui Program Penilaian Kenderaan Baru (NCAP) sebenarnya sudah lama diperkenalkan kebanyakan negara maju seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. Kita berharap pusat khas bagi ujian pelanggaran itu yang dicadangkan kerajaan dibina di Bukit Katil, Melaka membabitkan kos RM5 juta dapat disiapkan segera. Aspek keselamatan kenderaan adalah perkara penting dan ia tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak, apatah lagi negara kita berhadapan dengan kes kemalangan jalan raya yang tinggi. Kita tentunya tidak mahu pengeluar hanya menekankan soal promosi seperti aspek harga, penjimatan bahan api atau kecantikan berbentuk luaran semata-mata. Kita juga tidak mahu berlaku ‘double standard’ dari aspek kualiti oleh pengeluar tempatan dengan model kenderaan yang dieksport memiliki ciri keselamatan lebih baik berbanding digunakan di negara ini.

Pada masa sama, kita berharap pihak pengeluar tidak menaikkan harga jualan kenderaan mereka disebabkan kos yang terpaksa ditanggung kerana perlu menjalani ujian pelanggaran dan pelbagai ujian lain kepada pembeli. Kita percaya dalam jangka panjang jika semua model kenderaan tempatan melalui penilaian MyVAP atau NCAP, ia mampu meningkatkan jualan kenderaan syarikat masing-masing, terutama untuk pasaran eksport ke negara yang menetapkan peraturan dan keperluan penilaian NCAP. Kita yakin tiada seorang pun pembeli kenderaan sanggup mengambil risiko membeli kenderaan yang diketahuinya tidak menepati spesifikasi keselamatan yang ditetapkan. Ketika kita berbangga mempunyai kenderaan keluaran tempatan bertaraf lima bintang, sewajarnya juga kita mempunyai pemandu kenderaan berstatus sama yang mengutamakan aspek keselamatan dan memandu cara berhemah di jalan raya. Jika ini dicapai, pastinya kadar kemalangan dalam negara dapat dikurangkan pada tahap terendah, sekali gus negara dapat berbangga mempunyai pemandu bertaraf lima bintang.

Ruangan Minda Pengarang

BERITA HARIAN
27 JANUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : NILAI SEMULA PERANAN PENGETUA SEKOLAH


Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat isu utama diberi tumpuan bagi mem-bolehkan pengetua di rantau Asia Tenggara menikmati keseimbangan dalam memenuhi tuntutan persekitaran sekolah yang sentiasa berubah dan kehendak ibu bapa serta masyarakat yang semakin mendesak.

Empat faktor dikenal pasti ialah:

1.         Sama ada jurang di antara sekolah berprestasi tinggi dan rendah boleh dikecilkan menerusi perkongsian amalan baik di kalangan pengetua;
2.         Sama ada pengetua boleh memanfaatkan teknologi bagi menghubungkan pelbagai disiplin kepakaran, mengekalkan sekolah sebagai pusat pembelajaran dan memperkenalkan inovasi yang berbentuk mendidik;
3.         Keperluan sistem sokongan dipenuhi bagi membolehkan pengetua meningkatkan pencapaian dari aspek pembangunan peribadi dan profesional untuk menjadi pemimpin;
4.         Peluang dan autonomi bagi pengetua menjalin rangkaian sesama mereka ke arah meningkatkan kaedah pembelajaran pelajar.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, permasalahan itu perlu diatasi segera jika penggerak sektor pendidikan khususnya pengetua nekad ke arah melahirkan modal insan terbaik sebagai pelaburan masa depan.  “Di Malaysia, kita ada Program Penambaikan Sekolah (SIP) di mana pengetua mesti mengenal pasti keperluan untuk meningkatkan prestasi pelajar, manakala Kementerian Pelajaran memberi sokongan supaya sasaran piawaian dipenuhi.  “Kita berpuas hati dengan pencapaian memberangsangkan SIP dan sejak dilancarkan tahun lalu, kira-kira 40 peratus sekolah mencatat peningkatan dari segi prestasi pelajar," katanya.  Beliau menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Meja Bulat Pegawai Pendidikan ASEAN kelima dan Forum Pengetua Sekolah Asia Tenggara ketiga bertemakan `Perkongsian dan Mengguna Pakai Dinamisme Pemimpin Sekolah Asia Tenggara Ke Arah Pembangunan Modal Insan dan Inovasi Pendidikan Abad ke-21' di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, pengetua tidak boleh bergerak bersendirian kerana sekolah adalah sebahagian daripada agenda pendidikan yang membabitkan jaringan rangkaian luas serta memerlukan penyertaan pelbagai pihak.  Ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), katanya, membawa banyak cabaran baru bagi pengetua, termasuk mencari keseimbangan dari segi capaian ke dunia luar tanpa menjejaskan nilai moral dan memastikan guru berada di landasan sama dengan pelajar dari segi kecekapan teknologi.  "Sudah tiba masanya kita menilai semula fungsi pengetua dalam mengurus sekolah sebagai institusi pengajian kerana ia tidak lagi terhad kepada pelaksana atau pembuat keputusan,” katanya.  Sebagai pelaksana dasar, Muhyiddin berkata, pengetua perlu menyelesaikan masalah di setiap peringkat menggunakan perubahan sistematik, selain mencari pendekatan berkesan menerusi rundingan.

Beliau berkata, pengajaran penting diperoleh hasil transformasi pendidikan di Malaysia ialah pentingnya kerjasama antara pengetua sebagai pelaksana dasar dengan pegawai pelajaran selaku pembuat dasar.

ISU ALAM SEKITAR : HUTAN DI ASIA MAMPU BIAK 10 000 HARIMAU


Hutan simpanan khusus untuk habitat harimau di Asia boleh menampung lebih 10,000 harimau liar, tiga kali ganda jumlah sekarang, jika ia diuruskan di kawasan skala besar yang membolehkan pergerakan untuk tempat mengawan, menurut satu kajian.

Hanya 3,200 harimau berada di hutan sekarang, berkurangan daripada 100,000 ekor sekurun lalu, dan haiwan yang masih tinggal berdepan kepupusan angkara pemburu yang menjual anggota haiwan itu kepada pedagang di India dan China menggunakannya untuk perubatan tradisional.

Satu sidang kemuncak di Russia November tahun lalu yang dihadiri pemimpin dari negara yang mempunyai habitat harimau liar lalu berjanji untuk menggandakan jumlah haiwan itu menjelang 2022. Kajian ditulis bersama saintis dari Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) itu berkata, sasaran itu mungkin dapat dicapai, malah dapat diatasi jika usaha global berkenaan dibuat.

KATA PRAKLAUSA

Kata praklausa ialah kata yang hadir di hadapan klausa

JENIS-JENIS KATA PRAKLAUSA

01
Kata seru
aduh
aduhai
ah
amboi
cis
eh
oh
alahai
wahai
wah
syabas
02
Kata tanya
apa
siapa
berapa
bila
bagaimana
kenapa
mengapa
03
Kata Perintah
jangan
usah
minta
jemput
sila
tolong
04
Kata Pembenar
ya
benar
betul
05
Kata Pangkal Ayat
Al kisah
Arakian
Maka
Adapun
Hatta
Kalakian
Sebermula
Syahadan
Adapun

BERSEDERHANALAH KERANA ITULAH YANG DITUNTUT


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar adik-adik pelajar yang dikasihi? Cikgu Zul harap semuanya sihat dan sejahtera di samping keluarga yang tersayang, rakan-rakan yang tercinta, dan guru-guru yang bersemangat waja. Walau sesibuk mana pun, kesihatan dan keselamatan diri haruslah diutamakan kerana itulah kunci kepada kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia ini. Namun begitu, sebagai pelajar, khususnya bagi yang bakal menduduki STPM di penghujung tahun 2011 ini nanti, persediaan haruslah dimulakan dengan lebih awal. 

Adik-adik pelajar yang tersayang,

Ketidakmatangan diri kadang-kadang menerjah dan melonjakkan semangat untuk menonjolkan diri dalam kalangan rakan-rakan kita di sekolah. Senario ini seterusnya akan menjadikan kita angkuh, sombong, dan bangga dengan diri sendiri secara melampau. Kita akan rasa, kitalah yang terbaik dan tersohor dalam kalangan yang ada sehingga kita hilang rasa hormat kepada orang yang lebih tua daripada kita iaitu guru yang mendidik. Cikgu Zul dengan sukacitanya ingin mengingatkan, guru juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan sewaktu proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Jika mahu membetulkan, betulkanlah dengan penuh hemah dan sopan. Sebagai golongan intelektual yang dikurniakan minda dan akal, kita kena pandai menjaga perasaan orang lain walaupun pahit untuk kita menerima tetapi percayalah jika semuanya terkawal, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

Dunia ini penuh dengan cabaran, rintangan, dugaan, dan cubaan, yang memerlukan kebijaksanaan kita untuk menghadapi dan melaluinya. Jika anda merupakan pelajar yang pintar dan dikagumi, pastikan hubungan anda dengan guru dan rakan-rakan di sekolah juga secemerlang kepintaran yang anda miliki. Barulah anda akan disayangi dan dikasihi oleh semua orang. Jangan terlalu bermegah-megah dan berlebih-lebihan kerana rasa kagum itu boleh bertukar menjadi benci. Kesederhanaan amat penting dalam kehidupan ini. Orang yang sentiasa bersikap bersederhana akan menyebabkan orang lain tunduk dan hormat kepadanya walaupun dia serba kekurangan dari segi fizikal mahu pun kewangan. 

Kehidupan ini amat indah jika kita pandai mengindahkannya. Andainya hidup ini boleh dilukis di atas kertas lukisan, saya percaya kita semua pasti akan cuba sedaya upaya untuk menghasilkan lukisan yang terbaik dan terindah kerana lukisan itu bakal menggambarkan perjalanan hidup kita. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang sedang menuntut di Tingkatan Enam seperti anda semua, jika keputusan STPM 4A itu boleh tersembunyi di dasar Sungai Rejang, Cikgu Zul percaya semua orang sanggup menyelam ke dasar sungai yang dalam dan gelap semata-mata untuk mendapatkannya. Itulah ragam manusia dan cita-cita mereka.




Coretan daripada seorang guru. 
Cikgu Zulkarnain Farihin 
SMK Sacred Heart
Sibu Sarawak