10 Mac 2011

ISU SOSIAL : CEGAH TAGIH DADAH MELALUI PENDIDIKAN


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata baru-baru ini, Malaysia dikesan menjadi transit penyeludupan dadah, terutama dari rantau Asia Barat dan Afrika berdasarkan jumlah tangkapan hampir setiap hari membabitkan rakyat negara itu pada tahun lalu. Hasil pemantauan polis juga mendapati penyeludup menggunakan laluan lain, termasuk di sempadan dan melalui pelabuhan bagi membawa masuk dadah dan tidak lagi bergantung kepada pengangkutan udara semata-mata. Apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan pengawalan dan pemantauan laluan yang dikenal pasti di sempadan termasuk pelabuhan yang digunakan penyeludup bagi membawa masuk dadah ke negara kita. Langkah-langkah yang lebih berkesan perlu diambil untuk mencegah penyeludupan dadah ke negara kita. Bilangan warga Asia Barat dan Afrika yang ditahan kerana terbabit dalam penyeludupan dadah amat membimbangkan.

Walaupun kita bangga terhadap kejayaan pihak polis ini, lebih banyak usaha gigih perlu diambil dari aspek pengawalan dan penguatkuasaan undang-undang untuk menangani masalah tersebut. Kita juga harus memikirkan pendekatan pengurangan permintaan dadah oleh rakyat Malaysia sendiri terutamanya penagih dadah. Kalau ia dapat melalui pendidikan dan pencegahan, pengedaran dan penyeludupan akan terjejas. Dalam usaha kita membanteras najis dadah, tumpuan harus diberikan terhadap generasi muda terutamanya pelajar sekolah. Para pelajar haruslah diberitahu mengenai bahaya penggunaan dadah, fakta-fakta penting, kesan serta simptomnya. Mereka hendaklah mengetahui dan memahami pengaruh negatif desakan rakan sebaya dan cara-cara menanganinya. Remaja daripada berbilang bangsa juga mesti menyebarkan mesej 'tanpa dadah' sesama mereka di sekolah dan luar sekolah.

Pendidikan moral hendaklah diperkukuhkan untuk mengelak penyalahgunaan dadah. Semasa negara kita sedang bergelut dengan pelbagai masalah sosial, menjadi keperluan ibu bapa untuk menunjukkan komitmen yang lebih tinggi dalam membesarkan anak-anak supaya menjadi rakyat yang sihat dan produktif. Keupayaan Malaysia menjadi negara maju banyak bergantung kepada kualiti institusi kekeluargaan. Kekuatan dan potensi keluarga dalam memerangi dadah lebih berkesan dan bermakna daripada semua langkah yang diambil oleh pihak penguatkuasaan dalam usaha membendung masalah tersebut. Walaupun penguatkuasaan undang-undang penting, apa yang lebih utama ialah keupayaan kita membanteras kemasukan dadah ke rumah, sekolah dan masyarakat melalui kekuatan institusi keluarga.

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

UTUSAN MALAYSIA, 10 MAC 2011

ISU PERUMAHAN : KAWAL HARGA RUMAH ELAK MATLAMAT SKIM RUMAH PERTAMAKU GAGAL


Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan Datuk Seri Najib Razak bagi membantu generasi muda membeli rumah, satu lagi bukti dan komitmen kerajaan merealisasikan gagasan 1Malaysia – ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Skim pinjaman 100 peratus untuk pekerja swasta berusia 35 tahun ke bawah dan berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan itu turut disokong 25 institusi kewangan tempatan. Kita yakin rakyat menyokong penuh langkah ini kerana ia memudahkan mereka memiliki rumah sendiri sebagai aset penting membina kehidupan berkeluarga, termasuk menjamin perkembangan positif emosi serta sahsiah anak. Masyarakat progresif dan dinamik lahir daripada sebuah keluarga bahagia. Justeru, skim diilhamkan kepemimpinan Perdana Menteri ini pastinya memenuhi aspirasi setiap keluarga muda yang mengimpikan sebuah rumah sendiri untuk membina keluarga dengan lebih terancang serta terjamin.

Kita juga tertarik dengan komitmen institusi kewangan yang memberi sokongan padu, walaupun menyedari pembiayaan skim itu tidak memberi keuntungan lumayan, ia sangat bermakna kepada rakyat. Penyertaan institusi terbabit turut membuktikan sektor swasta menyokong pelaksanaan konsep 1Malaysia yang semakin difahami, disokong dan disertai segenap lapisan rakyat. Apa yang lebih penting daripada soal keuntungan wang ringgit ialah memastikan matlamat Skim Rumah Pertamaku tercapai. Antaranya membantu pasangan muda menikmati kehidupan lebih sempurna. Sebagai kerangka paling asas dalam struktur sebuah masyarakat, kerajaan melihat perlunya usaha menyokong proses pembinaan sahsiah individu melalui sebuah rumah yang sempurna. Menerusi skim ini, kerajaan bukan saja menyediakan sebuah rumah kepada pasangan muda, tetapi membantu membina kehidupan keluarga yang lebih berkualiti.

Bagi kemudahan masa depan, kerajaan boleh memperhalusi dan meningkatkan lagi keberkesanan skim ini. Kerajaan disarankan bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan UDA Holdings Berhad, selain Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) yang terbabit secara langsung membina rumah pelbagai kategori.  Pada masa sama, kerajaan boleh menggalakkan pemaju swasta membangunkan taman perumahan atau bandar baru dengan membina lebih banyak rumah mampu milik, terutama bagi golongan yang berpendapatan sederhana. Bagi setiap projek perumahan baru, kuota pembeli muda mungkin ditetapkan sehingga 50 peratus. Pastinya, skim pinjaman 100 peratus ini menggalakkan setiap pasangan muda memiliki rumah sendiri kerana lazimnya mereka mengalami kesulitan untuk menyediakan deposit 10 peratus yang ditetapkan syarikat pemaju perumahan.

Syarat itulah yang sering menjadi penghalang sebahagian besar rakyat membeli rumah. Apa pun setiap pembelian rumah menerusi pinjaman bank tetap berdepan risiko. Memandangkan pinjaman bank mempunyai kadar faedah harus ditanggung, pembeli haruslah mengukur kemampuan masing-masing sebelum membuat pinjaman bank. Kita tidak mahu akibat tidak mampu membayar balik pinjaman, rumah yang dibeli akhirnya terpaksa dilelong seterusnya menyebabkan semakin ramai rakyat muflis pada usia muda. Satu lagi pendekatan yang mungkin boleh dipertimbangkan kerajaan ialah dengan mengawal tindakan pemaju daripada terus menaikkan harga rumah sewenang-wenang, terutama rumah kos sederhana yang mampu dibeli pasangan muda berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan, lazimnya graduan lepasan institusi pengajian tinggi.

BERITA HARIAN, 10 MAC 2011