31 Oktober 2011

ISU BAHASA : PEMBACAAN DAN PENULISAN MERUPAKAN CARA TERBAIK KUASAI BAHASA INGGERIS

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my


TAMAN BOTANI, PUTRAJAYA

Satu daripada faktor utama kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009 ialah hasil beberapa kajian mendapati dasar yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar itu, memberi kesan sebaliknya dari segi pencapaian dalam dua subjek berkenaan. Justeru, kerajaan memansuhkan PPSMI secara berperingkat atau ‘soft landing’ untuk digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan. Dalam proses peralihan itu, Matematik dan Sains diajar dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Cina atau Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah serta dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di sekolah menengah, sejak tahun lalu. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam dwibahasa bagi Tahun Empat akan dilaksana pada 2012, 2013 dan 2014; Tahun Lima pada 2013, 2014 dan 2015 dan Tahun Enam (2014, 2015 dan 2016). Peperiksaan Sains dan Matematik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016, manakala bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dua subjek itu diuji dalam dwibahasa sehingga 2015.

Memang sejak PPSMI dilaksanakan pada 2003 lagi, ia mendapat bantahan ramai ibu bapa, guru dan pelbagai pertubuhan bahasa dan budaya Melayu, antaranya Gabungan Penulis Nasional, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka. Malah, Muktamar PAS ke-55 pada 2009 meluluskan usul supaya kerajaan memansuhkan segera PPSMI. Beberapa kajian dilakukan termasuk Kementerian Pelajaran sendiri, mengesahkan kebimbangan mereka yang membantah PPSMI. Ternyata dasar itu bukan saja gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi menjadi faktor kemerosotan pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik terutama di kalangan majoriti pelajar luar bandar. Trends in International Mathematics and Science Study 2007, kajian bebas antarabangsa di 59 negara mendapati tahap pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan 34 mata, manakala skor Sains merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Berikutan itu, tahap pendidikan Malaysia menjunam ke ranking ke-20 berbanding 10 sebelum ini bagi bidang Matematik dan ranking ke-21 berbanding 20 dalam Sains.  Satu kajian lain pula mendapati hanya 8 peratus guru yakin untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, manakala kebanyakan sekolah menghadapi masalah kekurangan guru yang fasih bahasa Inggeris untuk mengajar dua subjek itu. Hanya 58 peratus masa yang diperuntukkan untuk PPSMI digunakan oleh guru dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, selebihnya guru terpaksa menggunakan bahasa Melayu kerana kesukaran pelajar memahami bahasa Inggeris. Kita timbulkan semula isu kegagalan PPSMI ini kerana walaupun pemansuhannya sudah diumumkan dua tahun lalu dan diterima baik oleh majoriti ibu bapa, masih ada pihak bukan saja mahu memperjuangkan semula PPSMI, malah cuba menggagalkan MBMMBI. Kesannya, seperti kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak mereka mempelajari Sains dan Matematik di sekolah.

Tiada siapa menafikan kepentingan menguasai bahasa Inggeris untuk membolehkan kita bersaing sama ada dalam negara atau pada peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, kemahiran dalam sains dan matematik juga tidak kurang pentingnya bagi generasi muda untuk masa depan mereka. Pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu dalam bahasa Inggeris terbukti tidak membantu pencapaian mereka, bukan saja pencapaian pelajar Melayu luar bandar, malah pelajar Cina dan India juga. Sementara kita menghormati pandangan pihak yang mahu supaya anak mereka diberi pilihan menggunakan bahasa Inggeris, mereka juga harus menghormati hasrat majoriti ibu bapa yang anak mereka tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggunakan bahasa ibunda kerana taraf hidup dan latar belakang berbeza. Lagipun, kebolehan generasi sebelum ini menguasai bahasa Inggeris bukan kerana belajar sains dan matematik dalam bahasa itu, tetapi melalui subjek lain yang memerlukan banyak pembacaan dan penulisan seperti sejarah, sastera dan aktiviti kebudayaan drama dan perbahasan.

SUMBER
BERITA HARIAN
31 OKTOBER 2011


ISU BAHASA : BERI RUANG DAN KESEMPATAN UNTUK MELAKSANAKAN DASAR MBMMBI


TAMAN TASIK TAIPING, PERAK

Polemik mengenai pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak harus dipanjangkan lagi. Kerajaan sudah menetapkan PPSMI akan digantikan dengan program Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan.  Kita mengharapkan semua pihak menerima dengan hati terbuka permintaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dasar berkenaan diterima dan dihormati. Sewajarnya dua badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terus memperjuangkan PPSMI, iaitu Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menghormati suara majoriti mengenai perkara ini. Keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI tidak sesekali bermakna bahasa Inggeris dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara. Ia juga bukan bererti kerajaan tidak memahami hasrat ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak mereka. Perkara berkenaan sudah pun diperhalusi, diteliti dan dipertimbangkan pada peringkat Kementerian Pelajaran.

Hasilnya kementerian terbabit mendapati dasar yang memberi pilihan kepada ibu bapa menentukan sendiri bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik sukar dilaksanakan dan boleh menimbulkan kucar-kacir kepada sistem pendidikan negara.  Langkah itu, seperti kata Muhyiddin juga boleh mendatangkan masalah pada peringkat Kementerian Pelajaran dalam perancangannya bagi memenuhi kehendak sekolah yang mahukan sistem pendidikan bahasa Inggeris dan sekolah yang ingin mengekalkan mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Malaysia. Justeru, tidak wajar polemik ini diteruskan kerana kajian ilmiah oleh beberapa sarjana dan badan berwibawa mendapati PPSMI gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2008 menunjukkan kemerosotan dalam pencapaian bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. MBMMBI yang diputuskan Kementerian Pelajaran harus diberi ruang dan kesempatan untuk dilaksanakan. Kita juga bersependapat dengan ramai bahawa usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar hendaklah dilakukan menerusi pengajaran mata pelajaran berkenaan secara khusus, bukannya melalui mata pelajaran Sains dan Matematik atau mata pelajaran lain.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
31 OKTOBER 2011



ISU UMUM : SASTERA MALAYSIA BOLEH DIANTARABANGSAKAN

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).


ANTARA YANG TERINDAH DI MALAYSIA

Mengantarabangsakan karya Malaysia merupakan suatu cabaran besar yang memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Justeru, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah melihat cabaran ini sebagai satu peluang untuk mengangkat karya besar Malaysia ke persada antarabangsa supaya setanding dengan karya yang diiktiraf dunia melalui karya terjemahan. Hal ini dapat dilihat daripada novel Jepun, Yukiguni hasil karya Yasunari Kawabata yang terus menjulang nama penulisnya apabila dianugerahi Hadiah Nobel Kesusasteraan pada 1968 melalui terjemahan karya ini ke bahasa Inggeris oleh Edward G. Seidensticker. Bertitik tolak daripada kesedaran inilah jugalah ITNM turut menjadikan usaha mengantarabangsakan karya Malaysia sebagai salah salah satu misi utama institut ini. Oleh itu, apabila Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), mencadangkan ITNM menyertai Pesta Buku Frankfurt, Jerman bagi mengangkat karya Malaysia ke persada dunia, ITNM tanpa menoleh ke belakang terus menyertai pesta buku terulung dunia itu bermula dari 2008 (sebagai peserta dan pempamer) sehingga kini, yang baru sahaja berakhir pada 16 Oktober lalu.

Pesta Buku Frankfurt ini merupakan suatu platform yang mempunyai implikasi besar dalam memperkenalkan karya tempatan ke persada dunia. Lihat sahaja kepada statistik Pesta Buku Frankfurt 2011 yang walaupun berlangsung lima hari sahaja, ia mencatatkan rekod kehadiran lebih 7,400 peserta dari lebih 106 negara dan pengunjung kira-kira 300,000 orang. Dengan jumlah kehadiran yang berkualiti ini, mereka yang terlibat dalam penerbitan buku akan menjalinkan hubungan perniagaan selain melaksanakan perancangan untuk mengembangkan produk masing-masing. ITNM juga tidak ketinggalan merebut peluang keemasan ini dengan sedaya-upaya untuk menjalinkan kerjasama penerbitan selain turut melakukan pembelian hak cipta karya berkualiti antarabangsa untuk diterjemahkan ke bahasa Melayu. Walaupun baru empat kali menyertai pesta buku tersebut secara serius, ITNM berjaya menerbitkan banyak karya Malaysia ke bahasa asing melalui kerjasama penerbitan dengan agensi atau penerbit antarabangsa. Contohnya, novel grafik Kampung Boy karya Dato' Lat telah diperkenalkan di pesta buku itu pada 2008 selepas diterjemahkan dalam bahasa Jerman hasil kerjasama dengan agensi Jerman, Horlemann Verlag.

Hasilnya, Kampung Boy kini telah diterbitkan dalam bahasa Tamil, Mandarin dan Arab. Kampung Boy versi Thai pula sedang dalam proses penterjemahan, manakala versi Jepun dalam proses penerbitan semula dengan rakan penerbit di sana. Begitu juga dengan novel Nyawa di Hujung Pedang karya Ahmad Murad Nasaruddin yang diterbitkan dalam bahasa Korea hasil kerjasama dengan Munhaekmaul (agensi Korea). Karya sastera Malaysia merupakan bidang buku terbitan ITNM yang paling banyak diterjemahkan ke bahasa asing. Selain bahasa Inggeris, pelbagai bahasa antarabangsa lain diterjemahkan bagi membolehkan karya Malaysia mudah dipasarkan dan dipilih oleh penerbit antarabangsa semasa proses perundingan hak cipta di Pesta Buku Frankfurt. Antaranya, 68 Soneta Pohon Ginkgo karya Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said dalam bahasa Korea, Selamat Pulang Juita (SN Profesor Muhammad Haji Salleh - Sepanyol), Juara (SN S. Othman Kelantan - Portugis), Kasih Bonda (Dr. Siti Zainon Ismail - Rusia), Lingkaran (SN Arena Wati - Sepanyol) dan lain-lain.

Kini, usaha penyertaan ITNM dalam Pesta Buku Frankfurt sudah mula menampakkan hasil yang lebih memberangsangkan. Pada 19 Oktober lalu, iaitu selepas melaksanakan misi di Pesta Buku Frankfurt 2011, ITNM bersama-sama rakan usaha sama penerbit Perancis Les Indes savantes telah melancarkan tiga karya SN yang diterjemahkan dalam bahasa Perancis di Librairie de l'Asie culturelle et religieuse, Paris, iaitu Rimba Harapan (Keris Mas), Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (Anwar Ridhwan) dan Hujan Pagi (A. Samad Said). Membawa masuk ketiga-tiga karya ini untuk menembusi pasaran Perancis yang merupakan pusat perkembangan sastera Eropah bukanlah suatu kerja mudah. ITNM berasa bangga kerana dapat melakukan tugasan ini dengan memperoleh kepercayaan dan kerjasama erat daripada penerbit Perancis, iaitu Les Indes savantes. Dalam ucapan menyempurnakan pelancaran koleksi terjemahan sastera Malaysia ini, Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Abdul Aziz Zainal menyatakan martabat kesusasteraan di sini bukan sahaja terletak pada ketinggian nilai hasil karyanya, malah sastera merupakan salah satu daripada identiti kebangsaan negara ini.

Tambah beliau, hal ini kerana rakyat Perancis merupakan bangsa yang celik ilmu dan sentiasa ghairah untuk berbicara atau berdebat hal ehwal yang berkaitan dengan bahasa dan penulisan. Semua ini merupakan kesan jangka masa lama sejak tiga abad yang lalu yang masih lagi berbekas sehingga kini. Melihat kepada kebitaraan bidang kesusasteraan dan penerbitan mereka, ITNM menjadikan Perancis sebagai antara lokasi awal untuk mengantarabangsakan karya Malaysia. Tambahan pula, dunia sudah lama mengiktiraf penulis Perancis dengan memilih warganya sebagai pemenang pertama Hadiah Nobel Kesusasteraan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1901. Malah sehingga kini sebanyak 16 sasterawan Perancis telah menerima anugerah tersebut. Justeru, memasarkan tiga karya SN di negara tersebut diyakini dapat membuka lorong kepada penerimaan lebih banyak karya Malaysia. Hal ini kerana ketiga-tiga karya tersebut mempunyai kekuatan dan citra tersendiri yang mampu menceritakan situasi sebenar yang berlaku di Malaysia.

Sekurang-kurangnya jika rakyat Perancis membaca novel tersebut, mereka akan dapat menggambarkan bentuk kehidupan, corak pemikiran akal budi dan keluhuran hati rakyat Malaysia yang digambarkan jujur oleh penulisnya. Sesungguhnya apa yang ITNM lakukan ini adalah semata-mata untuk sama-sama menyokong usaha memandaikan akal budi bangsa melalui pembacaan buku yang berkualiti. Usaha ini juga tidak akan terhenti setakat ini sahaja, malah ITNM akan menjadikan pengantarabangsaan karya Malaysia ini sebagai suatu usaha yang berterusan. Dalam melaksanakan usaha ini, ITNM amat menghargai sokongan penuh kerajaan melalui Kementerian Pelajaran yang ternyata banyak membantu merealisasikan perencanaan ITNM demi mengangkat karya Malaysia ke persada dunia. Dalam masa sama, ITNM amat mengalu-alukan penghasilan lebih banyak karya terkini penulis tempatan yang berkualiti dan bercitrakan Malaysia supaya masyarakat antarabangsa sentiasa dapat mengikuti perkembangan sastera kebangsaan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OKTOBER 2011


ISU EKONOMI : PROTES HARGA TIDAK SEMUDAH ENGGAN MEMBELI

Oleh Hassan Mohd. Nor


TERUSAN PANAMA

Hasrat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mewakili 1.3 juta penjawat awam mahu melakukan protes senyap mendapat sokongan banyak pihak. Ini termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili pekerja sektor swasta serta Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Protes senyap itu dijadualkan mulai November (esok) bagi menunjukkan bantahan terhadap kenaikan harga barangan terutama ayam. Reaksi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri Yaakob pula ialah rakyat boleh memboikot barangan tertentu yang dinaikkan pada harga tidak munasabah bagi menangani sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab serta ingin meraih keuntungan berlipat ganda. Menurut Ismail Sabri, pengguna boleh mencontohi sikap rakyat di negara maju yang bijak menggunakan hak mereka bagi memprotes kenaikan harga sesuatu barangan walaupun tidak ada penguat kuasa. Pengguna yang mengawal dan menentukan kenaikan harga barangan.

Memang benar kata Ismail Sabri, rakyat tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk melindungi hak mereka, tetapi perlu bijak menggunakan hak mereka agar peniaga tidak berani mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya. Apakah pengguna di Malaysia bersedia atau sanggup menggunakan hak mereka? Adakah semudah tidak membeli, tidak makan atau tidak menonton jika harga yang ditawarkan mahal atau keterlaluan? Biasanya jika sudah teringin sama ada mahu makan, memakai dan menonton, soal harga diketepikan seketika. Lebih-lebih lagi bagi peminat bola sepak. Malam kelmarin, 70,000 penonton memenuhi Stadium Shah Alam bagi menyaksikan final Piala Malaysia antara Terengganu menentang Negeri Sembilan walaupun sebelum itu timbul bantahan mengenai harga tiket RM50. FAM pula tidak kisah kalau peminat nak memulaukan final itu jika harga tiket yang menjadi masalah kepada peminat. Akhirnya, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan memberi diskaun RM20 manakala Terengganu pula memberi potongan 50 peratus. Itu soal menonton.

Dulu timbul hasrat Astro menyelaraskan bayaran langganan tetapi mendapat bantahan. Tetapi apabila Astro memperkenalkan pakej yang menarik, ramai pula yang melanggan. Menonton sudah menjadi keperluan. Maka tidak hairanlan, di mana-mana ceruk sekalipun Astro menjadi pilihan. Itu hasrat orang menonton. Bagaimana pula dengan barangan keperluan atau makanan? Apakah kaedah yang akan digunakan bagi ‘memaksa’ peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati? Presiden CUEPACS, Omar Osman menyarankan supaya penjawat awam mengurangkan kekerapan ke pasar selain mencari alternatif yang lebih murah bagi membantah tindakan peniaga menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah. Ketika ini harga ayam melonjak disebabkan bekalan yang tidak normal. Kenapa bekalan menjadi masalah? Mungkin Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ada jawapannya. Tidak lama dulu kita pernah mendengar anak ayam dibakar atau dibuang kerana terlebih bekalan. Nampaknya ada masalah apabila bekalan berlebihan atau berkurangan. Semuanya serba salah.

Bagi pihak kerajaan pula, kita menghargai usaha kementerian mengambil pelbagai langkah bagi membantu rakyat mendapatkan harga berpatutan. Jika dulu ada Kedai Harga Patut kini ada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Walaupun jumlahnya belum begitu banyak tetapi pengenalan kedai ini sekurang-kurangnya dapat membantu pengguna di kawasan bandar yang begitu terasa dengan harga barangan keperluan harian mereka. Apa yang diharapkan, harga dan kualiti yang ditawarkan di- KR1M ini akan terus dipantau supaya matlamatnya tidak terjejas. Langkah ini juga dilakukan oleh beberapa pasar raya besar dengan membungkus sendiri barang-barang tertentu dengan harga yang lebih rendah berbanding barangan berjenama. Baru-baru ini, satu lagi langkah diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi membantu rakyat. Coop 1Malaysia atau Coop1M melibatkan 500 koperasi seluruh negara menawarkan harga 24 jenis barang keperluan pada harga lebih rendah dan pada masa yang sama kualitinya juga setanding dengan produk berjenama.

Khabarnya harga yang ditawarkan adalah 30 hingga 40 peratus lebih rendah daripada harga produk berjenama. Menjelang 2012 sebanyak 150 jenis barang termasuk barangan penjagaan diri akan dimasukkan dalam senarai Coop1M ini. Apa yang diharapkan KR1M dan Coop1M ini dapat membantu rakyat yang mahu berjimat atau mengurangkan belanja harian. Tidak kurang juga pengguna yang tidak peduli dengan harga barangan apabila mereka keluar membeli-belah. Samalah juga apabila mereka berada di restoran atau kedai makan. Walaupun ada pilihan mendapat harga yang murah dan berpatutan, tetapi kebanyakannya ‘malas’ untuk ‘berkira’ dengan harga ini apabila memilih makanan. Mereka sanggup bayar lebih untuk melayani selera makan. Dalam hal ini juga, kerajaan memperkenalkan gerai makanan yang berpatutan. Menurut Ismail Sabri terdapat 1,050 gerai makanan Menu 1Malaysia di seluruh negara. Jumlah ini melebihi sasaran 1,000 unit sehingga akhir tahun ini. Malangnya ada juga pihak yang mempertikaikan kehadiran Menu 1Malaysia ini yang menawarkan sarapan RM2 dan makan tengah hari RM4.

Mereka sanggup mencari ‘silap’ seolah-olah mahu memperkecilkan kedai seumpama ini. Menu 1Malaysia ini sebenarnya mampu dilakukan oleh semua pihak yang mengendalikan restoran atau kedai makan. Cuma bezanya keuntungan yang diperoleh. Pelbagai alasan diberikan apabila ditanya mengenai harga makanan atau minuman ini. Ada yang mahu mendapat untung lebih kerana mahu membayar gaji pekerja, kadar sewa kedai/restoran yang tinggi, harga bahan mentah mahal dan macam-macam lagi. Maka tidak hairanlah ada yang tidak peduli menikmati teh tarik pada harga RM2, sepotong kuih RM1.20, nasi lemak bungkus RM2, mi kari RM7 dan sebagainya di kedai/ restoran yang terletak di pusat membeli-belah atau tumpuan ramai. Rasanya lebih kurang sama sahaja dengan gerai di luar. Bagaimanapun mereka ini sudah ‘terbiasa’ dengan harga itu kerana memikirkan prestij atau kedudukan kedai makan/restoran berkenaan. Sebaliknya, mereka ini akan merungut apabila minum dan makan di gerai tepi jalan atau restoran mamak. Mulalah mereka merungut mengenai harga yang dianggap tinggi.

Mereka tidak mampu menerima harga teh tarik RM2, kuih RM1.20, nasi lemak bungkus RM2, mi kari RM7. Kedudukan atau standard memisahkan harga makanan dan minuman ini. Tetapi bagaimana jika mereka yang menjual makanan dan minuman ini turut menumpang harga berpatutan di KR1M atau Coop1M? Atau mereka sebenarnya mendapat harga borong yang lebih rendah berbanding harga pasaran?


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OKTOBER 2011


ISU EKONOMI : KEMENANGAN INDUSTRI DAN PENGGUNA SAWIT

Oleh ZULKIFLI JALIL


LADANG KELAPA SAWIT DI SARAWAK

Syabas diucapkan kepada kepimpinan kerajaan yang akhirnya berjaya memandu kerajaan Australia dalam isu minyak sawit. Hakikatnya bukan sesuatu yang mudah untuk menghalang pewujudan satu undang-undang baru mewajibkan semua produk makanan daripada minyak sawit dilabel sebagai produk yang dihasilkan melalui kaedah mesra alam. Tetapi itulah 'tempias' kejayaan transformasi yang digerakkan oleh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak - yang akhirnya meyakinkan rakan sejawatnya, Julia Gillard untuk tidak menyokong pewujudan undang- undang tersebut. Walaupun Australia bukan pasaran yang besar untuk minyak sawit Malaysia jika dibandingkan dengan China dan Eropah namun kelulusan rang undang-undang itu jika terjadi, akan menjejaskan pandangan dunia terhadap produk sawit negara. Realitinya, sikap dengki dan cemburu pihak luar ke atas minyak sawit sudah berakar-umbi sejak pertengahan 1980-an lagi. Ini ekoran khasiat minyak sawit ke atas kesihatan jangka panjang berbanding minyak soya. Waktu itu tercetus perang minyak masak di Amerika.

Perang bermula apabila Persatuan Minyak Soya Amerika terancam kerana penjualan minyak soya jauh lebih rendah daripada minyak masak tropika. Faktor menyebabkan minyak kelapa sawit popular di kalangan pengguna domestik dan pengilang adalah kerana harganya jauh lebih rendah manakala penggunaannya dalam masakan lebih sihat berbanding minyak soya. Komposisi olein yang terdapat pada minyak kelapa tropika (termasuklah minyak sawit) adalah jenis lemak separa tepu yang tidak akan berubah komposisi kimia apabila dimasak (hydrogenated oils). Oleh itu, minyak kelapa sawit tidak mendatangkan kemudaratan kepada jantung berbanding minyak soya. Karotin yang terdapat dalam minyak sawit yang memberi warna merah kepada minyak tersebut pula ialah agen anti oksida yang boleh mencegah barah. Ini diakui oleh seorang saintis terkemuka Amerika, Profesor Paul Sylvester dari Universiti Louisiana yang banyak membuat penyelidikan mengenai khasiat minyak sawit. Beliau berpendapat, tocotrienol yang terdapat dalam minyak sawit mampu menghindari serangan barah payudara.

Kerana tertekan dengan pasaran minyak soya yang sentiasa kurang permintaan berbanding minyak kelapa sawit, maka pertengahan 1980-an menyaksikan usaha berganda pihak tertentu untuk memburukkan minyak sawit dan mengaitkannya dengan kemudaratan kesihatan dan akhirnya bahaya kerosakan kepada alam sekitar ekoran penanaman besar-besaran ladang kelapa sawit menggantikan hutan tropika. Potensi masa depan minyak sawit negara sememangnya cerah. Pendapatan eksport produk sawit untuk tahun 2010 misalnya amat memberangsangkan dengan peningkatan RM10.11 bilion atau 20.4 peratus kepada RM59.77 bilion berbanding RM49.6 bilion pada 2009. Pada 2010, keluasan tanaman sawit di Malaysia mencapai 4.85 juta hektar, meningkat 3.5 peratus berbanding 4.69 juta hektar pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, kawasan matang adalah 4.2 juta hektar atau 87 peratus dan kawasan muda sebanyak 0.65 juta hektar atau 13 peratus. Semenanjung sahaja mempunyai keluasan 2.52 juta hektar atau 52 peratus, Sabah sebanyak 1.41 juta hektar (29 peratus) dan Sarawak sebanyak 0.92 juta hektar (19 peratus).

Dakwaan pihak tertentu dari Australia yang begitu ghairah menyokong undang- undang baru ke atas minyak sawit bahawa Malaysia mengorbankan habitat orang utan demi menanam kelapa sawit juga tidak berasas sama sekali. Sedangkan Kuala Lumpur telah pun menyatakan komitmennya kepada dunia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah akan terus diliputi hutan. Komitmen itu terus dikekalkan. Di sebalik itu, Australia sebenarnya tidak mempunyai kedudukan moral yang lebih tinggi untuk mengajar negara kerana ada kalangan menteri kita sendiri melihat bagaimana orang utan menggigil di zoo negara itu semasa musim sejuk. Canberra gagal menjaga orang utan di negara sendiri. Impak positif kesan komitmen Gillard tidak menyokong undang-undang baru ke atas produk makanan daripada sawit akan menyokong industri itu di Malaysia. Apatah lagi dikatakan harga kelapa sawit akan jatuh ke RM2,600 setan pada 2012 berbanding RM3,000 setan tahun ini. Ia kesan kejatuhan permintaan di pasaran antarabangsa. Ada kebarangkalian juga harga boleh jatuh kepada RM2,000 setan jika dikaitkan dengan kemelesetan ekonomi di Eropah dan Amerika. Industri minyak sawit dan pengguna minyak sawit berjaya bertindak balas di Perth kelmarin bagi membersihkan reputasi dan jenama mereka. Syabas sekali lagi buat Perdana Menteri.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OKTOBER 2011


30 Oktober 2011

ISU SOSIAL : BERKERJA SAMBILAN MAMPU SUNTIK NILAI POSITIF DALAM DIRI PELAJAR YANG TERLIBAT

Oleh Ruhaiza Rusmin


GIANT'S CAUSEWAY, IRELAND UTARA

Diukur dari segi usia, mereka masih muda dan belum bnyak pengalaman di dada namun sikap berani mencuba serta meneroka dunia pekerjaan sambilan cukup membanggakan. Biarpun menghadapi pelbagai cabaran, mereka tetap optimis, tidak mudah mengalah selain bersemangat membuktikan keupayaan kepada masyarakat biarpun tidak ramai bersetuju kerana berang­gapan ia boleh mengganggu rutin pembelajaran. Apatah lagi pengajian peringkat universiti rumit kerana tertakluk pada syarat pencapaian akademik, juga segala aktiviti yang perlu direncana dengan baik bagi memastikan berjaya menamat­kan pengajian. Benarkah mereka yang ingin belajar berdikari mencari poket sendiri tidak boleh berjaya? Mungkin ia pengalaman paling berharga sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar selain tidak menyusahkan orang lain bagi memenuhi keperluan kewangan. Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Management and Science University (MSU), Lina Hazwani Ainol Kamal berkata, dia lebih senang berdikari mencari duit bagi menampung keperluan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajiannya selain berpendapat, ia pengalaman berharga yang sukar diganti.

Menurutnya, keinginannya untuk bekerja sambilan juga didorong rasa tanggungjawab tidak mahu menyusahkan keluarga kerana sedar mereka masih mempunyai tanggungjawab lain yang perlu dilunaskan. “Keputusan bekerja sambilan datang daripada kesedaran sendiri kerana saya beranggapan tidak salah mencuba sesuatu yang baru. Malah ia juga satu cabaran  kepada diri untuk melihat sejauh mana keupayaan menangani masalah kehidupan. “Juga atas kesedaran untuk tidak terlalu membebankan ibu bapa membiayai pengajian biarpun selalu menegaskan itu tanggungjawab mereka. Apa salahnya saya berusaha sendiri mencari duit poket asalkan tidak mengganggu pengajian. “Malah, saya puas menikmati duit diperoleh itu dan bebas membelanjakannya tanpa rasa bersalah kerana ia hasil titik peluh sendiri,” katanya. Pembabitan mahasiswa dalam pekerjaan sambilan bukan baru terutama bagi menampung keperluan pengajian dan peribadi yang semakin meningkat. Biarpun ada beranggapan ia bakal menjadikan mahasiswa letih, kurang tumpuan, mula culas ke kuliah serta melupakan tanggungjawab terhadap pelajaran, mereka kurang bersetuju biarpun tidak menafikan ada yang tersasar daripada fokus sebenar.

Dia yang bekerja sebagai model pakaian Muslimah secara sambilan beranggapan, segala keputusan atau perancangan terletak pada diri sendiri bagi mencorakkan perjalanan masa depan. “Dalam konteks ini, diri sendiri yang menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan manakala orang lain hanya boleh memberi nasihat sebagai panduan. “Biarpun tarikan alam pekerjaan kuat kerana sudah berupaya menjana pendapatan sendiri, ia tidak seharusnya menjadi penyebab mahasiswa terlupa pada pelajaran, malah perlu sentiasa mengingatkan diri itu hanya kerjaya sementara. “Dengan cara itu, sudah tentu diri sendiri sentiasa berwaspada dan tahu apakah keutamaan yang perlu dilaksanakan sebelum menceburi alam kerjaya sebenar yang lebih menjanjikan masa depan cerah,” katanya mengakui cabaran dihadapi bukan saja di tempat kerja, malah rakan sebaya. “Ada suka, begitu juga sebaliknya malah lebih teruk melabelkan kami sebagai pelajar yang akan tercicir dalam pengajian hingga ada kalanya mengguris hati. Bagaimanapun, saya tetap optimis dan mengambil pendekatan berdiam diri,”  katanya.

Ditanya mengapa bidang peragaan menjadi pilihan, dia berkata, semuanya berlaku secara tiba-tiba apabila seorang jurugambar mempelawanya menjalani uji bakat, sekali gus memulakan langkah pertama menjadi model. Menurutnya, peringkat permulaan berasa kekok, namun selepas hampir setahun, dia semakin berani dan lebih berkeyakinan selain mampu memperbaiki kemahiran komunikasi. “Sebelum ini saya pemalu, kurang bercakap dan tidak berkeyakinan, namun kini semuanya berubah. Ia peningkatan drastik hasil pendedahan dan pergaulan sepanjang bekerja. “Sebagai pelajar, aspek ini sangat penting dalam usaha membentuk personaliti positif sebelum menceburi bidang pekerjaan sepenuh masa. Saya menganggapnya sebagai satu aset berguna dan bonus sukar diperoleh,” katanya. Pada masa sama, menggunakan peluang di depan mata untuk meluaskan lagi pergaulan dengan masyarakat sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan sebenar. “Biarpun kerjaya sambilan, saya mampu meraih peluang yang sukar diperoleh pelajar lain terutama bertemu pelbagai lapisan dan ragam masyarakat. Ini secara tidak langsung menjadi satu proses pendidikan untuk mematangkan diri.

“Ia juga sebagai persiapan memperkukuhkan lagi kemahiran sedia ada. Bagi saya, dengan bekerja sambilan, banyak ilmu dan pengalaman diperoleh, bukan duit semata-mata,” katanya. Bagi Tengku Ahmad Hazrin Tengku Hassan, keputusannya membuka perniagaan sendiri sebagai langkah permulaan menceburi bidang keusahawanan kelak selain ingin merasai nikmat ‘memegang’ duit sendiri. “Senario pekerjaan masa kini yang sukar diduga memerlukan saya berfikir lebih kreatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan sendiri biarpun secara kecil-kecilan. “Ia juga langkah awal mempersiapkan diri dengan pengalaman dan ilmu sebelum menceburi perniagaan sepenuh masa sebaik tamat pengajian. Saya lakukannya atas dasar minat serta ke­inginan mempunyai duit poket sendiri,” katanya. Mendapat sokongan penuh keluarga, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik ini mengakui kesukaran memperoleh kepercayaan dan memuaskan hati pelanggan adalah cabaran utama memandangkan masih terlalu mentah dalam dunia perniagaan. Katanya, pelanggan banyak mempertikaikan hasil ciptaannya selain suka mengambil kesempatan kerana beranggapan dia masih belum berpe­ngalaman dengan ‘permainan’ dunia perniagaan.

“Saya akui, kadangkala perit menghadapi kerenah pelanggan, namun sentiasa berfikiran positif ia adalah pengalaman berharga yang tidak boleh diperoleh melalui pembacaan. “Sekurang-kurangnya saya sudah ada ‘ilmu’ sebelum menceburi bidang perniagaan sebenar selain mendidik diri menjadi lebih sabar, berhemah dan berdisiplin. “Bekerja sambilan banyak menyuntik nilai positif dalam diri,” katanya. Ditanya bagaimana membelanjakan pendapatan diterimanya, dia berkata, sebahagian besarnya disimpan sebagai persediaan modal dan selebihnya untuk membeli keperluan peribadi. “ Saya tidak boros kerana sedar susah memperoleh wang dan menyimpannya demi masa depan. Bagaimanapun, sebagai penghargaan pada diri, turut membelanjakannya bagi membeli barangan dihajati. “Bekerja sendiri biarpun secara sambilan memberi kepuasan. Lebih membanggakan, saya tidak menyu­sahkan orang lain serta mampu membeli barang diingini dengan titik peluh sendiri,” katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
24 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : MEMBELA NASIB MASYARAKAT YANG TINGGAL DI BANDAR

Oleh Mior Kamarul Shahid


KAWASAN YANG DILINDUNGI, KEPULAUAN PHOENIX, KIRIBATI, TERLETAK DI ANTARA HAWAII DAN FIJI

Banyak perkara baru diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet Negara 2012 yang terus menjadi bahan perbualan harian. Tidak hairanlah ada yang berpendapat ia bajet pilihan raya walaupun mereka tahu usaha membantu rakyat adalah agenda berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN). Ramai akui bajet tahun depan lebih menyeluruh kerana ia meliputi setiap sektor masyarakat dari luar bandar hingga ke bandar, dari orang miskin meliputi warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, orang berpencen dan orang kurang upaya hinggalah kepada golongan miskin dan kumpulan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Najib mungkin melihat masanya sudah tiba untuk kerajaan menilai semula kemudahan dan bantuan yang diberikan kepada setiap golongan rakyat supaya tidak ada satu pun kumpulan yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Tanpa mengabaikan nasib rakyat di luar bandar, kerajaan juga tidak alpa terhadap kehidupan rakyat di bandar tanpa mengira kaum. Hari ini rakyat bandar mungkin memerlukan lebih perhatian berikutan perubahan struktur masyarakat kesan penghijrahan.

Analogi mudah, kawasan bandar terus berkembang dengan bilangan penduduk yang meningkat sedangkan penduduk luar bandar kian berkurangan kerana golongan muda mencari peluang pekerjaan di bandar-bandar. Sebelum ini, dalam setiap perancangan pembangunan kerajaan, penduduk luar bandar sering menerima bantuan kerajaan seperti membina rumah, kemudahan perubatan, bekalan air, elektrik, jalan raya dan sebagainya. Dalam bajet tahun depan, Najib yang juga Menteri Kewangan menyediakan keperluan rakyat di bandar-bandar yang kian mendesak dan memerlukan pembelaan. Umum menyedari tidak semua penduduk bandar hidup senang. Di bandar, segala-galanya memerlukan wang - perumahan, pengangkutan, persekolahan anak, pembantu rumah, perubatan dan sebagainya, di tambah pula dengan kos sara hidup yang meningkat. Golongan ini perlu dibantu agar mereka tidak terus menerus menghadapi kesempitan hidup. Bajet 2012 dilihat sebagai memulakan pendekatan baru untuk membantu penduduk bandar bagi meringankan beban mereka.

Dalam Bajet 2012, antara lain kerajaan memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga berpatutan. Dengan bayaran maksimum RM2, seseorang boleh bersarapan pagi dan RM4 untuk makan tengah hari. Dengar cerita, bukan pelanggan saja yang Restoran 1Malaysia dikunjungi ramai pelanggan, tetapi bilangan mereka yang berminat menjadi peniaga, juga ramai. Ini sebagai tambahan kepada Kedai Rakyat 1Malaysia yang menawarkan harga rendah. Memiliki rumah sendiri menjadi impian setiap rakyat. Di bandar keperluan memiliki rumah kian mendesak. Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama, kerajaan menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA. PR1MA ialah agensi tunggal untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. PR1MA berperanan sebagai pemaju projek di tapak pemilikan kerajaan. Mulai sekarang kita akan dapat melihat satu demi satu projek PR1MA dibina di bandar-bandar.

Untuk memudahkan penduduk, projek perumahan ini akan dibina di kawasan berhampiran stesen MRT, LRT bagi memudahkan pergerakan mereka menggunakan pengangkutan awam dengan kos yang lebih rendah. Di samping itu, PR1MA turut bekerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan projek-projek perumahan. Pemilikan rumah PR1MA ditentukan dengan adil melalui undian terbuka. Bagi kemudahan kesihatan di bandar, kerajaan menyediakan Klinik 1Malaysia dan sebagainya.

SUMBER
BERITA MINGGU
30 OKTOBER 2011


ULANGKAJI MENJELANG STPM 2011






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...